KULIAH 11
AMERIKA DALAM PERANG DUNIA PERTAMA

Pada tempoh tahun 1840s, negara Amerika Syarikat terdorong untuk melancarkan dasar perluasan wilayah hingga pinggir pantai laut pasifik, bahagian barat benua Amerika Utara demi memenuhi tuntutan cita-cita atau semangat manifest destiny (takdir yang ternyata) rakyatnya.. Penyatuan semula negara ini setelah terpecah belah pada tahun 1860an akibat masalah dalaman, melalui dasar rekonstruksinya yang tamat pada tahun 1877 akhirnya memberikan kekuatan baru untuk muncul menjadi sebuah kuasa besar di dunia, terutamanya didorong oleh pembangunan pesat dalam bidang perindustrian dan ketenteraan. Sekali lagi Amerika Syarikat bangkit untuk menjadi memimpin fahaman imperilisme di dunia. Sungguhpun pada tahun 1867, Amerika telah membeli Alaska daripada Russia dengan harga $7.2 juta namun dasar imperialisme di luar benua bukanlah fokus terpenting ketika itu. Sebaliknya Amerika memberi tumpuan khusus terhadap dasar rekonstruksi ke atas negeri-negeri selatan, penjajahan wilayah-wilayah jiran sebenua di sebelah barat, dan pembangunan industrinya. Menjelang tahun 1880an, Amerika mula mengembangkan dasar imperialismenya ke luar benua atau ke seberang laut. Selain daripada faktor-faktor keperluan bahan mentah dan pasaran dalam bidang perindustriannya yang telah berkembang pesat, faktor persaingan kuasa di peringkat antarabangsa menjadi lebih utama kepada Amerika Syarikat untuk mengamal dasar imperialisme ke seberang laut. Awal tahun 1880an, negara Britain dan negara-negara Eropah yang lain-lain sedang mengagih-agihkan benua Afrika kepada koloni-koloni di antara mereka, dan mereka juga sudah bersedia untuk melakukan sedemikian ke atas benua Asia Timur Jauh, khususnya China. Dengan pengaruh konsep gabungan semangat manisfest destiny dan ide the survival of fittest oleh Charles Darwin, Amerika mula memikirkan untuk melancarkan dasar imperialisme di seberang laut. Misalnya, di samping memiliki jajahan yang banyak di Asia Timur Jauh, orang British telah menjajah Mesir pada tahun 1882. Kejayaan orang British ini mendorong semangat imperialisme di kalangan rakyat Amerika. Langkah-langkah memperbesarkan angkatan laut mula dilaksanakan untuk memenuhi tuntutan imperialisme tersebut. Menjelang tahun 1898, Amerika telah menjadi kuasa maritim yang ketiga besar di dunia, selepas Britain dan Perancis.

Kebetulan pada masa yang sama, yakni pada tahun 1880an orang Cuba sedang bergelut semula untuk memperjuangan kemerdekaan buat kali kedua daripada kuasa Sepanyol. Pada tahun 1895 perang meletus di Cuba yang dipimpin oleh Jose Marti. Walau bagaimanapun, strategi perang gerila terhadap orang Sepanyol telah menyebabkan kemusnahan ke atas ladang-ladang gula orang Amerika. Orang Kesempatan ini telah dipergunakan oleh Amerika untuk memulakan dasar imperialisme seberang lautnya. Tambahan pula tindakan kejam tentera Sepanyol di bawah Jeneral Valeriano Weyler, dengan perintah tahanan di kem-kemnya telah menyebabkan sekitar 200 ribu daripada jumlah 1.6 juta orang tahanan Cuba meninggal dalam tempoh dua tahun akibat sakit dan kebuluran. Keadaan yang dahsyat ini telah berjaya mempengaruhi masyarakat dan kerajaan Amerika merasa simpati terhadap pengalaman yang dilalui oleh orang Cuba itu.

