KULIAH 2
REVOLUSI AMERIKA, 1775: ANTARA FAKTOR PENYEBABNYA


Masalah pentadbiran empayar kolonial
Wujud masalah dalam pengawasan dan pentadbiran koloni-koloni Inggeris yang mula tidak mematuhi perintah daripada kerajaan pusat di England. Pada tahun 1660, pada era pemulihan pemerintahan Charles II, pihak Parlimen telah meluluskan akta Navigation Acts [dipinda, 1663] yang bertujuan untuk mengawal aliran perdagangan dan perkapalan di koloni-koloni Inggeris. Akta tersebut mengandungi 4 peraturan utama:

1. Koloni tidak boleh berurusniaga dengan negara lain melainkan England atau kapal Inggeris.

2. setiap kapal koloni dikendalikan oleh 2/3 orang Inggeris.

3. Beberapa jenis barangan (produk) dari koloni termasuk gula dan tembakau hanya dieksport ke England sahaja atau koloni Inggeris.

4. Hampir semua barangan dari koloni untuk negara lain harus melalui pelabuhan di England (dikenakan cukai import) terlebih dahulu.

Koloni Massachusett enggan mematuhi akta tersebut, menyebabkan raja Charles II terpaksa menarik balik piagamnya pada tahun 1684. Dalam pemerintahan raja James II, gabenor Sir Edmund Andros diutus ke Boston. Beliau memerintah dengan zalim menyebabkan beliau dibenci. Dalam usaha Increase Mather membawa rayuan koloni Massachusett kepada kerajaan tentang pemerintahan Andros, meletus satu Revolusi Glorious (agung) pada tahun 1688, pertentangan antara Parlimen dan James II. Setelah raja melarikan diri, Raja William (berketurunan Protestan Belanda) iaitu menantu kepada Raja James II (katolik). Beliau mengahwini anak perempuan James II, bernama Mary yang bermahzab Protestant). Sekaik mendapat khabar kejatuhan Raja James II, penduduk koloni Massachusett terus memberontak terhadap Andros di Boston. Beliau melarikan diri. Sungguhpun Mather gagal mendapatkan piagam yang lama, namun sebuah Piagam baru dianugerahkan pada tahun 1691 yang memasukkan hak kebebasan beragama bagi menghindar penindasan golongan Puritan terhadap agama yang lain. Koloni di New York turut memberontak sebaik sahaja menerima berita kejatuhan Raja James II. Pada tahun 1689, Jacob Leisler (seorang pedagang berbangsa Jerman) telah mengambil-alih kuasa di bandar New York. Namun, pemerintahan beliau yang kejam telah berakhir di tali gantung oleh gabenor baru dari London.

Pada tahun 1696, Kerajaan Kolonial di London memperkukuhkan Akta Pelayaran (Navigation Act) dengan membuat beberapa pindaan yang lebih ketat untuk memastikan kawalan yang lancar terhadap setiap koloni di Amerika. Antara pindaan ialah;

1. Setiap gabenor yang dilantik harus mengangkat sumpah taat setia menjawat jawatan tersebut.

2. Pegawai kastam dihantar ke semua koloni.

3. Pesalah-pesalah dalam aktiviti penyeledupan akan dibicarakan oleh makhamah tentera (laksamana) dengan hakim yang dilantik oleh crown (raja England).

4. Board of Trade and Plantation ditubuh untuk menggantikan Lords of Trade.

5. Kuasa gabenor dikurangkan-dilantik oleh Crown; gabenor di koloni Maryland dan Pennsylvania dilantik oleh kaum keluarga tuan tanah Baltimore dan Penn; hanya koloni Rhode Island dan Connecticut mengundi untuk memilih gabenor mereka.

