Make your own free website on Tripod.com

AJ2153 SEJARAH AMERIKA SYARIKAT SEBELUM REVOLUSI AMERIKA
 
KULIAH KESEMBILAN
CORAK MASYARAKAT KOLONIAL

Sungguhpun wujud perbezaan social yang ketara di antara koloni-koloni, namun sistem kelas yang terdapat di England dikenalpasti telah gagal menyerap masuk ke Amerika. Di England, wujud keadaan kekurangan tanah dan populasi yang besar, dan secara relativnya golongan minoriti kaum tuan tanah mempunyai kuasa yang luas ke atas golongan majoriti yang tidak mempunyai tanah. Berbeza di Amerika, tanah-tanah bukan sahaja tidak diusahakan malah mempunyai penduduk yang sedikit. Golongan aristrokrat memang wujud di Amerika, tetapi mereka cenderung untuk bergantung kepada tanah sendiri daripada usaha menguasai tenaga pekerja. Pada umumnya keselamatan mereka dikatakan tidak terjamin dan juga tidak berkuasa berbanding rakan-rakan kelas [aristokrat] di England. Jika dibandingkan dengan England, mobilisasi sosial adalah terbuka di Amerika, sama ada dari bawah ke atas ataupun sebaliknya. Terdapat juga beberapa corak baru dalam komuniti di Amerika dan ianya amat berbeza antara satu wilayah dengan wilayah yang lain.

PERLADANGAN
Sistem perladangan di Amerika Selatan jelas digambarkan melalui perancangan komuniti koloni-koloni dalam bertindak balas terhadap keadaan tempatan. Perladangan pertama yang diusahakan wujud dalam kawasan penanaman tembakau di Virginia dan Maryland. Ramai di kalangan peladang yang terawal berharap dapat membentuk kuasa aristokrat ala England. Misalnya, estet tembakau yang besar di Maryland telah diberikan oleh Lord Baltimore kepada saudara mara dan kawan-kawannya, yakni satu aristokrasi yang seumpamanya pernah wujud di sini. Walau bagaimanapun, pada keseluruhannya perladangan kolonial adalah sukar pada abad ke-17 dan secara relatifnya hanya terdapat estet-estet bersaiz kecil. Pada peringkat awal petempatan di Virginia, hanya sedikit usaha membersihkan tanah telah dilalukan dan tenaga hamba berhutang dikerah bekerja secara zalim sehingga kematian berlaku pada setiap hari. Malah pada beberapa tahun kemudiannya, bila kadar kematian telah menurun dan hak pemilik tanah menjadi semakin kukuh, jumlah tenaga kerja jarang sekali mencapai 30 orang. Kebanyakan tuan-tuan tanah tinggal di rumah atau pondok yang buruk, dengan hamba-hamba mereka tinggal berdekatan.

Ekonomi perladangan adalah tidak tentu atau tidak stabil. Peladang-peladang tidak dapat mengawal pasaran mereka, maka majoriti di kalangan mereka terdedah kepada risiko secara terus menerus. Bila harga jatuh, sebagaimana berlaku kepada harga tembakau pada tahun 1660an, propeks ekonomi mereka hampir lenyap. Ekonomi perladangan telah melahirkan ramai tuan-tuan tanah, tetapi ia juga memusnahkan ramai daripada mereka.
Oleh kerana perladangan adalah jauh daripada bandar-bandar, maka mereka cenderung menjadi komuniti-komuniti mudah berpuas hati. Peladang-peladang yang kaya sering kali mewujudkan sesuatu yang memenuhi bandar dengan keupayaan tanaman mereka. Peladang-peladang secara kecil-kecilan hidup lebih sederhana, namun secara relatifnya masih mampu menyara diri sendiri. Di estet-estet yang lebih besar, tidak seperti isteri peladang sederhana, isteri peladang yang kaya mempunyai ramai pembantu untuk melakukan kerja-kerja rumah dan mempunyai masa yang lebih untuk melayani suami dan anak-anak. Namun ramai juga yang bertolak-ansur terhadap perlakuan seksual antara suami atau anak lelaki dengan wanita kulit hitam dalam komuniti hamba abdi mereka.

