KULIAH 6
PERANG SAUDARA : ISU PERHAMBAAN

Selepas Perang Kemerdekaan, Amerika Syarikat telah diperintah oleh Articles of Confederation. Ini telah membentuk sebuah kerajaan pusat yang lemah dan mewujudkan kerajaan-kerajaan negeri yang kuat. Terbukti Articles of Confederation tersebut telah gagal mencapai matlamatnya yang sebenar. Maka satu perlembagaan baru telah bentuk pada tahun 1787, namun sebaliknya perlembagaan tersebut pula telah melahirkan sebuah kerajaan pusat yang kuat, termasuk memiliki kuasa mengatur urusan perdagangan antara negeri di samping urusan hal ehwal hubungan antarabangsa.

Perang Saudara merupakan kesan daripada satu tekanan konflik yang bercampur baur, antara prinsip dan prejudis yang tidak terbilang dan digerakkan oleh perbezaan bahagian geografi dan perasaan kemegahan serta dibayangi oleh peristiwa-peristiwa politik. Masalah utama yang menjadi punca kepada meletus perang ini adalah berkaitan dengan institusi perhambaan. Revolusi Amerika dahulunya telah diperjuangkan untuk mengesahkan idea persamaan taraf sesama manusia atau all men were created equal, namun perhambaan masih diamalkan secara halal atau sah di semua 13 koloni sepanjang tempoh revolusi itu berlangsung.

Wujud pelbagai perbezaan polisi antara negeri-negeri berhubung dengan masalah perhambaan. Terdapat berbagai kumpulan agama seperti Quaker yang memainkan peranan penting dalam politik dalam beberapa kawasan di mana wujudnya penentangan yang kuat terhadap amalan perhambaan. Pada tahun 1774, perhambaan telah dihapuskan di Rhode Island, tidak lama kemudian diikuti oleh Vermont (1777), Pennsylvania (1780), Massachusetts (1781), New Hampshire (1783), Connecticut (1784), New York (1799) and New Jersey (1804). Negeri-negeri baru seperti Maine, Michigan, Wisconsin, Ohio, Indiana, Kansas, Oregon, California and Illinois juga tidak membenarkan amalan perhambaan. Pengimportan hamba abdi dari negeri-negeri seberang laut telah diharamkan pada tahun 1808. Walau bagaimanapun, perdagangan hamba abdi masih dijalankan dalam lingkungan negeri-negeri di bahagian selatan Amerika Syarikat ketika itu.

Sungguhpun perhambaan telahpun dihapuskan di negeri-negeri utara Amerika Syarikat, namun ia masih dipertahankan dalam perlembagaan baru Amerika Syarikat, khususnya peruntukkan yang dikhaskan kepada negeri-negeri selatan. Malah pada konvensyen persekutuan pada tahun 1787 telah pun berlaku perdebatan mengenai status perhambaan ini. Perwakilan-perwakilan daripada negeri-negeri utara mendakwa bahawa jika negeri-negeri selatan menganggap hamba abdi sebagai harta milik semata-mata, maka populasi hamba mereka tidak boleh diambilkira untuk penentuan perwakilan dalam kongres. Negeri-negeri selatan yang memang akur tentang hakikat hamba abdi adalah juga manusia telah terpaksa menerima penetapan Persepakatan 3/5 atau three-fifths compromise, yakni 5 hamba adalah dikira sebagai mewakili 3 lelaki merdeka yang layak untuk mengundi perwakilan ke kongres.