Pada tahun 1896, kedua-dua parti politik Amerika; Republikan dan Demokrat telah mencapai kata sepakat untuk menghulurkan pembelaan kepada pemberontak-pemberontak di Cuba. Presiden baru Amerika ketika itu, McKinley (1897-01) pada dasarnya tidak bersetuju untuk mencampuri masalah dalaman di Cuba atas kesedaran perikemanusiaan, yakni dibayangi oleh teladan daripada Perang Sivil yang lalu. Sungguhpun mendapat penghinaan terhadap kewibawaan pentadbiran beliau dalam satu surat sulit oleh konsul Sepanyol di Amerika kepada kuasa Sepanyol di Cuba, yang dipaparkan dalam sebuah makalah tempatan, namun McKinley memberitahu kongres agar memberi peluang kepada kuasa Sepanyol di Cuba agar memikirkan sewajarnya terhadap perjuangan pemberontak-pemberontak Cuba. Dalam pada itu, rakyat Amerika terus mendesak beliau untuk mengambil tindakan tegas terhadap kuas Sepanyol. Pada awal tahun 1898, setelah menerima telegram daripada konsul Amerika di Cuba menyatakan kebimbingan tentang keselamatan warganegara Amerika, McKinley terus mengarah kapal Maine untuk menyerang bandar pelabuhan Havana. Kedatangan kapal Maine sudah dijangka oleh kuasa Sepanyol. Keadaan di bandar pelabuhan Havana adalah tenang dan tidak ada tanda-tanda persediaan kuasa Sepanyol untuk menghadapi serangan Amerika. Walau bagaimanapun, pada sebelah petang 15 Februari, ketika Kapten Charles D. Sigsbee sedang menulis surat kepada isteri di kabinnya tiba-tiba kapal Maine meletup dan mengorbankan 260 orang pegawai dan kelasinya. Hingga pada hari ini, punca sebenar kepada kejadian tersebut masih tidak diketahui. Selain andaian disebabkan oleh masalah teknikal pada kapal tersebut, satu andaian penting bahawa kuasa Sepanyol merupakan pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut. Pada 9 April, satu perjanjian genjatan senjata dipersetujui antara kuasa Sepanyol dan Amerika. Namun rakyat Amerika terus mengkritik kerajaan agar mengambil tindakan tegas ke atas kuasa Sepanyol di Cuba. Akhirnya pada 11 April, McKinley telah memohon kepada kongres agar membenarkan hak kuasa beliau [selaku presiden] menggunakan kuasa angkatan militari dan laut untuk mewujudkan keamanan di Cuba. Pada 19 April, kongres telah memberi persetujuan. Maka pada keesokan harinya, McKinley mula melancarkan serangan terhadap kuas Sepanyol di Cuba.

Peperangan antara kuasa Sepanyol dan Amerika telah berlaku di Laut dan darat. Amerika menghadapi kuasa Sepanyol di Cuba dalam lingkungan Laut Carribbean, dan di Filipina dalam lingkungan Laut Pasifik. Pada 1 Mei, Laksamana George Dewey telah memimpin angkatan laut Amerika menuju ke Manila, Filipina. Dengan bantuan para pemberontak Filipina dibawah pimpinan Jeneral Emilio Aguinaldo, angkatan Amerika telah berjaya memaksa pemerintah Sepanyol di Filipina menyerah kalah pada bulan Ogos. Manakala di Cuba, angkatan perang Amerika dibawah pimpinan Theodore Roosevelt, bekas penolong setiausaha Jabatan Angkatan Laut Amerika telah mendarat di Cuba pada pertengahan bulan Jun. Beliau memimpin seramai 17 ribu orang sukarelawan daripada pelbagai kaum di Amerika. Mereka memegang prinsip justice at home as well as abroad. Pada 1 Julai, angkatan ini mula menyerang dan akhirnya menawan bandar pelabuhan Santiago pada 17 Julai. Perang ini dikenali sebagai perang Battle of San Juan Hill. Pada 16 Julai, bandar pelabuhan Puerto Rico telah ditawan. Pemerintahan tentera Amerika telah diisytiharkan ke atas Cuba pada 12 Ogos, dan seterusnya perjanjian damai Treaty of Paris of 1898 antara kerajaan Sepanyol dan Amerika telah ditandatangani pada 10 Disember.

Dengan perjanjian damai tersebut, penguasaan Amerika di Filipina adalah sah. Kerajaan Amerika berjanji untuk membayar sejumlah $20 juta kepada kerajaan Sepanyol sebagai pampasan ke atas Filipina. Sungguhpun, timbul bantahan daripada sebahagian besar rakyat Amerika terhadap penjajahan ke atas Filipina, namun McKinley telah menggunakan kuasa vetonya untuk menyenaraikan Filipina ke dalam empayar Amerika.

Sementara itu, Amerika menaruh meminat terhadap pelabuhan Pearl Harbor di kepualauan Hawaii sejak tahun 1880an berikutan keperluan satu pengkalan angkatan lautnya di Laut Pasifik. Pada tahun 1887, satu perjanjian konsesi telah ditandatangani dengan Raja Kalakaua. Setelah kemangkatan raja Halakaua pada tahun 1891, pemerintahan beraja Hawaii telah diambil-alih oleh adik perempuannya, Liliuokalani. Ratu Liliuokalani tidak menyenangi dominasi pengaruh para saudagar keturunan Amerika di dalam kerajaannya. Baginda telah meminda perlembagaan untuk memenuhi dasar pemerintahanya Hawaii for the Hawaiians. Akibatnya, rakyat keturunan Amerika telah memberontak dengan bantuan John L. Stevens, konsul Amerika di Hawaii. Pada sebelah malam 16 Januari 1893, kapal perang Boston telah sampai di pelabuhan Honolulu. Peristiwa telah memberi kesempatan ini Stevens untuk menawan istana dan ratunya terlebih dahulu sebelum angkatan bersenjata kapal Boston sampai. Presiden Amerika ketika itu, Grover Cleveland (1885-89 dan 1893-97) merasa simpati dan cuba mencari jalan sewajarnya agar dapat mengembalikan pemerintah Ratu Liliuokalani di Hawaii. Namun pihak kongres tidak membenarkan beliau untuk sekali menggunakan kuasa angkatan bersenjata untuk memenuhi cita-cita tersebut. Sebaliknya mengesahkan bahawa kerajaan Amerika tidak boleh mencampuri hal ehwal dalaman Hawaii. Setelah satu perlembagaan baru dibentuk, maka Stanford B. Dole, seorang pengusaha ladang nenas telah dipilih menjadi Presiden Republik Hawaii yang pertama. Pada 12 Ogos 1898, Hawaii telah menjadi wilayah negeri dalam Republik Amerika Syarikat.

