PENSEJARAHAN MELAYU: SULALATUS SALATIN

Setelah fakir allazi murakabun `ala jahili (mendengar titah yang Maha Mulia itu), maka fakir perkejutlah diri fakir pada mengusahakan dia, syahdan memohonkan taufik ke hadrat Allah, Tuhan sani'il-alam, dan minta huruf kepada Nabi sayyidil-anam, dan minta ampun kepada sahabat yang akram; maka fakir karanglah hikayat ini, kama sami'tuhi min jaadi wa abi, supaya akan menyukakan duli hadrat baginda. Maka fakir namai hikayat ini "Sulalatus Salatin", yakni pertuturan segala raja-raja, hazihi durratul-akhbar wal-amsal, inilah mutiara segala ceritera dan cahaya segala peri umpamanya. Maka barang siapa membaca dia, jangan dibicarakan dengan sempurna bicara …
[Tun Seri Lanang dalam Sulalatus Salatin]


Antara karya persejarahan Melayu yang awal yang dihasilkan di tanahair kita ialah Sulalatus Salatin ataupun Sejarah Melayu yang telah diperbaiki atau dikarang semula oleh Tun Seri Lanang pada TM 1612. Karya ini juga telah menjadi sebuah karya persejarahan Melayu yang terpenting dan termasyhur; malah lebih termasyhur daripada pengarangnya sendiri. Oleh itu jika dibandingkan di antara Tun Seri Lanang dengan karya persejarahannya yang berjudul Sulalatus Salatin itu, adalah jelas bahawa karya beliau itu adalah lebih terkenal daripada beliau sendiri. Karya pensejarahan beliau itu adalah merupakan antara karya-karya pensejarahan tradisi Melayu yang paling popular dan banyak sekali dikaji. Para pengkaji telah menimbulkan anggapan bahawa Sulalatus Salatin itu memanglah sebuah karya yang agung, yang daripada beberapa segi, telah menjadi asas kepada pensejarahan Melayu tradisi khususnya di Malaysia dan persekitaran terdekatnya. Ataupun sekurang-kurangnya, menjadi naskhah yang mewarisi dan membangunkan asas-asas pensejarahan Melayu tradisi itu, iaitu jika kita menganggap karya-karya yang lebih awal, seperti Hikayat Raja-Raja Pasai telahpun mengasaskan tradisi tersebut. Tetapi siapakah Tun Seri Lanang?

Riwayat Hidup
Seperti yang diimbaskan tadi, bahawa memang tidak banyak terdapat penulisan yang membicarakan riwayat hidup Tun Seri Lanang itu. Kebanyakan penulis cuma gemar mempersoalkan apakah beliau sebenarnya pengarang Sulalatus Salatin ataupun tidak? Persoalan ini timbul kerana setengah-setengah kumpulan naskhah Sulalatus Salatin itu ada memuatkan nama beliau sebagai pengarangnya, manakala setengah-setengahnya pula tidak (umpamanya naskhah Raffles 18, Royal Asiatic Society London). Adapun naskhah-naskhah yang ada memuatkan nama beliau adalah terdiri daripada naskhah-naskhah yang telah diterbitkan yang dikenali sebagai edisi Abdullah Munsyi, edisi Shellabear dan edisi Dulaurier, dan yang paling mutakhir naskhah Haji Othman Abdullah (kod DBP MSS 86) yang dijadikan sebagai asas kajian oleh Tuan Haji Abdul Samad Ahmad dalam penulisannya yang berjudul Sulalatus Salatin (DBP 1985).

Naskhah Haji Othman Abdullah itu misalnya menyatakan:

Setelah fakir mendengar demikian, jadi beratlah atas anggota allazi murakkabun' ala jahlihi, Tun Muhammad namanya. Tun Seri Lanang timang-timangnya. Paduka Raja gelarannya. Bendahara, anak Orang Kaya Paduka Raja, cucu Bendahara Seri Maharaja …

