Make your own free website on Tripod.com

AJ2153 SEJARAH AMERIKA SYARIKAT SEBELUM REVOLUSI AMERIKA
 
KULIAH KEEMPAT
KEMUNCULAN NEW ENGLAND

Bahagian utara wilayah Amerika Utara agak lambat menarik penduduk berbanding bahagian selatannya. Ini adalah kerana Syarikat Plymouth tidak berjaya membina koloninya setelah dianugerahkan piagam oleh putera James I pada tahun 1606. Sebaliknya syarikat tersebut telah menaja satu kumpulan lain untuk menjelajah ke bahagian utara benua Amerika sebagaimana menurut peruntukkan piagam tersebut. Kapten John Smith yang telahpun berjaya memulihkan keadaan buruk di Jamestown telah belayar ke arah utara dan mendapati wujud sebuah koloni di Plymouth. Dalam catatan pengalaman pelayarannya, beliau telah menamakan tempat tersebut sebagai New England.

Penubuhan Plymouth
Perselisihan faham di kalangan golongan penganut gereja Puritan di England telah membawa kepada kebangkitan golongan Sparatist di Scrooby. Pada tahun 1608, sebahagian golongan pemisah yang tidak puas hati dengan amalan kepercayaan gereja induknya telah berhijrah secara diam-diam ke Leyden, Holland. Sungguhpun harapan mereka berhijrah adalah untuk mengamalkan kepercayaan agama mereka dengan bebas, tetapi mereka tidak dapat menjalani kehidupan harian mereka dengan selesa kerana pekerjaan yang murah di Holland. Dalam masa yang sama juga, anak-anak mereka mula bertutur bahasa Belanda, berkahwin dengan orang Belanda dan meninggalkan gereja asal mereka. Akhirnya, ramai di kalangan golongan Sparatists bercadang untuk berhijrah semula. Kali ini mereka bersedia untuk mengharungi lautan Atlantik dengan harapan mendapatkan sebuah petempatan baru yang stabil, masyarakat yang terkawal dan di mana mereka boleh bebas menyebarkan "the gospel of the Kingdom of Christ in those remote parts of the world."

Pada tahun 1620, ketua kumpulan Sparatists di Srcooby telah mendapat kebenaran daripada Syarikat Plymouth untuk menetap di Virginia dan juga mendapat jaminan rasmi daripada raja England bahawa baginda berjanji "not molest them, provided they carried themselves peaceably." Beberapa orang saudagar tempatan telah menghulurkan sumbangan dengan syarat hak menikmati segala keuntungan pada penghujung tahun yang ketujuh. Oleh yang demikian, golongan penghijrah ini memperkenalkan diri mereka sebagai Pilgrims. Mereka telah mula belayar pada bulan September 1620 dari Plymouth dengan kapal Mayflower bersama 35 orang Sparatists dan 67 orang "strangers" (bukan daripada pengikut aliran gereja tersebut). Pada bulan November selepas satu pelayaran yang terlalu jauh dan lama, mereka mula melihat daratan, iaitu pantai Cape Cod pada hari ini. Sebenarnya ia bukanlah matlamat yang hendak dituju oleh mereka. Namun masa sudah terlambat untuk meneruskan pelayaran pada penghujung tahun, khususnya untuk membuat persediaan menyambut perayaan Krismas. Maka itu, mereka telah memilih sebuah tempat di bahagian utara teluk tersebut, yakni tempat yang kapten John Smith pernah namakan sebagai Plymouth dalam peta yang dilukisnya semasa pelayarannya ke New England dahulu. Sebelum mereka mendarat, satu perjanjian yang dikenali sebagai Mayflower Compact telah dipersetujui di atas kapal oleh semua individu dalam pelayaran tersebut. Perjanjian ini telah membawa kepada penubuhan satu kerajaan awam di Plymouth. Maka pada 21 Disember 1620, merekapun mendarat di pantai Plymouth Rock.

Pengalaman musin sejuk yang pertama adalah sangat sukar. Separuh daripada koloni ini telah mati akibat kekurangan zat makanan, terdedah dan mengidapi penyakit. Namun koloni ini terus kekal berikutan adanya bantuan daripada penduduk peribumi Indian yang mengajar mereka untuk menanam jagung dan menangkap ikan. Selepas penuaian pertama pada musim luruh, mereka telah menjemput penduduk peribumi Indian bersama-sama mengadakan perayaan kesyukuran (Thanksgiving). Walau bagaimanapun, koloni ini tidak dapat mengusahakan pertanian secara besar-besaran kerana keadaan tanah yang berpasir dan berbatu, namun mereka berjaya membangunkan perdagangan ikan dan bulu binatang di Plymouth. Penghijrah baru mula sampai dari England kemudian dan populasi Plymouth meningkat kepada 300 orang pada tahun 1630.