Pendudukan Amerika di Filipina telah mendorong minat semangat imperialisme Amerika terhadap benua Asia. Amerika memerhati dengan simpati pengalaman yang menimpa China, yakni sedang diagih-agihkan di kalangan kuasa kolonial Perancis, Jerman, Britain, Jepun dan Russia. Sungguhpun pada zahirnya Amerika tidak berminat untuk mengulangi satu lagi bencana perang dalam masyarakatnya jika melibatkan diri dalam perkembangan di benua Asia, namun hakikatnya Amerika tidak dapat menolak peluang kekayaan dari aspek pasaran yang boleh disediakan oleh China. Oleh yang demikian, John Hay, selaku setiausaha Jabatan Kerajaan Amerika ketika itu telah menghantar surat permohonan kepada semua kerajaan kolonial di China agar membenarkan warganegara Amerika untuk menjalankan perniagaan mereka dengan bebas di China. Manakala, rakyat Amerika sama sekali tidak mempersetujui rancangan kerajaan tersebut. Namun, pada 20 Mac 1900 Hay telah mengisytiharkan bahawa Dasar Pintu Terbuka telah diterima oleh kuasa-kuasa kolonial di China. Dengan itu, Amerika mula memperluaskan aktiviti ekonominya di benua Asia amnya.

Pada tahun 1904, telah meletus perang Russia-Jepun, antara Jepun and Russia ekoran perebutan terhadap Korea. Jepun menuntut bahawa Korea telah diserahkan oleh China melalui perjanjian damai Perang Sino-Jepun pada tahun 1895. Selepas tamatnya Perang Boxer di China pada tahun 1900, Russia telah mengukuhkan kedudukannya di wilayah Manchuria. Sementara itu, Russia mula meninjau potensi Korea sebagai rancangan imperialisme yang seterusnya. Jepun telah memberi amaran kepada Russia untuk menghormati wibawa pemerintahanya di Korea, tetapi tidak dihiraukan oleh Russia. Maka pada bulan Februari 1904, Jepun telah melancarkan perang terhadap Russia. Angkatan Laut Russia telah mengalami kekalahan teruk di Laut Pasifik. Kerajaan Jepun telah meminta jas baik kerajaan Amerika untuk merundingkan perdamaian dengan Russia pada tahun 1905. Maka pada musin panas, Presiden Roosevelt telah menganjurkan satu perundingan damai di Portsmourtm, New Hampshire. Perundingan pertama berlaku di atas kapal layar rasmi presiden, Mayflower. Jepun menuntut Pulau Sakhalin yang terletak di luar pantai Siberia dan wang pampasan daripada Russia. Namun Russia menolak, tetapi dengan nasihat Roosevelt pihak Russia bersedia menyerahkan haknya di Manchuria dan Korea kepada Jepun. Dengan itu, perjanjian Treaty of Portsmouth ditandatangani untuk menamatkan persengketaan imperialisme antara Jepun dan Russia.