Dengan demikian naskhah-naskhah dalam kumpulan ini jelas memuatkan bahawa Tun Seri Lanang adalah pengarang Sulalatus Salatin itu. Namun demikian ini bukanlah bererti bahawa beliau adalah pengarang ataupun penulisnya yang asal. Pengarangnya yang asal, yakni yang menghasilkan versi yang pertama bagi Sulalatus Salatin itu tidaklah diketahui, tetapi adalah dipercayai versi yang pertama itu telah mula diusahakan oleh pengarang atau penyusunnya pada Zaman Empayar Melayu Melaka sebelum empayar tersebut dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1511. Pada asasnya Tun Seri Lanang adalah "penyalin" bagi naskhah yang asal itu; namun demikian beliau bukanlah semata-mata menyalin sahaja naskhah tersebut sepertimana seadanya. Sebenarnya beliau telah dititahkan untuk memperbaiki "sebuah hikayat Melayu yang dibawah orang dari Goa" dan atas titah perintah itu beliau kemudiannya telah berusaha mengarang sebuah hikayat yang dinamakan Sulalatus Salatin ataupun Pertuturan Raja-Raja, iaitu dengan berdasarkan hikayat yang dibawa dari Goa tadi. Usaha beliau itu bukanlah sesuatu yang janggal atau salah, kerana di mana-mana sahaja pada zaman tradisi itu usaha-usaha yang demikian, yakni menyalin dan "memperbaiki" itu sentiasa berlaku dan dilakukan.

Keturunan Bendahara Melaka
Tambahan lagi Tun Seri Lanang dianggap berasal daripada jurai keturunan Bendahara Melaka di pihak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Maka sudah tentulah minat peribadi untuk memperbaiki hikayat itu memang wujud sedikit sebanyaknya, iaitu di samping ingin menyukakan hati raja. Daripada segi jurai keturunan itu, naskhah Shellabear dan juga naskhah Haji Othman Abdullah mengatakan bahawa beliau adalah piut Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, iaitu Bendahara Melaka yang kelima yang terkenal sebagai Bendahara yang "terlalu saksama, serta adil dengan murahnya; dan terlalu baik budi pekertinya pada membaiki orang, dan terlalu sangat pada memeliharakan segala dagang," tetapi akhirnya dijatuhkan hukuman bunuh dengan kejamnya oleh Sultan Mahmud akibat daripada fitnah beberapa orang saudagar dan pembesar-pembesar Melaka pada ketika itu. Namun demikian, T. Iskandar mengatakan daripada naskhah Raffles MS 18, dapat dikesan bahawa Tun Seri Lanang bukanlah pitu Bendahara Seri Nara Wangsa, Tun Tahir, iaitu iaitu abang kepada Bendahara Seri Maharaja. Ibu beliau, iaitu Tun Ganggang, itulah yang merupakan piut kepada Bendahara Seri Maharaja. Walau bagaimanapun, adalah jelas bahawa beliau adalah daripada orang berbangsa juga. Bapa kepada datuk beliau, iaitu Tun Mahmud, telah menjadi Bendahara Johor-Riau yang ke-XI dengan gelaran Bendahara Tun Nara Wangsa. Datuk beliau, iaitu Tun Isap Misai, telah menjadi Bendahara Johor-Riau yang ke-XIII dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja. Sementara bapa beliau pula, iaitu Tun Ahmad telah menjawat jawatan Temenggong dengan gelaran Paduka Raja. Kedua-dua anakanda beliau iaitu Tun Anum dan Tun Jenal, juga dikatakan telah menjawat jawatan Bendahara Johor-Riau itu.
Tun Seri Lanang telah menjadi Bendahara Empayar Johor-Riau yang ke-XIV dengan gelaran Paduka Raja. Sultan yang memerintah pada ketika itu ialah Sultan Alauddin Riayat Shah. Kira-kira setahun (tahun 1613) selepas Tun Seri Lanang memulakan usahanya mengarang semula Hikayat Melayu yang dibawa dari Goa itu, Acheh telah datang melanggar Johor. Ekoran daripada serangan itu, beliau telah dibawa bersama ke sana. Tidaklah dapat dipastikan sama ada beliau telah menyempurnakan usahanya itu semasa berada di rantau itu, ataupun semata-mata meneruskannya sahaja dan kemudian menyelesaikannya setelah beliau dihantar kembali ke Johor. Semasa di Acheh itu beliau mungkin dapat berkenalan dengan Sheikh Syamsuddin Pasai, yang pada ketika itu merupakan "ulama besar dan penasihat Sultan di sana." Mungkin juga perkenalan itu telah memberikan peluang baginya meluaskan ilmu pengetahuannya mengenai karang-mengarang, ataupun mengenai agama Islam. Walau bagaimanapun, dengan berdasarkan Sulalatus Salatin itu, Tun Seri Lanang memanglah merupakan tokoh ilmuan yang handal pada ketika itu. Kehandalan ini memang diakui oleh para pengkaji penulisan tersebut, sama ada mereka itu mengkajinya daripada sudut kesusasteraan, bahasa mahupun pensejarahan.

