KEMUNCULAN BERBAGAI VERSI NASKAH SEJARAH MELAYU

Pengenalan
Naskah Melayu merupakan perbendaharaan Kesusasteraan Melayu yang ditulis dengan tangan dalam bentuk tulisan Jawi yang indah. Naskah Melayu mula ditulis sejak zaman kedatangan Islam di Nusantara pada abad ke 15. Penulisan naskah asal disebut naskah induk dan menjadi sumber kepada penyalinan dan penulisan naskah-naskah lain. Penyalinan yang dilakukan ke atas naskah induk inilah menyebabkan muncul berbagai versi naskah Sejarah Melayu.
Menurut kamus Filologi, Versi ialah bentuk atau kelompok cerita yang sama sejenis tetapi berbeza dengan bentuk dan kelompok cerita yang lain, walaupun berasal dari cerita yang sama (Abdul Rahman Kaeh, Abu Hassan Sham, Noriah Mohamed, 1995: 37).
Teks Sejarah Melayu merupakan satu hasil Kesusasteraan Melayu Tradisional atau Naskah Melayu yang muncul dalam berbagai versi. Keadaan ini amat sukar dan memberatkan kerja pengkajian filologi bagi mengenalpasti naskah paling awal atau induknya. Penelitian dan pengkajian ke atas naskah-naskah Melayu termasuklah Sejarah Melayu bermula dengan ketibaan orang-orang Barat. Kedatangan mereka ke alam Melayu asalnya bertujuan untuk berdagang, mengembara, menyebarkan agama Kristian, menjajah dan lain-lain. Sementara mencari dan mengumpul menuskrip hanyalah merupakan sesuatu yang timbul secara kebetulan (Siti Hawa Hj. Salleh, 1977: 1).

Latar belakang Sejarah Melayu
Sejarah Melayu lahir dalam masyarakat Melayu berlatarkan zaman kerajaan Melayu sebelum wujudnya Melaka dan seterusnya zaman kerajaan Melayu Melaka. Nama lain bagi Sejarah Melayu dalam bahasa Arabnya ialah Sulalatul'l Salatin bererti Salasilah Sultan-sultan. Dalam edisi Shellabear Sulalatu'l-Salatin diberi makna sebagai Peraturan Segala Raja-raja. Teks Sejarah Melayu ini menceritakan peristiwa-peristiwa sejarah yang dialami oleh kesultanan Melayu sejak dari awal abad ke 15 hinggalah abad ke 17. Dipercayai memang terdapat kitab asal sejarah lama yang kita namakan sekarang sebagai Sejarah Melayu. Teks asal Sejarah Melayu dipercayai berasal dari sebuah Hikayat Melayu yang dibawa dari Goa. Di dalamnya tercatat tarikh-tarikh kenaikan, kemangkatan dan lama pemerintahan raja-raja tersebut. Dari masa ke semasa, senarai raja-raja berkembang dan banyak perkara ditokok tambah, disisipkan bahan-bahan mana yang sesuai, akhirnya muncullah Sejarah Melayu yang ada dewasa ini. Tun Sri Lanang adalah pengarang atau penyusun semula Sejarah Melayu (Yusuf Iskandar, 1983: 5-6), Tun Sri Lanang mencatatkan dalam mukadimah Sejarah Melayu sebagai:

"Hamba dengan ada hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Gua: barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudiannya daripada kita, dan boleh diingatkannya, oleh segala mereka itu, syahdan adalah beroleh faedah ia daripadanya" (Sejarah Melayu, 1997, hal. 2).