Pengaruh pemikiran zaman kesedaran
Kemunculan idea baru (kesedaran) diperkenalkan pada awal kurun Ke-18, terutamanya idea ahli falsafah politik Inggeris bernama John Locke (1632-1704) melalui karyanya "Two Treatise Government (1690) " . Menurut beliau, setiap insan (individu) memiliki 3 hak asasi (semulajadi), iaitu hidup, kebebasan, dan harta. Beliau berpendapat, bahawa pada asalnya Tuhan mencipta manusia tanpa sebarang kerajaan. Walau bagaimanapun, manusia yang lemah akan seringkali memohon simpati daripada manusia yang kuat. Oleh yang demikian, untuk mempergunakan hak yang diberi oleh Tuhan itu tanpa sebarang halangan, manusia itu akan membuat satu perjanjian kontrak sosial. Mereka berjanji untuk mentaati atau taat setia kepada satu kerajaan yang akan memberi perlindungan kepada hak asasi mereka[rakyat]. Namun, jika sesuatu kerajaan itu menjadi zalim, menurut Lock juga, rakyat tidak lagi perlu mentaati kerajaan tersebut. Ataupun juga, rakyat mempunyai hak untuk menggulingkan kerajaan itu. Contoh Tokoh: Benjamin Franklin. Beliau dilahirkan di Boston pada tahun 1706. Beliau mula bekerja sebagai Pencetak dan akhirnya menjadi seorang usahawan dan ahli politik di Pennsylvania. Dalam umur 82 tahun, beliau bergiat aktif dalam erena politik, khususnya dalam konvensyen Philadelphia yang berakhir dengan pemilihan bentuk kerajaan 'Republik" untuk gagasan kerajaan Amerika Syarikat.

Pemulihan Agama: Awal 1700an golongan Puritan mula mengalami pemulihan, terutamanya kesan daripada Piagam Massachusett, 1691. Piagam ini telah meletakkan peraturan tentang hak kebebasan untuk beragama. Piagam ini juga mengharamkan peraturan yang hanya membenarkan ahli gereja Puritan sahaja untuk mengundi. Walau bagaimanapun, kesannya ramai orang telah mula meninggalkan gereja mereka. Pada waktu itulah seorang tokoh agama bernama Jonathan Edwards dari Massachusett memperkenalkan pemulihan rohaniah. Beliau menekankan ajaran tentang bahaya dosa dan dahsyatnya seksaan yang menanti selepas kematian. Sekitar tahun 1740, seorang lagi tokoh agama bernama George Whitefield muncul memimpin satu gerakan pemulihan rohaniah dengan menyampaikan mesej-mesej ajarannya secara terbuka di semua koloni. Gerakan tersebut dikenali sebagai Great Awakening (kesedaran agung ) Ekoran itu, kesan daripada ajaran beliau telah melahirkan aliran-aliran agama Kristian yang baru seperti Baptist Church, Methodist Church, dan lain-lain lagi. Menjelang pertengahan tahun 1750an, golongan gereja Quaker turut mengalami pemulihannya.

Berakhirnya Kepercayaan terhadap ilmu sihir: Pemikiran zaman kesedaran ini telah membenarkan manusia untuk mengambil sebarang tindakan berdasarkan pemikiran yang rasional. Tidak seperti masyarakat di Eropah ketika itu, ramai individu telah dihukum gantung sampai mati ekoran, sama ada difitnah atau didapat sebagai ahli sihir.


Peningkatan sistem pendidikan
Masyarakat Amerika pada sejak kurun Ke-17 adalah lebih berpelajaran berbanding masyarakat lain di dunia. Kadar kebolehan membaca dan menulis adalah lebih tinggi di New England, tetapi semakin rendah ke arah selatan. Golongan Puritan, misalnya amat menekankan kemahiran membaca di kalangan pengikutnya khususnya untuk membaca kitab Bible. Pada tahun 1640an, undang-undang di Massachusett memperuntukkan syarat bagi setipa bandar yang mempunyai lebih daripada 50 keluarga harus menyediakan sebuah sekolah. Dengan langkah tersebut, setipa kanak-kanak mendapat pendidikan asas yang sempurna daripada tanggungan masyarakat awam sendiri. New England telah mengambil langkah untuk memperkenalkan undang-undang yang seumpama. Koloni-koloni di wilayah tengah Amerika tidak mempunyai undang-undang sedemikian tetapi mereka bergantung kepada sumbangan institusi gereja seperti Calvinist. Penduduk Yahudi di sini mempunyai kadar literasi yang tinggi. Manakala di kalangan koloni-koloni di wilayah selantan pula, oleh kerana hanya beberapa bandar kecil yang kurang menyediakan kemudahan pendidikan. Kebanyakan kanak-kanak mendapat pendidikan asas di rumah. Tambahan pula terdapat lebih 40% penduduk di sini adalah terdiri daripada lapisan hamba abdi yang semuanya adalah buta huruf.

Dengan penubuhan Kolej Harvard pada tahun 1636 di Massachusett telah merintis kepada penubuhan beberapa lagi kolej di koloni-koloni yang lain, seperti Kolej William dan Mary (1693) di Virginia, dan kolej Yale (1701) di Connecticut. Selepas peristiwa gerakan kesedaran agung pada 1740an, institusi-institusi gereja telah mendirikan beberapa kolej seperti Princeton, Columbia, Pennsylvania, Brown dan Rutgers. Sungguhpun ianya dibangunkan oleh pihak gereja tertentu, namun tawaran kemasukan pelajar adalah terbuka kepada semua aliran.

