Make your own free website on Tripod.com

AJ2153 SEJARAH AMERIKA SYARIKAT SEBELUM REVOLUSI AMERIKA
 
KULIAH KETIGABELAS
PENENTANGAN TERHADAP ENGLAND

Pada selama 75 tahun, iaitu dari tahun 1607 hingga taun 1682 koloni-koloni Inggeris telah wujud dengan kukuhnya di Amerika (Utara). Namun kerajaan England ketika itu tidak memberi perhatian khusus ke atas Amerika Utara ekoran meletusnya Perang Saudara di England pada tahun 1640an. Hakikatnya, masyarakat Inggeris sama ada di koloni-koloni Amerika ataupun di tanahair England berpegang kepada prinsip atau teori Mercantilisme sejak tahun 1500an lagi. Teori ini menekankan gagasan untuk memperkayakan tanahair supaya menjadi kuasa maritim (angkatan laut) yang kuat dan digeruni. Teori Koloni juga merupakan satu prinsip mempunyai objektif yang sama, khusus untuk membekalkan bahan mentah yang tidak terdapat di England, misalnya keperluan terhadap sumber kayu untuk membina kapal perang yang lebih besar. Selama ini kayu diimport dari Sweden dan Scandinavia. Penemuan koloni di New England telah dapat membekalkan kayu (Pine) keras kepada industri perkapalan di England.

Setelah menyedari punca masalah pertentangan British dan Orang Indian di Ohio Valley, pentadbiran George Grenville di London telah memperkenalkan the Royal Proclamation of 1763 dengan harapan untuk memberhentikan perluasan koloni-koloni British ke arah barat. Walau bagaimanapun, proklamasi tersebut gagal menghalang perluasan migrasi dan aktiviti koloni-koloni Inggeris ke kawasan petempatan kaum peribumi Indian, malah kerajaan kolonial dikatakan tidak dapat memujuk mereka untuk mematuhi sebarang peraturan yang dikenakan terhadap mereka.

Sebelum tahun 1763 lagi, pihak kerajaan Kolonial telahpun membuat keputusan untuk menempatan 10 ribu tentara di koloni-koloni walaupun menyedari bahawa keamaan telahpun wujud selepas tahun 1763. Bukan sahaja tindakan ketenteraan dikenakan ke atas kolonial Amerika malah pihak kerajaan British yang melihat keadaan koloni-koloni di Amerika yang memiliki kemakmuran ekonomi harus menyerahkan sebahagian kekayaan mereka itu sebagai jaminan perlindungan, dengan tanggapan kerajaan-tentera British sebagai protector.

Setelah meneliti kewangan kolonial Amerika, Grenville mendapati kos perbelanjaan perkhidamatan kastam adalah sebanyak 8 ribu paun setahun. Manakala hasil kastam yang masuk hanya sebanyak 2 ribu paun. Oleh itu, beliau menjangka punca kemelesetan kewangan itu berlaku adalah kerana aktiviti penyeludupan. Pada tahun 1764, beliau telah memperkenalkan satu akta Sugar Act of 1764 yang bertujuan untuk mengawal kemasukan gula mentah ke Britian dan membenteraskan aktiviti penyeludupan di Britain dan di koloni-koloni Amerika. Undang-undang mahkamah ketentaraan laut dikenakan ke atas pesalah-pesalah yang tertangkap dalam aktiviti penyeledupan. Akta ini menimbulkan kebimbangan masyarakat koloni-koloni Amerika, terutamanya berhubung dengan perlantikan hakim-hakim yang didatangkan khas dari Britian.

Bagi tujuan untuk mendapatkan sumber perbelanjaan pasukan tentera British di koloni-koloni, Grenville sekali lagi memperkenalkan satu akta yang dikenali sebagai Quartering Act of 1765 yang mensyaratkan setiap koloni menyedia kemudahan kediaman dan keperluan tertentu kepada tentera-tentera British. Pihak koloni-koloni merasa bertambah marah dengan pengenalan akta tersebut, terutamanya koloni New York yang terpaksa menempatkan sejumlah besar tentera British berbanding koloni-koloni lain.

Tidak cukup dengan perlaksanaan akta petempatan askar tersebut, Grenville telah meluluskan satu akta setem atau Stamp Act of 1765 pada tahun yang sama. Ia bertujuan untuk mengenakan cukai setem ke atas pergerakan (kiriman) semua surat-surat atau dokumen-dokumen dan lesen pembelian arak, suratkhabar, sijil pelajaran dan lain-lain lagi. Undang-undang mahkamah ketenteraan juga dikenakan ke atas pesalahnya. Walau bagaimanapun, pihak koloni-koloni tidak mempersetujui akta ini, malah memulaukan penjualan setem tersebut. Pihak koloni di Amerika telah melancarkan protest mereka terhadap pengenalan akta setem tersebut. Pada bulan oktober 1765, satu kongres (Stamp Act Congress) oleh 9 koloni yang diadakan di New York. Kongres ini meluluskan satu Deklarasi Hak dan Ketidakpuasan (declaration of rights and grievances) terhadap dasar kerajaan kolonial. Dalam deklarasi tersebut, antara keputusan yang diluluskan ialah menuntut pihak kerajaan kolonial menghapuskan pengadilan mahkamah ketenteraan laut, akta gula dan akta cukai dengan alasan bahawa pihak kerajaan kolonial di London tidak mempunyai hak untuk mengenakan sebarang peraturan ke atas koloni-koloni di Amerika memandangkan ketiadaan perwakilan di Parlimen.

