Make your own free website on Tripod.com

AJ2153 SEJARAH AMERIKA SYARIKAT SEBELUM REVOLUSI AMERIKA
 
KULIAH KESEPULUH
PEMIKIRAN KOLONIAL

Kehidupan intelektual di Kolonial Amerika berkisar di sekitar konflik antara pandangan tradisional abad ke-16 dan ke-17 dengan penekanan terhadap penglibatan Tuhan secara peribadi dalam kehidupan individu dan semangat baru zaman kesedaran (Enlightenment) yang telah tersebar luas di alam Eropah dan Amerika, yakni menekankan kepentingan sains dan sebab-musabah manusia. Pandangan lama telah meletakan nilai yang tinggi terhadap kod moral dalam mana intelek adalah kurang penting berbanding iman. Semangat kesedaran mencadangkan bahawa manusia mempunyai kawalan terhadap kehidupan dan masyarakatnya sendiri.

Corak Agama
Toleransi agama berkembangan dengan baik di Amerika berbanding di Eropah. Ini bukan disebabkan oleh orang Amerika sendiri telah berusaha untuk mengujudnya, sebaliknya disebabkan oleh keadaan yang memerlukannya. Penduduk di Amerika telah membawa bersama mereka banyak amalan yang berbeza dan ini telah menyukarkan untuk melaksanakan satu kod agama ke atas mana-mana daerah yang besar.

Pengalaman gereja di England juga menggambarkan bagaimana sukarnya untuk menubuhkan satu agama utama yang dikongsi oleh semua koloni Amerika. Melalui undang-undang, agama Anglikan telah dijadikan sebagai agama rasmi di Virginia, Maryland, New York, Carolina dan Georgia. Di setiap koloni-koloni tersebut, di samping penyamaan kepercayaan, cukai turut dilaksana untuk membiayai gereja. Walau bagaimanapun, melainkan di Virginia dan Maryland, undang-undang yang telah meletakkan Church of England (Anglikan) sebagai agama rasmi semua koloni-koloni di Amerika telah tidak diperdulikan. Para missionari dari badan dakwah Society of the Propagation of the Gospel yang ditubuhkan pada tahun 1701 untuk menyebarkan kepercayaan Anglikan telah mencapai kejayaan di Massachusetts dan Connecticut. Namun mereka tidak pernah berjaya menjadikan Anglikan sebagai kuasa agama yang dominan di Amerika.

Malah di New England, di mana masyarakat Puritan yang pada asalnya percaya mereka terdiri daripada satu iman mula mengalami keadaan perpecahan dalam kepercayaan pada abad ke-18. Ini telah melahirkan aliran-aliran kepercayaan agama yang berlainan dalam masyarakat Puritan tersebut, terutamanya Congregationalism dan Presbyterianism. Di New York dan New Jersey, penduduk berketurunan Belanda telah menubuhkan gereja mereka sendiri, iaitu aliran Calvinism. Aliran Baptism yang pada asalnya lahir daripada aliran Calvin dan diperkenalkan oleh Roger Williams turut mengalami perpecahan kepada beberapa aliran lain. Hakikatnya aliran-aliran tersebut mempunyai prinsip kepercayaan agama yang sama, iaitu konsep rebaptism yang hanya boleh dilakukan oleh individu pada usia dewasa atau matang sahaja. Namun ada penganut Baptis yang masih mengekalkan kepercayaan Calvinisme, ada yang mempercayai konsep predestination (takdir) dan yang lainnya percaya kepada konsep salvation by free will (keselamatan menurut kehendak sendiri).

Penganut Protestan mempunyai kesediaan untuk bertoleransi di kalangan mereka sendiri, dan tidak dengan Roman Katholik. Ramai penganut Protestan bimbang dan membenci Pope. Terutamanya, penduduk-penduduk New England memandang jiran mereka di New France (di Kanada) bukan sahaja sebagai rakan saing militari dan perdagangan, malah sebagai ejen Rom. Walau bagaimanapun, di kebanyakan koloni-koloni Inggeris Amerika populasi penganut Roman Katholik adalah terlalu kecil untuk menimbul satu konflik yang besar. Kebanyakan mereka menetap di Maryland, iaitu dengan populasi tidak lebih 3,000 orang. Barangkali oleh kerana jumlah yang kecil telah menyebabkan sering kali mengalami penindasan. Selepas kejatuhan tuan tanah asal pada tahun 1691, penganut Katholik di Maryland telah kehilangan hak kuasa politik dan dilarang mempraktiskan amalan kepercayaan mereka secara terbuka, melainkan di rumah mereka.