Pengarang asal Sejarah Melayu dipercayai senang "schoolar" (Abu Hassan Sham: 86) senang intelektual Melayu yang berminat dalam sejarah dan peka dalam suasana perkembangan politik di Melaka ketika itu. Pengarang ini berkemungkinan memperolehi idea penulisannya melalui pembacaan buku Hikayat Zulkarnain dan Hikayat Raja-raja Pasi iaitu naskah sastera yang tertua. Ini adalah kerana dalam Sejarah Melayu dimasukkan kisah-kisah mengenai tokoh-tokoh Iskandar Zulkarnian dan peristiwa-peristiwa daripada Kesultanan Samudra-Pasai. Namun begitu, malangnya kita tidak mengetahui nama pengarang tersebut (Zainon bt. Sheikh Ahmad, 1999: 177).
Penyusunan semula Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang ini menjadi sumber kepada penulis-penulis seperti W.G. Shellabear, R.O. Winstedt, A. Samad Ahmad, dan lain-lain. Penyalinan terhadap naskah asalnya menyebabkan timbul pelbagai versi. Sepertimana yang diketahui Sejarah Melayu mempunyai banyak versi, ini bermakna ia merupakan hasil kesusasteraan yang termasyhur dan teragung. Ramai sarjana Barat dan Nusantara memperkatakan tentang Sejarah Melayu sejak tahun 1726 hingga sekarang. Para sarjana barat ini menterjemahkan sesuatu versi tertentu. Contohnya, versi Sejarah Melayu Menuskrip Raffles M.S. 18 banyak diperkatakan oleh Winstedt. Walau bagaiamanpun A. Samad Ahmad telah melaksanakan kegiatan pernaskahan secara tuntas berdasarkan 29 buah naskah salinan Sejarah Melayu.
Naskah-naskah salinan Sejarah Melayu yang ada ini terdapat diberbagai-bagai koleksi dan kepustakaan dunia. Jumlah naskah yang ada sekarang dalam lingkungan 29 buah naskah. Di antara 29 buah naskah ini terdapat 12 buah di Netherlands, 11 buah di United Kingdom, 5 buah di Lembaga Kebudayaan, di Jakarta, Indonesia, dan sebuah di Leningrad, Russia. Sejarah Melayu yang mempunyai banyak naskah salinan adalah amat rumit dan kompleks dalam membincangkan bidang filologi. Walau bagaimanapun kemasyhurannya amat jelas, buktinya Sejarah Melayu mendapat perhatian para pengkaji tempatan dan luar negeri dalam kerja penggarabah, pengedisian mahupun pertejemahan ini adalah untuk mencari sebuah naskah Sejarah Melayu yang memberikan pembacaan dan pemahaman filologi yang sebaik mungkin (Muhammad Yusuf Hashim, 1992: 121-122).

Sebab-Sebab Munculnya Berbagai Versi
Penelitian terhadap latar belakang Sejarah Melayu yang muncul dalam pelbagai versi telah diperjelaskan. Persoalan utama kini, mengapa munculnya versi-versi naskah Sejarah Melayu sehingga amat sukar untuk ditentukan induknya? Dalam hal ini penjelasan dapat kita lihat melalui perbincangan yang akan diperincikan serta membuat penelitian satu persatu tentang sebab-sebab munculnya pelbagai versi naskah Sejarah Melayu.

