Make your own free website on Tripod.com

AJ2153 SEJARAH AMERIKA SYARIKAT SEBELUM REVOLUSI AMERIKA
 
KULIAH KELIMA
PEMULIHAN KOLONIAL

Menjelang akhir tahun 1630an, penduduk Inggeris telah menubuhkan 6 buah koloni yang merintis kepada penubuhan 13 buah original state republik Amerika Syarikat, iaitu Virginia, Massachusetts, Maryland, Connecticut, Rhode Island dan New Hampshire. Walau bagaimanapun, hampir 30 tahun selepas Lord Baltimore menerima piagam untuk Marlyand pada tahun 1632, tidak pernah ada lagi koloni baru Inggeris dibina di Amerika. Sebelum itu, keadaan huru-hara terus berleluasa di tanahair England menyebabkan bermula aliran migrasi masyarakat England ke Amerika pada awal tahun 1630an.

Perang Saudara Inggeris
Raja James I ternyata tidak popular atau tidak disenangi oleh sebilangan besar rakyat England. Penentangan terhadap dasar pemerintahan baginda terus meningkat hingga kematiannya pada tahun 1625, tetapi baginda tidak pernah melancarkan serangan secara terbuka terhadap parlimen England. Pemerintahan diteruskan oleh puteranya, raja Charles I, dan pemerintahan baginda dikatakan lebih zalim berbanding ayahnya dahalu. Raja Charles I telah membubarkan parlimen pada tahun 1629 dan mewujudkan pemerintahan monarki berkuasa mutlak. Dengan kuasanya, baginda memerintah untuk menangkap dan menghukum bunuh sebilangan besar rakyatnya, terutamanya penganut ajaran Puritan. Keadaan ekonomi yang teruk telah menyebabkan baginda mengambil langkah menghidupkan semula parlimen pada tahun 1640. Kerajaan England telahpun mengalami kesuntukkan wang pada ketika itu, maka parlimen perlu diwujudkan semula supaya dapat menggubal dan melaksanakan satu sistem cukai yang baru. Namun begitu, hakikatnya baginda belum bersedia untuk menerima sebarang dasar oleh parlimen dan ini menyebabkan baginda terpaksa menggantikan ahli-ahli parlimen sebanyak dua kali setahun. Pada tahun 1642, bekas ahli-ahli parlimen yang dipecat telah menubuhkan angkatan militari untuk menentang pemerintah raja Charles I. Maka bermulalah pertentangan secara terbuka antara Cavaliers - penyokong kerajaan monarki England dan Roundheads - penyokong parlimen England, yang dikenali sebagai 'perang saudara Inggeris' atau 'perang sivil Inggeris'. Kebanyakan penyokong parlimen terdiri daripada penganut Puritan.

Pertentangan antara Cavaliers dan Roundheads telah berlarutan selama tujuh tahun. Pada tahun 1647, pasukan Roundheads telah berjaya menewaskan pasukan Cavaliers. Raja Charles I telah ditangkap dan dihukum pancung. Pemimpin Roundheads, Oliver Cromwell telah menjadi pemerintah 'protector' ke atas England. Apabila Cromwell meninggal dunia pada tahun 1658, waris pemerintahan gagal mengekalkan kuasanya. Dua tahun kemudian, putera raja Charles I telah muncul dari persembunyian untuk menuntut haknya ke atas takhta England. Peristiwa penawanan semula takhta England adalah dikenali sebagai Stuart Restoration. Putera Stuart menjadi raja England dengan gelaran raja Charles II.