Penduduk Plymouth telah memilih William Bradford menjadi gabenor mereka yang pertama pada tahun 1621. Pada tahun tersebut beliau telah mendapat geran tanah daripada Majlis New England, pewaris Syarikat Plymouth yang memiliki hak piagam ke atas daerah tersebut. Sungguhpun beliau gagal mendapat piagam daripada raja England untuk membolehkan koloninya, Pilgrims menubuhkan kerajaan sendiri, tetapi beliau telah memerintah dengan jayanya tanpa berlaku campurtangan pihak kerajaan di London.

Koloni Pilgrims di Plymouth merupakan satu komuniti yang miskin. Sehingga pada tahun 1640an, mereka hanya memiliki sebuah bajak atau tenggala di kalangan mereka. Namun, mereka pada keseluruhannya telah nekad untuk menjalani kehidupan sedemikian, sebagaimana yang dituntut oleh ajaran kepercayaan agama mereka. Dari masa ke semasa mereka mengakui sebagai model orang Kristian yang sebenar. Namun mereka kurang menyedari tentang bagaimana pandangan orang lain, terutamanya jika dibandingkan dengan kejayaan golongan aliran Puritan yang menduduki sebahagian besar koloni-koloni Inggeris yang lain di sebelah utara mereka [utara Plymouth].

Percubaan di Teluk Massachussetts
Pergolakan politik di England pada tahun 1620an telah melahirkan dorongan yang kuat dalam proses kolonialisasi di kalangan kumpulan aliran Puritan yang lain. Putera James I telah menimbulkan keadaan huru hara berikutan usahanya menuntut divine right golongan istana England ke atas rakyat, terutamanya golongan Puritan. Keadaan di England bertambah buruk apabila baginda diganti oleh anaknya, Charles I pada tahun 1625. Raja Charles I dikatakan bersikap lebih autokratik berbanding dengan ayahnya. Raja baru ini telah berusaha untuk mengembalikan kepercayaan Roman Katholik di England dan membenteras semua aliran kepercayaan yang lain. Para penganut Puritan menjadi sasaran utama polisi baginda. Ramai yang telah ditangkap dan dipenjarakan. Malah baginda telah membubarkan Parlimen pada tahun 1629 bagi memastikan tidak wujud golongan rakyat yang menentang politiknya.

Dalam suasana huru-hara ini, sekumpulan saudagar Puritan mula menyusun satu syarikat perdagangan persendirian dengan matlamat untuk mencari peluang perdagangan di benua Amerika Utara. Mereka mendapat satu geran tanah di New England, khususnya meliputi Massachussetts dan New Hampshire pada hari ini. Dengan menyembunyikan indentiti aliran kepercayaan sebenar, mereka telah berjaya mendapatkan piagam daripada raja Charles I yang membenarkan mereka menubuhkan syarikat Massachusetts Bay Company dengan matlamat untuk membina satu koloni di benua Amerika Utara. Pada tahun 1629, mereka sudah bersedia untuk menghantar satu kumpulan besar koloni ke New England.

Walau bagaimanapun, sebahagian ahli syarikat Massachusetts Bay Company (MBC) berpendapat bahawa syarikat ini sebenarnya mempunyai tujuan lain yang lebih penting daripada tujuan asal, iaitu untuk menerokai perniagaan. Mereka telah menawar diri sendiri menjadi migran dan cuba menjadikan New England sebagai tempat pemindahan penganut-penganut Puritan. Setalah membeli semua saham ahli-ahli syarikat yang memilih untuk menetap di England, para pemilik baru syarikat telah memilih seorang gabenor, JohnWinthrop yang memimpin expedisi mereka ke New England. Expedisi telah dilancarkan pada tahun 1630 dengan 17 buah kapal bersama 1,000 orang penghijrah yang kebanyakannya terdiri daripada kumpulan keluarga. Ia merupakan expedisi penghijrah yang paling besar jumlahnya yang pernah dibuat dalam satu masa pada sepanjang abad ke-17. Winthrop membawa bersamanya sebuah piagam yang membenarkan hak bidang kuasa penuh kepada syarikat MBC tanpa hubung kaitan dengan pihak kerajaan di England.