1. Sikap Pengarang Naskah
Naskah Sejarah Melayu adalah naskah Kesusasteraan Melayu yang disalin dari satu generasi ke satu generasi kemudiannya. Sejarah Melayu, asalnya hanya berupa senarai raja-raja Melayu yang memerintah Melaka, lengkap dengan tarikh kenaikan sesenang raja, kemangkatan dan lama pemerintah raja tersebut. Senarai raja-raja itu menjadi inti kepada penulisan Sejarah Melayu. Oleh itu salinan-salinan dibuat daripada naskah induk dan salinan itu pula berbeza mengikut keadaan, zaman dan tempat (Yusuf Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh, 1983: 5,11). Kekerapan terhadap penyalinan naskah ini menyebabkan munculnya berbagai versi. Roolvink menganggap Sejarah Melayu merupakan hasil sastera Melayu tradisional yang terpenting sekali. Ini bukan sahaja terletak kepada nilai kandungannya sahaja, bahkan tentang kekerapan ianya disalin. Hampir semua naskah-naskah ini merupakan salinan terkemudian yang dibuat pada abad ke 19 masihi. Kekerapan terhadap penyalinan semula naskah ini adalah berpunca daripada pengarang asal tidak meletakkan nama sebenar mereka pada naskah tersebut. Ketika itu karya bukan milik sesiapa tetapi adalah hak masyarakat tersebut. Di samping itu belum ada satu hakcipta yang dapat memelihara keaslian sesuatu karya. Disini penyalin boleh membuat tokok tambah dengan sesuka hati isi yang diperlukan. Mungkin juga sebaliknya mengurangkan mana-mana isi yang tidak diperlukan. Proses tokok tambah ini pula tidak mendapat bantahan malah disenangi.
Di dalam Sejarah Melayu Edisi Winstedt dan Shellabear terdapat sedikit perbezaan dari segi isi cerita. Edisi Winstedt yang lebih tua menulis dalam cetera 3 tentang perkahwinan Sri Tri Buana dengan anak Demang Lebar Daun (Raja Palembang) iaitu Wan Sendari. Hasil perkahwinan itu memperolehi 2 orang putera. Diceritakan kedua orang putera raja itu dilahirkan di Temasik iaitu negeri yang baru dibuka oleh Sri Tri Buana (R.O. Winstedt, 1938: 58-61). Edisi Shellabear yang lebih terkemudian menulis dalam cetera 2. Dalam cetera ini Sri Tri Buana dikenali sebagai Sang Sapurba, berkahwin dengan Wan Sendari. Hasil perkahwinan ini memperolehi 2 orang putera dan 2 orang puteri yang bernama Sang Manika, Sang Nila Utama, Puteri Sri Dewi dan Puteri Cendana Dewi. Mereka ini dilahirkan di Palembang. Disini jelas kelihatan berlaku perbezaan dalam penceritaan Sejarah Melayu bagi edisi yang berlainan. Perbezaan yang sebeginilah munculnya pelbagai versi bagi naskah Sejarah Melayu (W.G. Shellabear, 1977: 21-23).
Di samping itu, sikap penyalin suka untuk menambah dan mengurangkan perkataan-perkataan dalam teks cerita asal Sejarah Melayu. Ini berkemungkinan untuk memperbaiki mutu bahasa atau mengindahkan lagi bahasa dalam penceritaan Sejarah Melayu. Penelitian boleh dilihat pada petikan berikut:

"… gilang-gemilang seperti cahaya matahari dan bulan, dan amat bijaksana …: (W.G. Shellabear, 1977: 4).

" …gilang-gemilang seperti cahaya matahari, dan terlalu amat bijaksana …" (R.O. Winstedt, 1938: 43).

Di sini Winstedt telah menggugurkan perkataan `dan bulan' serta menambahkan kata `terlalu'. Proses penambahan dan pengurangan ini juga menjadi punca kepada munculnya pelbagai versi bagi naskah Sejarah Melayu.
Dalam usaha menyalin Sejarah Melayu ini menampakkan juga penyalin atau pengarang bersikap ego. Di sini pengarang masing-masing cuba untuk membuat perubahan dalam penulisan mereka. Perkara yang dilakukan seperti mengubah peristiwa-peristiwa tertentu dalam Sejarah Melayu sehingga menampakkan berlakunya anakronisme pada sesebuah karya yang sama. Contohnya satu peristiwa yang masyhur terdapat pada kedua-dua edisi Winstedt dan Shellabear ialah tentang peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Sultan Melaka. Terdapat perbezaan yang jelas di antara kedua-dua edisi ini tentang siapakah yang memerintahkan peminangan itu. Dalam edisi Winstedt dikatakan yang berhasrat meminang ialah Sultan Mansur Syah. Sementara dalam edisi Shellabear ialah Sultan Mahmud Syah. Lihat petikan di bawah.

"Maka Sultan Mansur Syah memberi titah pada segala orang besar-besar `… bahawa kita hendak beristeri terlebih dari segala raja-raja dalam dunia ini …' Maka titah baginda, `Kita hendak meminang Puteri Gunung Ledang, Laksamana dan Sang Setialah kita titahkan.
(R.O. Winstedt, 1938: 129)

"Maka titah Sultan Mahmud, `Jikalau beristeri sama anak raja-raja ini, adalah raja-raja lain pun demikian juga … Akan sekarang kita hendak meminang Puteri Gunung Ledang, Laksamana dan Sang Setia kita titahkan.'
(W.G. Shellabear, 1977: 215)

Dengan adanya sikap egostik ini menyebabkan berlakunya tertentangan masa bagi peristiwa yang sama. Keadaan ini juga menyebabkan munculnya pelbagai versi Sejarah Melayu.