Pada penghujung konvensyen itu, sungguhpun disebut secara khusus mengenai institusi perhambaan adalah dilindungi oleh perlembagaa, namun bagi Thomas Jefferson dan ramai lagi pemimpin lain melihat keadaan institusi perhambaan itu sedang menuju zaman pengakhirannya memandangkan peningkatan kos pemilikan hamba abdi di kalangan kaum petani di negeri-negeri selatan ketika itu. Hakikatnya, para perwakilan dari negeri-negeri selatan dan utara di dalam kongres sama-sama mengundi untuk penghapusan polisi pengimportan hamba abdi dari seberang laut pada tahun 1808, tetapi perdagangan perhambaan di dalam negeri terus meningkat dan amat menguntungkan. Pengenalan mesin pengasing kapas (cotton gin) telah mendorong kepada pengusahaan perladangan kapas secara besar-besaran dengan menggunakan tenaga buruh yang ramai daripada institusi perhambaan. Hamba menjadi elemen yang kian penting kepada ekonomi negeri-negeri selatan, malah menjadi isu untuk mengukuhkan kewangan dan kuasa, dan bukannya isu teoritikal atau ideologikal semata-mata. Ia menjadi institusi yang harus dilindungi oleh negeri-negeri selatan. Meskipun ada keperluan untuk melindungi institusi ini yang meningkat, kemampuan negeri-negeri selatan ketika itu adalah makin berkekurangan dan lemah. Para pemimpin mereka semakin lebih sensitif terhadap situasi ini. Pada tahun 1800, separuh daripada populasi Amerika Syarikat telah menetap di negeri-negeri selatan, tetapi menjelang tahun 1850 hanya tinggal 1/3 populasi yang masih menetap di negeri-negeri selatan itu. Malah bilangan tersebut pun kian mengecil.

Sementara negeri-negeri utara menerima kemasukan imigran dari Eropah kerana cita-cita mencari kebebasan hidup, negeri-negeri selatan pula menghadapi masalah populasi yang mulai berkekurangan. Sungguhpun satu persatu negeri-negeri hamba di selatan digabung dalam persekutuan untuk mengimbangi bilangan negeri-negeri yang bebas daripada perhambaan di utara, para perwakilan negeri-negeri selatan pula dalam dewan perundangan merasa bimbang dengan pertambahan populasi yang mendadak di negeri-negeri utara ketika itu. Oleh itu, penumpuan khusus adalah perlu diberi terhadap persamaan hak di dalam Senat. Kegagalan untuk berbuat demikian akan mengakibatkan negeri-negeri selatan tidak memiliki suara yang efektif lagi di dewan perundangan di masa hadapan. Kemungkinan akan terjadinya situasi sedemikian telah disuarakan oleh senator Mississippi, Jefferson Davis antara lain menyebut;

It is not humanity that influences you…it is that you have a majority in the congress of the United States and convert the Government into an engine of Northern aggrandizement…you want by an unjust system of legislation to promote the industry of the United States at the expense of the people of the South.

Pandangan beliau ini menggambarkan tentang perpecahan yang tidak dapat dielakkan antara negeri-negeri utara dan selatan dalam persekutuan. Oleh kerana kedudukan yang sedemikian, pendak kata, langkah singkat yang perlu diambil adalah bertindak meninggalkan (keluar) persekutuan. Walau bagaimanapun, tindakan secara paksaan bagi menahan sesebuah negeri mengambil tindakan keluar daripada persekutuan adalah tidak sah menurut perlembagaan yang mereka sama-sama mereka tubuhkan pada mula suatu ketika dahulu. Tidak wujud peruntukkan yang dibuat khusus berhubung isu menarik diri daripada persekutuan.

Namun golongan pro-persekutuan mendakwa bahawa peruntukkan pada bahagian mukadimah perlembagaan adalah jelas menyatakan bahawa persekutuan memperolehi kuasanya daripada rakyat keseluruhan, dan mereka (rakyat) sendiri juga yang akan membatalkannya.

Presiden Andrew Jackson sendiri berasal dari salah satu negeri-negeri selatan, telah mengancam akan menghantar pasukan tentera ke Carolina Selatan pada tahun 1832 untuk menguatkuasakan pengutipan tarif persekutuan ke atas negeri tersebut. Jackson mengeluarkan amarannya dengan menyebut, Those who told you that you might peaceably prevent the execution of the laws deceived you. The object is disunion. Disunion by armed force is treason. Justeru itu, Carolina Selatan terpaksa akur dengan kehendak kerajaan persekutun selepas itu.