Antara kesan-kesan penting daripada proses pemulihan monarki England adalah penyambungan semula kolonialisasi di Amerika. Raja Charles II telah menawarkan pengawai-pegawai istana yang jujur bersama geran-geran tanah untuk menerokai benua Amerika. Selama 25 tahun tempoh pemerintahnya, baginda telah meluluskan empat piagam untuk koloni baru, iaitu Carolina, New York, New Jersey dan Pennsylvania. Kesemua koloni baru tersebut merupakan hak milik penerokanya yang menjadi tuan-tuan tanah, sebagaimana ciri-ciri hak pemilikan yang wujud di Maryland (berbeza dengan Virginia dan Massachusetts). Keadaan ini berlaku kerana syarikat-syarikat persendirian tidak lagi berminat untuk terlibat dalam bentuk perniagaan yang tidak menjaminkan keuntungan yang segera kepada mereka di seberang laut, khusus benua Amerika. Manakala koloni-koloni baru tersebut mempunyai matlamat khusus, iaitu untuk membina petempatan tetap yang akan menyediakan tanah dan kuasa kepada peneroka-peneroka.

Koloni Carolina
Carolina, satu nama yang berasal dari perkataan Latin membawa maksud "Charles" merupakan sebuah lagi koloni baru, terbentuk daripada geran asal Virginia. Pada tahun 1663 dan 1665, Charles II telah menghadiahkan piagam-piagam kepada lapan orang tuan tanah untuk berkongsi hak ke atas kawasan yang luas meliputi dari selatan ke semenanjung Florida hingga ke laut Pasifik. Mereka juga menerima hak kuasa mutlak ke atas geran mereka sebagaimana yang dimiliki oleh Lord Baltimore di Maryland. Mereka menyimpan kawasan tanah yang luas untuk menjadi milik sendiri dan yang lain-lain diagih-agihkan mengikut satu sistem headright (hak setiap individu), iaitu satu sistem yang mirip dengan sistem yang diamalkan di Virginia dan Maryland, dengan syarat para pemilik (penduduknya) akan membayar cukai tahunan yang ditetapkan. Peneroka-peneroka awal merupakan penganut aliran gereja Anglikan, tetapi mereka kemudiannya menjemput penganut-penganut aliran lain untuk berhijrah ke Carolina. Hakikatnya, kebebasan beragama telah termaktub dalam piagam malah jaminan kebebasan berpolitik dan hak mengadakan perhimpunan perwakilan bagi tujuan menubuhkan undang-undang mereka sendiri. Dengan demikian, mereka juga berharap dapat menarik penduduk dari lain-lain koloni di Amerika untuk berhijrah masuk dan untuk mengelakkan kos membiayai ekpedisi-ekpedisi dari England.

Walau bagaimanapun, usaha sebenar mereka untuk mendapat keuntungan dari petempatan di Carolina adalah tidak berjaya. Beberapa peneroka yang awal segera meninggalkan petempatan mereka dan kebanyakan daripada tuan-tuan tanah ketika itu beranggapan bahawa penerokaan ke atas Carolina tidak akan berjaya. Namun, salah seorangnya bernama Anthony Ashley Cooper tidak berpendapat sedemikian. Beliau telah menyakinkan tuan-tuan tanah yang lain agar menghentikan usaha menarik penghijrah dari koloni-koloni lain, sebaliknya membiayai ekpedisi-ekpedisi dari England ke Carolina. Pada musim bunga tahun 1670, ekpedisi yang pertama telah membawa seramai 300 orang. Namun hanya seramai 100 orang yang selamat sampai ke Carolina. Mereka membina Port Royal, sebuah petempatan di kawasan pantai Carolina. Sepuluh tahun yang berikutnya, koloni Carolina ini telah membina sebuah bandar yang terletak di persimpangan Sungai Ashley dan Sungai Cooper. Pada tahun 1690, bandar ini menjadi ibu bandar kepada koloni Carolina dan dinamakan bandar Charles Town (dinamakan kemudian menjadi Charleston).

