Make your own free website on Tripod.com

AJ2153 SEJARAH AMERIKA SYARIKAT SEBELUM REVOLUSI AMERIKA
 
KULIAH KELAPAN
EKONOMI KOLONIAL

Sektor Pertanian hampir mendominasi semua kawasan petempatan orang Eropah dan orang Afrika di Amerika Utara pada sepanjang abad ke-17 dan ke-18. Sungguhpun begitu, ekonomi di setiap wilayah adalah berbeza antara satu sama lain.

Ekonomi Wilayah Selatan
Permintaan terhadap tembakau dari Eropah telah membolehkan ramai petani di Chesapeake (Maryland dan Virginia) mendapat pendapatan yang lumayan dan juga membawa kemakmuran di wilayah tersebut. Namun pada sepanjang abad ke-17 dan ke-18, pengeluaran tembakau sering kali melebihi permintaan menyebabkan harga hasil tanaman tersebut mengalami kejatuhan harga terus menerus. Kesannya, ekonomi Chesapeake telah beberapa kali tergendala, iaitu kejadian pertama kali dan terbesar telah berlaku pada tahun 1640.

Kebanyakan petani di Chesapeake percaya bahawa langkah yang baik untuk melindungi mereka daripada ketidakstabilan pasaran adalah dengan menanam lebih banyak lagi tembakau. Keadaan tersebut telah mengakibatkan masalah pengeluaran berlebihan semakin teruk. Ia juga menggalakkan. Ia juga menggalakkan petani-petani lain yang kaya untuk menambah hakmilik tanah ladang, meluaskan ladang mereka dan memerlukan tambahan tenaga buruh. Selepas tahun 1700, penanaman tembakau mula menggunakan lebih ramai tenaga hamba abdi. South Carolina dan Georgia amat bergantung kepada penanaman padi, terutamanya dengan kewujudan daratan rendah di pinggir pantai dan disaliri oleh banyak anak sungai yang kadang kala melimpah sekaligus membekal air ke ladang-ladang mereka. Menanam padi melibatkan kerja yang keras, terutamanya mengusahakan tanah berpaya tempat pembiakan malaria dan amat kotor. Keadaan ini telah menyebabkan orang kulit putih enggan membuat kerja-kerja di sawah padi. Tambahan pula, kaum petani kulit putih di South Carolina dan Georgia adalah amat bergantung kepada tenaga hamba abdi berbanding dengan kaum petani di wilaya utara. Orang Afrika sudah biasa dengan penanaman padi kerana sebahagian daripada mereka datang dari kawasan penanaman padi di barat Afrika dan sebahagian mereka pula sudah biasa dengan keadaan cuaca yang panas berbanding dengan orang Eropah.

Oleh kerana pergantungan terhadap tanaman komersial secara meluas, maka pembangunan koloni-koloni di selatan menjadi pusat perdagangan atau ekonomi perindustrian adalah agak lambat berbanding dengan koloni-koloni di utara. Sebahagian besar perdagangan tembakau dan beras adalah dikendalikan oleh pedagang-pedagang yang berpusat di London pada mulanya dan kemudian mereka berpusat di koloni-koloni utara. Cuma sedikit bandar yang berjaya membangun menjadi bandar bersaiz sederhana di koloni-koloni selatan. Ini merupakan corak dan ciri penting kepada ekonomi wilayah selatan, yang membezakan mereka dengan wilayahutara dalam tempoh dua abad.

Ekonomi Wilayah Utara
Di wilayah utara Amerika [seperti juga di wilayah selatan] sektor pertanian juga terus mendominasi aktiviti ekonominya, tetapi tanamannya bersifat pelbagai berbanding dengan wilayah selatan. Tambahan kepada sektor ekonomi pertanian ini, masyarakat di sini mempunyai kecenderungan yang tinggi dalam sektor ekonomi perdagangan.