Pendek kata, pada pertengahan kurun ke-19 konflik kian meningkat di antara kedua-dua pihak negeri-negeri utara dan negeri-negeri selatan berhubungan dengan isu perhambaan. Dalam pada itu, negeri-negeri utara sedang mengalami revolusi industri dan amat memerlukan lebih ramai tenaga manusia untuk bekerja di kilang-kilang mereka. Para industrialis di negeri-negeri utara ini percaya bahawa jika hamba abdi dibebaskan, nescaya mereka akan meninggalkan negeri-negeri selatan untuk menampung keperluan tenaga yang mereka perlukan. Negeri-negeri utara juga mahu tarif dikenakan ke atas pengimport barangan seberang laut untuk melindungi industri-industri merka yang baru itu. Negeri-negeri selatan masih bergantung dengan ekonomi pertanian dan membeli banyak barangan dari seberang laut, justeru itu mereka amat menentang perlaksanaan sebarang tarif import.

Pada tahun 1831, pertubuhan menentang amalan perhambaan yang pertama telah ditubuhkan oleh Arthur Tappan and Lewis Tappan di New York. Pertubuhan ini dikenali sebagai Anti-Slavery Society. Dua tahun kemudian, pertubuhan ini telah menjadi satu organisasi nasional dengan Tappan dipilih menjadi presidennya yang pertama. Antara tokoh-tokoh penting yang menyertai pertubuhan ini ialah William Lloyd Garrison, Theodore Weld, Samuel Eli Cornish, Angelina Grimke, Sarah Grimke Robert Purvis, Wendell Phillips, John Greenleaf Whittier, Frederick Douglass, Lucretia Mott, Lydia Maria Child, dan William Wells Brown. Pertubuhan ini mendapat sokongan kuat daripada kumpulan-kumpulan agama seperti Quakers dan masyarakat kulit hitam yang telah merdeka. Menjelang tahun 1840 pertubuhan ini telah mempunyai seramai 250,000 ahli, menerbitkan lebih daripada 20 jurnal dan ratusan bentuk penulisan yang lain.

Peningkatan gerakan pertubuhan tersebut amat membimbangkan pemilik-pemilik hamba abdi di negeri-negeri selatan. Mereka khuatir terhadap kegiatan para penentang [abolitionists] yang akan lebih menyukarkan untuk menggerakkan sistem perladangan mereka. Pada masa yang sama, mereka tidak juga gigih mencari peluang-peluang yang ada [baru] untuk meluaskan perhambaan ke kawasan-kawasan lain. Oleh yang demikian, mereka amat menyokong penggabungan Texas, yang mereka yakin akan menjadi negeri hamba (state slave). Mereka juga memberi sokongan kepada Perang Mexico (1846-8) dan menggerakkan penggabungan Cuba (1901).

Pada tahun 1850 kongres telah meluluskan Fugitive Slave Law. Undang-undang tersebut, antara lain menetapkan syarat bagi setiap marshal (penguasa undang-undang tertinggi) yang gagal menahan mana-mana hamba abdi yang merlarikan diri boleh dikenakan denda sebanyak $1,000. Sesiapapun yang dicurigai sebagai hamba abdi yang melarikan diri boleh ditahan tanpa waran dan hanya menyerahkan kepada pihak penuntut dengan pengakuan hak miliknya. Seseorang hamba abdi kulit hitam yang dicurgai tidak dibenarkan memohon pengadilan juri, juga tidak boleh memberi keterangan bagi pihak dirinya. Sesiapa yang membantu hamba abdi yang melarikan diri, sama ada menyediakan perlindungan, makanan atau apa saja bentuk pertolongan yang lain adalah dikenakan hukuman 6 bulan penjara dan denda $1,000. Pegawai-pegawai yang berjaya menangkap hamba abdi yang melarikan diri diberi ganjaran atau upah, dan ini menggalak ada di kalangan pegawai untuk menculik warganegara Afrika-Amerika yang merdeka untuk dijual kepada pemilik-pemilik hamba abdi.

