Make your own free website on Tripod.com

AJ2153 SEJARAH AMERIKA SYARIKAT SEBELUM REVOLUSI AMERIKA
 
KULIAH KETIGA
SEJARAH AWAL CHESAPEAKE

Kegagalan petempatan di pulau Roanoke telah mengikiskan semangat kolonialisme untuk sementara waktu di England. Tetapi tarikan dunia baru [benua Amerika] tersebut, iaitu andaian tentang kekayaannya, tanah terbiar, jaminan kebebasan agama, dan peluang untuk memulakan hidup baru, menjadi semangat yang kuat di kalangan masyarakat England. Menjelang awal abad ke-17, usaha untuk menubuhkan petempatan tetap orang Inggeris di benua Amerika telah berlaku semula.

Usaha kali ini tidaklah berbeza dengan usaha yang dahulu, iaitu; tidak berjaya oleh kerana berbentuk penjelajah persendirian dengan perancangan yang terhad. Jika pun telah ditaja oleh pihak kerajaan, tetapi merupakan syarikat kecil-kecilan yang dipimpin oleh individu yang tidak bersedia menghadapi sebarang kesukaran yang akan dihadapi. Tidak seperti pengalaman di pulau Roanoke pada tahun 1585, mereka berjaya untuk terus hidup sehinggalah diselamatkan pada tahun berikutnya oleh Sir Francis Drake.

Terdapat tiga keadaan yang mendorong kepada kewujudan petempatan orang Inggeris di benua Amerika. Pertama, koloni-koloni adalah terdiri daripada syarikat perniagaan kecil yang bertujuan untuk menghasilkan keuntungan kepada syarikat korporat yang menaja. Kedua, koloni-koloni Inggeris adalah direka khusus menjadi masyarakat pindah dari 'Dunia Lama' ke 'Dunia Baru'. Sepertimana di Ireland, hanya sedikit usaha dilakukan untuk mengintergrasikan masyarakat Inggeris dengan masyarakat peribumi. Ketiga, oleh kerana koloni-koloni Inggeris hanya terikat secara tidak langsung dengan pihak kerajaan monarki England, maka mereka mula membangunkan institusi-institusi politik dan sosial mereka sendiri.

Penemuan Jamestown
Apabila putera James I meluluskan piagam kepada kumpulan-kumpulan syarikat di London dan Plymouth pada tahun 1606, sementara kumpulan syarikat Plymouth menghadapi masalah dalaman, kumpulan syarikat London telah bertindak segera menuju ke Virginia. Seramai 144 orang lelaki telah menaiki tiga buah kapal; Godspeed, Discovery, dan Susan Constant yang mula belayar pada awal tahun 1607.

Hanya 104 orang lelaki berjaya terus hidup dalam pelayaran tersebut. Mereka sampai di pantai Amerika pada musim bunga dan terus belayar melalui teluk Chesapeake hingga ke hulu sungai untuk membina petempatan koloni mereka di sebuah semenanjung. Mereka menamakan petempatan tersebut sebagai Jamestown.

