Make your own free website on Tripod.com

AJ2153 SEJARAH AMERIKA SYARIKAT SEBELUM REVOLUSI AMERIKA
 
KULIAH KEDUABELAS
IMPERIALISME BARU

Dengan perjanjian 1763, England mencapai satu perdamaian buat pertama kali dalam tempoh lebih lima belas tahun. Tanpa gangguan perang, kini kerajaan British dapat menumpu perhatian untuk menyusun semula empayarnya. Selepas mengharungi banyak rintangan pada dekad-dekad yang lalu, ramai pemimpin Inggeris mula merasa yakin terhadap persoalan penyusunan semula empayar England tidak dapat dilengah-lengahkan lagi. Dengan tanggungan beban hutang yang banyak akibat siri peperangan yang telah memakan masa yang agak panjang, England kini dalam keadaan yang terdesak dan memerlukan bekalan bahan pendapatan baru daripada empayarnya. Justeru dengan rasa bertanggungjawab terhadap keluasan tanah-tanah baru di 'dunia baru' benua Amerika, kerajaan imperial England merasakan perlu untuk mengembangkan penglibatannya di koloni-koloni Amerika.

Beban Empayar
Pengalaman dalam perang Perancis dan Indian telah memberi pengajaran bahawa sebarang usaha untuk meningkatkan penglibatan di benua Amerika Utara adalah tidak mudah. Bukan sahaja masyarakat koloni-koloni Amerika pernah membuktikan penentangan mereka terhadap pengawalan British, justeru pernah memaksa Pitt selaku setiausaha kerajaan England untuk menarik balik polisi-polisinya pada tahun 1758, malahan pada masa yang seterusnya dewan-dewan perhimpunan koloni masing-masing memberi respon negatif terhadap usaha campurtangan kerajaan British. Mereka enggan dikenakan cukai oleh Parlimen yang bertujuan untuk membiayai dan menampung beban hutang Empayar dalam perang ketika itu. Dalam pada itu, masyarakat koloni-koloni juga tidak bersetuju dengan usaha mewujudkan sebarang cukai ke atas mereka oleh pemerintah tempatan-sendiri. Penentangan terhadap peraturan-peraturan perdagangan emperial dan lain-lain, kerajaan British terus-menerus membuat tuntutan mereka.

Pada tahun 1763, England telah mengambil-alih kebanyakan tanah jajajah orang Perancis di Amerika Utara dan ini telah membentuk sebuah empayar British yang sangat luas, iaitu dua kali lebih besar daripada saiz sebelumnya. Justeru itu, masalah untuk mentadbirnya pun bertambah komplek. Sebahagian daripada kalangan pegawai-pegawai Inggeris mula mengkritik dasar perluasaan petempatan dan pembangunan jajahan di bahagian barat Amerika Utara yang dianggap hanya akan menaikkan kos dan konflik dengan peribumi Indian, ataupun mungkin dengan orang Perancis. Dengan menghalang pembinaan petempatan baru akan dapat menyediakan tanah-tanah untuk aktiviti berburu atau menjerat binatang. Sebahagian pegawai-pegawai Inggeris pula mahu melihat kawasan-kawasan baru untuk pembangunan segera, namun kata sepakat di kalangan mereka tidak dapat dicapai berkenaan siapa yang akan mengawasi atau mengawal tanah-tanah di barat tersebut. Kerajaan kolonial yang sedia ada sering kali menimbulkan kemarahan dan konflik ekoran menuntut hak perundangan sendiri. Sebahagian pegawai-pegawai di London ingin mengekalkan kuasa kawalan kepada England dan menuntut supaya semua tanah jajahan (baru) di Amerika dianggap sebagai koloni-koloni baru.

Pada masa yang sama, kerajaan di London tidak mempunyai pilihan lain dalam usaha menangani masalah hutang yang banyak. Tuan-tuan tanah dan saudagar-saudagar di England pula menentang keras sebarang usaha kerajaan untuk menaikkan cukai. Manakala keengganan koloni-koloni Amerika untuk membayar biaya usaha perang telah menyedarkan pihak kerajaan England agar tidak bergantung kepada kerjasama koloni-koloni dalam usahanya mencari pendapatan. Bagi pandangan para pemimpin empayar di England, hanya dengan mewujudkan satu sistem cukai yang ditadbir dari London secara efektifnya akan dapat memenuhi kehendak England.