Justeru itu, timbul penentangan yang kuat daripada tokoh-tokoh politik yang pro-perhambaan seperti Frederick Douglass, Wendell Phillips, William Lloyd Garrison and John Greenleaf Whittier. Mereka memimpin penentangan terhadap pengenalan Fugitive Slave Law. Malah di kalangan para pemimpin anti-perhambaan yang bersikap sederhana seperti Arthur Tappan kini sanggup mengumumkan untuk tidak mematuhi undang-undang tersebut, dan kesannya mereka membiayai pembinaan jalan keretapi bawah tanah untuk tujuan menyelamatkan hamba abdi yang melarikan diri.

Pada tahun 1854, Stephen A. Douglas memperkenalkan rang undang-undang Kansas-Nebraska bill kepada dewan Senat. Menurut rang undang-undang tersebut, kini kedua-dua wilayah (negeri) ini boleh memasuki (bergabung) ke dalam perikatan (Union) dengan atau tanpa hamba abdi. Menurut pandangan Frederick Douglass, bahawa rang undang-undang tersebut adalah an open invitation to a fierce and bitter strife. Kesan daripada pembentukan undang-undang tersebut telah membuka wilayah tersebut kepada migrasi kumpulan-kumpulan pro dan anti-perhambaan. Negeri-negeri selatan kini boleh memasuki mana-mana kawasan bersama hamba abdi mereka sebagaimana ahli-ahli pertubuhan Anti-Slavery Society juga boleh. Manakala, tokoh-tokoh agama seperti Henry Ward Beecher mengutuk rang undang-undang tersebut di mimbarnya dan membantu mengutip derma untuk membekalkan senjata kepada mereka yang ingin menentang perhambaan di wilayah-wilayah tersebut.

Perwakilan yang pertama bagi Kansas telah dipilih pada bulan Mac 1855. Sungguhpun kurang daripada 2,000 orang yang berkelayakan untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya tersebut, tetapi lebih 6,000 orang telah mengundi. Pemilik-pemilik hamba abdi dari Missouri khususnya, telah menyeberang sempadan untuk memastikan calon-calon yang pro-perhambaan adalah terpilih. Dewan perundangan yang baru ini telah meluluskan undang-undang yang mengenakan hukuman mati kepada sesiapa yang membantu hamba abdi untuk melarikan diri dan hukuman 2 tahun penjara kepada sesiapa menyimpan risalah atau hasil penulisan kaum penentang [penghapus] perhambaan, abolitionist.

Pada tahun 1856 Abraham Lincoln telah menyertai parti Republikan, tetapi tidak berjaya mengatasi Stephen A. Douglas dalam perebutan sebuah kerusi di dalam Senat. Lincoln menentang candangan Douglas untuk membenarkan penduduk di dalam lingkungan Louisiana Purchase, 1803 (Louisiana, Arkansas, Oklahoma, Kansas, Missouri, Nebraska, Iowa, the Dakotas, Montana, and sebahagian Minnesota, Colorado and Wyoming) memiliki hamba abdi. Lincoln berpendirian bahawa wilayah-wilayah tersebut harus dibuka kepada golongan poor people to go and better their condition.

Isu perhambaan telah dibangkitkan semula oleh Abraham Lincoln pada tahun 1858 dalam ucapannya di Quincy, Illinois. Antara lain beliau menyebut;

We have in this nation the element of domestic slavery. The Republican Party think it wrong - we think it is a moral, a social, and a political wrong. We think it is wrong not confining itself merely to the persons of the States where it exists, but that it is a wrong which in its tendency, to say the least, affects the existence of the whole nation. Because we think it wrong, we propose a course of policy that shall deal with it as a wrong. We deal with it as with any other wrong, insofar as we can prevent it growing any larger, and so deal with it that in the run of time there may be some promise of an end to it.