Dengan bantuan John Locke, seorang ahli falsafah Inggeris yang terkenal, Cooper (ketika itu bergelar Earl of Shaftesbury) telah mendrafkan sebuah perlembagaan baru, Fundamental Constitution untuk koloni Carolina pada tahun 1669, iaitu dalam usahanya untuk membentuk sebuah masyarakat yang tersusun rapi. Perlembagaan ini membahagikan kawasan koloni kepada beberapa daerah (County) dengan keluasan yang sama dan membahagikan daerah kepada lot-lot kawasan. Kebanyakan lot kawasan akan diperuntukkan kepada golongan yang menjadi tuan-tuan tanah (menurut piagam asal) bergelar seigneur; golongan aristokrat tempatan (terdiri daripada lapisan sederhana bergelar landgrave atau cacique) akan mendapat beberapa lot; dan golongan orang biasa (digelar leet-men) akan menerima jumlah lot yang sedikit. Manakala lapisan yang terbawah dalam masyarakat ini, iaitu golongan kaum kulit putih miskin yang tidak mempunyai hak berpolitik, dan golongan hamba abdi keturunan Afrika yang tidak mempunyai hak peribadi. Hak bersuara dalam parlimen kolonial adalah didominasi oleh kaum tuan-tuan tanah, aristokrat dan pemilik-pemilik tanah yang lain berdasarkan ukuran saiz pemilikan tanah masing-masing.

Namun, pada hakikatnya pembangunan yang berlaku di Carolina tidaklah mengikut wawasan yang diilhamkan oleh Shaftesbury dan Locke. Terutamanya, tidak wujud keadaan yang benar-benar mengambarkan perpaduan di kalangan penduduknya. Dari segi sosial dan ekonomi, wujud perbezaan yang ketara antara petempatan di bahagian utara dan selatan koloni tersebut, malah jauh terpisah antara satu sama lain. Aktiviti penduduk di bahagian utara bergantung kepada aktiviti pertanian kecil-kecilan di kawasan hutan pedalaman. Mereka tidak mampu untuk menggunakan tenaga hamba abdi, pendek kata mereka hidup dalam kemiskinan. Manakala penduduk di bahagian selatan pula merupakan masyarakat yang makmur dengan mengusahakan tanah yang subur dan berhampiran dengan pelabuhan Charles Town. Pelabuhan ini membolehkan mereka mempromosikan hasil-hasil ekonomi mereka. Penduduk di sini juga memiliki struktur lapisan sosial yang didominasi oleh masyarakat aristokrat. Petempatan-petempatan telah berkembangan luas di sepanjang Sungai Ashley dan Sungai Cooper. Ini merupakan kemudahan semulajadi yang banyak memyumbang kepada pengembangan aktiviti perdagangan beras, yakni sumber pendapatan utama koloni ini sejak awal tahun 1660an lagi.

Sejak awal lagi penduduk bahagian selatan Carolina telah membina hubungan perdagangan yang rapat dengan masyarakat Eropah di Kepulauan Caribbean, terutamanya Pulau Barbados. Dalam tempoh 10 tahun petempatan di Carolina, majoriti penduduk baru merupakan orang Barbadian (keturunan Eropah), yakni dari Barbados. Mereka juga membawa bersama sejumlah besar pekerja kaum kulit hitam dan berjaya memajukan diri menjadi tuan-tuan tanah yang berpengaruh di Carolina. Dengan penghijrahan ini telah memperkenalkan dan memperluaskan ekonomi perhambaan dalam masyarakat di Carolina.

Dalam beberapa dekad seterusnya, Carolina merupakan koloni yang paling tidak aman antara koloni Inggeris di Amerika. Wujud pertelingkahan yang berlarutan antara sekumpulan kecil kaum petani dalam daerah Albemarle di utara dengan kumpulan petani kaya di selatan. Di samping itu, wujud pertelingkahan antara kaum Barbadian di selatan Carolina dengan sekumpulan tuan-tuan tanah di sekeliling mereka. Selepas kematian Lord Shaftesbury, pemerintah seterusnya tidak dapat mengekalkan kuasanya menyebabkan penduduk koloni berjaya mengambil-alih kuasa pemerintah di Carolina pada tahun 1719. Pada 10 tahun kemudian, raja England telah membahagikan wilayah Carolina kepada dua koloni, iaitu North Carolina dan South Carolina.