Dalam masa hubungan Anglo-Amerika yang kritikal ini, dengan pengenalan sistem imperial tersebut telah mengheret kerajaan England ke dalam pergolakkan politik, terutamanya dengan penabalan raja baru, George III pada tahun 1760. Raja George telah merombak semula pentadbiran empayar secara drastik. Pertama, kuasa mutlak raja telah dihidupkan semula. Kedua, dengan penagaruh ibunya, raja George telah membubarkan parlimen Whig dan menggantikan mereka dengan para penyokong baginda. Justeru itu, pemerintahan parlimen yang baru adalah dikatakan tidak stabil, malah ahli-ahlinya sentiasa bertukar mengikut budi bicara raja George sendiri.

Raja George juga dikatakan mempunyai intelektual dan psikologi yang sangat rendah. Malah baginda menghidapi penyakit mental yang serius, dan ini menyebabkan segala urusan pemerintah tidak dapat dijalankan dengan sewajarnya. Pemerintahan baginda hanya dapat berfungsi dengan baik antara tahun 1760an dan 1770an, iaitu ketika berusia 22 tahun. Pendek kata, personaliti raja George III telah menyumbang kepada keadaan yang tidak stabil dan pentadbiran yang lemah pada masa England menghadapi keadaan kritikal.
Tindakbalas terhadap masalah-masalah yang berbangkit ketika itu telah muncul di koloni-koloni Amerika. Perdana menteri yang dilantik oleh raja George III pada tahun 1763, ialah George Grenville. Grenville merupakan ipar kepada William Pitt. Namun begitu, Grenville mempunyai pendirian yang keras dalam hubungannya dengan masalah-masalah dari koloni-koloni Amerika. Pada pandangan beliau, bahawa koloni-koloni telah sekian lama bersikap degil dan tibalah masanya mereka harus patuh kepada undang-undang England dan membayar sebahagian daripada kos mempertahan dan mentadbir empayar.

British dan Kaum Pribumi Indian
Dengan kekalahan orang Perancis, askar-askar koloni-koloni Inggeris segera bergerak merentasi pergunungan hingga ke kawasan petempatan peribumi Indian di pedalaman Ohio Valley. Satu pakatan antara kumpulan-kumpulan kaum peribumi Indian yang dipimpin oleh Pontiac dari kumpulan Ottawa telah menyerang balas. Demi menggelak perluasan perang tersebut yang mungkin akan menakutkan aktiviti perdagangan di bahagian barat, kerajaan British telah mengeluarkan satu perintah melalui Proclamation of 1763 yang melarang perluasan petempatan orang Inggeris ke kawasan sebelah pergunungan dalam daerah petempatan peribumi Indian.

Hakikatnya, kerajaan di London telah memperolehi kuasa sebagai pemerintah wilayah melalui Proclamation of 1763 malah kuasa kawalan ke atas perluasan petempatan kaum kulit putih ke arah barat. Usaha melambatkan perluasan petempatan kaum kulit putih ke arah barat melalui proklamasi tersebut dianggap dapat mengelakkan kos peperangan dengan kaum peribumi Indian. Ia juga dipercayai dapat melambatkan penghijrahan populasi dari kawasan pantai ke arah barat. Ini adalah kerana kawasan-kawasan pantai ini merupakan fokus pasaran dan pelaburan England yang sangat penting ketika itu. Dalam pada itu, proklamasi tersebut juga akan menjadi satu simpanan untuk spekulasi tanah dan perdagangan bulu binatang kepada orang Inggeris daripada aktiviti perdagangan koloni-koloni Amerika.

Sungguhpun kaum peribumi memahami sedikit tentang proklamasi tersebut yang menghendaki mereka untuk mnyerahkan kawasan tanah di sebelah timur pergunungan ke kaum kulit putih, namun kebanyakan kumpulan mereka bersetuju dan beranggapan bahawa proklamasi tersebut merupakan satu-satunya langkah penyelesaian terbaik konflik mereka dengan orang Inggeris. Terutamanya kumpulan kaum Cherokee telah secara aktif berusaha untuk memastikan sempadan mereka tidak dicerobohi oleh orang kulit putih. Hubungan antara kerajaan British dan kumpulan-kumpulan peribumi Indian di bahagian barat dikakakan sekurang-kurangnya semakin baik selepas termeterainya proklamasi tersebut, terutamanya ianya terbentuk oleh usaha pegawai-pegawai British yang perihatin dengan masalah dan keperluan kaum peribumi Indian.