Populasi keturunan Yahudi di Amerika adalah tidak melebihi 2,000 orang. Komuniti yang paling besar terdapat di bandar New York. Kumpulan-kumpulan komuniti yang lebih kecil pula terdapat Newport dan Charleston. Hakikatnya, orang Yahudi terdapat di setiap koloni Amerika tetapi mereka tidak mempunyai hak mengundi atau hak memegang jawatan. Hanya di Rhode Island mereka dibenarkan untuk mengamalkan kepercayaan agama mereka secara terbuka.

Menjelang awal abad ke-18, ramai penduduk Amerika mula bimbang terhadap kemerosotan kepercayaan dan amalan agama dalam masyarakat mereka. Dengan kewujudan banyak aliran agama, ramai orang mula merasa sangsi terhadap kebenaran agama orang lain, malah terhadap agama sendiri. Pergerakan aliran migrasi masyarakat ke arah barat pada ketika itu hingga mewujudkan petempatan-petempatan baru yang terletak jauh daripada petempat pusat atau asal telah menyebabkan berlaku hubungan yang semakin longgar antara kedua-kedua penduduk dan petempatan tersebut. Ini telah melahirkan gereja baru di petempatan baru yang biasanya terkeluar daripada pegangan aliran gereja yang asal. Peningkatan yang pesat dalam sektor perdagangan telah melahirkan pemikiran sekular di kawasan bandar. Perkembangan sains dan pemikiran bebas di Eropah dan pengimportan ide-ide zaman kesedaran ke Amerika telah menyebabkan ramai penduduk kolonial Amerika mula mempertikaikan kepercayaan agama tradisional.

Kesedaran tentang kemerosotan dalam kepercayaan agama mula terasa pada awal tahun 1660an di New England, di mana golongan pemimpin aliran Puritan mula memberitahu tentang bahaya yang mungkin berlaku terhadap pengurangan kuasa gereja. Mereka menyampai khotbah-khotbah tentang putus asa (dikenali sebagai jeremaids), yakni satu gambar yang jelas tentang kemerosotan kepercayaan kepada agama dalam masyarakat New England. Namun berbanding dengan masyarakat lain dalam era-era sebelum dan seterusnya, dikatakan kepercayaan di kalangan penganut Puritan masih kuat dan kukuh. Ini disebabkan oleh keperihatinan mereka terhadap kemerosotan pegangan agama merupakan satu masalah yang serius.

Kebangkitan Semula (Agama)
Pada awal abad ke-18, sikap perihatin yang seumpama mula berlaku di lain-lain koloni dan juga di kalangan penganut-penganut dalam aliran agama yang lain. Di sana sini, masyarakat mula menyedari tentang kemerosotan dalam kepercayaan agama dan percaya bahawa perlu ada pembaharuan dilakukan segera. Kesannya, buat pertama kalinya telah berlaku pembaharuan yang dikenali sebagai the great awakening dalam kepercayaan agama Kristian di Amerika.

Kebangkitan semula agama telah bermula pada tahun 1930an dan mencapai kemuncaknya pada tahun 1740an. Ia membawa satu semangat agama yang baru, yakni dianggap berjaya memulihkan semula kepercayaan agama mereka. Kebangkitan semula kepercayaaan agama ini mempunyai kesan yang mendalam terhadap kaum wanita dan generasi muda, terutamanya mereka ini merupakan pewarisi masa depan yang tidak pasti. Justeru itu, mereka memerlukan satu corak kehidupan yang lebih praktikal dan kesannya mendorong mereka berpisah daripada keluarga dan komuniti untuk memula atau membina kehidupan baru di dunia.