Motif Penulisan
Adalah jelas bahawa motif penulisan Tun Seri Lanang ialah untuk "menyukakan duli hadrat baginda". Dan seterusnya "baginda" sendiri mempunyai motif sepertimana yang lazim bagi penghasilan karya-karya pensejarahan tradisi dalam beberapa peradaban yang lain. Motif itu ialah "supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, dan boleh dingatkan oleh segala mereka itu. Dan adalah beroleh faedah ia daripadanya." Sedikit sebanyak motif-motif ini menunjukkan bahawa usaha "memperbaiki" Hikayat Melayu itu memanglah mempunyai fungsi dan tujuan sejarah iaitu sebagai ingatan dan iktibar bagi zuriat-zuriat yang akan datang.
Motif-motif di atas itu adalah di antara ciri-ciri pensejarahan tradisi dan menunjukkan bahawa Sulalatus Salatin itu adalah sebuah karya pensejarahan tradisi dan pengarangnya pula boleh dianggap sebagai contoh seorang sejarawan istana tradisi pra excellence. Beliau menulis untuk menyukakan hati rajanya dan untuk teladan serta iktibar bagi keturunan yang akan datang. Sekaligus motif-motif seperti itu menggambarkan pula tentang sifat subjektif karya tersebut dan juga sikap subjektif pengarangnya sendiri, iaitu subjektif terhadap peradabannya dan juga raja-rajanya.

Karya Pensejarahan
Memanglah benar bahawa terdapat beberapa kesukaran bagi seseorang yang ingin melihat Sulalatus Salatin ini daripada sudut sejarah yang sebenarnya, iaitu yang diukur daripada sudut pengertian sejarah moden seperti yang dikemukakan oleh sejarawan-sejarawan mutakhir seperti R.G. Collingwood, E.H. Carr, malah Ibn Khaldun pada kurun keempat belas dahulu. Antara sebab utamanya ialah terdapatnya beberapa kekurangan atau kelemahan daripada segi ciri-ciri kesejarahannya, iaitu yang muncul daripada adanya ciri-ciri yang secara amnya biasa dianggap sebagai ciri-ciri kesusasteraan. Ciri-ciri tersebut ialah seperti bentuk-bentuk puisi, dongeng-dongeng, lagenda, kiasan-kiasan, anakronisme dan juga percakapan-percakapan yang kononnya dituturkan oleh tokoh-tokoh yang berkenaan. Kita boleh melihat beberapa contoh bagi ciri-ciri itu, umpamanya yang terdapat dalam bahagian awal yang menceritakan asal usul Raja Melayu (Sultan Melaka) dari Bukit Seguntang, kisah perkahwinan antara Sultan Mansur Syah dengan Puteri Radin Galoh Cindera Kirana dari Empayar Majapahit, dan kisah peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Sultan Mahmud.
Percakapan serta dialog pula kita lihat dimuatkan dengan banyaknya; boleh dikatakan setiap tokoh yang penting ada bercakap, termasuklah tokoh-tokoh dalam sejarah sebelum Empayar Melaka itu sendiri. Banyaknya percakapan dan juga tindakan itu seolah-olah menggambarkan bahawa Sulalatus Salatin itu dipenuhi dengan all speech and all action sahaja. Contoh bentuk puisi pula ialah beberapa rangkap pantun yang dimuatkan dalam beberapa bab, umpamanya Bab V, Bab X, Bab XI dan Bab XII.
Sesungguhnya ciri-ciri yang sedemikian itulah yang menyebabkan Sulalatus Salatin itu tidaklah dapat dikategorikan sebagai sebuah hasil karya sejarah moden yang sebenarnya, walau bagaimana sekalipun kita mencuba untuk menganggapnya demikian. Namun begitu, ia masih mempunyai ciri-ciri dan nilai-nilai sejarahnya yang tersendiri, iaitu sebagai lazimnya sesebuah karya pensejarahan tradisi. Selain itu ia juga boleh, dan biasa, digunakan sebagai sumber sejarah, terutamanya bagi sejarah Empayar Melayu Melaka yang nyata begitu kekurangan daripada sudut sumber-sumber tempatan. Malah sarjana-sarjana dan pentadbir penjajahan Inggeris seperti Winstedt dan Wilkinson, telah menganggap karya tersebut sebagai sumber tempatan yang terbaik bagi sejarah empayar itu.