Mereka memilih kawasan pedalaman dengan keyakinan dapat memberi perlindungan keselamatan daripada gangguan penduduk peribumi. Hakikatnya, kawasan yang dipilih adalah terlalu rendah dan berpaya. Ini mendedahkan mereka kepada penyakit malaria. Malah kawasan ini dikelilingi oleh hutan yang tebal dan menyukarkan usaha untuk membersihnya untuk tujuan bercucuk tanam. Keadaan ini telah menyumbang kepada kegagalan petempatan di sini pada peringkat awalnya. Dalam tempoh 17 tahun sejarah petempatannya, satu demi satu kumpulan orang mencuba menjadi Jamestown sebagai petempatan koloni yang selesa dan terjamin. Semua usaha tersebut menemui kegagalan. Bandar Jamestown menjadi satu tempat yang tidak selamat, dan dipenuhi peristiwa kematian yang menggerunkan. Mereka dijangkiti penyakit-penyakit tempatan, terutamanya malaria. Akibatnya syarikat London mengalami kerugian besar. Walau bagaimanapun, koloni terawal telah berjaya terus hidup mengekalkan petempatan di Jamestown. Menjelang tahun 1608, daripada seramai 104 orang dalam koloni tersebut pada awalnya cuma seramai 38 orang sahaja yang masih hidup. Pada tahun tersebut, mereka telah mendapat bantuan bekalan keperluan daripada London. Sejak itu, Jamestown mula membangun di bawah penyeliaan Kapten John Smith. Beliau telah menyatukan dan menyusun kerja-kerja kepada komuniti koloni tersebut. Malah beliau juga menganjurkan serangan ke atas kampung-kampung penduduk peribumi sekitar untuk mendapatkan bekalan makanan dan menculik perempuan mereka. Pada musim dingin, populasi koloni di Jamestown telah mengalami kemerosotan yang teruk hingga sekitar belasan orang sahaja yang terus hidup. Pada musim panas tahun 1609, Smith telah kembali ke London untuk mendapatkan bantuan.

Penyusunan semula dan perluasan
Sementara Jamestown sedang bergelut untuk terus wujud, London Company (kini dikenali sebagai Virginia Company) dengan cita-cita yang tinggi telah mendapat piagam baru dari raja England pada tahun 1609. Piagam ini memberi kuasa yang lebih luas dan membolehkan pihak syarikat meluaskan wilayah jajahannya. Ia mendapat sumber wang dengan menjual stok tambahannya kepada petani yang berminat untuk berhijrah dari tempat asal atas tanggungan mereka sendiri. Syarikat juga menyediakan kredit, iaitu kos pelayaran secara percuma bagi mereka yang tidak mampu (miskin) dengan syarat memberi khidmat selama tujuh tahun kepada syarikat. Pada musim bunga tahun 1609, pelayaran pertama ke Jamestown, Virginia oleh syarikat Virginia telah dilancarkan dengan sebanyak sembilan buah kapal dan seramai 600 orang penumpang termasuk perempuan dan kanak-kanak.

Dalam perjalanan menyeberangi Atlantik, malapetaka tuafan telah berlaku menyebabkan salah sebuah kapal hilang atau tenggelam. Salah sebuahnya telah terdampar di pantai Bermuda dan para penumpang adalah selamat. Ramai yang berjaya sampai ke Jamestown adalah kurang bertenaga akibat perjalanan yang membahaya, jauh dan terlalu lama. Ketibaan mereka tepat menjelang musim sejuk telah menambah derita, terutamanya mereka yang sedang menghidapi penyakit deman. Musim sejuk tahun 1609-1610 telah dikenali sebagai "starving time", yakni satu masa paling buruk berbanding masa sebelum. Penduduk peribumi Indian yang menyedari sikap dan perbuatan jahat orang Eropah di masa lalu mula bertindak menyebelih semua ternakan mereka. Ini menyebabkan koloni Inggeris ini terpaksa bergantung hidup dengan memakan apa saja yang ditemui, seperti anjing, kucing, tikus, katak puru, kulit kuda, dan malah mayat.