Sungguhpun pendapatan peladang-peladang boleh meningkat dan jatuh dengan cepat, sering kali wujud tuan-tuan tanah kaya tertentu yang mempunyai pengaruhi sosial dan ekonomi. Seseorang tuan tanah kaya bukan sahaja mempunyai kuasa kawalan terhadap kehidupan mereka yang bekerja di ladang-ladangnya tetapi kehidupan peladang-peladang [jiran] berdekatan yang tidak dapat bersaing telah terpaksa bergantung kepadanya untuk menjual hasil-hasil tanaman mereka dan mendapatkan kredit. Terdapat golongan peladang kaum kulit putih yang tidak dapat memiliki tanah mereka sendiri dan menyewakan ladang mereka kepada peladang-peladang kaya. Wujud peladang-peladang yang berdikari mengerjakan ladang dengan sedikit atau tanpa hamba abdi membentuk majoriti populasi agraria [petani] di koloni-koloni wilayah selatan tetapi peladang kaya pula mendominasi ekonomi agrarianya.

Hamba abdi keturunan Afrika-Amerika mempunyai cara hidup yang sangat berbeza. Di ladang-ladang yang kecil, yang mempunyai sedikit hamba, tidak semudahnya terbentuk pengasingan di antara kaum kulit hitam dan kaum kulit putih. Tetapi lebih tiga perempat daripada semua kaum kulit hitam tinggal di landang yang mempunyai 10 orang hamba abdi, dan hampir separuh yang tinggal dalam komuniti seramai 50 orang hamba abdi atau lebih. Di kawasan ini mereka mula membentuk masyarakat dan budaya sendiri. Walaupun orang kulit putih jarang sekali menggalakkan perkahwinan secara formal di kalangan hamba abdi, namun orang kulit hitam dapat membentuk struktur keluarga yang kuat dan tersusun. Golongan hamba mampu membina keluarga besar dan pada masa yang sama dapat membina tempat kediaman yang stabil. Tetapi kedudukan keluarga mereka adalah tidak kekal kerana pada bila-bila masa terdapat ahli keluarga mereka yang dijual kepada peladang berdekatan ataupun kepada peladang di koloni lain. Kesannya, kaum kulit hitam memberi tumpuan khusus terhadap penyebaran hubungan kekeluargaan dan membentuk hubungan kekeluargaan dengan mereka yang terpisah daripada keluarga kandung. Wujud satu aliran agama yang unik di kalangan kaum kulit hitam, yakni kepercayaan Kristian yang dicampur-adukkan dengan tradisi lisan [folklore] mereka. Kepercayaan ini telah menjadi elemen terpenting dalam kewujudan sebuah kebudayaan kaum kulit hitam yang tersendiri.

Namun demikian, masyarakat kaum kulit hitam adalah tertakluk kepada penguasaan yang berterusan dalam interaksi mereka dengan kaum kulit putih. Misalnya, seseorang kaum hamba kulit hitam diasingkan dari komunitinya dan berada di bawah penguasaan orang kulit putih. Wanita kaum kulit hitam selalunya tertakluk kepada perlakuan seksual tuan-tuan tanah sehingga melahirkan kanak-kanak keturunan Mulatto (campuran] dan jarang sekali diakui oleh si ayah [kulit putih] sebaliknya diterima dalam komuniti hamba abdi. Di beberapa ladang, pekerja kaum kulit hitam dilayan dengan baik dan kadang kala bertindak-balas dengan ketulenan kasih yang teguh dan mendalam. Di ladang-ladang lain, golongan hamba abdi mengalami tekanan fizikal dan dilayan secara kejam.