Keistimewaan
Sebagai sebuah hasil karya pensejarahan tradisi, Sulalatus Salatin memang mengandungi ciri-ciri pensejarahan yang berbentuk demikian, iaitu seperti halnya dengan beberapa karya pensejarahan tradisi dalam peradaban-peradaban lain. Bukan sahaja persamaan-persamaan itu dapat dilihat daripada segi persamaan-persamaan itu dapat dilihat daripada segi adanya unsur kesusasteraan tadi, tetapi juga daripada segi motif penulisan dan juga kandungan-kandungan peristiwa-peristiwa yang kerap berlegar di sekitar peperangan, pengembaraan dan kepahlawanan. Malah daripada segi "semangat" ataupun yang sekarang dikenali sebagai centric, karya itu juga mempunyai persamaan dalam erti kata setiap karya itu adalah bersemangatkan kewibawaan, keagungan serta kegemilangan tokoh-tokoh dan peradaban yang berkenaan. Ertinya, centricnya itu adalah centric kepada nilai-nilai dan pegangan atau secara keseluruhannya kepada zietgeist masyarakat tempatan. Lazimnya centric itu tidaklah terbatas kepada membicarakan tentang dunia pengarang dan peradabannya sahaja, tetapi membicarkannya pula dengan penuh sanjungan serta kekaguman. Namun demikian, hasil pensejarahan tradisi Melayu seperti Sulalatus Salatin itu mempunyai suatu keistimewan. Malah sesuatu yang unik, yang boleh dikatakan tidak terdapat di dalam mana-mana pensejarahan tradisi yang lain. Perkara itu ialah berhubung dengan unsur-unsur kesusasteraan tadi, khususnya yang berkait dengan dongeng dan mitos. Dalam pensejarahan Melayu tradisi, unsur-unsur seperti itu mempunyai fungsi kemasyarakatan dan juga sejarahnya. Unsur-unsur tersebut dimuatkan dengan tujuan memberitahu masyarakat tentang sesuatu peristiwa ataupun yang tidak boleh dipaparkan secara terus terang atau dengan secara terbuka. Ini ialah kerana nilai-nilai dan norma masyarakat Melayu pada ketika itu tidak membenarkannya dipaparkan secara demikian. Jika dilakukan juga, maka ia akan membolehkan seseorang itu dianggap biadab ataupun tidak tahu adat. Malah ia juga boleh menyebabkan perasaan dan kedudukan kemasyarakatan seseorang itu tersinggung dan jika yang tersinggung itu merupakan seseorang pembesar yang berpengaruh, maka kerapkali pula pengarang itu akan menerima padah yang buruk. Lantas untuk mengelakkan gejala-gejala seperti ini, maka diingatkan sesuatu peristiwa yang demikian itu melalui kiasan, cerita-cerita sindirian ataupun dongeng-dongeng yang tujuan sebenarnya ialah untuk menyelar pihak yang berkenaan.
Dengan dinyatakan secara demikian itu, pihak pengarang sebenarnya merasakan bahawa para pembaca ataupun pendengar dapat memahami dengan lebih jelas lagi. Pihak yang kena sindir pula akan menerimanya dengan tenang kerana selaran itu dilakukan dengan cara yang "bersopan santun". Hakikatnya, "Siapa makan cabai dialah yang kena pedasnya." Oleh itu perbaikilah diri, supaya tidak terkena lagi.