Walau bagaimanapun, pada akhirnya proklamasi tersebut telah gagal memenuhi matlamatnya untuk melindungi kawasan peribumi Indian daripada pencerohonan kaum kulit putih. Masyarakat kaum kulit putih terus menerus mencerobohi sempadan dan menuntut tanah-tanah hingga jauh di pedalaman Ohio Valley. Sementara itu pihak berkuasa British juga berusaha untuk menetapkan had perluasan petempatan kaum kulit putih. Pada tahun 1768, satu perjanjian baru diadakan dengan kumpulan-kumpulan peribumi di bahagian barat dengan penetapan satu sempadan yang kekal tetapi pada hakikatnya telah memperluaskan kawasan petempatan kaum kulit putih ke kawasan petempatan peribumi Indian itu sendiri. Namun, perjanjian ini yang telah ditandatangani di dua tempat iaitu Hard Labor Creek, South Carolina dan Fort Stanwix, New York juga gagal menghalang perluasan petempatan kaum kulit putih. Dalam beberapa tahun kemudiannya, perjanjian 1768 itu telah digantikan dengan satu perjanjian baru yang mana telah memindah sempadan petempatan kaum kulit putih semakin jauh ke arah barat dalam kawasan peribumi Indian.

Respon Kolonial
Jabatan Premier Grenville mula secara langsung meningkat kuasanya ke atas koloni-koloni Amerika. Pasukan askar regular British telah ditempatkan di semua koloni dan dengan pengenalan akta Mutiny Act of 1765 semua masyarakat kolonial dikehendaki menyediakan sebarang keperluan dan mematuhi perintah askar-askar British. Kapal-kapal angkatan laut British mula mengawal perairan Amerika dalam usaha untuk memburu aktiviti penyeludupan. Perkhidmatan kastam telah disusun atau dipertingkatkan atau diperbesarkan. Pegawai-pegawai diraja telah ditempatkan di setiap pengkalan kolonial selain daripada menempatan wakil-wakil mereka. Sektor perindustrian kilang di kolonial telah dihentikan atau dilarang beroperasi dengan harapan ia tidak menjadi saingan kepada perkembangan industri yang pesat Great Britain.

Pengenalan kepada akta Sugar Act of 1764 adalah bertujuan untuk membasmikan aktiviti perdagangan gula secara haram antara kolonial Amerika dengan orang Perancis dan orang Sepanyol dari kepulauan West Indies. Akta ini juga telah membawa kepada penubuhan mahkamah-mahkamah laksamana (angkatan laut) untuk membawa para penyeludup ke muka pengadilan. Akta Currency Act of 1764 telah diperkenalkan untuk memastikan semua dewn perwakilan atau perhimpunan kolonial menghentikan percetakan wang kertas sendiri. Implikasi yang paling berkesan ekoran perlaksanaan akta gula ialah cukai ke atas semua bahan atau dokumen yang dicetak di koloni-koloni, seperti suratkhabar (newspapers), kalendar (almanacs), risalah (pamphlets), surat perjanjian (deeds), surat wasiat (wills) dan lesen (licenses). Pegawai-pegawai British mula mengutip sebanyak lebih sepuluh kali ganda pendapatan tahunan berbanding jumlah yang diperolehi pada sebelum tahun 1763. Walau bagaimanapun, polisi-polisi baru ini telah membentuk lebih banyak masalah berbanding masalah yang diselesaikan.