Apabila para penumpang yang selamat mendarat di Bermuda telah sampai ke Jamestown pada bulan Mei 1610, mereka mendapati hanya tinggal 60 orang dalam keadaan tidak bermaya masih hidup di petempatan tersebut berbanding dengan jumlah asal seramai 500 orang penduduk pada musim panas yang lalu. Mereka telah diselamatkan dan terus belayar meninggalkan Jamestown untuk menuju balik ke England. Walau bagaimanapun, mereka telah menemui sebuah kapal Inggeris yang sedang memudiki Sungai James menuju ke Jamestown. Kapal ini telah dihantar khusus oleh kerajaan England membawa bekalan keperluan harian bersama seorang gabenor koloni yang pertama, bernama Lord De La Warr. Oleh yang demikian, hasrat untuk pulang ke England telah dibatalkan. Maka sejak dari peristiwa tersebut, Jamestown terus membangun menjadi sebuah bandar terpenting bagi urusniaga perdagangan antara benua Amerika dengan England buat ketika itu. Keluasan kawasan Jamestown semakin menyebar luas dengan petempatan, terutamanya untuk penanaman tembakau menjadi sumber eksport utama. Peladang yang pertama mengusahakan tanaman tembakau secara besar-besaran di Virginia pada tahun 1612 ialah John Rofle. Beliau mendapatkan benih tembakau daripada koloni atau orang Sepanyol. Ladang tembakau terbentang luas di sepanjang Sungai James. Dengan perkembangan pembangunan ekonomi tembakau yang di Virginia ini telah menarik ratusan penghijrah baru ke Jamestown. Usaha untuk membawa keuntungan di Jamestown terus meningkat.

Di bawah pentadbiran gabenor pertama, Virginia terus maju dan malah keluasan kawasannya juga berkembang. Petempatan-petempatan baru mula muncul sepanjang lembah Sungai James. Antara faktor pertumbuhan tersebut adalah; wujud kekuatan militari untuk menjamin keselamatan daripada serangan peribumi Indian, dan pengembangan tanaman tembakau. Ekononi tembakau telah memberi keuntungan yang besar kepada koloni Virginia. Ramai peladang tembakau mula menerokai kawasan jauh ke pedalaman dalam kawasan penduduk peribumi Indian.

Pada tahun 1619, seramai 100 orang perempuan Inggeris telah dihantar di koloni Virginia sebagaimana telah diperuntukkan dalam piagam 1606, iaitu pengiktirafan hak penuh kewarganeraan semua lelaki, penamatan peraturan keras, dan malah hak berkerajaan sendiri bagi koloni Virginia. Pada 30 Julai 1619, perwakilan daripada semua kumpulan komuniti telah bertemu sebagai House of Burgesses (kini seumpama Dewan Perwakilan). Ia merupakan mesyuarat yang pertama bagi badan atau dewan undang-undang [parlimen atau dewan negeri] yang dipilih dalam sejarah politik AS.

Sebulan kemudian, Virginia telah menubuhkan satu tauladan baru dan penting dalam warisan kebudayaan masyarakat AS. Dalam laporan John Rofle menyebut "about the latter end of August" a Dutch ship brought in "20 and odd Negroes". Terdapat beberapa sebab untuk dipercayai bahawa koloni pada mulanya tidak menganggap orang Afrika pertama di Virginia sebagai hamba abdi (slave). Sebaliknya menganggap mereka sebagai hamba (servant) untuk tempoh tertentu dan dibebaskan sebagaimana kedudukan kaum hamba kulit putih yang lebih dikenali di kalangan peladang-peladang. Walau bagaimanapun, buat sementara waktu tenaga hamba kulit putih masih diutamakan sehingga tahun 1670an. Oleh kerana kadar gaji tenaga hamba kulit putih menjadi tinggi, maka kini peladang-peladang tembakau beralih kepada tenaga kulit hitam [negro Afrika).

Penduduk Eropah di Virginia telah membina masyarakat mereka bukan sahaja dengan memeras tenaga hamba abdi yang diimport dari Afrika tetapi juga dengan menyerang [menindas] penduduk peribumi Indian. Sir Thomas Dale merupakan pemimpin satu siri serangan ke atas kumpulan suku Powhatan dalam tempoh dua tahun. Dalam satu serangannya, Pocahontas, anak perempuan ketua suku tersebut telah berjaya diculik. Apabila suku Powhatan enggan membayar tebusannya, lantas Pocahantas memeluk agama Kristian dan berkahwin dengan John Rofle pada tahun 1614. Maka buat sementara waktu wujud hubungan baik dengan suku peribumi tersebut sehingga kematian Powhatan. Abang kepada Pocahantas bernama Opechancanough bangkit memberontak terhadap kaum kulit putih untuk mempertahankan tanah suku Powhatan. Pada satu pagi bulan Mac tahun 1622, pasukan Opechancanough telah menyerang petempatan orang kulit putih. Serangan tersebut telah mengorbankan seramai 347 orang kulit putih termasuk John Rolfe. Orang kulit putih hanya berjaya menundukkan suku Powhatan selepas lebih 20 tahun kemudian.