Sejak ketibaan mereka, para koloni di Massachusetts, New England telah membina beberapa petempatan baru. Pelabuhan Boston yang terletak di muara Sungai Charles telah menjadi bandar penting, tetapi dalam tempoh beberapa dekad seterusnya di sebelah bahagian timur Massachusetts telah muncul beberapa buah bandar lain seperti, Charlestown, Newtown (kemudian dinamakan Cambridge), Roxbury, Dorchester, Watertown, Ipswich, Concord, Sudbury dan sebagainya. Justeru itu, syarikat MBC telah bertukar menjadi kerajaan kolonial Massachusetts. Menurut peruntukkan dalam piagam asal, "freemen" (merujuk kepada lapan orang pemilik saham syarikat) akan membentuk satu badan kerajaan koloni. Tetapi para koloni telah mentafsirkan maksud "freemen" sebagai merujuk kepada semua warga lelaki dalam koloni Massachusetts. Selama tiga tahun sejak kedatangan mereka di situ, Winthrop dan rakan-rakan dalam syarikat telah mendominasi politik di teluk Massachusetts. Namun pada tahun 1634 dan tiap-tiap tahun seterusnya, mereka terpaksa menerima hakikat kewujudan sistem pilihanraya di koloni Massachusetts.

Tidak seperti kumpulan penghijrah Sparatists di Plymouth, kumpulan penghijrah Puritan di Massachusetts tidak mempunyai tujuan mengasingkan diri dari gereja induk di England. Di bandar-bandar lain, kumpulan-kumpulan gereja tidak terikat dengan asas dogma gereja Anglikan, baik dari segi hirarki mahupun ritualnya. Sebaliknya mereka lebih bersifat complete liberty to stand alone. Setiap gereja telah memilih pemimpin dan menubuhkan prinsip-prinsip agama mereka sendiri tanpa perkaitan dengan Anglikan, yakni gereja England. Kesannya, telah mewujudkan institusi Congregational church, iaitu institusi gereja yang dikawal oleh jemaahnya (congregation) sendiri.

Kumpulan Puritan di Massachusetts dikatakan tidak zalim (grim) atau berduka (joyless), sebaliknya tegas dan taat (pious) dalam amalan kegerejaan mereka. Mereka berusaha keras untuk mencapai kehidupan yang sempurna dan mempunyai pandangan bahawa pencapaian kejayaan dari segi material merupakan bukti kebaikan tuhan. Winthrop dan rakan-rakan pengasas koloni Massachusetts memiliki kepercayaan bahawa mereka telah menemui sebuah holy commonwealth, yakni satu model - "city upon a hill"- untuk dilihat dan ditauladani oleh dunia lain yang dipandang sebagai kurop. Pada akhirnya, kesan daripada kerjasama yang rapat antara golongan pemerintah dengan golongan pemimpin gereja maka kebebasan beragama di Massachusetts telah lenyap, atau tidak seperti kebebasan yang dinikmati oleh pengikut Puritan di England.

Seperti pengalaman yang diamali oleh petempatan-petempatan baru yang lain di benua Amerika Utara, koloni di teluk Massachusetts juga telah mengharungi cabaran yang sukar pada peringkat awalnya. Semasa musim dingin yang pertama pada tahun 1629-1630, hampir 200 orang telah meninggal dunia dan ramai yang lain telah berpindah ke tempat lain. Tetapi koloni di sini telah membangun pesat menjadi makmur berbanding dengan koloni di Jamestown. Golongan Pilgrims dan penduduk peribumi Indian yang berdekatan telah membantu mereka dari segi makanan dan nasihat. Kumpulan migran yang datang kemudian telah membawa banyak peralatan dan lain-lain keperluan. Dominasi kumpulan berkeluarga dalam koloni Massachusetts (berbeza dengan koloni Jamestown) memberi jaminan wujudnya perasaan komitmen terhadap komuniti dan kesedaran tata tertib di kalangan koloni, dan juga jaminan populasi akan terus bertambah.