Semasa kongres Akta Setem sedang berjalan di New York, rakyat di koloni-koloni mula merancangkan beberapa tindakan penentangan mereka terhadap dasar pemerintahan kerajaan kolonial British. Kaum wanita mula memulau keperluan teh, pakaian dan lain-lain yang diimport daripada Britain. Manakala kaum lelaki sudah bersiap sedia untuk melancarkan sebarang bentuk penentangan secara fizikal demi memperjuangkan hak kebebasan masyarakat kolonial Amerika. Setelah beberapa peristiwa buruk berlaku ekoran tunjuk perasaan rakyat kolonial Amerika, misalnya penahanan gabenor di Boston dan beliau dipaksa membaca sendiri surat perletakkan jawatannya di khlayak umum, membakar rekod-rekod kes di Mahkamah Tentera Laut, dan sebagainya. Pada bulan Mac 1766 kerajaan Kolonial British telah menghapuskan akta setem. Sebaliknya telah meluluskan Akta Deklaratori (Declaratory Act) yang memberi hak penuh kepada pihak kerajaan kolonial British untuk membuat undang-undang ke atas koloni-koloni di Amerika. Berita penghapusan akta setem telah disambut dengan meriah oleh masyarakat koloni, malah mereka segera membina tugu raja George III (1760-1820) di New York. Malangnya mereka tidak memberi perhatian terhadap Akta Deklaratori yang baru diluluskan itu, yang sebaliknya telah memberi kuasa penuh kepada Parlimen untuk meluluskan undang-undang bagi pihak semua koloni-koloni di Amerika.

Empat bulan selapas penghapusan Akta setem, kerajaan kolonial telah menghantar menteri kolonial yang baru, Charles Tonwshend ke Boston. Beliau memperkenalkan Townshend Acts iaitu berhubung dengan masalah sistem cukai dan sistem pengadilan unduang-undang. Beliau memperkenalkan kadar cukai yang lebih rendah terhadap beberapa barangan import daripada Britain (seperti kaca, cat, kertas, logam dan teh). Kesalahan melanggar peraturan kastam akan dikenakan pengadilan mahkamah tentera laut. Sebuah Lembaga Suruhanjaya Kastam (Board of Custom Commissioners) ditubuhkan. Akhir sekali dan yang paling penting ialah arahan beliau kepada setiap koloni untuk mematuhi sebarang keputusan oleh Parlimen di London. Oleh itu, perlaksaan akta Townshend telah mendapat tentangan hebat daripada penduduk di kolonial Amerika, terutamanya kes serangan pemberontak di bandar Boston, Massachusetts sehingga menyebabkan pasukan tentera British terpaksa menyelamatkan diri ke pulau-pulau di luar pantai Boston.

Pada tahun 1770, Lord Frederick North telah dilantik menjadi menteri kolonial yang baru selepas kematian Townshend. Beliau bercita-cita untuk mewujudkan keadaan aman di koloni-koloni Amerika, terutamanya kesan daripada perlaksaan Akta Townshend. Oleh itu beliau telah membuat rayuan kepada Parlimen untuk menghapus semua bentuk cukai import [kecuali cukai teh] yang dikenakan di Amerika.

Meletusnya Revolusi Amerika
Tempoh antara tahun 1770 dan 1773, keadaan di koloni-koloni Amerika boleh dikatakan berada dalam keadaan yang aman. Seorang tokoh pemberontak di Boston bernama Samuel Adams berserta beberapa tokoh yang lain mula mengambil kesempatan terhadap beberapa insiden pada masa keamanan tersebut untuk membangkit perasaan benci terhadap kerajaan kolonial atau Britain. Dalam satu kes pada tahun 1772, beberapa orang penyeludup yang digelar Gaspee di Teluk Narragansett telah ditahan oleh pasukan kastam British. Walau bagaimanapun, kerajaan kolonial mengambil keputusan untuk membawa pesalah-pesalah tersebut ke Britain untuk dibicarakan. Menjelang tahun 1774, setiap koloni di Amerika telah menubuhkan Committees of Correspondence untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka mengenai hak kebebasan rakyat kolonial Amerika terhadap ancaman kerajaan kolonial British.

