Make your own free website on Tripod.com

AJ2153 SEJARAH AMERIKA SYARIKAT SEBELUM REVOLUSI AMERIKA
 
KULIAH PERTAMA
AMERIKA SEBELUM COLUMBUS

Migrasi Awal
Pada hakikatnya, penemuan benua Amerika tidaklah bermula dengan peristiwa kejayaan penjelajahan Christopher Columbus pada tahun 1492 Masihi. Penemuan sebenarnya telahpun bermula pada beberapa ribu tahun lebih awal bila manusia buat pertama kalinya telah migrasi dari benua Asia ke wilayah yang kini dikenali sebagai Alaska, iaitu salah sebuah negeri dalam Kesatuan Amerika Syarikat. Sejak pada itu telah beransur-ansur mewujudkan pendudukan manusia di benua Amerika Utara hingga Amerika Selatan.

Tidak ada kata sepakat di kalangan sarjana tentang persoalan bila bermulanya proses migrasi tersebut. Mengikut cadangan awal menyebutkan bahawa migrasi manusia terawal melalui darat (berjalan kaki) dari Asia melintasi pelantar Bering ke Amerika Utara telah berlaku sekitar di antara 35 ribu dan 25 ribu tahun yang lalu. Para saintis percaya bahawa kedua-dua benua Asia dan benua Amerika dihubungkan pada bahagian timur-laut Siberia dengan bahagian utara Alaska melalui pelantar Bering pada suatu ketika dahulu, yakni semasa zaman ais. Namun selepas zaman ais, pelantar Bering telah tenggelam atau dilimpah air dan membentuk Laut Bering ataupun disebut Selat Bering yang memisahkan Siberia dan Alaska seperti mana yang kita lihat pada hari ini. Selat Bering yang seluas hanya 56 batu memisahkan Kesatuan Soviet (Russia) dengan Amerika Utara.Sekitar pada tahun 2000 Sebelum Masihi, berlakulah proses migrasi kumpulan manusia dengan perahu. Sugguhpun begitu, cadangan muktahir pula menganggarkan proses migrasi tersebut telah berlaku pada antara 14 ribu dan 16 ribu tahun yang lalu.

Barangkali proses migrasi tersebut telah terjadi sebagai kesan daripada kemajuan dalam teknik dan peralatan ekonomi berburu di kalangan manusia purba ketika itu, terutamanya pembuatan peralatan tajam daripada batu-batan seperti pisau, mata tombak, dan lain-lain. Kemajuan ini telah memolehkan manusia purba tersebut untuk memburu binatang-binatang besar yang lazimnya bergerak menyeberangi antara benua Asia dan Amerika Utara. Tahun demi tahun, sekelompok kecil manusia nomad yang menyerupai keturunan Mongolia di Siberia Timur hari ini mula memasuki benua Amerika Utara hingga jauh di kawasan pedalamannya. Barangkali sekitar seawal tahun 8000 Sebelum Masihi, penghijrah-penghijrah tersebut telah sampai di bahagian selatan Amerika Selatan.

Menjelang penghujung kurun Kelima belas Masihi, yakni ketika wujudnya perhubungan pertama yang penting dengan orang Eropah, benua Amerika telahpun menjadi kediaman kepada jutaan lelaki dan perempuan. Para sarjana menganggarkan lebih kurang 10 juta orang mendiami di Amerika Selatan pada tahun 1500, dan 4 juta orang mendiami wilayah yang kini terbentuk kesatuan Amerika Syarikat (United States of America).

Tamadun Awal
Amnya, benua Amerika memiliki tamadun yang agak lama dan maju, terutamanya wujud di bahagian Amerika Selatan dan Amerika Tengah, dan di Mexico. Di Peru, tamadun Incas telah menubuhkan sebuah empayar yang kuat dengan anggaran penduduk seramai 6 juta orang. Mereka menubuh sistem politik yang komplek dan juga membina jaringan jalanraya-jalanraya yang menyatukan populasinya yang terdiri daripada berbagai kumpulan suku etnik peribumi di bawah sebuah pemerintahan. Di Amerika Tengah dan semenanjung Yucatan di Mexico, orang Maya telah membina tamadun yang tinggi dengan mempunyai sistem tulisan bahasa, sistem nombor yang seiras dengan tulisan jawi, kalender yang tepat, dan sistem pertanian yang maju. Selepas kejatuhan pemerintahan Maya, sekumpulan suku pahlawan nomad digelar orang Aztec pula meneruskan warisan tamadun tersebut. Pada penghujung kurun ke-13, orang Aztec telah berjaya menguasai sebagian besar kawasan tengah dan selatan Mexico dan membina sistem pentadbiran, pendidikan dan peruabatan yang setanding dengan perkembangan di Eropah ketika itu. Namun, mereka juga memcipta kepercayaan agama yang menekankan pengorbanan manusia sebagai persembahan suci. Pada tahun 1519, penjajah Sepanyol telah menemui seramai 100,000 tengkorak mangsa amalan kepercayaan agama tersebut.