Pengembangan Petempatan
Petempatan orang Inggeris di Massachusetts tidak mengambil masa yang lama untuk berkembang luas dari teluk Massachusetts ke lain-lain bahagian di New England dan lebih jauh lagi. Sebahagian daripada penduduknya telah pindah kerana mencari mencari tanah yang subur berbanding tanah berbatu-batan di sekitar bandar Boston. Manakala yang lainnya turut berpindah keluar dari Massachusetts disebabkan dominasi golongan gereja dalam pemerintahan. Terutamanya toleransi terhadap penduduk yang tidak mengamal ajaran Puritan adalah terhad, dan ini menyebabkan tiada pilihan lain melainkan mereka terpaksa berpindah ke tempat lain.

Sejak awal tahun 1630an lagi, lembah Sungai Connecticut yang terletak lebih kurang 100 batu dari Boston mula menarik perpindahan kumpulan keluarga koloni Inggeris tanpa memperdulikan ancaman peribumi Indian dan tuntutan pihak kuasa penjajah Belanda ke atas kawasan tersebut. Para penghijrah bukan sahaja tertarik dengan kesuburan tanah yang terdapat di lembah Connecticut, malah berkesempatan untuk menjauhkan diri daripada tekanan corak keagamaan yang terdapat di teluk Massachusetts. Pada tahun 1635, Thomas Hooker, seorang paderi di bandar Newton (kini Cambridge) telah mengkritik pihak dasar pemerintah Massachusetts. Ekoran daripada pada itu, beliau memimpin kumpulan pengikut gerejanya untuk berpindah ke arah barat dan membina sebuah bandar baru yang diberi nama Hartford. Empat tahun berikutnya, penduduk Hartford berserta penduduk di dua buah bandar berdekatan telah menubuhkan sebuah kerajaan kolonial sendiri dan menubuhkan satu perlembagaan yang dikenali sebagai Fundamental Orders of Connecticut. Perlembagaan ini telah membentuk sebuah kerajaan Connecticut yang lebih mirip dengan bentuk kerajaan di teluk Massachusetts. Tetapi kerajaan Connecticut memberi hak mengundi yang luas dan jawatan kepada kaum lelaki. Kaum wanita tidak dibenarkan mengundi.

Sementara itu, bandar New Haven, sebuah koloni baru telah muncul di kawasan pantai Connecticut. Tidak seperti Hartford, New Haven merupakan satu gambaran atau refleksi keadaan muram yang wujud di Boston, iaitu penguasaan pihak gereja. Perlembagaan, Fundamental Articals of New Haven yang ditubuhkan pada tahun 1639 adalah ditulis berdasarkan dogma ajaran kitab Bible malahan dikatakan mengandungi peraturan yang lebih keras lagi berbanding dengan perlembagaan di teluk Massachusetts. New Haven kekal independent hingga tahun 1662 apabila satu piagam diraja dianugerahkan kepada Hartford yang memberi hak kuasa pemerintahan ke atas penduduk New Haven.

Petempatan orang Eropah di wilayah yang kini dikenali sebagai Rhode Island adalah kesan daripada penentangan terhadap politik dan diskriminasi agama di bawah pimpinan Roger William, seorang paderi muda yang tinggal di Salem, Massachusetts suatu ketika dahulu. William merupakan salah seorang ahli Separatist telah menegur pihak gereja di Massachusetts untuk memutuskan hubungan langsung dengan gereja induk di England. Beliau juga mempunyai hubungan yang mesra dengan penduduk peribumi Indian, dan berpandangan bahawa tanah diduduki oleh kaum kulit putih merupakan kepunyaan penduduk peribumi Indian dan bukan kepunyaan raja England mahupun syarikat Massachusetts Bay Company. Pihak pemerintah kolonial Massachusetts yang beranggapan William menjadi seorang yang merbahaya kepada koloni telah membuat pengundian untuk mengusir beliau. Namun beliau telah terlebih dahulu melarikan diri sebelum tindakan diambil terhadapnya. Semasa kesejukan musim dingin pada tahun 1635-1636, beliau telah melarikan diri bersama pengikutnya dengan bantuan peribumi Naragansett, dan telah membeli beberapa ekar tanah daripada penduduk peribumi tersebut. Di atas tanah tersebut mereka membina sebuah bandar baru yang diberi nama sebagai Providence. William beranggap dirinya sebagai pemilik daerah tersebut dan memberi kebebasan penuh kepada semua pengikutnya untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Pada tahun 1644, selepas mendapat sebuah piagam daripada parlimen England, beliau menubuhkan sebuah kerajaan untuk Providence dan kawasan sekitarnya. Corak kerajaan yang ditubuhkan adalah mirip dengan kerajaan di Massachusetts tetapi ia tidak menyekat undi ahli-ahli gereja dan mengenakan cukai untuk kepentingan gereja. Buat seketika, Rhode Island merupakan satu-satunya koloni yang membenarkan semua jenis aliran agama Kristian termasuk Judaisme mengamalkan kepercayaan mereka dengan bebas.

