KULIAH 4
PERANG DAN PERLUASAN AMERIKA SYARIKAT


Lebih kurang 20 tahun lama selepas tamat perang 1812, rakyat Amerik seolah-olah tidak berminat lagi untuk mencari, menambah atau meluaskan wilayah petempatan mereka yang sedia ada, malah sudahpun cukup luas ketika itu. Mereka dikatakan sedang sibuk meneroka, mengurus dan membangunkan tanah mereka yang sedia ada itu. Walau bagaimana pun, pada tahun 1840an pula memperlihatkan suatu perubahan mendadak di kalangan masyarakat Amerika yang kini mula menaruh minat yang mendalam untuk meluaskan kawasan petempatan dan pertanian mereka. Ramai yang berpendapat bahawa tujuan perluasan kawasan itu adalah merupakan langkah atau cara terbaik untuk mengembangkan kekebasan manusia ke kawasan lain.

Pada tahun 1830an kerajaan federal telah memindahkan penduduk peribumi Indian di timur ke tanah-tanah baru di sebelah Mississippi, sementara rakyat kulit putih Amerika Syarikat pula menduduki bekas-bekas tanah mereka untuk tujuan perladangan dan pertanian lain disamping mula meninjau lebih banyak lagi tanah di sebelah barat.

Suratan takdir
Semangat perluasaan ini pula telah disemarakkan oleh satu frasa yang dipegang oleh masyarakat Amerika ketika itu, iaitu yang berbunyi manifest destiny. Perkataan destiny membawa maksud bahawa perluasan Amerika adalah tidak dapat dielakkan atau tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya. Manakala perkataan manifest pula membawa erti bahawa takdir itu adalah nyata atau sungguh benar kewujudannya. Rakyat Amerika percaya bahawa perluasan mereka hingga ke Laut Pasifik dan ke semua bahagian di negeri Mexico adalah tidak dapat dielakkan lagi.

Latar belakang wilayah-wilayah barat-laut
Kini wilayah ini terdiri daripada beberapa buah negeri seperti Ohio, Indiana, Illinois, Michigan, Wisconsin dan Minnesota Timur. Pada tahun 1780an hanya sedikit penduduk kaum kulit putih terdapat di wilayah ini. Menjelang tahun 1860an lebih ramai oprang Amerika telah migrasi ke wilayah ini.

Kumpulan immigran yang pertama pada awal tahun 1830an adalah datang daripada bahagian selatan Amerika, terutamanya golongan petani miskin di Kentucky, Tennessee dan Virginia barat. Mereka menjumpai dan mengusahakan tanah subur di sepanjang lembah Sungai Ohio, Indiana dan Illinois. Sungai Ohio memainkan peranan penting dalam kegiatan ekonomi terutamanya sungai ini menjadi laluan keluar masuk ke Mississippi hingga ke Teluk Mexico. Aktiviti perdagangan di muara Sungai Mississippi menjadi selamat setelah Presiden Jefferson membeli wilayah Louisiana pada tahun 1803 dan juga setelah angkatan tentera menamatkan penentangan kaum peribumi Indian di bahagian barat-daya dalam perang pada tahun 1812. Laluan perdagangan ini kian selamat dan menguntungkan apabila teknologi kapalwap di perkenalkan pada tahun 1810an.

Selepas tahun 1830, satu aliran migrasi telah sampai di wilayah barat-laut daripada negeri-negeri di bahagian timur-laut Amerika, terutamanya daripada bahagian barat New York, New England. Menjelang tahun 1840an kumpulan immigran dari Jerman dan Scandinavia pula tiba dan menyertai kumpulan pertama tadi untuk mengusahakan perladangan kapas dan lain-lain tanaman eksport. Sebelum kedatangan immigran-immigran ini, wilayah barat-laut hanya menyediakan 12% hasil perladangan untuk dipasarkan keluar wilayah pada tahun 1820. Pada tahun 1840, nilai eksport telah meningkat menjadi 27% daripada hasil perladangan. Setelah pembinaan jalan keretapi pada tahun 1860, hasil eksport bertambah hingga mencapai 70%.