Terdapat beberapa pemberontakan kaum hamba abdi dalam tempoh zaman kolonial di Amerika. Pemberontakan paling penting adalah Pemberontakan Stono di South Carolina pada tahun 1739. Seramai 100 orang kaum kulit hitam telah bangkit merampas senjata dan membunuh beberapa orang kaum kulit putih dan cuba melarikan diri ke Florida. Pemberontakan tersebut telah dipatahkan dengan cepat dan kebanyakan pemberontakan telah dihukum bunuh. Corak penentangan secara melarikan diri sering berlaku, tetapi ianya bukanlah jalan penyelesaian. Tidak ada tempat yang selamat hendak dituju. Olewh itu, bagi kebanyakan kaum hamba abdi ini memilih untuk terus bersama tuan-tuan mereka.
Kebanyakan hamba abdi lelaki dan wanita bekerja menggunakan tulang empat kerat (wanita mempunyai beban tambahan iaitu memasak dan menjaga anak-anak). Namun di ladang-ladang besar yang mendorong ramai daripada mereka untuk belajar berdagang dan bertukang, seperti tukang besi, tukang kayu, tukang kasut, tukang jahit, bidan dan sebagainya. Kemahiran tenaga kerja ini kadang kala diupah oleh peladang-peladang yang lain. Ramai yang mula membina premis perusahaan sendiri di bandar-bandar dan berkongsi keuntungan pendapatan dengan tuan-tuan mereka. Segelintir telah mampu membeli kebebasan diri mereka. Terdapat sekumpulan kecil populasi kaum kulit hitam menetap di bandar-bandar wilayah selatan sebelum meletusnya Revolusi [1775].

MASYARAKAT PURITAN
Ciri-ciri unit sosial di New England tidaklah dirujuk kepada ladang yang terpencil tetapi bandar-bandarnya. Pada peringakt awal tahun kolonialisasi, penempatan-petempatan baru telah menggubal satu 'perjanjian' (convenant) yang mengikat setiap penduduk dalam satu unit keagamaan dan sosial. Bentuk struktur bandar itu sendiri menggambarkan semangat permuafakatan tersebut. Masyarakat koloni telah menyusun kampung-kampung mereka dengan membina rumah-rumah dan balairaya secara membulat mengelilingi satu kawasan padang lapang milik bersama. Dengan demikian, setiap keluarga tinggal berdekatan dengan jiran mereka dan ini menguatkan lagi semangat kekeluargaan dalam komuniti mereka. Mereka telah membahagi-bahagikan kawasan hutan di antara mereka. Pembahagian keluasan dan lokasi tanah tersebut adalah tertakluk kepada jumlah anggota keluarga, harta dan status sosial.

Sebaik sahaja bandar itu wujud, maka penduduk mengadakan mesyuarat tahunan untuk menyelesaikan persoalan-persoalan yang mustahak dan memilih daripada kalangan orang-orang yang berkelayakan untuk menjalankan urusan pentadbiran bandar itu. Penyertaan dalam mesyuarat ini adalah terhad kepada lelaki dewasa yang juga merupakan anggota gereja. Hanya orang-orang yang terbukti kejujurannya dengan gaya hidup yang baik serta sudah dibaptiskan (ritual penerimaan menjadi Kristian] akan dipilih dari kalangan ahli yang terhormat untuk menjadi anggota penuh. Namun begitu, penduduk lain dalam bandar itu adalah dikehendaki untuk hadir dalam upacara agama di gerejanya.

Warga New England tidak lagi mengamalkan system pewarisan Inggeris yang berteraskan hak anak sulong - pewarisan semua harta kepada anak sulong. Disebaliknya, seorang ayah akan membahagi-bahagikan hartanahnya kepada semua anak lelakinya. Dengan kuasa mutlak ini maka seorang ayah dapat menguasai harta pusaka dan keluarganya. Biasanya seseorang anak lelaki akan menjangkau umur lewat dua puluhan sebelum dia dibenarkan berkeluarga sendiri dan mengerjakan tanahnya. Walaupun demikian, anak-anak lelaki akan terus hidup bersama atau berdekatan dengan ibu bapa mereka. Manakala anak-anak perempuan pula adalah lebih bebas disebabkan mereka tidak berhak mewarisi hartatanah dari keluarga mereka.