Hak kebebasan akhbar dan percetakan
Sebelum kurun Ke-18, bahan-bahan bacaan adalah diimport dari Great Britain. Bahan-bahan bacaan ini mendapat sambutan yang berleluasa di koloni-koloni, terutamanya surat khabar yang menjadi alat penghubung antara masyarakat di koloni-koloni. Ini mendorong kepada usaha penerbitkan akhbar koloni masing-masing. Surat khabar yang pertama adalah Boston News-Letter yang mula diterbitkan pada tahun 1704. Menjelang pertengahn kurun Ke-18 telah diterbit lebih kurang 25 akhbar yang lain secara mingguan. Kebebasan akhbar telah bermula pada tahun 1735 di koloni Philadelphia, iaitu membenarkan kritikan-kritikan terhadap kerajaan diterbitkan di koloni-koloni. Tokoh bernama Andrew Hamilton, seorang peguam yang berusia 80 tahun bangkit menyuarakan hak individu untuk membuat kritikan terhadap kerajaan. Sedangkan di Great Britain ketika itu, aktiviti penulisan yang mengkritik kerajaan adalah menjadi satu jenayah memfitnah. Walau bagaimanapun, sehingga tahun 1760, kebanyakan bahan-bahan bacaan yang diterbitkan adalah merupakan syarahan atau khutbah ajaran Kristen semata-mata.

Kemenangan British dalam peperangan
1. Perang Tujuh Tahun (1756-1763)
Faktor kekayaan ekonomi menjadi sebab utama kepada kuasa-kuasa Eropah untk berlumba-lumba membina empayar masing-masing di sebarang laut, terutamanya kuasa Perancis dan British. Konflik yang berlarutan sejak tahun 1689 hingga 1763 di antara kedua-dua kuasa ini bukan sahaja meletus di Eropah dan India, malah di Amerika. Misalnya, peperangan the seven year's war yang meletus secara rasmi di Eropah pada tahun 1756 juga meletus di Amerika dengan lebih dikenali sebagai the French and Indian War yang bermula pada tahun 1754.

2. Perang British - Perancis dan Indian (1754-1763)
Di Amerika, kebanyakan wilayah-wilayahnya di sebelah utara, selatan dan barat berada dalam penguasaan orang Perancis dan sedikit wilayah kepunyaan orang Sepanyol. Konflik di Amerika antara kuasa British dan kuasa Perancis mula meletus pada tahun 1754, iaitu apabila Robert Dinwiddie, gabenor baru bagi koloni Virginia telah menghantar sepasukan askar tidak terlatih (orang awam) meneroka wilayah Ohio yang ketika itu sudahpun menjadi jajahan kuasa Perancis. Sebenarnya, sebelum itu Syarikat Ohio telah ditubuhkan pada tahun 1747 oleh sekumpulan tuan-tuan tanah di Virginia dengan tujuan untuk meneroka wilayah Ohio. Sejauh lebih kurang 50 batu daripada kubu orang Perancis, Washington telah membina kubunya, diberi nama Fort Necessity. Lantas orang Perancis menyerang dan menawan pasukan Washington. Oleh kerana peperangan antara Perancis dan British belum diisytiharkan secara rasmi, maka pasukan Washington telah dibebaskan. Sementara itu, satu mesyuarat penting antara British dan pemimpin-pemimpin suku kaum suku peribumi Iroquois sedang berjalan di Albany, New York. Kuasa British ingin meminta sokongan orang Iroquois untuk membantu menewaskan kuasa Perancis. Semua wilayah koloni British telah memberi respon yang positif, kecuali wilayah New Jersey dan Virginia. Mesyuarat ini dikenali sebagai Albany Congress dan bertujuan untuk menandatangani satu perjanjian persahabatan antara semua koloni British dengan kaum peribumi Indian. Namun setelah menyedari hakikat ketika itu, kaum peribumi tidak dapat memberi jaminan bantuan kepada pihak British. Kaum peribumi mula berhati-hati dengan tipu muslihat pihak British, terutamanya golongan penyangak tanah. Selepas kongres tamat, tokoh politik dari Pennsylvania, Benjamin Franklin telah merangka satu rancangan penyatuan semua koloni, Albany Plan of the Union dengan penubuhan sebuah majlis kolonial untuk merancang langkah-langkah pertahanan terhadap ancaman pihak Perancis. Langkah utama yang dibuat oleh majlis tersebut ialah menaik kadar cukai untuk tujuan membiaya angkatan militari. Delegasi-delegasi yang dihantar ke semua koloni untuk menyampaikan resolusi majlis tersebut telah gagal mendapat sokongan.