Para pendakwah dari England telah datang membantu menyebar ide pembaharuan agama di Amerika. John Charles Wesley yang mengasaskan aliran Methodism telah menyebarkan ajarannya di Georgia dan lain-lain koloni pada tahun 1730an. George Whitefield, pada asalnya merupakan rakan sealiran Wesley telah muncul menjadi pendakwah yang popular melalui khotbah-khotbah secara terbuka di seluruh kolonial Amerika. Namun begitu, peranan pendakwah-pendakwah luar ini tidaklah begitu penting dalam proses pembaharuan agama di kolonial Amerika jika dibandingkan dengan peranan pendakwah tempatan. Misalnya, Jonathan Edwards daripada kumpulan aliran Puritan berfahaman ortodox yang berpusat di Northampton, Massachusetts telah berjaya membawa pengaruh yang luas. Beliau menganjurkan satu doktrin baru, iaitu menekankan prinsip absolute sovereignty of God, predestinantion, and salvation by God's grace alone. Doktrin beliau bertujuan untuk menentang konsep keselamatan yang mudah (salvation by free will).

Hakikatnya, kebangkitan semula agama telah membawa kepada perpecahan dalam aliran-aliran agama (tradisional) yang sedia ada, iaitu melahirkan aliran baru. Keadaan ini memberi kesan yang mendalam dalam masyarakat di luar gereja. Wujud golongan yang melihat pembelajaran melalui buku (pendidikan sekular) sebagai satu gangguan atau ancaman terhadap kepercayaan agama hingga mereka menolak pendidikan sekular keseluruhannya. Manakala yang lain pula melihat pendidikan sekular sebagai satu kaedah untuk memperdalamkan kepercayaan agama dan mereka mengasaskan sekolah-sekolah yang memberi latihan kepada pemimpin-pemimpin baru dalam institusi agama.

Pendidikan
Di samping kesukaran yang mereka hadapi ramai penduduk koloni-koloni meletakkan nilai yang tinggi terhadap pendidikan. Walaupun beban kerja yang berat dalam sektor pertanian menghalang mereka untuk menghantar anak-anak ke sekolah, namun ada yang telah berusaha mendidik anak-anak mereka menulis dan membaca di rumah. Di Massachusetts, satu undang-undang telah diluluskan untuk mewajibkan sebuah sekolah awam dibina di setiap bandar yang dibiaya sendiri oleh penduduk bandar berkenaan. Sementara banyak komuniti gagal mentaati undang-undang tersebut, kumpulan Quakers dan lain-lain aliran mula memperkenalkan pendidik di gereja-gereja masing-masing. Wujud juga orang perseorangan, terutamanya janda atau wanita yang tidak pernah berkahwin yang membuka kelas-kelas pendidikan [disebut sebagai dame schools] di rumah-rumah mereka. Di bandar-bandar, tukang-tukang kraftangan pula membuka kelas malam di premis-premis mereka.
Kaum lelaki dalam masyarakat kaum kulit putih mempunyai kadar literasi yang tinggi pada abad ke-18. Menjelang era Revolusi lebih separuh daripada kaum lelaki kulit putih boleh membaca dan menulis, yakni kadar yang tertinggi mengatasi kaum lelaki di negara-negara Eropah ketika itu. Kadar literasi di kalangan kaum wanita adalah amat rendah dan jauh sekali untuk menandingi kaum lelaki sehingga abad ke-19. Ini disebabkan mereka langsung diberi peluang untuk mendapat pendidikan asas sebelum abad ke-19. Namun begitu, kadar literasi kaum wanita di Amerika lebih tinggi berbanding kaum wanita di negara-negara Eropah.
Kaum kulit hitam Afrika Amerika yang majoritinya merupakan lapisan hamba abdi tidak mempunyai peluang untuk menikmati pendidikan formal. Sungguhpun pada awalnya terdapat usaha tuan-tuan tanah mengajar anak-anak hamba abdi membaca dan menulis, namun apabila sistem perhambaan menjadi kukuh hingga mewujudkan pengasingan sosial yang diperketatkan penwujudan undang-undang telah menghalang sebarang usaha memberi pendidikan kepada kaum hamba abdi. Dengan menghalang pendidikan di kalangan hamba abdi akan dapat menegah mereka untuk sedar atau bangun mempersoalkan hak mereka.