New Netherland dan New York
Pada tahun 1664, raja Charles II telah menganugerahkan geran ke atas semua jajahan di antara Sungai Connecticut dan Sungai Delaware kepada saudaranya putera James, Duke of York. Walau bagaimanapun, geran tersebut telah mendapat tentangan hebat daripada syarikat Massachusetts Bay Company dan kuasa penjajah Belanda. Syarikat ini menuntut hak ke atas beberapa daerah, manakala kuasa Belanda menuntut hak ke atas seluruh jajahan berkenaan dan mengekalkan pendudukan di wilayah jajahan mereka, New Amsterdam dan beberapa lokasi strategik yang lain.

England dan Netherland merupakan dua kuasa ekonomi yang telah bermusuhan sekian lama di Eropah, dan kini meluaskan permusuhan mereka di benua Amerika. Dalam pada itu, pihak Belanda memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan antara koloni-koloni Inggeris di selatan dan utara Amerika. Pada tahun 1664, angkatan laut Inggeris di bawah pimpinan Richard Nicolls telah menyerang kuasa Belanda di New Amsterdam dan memaksa gabenor Belanda, Peter Stuyvesant untuk menyerah diri. Beberapa tahun kemudian, iaitu pada tahun 1673 kuasa Belanda telah menawan semula New Amsterdam. Namun, pada tahun 1674 mereka telah tewas dan terus meninggalkan koloni tersebut buat selamanya.

Dengan pemergian kuasa Belanda, kini Duke of York dapat mengukuhkan hak kuasa ke atas daerahnya Beliau telah menamakan New Amsterdam menjadi New York. Selain daripada orang Inggeris dan kaum peribumi Indian, penduduk New York juga terdiri daripada orang Belanda, Scandinavia, Jerman, Perancis dan ramai kaum hamba abdi Afrika yang telah diimport atau peninggalan kuasa Belanda (Dutch West Indian Company). Dalam melaksanakan pemerintahnya ke atas koloni New York, putera James telah melantik seorang gabenor dan menubuhkan sebuah majlis gabenor tetapi tiada peruntukan untuk mewujudkan dewan perwakilan.

Kuasa pemerintahan dan pemilikan hartanah di koloni New York adalah terbahagi tidak sama rata antara golongan tuan-tuan tanah keturunan Inggeris, Belanda, saudagar bulu binatang dan penyokong Duke of York. Kebanyakan tanah telah dianugerahkan kepada para penyokong setianya. Menjelang tahun 1685, ketika Duke of York dimahkota menjadi raja England, James II penduduk koloni New York telah mencapai jumlah sekitar 30,000 orang. Namun begitu, New York merupakan salah satu koloni Inggeris yang paling tidak aman di Amerika.

Tidak beberapa lama selepas putera James menerima gerannya daripada Charles II, beliau telah menyerahkan sebahagian besar tanah di selatan New York kepada dua penyokong kuatnya, Sir John Berkeley dan Sir George Carteret. Carteret telah menamakan daerahnya sebagai New Jersey. Walau bagaimanapun, penerokaan mereka di New York kurang menguntungkan dan menyebabkan Berkeley menjual sebahagian haknya pada tahun 1674. Koloni ini telah terbahagi kepada dua wilayah, itu East Jersey dan West Jersey yang saling bertelingkahan sehingga tahun 1702 apabila sebahagian besar koloni ini bersatu menjadi sebuah koloni diraja (kerajaan England).

Sebagaimana dengan koloni New York, New Jersey mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama, tetapi mempunyai pemerintah kolonial yang lemah dalam usaha untuk melaksanakan kawalan ketat ke atas masyarakatnya yang berpecah-belah. Namun begitu, tidak seperti di New York, masyarakat di New Jersey kebanyakannya terdiri daripada lapisan petani kecil-kecilan dan tidak wujud lapisan tuan-tuan tanah yang sangat kaya. Tambahan pula New Jersey tidak mempunyai sebuah bandar yang terpenting malah tiada pelabuhan semulajadi.