Perluasan ke barat-laut
Setelah tamat perang 1812, penerokaan rakyat kulit putih Amerika di bahagian barat-laut atau di selatan pergunungan Appalachian semakin rancak. Dalam era pemerintahan Presiden Andrew Jackson serta dengan bantuan kerajaan-kerajaan negeri, rakyat Amerika terus mendesak kaum peribumi Indian untuk melepaskan tanah-tanah mereka. Kaum petani yang telahpun berada di situ lebih awal pada tahun 1790an lagi sedang menikmati kemakmuran perladangan kapas dengan mengekploitasi tenaga hamba abdi secara meluas. Misalnya, negeri Georgia, Alabama, Mississippi, Tennessee, Louisiana, Arkansas dan Missouri. Kemakmuran ladang kapas negeri-negeri di selatan ini telah mendorong ramai hamba abdi daripada Chesapeake, Maryland dan Virginia berpindah akhirnya mengakibatkan wilayah selatan menjadi pusat perhambaan di Amerik Syarikat.

Dengan perkembangan ekonomi pertanian kaum kulit putih telah memberi kesan ke atas penduduk peribumi Indian di timur Mississippi. Misalnya kaum Iroquois telah ditempatkan di tanah simpanan dekat bandar-bandar Buffalo dan Syracuse, manakala ramai lagi telah berpindah ke Canada. Kaum Shawnee, yang suatu ketika dahulu telah memimpin penentangan peribumi pada tahun 1815 di wilayah barat-laut kini telah berselerak dan juga ramai telah pindah ke Canada. Yang tinggal telah ditempatkan ke Missouri, Texas timur dan terdesak hingga dalam wilayah Mexico dan timur Kansas.

Di selatan Amerika Syarikat, terdapat 60 ribu kaum Cherokee, Choctaw, Chickasaw, Creek dan Seminole telah terdesak kerana tindakan kerajaan federal menjual tanah-tanah mereka kepada kaum kulit putih. Pada tahun 1819, dewan kongres telah meluluskan satu skim untuk melatih kaum peribumi dalam bidang pertanian dan juga missionari Kristen. Pada tahun 1824, Presiden James Monroe telah mencadangkan kepada kongres untuk memindahkan kaum peribumi di bahagian timur Amerika Syarikat ke tanah-tanah baru di bahagian barat Mississippi. Kaum telah peribumi menentang cadangan tersebut. Sementara itu, kerajaan negeri-negeri di selatan menentang campurtangan kerajaan federal dalam isu tanah kaum peribumi. Misalnya, pada tahun 1825 kerajaan Georgia telah meluaskan undang-undangnya ke atas tanah kaum peribumi dan mula memberi tanah-tanah kepada golongan miskin kaum kulit putih secara loteri. Malah gabenor George Troup telah memberi amaran kepada Presiden John Quincy Adams agar tidak masuk campur dalam urusan negeri dalam menangani masalah tanah kaum peribumi Indian. Kaum peribumi mula sedar akan penindasan kerajaan Georgia. Mereka bangkit menentang dan menubuhkan kerajaan republik mereka sendiri pada tahun 1827. Mereka mewujudkan mahkamah, angkatan polis dan perlembagaan sendiri.