Salah satu sebab mengapa sektor pertanian tidak dapat kekal sebagai perekonomian terpenting kepada masyarakat di wilayah utara adalah kerana keadaan untuk bercucuk tanam adalah kurang sesuai berbanding dengan keadaan di wilayah selatan. Di daerah utara New England, khususnya keadaan cuaca yang terlalu sejuk dan tanah keras dan berbatu menyukarkan masyarakat koloni di sini untuk mengusahakan sesuatu tanaman secara besar-besaran untuk tujuan komersial sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakan koloni di selatan. Kebanyakan penduduk New England tidak menghasilkan satu tanaman utama yang akan menjadi tanaman untuk eksport. Mereka bercucuk tanam untuk keperluan sendiri dan tempatan. Keadaan untuk bercucuk tanam adalah lebih baik di daerah selatan New England dan koloni-koloni tengah [Pennsylvania, New York dan Virginia] di mana terdapat tanah yang subur dan keadaan cuaca yang sederhana. Justeru itu, lembah Sungai Connecticut, Pennsylvania dan New York merupakan pembekal utama sumber gandum kepada New England dan juga beberapa daerah di wilayah selatan.

Bermula dengan kegagalan usaha untuk menubuhkan sebuah industri besi di Saugus, Massachusetts pada pertengahan abad ke-17, penduduk koloni New England and koloni-koloni wilayah tengah mula mencebur diri dalam sektor perindustrian. Hampir semua penduduk koloni terlibat dalam bentuk perindustrian secara kecil-kecilan di petempatan atau rumah mereka. Perindustrian seumpama merupakan sumber penting yang membekalkan barangan untuk didagang atau dijualkan oleh penduduk di sini. Di samping usaha industri di rumah (domestik), tukang-tukang ukir dan seni telah membina perusahaan mereka di kawasan bandar-bandar seperti perusahaan kasut (coblers), besi (blacksmith), senapang (riflemakers), kabinet (cabinetmakers), perak (silversmiths) dan percetakan (printers). Di beberapa tempat, terdapat pengusaha-pengusaha membina kilang-kilang pengisar yang kecil di sungai bealiran deras untuk membekal tenaga kepada kilang pakaian atau kilang papan. Malah terdapat perindustrian pembinaan kapal yang kian berkembang maju dalam beberapa daerah koloni-koloni utara di Amerika.

Perusahaan industri yang paling besar di seluruh daerah Inggeris di utara Amerika adalah perusahaan besi, terutamanya didominasi oleh pengusaha berbangsa Jerman, Peter Hasenclever di utara New Jersey. Perusahaan beliau telah bermula pada tahun 1764 dengan bantuan modal kerajaan British. Ketika itu ia mengupah ratusan orang buruh yang kebanyakannya diimport dari Jerman. Terdapat segelintir pengusaha perushaan besi secara kecil-kecilan di setiap koloni-koloni utara, khususnya tertumpu di Massachusetts, New Jersey dan Pennsylvania. Perusahaan besi juga wujud di beberapa koloni selatan tetapi sektor tersebut dan lain-lain bentuk perkilangan tidak begitu penting berbanding sektor pertanian ketika itu. Lebih-lebih lagi kewujudan akta Iron Act of 1750 telah menyebabkan perusahaan besi tidak popular di koloni-koloni selatan. Akta ini melarang aktiviti atau kewujudan perusahaan besi di benua tersebut, terutamanya dalam lingkungan empayar England di Amerika. Di samping itu, terdapat juga usaha larangan lain yang cuba mengurangkan perushaan benang, topi dan lain-lain barangan dikenakan ke atas kolonial Amerika. Namun dalam perkembangan perindustrian di Amerika masalah-masalah utama yang dihadapi ialah kekurangan tenaga buruh, pasaran tempatan yang kecil, kemudahan pengangkutan yang kurang dan bekalan tenaga pengerak kilang yang tidak mencukupi.

Walau bagaimanapun, perusahaan yang teramat penting kepada ekonomi koloni-koloni di utara Amerika adalah perindustrian ektraktif (extractive), iaitu yang telah mengeksploitasi sumber-sumber semulajadi di benua tersebut. Menjelang pertenghan abad ke-17, perdagangan bulu yang suatu ketika dahulu mula merosot kerana pembekalan bulu binatang yang diternak sepanjang kawasan pantai Atlantik hampir pupus dan perdagangan bulu di kawasan pedalaman kebanyakannya didominasi oleh kaum peribumi Algonquins dan sekutu mereka kuasa Perancis. Keadaan ini menyebabkan berlaku peralihan kepada perusahaan papan, perlombongan dan perikanan, terutamanya di perairan pantai New England. Perusahaan industri ini telah menyediakan bekalan komoditi yang boleh dieksport ke England untuk pertukaran kepada barangan makanan hasil keluaran industri England.