Ucapan Lincoln ini telah memeranjatkan negeri-negeri selatan, terutamanya di kalangan masyarakat kaum kulit putih yang menikmati status sosial yang tinggi dengan memiliki hamba abdi. Walau bagaimanapun, dengan imigrasi masyarakat Eropah yang pesat ke negeri-negeri utara ketika itu menyebabkan negeri-negeri di selatan tidak mempunyai pengaruh ke atas kerajaan federal.

Penentangan terhadap perhambaan semakin menjadi kritikal atau mula ke arah langkah penyelesaian secara ketenteraan. John Brown dan lima anak lelakinya telah berpindah ke wilayah Kansas untuk membantu golongan pasukan anti-perhambaan untuk menguasai wilayah tersebut. Dengan sokongan daripada Gerrit Smith dan lain-lain penentang, Brown berjaya bergerak ke Virginia di mana beliau membina sebuah tempat perlindungan kepada perlarian hamba abdi.

Pada tahun 1859 John Brown telah mengetuai satu pasukan yang terdiri daripada 21 orang lelaki menyerang dengan jayanya gudang senjata kerajaan federal di Harper's Ferry. Brown mengaharap dengan tindakan tersebut dapat membangkitkan semangat kaum hamba abdi untuk menyertai pemberontakan beliau, justeru akan membolehkan beliau membentuk sebuah askar pembebasan. Selepas dua hari kemudian gudang senjata itu telah diserang oleh Robert E. Lee dengan satu angkatan tentera laut federal. Bersama-sama dengan enam lelaki lain, Brown berusaha untuk bertahan menghadapi serang tersebut sehingga beliau mendapat kecederaan yang parah dan dua orang daripada anaknya telah terkorban. Ekoran daripada tindakan tersebut, beliau telah dihukum bunuh pada 2 Disember, 1859.

Pada tahun 1860an, isu perhambaan telah timbul semula untuk mewajarkan pemisahan sebagai jalan penyelesaian kepada pertentangan atau perbebezaan antara negeri-negeri utara dan selatan. Golongan anti-perhambaan atau penghapus perhambaan (abolitionists) di bawah pimpinan William Llyod Garrison telah memberi sumpah mereka dihadapan khalayak ramai di Massachusetts untuk emnentang habis-habisan amalan perhambaan ini. Mereka percaya bahawa perhambaan adalah salah di sisi hukum alam dan manusia dan kerajaan harus sbertanggungjawab mengambil tindakan wajar untuk menghapuskan amalan ini. Sementara itu, terdapat juga sekumpulan orang di negeri-negeri utara itu yang mempunyai pandangan yang sebaliknya, menuntut bahawa tanpa perhambaan aktiviti perniagaan akan lumpuh. Tanpa perhambaan, tidak akan terus wujud industri kapas. Tanpa kapas, industri tekstil akan musnah di kalangan negeri-negeri utara.

Tuan-tuan hamba di negeri-negeri selatan merasa amat marah apabila parti Republikan mencalonkan Abraham Lincoln untuk bertanding dalam pilihanraya presiden pada tahun 1860. Lantaran itu, mereka cuba mempengaruh parti Demokratik untuk mempertahankan kepentingan tetapi apabila dalam pertemuan di Charleston pada bulan April tahun 1860, parti tersebut telah memilih Stephen A. Douglas sebagai calon mereka. Kekecewaan yang diamali oleh kalangan negeri-negeri selatan telah membawa kepada satu konvensyen di Baltimore pada bulan Jun. Mereka telah memilih John Beckenridge dari Kentucky sebagai calon menentang Lincoln dan Douglas dalam pilihanraya tersebut. Keadaan politik ketika ini makin rumit apabila sebuah parti baru muncul, iaitu Constitutional Union Party dan menamakan John Bell dari Tennessee sebagai calon presiden mereka.