Menjelang tahun 1830, krisis ini semakin parah. Satu Akta Pemindahan Indian (Indian Removal Act) telah diluluskan oleh kongres pada tahun 1830. Presiden baru Andrew Jackson mengambil dasar tidak mahu campurtangan dalam hal ehwal negeri-negeri di selatan. Sebaliknya memberi hak kepada negeri-negeri untuk menangani masalah berhubung hal ehwal kaum peribumi Indian di negeri masing-masing. Pada tahun 1832, kaum peribumi Cherokee telah mengheret kerajaan Georgia ke mahkamah dalam kes Worscester menentang Georgia. Ketua hakim Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat, John Marshall telah memerintah bahawa perluasan kuasa Georgia ke tanah-tanah kaum Cherokee adalah tidak sah dari segi perlembagaan. Walau bagaimanapun, Presiden Jackson enggan menguatkuasakan keputusan mahkamah tersebut, tetapi membiarkan kerajaan negeri-negeri di selatan meneruskan penguasaan mereka ke atas tanah-tanah kaum peribumi Indian. Sebaliknya menggesa kaum peribumi untuk menerima Akta 1830 untuk memindahkan kaum peribumi di bahagian timur Mississippi ke tanah.simpanan di sebelah barat Mississippi, di mana kerajaan federal berjanji memberi jaminan perlindungan kepada mereka. Ramai kaum peribumi menerima akta ini selepas tahun 1838, iaitu dalam pemerintahan Presiden baru Martin Van Buren. Arahan telah dikeluarkan kepada angakatan tentera Amerika Syarikat untuk memindahkan seramai 18 ribu hingga 20 ribu kaum Cherokee yang masih berada di selatan ke tanah baru di barat, yang kini dikenali sebagai negeri Oklahoma. Lebih kurang 4 ribu orang Cherokee telah terkorban dalam proses pemindahan tersebut. Peristiwa pemindahan ini telah diperingati sebagai Trail of Tears dalam sejarah Amerika.

Trans-Mississippi West, 1803-1840an
Pada tahun 1804, setahun selepas Louisiana dibeli, Presiden Jefferson menghantar satu ekpedisi dibawah Meriwether Lewis dan William Clark untuk meninjau Louisiana dan seterusnya ke Laut Pasifik.Perjalanan mereka bermula dengan memudiki Sungai Missouri ke Sungai Snake dan Sungai Columbia hingga sampai di Laut Pasific. Sepanjang perjalanan tersebut mereka hanya diserang beberapa kali oleh kaum peribumi, terutamanya suku Sioux. Dengan bantuan suku Mandan dan Shoshone akhirnya mereka selamat sampai di pantai Pasifik. Penemuan mereka tentang luas dan suburnya kawasan-kawasan di sebelah barat Amerika mendorong ramai rakyat kulit putih, terutamanya kaum petani miskin di selatan Amerika merancang untuk berpindah ke sana. Sejak tahun 1812, ramai mula pindah ke wilayah Arkansas dan Missouri. Missouri memasuki pernsyarikatan Amerika pada tahun 1821 dan diikuti oleh Arkansas pada tahun 1836. Penduduk juga mula berpindah ke Texas hingga ke Mexico. Pada mulanya, perpindah ke Texas adalah alu-alukan oleh kerajaan Mexico, tetapi kemudian menegaskan syarat mereka untuk menganut agama Katolik dan menjadi warga Mexico. Immigran Amerika semakin ramai memasuki Texas tanpa memperdulikan perintah kerajaan Mexico tersebut.