Keadaan hura-hara di Virginia ketika itu telah mengakibatkan Syarikat Virginia menjadi muflis. Pada tahun 1624, raja James I telah menarik balik piagam syarikat dan meletakkan koloni Virginia di bawah kawalan kerajaan mahkota (crown) sehingga tahun 1776. Di bawah pentadbiran kerajaan mahkota, keamanan dan pembangunan ekonomi di Virginia dapat dipulihkan.

Sungguhpun sejak tahun 1624, Virginia muncul menjadi sebuah koloni yang makmur, namun sejarah perkembangannya itu melibatkan masalah dan kos yang dahsyat. Dalam sepanjang tempoh 17 tahun petempatan awal di Virginia, lebih kurang 8,500 orang kaum kulit putih telah datang dan menetap di koloni tersebut. Pada tahun 1624, populasi telah merosot menjadi 1,300 orang. Lebih kurang 80 peratus telah mengalami maut ataupun meninggalkan koloni tersebut.

Maryland dan warisan Calverts
Sejarah petempatan koloni Maryland lebih mirip dengan koloni Virginia, jiran mereka di selatan dari segi pengalamannya, tetapi berbeza dari segi asal usul kedatangan mereka. Koloni ini diasaskan oleh George Calvert, merupakan Lord Baltimore yang pertama dan seorang saudagar kaya. Beliau telah memeluk agama Kristian Katholik. Oleh kerana penindasan berleluasa ke atas penganut Katholik oleh penganut Anglikan, yakni geraja rasmi England ketika itu, maka beliau bercita-cita untuk menubuhkan sebuah koloni di benua Amerika. Beliau telah meninggal dunia semasa masih berunding dengan raja England untuk mendapatkan satu piagam yang membolehkannya menubuhkan sebuah koloni di daerah Chesapeake. Akhirnya, Cecilius, anaknya yang menjadi Lord Baltimore yang kedua telah menerima piagam tersebut pada tahun 1632.

Piagam Maryland amat menguntungkan waris Calvert bukan sahaja dari segi keluasan kawasan yang meliputi Pennsylvania, Delaware dan Virginia pada hari ini tetapi ia memberi hak kuasa mutlak kepada kaum keluarga tersebut untuk mentadbir kawasan tersebut. Beliau dan pewarisnya diiktiraf menjadi "true and absolute lords and proprietaries" ke atas daerah yang diduduki. Mereka hanya perlu membayar yuran tahunan kepada raja England.

Lord Baltimore telah menamakan adiknya, Leonard Calvert menjadi gabenor koloni yang pertama. Pada bulan Mac 1634, dua buah kapal; Ark dan Dove telah belayar membawa gabenor bersama sejumlah sekitar 200 dan 300 orang koloni lain menuju ke Maryland. Mereka mudik jauh ke hulu Sungai Potomac dan membina sebuah petempatan di bahagian timurnya. Mereka menamakan kampung tersebut sebagai St. Mary. Penduduk peribumi Indian yang tinggal berjiran di kawasan tersebut dikatakan mesra dan menyediakan bekalan makanan kepada penghijrah kulit putih tersebut. Sejak kedatangan mereka di tempat baru ini, belum ada serangan peribumi Indian, tiada kolera dan tiada kebuluran berlaku.