Isi Kandungan
Secara longgarnya Sulalatus Salatin ini boleh dianggap sebagai sebuah karya sejarah yang universal bagi masyarakat Melayu tradisi, khususnya yang berpusat kepada Empayar Melayu Melaka itu. Sesungguhnya apa yang digambarkan dalam karya tersebut ialah "alam" masyarakat Melayu tradisi pada ketika itu, iaitu alam yang melingkui politiknya, ekonomi, masyarakat dan juga agamanya. Dalam lingkungan itu yang terpenting ialah orang Melayu atau orang Melaka dengan raja-rajanya serta peristiwa-peristiwa dan tindakan-tindakan yang berlaku atau dilakukan di sekitar ketokohan serta alam persekitaran mereka. Orang luar dan peristiwa-peristiwa yang berpunca daripada luar tidaklah begitu dipentingkan; unsur-unsur seperti itu kerapkali dianggap sebagai unsur-unsur sampingan yang berfungsi untuk mengukuhkan kedudukan ataupun keagungan seseorang tokoh ataupun budaya tempatan sahaja.
Dengan hal yang demikian itulah kita melihat betapa orang Melayu/Melaka digambarkan sebagai orang yang serba boleh, serba pintar dan serba terkenal. Dalam Sulalatus Salatin itu, terdapat beberapa contoh yang menggambarkan unsur-unsur yang demikian. Antaranya ialah mengenai Sultan Muhammad Syah, atau Raja Kecil Besar, iaitu raja yang mula-mula sekali telah menurunkan peraturan-peraturan dan tata-tertib diraja, dikatakan sebagai "terlalu sekali adil baginda pada memeliharakan segala manusia. Sultan Alauddin Riayat Syah pula dianggap sebagai "terlalu perkasa, tiada berbagai pada zaman itu". Bendahara Paduka Raja Tun Perak pula dikatakan sebagai "orang bijaksana" yang menyamai kebijaksanaan Patih Aria Gajah Mada dari Majapahit dan Orang Kaya Raja Kenayan dari Pasai. Begitu juga Tun Mutahir, saksama, serta adil dengan murahnya; dan telalu baik budi pekerj\tinya pada membaiki orang, dan terlalu sangat pada memelihara segala dagang." Demikianlah juga halnya dengan tokoh-tokoh yang lain; Hang Tuah, umpamanya digambarkan seperti berikut:

"Syahdan akan Hang Tuah janganlah dikatakan lagi, pertama rupa dengan sikapnya, cerdik lagi perkasa dengan hikmatnya, lagi berani, tiada dapat seorang pun menyamainya; dialah sahaja yang lebih daripada yang lain. Apakala ada orang mengamuk dalam Melaka itu, apabila tiada terkembari oleh orang yang lain, maka Hang Tuahlah dititahkan Sultan mengembari dia. Diceriterakan orang yang empunya ceritera, selama Hang Tuah di Melaka itu, ia membunuh orang yang mengamuk tujuh puluh empat orang, barang yang tiada dapat mengembari dia, maka dialah yang mengembari; demikianlah peri Hang Tuah dalam Melaka."

Dan tatkala beliau mengiringi Sultan Mansor Syah ke Majapahit maka jika beliau "di pesiban, pesiban gempar, jika ia ke pasar geger, jika ke warung gaduh; jika ia di panggung-panggung hingar daripada hebat melihat rupa dan sikap Hang Tuah itu. Maka segala perempuan Jawa dan anak dara-dara sekaliannya berahi melihat rupa Hang Tuah; kalau perempuan dalam pelukan lakinya pun terkejut, keluar hendak menjenguk Hang Tuah."
Begitulah juga gambaran-gambaran beberapa orang tokoh yang lain, seumpama anak Seri Bija Diraja, Tun Omar, yang walaupun gila-gila bahasa, dengan beraninya telah menggunakan perahunya yang olang-aling melanggar perahu-perahu Siam yang datang menyerang Melaka. Tun Perpatih Putih, ketua utusan yang dititahkan oleh Sultan Mansor Syah ke Negara China, telah berjaya mencari helah untuk melihat wajah dan singgahsana Maharaja Cina dengan meminta dihidangkan sayur kangkung yang dibelah tapi tidak dipotong. Waktu memakannya "maka sekeliannya pun membimbit hujung sayur kangkung itu, serta menengadah, mengangakan mulutnya. Maka kelihatanlah raja Cina duduk di atas kerusi dalam mulut naga pada mungkur kacanya …. Setelah sekelian Cina melihat orang Melaka makan sayur kangkung itu maka diturutnya. Sebab itulah orang Cina tahu makan sayur kangkung datang sekarang". Juga tentang kepintaran Hang Nadim, menantu Laksamana Hang Tuah, yang dititahkan oleh Sultan Mahmud ke Benua Keling untuk membeli kain dan kemudiannya dapat mengatasi kehandalan kira-kira lima ratus orang pakar di benia tersebut dalam menuliskan corak kain.
Malahan kita dapat melihat beberapa banyak lagi contoh yang bertujuan untuk menggambarkan betapa orang Melayu/Melaka itu tidak pernah kalah dalam apa sahaja bidang yang mereka ceburi ataupun undur dalam menghadapi setiap pancaroba. Sebagai sebuah pusat tamadun pula, Melaka itu sendiri sejak peringkat awalnya, iaitu sejak pemerintahan Sultan Muhammad Syah lagi, telah dituliskan seperti berikut:

Maka negeri Melaka pun besarlah, dan jajahannya pun makin banyaklah; yang arah ke barat hingga Beruas Ujung Karang, arah ke timur hingga Terengganu. Maka masyhurlah pada segala negeri dari bawah angin datang ke atas angin bahawa negeri Melaka itu terlalu besar, lagi dengan makmurnya; dan rajanya daripada bangsa Raja Iskandar Zulkarnain; dan pihak Raja Nusyirwan Adil, raja masyrik maghrib; pancaran Nabi Sulaiman a.s. Maka raja-raja sekalinnya datang ke Melaka mengadap baginda. Segala raja-raja itu dihormati baginda, dan dipersalin baginda dengan pakaian-pakaian yang mulia. Maka segala dagang bawah angin dan dagang atas angin sekaliannya datang ke Melaka, terlalu ramainya bandar Melaka pada zaman itu. Maka oleh segala dagang Arab dinamainya Malakat, yakni perhimpunan segala dagang, dari kerana banyak pelbagai jenis dagang ada di sana; tambahan segala orang besar-besarnya pun sangat saksama.

Daripada gambaran-gambaran yang demikian, maka nyatalah bahawa isi kandungan Sulalatus Salatin itu telah menampakkan Melaka-centricnya dengan jelas sekali, iaitu sepertimana juga yang berlaku dalam beberapa pensejarahan tradisi dalam peradaban-peradaban yang lain. Sementelah itu, intipati isi kandungannya pula adalah mengenai sejarah kebangkitan dan seterusnya perkembangan Empayar Melayu Melaka itu, yakni daripada sejak awalnya lagi hinggalah ia menjadi sebuah entiti politik dan tamadun yang masyhur serta terbilang. Sudah tentulah kebangkitan dan perkembangan itu merupakan proses-proses sejarah yang telah diterajukan oleh raja-raja dan jua pembesar-pembesarnya yang terkenal. Oleh itu peranan mereka, ketokohan serta asal usul kebanyakan daripada mereka, terutamanya raja-raja dan juga pembesar-pembesar terpenting telah dimuatkan seiring dengan peristiwa-peristiwa sejarah yang berkaitan. Di beberapa bahagian akhirnya pula dimuatkan tentang betapa kemasyhuran empayar tersebut sebagai sebuah pusat tamadun Melayu telah menarik minat sebuah kuasa baru di Eropah, iaitu Portugis, yang kemudiannya datang menyerang dan menawan pusat kegiatan politik, pentadbiran dan ekonomi perdagangan empayar itu, yakni bandar Melaka itu sendiri. Selepas itu dimuatkan pula sejarah perjuangan Sultan Mahmud dan beberapa orang puteranya untuk merampas semula bandar tersebut daripada kekuasaan orang-orang Portugis. Dengan kata lain, secara ringkasnya apa yang cuba digambarkan ialah tentang kemunculan, kegemilangan serta kebesaran Empayar Melayu Melaka itu sebagai sebuah pusat tamadun serantau, malah dunia, dengan raja-raja serta pembesar-pembesar memainkan peranan masing-masing sebagai sewajarnya samada dalam usaha membangunkan empayar tersebut mahupun dalam mengekalkan keunggulan serta kesejahteraannya. Peranan ataupun tugas yang demikian adalah tugas yang sungguh mencabar, tetapi orang-orang Melaka telah berjaya mengatasai setiap cabaran tersebut kecualilah di bahagian-bahagian akhir apabila mereka telah menemui kegagalan demikian kegagalan untuk mendapatkan kembali tapak kekuasaan mereka. Namun demikian, kegagalan-kegagalan itu hanyalah daripada segi zahirnya sahaja, tetapi daripada segi semangatnya mereka tetap menang.