Perluasan di Mexico
Kawasan yang menjadi sasaran pertama dalam cita-cita perluasan Amerika ialah Texas, yang ketika itu merupakan sebahagian daripada wilayah negeri Mexico. Pada asalnya, kawasan ini dikenali sebagai Coahuila, terletak dibahagian paling utara negeri Mexico. Apabila Mexico memperolehi kemerdekaan pada tahun 1821, Texas masih kurang diduduki. Hakikatnya, kerajaan Mexico juga mempunyai rancangan untuk membangunkan wilayah tersebut. Misalnya, pada tahun 1821 dan sekali lagi pada tahun 1823, kerajaan Mexico telah menawarkan geran tanah kepada sesiapa yang dapat membawa penduduk perpindah ke Texas. Tetapi dengan syarat, pedatang-pedatang harus mematuhi undang-undang kerajaan Mexico dan harus menganut agama Roman Katolik. Ketika itulah seorang peladang kapas bernama Moses Austin memperolehi satu geran tanah dan merancang untuk menubuhkan sebuah koloni pedatang-pedatang daripada Amerika Syarikat. Usaha beliau telah diteruskan oleh anaknya, Stephen. Beliau telah memimpin seramai 300 keluarga ke Mexico dan membina petempatan mereka di tanah-tanah subur di sepanjang Sungai Brazos. Setiap keluarga telah diberi hampir 200 ekar secara percuma untuk tujuan berladang dan 4 ribu ekar tanah telah dibuka secara percuma untuk menanam rumput dengan syarat mereka bebas daripada membayar cukai selama 6 tahun. Koloni yang pertama ini telah berjaya mencapai kemakmuran hidup. Ini telah memnyebabkan lebih ramai lagi orang daripada negeri-negeri di selatan Amerika Syarikat merentasi sempadan untuk sampai ke Texas.

Perang Dengan Mexico
Menjelang tahun 1830 populasi di Texas telah meningkat kepada 20 ribu kaum kulit putih berbangsa Inggeris dan hampir 15 ribu hamba abdi yang mengerjakan ladang-ladang kapas dan gula. Walau bagaimanapun, kewujudan amalan hamba abdi kini menjadi masalah baru kepada Texas, terutamanya dibawah pentadbiran undang-undang Mexico. Kerajaan Mexico telahpun menghapuskan amalan tersebut pada tahun 1829, dan mengarah koloni-koloni di Texas untuk membebaskan hamba abdi mereka.

Di samping itu, kerajaan Mexico juga mula bimbang terhadap perkembangan masyarakat yang memiliki bahasa (Inggeris) dan kepercayaan (Protestan) yang berlainan dengan rakyat Mexico. Lebih-lebih lagi kerajaan Mexico amat bimbang tentang rancangan Amerika Syarikat untuk memperluaskan sempadannya ke Rio Grand atau Rio Bravo dalam Mexico. Hakikatnya, tidak beberapa lama sebelum itupun, Presiden John Quincy Adams telah menawar wang sebanyak $1 juta untuk membeli Texas. Malah Presiden Andrew Jackson kemudian pula (1830) menawarkan harga $5 juta.

Pada tahun 1830an kerajaan Mexico telah menutup sempadan kepada sebarang usaha migrasi daripada Amerika Syarikat dan juga mengenakan cukai yang tinggi ke atas import barangan Amerika. Di samping itu, kerajaan Mexico juga mengerahkan askar-askarnya untuk menguatkuasakan undang-undang di Texas. Walau bagaimanapun, oleh kerana masalah kekurangan askar untuk mengawal sempadan menyebabkan semakin ramai orang Amerika seterusnya memasuki Texas.

Pada tahun 1833, Stephen Austin telah pergi ke ibu bandar Mexico untuk mengemukakan satu permohonan bagi membenarkan Texas menubuhkan negerinya sendiri dalam lingkungan kesatuan Mexico. Malangnya sekali, permohonan beliau telah ditolak. sebaliknya dalam perjalanan pulang ke Texas, beliau telah ditahan dan dipenjarakan selama 8 bulan. Ekoran daripada pada peristiwa tersebut, protest daripada penduduk Texas mula kedengaran, namun kerajaan Mexico enggan berunding tetapi menambahkan anggota askarnya ke Texas.

Pada masa ini, semakin ramai rakyat Amerika menduduki Texas. Mereka dipimpin oleh beberapa tokoh politik yang bercita-cita tinggi seperti Sam Houston, bekas perwakilan kongres bagi negeri Tennessee, dan juga Davy Crocket, juga bekas kakitangan kongres. Mereka dan yang lain-lain mendapati tidak ada-apa alasan untuk hidup dibawah undang-undang Mexico, pada hakikatnya adalah sukar untuk menghormati sebuah kerajaan yang seringkali bertukar pemerintahan, yakni jeneral berganti jeneral sebagai ketua negara.