Dengan wujudnya keadaan yang selesa di tempat baru ini, pewaris Clavert mula memikirkan untuk menjemput ribuan penghijrah baru termasuk mereka yang menganut agama Protestan. Kemasukan beramai-ramai ini sudah tentu menjamin kedudukan kewangan keluarga Calvert untuk membayar yuran tahunan kepada raja England. Namun, perselisihan dan permusuhan politik tidak dapat dielakkan di antara penganut minoriti Katholik dan penganut majoriti Protestan. Pihak pemerintah Maryland, keluarga Calvert mula menyedari perlunya mewujudkan sistem pentadbiran berbentuk perwakilan sebagaimana yang wujud di koloni-koloni Amerika yang lain bagi menyelesaikan masalah permusuhan politik tersebut. Maka pada tahun 1635, sebuah perhimpunan perwakilan diwujudkan dengan nama House of Delegates untuk membincangkan masalah-masalah mereka. Walau bagaimanapun, gabenor Calvert terus memegang kuasa mutlak dalam semua keputusan yang dibincangkan dalam mesyuarat perwakilan Maryland.

Di samping itu, dengan kesedaran bahawa penganut Katholik akan sentiasa merupakan kumpulan minoriti maka satu polisi persefahaman agama diluluskan pada tahun 1649, iaitu Act Concerning Religion untuk menjamin kebebasan kepercayaan kepada semua aliran Kristian di Maryland.

Seperti Virginia, Maryland juga telah berkembang menjadi pengeluaran tembakau yang kaya, dengan bantuan hamba kulit putih pada peringkat awalnya, dan kemudian bergantung penuh terhadap tenaga hamba abdi yang diimport dari Afrika sejak penghujung abad ke-17.

Virginia Bergolak
Menjelang pertengahan abad ke-17 koloni Virginia berupaya mengatasi malapetaka pada peringkat awalnya Populasinya mula bertambah dan sektor ekonomi memberi keuntungan serta semakin komplek. Tidak beberapa lama kemudian, permusuhan mula berlaku di kalangan penduduk koloni untuk merebut pengaruh dalam pentadbirannya, terutamanya dalam mempengaruhi polisinya terhadap penduduk peribumi Indian. Lebih kurang 30 tahun lamanya Sir William Berkeley, gabenor yang dilantik oleh raja England telah mendominasi politik koloni Virginia. Beliau berusia 36 tahun semasa dilantik pada tahun 1642 dan berkhidmat sehingga tahun 1670an. Semasa pentadbiran awalnya, beliau berjaya membuka kawasan pedalaman Virginia merentasi pergunungan Blue Ridge dan menyerang penduduk Indian di kawasan tersebut pada tahun 1644. Peribumi Indian yang tewas akhirnya bersetuju dalam satu perjanjian penetapan sempadan dengan petempatan kaum kulit putih di sebelah barat pergunungan tersebut. Walau bagaimanapun, peningkatan pesat dalam populasi Virginia telah menyebabkan kesukaran untuk mempertahankan kuatkuasa perjanjian tersebut. Menjelang tahun 1650, populasi Virginia telah mencapai jumlah 16,000 orang, iaitu peningkatan dua kali ganda populasinya pada 10 tahun yang lalu. Malah jumlahnya telah meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun seterusnya, iaitu seramai 40, 000 orang pada tahun 1660. Untuk menjamin pendudukan kaum kulit putih di Virginia, pada tahun 1652 mereka telah menubuhkan 3 buah county (pejabat daerah) secara membelakangkan persetujuan perjanjian asal dengan peribumi Indian. Justeru itu, pergolakkan politik antara koloni kulit putih dan kaum peribumi Indian tidak dapat dielakkan.
Dalam pada itu, Berkeley terus memperluaskan kawasan pengaruh dan menjadikan dirinya sebagai pemerintah autokrat (berkuasa mutlak). Menjelang tahun 1670, pengundian perwakilan dalam House of Burgesses yang diamalkan secara terbuka kepada semua kaum kulit putih telah ditutup kepada semua tuan-tuan tanah. Pemilihan jarang dilakukan dan calon-calon perwakilan yang berkenan kepada Berkeley telah mendominasi politik Virginia dari tahun ke tahun. Penduduk baru pula sama ada tidak diwakili langsung ataupun secara automatik akan diwakili tanpa diberi peluang memilih calon perwakilan di kalangan mereka sendiri.