Dalam awal tahun 1900an, Amerika telah menjadi kuasa maritim yang kuat hingga mula menguasai perairan Laut Pasifik dan Laut Atlantik. Namun, kawalan mereka ke atas kedua-dua perairan laut tersebut terhalang kerana ketiada laluan perhubungan yang pendek. Justeru itu, Amerika mula menaruh minat untuk mengambil-alih projek penggalian terusan di Panama. Ketika itu, projek tersebut diusahakan oleh sebuah syarikat Perancis, New Panama Canal Company. Pada tahun 1899 kerajaan Perancis telah menutup projek tersebut. Syarikat yang dipimpin oleh jurutera Perancis, Phillipe Bunau-Varilla memohon kepada kerajaan Russia dan kemudiannya Britain untuk meneruskan pembiayaan projek terusan tersebut tetapi tidak diterima. Akhirnya tawaran tersebut dikemukakan kepada kerajaan Amerika. Kongres telah meluluskan projek tersebut atas cita-cita imperialisme presiden baru ketika itu, Theodore Roosevelt (1901-09). Namun timbul masalah bantahan daripada kerajaan Columbia yang menuntut haknya ke atas segenting Panama. Pada bulan Mac 1903, perjanjian Hay-Herran Treaty ditandatangani dengan Columbia Panama. Amerika bersetuju untuk membayar $10 juta pampasan, berserta bayaran sewa tahunan sejumlah 250 ribu kepada Columbia. Walau bagaimanapun, berlaku perubahan kerajaan di Columbia tidak lama selepas itu menyebabkan perjanjian tersebut dianggap tidak disahkan oleh kerajaan baru Columbia. Pada 10 Oktober, Buna-Varilla telah menemui Roosevelt di White House, Washington D.C. membawa khabar bahawa kemungkinan akan berlaku gerakan pemberontakan penduduk tempatan di Panama dalam masa yang terdekat. Pada 30 Oktober, kapal perang Nashville telah dihantar untuk membuat kawalan di Panama. Tiga hari kemudian kapal Nashville telah sampai di bandar pelabuhan Colon. Seperti yang dijangkakan, pemberontakan terhadap kerajaan Columbia telah meletus pada keesokan harinya. Pada 4 November, 10 buah kapal perang Amerika tiba, dan Panama memperolehi kemerdekaannya daripada Columbia. Dua hari kemudian, Amerika telah merangkakan bentuk kerajaan Republik Panama dengan melantik Bunau-Varilla menjadi konsul Amerika yang pertama di Panana. Pada 18 November, perjanjian Hay-Bunau-Varilla Treaty ditandatangani. Amerika bersetuju membaya pampasan $10 juta serta sewa $250 ribu setahun selepas 9 tahun. Perjanjian tersebut juga menjaminkan pengekalan kemerdekaan Republik Panama, [tetapi sedikit syarat campurtangan Amerika].
Selepas tempoh 10 tahun yang berikutnya, Terusan Panama telah siap. Pada 15 Ogos 1914, terusan ini mula dibuka. Pada tahun 1921, kerajaan Amerika telah membayar $25 juta kepada Columbia sebagai gantirugi ke atas Panama. Dengan wujudnya terusan Panama ini telah mempertingkatkan lagi kuasa maritim Amerika di dunia. Pada tahun 1978, kongres Amerika telah meluluskan satu perjanjian baru dengan Panama untuk menyerah terusan tersebut pada 31 Disember 1999. Kerajaan Panama berjanji mengekalkan status nuetraliti terusan tersebut.

Selain mengguna keperkasaan kuasa maritim untuk memperluaskan imperialismenya, Amerika juga mengguna kuasa diplomasi dolarnya untuk mempengaruhi negara-negara di seberang laut pada masa-masa seterusnya, misalnya di benua Amerika Latin. Misalnya pada tahun 1905, bank-bank di Amerika telah mengambil-alih hutang kerajaan Republik Dominican. Pada tahun 1911, kerajaan Nicaragua mengalami masalah kewangan akibat perang revolusinya tetapi dapat diselamatkan oleh arahan presiden Amerika ketika itu, William Howard dengan mengarah bank-bank di Amerika untuk mengeluarkan pinjaman kepada Nicaragua. Polisi diplomatik dolar juga telah diamalkan ke atas kerajaan Haiti pada tahun 1916. Pada hakikatnya, polisi diplomatik dolar ini bertujuan untuk menghindar penglibatan atau kemasukan kuasa-kuasa imperialisme Eropah di perairan Pasifik dan Atlantik.

Pada tahun 1910, Kerajaan Mexico menghadapi pemberontakan rakyat terhadap pemerintaha diktator Porfirio Diaz yang mula memerintah sejak tahun 1877. Sehingga tahun 1913 Amerika telah melabur hampir $1 billion dalam industri minyak, lombong, jalan keretapi dan perladangan. Pada tahun berikutnya, Francisco Madero telah mengambil-alih tampuk pemerintahan Mexico. Tidak lama kemudian, Victoriano Huerta telah merampas kuasa dengan membunuh Madero. Presiden Amerika ketika itu, Woodrow Wilson (1913-21) mengambil tindakan 'lihat dan tunggu' sebelum untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan Mexico dibawah pemerintahan Huerta. Pada awal tahun 1914, telah meletus satu pemberontakan rakyat Mexico terhadap pemerintahan Huerta. Pada bulan April 1914, sekumpulan kelasi angkatan maritim Amerika telah ditahan dekat Tampico, Mexico. Sungguhpun mereka telah dibebas dengan segera kemudian, namun Huerta enggan memberi maaf kepada Amerika atas penangkapan kelasi-kelasi tersebut. Sebaliknya dalam diam-diam Mexico memohon bantuan ketenteraan daripada Jerman. Atas arahan Wilson, ketika angkatan maritim Amerika sedang menjalankan sekatan di perairan luar pantai pelabuhan Veracruz, mereka telah bertembung dengan kapal Jerman yang membawa bekalan senjata kepada Mexico. Apabila kerajaan Jerman memprotest tindakan sekatan tersebut, Wilson telah mengarah angkatan maritim Amerika untuk menawan pelabuhan Veracruz agar bekalan senjata Jerman tidak dapat sampai ke tangan orang Mexico. Lebih kurang 126 orang Mexico di Veracruz telah terkorban akibat tindakan Amerika tersebut. Beberapa minggu kemudian, belum sempat satu bentuk konflik secara terbuka meletus antara Mexico dan Amerika, satu konferen yang dianjurkan oleh Argentina, Brazil dan Chile diadakan di Niagara Fall, Ontario (Canada) untuk mencari penyelesaian kepada masalah di Mexico. Akhirnya, sebagai kesan langsung daripada konferen tersebut, Huerta telah meletak jawatan pada bulan Julai 1914. Seterusnya Venustiano Carranza dilantik menjadi president baru di Mexico. Carranza memberi jaminan bahawa dia tidak akan menganggu, sebaliknya memberi perlindungan kepada segala aktiviti, harta orang asing di negaranya.