Pada tahun 1835, Presiden Antonio Lopez de Santa Anna telah mengisytiharkan penghapusan semua kerajaan negeri di Mexico. Seterusnya pada awal tahun berikutnya beliau memimpin seramai 6 ribu askar ke utara dan mengepung sekumpulan penduduk Texas di sebuah rumah ibadat, Gereja Alamo dan di sebuah kubu di San Antonio. Kepungan bermula pada 23 Februari hingga 6 Mac. Pengepungan itu hanya berakhir setelah askas-askar Mexico berjaya merobohkan dinding rumah ibadat tersebut. Kecuali seorang ibu dan anaknya serta dua orang hamba abdi, kesemua 187 orang Amerika yang mempertahankan diri di dalam gereja tersebut telah ditembak mati dan mayat mereka telah dibakar hangus atas arahan Santa Anna. Pihak Mexico telah kehilangan askar seramai 1600 askarnya dalam peristiwa itu.

Texas mengisytiharkan kemerdekaan
Pada 2 Mac 1836, Texas mengisytiharkan kemerdekaannya. Satu perlembagaan ditubuhkan berdasarkan perlembagaan Amerika Syarikat. Ketika perang Alamo sedang berlaku, republik Texas telah membentuk satu kerajaan sementara dengan melantik David G. Burnet dan Lorenza de Zavala sebagai presiden dan timbalan presiden. Selepas 6 minggu kemudian, ketua komander Sam Houston telah memimpin askar Texas memerangi angkatan pertahanan Mexico di Sungai San Jacinto. Tentera Mexico di bawah pimpinan Santa Anna telah ditawan dan paksa untuk menandatangani perjanjian pengiktirafan kemerdekaan Texas daripada Mexico. Walau bagaimanapun, setelah Santa Anna dilepaskan pulang, kerajaan Mexico enggan mengesahkan perjanjian tersebut atas alasan Santa Anna dipaksa untuk menandatanganinya.

Sungguhpun timbul tekanan daripada kerajaan Mexico, Texas telah mendapat sokongan daripada kerajaan luar untuk mengesahkan kemerdekaannya, terutama daripada Perancis dfan Great Britain. Pada bulan September 1836, Sam Houston telah dipilih menjadi presiden republik Texas yang diberi gelaran baru sebagai Lone Star Republic, dan Maribeau B. Lamar sebagai timbalan presiden. Negara baru ini telah mencipta bendera sendiri dengan logo 'lone star' di atasanya. Negara ini juga menubuhkan sebuah angkatan pertahanan laut yang kecil dan angkatan tentera darat yang lebih besar dan menubuhkan sebuah perlembagaan yang telah diadaptasikan daripada perlembagaan Amerika Syarikat.

TEXAS menyertai perikatan [Amerika Syarikat]
Hakikatnya, majoriti rakyat Amerika mengharapkan Texas akan digabungkan dalam Amerika Syarikat. Namun, timbul pandangan yang berbeza berhubungan cara gabungan itu harus dilakukan. Kebanyakan penduduk, terutamanya rakyat di selatan dan barat Amerika Syarikat mempunyai hasrat yang tinggi untuk mendapatkan Texas, yang pada pandangan mereka bahawa negeri itu telahpun dimenangi oeh rakyat Amerika sendiri. Penduduk di selatan memiliki kecenderungan untuk memperluaskan amalan perhambaan yang telahpun ketika itu wujud di Texas. Manakala, penduduk di utara Amerika pula sebaliknya menentang sebarang usaha untuk menambah lebih banyak wilayah perhambaan. Ekoran itu, dasar menggabungkan Texas ini mungkin akan membawa kepada peperangan dengan kerajaan Mexico.