Cuma 4 daripada negeri-negeri utara yang membenarkan kaum kulit hitam mengundi tetapi keseluruhannya tidak membenarkan kaum ini berkhidmat juri. Kaum kulit putih mula merasa bimbang tentang apakah yang akan terjadi (keadaan) jika semua kaum kulit hitam diberi hak kebebasan. Masalah ini menjadi isu kritikal menjelang pilihanraya presiden pada tahun 1860. Parti Demokratik telah berpecah belah. Stephen A. Douglas telah menjadi calon parti di cawangan negeri-negeri utara. Manakala cawangan negeri-negeri selatan telah mempertaruhkan senator John Breckinridge dari Kentucky. Undi selebihnya merupakan penyokong parti Whig yang mencalonkan John Bell dari Tennessee. Dalam situasi yang mengelirukan ini, parti Republikan yang baru telah telah menaruh kepercayaan mereka kepada ketokohan dan sikap kesederhaan Abraham Lincoln. Beliau dianggap sebagai calon alternative kedua. Beliau mempunyai pandangan yang menyakinkan, bahawa perlembagaan menghalang kerajaan federal mengambil tindakan ke atas perhambaan di mana ia telahpun wujud, tetapi kerajaan mempunyai kuasa untuk menghalang usaha perluasan perhambaan seterusnya. Carolina Selatan dengan terang-terangan telah mengumunkan hasratnya untuk keluar dari Persekutuan jika Lincoln dipilih menjadi presiden melalui pilihanraya tersebut.

Lincoln telah memenangi pilihanraya itu dengan memungut 40 peratus undi popular, terutamanya dari negeri-negeri utara tanpa undi dari negeri-negeri selatan. Abraham Lincoln telah memenangi sejumlah 1,866,462 undi (khususnya daripada 18 negeri-negeri bebas) dengan mengalahkan Stephen A. Douglas dengan jumlah 1,375,157 undi (daripada 1 negeri hamba), John Beckenridge dengan jumlah 847,953 undi (daripada 13 negeri-negeri hamba) dan John Bell dengan jumlah 589,581 undi (daripada 3 negeri-negeri hamba.

Oleh itu, Carolina Selatan telah menunaikan janjinya pada 20 Disember 1860 untuk keluar daripada Persekutuan. Seterusnya negeri Mississippi pada 9 Januari 1861, diikuti oleh Florida pada 10 Januari dan kemudiannya Georgia, Louisiana dan Texas. Presiden, James Buchanan merasa dirinya ketiadaan kuasa untuk bertindak ketika itu. Pengkalan-pengkalan tentera Federal di negeri-negeri selatan telah diambil-alih oleh kerajaan negeri. Dalam tempoh 4 bulan antara tarikh pilihanraya dan penabalan Lincoln menjadi Presiden, negeri-negeri selatan berkesempatan menyusun dan mengukuhkan kedudukan mereka tanpa gangguan.

Manakala, dalam ucapan sempena perlantikan beliau, Lincoln telah menyatakan keengganannya untuk mengambil tindakan membawa balik semula negeri-negeri selatan ke dalam persekutuan. Walau bagaimanapun, apabila sebuah kapal milik kerajaan Federal yang membawa muatan bekalan senjata di pengkalan Fort Sumter telah dirampas di pelabuhan Charleston Harbour, kerajaan Federal terpaksa mula mengambil tindakan tegas terhadap pemberontak (negeri-negeri selatan) itu. Pemberontak itu telah memulakan ke arah tentara Federal pada tepat jam 4.30 pagi, 12 April 1861. Lantaran itu, Lincoln segera bertindak mengumum kepada semua negeri untuk membekalkan 75 ribu askar untuk berkhidmat selama 90 hari menentang pengkhianat-pengkhianat persekutuan itu. Virginia, Arkansas dan Tennessee dengan pantas menarik diri daripada persekutuan. Maka Perang Saudara pun meletus dengan sesungguh dan dahsyatnya.