Pembangunan masyarakat manusia yang mendiami wilayah kini Amerika Syarikat dianggap kurang pesat berbanding dengan masyarakat manusia di bahagian selatan dan tengah benua Amerika, dan di Mexico. Namun ketamadunan dan sistem politik yang mereka memiliki itu masih dianggap bertahap tinggi atau highly structured.. Penghuni di kawasan utara benua ini bergantung hidup dengan aktiviti-aktiviti memburu, memungut hasil hutan, menangkap ikan, ataupun kombinasi antara ketiga-tiga aktiviti tersebut. Mereka adalah termasuk orang Eskimo di bahagian bulatan Artik yang gemar memancing dan memburu anjing laut (Seals) dan tamadun mereka telah tersebar meluas di kawasan tanah beku kutub utara; orang nomad yang bergantung hidup memburu binatang besar di hutan utara seperti moose dan caribou; orang primitif yang membina petempatan yang komplek di sepanjang kawasan pantai barat-laut Pasifik dan aktiviti utama mereka adalah menangkap ikan salmon; dan kumpulan manusia yang lebih maju dan ramai di kawasan pantai barat dengan aktiviti menangkap ikan, memburu dan memungut hasil bijirin, akar dan lain-lain tumbuhan. Kawasan timur Amerika Syarikat kini, yang diliputi oleh hutan atau disebut sebagai Woodland adalah dihuni oleh penduduk Indian. Kawasan ini mempunyai sumber ekonomi yang banyak, terutamanya untuk aktiviti-aktiviti bercucuk tanam, memburu binatang, memungut hasil hasil hutan, dan menangkap ikan. Di sebelah selatan pula terdapat petempatan kekal dan wujud jaringan perdagangan yang berasaskan jagung dan lain-lain tanaman yang hidup subur dari lembah Sungai Mississippi. Kota Cahokia yang berdekatan dengan bandar St. Luis kini merupakan sebuah pusat perdagangan yang besar pada suatu ketika dahulu sekitar tahun 1200 masihi dan mempunyai seramai 40,000 orang penduduk.

Dari segi etnik, penduduk awal Amerika terdiri daripada beberapa kumpulan etnik Indian yang dikatakan berasal dari rumpun bahasa yang sama. Kumpulan suku etnik yang terbesar adalah suku Algonquin yang membina kehidupan di sepanjang pinggir pantai Atlantik dari Canada hingga Virginia. Kumpulan kedua ialah suku Iroquois Confederation yang tertumpu di kawasan New York. Yang ketiga besar ialah suku Muskogean yang menghuni kawasan-kawasan bahagian selatan Amerika Syarikat hari ini.

Perikatan atau perhubungan di antara suku-suku kaum Indian ini pasa masa lalu dikatakan tidak begitu harmoni, memandangkan mereka tidak memikirkan diri mereka sebagai berasal atau sebahagian daripada tamadun yang sama. Apabila orang Eropah mula datang dan mengganggu cara hidup tradisional mereka, jarang sekali suku-suku kaum Indian ini dapat bersatu untuk menentang pencerobohan orang Eropah.

Menjelang akhir kurun Ke-15, penduduk peribumi Amerika telah mengharungi revolusi pertanian seperti penduduk peribumi lain-lain di dunia. Masyarakat peribumi di wilayah yang dikenali sebagai Amerika Syarikat kini telah beransur-ansur mengalami perubahan dalam cara hidup sepert penemuan sumber baru untuk makanan, pakaian dan perlindungan. Semua perubahan amat bergantung kepada struktur adat dan ritual sosial mereka. Agama amat penting dalam sistem sosial masyarakat peribumi Indian. Mereka menyebah banyak tuhan atau dewa yang berhubung kait dengan aktiviti pertanian, memburu, memungut hasil hutan dan lain-lain elemen semulajadi.

Semua suku etnik Indian meletakkan tanggungjawab menjadi anak-anak, menyediakkan hidangan makan, dan memungut makanan tertentu. Namun tanggungjawab yang lain adalah berbeza-beza antara suku-suku etnik. Ada kumpulan suku yang memberi tugas bertani kepada kaum lelaki sepenuhnya seperti suku Pueblos di kawasan barat-daya. Manakala suku-suku yang lain, seperti suku Algonquin, Iroquis dan Muskogean, akan meletakkan tugas bertani itu kepada kaum wanita sementara kaum lelaki memburu, berperang dan membersih kawasan bertani. Keadaan ini membolehkan kaum wanita untuk cenderung mengawal organisasi sosial dan ekonomi di petempatan dan memainkan peranan terpenting dalam institusi keluarga.