Walau bagaimanapun, dua bekas rakan perjuangan Carranza iaitu; Emiliano Zapata dan Francisco Villa semasa menjatuhkan pemerintahan Huerta dahulu telah bangkit menentang pemerintahan beliau. Mereka menuntut agar Carranza mengadakan pembaharuan terhadap sistem pemilikan tanah untuk membela kepentingan kaum petani di Mexico. Mereka mendakwa Amerika sebagai bertanggungjawab dalam perlantikan Carranza menjadi presiden Mexico, khususnya Villa juga bercita-cita menjadi presiden Mexico. Justeru itu, Villa telah mengambil tindakan untuk menyerang dan membunuh warganegara Amerika di Mexico. Pada bulan Januari 1916, kira-kira 15 orang jurutera perlombongan Amerika di utara Mexico telah dibunuh semasa perjalanan dalam keretapi. Dua bulan kemudian, kumpulan pemberontak Villa telah menyerang dan membunuh orang Amerika di bandar Columbus, New Mexico. Oleh itu, Wilson telah menghantar 5 ribu orang tentera Amerika dibawah pimpinan Jeneral John J. Pershing untuk membenteras keganasan gerakan gerila Villa di New Mexico. Namun pencerobohan Amerika ke New Mexico telah membangkitkan kemarahan rakyat dan kerajaan Mexico hingga membawa kepada peperangan yang lebih besar berlaku pada bulan Jun 1916. Pada awal tahun beriktunya, Amerika terpaksa memanggil balik angkatan bersenjatannya di Mexico untuk menumpu perhatian terhadap Perang Dunia Pertama. Mengapakah Amerika terlibat dalam peperangan tersebut? Sebab-sebab yang membawa kepada meletusnya Perang Dunia Pertama adalah kompleks untuk dirumuskan, khususnya melibatkan Amerika Syarikat.

Perang Dunia Pertama berlaku selama empat tahun, sejak tahun 1914 hingga 1918, dan melibatkan lebih 30 buah negara daripada enam benua. Perang ini telah mengorbankan lebih 15 juta nyawa, dan lebih kurang 80 peratus daripada jumlah tersebut merupakan orang awam yang mati akibat penyakit, kebuluran, dan terdedah kepada serangan. Kos perekonomian melambung tinggi berjumlah lebih $350 billion. Pendek kata, perang ini telah meninggalkan suatu kenangan tentang kebencian, nasionalisme yang ekstrem, dan kemelesetan ekonomi sedunia.

Beberapa dekad sebelum meletusnya perang, negara-negara di Eropah semakin menunjukkan sikap kesangsian dan bersaing antara satu sama lain. Antara sebab-sebab yang kompleks membawa kepada meletusnya Perang Dunia Pertama adalah; kebangkitan nasionalisme, pengembangan imperialisme, penubuhan sistem pakatan militari, dan peningkatan fahaman militarisme.

Semua kumpulan etnik yang menggunakan satu bahasa pertuturan yang sama mula membentuk satu pasukan dalam gerakan nasionalisme. Misalnya, negara Poland yang telah dipecah-pecahkan antara Jerman, Austria, Hungary, dan Russia kini ingin menubuhkan satu negaranya sendiri. Masyarakat yang menutur bahasa Slavic [asal dari Czeckhoslovakia] di tengah dan selatan benua Eropah juga inginkan kemerdekaan daripada penguasaan orang asing. Perancis masih menuntut daripada Jerman haknya ke atas masyarakat yang memiliki bahasa pertuturan Perancis di wilayah Alsace dan Lorraine, Jerman. Dengan kata lain, bahawa semangat nasionalisme yang wujud kini telah mengatasi perasaan patriotik untuk satu bangsa negara sendiri. Perasaan keinginan untuk memperolehi kebebasan dan nikmat membuat keputusan sendiri adalah sangat kuat sehingga ramai yang sanggup mengambil risiko perang demi mencapai matlamat mereka.