Salah satu cabaran kepada perlaksaan peraturan agama di teluk Massachusetts adalah datang daripada Anne Hutchinson, seorang wanita yang bijaksana dan berkarisma dari sebuah keluarga di pinggir Boston. Hutchinson berpendapat bahawa setiap penganut agama boleh berkomunikasi dengan tuhan secara langsung [sebagaimana yang telah beliau sendiri pernah lalukan] dan boleh mendapat jaminan grace (kurnia) dan salvation (keselamatan) dari tuhan. Ajaran sedemikian telah dianggap sebagai bidaah Antinomian yang menjadi ancaman serius terhadap sistem kepercayaan gereja rasmi di Massachusetts ketika itu. Kepercayaan anjuran Hutchinson ini mengakui bahawa kemampuan individu sendiri boleh mendapat revelation (wahyu) dari tuhan secara langsung dan ini memberi implikasi bahawa para golongan pemimpin gereja tidak diperlukan oleh seorang dalam cabaran mencari peluang keselamatan (salvation) dirinya. Hutchinson juga menentang diskriminasi terhadap peranan kaum wanita dalam masyarakat Puritan. Beliau bukanlah seorang isteri dan ibu yang bersara dan dihormati, tetapi seorang tokoh agama yang berpengaruh dengan cara tersendiri.

Ketika pengaruh Hutchinson mula meningkat maka beliau pun mula menyampaikan khotbah terbuka untuk mengkritik ahli-ahli gereja Massachusetts. Kesannya, pihak pemimpin gereja di Massachusetts mula bertindak untuk menghalang beliau. Pada tahun 1638, beliau telah disabit kesalahan menyebar bidaah dan menghasut, dan beliau dihukum buang daerah. Bersama keluarga dan pengikutnya, beliau telah berpindah di satu tempat di teluk Narragansett yang tidak jauh dari Providence. Kemudian beliau membawa keluarganya berpindah ke New York di mana mereka telah terkorban dalam satu pemberontakan penduduk peribumi pada tahun 1643.

Pengalaman Hutchinson telah memberi impak penting kepada petempatan di kawasan utara teluk Massachusetts. New Hampshire dan Maine telah ditubuhkan pada tahun 1629 oleh dua orang tuan tanah berbangsa Inggeris. Penduduk mula berhijrah ke kawasan utara ini sejak bermulanya usaha promosi yang hebat hingga pada berlakunya huru-hara agama di teluk Massachusetts. Pada tahun 1639, John Wheelwright, seorang pengikut Anne Hutchinson telah memimpin sekumpulan rakan penganut yang lain berpindah ke Exeter, New Hampshire. Kemudian jejak mereka telah diikut oleh kumpulan-kumpulan lain, termasuklah kumpulan Puritan yang berfahaman ortodoks. Dalam pada itu, pihak Syarikat Massachusetts Bay Company telah cuba untuk memperluaskan pengaruhnya ke atas seluruh wilayah di utara, tetapi sebahagiannya sahaja yang berjaya dikuasai. New Hampshire telah menjadi koloni tersendiri pada tahun 1679, tetapi Maine kekal sebagai sebahagian daripada Massachusetts sehingga tahun 1820.

Koloni dan Peribumi
Orang kulit putih yang pertama membina petempatan di New England pada amnya telah berjaya mewujudkan hubungan yang baik dengan penduduk peribumi Indian, malah mempelajari banyak hal daripada mereka. Peribumi Indian telah mengajar koloni kulit putih untuk bercucuk tanam seperti jagung, kacang, labu dan ubi kentang. Mereka juga mengajar teknik pertanian huma seperti pembakaran tapak pertanian sekali setahun untuk menambah kesuburannya dan menanam kacang untuk melindungi tanah yang subur daripada elemen hakisan. Peladang-peladang kulit putih juga mendapat manfaat daripada tanah-tanah yang telah dibersih dan ditinggalkan ataupun dijual oleh peribumi Indian. Para saudagar kulit putih juga telah menggunakan orang Indian menjadi rakan kongsi dalam aktiviti perniagaan mereka, terutamanya perniagaan bulu binatang di wilayah Amerika Utara. Sebenarnya, perdagangan dengan orang Indian merupakan perintis kepada pengembaraan kaum kulit putih di kawasan-kawasan Amerika Utara yang lain. Manakala terdapat juga kaum kulit putih yang cuba memberi pendidikan agama dan budaya baru kepada kaum peribumi Indian. Misalnya, mubaligh-mubaligh aliran Protestan telah berjaya mengkristiankan ramai peribumi, dan segelintir yang telah diasimilasikan dalam masyarakat kaum kulit putih.