Pendek kata, masyarakat Puritan yang awal merupakan sekumpulan organisma yang hidup begitu rapat. Pada keseluruhannya, bandar itu terikat oleh perjanjian asal penyatuan susunan perkampungan itu, oleh kuasa pihak gereja dan oleh mesyuarat bandar. Keluarga itu juga dipersatukan oleh struktur patriarchal yang ketat sehingga anak lelaki yang masih muda dilarang untuk membuat keputusan sendiri. Tetapi dengan peredaran zaman dan pertambahan anggota masyarakat maka struktur ini telah mengalami kemerosotan. Sebahagian disebabkan oleh peningkatan komersilisasi dalam masyarakat New England, yang memperkenalkan tekanan dan ketegangan baru kepada masyarakat dalam kawasan itu. Pertambahan penduduk juga menyebabkan terjadinya tekanan dan ketegangan ini. Apabila bandar itu berkembang maka penduduknya akan mengerjakan tanah. Mereka semakin jauh dari pusat komuniti (e.g. bandar) dan oleh kerana itu mereka akan tinggal semakin jauh dari gereja. Maka sehubungan dengan ini kumpulan yang sudah tinggal berjauhan dengan pusat komuniti akan memohon kebenaran untuk membina satu gereja mereka sendiri dan biasanya inilah langkah pertama ke arah pembentukan satu bandar baru. Hakikatnya, kerap kali permohonan sedemikian itu mendapat tentangan hebat daripada penduduk kampung asal hingga menyebabkan pertengkaran sengit berlaku di antara penduduk asal dengan penduduk yang sudah berhijrah jauh. Barangkali penduduk berhijrah itu bercadang untuk memisahkan diri dari kumpulan penduduk asal menyebabkan pertelingkahan antara keuda-dua pihak meletus.

Penguasaan tanah oleh kaum ayah juga akan menyebabkan ketegangan. Dalam generasi pertama, seorang ayah menguasai cukup tanah untuk keperluan anak-anak lelakinya. Tetapi selepas beberapa generasi, tanah-tanah itu tidak lagi mencukupi kerana sudah diagih-agihkan sebanyak tiga atau empat kali di antara anak-anak dan cucu-cicitnya. Tambahan pula perkampungan tidak boleh lagi berkembang kerana pembentukan bandar baru di sekelilingnya. Kesannya, akan wujud dalam masyarakat itu satu kumpulan muda yang akan berhijrah jauh untuk membina satu lagi bandar baru.

Akan tetapi, disebabkan standard penempatan pada tahun-tahun awal dan harapan masyarakat Puritan yang begitu ketat maka bandar-bandar di New England mulai berkembang. Jika dibandingkan dengan kebanyakan masyarakat di England atau di tempat lain di Amerika, bandar-bandar masyarakat Puritan masih lagi kekal terkenal dengan sifat perkaumannya.

Ketegangan yang berlaku dalam masyarakat Puritan boleh melahirkan kejadian yang ganjil dan merugikan. Misalnya, kejadian histeria pada tahun 1680an dan 1690an akibat tuduhan ke atas pengamal ilmu sihir di New England. Kejadian yang paling buruk berlaku adalah di bandar Salem, Massachussets, di mana ramai perempuan remaja mengalami kelakuan ganjil dan menuduh beberapa tenaga pembantu rumah keturunan West Indian sebagai pengamal ilmu sihir ini. Histeria telah berkembang di seluruh bandar dan ratusan perempuan telah dituduh sebagai pengamal ilmu sihir. Seramai sembilan belas orang penduduk perempuan di Salem telah dihukum mati sebelum perbicaraan berakhir pada tahun 1692, terutamanya apabila kumpulan perempuan remaja yang memulakan tuduhan tersebut telah menarik balik tuduhan mereka dan mengaku bahawa mereka telah memutar-belitkan cerita yang sebenarnya.