Lantaran itu, pihak British mula merayu bantuan pasukan askar daripada Great Britain. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan di London sekadar menghantar sepasukan 1400 askar yang diketuai oleh Major Jeneral Edward Braddock. Pada 8 Julai 1755, pasukan gabungan Braddock dan Dinwiddie telah diserang hendap oleh pasukan Perancis di Kubu Duquesne. Pada tahun 1757, raja George II di London telah melantik William Pitt menjadi menjadi menteri kanannya. Langkah pertama yang diambil oleh Pitt untuk memenangi peperangan dengan Perancis adalah dengan menaikkan pangkat pegawai-pegawai muda berkemampuan untuk menggantikan pegawai-pegawai veteran. Pitt juga telah memberi jaminan kerajaan British akan menanggung semua perbelanjaan perang di koloni-koloni Amerika. Ringkasnya, pasukan Washington telah berjaya menawan Fort Duquesne,lalu diberi nama baru sebagai Fort Pitt dan kemudian dipanggil Pittsburgh, di negeri Pennsylvania sekarang ini. Menjelang tahun 1759, tentera British telah mara ke arah utara menuju ke wilayah Quebec dan menawan Montreal daripada tentera Perancis. Dengan penawan Montreal telah menamatkan kuasa Perancis di Amerika Utara. Pada tahun 1763, Perjanjian Paris telah ditandatangani untuk menamatkan sebarang konflik antara Perancis dan Bristish. Daripada perjanjian tersebut, pihak British telah memperolehi wilayah-wilayah jajahan Perancis di Amerika Utara seperti Canada dan semua tanah di sebelah timur Sungai Mississippi kecuali pelabuhan New Orleans. Britain juga memperolehi wilayah Florida daripada kuasa Sepanyol kerana memberi sokongan kepada tentera Perancis semasa tahun terakhir peperangan. Namun perjanjian itu telah memperuntukkan wilayah New Orleans dan Luisiana kepada Sepanyol.

Pertentangan dengan peribumi Indian
Kekalahan Perancis di Amerika Utara amat dirasai oleh kaum Indian dijajahan Perancis. Mereka merasa terancam apabila hubungan baik dengan Perancis telah terputus kerana terpaksa meninggalkan jajahan mereka. Kini aktiviti perdagangan mula diambil-alih orang orang British yang mengenakan harga yang sangat mahal ke atas barangan mereka berbanding dengan orang Perancis. Ini bermaksud, orang Indian terpaksa memburu secara besar-besaran untuk memenuhi permintaan bekalan kulit dan bulu binatang kepada orang British. Wahhal sebaliknya pihak British enggan membekalkan senjata kepada orang Indian untuk memburu, sebaliknya membekalkan minuman keras Rum. Apabila orang Indian sudah mabuk, orang British mengambil kesempatan menipu untuk mendapatkan hasil buruan mereka. Manakala dalam masa yang singkat sahaja, semakin ramai orang British melintasi pergunungan Appalachian untuk membina petempatan baru di wilayah Ohio. Orang Indian khuatir pada suatu masa yang terdekat, bukan sahaja mereka akan kehilangan tanah dan juga pergantungan tradisi memburu.

Pada musim bunga tahun 1763, Pontiac, seorang ketua kaum Indian di Ottawa telah mengetuai orang-orangnya menyerang kubu British di Detroit. Suku-suku Indian yang lain turut melancarkan serangan ke atas kubu-kubu British di sebelah barat. Dalam tempoh beberapa minggu, orang Indian telah menawan 7 kubu British.

Proklamasi Diraja 1763
Setelah menyedari punca masalah pertentangan British dan Orang Indian di Amerika itu, menteri kolonial British, George Grenville di London telah memperkenalkan the Royal Proclamation of 1763 dengan harapan untuk memberhentikan perluasan koloni-koloni British ke arah barat. Proklamasi ini mengandungi arahan kepada koloni-koloni agar tidak membina petempatan di sebelah barat pergunungan Appalachian. Sebarang koloni yang telah berada di kawasan larangan itu dikehendaki meninggalkan petempatan mereka dengan segera. Walau bagaimanapun, proklamasi tersebut gagal menghalang pergerakan migrasi dan aktiviti koloni-koloni British sudahpun maklum bahawa kerajaan Kolonial tidak dapat memujuk mereka untuk mematuhi sebarang peraturan yang dikenakan terhadap mereka.