Koloni masyarakat Quaker
Kemunculan koloni Pennsylvania adalah atas usaha kumpulan pedatang Inggeris beraliran agama Protestan yang mencari sebuah petempatan yang terasing untuk meneruskan sistem sosial mereka sendiri. Kumpulan ini telah muncul pada pertengahan abad ke-16 di bawah pimpinan George Fox, seorang pengusaha kilang kasut di Nottingham dan Margaret Fell. Para pengikut mereka mula dikenali sebagai Quaker, ekoran ajaran Fox menuntut perasaan takut kepada nama tuhan di kalangan pengikutnya (tremble at the name of Lord). Tidak seperti aliran Puritan, masyarakat Quaker menolak kepercayaan terhadap takdir (predestination) dan dosa semulajadi (original sin). Menurut kepercayaan mereka juga bahawa semua manusia mempunyai kehormatan (dignity) diri dan hanya perlu belajar memeliharanya, dan semua boleh mencapai keselamatan. Golongan Quaker juga berbeza dengan golongan Puritan dari segi layanan terhadap kaum perempuan, iaitu tanggungjawab yang sama rata dalam lingkungan gereja mereka.

Masyarakat Quaker tidak mempunyai sesebuah badan pemerintah gereja yang rasmi dan bangunan gereja traditional, tetapi bergantung kepada perjumpaan dari rumah ke rumah. Oleh itu mereka tidak perlu mempunyai dan membiayai seorang pemimpin agama atau paderi. Mereka memimpin ritual doa secara bergilir-gilir. Maka untuk mengelak perbezaan kelas dan gender, mereka merujuk sesama mereka dengan panggilan thee dan thou (saudara), yakni istilah yang biasanya digunakan oleh masyarakat Inggeris apabila bercakap dengan golongan hamba atau golongan bawahan. Mereka juga anti-peperangan dan tidak akan terlibat dalam peperangan. Oleh kerana penindasan terhadap mereka di England, Quaker mula berhijrah ke Amerika, iaitu ke New England dan Carolina. Ramai di kalangan mereka bercita-cita untuk mendapatkan sebuah koloni mereka sendiri, tetapi mereka gagal mendapat geran atau piagam dari kerajaan.

Akhirnya, mereka bernasib baik apabila beberapa orang kaya dan berpengaruh dalam politik England telah memeluk agama mereka. Salah seorangnya ialah William Penn, yakni anak seorang tokoh angkatan laut England ketika itu, Sir William Penn yang memiliki tanah yang luas di Ireland. Disebabkan oleh penentangan ayahnya terhadap golongan Quaker, Penn telah memeluk ajaran tersebut. Beliau aktif menjalankan aktiviti penyebaran ajaran tersebut dan menyebabkan dia kerap kali ditangkap atau dipenjarakan. Akhirnya beliau menawarkan dirinya untuk berkhidmat dengan George Fox dalam satu rancangan untuk membina sebuah koloni Quaker di Amerika.

Pada permulaannya, Penn sendiri telah pergi meninjau New Jersey, di mana separuh daripada kawasannya telah menjadi milik dua orang ahli Quaker pada tahun 1674 (dibeli dari Berkeley). Namun pada tahun 1681, iaitu selepas kematian ayahnya, Penn telah mendapat lebih banyak geran tanah yang amat bernilai daripada raja England. Penn mewarisi semua tuntutan hutang oleh ayahnya daripada raja England. Raja Charles telah membayar hutang baginda dengan menyerahkan geran tanah ke atas kawasan yang luas dari New York dan Maryland, yakni di mana Penn menjadi tuan tanah dan pemerintahnya. Dengan desakan daripada raja England, maka Penn telah menamakan kawasannya sebagai Pennsylvania sempena nama ayahnya.