Sementara itu, Great Britain pula menaruh minat ke atas Texas. Sungguhpun British menentang amalan perhambaan, tetapi mula mengakui kemerdekaan Texas. British mahu menjadikan Texas sebagai pengimbang kuasa Amerika Syarikat. Britiah juga mahu membeli kapas Texas dan menjual barangan industrinya kepada Texas tanpa perlu membayar tarif kepada Amerika Syarikat. Cita-cita British ini telah dikukuhkan lagi dengan usaha untuk menghantar diplomatnya menggesa kerajaan Mexico untuk mengiktirafkan kemerdekaan Texas.

Tindakan Britain ini telah memeranjatkan rakyat Amerika ketika itu. Dengan serta-merta Presiden John Taylor telah menggesa ahli kongres untuk meluluskan polisi penggabungan Texas dalam Amerika Syarikat sebelum tamat tempoh perkhidmatan beliau sebagai presiden. Pada 29 Disember 1845, Texas menjadi negeri yang ke-28 dalam pensyarikatan Amerika Syarikat. Kerajaan Mexico yang kecewa dengan keputusan tersebut telah menutup kedutaannya di Washington.

Kejayaan ke atas Texas telah mendorong kegiatan perdagangan mula meluas ke arah barat Amerika Syarikat, yakni merentasi bahagian utara Mexico. Kesan kegiatan perdagangan ini bukan sahaja bersifat ekonomi malah emosional. Fahaman perluasan telah menguasai fikiran rakyat Amerika ketika itu. Pada masa yang sama pula, Mexico adalah terlalu lemah untuk mengawal wilayah jajahan yang begitu luas. Secara beransur-ansur ribuan rakyat Amerika mula menyeberang sempadan untuk migrasi ke arah barat hingga ke Oregon, California dan Utah.

Perluasan ke Oregon
Awal tahun 1800an, Perancis dan Sepanyol telah melepaskan tuntutan masing-masing ke atas Oregon, meninggalkan Britain, Russia dan Amerika Syarikat terus mempertahankan tuntutan masing-masing. Seterusnya Russia telah menetapkan tuntutannya sehingga di selatan sempadan Alaska pada kedudukan grid 54o40'. Kini tinggal Britain dan Amerika Syarikat untuk sementara waktu telah menggantungkan tuntutan masing-masing.

Sementara itu, menjelang tahun 1844 semakin ramai rakyat Amerika memasuki Oregon sama ada pedangan ataupun juga mengusahakan ladang di lembah Sungai Willamette. Ekoran daripada itu, pendudukan Oregon telah menjadi isu utama dalam kempen pilihanraya presiden pada tahun tersebut. Pilihanraya presiden pada tahun 1844 adalah pertandingan antara Henry Clay dari Kentucky (parti Whig) dan James K. Polk dari Tennessee (parti Demokratik). Polk seorang penyokong dasar perluasan Amerika Syarikat. Pendek kata, beliau telah memenangi pilihanraya dengan jumlah undi 170: 105. Maka dfalam ucapan aluan perlantikan beliau menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-11, antara lain menyebut:

Our title to the whole of the territory of Oregon is clear and unquestionable, and already are our people preparing to perfect that title by occupying it with their wives and children.

Petikan ucapan beliau ini jelas menggambarkan dasar perluasan telah menjadi agenda utama Amerika Syarikat ketika itu. Sokongan padu daripada rakyat Amerika kepada dasar perluasan juga kukuh apabila akhbar-akhbar tempatan menyiarkan slogan-slogan fifty-four forty or fight, yang merujuk kepada kesanggupan rakyat Amerika untuk merampas sempadan utara Oregon pada kedudukan grid 54o40' yang masih milik Russia ketika itu. Namun isu tersebut telah diselesaikan secara damai kemudian.