2. Anjakan Paradigma Penyalin Terkemudian
Sememangnya diketahui terdapat banyak perbezaan antara pengarang asal dengan pengarang terkemudian dalam menyalin sesebuah karya. Hal ini adalah berkaitan rapat dengan kehidupan masyarakat, pemerintahan dan gaya hidup zaman pengarang asal dengan zaman pengarang terkemudian. Pengarang terkemudian mungkin merasai banyak perkara dalam cerita asal tidak bersesuaian dengan keadaan waktu. Jadi, mendorong pengarang terkemudian memasukkan sesuatu yang dianggap baik dan sesuai. Bagi Winstedt dan Shellabear telah menampakkan kelainan pandangan. Winstedt menamatkan kisah dalam tahun 1535 (R.O. Winstedt, 1938: 189). Manakala edisi Shellabear diakhiri tahun 1612. Di sini jelas menunjukkan edisi Shellabear lebih terkemudian. Syallabear cuba membina versi baru dengan menukar legenda peminangan Puteri Gunung Ledang. Dalam kebanyakan edisi seperti edisi Winstedt peminangan berlaku dalam zaman Sultan Mansor Syah - Syallabear cuba menukar peristiwa peminangan itu daripada zaman Sultan Mansor Syah ke zaman Sultan Mahmud Syah. Tujuannya agar zaman Sultan Mahmud Syah juga akan masyhur sekiranya terdapat peristiwa luar baisa setanding dengan kemasyhuran zaman Sultan Mansor Syah.

3. Percanggahan Tafsiran
Semasa proses penyalinan dan penerbitan, masalah salah tafsiran ataupun kesilapan pembacaan oleh penyalin atau penterjemah sering timbul. Ada di antara penulis naskah boleh menulis tetapi tidak dapat menilai kandungan naskah tersebut. Keadaan ini berlaku kerana penyalin yang menyalin naskah asal tidak faham isi kandungan naskah asal. Naskah asal menggunakan tulisan jawi dan penyalin bukan semuanya boleh membaca dalam tulisan jawi. Jika boleh membaca pun mungkin mereka tidak dapat membunyikannya dengan betul dan mereka menulis mengikut kefahaman mereka sendiri.
Sememangnya membaca naskah jawi adalah lebih sukar, Winstedt juga turut membuat kesilapan. Beberapa perkataan jawi dalam Sejarah Melayu yang disalin oleh Winstedt diterjemahkan dalam Bahasa Melayu tetapi ejaan jawinya masih dikekalkan dalam tulisan beliau itu. Contohnya,

Gudarz Kuhan - ?
Onang Kiu - ?
Dika - ?
(R.O. Winstedt, 1938: 47, 50, 52)

Keadaan demikian berlaku adalah bagi menggelakkan berlaku pertafsiran yang salah. Percanggahan tafsiran dalam menyalin semula naskah asal menyebabkan timbulnya berbagai versi bagi naskah Sejarah Melayu.

4. Pengaruh Istana
Masyarakat Melayu zaman dahulu mempunyai tulisan sendiri. Namun begitu kegiatan menulis ini hanya tertumpu di istana. Oleh itu, tidak hairanlah golongan atau masyarakat istana adalah masyarakat yang mula-mula pandai menulis. Ketika ini kegiatan penulisan adalah tertakluk kepada perintah raja. Segala hasil cerita adalah bergantung kepada kehendak raja yang memerintah. Di sini boleh dikatakan pihak istana menjadi penerbit naskah tersebut kita dapat lihat seungkap kata dalam Sejarah Melayu Edisi Winstedt yang menunjukkan bahawa pihak istana berperanan penting dalam menulis sesebuah naskah.

Maka fakir karangkan hikayat ini Kama Sami 'tu min jaddi w'abi, dan fakir himpunkan daripada segala riwayat orang tua-tua dahulu kala, supaya menyukai duli hadhrat baginda (R.O. Winstedt, 1938: 42).