Kaedah Penyelidikan
Sungguhpun apa yang dinyatakan di atas itu dianggap sebagai intipati bagi karya tersebut. Jika dilihat daripada segi yang terperinci sudah tentulah gambarannya lebih luas lagi. Keluasan ini pula menggambarkan tentang ketelitian dan kegigihan usaha yang dijalankan oleh pengarangnya untuk melaksanakan tugas "memperbaiki" Hikayat Melayu yang dibawa orang dari Goa itu. Pertanyaan kita yang seterusnya ialah bagaimanakah kaedah yang digunakan bagi usaha tersebut? Atau apakah Tun Seri Lanang telah mendasarkan hasil karyanya kepada sesuatu bentuk kaedah penyelidikan yang tertentu, khususnya kaedah penyelidikan sejarah?
Soalan ini tidaklah dapat diberikan jawapan yang tepat dan tegas. Ini ialah kerana Tun Seri Lanang sendiri tidak menyatakan serta memuatkan dengan jelas tentang kaedah penyelidikannya. Yang jelas hanyalah imbasan-imbasan mengenainya, iaitu seperti yang termuat dalam bahagian awal karya beliau itu. Dalam bahagian tersebut, beliau telah dititahkan supaya "memperbaiki" Hikayat Melayu yang dibawa orang dari Goa dan setelah beliau menerimanya dengan anggota (hati) yang berat, "maka fakir perkejutlah diri fakir pada mengusahakan dia, syahadan mohonkan taufik ke hadrat Allah, Tuhan sani'il-'alam, dan minta huruf kepada nabi sayyidilanam dan minta ampun kepada sahabat yang akram, maka fakir karangkanlah ayat ini …". Apa yang dapat kita simpulkan daripada keterangan beliau itu ialah bahawa beliau telah sanggup melaksanakan titah untuk memperbaiki hikayat tersebut. Beliau telah menganggapnya sebagai suatu tugas yang berat kerana "memperbaiki" itu mungkin bukan bererti melakukan tambahan ataupun potongan di sana sini sahaja, tetapi mengarangkannya semula daripada satu rangka ataupun asas-asas sejarah seperti yang terdapat dalam Hikayat Melayu itu. Apatah lagi ia adalah diusahakan "supaya menyukakan duli hadrat baginda". Maka sudah sewajarnyalah ia dilaksanakan dengan hati-hati, dengan berlandaskan sesuatu bentuk kaedah penyelidikan yang mungkin biasa diamalkan di kalangan para cendekiawan istana Melayu pada ketika itu. Dengan hal ini ungkapan yang bermula dengan "maka fakir perkejutlah diri fakir pada mengusahakan dia …" dan seterusnya tadi, sebenarnya menggambarkan langkah-langkah penyelidikan serta penulisan yang perlu dan akan dilakukan oleh Tun Seri Lanang dalam melaksanakan tugasnya itu.
Jika kita fikirkan, maka pengarang menganggap dirinya sebagai "fakir" itu sahaja sudah menampakkan betapa beliau merasakan dirinya sebagai begitu cetek keilmuannya (malah beliau sendiri mengakuinya, walaupun hanya untuk merendahkan diri sahaja), lantas perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi tugas tersebut. Dengan kata lain, "fakir perkejutlah diri fakir," ertinya beliau menyedari tentang beratnya tugas itu dan oleh kerana itu beliau akan bersedia untuk menghadapinya. Dan untuk menghadapi itu, maka seharusnyalah beliau sanggup menjalankan penyelidikan melalui suatu bentuk kaedah yang munasabah yang tujuan asalnya ialah untuk "memperbaiki" Hikayat Melayu itu "supaya akan menyukakan duli hadrat baginda", dan seterusnya "supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemuidan daripada kita, dan boleh diingatkan oleh segala mereka itu. Dan adalah beroleh faedah ia daripadanya."