Britian mengenakan tindakan tentera dan cukai
Sebelum tahun 1763 lagi, pihak kerajaan Kolonial telahpun membuat keputusan untuk menempatan 10 ribu tentara di koloni-koloni. Walhal dalam masa wujudnya keamanan selepas tahun 1763, tindakan ketenteraan adalah tidak diperlukan lagi. Sebaliknya bagi pihak kerajaan kolonial pula, yang melihat keadaan koloni-koloni di Amerika yang makmur itu perlu membayar sedikit bahagian hasil mereka sebagai jaminan perlindungan.

The Sugar Act of 1764 - Setelah meneliti kewangan kolonial, Grenville (menteri Kolonial British di London) mendapati kos perbelanjaan perkhidamatan kastam adalah sebanyak 8 ribu paun setahun. Manakala hasil kastam yang masuk hanya sebanyak 2 ribu paun. Oleh itu, beliau menjangka punca kemelesetan kewangan itu berlaku adalah kerana aktiviti penyeludupan. Pada tahun 1764, beliau telah memperkenalkan satu akta gula untuk mengawal kemasukan gula mentah ke Britian dan membenteraskan aktiviti penyeludupan di Britain dan di koloni-koloni Amerika. Undang-undang mahkamah ketentaraan dikenakan ke atas pesalah-pesalah aktiviti penyeludupan. Akta ini telah membimbangkan pihak-pihak tertentu di koloni-koloni, terutamanya berhubung dengan perlantikan hakim-hakim yang didatangkan dari Britian.

The Quartering Act of 1765 - Bagi tujuan untuk mendapatkan sumber perbelanjaan pasukan tentera British di koloni-koloni, Grenville sekali lagi memperkenalkan satu akta yang mensyaratkan setiap koloni menyedia kemudahan kediaman dan keperluan tertentu kepada tentera-tentera British. Pihak koloni-koloni merasa bertambah marah dengan pengenalan akta tersebut, terutamanya koloni New York yang terpaksa menempatkan sejumlah besar tentera British berbanding koloni-koloni lain.

The Stamp Act of 1765 - Tidak cukup dengan perlaksanaan akta petempatan askar tersebut, Grenville telah meluluskan satu akta setem pada tahun yang sama. Ia bertujuan untuk mengenakan cukai setem ke atas semua perpindahan (kiriman) surat-surat atau dokumen-dokumen dan pembelian arak, suratkhabar, sijil pelajaran dan lain-lain lagi. Undang-undang mahkamah ketenteraan juga dikenakan ke atas pesalahnya. Walau bagaimanapun, pihak koloni-koloni tidak mempersetujui akta ini, malah memalaukan penjualan setem tersebut. Pihak koloni di Amerika telah melancarkan protest mereka terhadap pengenalan akta setem tersebut. Pada bulan oktober 1765, satu kongres (Stamp Act Congress) oleh 9 koloni yang diadakan di New York. Kongres ini meluluskan satu Deklarasi Hak dan Ketidakpuasan (declaration of rights and grievances) terhadap dasar kerajaan kolonial. Dalam deklarasi tersebut, antara keputusan yang diluluskan ialah menuntut pihak kerajaan kolonial menghapuskan pengadilan mahkamah ketenteraan, akta gula dan akta cukai atas alasan pihak kolonial di London tidak ada hak untuk mengenakan sebarang peraturan bagi pihak koloni-koloni di Amerika memandangkan ketiadaan perwakilan di Parlimen.