Hasil usaha promosi yang jujur dan pengetahuan yang luas, Penn berjaya menjadikan Pennsylvania terkenal dan paling harmoni antara semua koloni Inggeris di Amerika. Ramai penghijrah-penghijrah baru dari Eropah amnya, memilih untuk menetap di koloni ini. Dengan kesuburan tanah dan cuaca yang sederhana, dan perancangan yang teliti oleh Penn, Pennsylvania telah membangun dengan pesat. Walau bagaimanapun, perkembangan yang pesat itu dikatakan tidak memberi keuntungan yang besar kepada Penn dan kaum kerabatnya. Hakikatnya, pada penghujung hayatnya, Penn telah dipenjarakan di England kerana masalah hutang hingga meninggal dunia pada tahun 1718.

Namun demikian, Penn merupakan seorang yang kuat berusaha, malah lebih gigih daripada seorang penganjur hartanah ketika itu. Beliau sendiri telah meneroka Pennsylvania sehingga menganggap hasil usahanya itu sebagai holy experiment. Pada tahun 1682, beliau telah belayar ke Pennsylvania untuk meninjau pemandangannya dari luar, iaitu di antara Sungai Delaware dan Sungai Schuylkill di mana letaknya sebuah bandar yang diberi nama oleh beliau menjadi Philadelphia (Brotherly Love). Konsep rekabina segiempat bujur bandar ini telah menjadi model corak pembinaan kebanyakan bandar-bandar lain di Amerika kemudian. Penn bukan sahaja akan mengakui tuntutan kaum peribumi Indian ke atas tanah-tanah dalam lingkungan kawasannya, malah juga enggan mengambil tindakan keras terhadap mereka. Manakala penduduk peribumi sangat menghormati Penn, dan pendek kata, dalam tempoh hayat pemerintahan Penn di Pensylvania, tidak pernah terjadi pertentangan yang besar antara koloni dan peribumi Indian.

Namun, ini tidak bermaksud, konflik tidak berlaku langsung dalam koloni Pennsylvania. Misalnya, pada akhir tahun 1690an, sebagian penduduknya mula bangkit menentang penguasaan Penn dan kaum kerabatnya. Terutamanya, penduduk di bahagian kawasan selatan Pennsylvania mengadu bahawa pihak pemerintah tidak memperdulikan kebajikan mereka. Tekanan daripada kumpulan penduduk tersebut terus meningkat sehinggalah Penn bersetuju menubuhkan sebuah Charter of Liberties (piagam kebebasan) kepada koloni pada tahun 1701, iaitu pada saat-saat akhir sebelum beliau berangkat ke England buat selamanya. Piagam ini telah memberi kuasa kepada daerah-daerah kecil dalam koloni untuk menubuhkan dewan perwakilan masing-masing. Pada tahun 1703, ketiga-tiga daerah telah menubuhkan dewan perwakilan sendiri dan kesan telah membawa kepada pemisahan Delaware menjadi sebuah koloni tersendiri, tetapi masih dibawah pemerintahan gabenor Pennsylvania sehingga ke zaman Revolusi Amerika (1775-1776).

Penubuhan Georgia
Sebelum tahun 1733 atau beberapa dekad selepas pemulihan beberapa koloni yang lain, sebuah lagi petempatan Inggeris yang baru telah muncul dan merupakan koloni Inggeris yang terakhir di Amerika, iaitu Georgia. Ia tidak mempunyai pengalaman yang sama dengan koloni-koloni Inggeris yang lain. Georgia tidak muncul kerana inisiatif sesebuah syarikat ataupun tuan-tuan tanah. Malah ia juga tidak disebabkan oleh tujuan mencari keuntungan perdagangan dan agama. Peneroka pertama di Georgia dipimpin oleh Jeneral James Oglethorpe yang bermotifkan militari dan belas kasihan. Mereka mahu membina pertahanan di sempadan South Carolina untuk menghalang perluasan kuasa Sepanyol dari arah selatan Amerika, dan mereka juga ingin menyediakan sebuah petempatan kepada kaum orang Inggeris yang miskin untuk memulakan kehidupan baru.