Namun begitu, di beberapa tempat lain di New England telah wujud keadaan huru-hara akibat permusuhan antara kaum kulit putih dan peribumi Indian. Punca permusuhan adalah disebabkan pencerobohan kaum kulit putih ke atas tanah dan wilayah petempatan peribumi Indian. Ciri khusus yang menimbulkan beberapa konflik yang dahsyat berlaku adalah terletak pada sikap pengikut Puritan itu sendiri terhadap peribumi Indian. Misalnya, pemimpin agama di New England telah menyifatkan kaum peribumi sebagai ancaman terhadap cita-cita koloni untuk menubuhkan sebuah komuniti yang suci di dunia baru mereka, terutamanya kemunculan Roger William yang mengikat hubungan baik dengan peribumi. Justeru itu, imej orang Indian yang dilihat sebagai "helpful neighbors" telah ditukar menjadi "heathens" dan "barbarian".

Pada tahun 1637, peperangan telah meletus antara penduduk kaum kulit putih di lembah Connecticut dan kaum peribumi Indian dari suku Pequot dalam wilayah tersebut. Konflik ini dikenali sebagai Peqout War, dan berakhir dengan kemusnahan teruk di pihak kaum peribumi tersebut. Suku kaum Peqout dikatakan hampir lenyap akibat peperangan tersebut. Namun peperangan yang paling dahsyat dalam tempoh abad ke-17 telah berlaku pada tahun 1675 di antara kaum kulit putih dan kaum Indian dari suku Wampanoag. Konflik ini dikenali sebagai King Philip's War. Kaum Wampanoag telah dipimpin oleh Metacomet, atau lebih dikenali sebagai 'King Philip' di kalangan kaum kulit putih. Kebangkitan Metacomet adalah disebabkan oleh isu pencerobohan kaum kulit putih ke atas tanah peribumi dan pelaksanaan undang-undang mereka ke atas peribumi Indian. Sebelum itu, sebuah mahkamah di Plymouth telah bertindak menjatuhkan hukuman gatung sampai mati terhadap beberapa orang Wampanoag atas kesalahan membunuh salah seorang ahli kaum mereka sendiri.

Selama tiga tahun, kaum peribumi melancarkan beberapa siri serangan ke atas penduduk kaum kulit putih di bandar-bandar Massachusetts, mengorbankan satu ribu penduduk termasuk lebih kurang sejumlah satu perenam orang lelaki kulit putih di koloni tersebut. Namun kaum kulit putih mula mampu mengatasi serangan kaum peribumi sejak tahun 1676. Para pemimpin Massachusetts mula melatih pemandu dan pengintip daripada suku kaum peribumi yang lain termasuk suku kaum Mohawk yang berjaya menyerang dan menembak mati Metacomet, malah memenggal kepalanya untuk dihadiahkan kepada para pemimpin kolonial. Walau bagaimanapun, tanpa kebangkitan Metacomet tersebut, perhubungan baik antara kaum kulit putih dan kaum peribumi sudah pasti musnah, dan kaum kulit putih akan membinasakan kaum peribumi seterusnya.

Namun, kemenangan di pihak koloni tidak bermakna tamatnya acaman ke atas petempatan mereka. Ini adalah kerana suku kaum peribumi Indian yang lain boleh menjadi musuh dan lawan mereka di medan peperangan seterusnya. Malah bukan sahaja koloni Inggeris menghadapi ancaman dari kaum peribumi, tetapi juga dari kuasa penjajah Belanda dan Perancis yang bercita-cita menguasai kebanyakan wialayah di benua Amerika. Koloni Inggeris juga menghadapi ancaman berbentuk pakatan, misalnya hubungan baik kuasa Perancis dengan suku kaum Algonquins. Pada tahun-tahun kemudian, kuasa Perancis dikatakan membantu rancangan pemberontakan suku kaum Indian di perbatasan New England.