Berdasarkan penjelasan di atas jelaslah bahawa golongan raja atau pemerintah sangat berpengaruh dalam penulisan sesebuah naskah Melayu. Hal ini akan memberi kesempatan kepada golongan pemerintah untuk mempengaruhi penulis agar memasukkan cerita untuk menaikkan martabat kerajaannya. Hal ini menyebabkan timbulnya berbagai versi dan berbeza daripada naskah yang asalnya.

5. Penyalinan dan sumber yang disalin
Dalam aktiviti menyalin naskah Melayu khususnya Sejarah Melayu penyalin dipengaruhi oleh sumber lisan dan tulisan. Dalam menyalin menggunakan sumber lisan ini penyalin bebas memasukkan atau menambahkan bahagian-bahagian mana yang disukai dan difikirkan perlu. Sumber lisan ini, banyak mengubah cerita sebenar, walaupun hanyalah selitan kepada cerita pokok. Begitulah juga dengan menggunakan sumber tulisan hal tokok-tambah tidak boleh disingkirkan.
Proses menyalin sesebuah naskah kerapkali timbul berbagai kesalahan, perubahan ataupun pindaan. Hal ini terjadi berkemungkinan penyalin mempunyai idea baru dan menjangkakan akan menarik minat pembaca. Penyalin juga mungkin kurang memahami bahasa atau pokok persoalan naskah yang disalin itu. Ini berkemungkinan juga tulisan tidak terang, ketidaktelitian sehingga beberapa huruf hilang (haplografi). Selain itu, dalam proses menyalin semula ini, penyalin bebas dengan sengaja menambah, mengurang, mengubah naskah menurut seleranya, disesuaikan dengan situasi dan kondisi zaman penyalin. Di samping itu unsur-unsur lain seperti pengaruh pemerintah, pengkritik, pencetak dan sebagainya merupakan penyebab kepada timbulnya perbezaan antara naskah yang sama karyanya. Dengan itu, jelaslah bahawa naskah salinan belum tentu merupakan salinan yang sempurna daripada naskah asal yang disalin. Perbezaan ini adakalanya kecil sahaja tetapi adakalanya membawa kepada perubahan yang besar, sehingga timbulnya naskah yang berbeza versinya (Fakultas Sastera, Universitas Gajah Mada, Yogyakarta, 1983: 91-93).
Dalam hal ini dapat dilihat Sejarah Melayu pada asalnya hanya terdapat dalam satu bentuk senarai raja-raja, iaitu tentang nama raja-raja Melayu Melaka daripada raja pertama hingga raja terakhir sekali. Ini dibuktikan dengan penemuan naskah Sejarah Melayu (Cod. Or. 3199(3) Bahagian 4 (Abu Hassan Sham, 1976: 130-138). Berdasarkan jumpaan ini penyalin tersebut memasukkan cerita-cerita, riwayat-riwayat dan isi-isi baru. Bagi menunjukkan perkara tersebut berlaku Sejarah Melayu Versi Maxwell No. 105 dijumpai tersimpan di Royal Asiatic Society, London. Naskah tersebut diperolehi oleh Maxwell daripada Raja Othman, Bendahara Perak (Ibid: 137).
Berdasarkan Sejarah Melayu Versi Maxwell No. 105, dimuatkan isi sejarah dan bukan sejarah bagi membentuk riwayat yang lebih terperinci. Ini dapat dilihat pada Sejarah Melayu naskah Raffles M.S. 18 yang diselenggarakan oleh R.O. Winstedt yang lebih terkemudian pada tahun 1935 (Yusuf Iskandar, 1981: 49).
Seterusnya timbul pula Sejarah Melayu daripada versi lain yang diusahakan oleh Abdullah Munsyi, Situmorang, Teeuw dan Dato' Madjoindo yang mengisahkan setakat kematian Tun Ali Hati (Ibid: 49). Tradisi menulis diteruskan oleh penyalin dari Siak, yang turut memasukkan riwayat kekeluargaan Siak dalam Sejarah Melayu. Penyalinan ini terus dibuat sehinggalah diakhiri dengan mendadak sahaja tentang serangan Portugis terhadap Melaka pada tahun 1511. Jelas di sini bahawa dalam proses penyalinan naskah Sejarah Melayu ini menyebabkan timbulnya berbagai versi dan ianya bergantung kepada penyalin tersebut.