Pihak koloni menyusun penentangan terhadap Britain
Semasa kongres Akta Setem sedang berjalan di New York, raykat di koloni-koloni mula merancangkan beberapa tindakan penentangan mereka terhadap dasar pemerintahan kerajaan kolonial. Kaum wanita mula memulau keperluan teh, pakaian dan lain-lain yang diimport daripada Britain. Manakala kaum lelaki sudah bersiap sedia untuk melancarkan sebarang bentuk penentangan secara fizikal demi memperjuangkan hak kebebasan orang Amerika. Setelah beberapa peristiwa buruk berlaku ekoran tunjuk perasaan penentangan rakyat koloni di Amerika, misalnya menahan gabenor di Boston dan dipaksa membaca surat perletakkan jawatannya di khlayak umum, membakar rekod-rekod kes di Mahkamah Tentera, dan sebagainya, pada bulan Mac 1766 kerajaan Kolonial telah menghapuskan akta setem. Sebaliknya meluluskan Akta Deklaratori (Declaratory Act) yang memberi hak penuh kepada pihak kerajaan kolonial untuk membuat undang-undang ke atas koloni-koloni di Amerika. Berita penghapusan akta setem telah disambut dengan meriah oleh masyarakat koloni, malah mereka segera membina tugu raja George III (1760-1820) di New York. Malangnya mereka tidak memberi perhatian terhadap Akta Deklaratori yang baru diluluskan itu, telah memberi kuasa penuh kepada Parlimen untuk meluluskan undang-undang bagi semua koloni-koloni di Amerika.

The Townshend Acts - Empat bulan selapas penghapusan Akta setem, kerajaan kolonial telah menghantar menteri kolonial yang baru, Charles Tonwshend ke Boston. Beliau berhasrat beberapa peraturan baru berhubung dengan masalah sistem cukai dan sistem pengadilan unduang-undang. Beliau memperkenalkan kadar cukai yang lebih rendah terhadap beberapa barangan import daripada Britain (e.g. kaca, cat, kertas, logam dan teh). Kesalahan melanggar peraturan kastam akan dikenakan pengadilan Mahkamah ketenteraan. Sebuah Lembaga Suruhanjaya Kastam (Board of Custom Commissioners) ditubuhkan. Akhir sekali dan yang paling penting ialah arahan beliau kepada setiap koloni untuk mematuhi sebarang keputusan oleh Parlimen di London. Perlaksaan Akta Townshend telah mendapat tentangan hebat daripada penduduk di koloni-koloni, terutamanya kes serangan pemberontak di Boston di Massachusetts sehingga memnyebabkan pasukan tentera British terpaksa menyelamatkan diri ke pulau-pulau di luar pantai Boston.

Pada tahun 1770, Lord Frederick North telah dilantik menjadi menteri kolonial yang baru selepas kematian Townshend. Beliau bercita-cita untuk mewujudkan keadaan aman di koloni-koloni Amerika, terutamanya kesan daripada perlaksaan Akta Townshend. Oleh itu beliau telah membuat rayuan kepada Parlimen untuk menghapus semua bentuk cukai import [kecuali cukai teh] yang dikenakan di Amerika.

Meletusnya Revolusi Amerika
Tempoh antara tahun 1770 dan 1773, keadaan di koloni-koloni Amerika boleh dikatakan berada dalam keadaan yang aman. Seorang tokoh pemberontak di Boston bernama Samuel Adams berserta beberapa tokoh yang lain mula mengambil kesempatan terhadap beberapa insiden pada masa keamanan tersebut untuk membangkit perasaan benci terhadap kerajaan kolonial atau Britain. Dalam satu kes pada tahun 1772, beberapa orang penyeludup yang digelar Gaspee di Teluk Narragansett telah ditahan oleh pasukan kastam British. Walau bagaimanapun, kerajaan kolonial mengambil keputusan untuk membawa pesalah-pesalah tersebut ke Britain untuk dibicarakan. Menjelang tahun 1774, setiap koloni di Amerika telah menubuhkan Committees of Correspondence untuk menyuarakan ketidakpuasan mengenai hak kebebasan rakyat Amerika terhadap ancaman kerajaan kolonial.

The Boston Tea Party - Pada awal tahun 1773, Lord North telah memperkenalkan satu akta bagi memberi kuasa monopoli perdagangan teh di koloni-koloni Amerika kepada Syarikat India Timur Inggeris yang menghadapi masalah kewangan ketika itu. Implikasinya, penduduk koloni bangkit menentang peraturan baru tersebut. Mereka bukan sahaja memaksa ejen-ejen syarikat meletak jawatan malah sama ada merampas teh untuk disimpan ataupun mengaramkan kapal-kapal dagang teh. Di Boston, pada waktu malam 16 Disember 1773 sekumpulan penduduk koloni yang menyamar sebagai orang peribumi Indian keluar ke pelabuhan dan mengaramkan 3 kapal dagang teh dan sekitar bernilai 15 ribu paun bekalan teh telah dibuangkan ke dalam laut.