Peningkatan Perdagangan
Satu ciri yang paling ketara dalam perkembangan perdagangan di kolonial Amerika pada abad ke-17 adalah keupayaannya untuk terus wujud. Para pedagang Amerika telah menghadapi berbagai masalah dan kekurangan institusi perdagangan yang asas tetapi mereka berupaya untuk kekal dalam keadaan kesukaran yang ada. Tidak terdapat satu pun matawang yang boleh diterima bersama. Koloni-koloni juga dikatakan tidak memiliki emas atau perak dan matawang kertas pula mereka tidak diterima atau diiktiraf untuk pembayaran barangan dari seberang laut. Dalam tempoh yang lama, pedagang-pedagang di kolonial terpaksa berurus niaga secara sistem barter atau kulit beaver sebagai ganti wang.

Masalah yang kedua adalah kekurangan maklumat dan pengetahuan dalam urusan pembekalan dan permintaan. Para pedagang adalah daif dan tidak menyedari pentingnya usaha mengetahui dan mendapatkan sesuatu komoditi di pelabuhan-pelabuhan seberang laut. Mereka tidak tahu bahawa kapal-kapal harus berada di laut pada tempoh yang lama, bahawa perlu untuk berlayar dari satu pelabuhan ke pelabuhan-pelabuhan lain, meniaga sejenis komoditi, berusaha untuk mencari jalan atau kaedah yang lain untuk mendapatkan keuntungan. Dalam dalam pada itu, terdapat segelintir syarikat-syarikat kecil yang bersaing secara tidak sah mengakibatkan masalah merasionalisasikan sistem perdagangan semakin rumit.

Namun begitu, aktiviti perdagangan di koloni-koloni Amerika teru wujud dan berkembang. Terdapat perdagangan yang baik di kawasan pantai, di mana koloni-koloni membuat urusan niaga sesama mereka dan pedagang-pedagang dari West Indies (Kepulauan Carribean-Cuba). Bahan perdagangan utama pihak koloni ialah rum, hasil pertanian, daging dan ikan. Pulau-pulau di sekitar benua Amerika pula mengeluarkan hasil gula, sirap pekat dan juga hamba abdi. Hubungan perdagangan dengan England juga berlaku, serta benua Eropah amnya dan dengan pantai barat Afrika. Perdagangan ini sering kali disebut sebagai triangular trade secara abstraknya, iaitu mengandai bahawa wujud proses perdagangan yang licin antara para pedagang membawa sumber rum dan lain-lain dari New England ke Afrika di mana mereka menukarnya dengan hamba abdi untuk diimport ke West Indies. Di sini hamba abadi akan ditukarkan kepada gula dan sirap pekat untuk dibawa ke New England. Di New England tenaga kaum hamba abdi dieksploitasi untuk memproses rum. Hakihatnya, apa yang dikenali sebagai triangular trade merujuk kepada perdagangan rum, hamba abdi dan sirap pekat dalam satu rangkaian perdagangan yang banyak.

Di sebalik kewujudan perdagangan yang berisiko ini, muncul sekumpulan kaum pedagang yang bercita-cita tinggi pada pertengahan abad ke-18 untuk memulakan corak perdagangan yang menumpu di bandar-bandar pelabuhan koloni utara. Satu akta yang dikenali sebagai Navigation Act telah diperkenalkan oleh England untuk memberi perlindungan kepada kaum pedagang tersebut daripada tekanan persaingan daripada seberang laut. Mereka telah mewujudkan rangkaian perdagangan yang licin dengan England untuk memasarkan hasil bulu, balak dan kapal-kapal buat Amerika. Di sebalik itu, mereka juga mewujudkan rangkaian perdagangan secara haram dengan negara-negara lain di luar lingkungan empayar British seperti Perancis, Sepanyol dan Belanda di West Indies kerana harga pasaran yang ditawarkan oleh mereka lebih tinggi berbanding di koloni-koloni British.

Pada abad ke-18, sistem perdagangan kolonial mula mengalami kestabilannya. Namun, sektor perdagangan dalam ekonomi Amerika terus kekal terbuka kepada pedatang-pedagang baru terutamanya kerana masyarakatnya yakni sebagai asas penting dalam sistem ekonomi telah terus berkembangan pesat.