Sementara kebanyakan negara sedang menyemarakan semangat nasionalisme, kuasa-kuasa utama di dunia pula bersaing hebat mewujudkan koloni-koloni untuk digabungkan dengan empayar masing-masing. Great Britain dan Jerman sedang menagih-agihkan benua Afrika dan Timur Tengah, dan juga mencari pasaran di seluruh dunia. Perancis dan Jerman bersengketa terhadap Morocco. Sungguhpun empayar Perancis merupakan yang kedua besar selepas Britain, tetapi Perancis merasa sangsi terhadap peningkatan kuasa Jerman yang pesat, yakni merupakan musuh lamanya. Manakala, Russia yang suatu ketiga tidak beberapa lama sebelum ini, iaitu pada tahun 1905 telah ditewaskan kepada Jepun kini mula mengalih perhatiannya daripada benua Asia ke benua Eropah untuk mengekalkan kuasa imperialismenya. Russia menganggap dirinya sebagai pemimpin di rantau penduduk berbahasa Slavic. Antaranya ialah orang Serb. Pada masa ini, Serbia adalah sebuah negara yang merdeka, tetapi berjuta-juta orang Serb yang lain masih dibawah pemerintahan Austria-Hungary. Akibatnya, Russia dan Austria-Hungary mula bersengketa ke atas Balkans.

Semua bentuk perasaan sengketa, permusuhan, kebencian, cemburu dan tamak yang wujud telah mendorong negara-negara Eropah untuk mengadakan perjanjian perikatan untuk saling bantu-membantu antara sama sama lain pada tahun 1914. Dua perikatan telah terbentuk ketika itu, iaitu pertama, Triple Entente yang kemudian lebih dikenali sebagai Allies (Bersekutu) terdiri daripada Perancis, Britain and Russia; kedua, Triple Alliance yang lebih dikenali kemudian sebagai Central Powers terdiri daripada Jerman, Austria-Hungary, Italy dan Turkey [empayar Ottoman].

Tambahan daripada pembentukan perikatan tersebut, kuasa-kuasa besar di Eropah juga berusaha untuk memperbesarkan dan memperlengkapkan angkatan militari masing-masing. Persaingan dalam arena perdagangan antarabangsa telah mendorong peningkatan pembangunan bidang militari. Masing-masing negara di Eropah, termasuk Amerika dan Jepun giat memperkukuhkan angkatan laut untuk menjamin keselamatan laluan pelayaran kapal-kapal dagang mereka. Britain dan Jerman telah memulakan usaha pembinaan kapal perang yang lebih besar. Tidak lama kemudian, Amerika, Austria-Hungary dan Jepun juga menambahkan lebih banyak lagi kapal-kapal perang masing-masing.

Akhirnya, persengketaan antara perikatan-perikatan kuasa dunia sudah mencapai tahap yang kritikal berikutan perselisihan faham antara kedua-dua perikatan berhubungan dengan peristiwa pembunuhan Archduke Franz Ferdinand dan Sophia [isterinya], yakni anak saudara dan pewaris takhta kepada Maharaja Austria semasa lawatan mereka ke bandar Sarajevo, Bosnia [kini Yugoslavia, wilayah Austria-Hungary] pada 28 Jun 1914. Oleh yang dengan, kerajaan Austria-Hungary mula melancarkan perang terhadap kerajaan Serbia. Dengan tindakan Austria-Hungary tersebut, maka serta-mertanya sistem perikatan yang telah ditubuhkan itu juga berkuatkuasa. Pada 29 Julai, Russia mengarah seluruh kekuatan tenteranya untuk membantu Serbia. Tiga hari kemudian, Jerman mengisytiharkan perang terhadap Russia. Pada 3 Ogos, Jerman mengisytiharkan perang terhadap Perancis. Pada hari berikutnya, Britain mengisytiharkan perang terhadap Jerman.

Perang Dunia Pertama telah meletus, tetapi Amerika berusaha mengekalkan pendirian berkecualinya terhadap masalah dan kepentingan negara-negara di Eropah. Selepas tiga tahun perang berlangsung, akhirnya sikap permusuhan yang wujud telah membawa kepada penglibatan aktif Amerika Syarikat dalam perang tersebut. Pada ketika itu [1916], Woodrow Wilson telah memenangi pilihanraya presiden bagi sesi kedua dengan slogan kempen berbunyi He Kept Us Out of War. Timbul persoalan di sini, apakah faktor yang menyebabkan Amerika menukar pendirian untuk terlibat dalam perang tersebut?