The Intolerable Acts - Kesan daripada peristiwa tersebut, kerajaan kolonial telah meluluskan beberapa peraturan baru pada tahun 1774 yang meletakkan koloni-koloni Amerika di bawah pemerintahan tentera British. Peraturan-peraturan baru ini adalah lebih keras hingga dikenali sebagai Intolerable Acts oleh koloni-koloni Amerika. Antara perkara yang ditekankan ialah perlantikan ketua kommander Jeneral Thomas Gage sebagai gabenor baru di Massachusetts.

Kongres Benua Pertama (The First Continental Congress)
Tindakan yang dikenakan oleh kerajaan kolonial terhadap koloni Massachusetts telah mencetuskan perasaan simpati daripada penduduk di koloni-koloni yang lain. Masyarakat di bandar-bandar lain mula mengumpul barang keperluan untuk dihantar kepada penduduk di Boston. Di sinilah peranan Committees of Correspondence menjadi lebih aktif hingga mencetuskan satu mesyuarat pada bulan september 1774, yang dihadiri oleh delegasi-delegasi dari semua koloni [kecuali Georgia). Mesyuarat yang diadakan di Philadelphia itu dipanggil sebagai First Continental Congress dan bertujuan untuk membincangkan langkah-langkah pertahanan terhadap ancaman kerajaan kolonial yang semakin bersifat tirani (zalim). Keputusan diambil untuk memboikot sebarang bentuk perdagangan dengan Britain dan kongress bersetuju untuk bermesyuarat lagi pada bulan May jikalau keseluruhan ketidakpuasan rakyat Amerika tidak dipenuhi oleh kerajaan kolonial.

Sementara itu, rakyat Amerika mula menubuhkan pasukan tentera di setiap bandar untuk menghadapi ancaman militia British. Hanya pada 14 April 1775, gabenor Gage telah mendapat surat arahan daripada London untuk mengambil tindakan ketenteraannya. Beliau mula menghantar tenteranya ke Concord, Massachusetts. Pada 18 April, sebelum menawan Concord, tentera British terlebih dahulu menawan bandar Lexington. Semasa hendak meninggalkan bandar Concord, pasukan tentera koloni telah menyerang semula mengakibatkan ramai tentera British terkorban sehingga diselamatkan oleh pasukan bantuan dari Boston. Dalam ketenatan, pihak tentera British sampai di Boston pada waktu malam hingga tidak menyedari bandar tersebut telah pun dikepung oleh tentara koloni.

Kongres Benua Kedua (The Second Continental Congress)
Pada bulan Mei 1775, mesyuarat kedua yang dijanjikan telah bertemu di Philadelphia. Mesyuarat kali ini telah dihadiri oleh 4 tokoh veteran dan terpenting, iaitu George Washington (perang) dari Virginia, Benjamin Franklin (politik) dari Philadelphia, John Adams (peguam terkenal) dari Massachusetts, dan Thomas Jefferson (peguam) dari Virginia. Memandangkan belum wujudnya pasukan tentera Amerika yang rasmi atau formal, maka kongres mengisytiharkan kaum petani dan pedagang yang sedang mengepung bandar Boston sebagan pasukan tentera persekutuan koloni (Army of the United Colonies).

Pertempuran Militia
Pada hari tersebut juga, pasukan Green Mountain Boys yang terdiri daripada 83 sukarelawan di bawah pimpinan Ethan Allen telah menawan kubu, Fort Ticonderoga dalam New York. Kemenangan tersebut telah mendorong John Adams mencadang kepada kongres untuk melantik George Washington menjadi ketua komander tentera benua (Continental Army) serta merta berkuatkuasa pada 16 Jun 1775. Walau bagaimanapun, pihak tentara koloni telah tewas dalam perang Bunker Hill pada 16 Jun di bukit Breed berdekatan dengan bandar Boston ekoran daripada kehabisan bekalan senjata.

Sembilan bulan kemudian, pengepungan bandar Boston telah tamat apabila pasukan tentera koloni di bawah pimpinan Henry knox telah menggunakan 59 buah meriam yang dirampas daripada Fort Ticonderoga untuk menawan bandar Boston pada 17 June 1776. Tentera British telah menyelamatkan diri ke Novo Scotia. Manakala di bahagian selatan, tentara koloni yang disertai oleh golongan hamba abdi berjaya menghalau tentera British.