Pada awal tahun 1773, Lord North telah memperkenalkan satu akta bagi memberi kuasa monopoli perdagangan teh di koloni-koloni Amerika kepada Syarikat India Timur Inggeris yang menghadapi masalah kewangan ketika itu. Implikasinya, penduduk koloni bangkit menentang peraturan baru tersebut. Mereka bukan sahaja memaksa ejen-ejen syarikat meletak jawatan malah sama ada merampas teh untuk disimpan ataupun mengaramkan kapal-kapal dagang teh. Di Boston, pada waktu malam 16 Disember 1773 sekumpulan penduduk koloni yang menyamar sebagai orang peribumi Indian keluar ke pelabuhan dan mengaramkan 3 kapal dagang teh dan sekitar bernilai 15 ribu paun bekalan teh telah dibuangkan ke dalam laut. Peristiwa ini dikenali sebagai The Boston Tea Party.

Kesan daripada peristiwa tersebut, kerajaan kolonial telah meluluskan beberapa peraturan baru pada tahun 1774 yang meletakkan koloni-koloni Amerika di bawah pemerintahan tentera British. Peraturan-peraturan baru ini adalah lebih keras hingga dikenali sebagai Intolerable Acts oleh koloni-koloni Amerika. Antara perkara yang ditekankan ialah perlantikan ketua kommander Jeneral Thomas Gage sebagai gabenor baru di Massachusetts.

Tindakan yang dikenakan oleh kerajaan kolonial British terhadap koloni Massachusetts telah mencetuskan perasaan simpati daripada penduduk di koloni-koloni yang lain. Masyarakat di bandar-bandar lain mula mengumpul barang keperluan untuk dihantar kepada penduduk di Boston. Di sinilah peranan Committees of Correspondence menjadi lebih aktif hingga mencetuskan satu mesyuarat pada bulan september 1774, yang dihadiri oleh delegasi-delegasi dari semua koloni [kecuali Georgia). Mesyuarat yang diadakan di Philadelphia itu dipanggil sebagai First Continental Congress dan bertujuan untuk membincangkan langkah-langkah pertahanan terhadap ancaman kerajaan kolonial British yang semakin bersifat zalim. Keputusan diambil untuk memboikot sebarang bentuk perdagangan dengan Britain dan kongress bersetuju untuk bermesyuarat lagi pada bulan May jikalau keseluruhan ketidakpuasan rakyat Amerika tidak dipenuhi oleh kerajaan kolonial.

Sementara itu, rakyat kolonial Amerika mula menubuhkan pasukan tentera di setiap bandar untuk menghadapi ancaman militia British. Hanya pada 14 April 1775, gabenor Gage telah mendapat surat arahan daripada London untuk mengambil tindakan ketenteraannya. Beliau mula menghantar tenteranya ke Concord, Massachusetts. Pada 18 April, sebelum menawan Concord, tentera British terlebih dahulu telah menawan bandar Lexington. Semasa hendak meninggalkan bandar Concord, pasukan tentera kolonial Amerika telah menyerang balas hingga mengakibatkan ramai tentera British terkorban, namun bernasib baik kepada diselamatkan oleh pasukan bantuan dari Boston. Dalam ketenatan, pihak tentera British sampai di Boston pada waktu malam hingga tidak menyedari bandar tersebut telah pun dikepung oleh tentara kolonial Amerika.

Pada bulan Mei 1775, mesyuarat kedua yang dijanjikan telah bertemu di Philadelphia. Mesyuarat kali ini telah dihadiri oleh 4 tokoh veteran dan terpenting, iaitu George Washington (perang) dari Virginia, Benjamin Franklin (politik) dari Philadelphia, John Adams (peguam terkenal) dari Massachusetts, dan Thomas Jefferson (peguam) dari Virginia. Memandangkan belum wujudnya pasukan tentera Amerika yang rasmi atau formal, maka kongres ini mengisytiharkan kaum petani dan pedagang yang sedang mengepung bandar Boston sebagai pasukan tentera gabungan kolonial-Amerika (Army of the United Colonies).

Pada hari tersebut juga, pasukan Green Mountain Boys yang terdiri daripada 83 sukarelawan di bawah pimpinan Ethan Allen telah menawan kubu, Fort Ticonderoga dalam New York. Kemenangan tersebut telah mendorong John Adams mencadang kepada kongres untuk melantik George Washington menjadi ketua komander tentera benua (Continental Army) serta merta berkuatkuasa pada 16 Jun 1775. Walau bagaimanapun, pihak tentara kolonial Amerika telah tewas dalam perang Bunker Hill pada 16 Jun di bukit Breed berdekatan dengan bandar Boston ekoran daripada kehabisan bekalan senjata. Seterusnya Revolusi Amerika berlarutan dalam beberapa tahun seterusnya !!!


Nak tahu kisah selanjutnya, rujuk kursus lanjutan AJ3253. Selamat menghadapi peperiksaan akhir !!!