Pada 3 Ogos 1914, Jerman telah menakluk Belgium, sebuah negara berkecuali ketika perang mula meletus. Walau bagaimanapun, kedudukan Belgium yang terletak di laluan angkatan perang Jerman menuju ke Perancis telah mendesak kuasa Jerman untuk menakluk Belgium. Memandangkan pencerobohan Jerman secara tidak sah ke atas Belgium telah menimbulkan perasaan marah di kalangan rakyat Amerika terhadap Jerman dan simpati terhadap Belgium. Namun kerajaan Amerika sekadar bersikap 'lihat dan tunggu'. Perikatan Bersekutu yang bersimpati berusaha memberi bantuan kepada Belgium untuk menghalang pencerobohan Jerman. Segala bentuk senjata, termasuk racun dan bahan kimia telah digunakan untuk mencapai kemenangan dalam perang tersebut.. Namun hingga tahun 1917, belum ada tanda-tanda kemenangan atau kekalahan di kedua-dua pihak.

Hinggalah Jerman mula menolak status berkecuali negara-negara yang tidak terlibat, terutamanya Amerika Syarikat. Pada 1 Mei 1915 Jerman mula melancarkan serangan ke atas sebarang jenis kapal yang berlayar di perairan benua Eropah. Empat orang Amerika telah terbunuh semasa serangan awal tersebut. Pada 7 Mei, Jerman telah menenggelamkan kapal perdagangan, Lusitania [milik British] di luar pantai selatan Ireland. Kejadian ini telah mengorban seramai 1,198 nyawa, termasuk 128 orang warganegara Amerika. Oleh yang demikian, Amerika bangkit memprotest keras tindakan tidak sah oleh Jerman. Pada bulan Mac, 1916 sekali lagi Jerman melanggar peraturan dengan menembak kapal stim Sussex, sebuah kapal penumpang [awam] orang Perancis yang tidak bersenjata. Amerika telah memberi amaran kepada Jerman untuk menukar taktik perangnya, sebaliknya Jerman menyarankan agar Amerika sepatutnya menghalang pergerakan Britain terlebih dahulu sebelum menghalangnya.

Dengan desakan daripada golongan Progresif dalam parti Republikan yang diketuai oleh Theodore Roosevelt, parti pemerintah Demokrat pimpinan Presiden Wilson telah meluluskan satu program persiapan menghadapi perang. Program ini meliputi penambahan saiz angkatan tentera regular, menubuhkan kem-kem latihan pegawai, dan pengembangan angkatan maritim. Satu Majlis Pertahanan Negara telah ditubuhkan untuk bertanggungjawab mengatur rancangan penyaluran sumber-sumber negara semasa perang. Juga, satu Badan Perkapalan Amerika Syarikat telah ditubuhkan untuk membina dan membeli kapal-kapal perdagangan. Pada bulan November 1916, sekali lagi Roosevelt dicalonkan oleh golongan Progresif untuk bertanding dalam pilihanraya presiden. Sebaliknya, Roosevelt menyusulkan sokonga kepada calon Repulikan, Charles Evan Hughes [bekas ketua hakim Mahkamah Tertingi]. Dalam kempennya, pihak Progresif terus menekan presiden Wilson sebagai pemimpin hipokrit. Setelah kemenangannya menjadi presiden untuk sesi kedua, Wilson telah menyahut cabaran golongan Progresif untuk bertindak berani terhadap Perang Dunia Pertama yang sedang berlaku. Pada 22 Januari 1917, Wilson telah mengumumkan rayuannya kepada dunia untuk mewujudkan 'a peace without victory…a peace among equals', satu persetujuan berdamai tanpa kemenangan mana-mana pihak yang bertelagah. Sembilan hari kemudian, Jerman telah memberi respond yang mengecewakan Amerika. Pada 31 Januari, Kaiser telah mengumumkan dasar aggresif Jerman untuk menenggelamkan semua kapal-kapal di yang berada di perairan sekitar Britain, Perancis dan Italy. Tindakan Jerman ini telah mengejutkan Amerika. Malahan Jerman mula membuat pakatan dengan Mexico untuk mengembalikan semula bekas-bekas wilayahnya; Texas, Arizona, dan New Mexico daripada Amerika. Seterusnya Jerman telah menenggelamkan empat buah kapal perdagangan Amerika yang mengorbankan nyawa 36 orang.

Dalam pada itu, perdagangan Amerika dengan negara-negara perikatan Bersekutu telah menunjukkan keuntungan yang tinggi. Misalnya, dari $850 juta pada tahun 1914 meningkat kepada $3.2 billion pada tahun 1916. Di samping itu, bank-bank di Amerika telah memberi pinjaman sebanyak $2 billion, terutamanya kepada negara-negara perikatan Bersekutu. Menyedari tentang prospeks keuntungan perdagangan tersebut, Amerika mula memikirkan untuk terlibat secara langsung dalam Perang Dunia Pertama.