Selepas peninggalan tentera British di bandar Boston, tumpuan pertempuran tentera kedua-dua pihak mula berpindah ke wilayah koloni-koloni tengah. Tentera koloni berjaya menghalau tentera British di bandar Saratoga, New York pada 17 Oktober 1777. Walau bagaimanapun, menjelang akhir tahun 1778, tentera British telah berjaya menawan kembali beberapa bandar penting di New York dan Philadelphia. Tentera koloni semakin berkurangan manakala semakin ramai tentera British sampai dari Britian.
Pada musim panas tahun 1778, tentera British dan Loyalist (penyokong setia kerajaan diraja England) yang dipimpin oleh ketua komander baru, Sir Henry Clinton (menggantikan Jeneral William Howe sejak musim luruh lagi) memberi meletakkan tumpuan operasi di koloni-koloni selatan. Pada mulanya beberapa bandar telah ditawan oleh tentera British termasuk bandar Savannah di selatan, tetapi menjelang bulan oktober tahun 1780 pasukan koloni berjaya menghalau pasukan tentera British dan Loyalist di koloni South Carolina.

Kini tentera British dan sekutunya telah terkepung di koloni Virginia memandangkan tentera Perancis telahpun menguasai perairan Teluk Chesapeake di utara, tentera Sepanyol menguasai di wilayah Louisiana. Tentera British terpaksa berjaga di bandar Yorktown, Virginia. Pada 18 Oktober 1781, tentera British yang sedikit jumlahnya di bawah pimpinan Jeneral Goerge Charles Cornwillis akhirnya bersetuju untuk menyerah kalah. Maka berkahirlah peperangan kemerdekaan atau revolusi Amerika.

Perjanjian Paris, 1783
Pada tahun 1783, kongres Continental Amerika telah menghantar 3 perunding ke Paris, iaitu John Adams, Benjamin Franklin dan John Jay untuk menandatangani perjanjian dengan Britain. Britain mengiktirafkan kemerdekaan Amerika. Sempadan kerajaan Amerika telah ditetapkan dari Florida di selatan, Mississippi di barat, dengan sempadan antara Canada dan Amerika seperti ianya wujud pada hari. (Rujuk peta)

Sokongan Negara-negara Luar
Dalam masa yang kritikal ini, pihak koloni telah mendapat simpati daripada kerajaan Perancis yang sedia membantu secara terbuka dengan membekal senjata. Pada bulan Februari 1778, satu perjanjian telah ditandatangani antara kedua-dua pihak, yang antara kandungannya ialah bahawa kerajaan Perancis berjanji tidak akan membuat perjanjian damai dengan Britain dan mengiktirafkan kemerdekaan Amerika.

Pada tahun 1779, kerajaan Sepanyol selaku sekutu Perancis telah mengisytiharkan sokongan kepada perjuangan kemerdekaan Amerika. Sepanyol telah membuka pelabuhan New Orleans kepada tentera koloni. Kemudianya, Sepanyol telah menduduki semula wilayah Frorida.

Pada tahun 1780, kerajaan Belanda (Netherlands) turut mengisytiharkan perang terhadap Britain.

Risalah Common Sense & Deklarasi Kemerdekaan
Pada bulan Januari 1776, Thomas Paine, seorang pengarang dari London tiba di Amerika dan menerbitkan satu risalah yang mengkritik Raja George III dan monarki England sebagai kuasa yang bertanggungjawab terhadap tindakan-tindakan tirani ke atas koloni-koloni di Amerika. Menurut beliau, tibalah masanya rakyat koloni-koloni Amerika untuk menuntut satu Republik yang merdeka yang sepatutnya tidak ada apa-apa kaitan dengan keturunan diraja England. Risalah Paine telah mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan rakyat di semua koloni-koloni Amerika. Dengan pengaruh risalah Paine tersebut, dalam tempoh 6 bulan kemudian kongress telah mengambil keputusan untuk mengisytiharkan kemerdekaan.

Pada bulan May 1776, Second Continental Congress telah mengeluarkan panduan kepada semua koloni untuk menubuhkan kerajaan negeri masing-masing. Pada 7 Jun 1776, delegasi dari Virginia, Richard Henry Lee mengemukan usul beliau yang berbunyi "these United Colonies are , and of a right ought to be free and independent States". Sementara sedang membahas usul tersebut, kongres telah menubuhkan satu komiti yang terdiri daripada 5 orang [John Adams (Massachusetts), Benjamin Frankin (Pensylvania), Thomas Jefferson (Virginia), Robert Livingston (New York) dan Roger Sherman (Connecticut)] untuk merangka satu deklarasi secara formal yang dapat menjelaskan kepada dunia tentang alasan kepada tindakan kemerdekaan koloni-koloni Amerika tersebut.


KULIAH 01| 02 | 03 | 04 | 05 | 06 | 07 | 08 | 09 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14