6. Mengikut Kehendak Penerbit
Dalam tahun 1908, pemerintah Belanda telah mendirikan Kantor Penterjemahan Kecil. Pada tahun 1920 ia diperluaskan lagi menjadi perusahaan penerbitan yang dinamakan Balai Pustaka. Tempat ini dijadikan pusat peminjaman buku untuk seluruh negeri. Pada peringkat permulaan penerbit sendiri akan menterjemah karangan-karangan yang ditulis. Bagi karya yang belum sempurna dari segi pemilihan kata, susunan ayat dan sebagainya akan dipulangkan semula kepada penulis. Walau bagaimanapun, ramai di kalangan penulis tidak memulangkan semula karya tersebut. Oleh yang demikian, Balai Pustaka menjalankan dasar dengan mengarahkan pegawainya sendiri membetulkan sebarang kesalahan yang dikesan. Akibatnya berlaku kelainan daripada versi yang asal. Kelainan versi ini akan merumitkan lagi proses menentukan naskah induknya.

7. Mengagungkan bangsa sendiri
Naskah Sejarah Melayu disalin oleh penyalin yang terdiri daripada berbagai bangsa. Oleh yang demikian, mengalami berbagai bentuk sisipan atas kecenderungan pengarang atau penyalin itu sendiri. Hal ini menyebabkan timbulnya berbagai versi bagi naskah tersebut. Dalam Sejarah Melayu versi Blagden disisipkan kisah serangan Jambi terhadap Johor. Perkara ini semua tidak ada kena mengena langsung dengan cerita sebelumnya. Cerita ini digunakan oleh penyalin Bugis di istana Riau-Lingga. Penyalin tersebut adalah Raja Ali Haji yangberketurunan Bugis, tujuan penambahan isi cerita adalah untuk mengagungkan-agungkan martabat Bugis. Bagi seorang lagi penyalin berketurunan Siak telah menyalin semula Sejarah Melayu. Beliau telah melanjutkan episod-episod tertentu dengan memasukkan riwayat tentang kekeluargaan Siak bermula dari Raja Kecil ibn Sultan Mahmud Syah II. Jelaslah di sini bahawa keinginan untuk mengagungkan bangsa sendiri dibuat melalui penulisan. Akibat daripada itu pula muncul pelbagai versi bagi naskah Melayu, khususnya Sejarah Melayu.

Penutup
Sebagai rumusannya dapatlah dikatakan bahawa penyalinan yang dibuat ke atas naskah asal menyebabkan munculnya berbagai versi dalam naskah Sejarah Melayu. Oleh yang demikian, amatlah sukar bagi seseorang pengkaji untuk menentukan naskah induknya. Di sini tugas utama filologi agar dapat memurnikan teks dengan mengadakan kritikan terhadap teks. Tujuan kritikan adalah untuk menghasilkan sesuatu teks yang paling hampir keasliannya. Teks yang sudah dibaiki kesalahan dan disusun kembali seperti semula adalah merupakan teks yang sesuai menjadi sumber sebagai penelitian yang dapat membantu dalam bidang ilmu-ilmu lain.

Rujukan
Abu Hassan Sham. 1977. Beberapa Aspek Dari Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publication dan Distributor.
Abdul Rahman Kaeh, Abu Hassan Sham, Noriah @ Jariah Mohamad. 1995. Kamus Filologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhamad Yusuf Hashim. 1992. Persejarahan Melayu Kajian Tentang Tradisi Sejarah Melayu Nusantara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
R.O. Winstedt. 1938. The Malay Annuals or Sejarah Melayu. London: JMBRAS.
Siti Hawa Haji Salleh, Mac dan Mei 1999. Dewan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Siti Hawa Majid 1987. Cendekia Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: DBP.
W.G. Shellabear. 1977. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Yusuf Iskandar dan Abd Rahman Kaeh. 1983. Sejarah Melayu: Satu Perbincangan Kritis dan Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd.
Zainon bt Sheikh Ahmad. 1999. Sejarah Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Penerbitan Elman.
Fakultas Sastera Universitas Gajah Mada Yogyakarta. 1983. Pengantar Teori Filologi. Yogyakarta.