Dalam tempoh 3 bulan selapas pilihanraya tersebut, 7 negeri telah keluar daripada persekutuan Amerika Syarikat, iaitu South Carolina, Mississippi, Florida, Alabama, Georgia, Louisiana and Texas. Perwakilan-perwakilan daripada negeri-negeri tersebut telah bertindak segera menubuhkan organisasi politik baru, iaitu Confederate States of America. Pada 8 Februari Confederate States of America telah menubuhkan satu perlembagaan dan dalam tempoh 10 hari kemudian telah memilih Jefferson Davis menjadi presiden dan Alexander Stephens menjadi timbala presiden. Bandar Montgomery di Alabama telah dijadikan sebagai ibubandar dan mengambil simbol Stars dan Bars untuk bendera negara mereka. Davis telah diberi kuasa untuk mewujudkan 100,000 askar.

Dalam ucapan perlantikan beliau menjadi presiden, Abraham Lincoln mengumumkan pendiriannya untuk mengelak sebarang bentuk konflik berlaku, iaitu antara lain beliau berkata, beliau tidak ada niat to interfere with the institution of slavery in the states where it exists. I believe I have no lawful right to do so, and I have no inclination to do so. Beliau menambah bahawa kerajaan …will not assail you. You can have no conflict without yourselves being the aggressors. Sebaliknya, Presiden Jefferson Davis pula berpandangan bahawa setelah negeri-negeri tersebut keluar daripada persekutuan, maka pengkalan-pengkalan tentera federal yang sedia ada akan menjadi milik negeri-negeri tersebut.

Pada 12 April 1861, Jeneral Pierre T. Beauregard menuntut agar Mejar Robert Anderson mengembalikan Fort Sumter di pelabuhan Charleston. Sebaliknya Anderson membalas bahawa beliau boleh meninggalkan pengkalan tersebut dalam tempoh dua hari setelah bekalan senjatanya dikosongkan. Beauregard telah menolak tawaran tersebut dan mengarah tenteranya melepaskan tembakan. Dalam tempoh 34 jam kemudian, kemusnahan pengkalan itu telah memaksa Anderson untuk menyerah kalah. Apabila mendengar berita kekalahan Anderson itu, Abraham Lincoln telah memanggil satu sesi kongres khas dan mengumumkan langkah membuat sekatan di pelabuhan-pelabuhan di Teluk Mexico. Strategi ini adalah berlandaskan Anaconda Plan yang dibuat oleh Jeneral Winfield Scott, iaitu ketua pemerintah tentera Persekutuan ketika itu. Pelan ini melibatkan pendudukan tentera di perbatasan Mississippi dan menyekat pelabuhan-pelabuhan miliki negeri-negeri bersekutu (Confederate States). Scott percaya jika langkah ini diambil dengan jayanya maka negeri-negeri selatan akan mengajak untuk berunding perdamaian. Walau bagaimanapun, pada permulaan peperangan itu, angkatan laut persekutuan mempunyai bilangan kapal yang kecil dan tidak mungkin dapat mengawal seluruh kawasan pantai negeri-negeri selatan yang panjang 3,000 batu itu.

Pada 15 April, 1861, Abraham Lincoln memanggil semua gabenor negeri-negeri utara untuk menyediakan sejumlah 75,000 askar untuk berkhidmat selama 3 bulan bagi membenteras pemberontakan tersebut. Virginia, Carolina Utara, Arkansas dan Tennessee enggan menerima arahan tersebut, tetapi beralih menyertai bersekutu. Kentucky and Missouri juga enggan menyediakan askar kepada persekutuan, tetapi mengambil keputusan untuk tidak terlibat dalam konflik tersebut.

Di sebalik kombinasi peristiwa-peristiwa politik, kemegahan negeri-negeri selatan dan hajat yang terlalu tinggi adalah menjadi punca penting yang membawa kepada penghapusan perhambaan, iaitu satu keadaan tidak wujud kombinasi tindakan yang sah di sisi undang-undang sebagai langkah berkesan kepada golongan penghapus untuk menyelesaikan masalah perhambaan di Amerika Syarikat.


KULIAH 01| 02 | 03 | 04 | 05 | 06 | 07 | 08 | 09 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14