Pengalaman di Salem bukanlah satu hal yang unik. Tuduhan ke atas ahli-ahli ilmu sihir telah berkembang di kebanyakan bandar New England pada awal tahun 1690an, malah telah berlaku berulangkali dalam masyarakat Puritan pada beberapa tahun sebelumnya. Hasil penyelidikan ke atas kumpulan ahli-ahli ilmu sihir tersebut telah membongkarkan rahsia sebenarnya bahawa kebanyakan mereka yang terlibat adalah terdiri daripada kaum perempuan berumur separuh abad. Kebiasaanya adalah kaum janda yang mempunyai beberapa orang atau tanpa anak. Ahli-ahli sihir yang dituduh selalunya mempunyai status sosial yang rendah, kerapa kali akan dituduh melakukan jenayah serta dianggap ganas oleh jiran-jiran mereka. Ramai ahli-ahli sihir ini adalah perempuan yang tidak mempunyai hubungan kuat dengan struktur patriarchal' keluarga dan yang melanggar peraturan-peraturan atau norma-norma masyarakat Puritan yang dibentuk untuk melalui perjanjian asal. Ini menggambarkan bahawa wujud ketegangan terhadap tanggapan tentang peranan wanita, yakni dianggap golongan yang lemah ini telah memainkan peranan penting dalam menimbulkan krisis atau punca kepada keadaan yang tidak stabil. Kontroversi ahli-ahli sihir juga adalah gambaran ke atas masyarakat di New England yang berpegang teguh kepada ciri-ciri keagamaan. Warga New England percaya kepada kuasa syaitan dan pengaruhnya kepada kuasa di dunia. Kepercayan kepada ahli-ahli bukanlah kepercayaan sampingan semata-mata yang ditolak oleh kebanyakan orang. Akan tetapi ia adalah unsur-unsur kebiasaan dan keyakinan dalam agama Puritan.

PERBANDARAN
Sungguhpun masyarakat penjajah paling ramai namun mereka tidaklah seramai dengan sebuah bandar kecil yang moden. Namun demikian mengikut piawaian dalam abad kelapan belas, perbandaran juga terebntuk di Amerika dan pada tahun 1770an dua Bandar pelabuhan terbesar- Philadelphia dan New York - masing-masing mempunyai penduduk seramai 28 000 dan 25 000 orang yang membuatkan Bandar ini lebih besar daripada kebanyakan pusat Bandar Inggeris. Mengikut standard masa kini perbandaran berikut iaitu Boston (16 000 orang), Charles Town (kemudian dipanggil Charleston), Carolina Selatan dan New Port, Rhode Island (11 000 orang) adalah dianggarkan mempunyai penduduk yang ramai.

Perbandaran penjajahan memainkan peranan sebagai pusat perdagangan bagi petani dalam kawasan itu dan pasaran bagi perdagangan antarabangsa. Pemimpin-pemimpin penjajah selalunya adalah peniaga yang telah memiliki kawasan estet yang agak luas. Perbezaan kelas yang ketara kemungkinan tidak berlaku dalam Bandar akan tetapi berlaku dalam kehidupan penjajahan itu sendiri (kecuali diantara tuan dan hambanya) terutama sekali perbezaan social begitu jelas dan kenampakan di kawasan perbandaran.

Perbandaran adalah pusat di mana berlakunya banyak industri yang terdapat dalam jajahan ini seperti hilang memproses bahan-bahan mentah yang diimport untuk dieksport. Bandar adalah juga lokasi kepada sekolah-sekolah yang maju dan tempat di mana terdapat aktiviti kebudayaan yang begitu sofistikated dan tempat barang yang diimport dapat diperolehi. Tambahan kepada ini, terdapat banyak masalah social dalam Bandar seperti jenayah, pelacuran, pencemaran dan kesesakan trafik. Dibandingkan dengan bandar kecil, bandar memerlukan balai polis dan balai bomba dan perlu pembentukan system sokongan bagi warga bandar yang miskin, yang semakin bertambah apabila krisis ekonomi berlaku dan bandar terdedah kepada masalah ini.

Akhirnya, bandar menjadi tempat idea baru boleh diedar dan dibincangkan. Disitu ada suratkhabar, buku-buku, dan lain-lain penerbitan dari luar negara dan kerana ini akan melahirkan pengaruh-pengaruh intelek. Kedai-kedai minum dan kedai kopi dibandar menjadi pusat perbincangan bagi orang-orang Bandar berbincang dan berbahas tentang isu-isu masa kini. Maka inilah satu-satu sebab mengapa krisis pemberontakan meningkat pada tahun 1760an dan 1770an dan didapati jelas mula-mula berlaku dibandar-bandar.