Masyarakat kolonial mengalami kesukaran untuk menentang pengenalan undang-undang baru tersebut. Seperkara yang ketara kesan ekoran pengenalan undang-undang baru tersebut ialah meimbulkan perasaan tidak puas hati sesama masyarakat kolonial dan juga dengan kerajaan di London. Misalnya, pada tahun 1763 sepasukan pemberontak yang dikenali sebagai Paxton Boys dari Pennsylavnia telah menyerang bandar Philadelphia untuk menuntut perlepasan cukai dan bantuan kewangan untuk membiayai peperangan mereka dengan kaum peribumi Indian. Pertumbahan darah di bandar Philadelphia itu hanya dapat dileraikan setelah dewan perhimpunan kolonial bersetuju memberi konsesinya. Pada tahun 1771, satu skala perang sivil yang kecil telah meletus di North Carolina apabila pemimpin-pemimpin (Regulators) petani dari kawasan pedalaman Carolina telah menyusun satu pasukan tentera sendiri untuk menentang kutipan cukai yang tinggi oleh penguasa-penguasa (Sheriffs) yang dilantik oleh kerajaan Kolonial (British). Pasukan British yang dibentuk daripada anggota-anggota daripada beberapa daerah di timur telah membenteras pemberontakan Regulators dalam satu perang yang dikenali sebagai Battle of Alamance. Pihak masing-masing telah kehilangan nyawa seramai sembilan orang dan ramai yang cedera. Kemudiannya seramai enam orang Regulators telah dihukum gantung atas kesalahan mengkhianat.

Walau bagaimanapun, sebagaiman telah diperkatakan bahawa disamping konflik yang meletus tersebut, pengenalan polisi-polisi baru oleh kerajaan British selepas tahun 1763 telah mula mewujudkan perasaan tidak puas hati antara sesama masyarakat kolonial Amerika. Di bawah program pemerintahan Grenville, sebagaimana menurut pandangan masyarakat kolonial Amerika bahawa semua orang dalam semua koloni Amerika akan tertekan atau hidup sengsara. Para pedagang di bahagian utara akan menghadapi kesukaran ekoran polisi pembatasan (menghadkan) ekonomi mereka, iaitu penutupan kawasan di bahagian barat daripada aktiviti spekulasi tanah dan perdagangan bulu binatang, larangan terhadap operasi perindustrian dan peningkatan beban cukai. Manakala kaum petani di wilayah selatan kolonial yang berhutang dengan saudagar-saudagar Inggeris mula terpaksa membayar cukai tambahan dan ini sudah tentu menghalang usaha mereka untuk menyelesaikan hutang melalui penerokaan tanah-tanah di kawasan barat. Kumpulan populasi yang paling ramai di koloial Amerika, iaitu petani-petani secara kecil-kecilan akan tertekan ekorang daripada polisi kenaikan cukai dan pengharaman percetakan wang kertas koloni-koloni yang mana mereka amat bergantung kepada wang kertas tersebut untuk mendapatkan kebanyakan pinjaman mereka. Para pekerja di bandar-bandar pula menghadapi masa depan yang sempit terutamanya ekoran daripada pengharaman aktivit perindustrian dan percetakan wang kertas tempatan. Beberapa larangan lain yang baru mula diperkenalkan ke atas kolonial Amerika pada awal tahun 1770an. Hakikatnya, kerajaan British telah menyalurkan wang yang banyak ke kolonial Amerika untuk membiaya perang sebelum tahun 1763. Namun sejak tahun tersebut, polisi ini telah ditamatkan. Kini kerajaan di London mula mencadangkan langkah untuk mengatasi masalah-masalah kemelesetan ekonominya dengan mengambil (balik) wang keluar daripada kolonial Amerika.

Pada hakikatnya, kebanyakan masyarakat kolonial Amerika mula sedar dan menemui cara hidup yang baru (penyesuaian) seiringan perlaksanaan undang-undang British. Dikatakan ekonomi kolonial Amerika tidaklah musnah kerana unsur-unsur ekonomi terus wujud, terutamanya di bandar-bandar yang secara langsung terdedah dengan polisi-polisi British. Namun begitu, kemelesetan ekonomi sejak awal tahun 1760an telah mengakibatkan masalah pengangguran terus meningkat. Ini telah mewujudkan keadaan huru hara yang di beberapa bandar dalam kolonial Amerika, terutamanya di Boston, iaitu merupakan bandar yang mengalami masalah ekonomi yang paling teruk.

Walau apapun beban ekonomi yang ditanggung dalam program imperial (British), namun masyarakat kolonial Amerika menganggap bahawa politik merupakan beban yang paling dahsyat. Justeru itu, masyarakat kolonial mula menyedari tentang betapa pentingnya untuk memiliki pemerintahan sendiri (self-government). Mereka mula percaya bahawa kunci ke arah tersebut adalah mencapai hak dewan-dewan perhimpunan kolonial untuk mengawal dan berkuasa sendiri, justeru telah membawa pertentangan dengan kerajaan British seterusnya.