Manakala kaum peribumi Indian kekal menjadi masyarakat yang tersisih di luar sistem pendidikan kaum kulit putih. Malah mereka juga lebih gemar untuk mendidik anak-anak mereka dengan cara tersendiri. Namun terdapat pendakwah-pendakwah kulit putih yang telah masuk menyebarkan agama di kalangan kaum peribumi mula membina sekolah-sekolah untuk anak-anak peribumi hingga melahirkan satu kumpulan kecil populasi Indian yang boleh membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris.

Perkembangan semangat kesedaran mungkin tidak begitu jelas di tempat-tempat lain berbanding kolej-kolej dan universiti-universiti di kolonial Amerika. Lebih kurang 6 buah kolej telah mula beroperasi pada tahun 1763, dan semuanya kecuali dua telah diasaskan oleh kumpulan-kumpulan aliran agama yang pada asalnya untuk melatih para pendakwah atau missionari. Namun begitu, hampir semuanya telah dipengaruhi oleh ilmu sains dan dapat dirasai wujudnya pendekatan rasional terhadap ilmu pengetahuan.

Harvard merupakan kolej Amerika yang pertama ditubuhkan pada tahun 1636, terutamanya oleh pemimpin agama Puritan yang bertujuan untuk memberi latihan kepada para pendakwahnya. Kolej ini telah diberi nama sempena pemimpin agama bandar Charlestown, John Harvard. Beliau telah menderma perpustakaan peribadinya dan separuh daripada harta miliknya kepada kolej tersebut. Beberapa dekad kemudian, iaitu pada tahun 1693, Kolej William and Mary (sempana nama raja dan ratu England) telah ditubuhkan di bandar Williamsburg, Virginia oleh kumpulan aliran Anglikan. Sebagaimana kewujudan kolej Harvard, kolej ini juga dibina untuk memberi latihan kepada pada missionarinya. Dan pada tahun 1701, satu aliran Congregationalis Congregationalis yang berfahaman konservatif, ekoran daripada rasa tidak puas hati dengan penyebaran fahaman liberalisme di kolej Harvard telah mendorong mereka untuk membina kolej Yale di bandar New Haven, Connecticut, yakni dinamakan sempena pemimpin mereka Elihu Yale. Di samping itu, kolej New Jersey juga ditubuhkan pada tahun 1746 tetapi ditukar nama kepada kolej Princeton kemudian sempena nama bandar letakkannya. Salah seorang presidennya yang pertama ialah Jonathan Edwards.

Selain daripada asas pendidikan berbentuk keagamaan, kebanyakan daripada kolej-kolej tersebut menawarkan pengajian yang meliputi bukan sahaja teologi, malah logik, etnik, fizik, geometri, astronomi, retorik, bahasa Latin, bahasa Yahudi dan bahasa Greek. Kolej King telah ditubuhkan di New York pada tahun 1754, yang kemudiannya telah ditukar nama menjadi kolej Columbia, khususnya sebagai pengiktirafan kepada penyebaran pengetahuan sekular. Kolej ini tidak mempunyai fakulti teologi kerana ia sejak mula lagi ia muncul daripada asas pengetahaun sekular. Kolej dan Akademi Philadelphia yang kemudiannya menjadi Universiti Pennsylvania telah ditubuhkan pada tahun 1755, yakni sebuah institusi yang bersifat sekular secara total. Ia telah diasaskan oleh beberapa pendakwah agama dibawah pimpinan dan aspirasi Benjamin Franklin.

Selepas tahun 1700, kebanyakan pemimpin politik di koloni-koloni telah mendapat pendidikan penuh di Amerika (tanpa pergi ke England). Walau bagaimanapun, peluang untuk mendapat pendidikan di peringkat yang tinggi tidaklah terbuka luas. Kaum perempuan, kaum kulit hitam dan kaum peribumi Indian telah disisihkan daripada memasuki pendidikan di kolej dan universiti. Di kalangan kaum kulit putih sendiripun, hanya mereka yang mempunyai kelurga berpengaruh sahaja yang mampu untuk belajar di situ.