Kemarahan terhadap penguasaan gabenor dan peningkatan golongan aristokrat telah berlaku dengan mantap di kawasan-kawasan baru [seringkali disebut sebagai black country] di bahagian barat. Pada tahun 1676, perasaan marah di kalangan penduduk koloni telah membawa kepada bentuk konflik besar di bawah pimpinan Nathaniel Bacon, seorang pemuda aristokrat yang baru berhijrah ke Virginia pada tahun 1673. Bacon memiliki sebuah ladang yang subur di barat dan juga merupakan ahli dalam majlis gabenor. Namun, beliau berbeza dengan ahli-ahli majlis yang lain kerana beliau tidak bersetuju dengan konsep kuasa mutlak yang dimiliki oleh gabenor, terutamanya dalam menangani polisi ke atas penduduk peribumi Indian. Penduduk-penduduk aristokrat yang mendiami kawasan-kawasan jauh di pedalaman menghadapi ancaman serangan peribumi Indian. Manakala, sebagai langkah mengelak permusuhan dengan peribumi Indian maka gabenor Berkeley mengambil sikap tegas melarang kaum-kaum aristokrat kulit putih menerokai kawasan baru untuk tujuan perluasan ekonomi pertanian mereka. Dalam masalah yang sama juga, Bacon menghadapi perselisihan dengan Berkeley berhubung tuntutan terhadap satu hak perdagangan bulu binatang dengan peribumi Indian yang mana dimonopoli oleh gabenor sendiri.

Sebelum itu, pada tahun 1675 satu peperangan telah berlaku di bahagian barat Virginia antara kaum kulit putih dan peribumi Indian. Bacon telah memohon bantuan ketenteraan daripada Berkeley tetapi sebaliknya mengarah membina kubu-kubu di perbatasan sempadan barat sahaja. Justeru itu, Bacon telah membentuk satu pasukan tenteranya sendiri daripada kalangan penduduk dan pekerja ladang-ladang. Apabila menyedari keupayaan kepimpinan Bacon boleh menjadi ancaman terhadapnya, maka Berkeley telah menolak permohonan bantuan ketenteraannya. Namun Bacon telah meneruskan beberapa siri serangan ke atas peribumi Indian tetapi segala usahanya itu tidak mencapai kejayaan. Sebaik sahaja Berkeley mendapati Bacon menubuhkan pasukan tenteranya sendiri, Berkeley telah memecatnya dari jawatan ahli majlis gabenor dan mengumumkan Bacon dan pengikutnya (tenteranya) sebagai pemberontak. Oleh yang demikian, kini Bacon telah mengalihkan perhatian pasukan tenteranya terhadap pemerintah Virginia. Maka meletus peperangan di antara kedua-dua pihak yang bermusuhan, dikenali sebagai Bacon's Rebellion. Pada serangan pertama Bacon telah menawan Jamestown, dan menerima perjanjian pengampunan kepada beliau dan tenteranya. Tetapi apabila menyedari bahawa perjanjian itu merupakan muslihat Berkeley, maka Bacon sekali lagi menyerang dan membakar bandar Jamestown. Berkeley telah berjaya melarikan diri. Tidak beberapa lama kemudian, Bacon telah meninggal dunia akibat mengidapi penyakit disenteri. Pada tahun berikutnya, Berkeley kembali dengan pasukan tentera British untuk mengambil balik pemerintahnnya di Virginia. Dengan berat hati, peribumi Indian telah menandatangani perjanjian baru dengan Berkeley untuk membuka lebih banyak kawasan peribumi kepada kaum kulit putih.