Pada 2 April 1917, Presiden Wilson telah mengumumkan pendirian tegas Amerika untuk menentang tindakan-tindakan kejam Jerman yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa manusia yang tidak ada kaitan dengan peperangan tersebut. Dalam pengumumannya, antara lain menyebut; Property can be paid; the live of peaceful and innocent people cannot be…the United States had no choice but to enter the war that had been thrust upon it. Dengan itu, kongres telah mengisytiharkan perang pada 6 April selepas satu pengundian di Senat dan Dewan Rakyat yang menunjukkan keputusan majoriti menyokong penglibatan Amerika dalam perang tersebut.

Amerika Syarikat yang ketika itu memeliki hanya seramai 200 ribu orang askar, dan 55 buah kapalterbang dengan 130 orang juruterbang. Oleh itu, kongres telah meluluskan satu akta, Selective Service Act yang mensyaratkan semua kaum lelaki yang berumur antara 21 tahun dan 30 tahun untuk berkhidmat dalam angkatan bersenjata Amerika. Menjelang 5 Jun, hampir 10 juta orang lelaki telah mendaftar. Dua lagi sesi pendaftaran yang dilakukan pada tahun 1918 telah meningkat jumlahnya kepada 24 juta orang. Cuma 4.2 juta orang saja yang dipilih. Daripada jumlah tersebut, hanya 2 juta orang sahaja yang benar-benar telah sampai ke Eropah. Yang selebihnya, merupakan golongan yang sama ada masih menjalani latihan di Amerika ataupun telah mendiri rumahtangga.

Dengan penyertaan Amerika, langkah sekatan Britain terhadap Jerman semakin kukuh. Amerika telah memperkenalkan taktik convoy system untuk menghadapi serangan submarin-submarin U-boat milik Jerman. Amerika telah menyediakan sebanyak 100 buah kapal pemburu submarin dan 500 buah kapalterbang dalam kempen anti-U-boat Jerman tersebut. Kempen tersebut telah berjaya mengurangkan kemusnahan separuh daripada jumlah kapal-kapal mangsa U-boat. Sementara itu, angkatan darat Amerika adalah dipimpin oleh Jeneral John J. Pershing. Pada mulanya, askar-askar Amerika yang dikenali dengan nama jolokan doughboys ini hanya sekadar menjadi askar pengganti (simpanan) kepada askar Bersekutu. Pada bulan April 1918, Pershing telah berjaya menyakinkan pihak Bersekutu untuk membenarkan angkatan bersenjata Amerika menentukan rancangan-rancangan peperangannya sendiri, yakni Amerika harus berperang dengnan angkatannya sendiri tanpa arahan Marshal Ferdinand Foch [orang Perancis], iaitu komander tertinggi angkatan Bersuku di Eropah. Dengan pengasingan tersebut, Amerika telah berjaya memainkan peranan yang besar dalam menumpaskan beberapa kubu pertahanan Jerman di Eropah. Kebetulan ketika itu, pihak Russia telah menarik diri daripada menyertai perang, dan mengadakan perjanjian damai Treaty of Brest-Litovsk dengan Jerman pada 3 Mac 1918. Namun peristiwan tersebut tidak menggugat pendirian Amerika terhadap Jerman, sebaliknya terus menekan hingga mencetuskan satu pemberontakan dalaman di pengkalan angkatan maritim Jerman pada 3 November. Ini telah memaksa Kaiser Wilhelm meninggalkan takhtanya dan melarikan diri ke Netherland. Dua hari kemudian, pihak Jerman telah menandatangani perjanjian genjatan senjata dengan pihak Bersekutu. Manakala Amerika Syarikat telah menandatangani satu perjanjian berasingan dengan Jerman pada tahun 1921, yakni selepas ketiadaan presiden Wilson.

Antara kesan yang dialami oleh Amerika akibat Perang Dunia Pertama adalah seperti; kos perbelanjaan langsung terhadap Perang Dunia Pertama yang ditanggung oleh Amerika Syarikat ialah sebanyak $33 billion. Hampir satu pertiga daripada jumlah tersebut telah diperolehi melalui kutipan hasil cukai. Amerika juga kehilangan 48 ribu orang askar terkorban dalam perang tersebut, dan sebanyak 56 ribu yang meninggal akibat penyakit. Sekali lagi meletus masalah perkauman di kalangan masyarakat Amerika, terutamanya penindasan terhadap rakyat yang memiliki darah keturunan Jerman dan sekutunya. Misalnya, memecat mereka daripada pekerjaan, memboikot ataupun menghapuskan unsur-unsur yang dianggap berasal daripada Jerman [contohnya, 'Hamburger' ditukar menjadi 'Liberty steak'], buku-buku penulisan orang Jerman telah dikeluarkan daripada perpustakaan, dan lagu atau muzik berentak Mozart dan Beethoven telah diharamkan].


KULIAH 01| 02 | 03 | 04 | 05 | 06 | 07 | 08 | 09 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14