Konsep Undang-undang dan Politik
Dalam bidang undang-undang dan politik, sebagaimana juga wujudnya bidang-bidang kehidupan mereka yang lain, orang Amerika pada abad ke-17 and ke-18 percaya bahawa mereka sedang membina semula amalan dan institusi lama di 'dunia baru' mereka. Namun di tempat-tempat lain, pada hakikatnya, mereka membina sesuatu yang amat berlainan.
Perubahan dalam undang-undang di Amerika adalah kesan daripada kekurangan peguam terlatih dari England, hinggakan mereka hampir tidak dikenalipun di kolonial Amerika sebelum tahun 1700. Dalam pada itu, kolonial Amerika mengambil kebanyakan elemen sistem undang-undangnya daripada sistem England, seperti hak diadili oleh juri, perbezaan yang signifikan dalam pembangunan procedur mahkamah, hukuman, dan pengklasifikasian jenayah. Di England, misalnya, serangan melalui bahan cetak terhadap seseorang pegawai kerajaan, sama ada benar atau tidak, adalah dianggap sebagai libelous (fitnah semata-mata). Dalam satu kes dakwaan pada than 1734 di New York terhadap seorang pemilik premis percetakan bernama John Andrew Zenger yang diwakili oleh seorang peguam yang berwibawa, Andrew Hamilton dari Philadelphia, mahkamah telah memerintah bahawa kritikan terhadap kerajaan adalah bukan fitnah jika ianya suatu kebenaran. Dengan keputusan mahkamah ini telah membuang beberapa bentuk larangan terhadap kebebasan percetakan di kolonial Amerika.

Lebih signifikan kepada masa depan hubungan antara kolonial Amerika dan England adalah kemunculan perbezaan sistem politik antara masyarakat Amerika dan masyarakat British. Oleh kerana kerajaan diraja, yang pada teorinya mempunyai kuasa ke atas semua koloni Amerika tetapi terletak begitu jauh, maka orang Amerika mula menubuh institusi-institusi politik masing-masing yang terbentuk menjadi kerajaan pemerintahan sendiri. Di kebanyakan koloni ini, komuniti-komuniti tempatan telah berkembang untuk mengurus hal ehwal mereka sendiri dengan sedikit campurtangan daripada daripada kuasa tertinggi di England. Institusi-institusi perhimpunan di setiap koloni mempunyai kuasa yang lebih banyak daripada kuasa parlimen di England. Gabenor-gabenor wilayah yang dilantik oleh raja England selepas tahun 1690an mempunyai kuasa yang luas secara hitam putih sahaja, tetapi paa hakikatnya pengaruh mereka adalah sangat terhad. Kawalan terhadap perlantikan dan kontrak adalah terletak dalam kuasa kerajaan England ataupun pemimpin kolonial tempatan. Seorang gabenor akan diganti bila-bila masa sahaja apabila kerajaan England telah hilang kepercayaan terhadapnya. Dan dalam beberapa kes, gabenor-gabenor yang dilantik dikatakan tidak mempunyai pengetahuan yang cukup terhadap masyarakat koloni yang akan ditadbir. Kebanyakan gabenor adalah berketurunan orang Inggeris yang pertama kali datang ke Amerika untuk menjawat jawatannya.

Kesan daripada keadaan tersebut tadi adalah bahawa fokus politik di koloni-koloni kini beralih kepada politik tempatan, yakni kerajaan-kerajaan tempatan mula membentuk pentadbiran yang bebas daripada campurtangan parlimen England. Justeru itu, wujud perbezaan yang ketara antara semua koloni di Amerika. Ini telah menimbulkan banyak masalah kepada pihak kerajaan England seterusnya. Maka bermula pada tahun 1763, kerajaan England mula mengambil langkah-langkah untuk mengukuhkan kawalannya ke atas koloni-koloni di Amerika.