Keperluan untuk menubuhkan sebuah militari yang kukuh di South Carolina amat kritikal awal pada tahun 1700an bagi menghalang perluasan penduduk Sepanyol dari Florida. Permusuhan antara orang Inggeris dan Sepanyol telah berlarutan sejak orang Inggeris menubuhkan koloni di Jamestown. Apabila peperangan telah meletus di Eropah antara England dan Spain pada tahun 1701 (dikenali sebagai Queen Anne's War di England dan sebagai War of the Spanish Succession di benua Eropah), perang turut berlaku antara kedua-dua pihak bermusuh di Amerika. Perang ini telah berakhir pada tahun 1713, tetapi permusuhan antara kedua-dua pihak bagi melingdungi kepentingan masing-masing di benua Amerika terus berlaku.

Oglethorpe, yang menjadi wira dalam perang di Eropah berpandangan bahawa perlunya menubuhkan pengkalan pertahanan Inggeris di South Carolina. Beliau dikatakan tidak berminat untuk menubuhkan sebuah koloni Inggeris di Amerika, tetapi berhasrat untuk mencari sebuah tempat yang selamat kepada masyarakat miskin, terutamanya bekas-bekas banduan di England untuk memulakan kehidupan baru di Amerika. Beliau berharap masyarakat ini bukan sahaja boleh menjadi kaum petani malah menjadi askar kepada petempatan baru tersebut.

Pada tahun 1732, raja George II telah menganugerahkan sebuah piagam kepada Oglethorpe dan rakan-rakannya. Piagam ini memberi hak ke atas kawasan antara Sungai Savannah dan Sungai Altamaha. Beliau sendiri telah memimpin expedisi pertama ke Georgia dan membina sebuah pengkalan di muara Sungai Savannah pada tahun 1733. Kemudiannya membina pengakalan yang lain di Sungai Altamaha. Rakan-rakannya melatih para penghijrah dalam bidang ketenteraan. Pengagihan tanah-tanah dilakukan secara teratur, bersaiz kecil dan tertumpu di sesuatu kawasan sahaja dengan harapan ia dapat memberi pertahanan yang kukuh daripada ancaman Sepanyol dan peribumi Indian. Amalan perhambaan kaum kulit hitam tidak benarkan, minuman arak rum adalah diharamkan, kepercayaan agama Roman Khatolik tidak dibenarkan, dan perniagaan dengan peribumi adalah dikawal dengan peraturan-peraturan yang ketat. Semua langkah-langkah ini bertujuan untuk mengelakkan wujud sebarang bentuk pertentangan atau mewujudkan musuh di masa hadapan. Walau bagaimanapun, pada akhirnya cuma segelintir sahaja banduan dilepaskan dan dihantar ke Georgia. Keadaan ini menyebabkan rakan-rakan Oglethorpe membawa masuk ramai golongan pedagang dan semiman dari dari England dan Scotland serta pelarian agama dari Switzerland dan Jerman.

Dengan wujudnya undang-undang yang ketat telah menyumbang kepada pembangunan yang pesat pada tahun-tahun awal di koloni Georgia. Penduduknya mula memerlukan tenaga kerja dan memohon hak untuk membeli hamba abdi. Malah mereka mula menentang kuasa mutlak pemeritahan Oglethorpe dan rakan-rakannya. Kesannya ramai yang mula berhijrah ke South Carolina di mana undang-undangnya kurang ketat. Akhirnya Georgia telah menghapuskan undang-undang pengharaman perhambaan dan arak. Pada tahun 1751, pemerintah Georgia telah menyerah balik hak kuasa ke atas Georgia kepada kerajaan England. Raja England telah membenarkan satu pilihanraya bagi mewujudkan dewan perwakilan di Georgia. Sejak itu, Georgia terus membangun seiring dengan South Carolina secara perlahan-lahan berbanding dengan lain-lain koloni Inggeris di wilayah selatan Amerika Utara.