Perluasan ke California
Kegagalan unutk meluaskan wilayah ke arah utara kemudiannya mendorong Amerika Syarikat menghala perhatian ke arah selatan, khususnya ke atas California. California adalah wilayah jajahan Mexico selepas peninggalan kuasa Sepanyol pada tahun 1834. Sejak itu, rakyat Mexico telah mendominasi kehidupan di California. Pada pertengahan tahun 1840an, rakyat Amerika di California telah mencapai jumlah 700 orang, terutamanya terdiri daripada kelasi-kelasi kapal dan juga pedagang-pedagang di bandar-bandar Los Angeles, Monterey dan Santa Barbara.

Semasa pilihanraya presiden pada tahun 1844, California belum menjadi isu kepada rakyat Amerika. Setelah penggabunganTexas pada tahun 1845, isu California mula dibincangkan, terutamanya kerana tarikan potensi kedudukan dua pelabuhan di pantai Pasifik iaitu San Diego dan San Francisco. Justeru itu, presiden Polk telah mengemukakan tawaran membeli Calofornia daripada Mexico tetapi ditolak.

Sementara itu, pada tahun 1847 sekumpulan golongan agama protestan yang mengelarkan kumpulan mereka sebagai the Church of Jesus Christ of Latter-day Saints ataupun dikenali pada hari sebagai kaum Mormon telah menerokai kawasan Utah yang terletak di sebelah timur California. Kawasan ini diliputi oleh gurun dan bergantung kepada sebuah tasik air masin, di mana mereka telah membina sebuah bandar disebut dengan nama Salt Lake City. Mereka menggali parit hingga ke kawasan pergunungan ntuk mendapatkan air untuk pertanian mereka. Akhirnya mereka berjaya mewujudkan pembangunan dan kemakmuran di kawasan tersebut, lantas diberi nama baru sebagai Diseret, asalnya dari sebuah gurun.

Perang Dengan Mexico
Pada ketika presiden Polk sedang berunding dengan Britain berhubungan pembahagian wilayah di Oregon, pada masa yang sama tentera Amerika dan tentera Mexico sedang bertentangan di utara Mexico (kini dikenali New Mexico) dan California.

Pada mulanya, Polk menawarkan untuk membeli New Mexico dan California pada harga $30 juta, malah beliau juga bersedia untuk menaikkan harga kepada $40 juta kepada kerajaan Mexico. Apabila kerajaan Mexico menolak tawaran tersebut, Polk serta-merta mencadangkan untuk menyerang Mexico.

Pada bulan September 1846, Jeneral Zachary Taylor telah diarah untuk membawa pasukan tenteranya dari Nueces ke Rio Grande dan membina kubu untuk menghaang laluan di Sungai Nueces kepada orang Mexico. Kerajaan Mexico menganggap tindakan Amerika Syarikat itu sudah bersifat penaklukan lalu melancarkan serangan.

Sungguhpun wujudnya protest daripad sekumpulan kecil ahli kongres terhadap keputusan Polk untuk melancarkan perang ke atas Mexico, namun sokongan kuat daripada pemimpin-pemimpin dari negeri-negeri di selatan seperti Illinois, Kentucky dan Tennessee akhirnya menghasilkan kemenangan kepada pihak Amerika Syarikat pada bulan September 1847, terutamanya dengan penawanan ibu bandar Mexico.

Sebelum itu, rakyat Amerika di California telahpun menawan bandar San Francisco pada bulan Jun 1845 dan mengisytiharkan merdekaan daripada Mexico. Mereka telah menamakan wilayah tersebut sebagai Bear Flag Republic.

Akhirnya pada tahun 1848, Mexico bersetuju menandatangani perjanjian Treaty of Guadalupe Hidalgo dengan Amerika Syarikat. Melalui perjanjian tersebut, Amerika Syarikat telah memperolehi New Mexico dan California dengan bayaran pampasan $15 juta. Pada tahun 1853 pula, Amerikat Syarikat telah membeli sedikit lagi kawasan di utara Mexico, iaitu di bahagian selatan Sungai Gila dengan bayaran $10 juta.


KULIAH 01| 02 | 03 | 04 | 05 | 06 | 07 | 08 | 09 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14