Sumber Rujukan
Oleh kerana istana raja-raja Melayu pada ketika itu adalah juga merupakan gedung serta pusat perkembangan ilmu, maka suatu langkah penyelidikan yang munasab dilakukan oleh Tun Seri Lanang dalam usaha "memperbaiki" itu ialah dengan merujuk sumber-sumber yang boleh didapatinya di istana. Sementelah beliau sendiri adalah orang istana, malah yang memegang jawatan Bendahara pula, maka sudah tentulah tiada halangan yang besar baginya untuk melakukan demikian. Barangkali halangan yang besar yang mungkin dihadapi ialah mendaptkan masa yang secukupnya untuk melakukan rujukan-rujukan tersebut, kerana tugasnya sebgai seorang Bendahara sudah tentulah pula akan menuntut sebahagian besar daripada masa bekerja beliau. Mungkinkah beliau menggunakan pembantu-pembantu?
Walau bagaimanapun rujukan-rujukan seperti itu memanglah munasabah telah dilakukannya, memandangkan hasil karyanya yang gemilang itu. Lagipun adalah tidak wajar jika dianggap bahawa beliau semata-mata mengarang dengan merujuk kepada ingatan dan juga pengalaman sahaja. Walaupun kedua-dua sumber yang berupa pengalaman dan ingatan-ingatan, malah barangkali imaginasi, wajar digunakannya atas hakiat beliau adalah seorang bendahara yang jurai keturunannya dapat dikesan hingga kepada bendahara Empayar Melayu Melaka, namun ia pasti memerlukan sumber-sumber bentuk lain untuk menghasilkan karya seperti itu. Dan salah satu yang jelas serta terbuka baginya ialah sumber-sumber yang boleh didapatinya dari istana raja itu sendiri. Di samping itu satu lagi bentuk sumber yang digunakannya ialah sumber lisan; mungkin dengan bertanya kepada orang tua-tua (seperti datuk beliau sendiri) ataupun pembesar-pembesar istana yang lain yang mempunyai pengetahuan yang diperlukannya. Kejelasan rujukan-rujukan beliau kepada sumber-sumber itu, sama ada sumber bertulis ataupun lisan, dapat dipastikan melalui penggunaan istilah-istilah yang berkaitan seperti "kata sahibul hikayat", "kata yang empunya ceritera", "alkisah", "kata rawi", dan "diceriterakan oleh orang yang empunya ceritera". Naskhah Raffles 18 pula telah memuatkan dengan jelas bahawa karangan itu 'fakir himpunkan daripada segala riwayat orang tuha-tuha (tua-tua) dahulu-kala."

Ketelitian
sungguhpun pengguna istilah-istilah yang di atas itu tidaklah boleh dianggap sebagai melambangkan sikap kritis Tun Seri Lanang dalam menghasilkan karyanya itu namun perkara-perkara seperti itu telah menunjukkan betapa beliau telah berusaha untuk mendasarkan karangannya itu kepada sumber-sumber tertentu yang boleh didapatinya. Ertinya dengan adanya sumber-sumber yang sedemikian maka beliau dapat melaksanakan usaha memperbaiki Hikayat Melayu itu. Dan sungguhpun karyanya itu sendiri bukanlah merupakan karya sejarah yang kritis dan analitikal terhadap perkara-perkara ataupun peristiwa-peristiwa yang dimuatkan, tetapi sekurang-kurangnya karyanya itu pula telah menunjukkan ketelitian sikapnya, terutama dalam mempersembahkan karangannya itu. Cara beliau menuliskan ataupun menceritakan sesuatu peristiwa ataupun menggambarkan seseorang tokoh itu memang jelas menunjukkan ketelitiannya. Sesungguhnya ia terpaksa bersikap demikian kerana motif utamanya ialah untuk menyukakan hati rajanya. Oleh itu wajarlah jika terdapat anggapan bahawa buku tersebut telah disusun dengan begitu teliti dan berhati-hati benar; malahan Tun Seri Lanang sendiri menganggapnya sebagai "mutiara segala ceritera dan cahaya segala peri umpamanya."
Walaupun anggapan-anggapan yang sedemikian itu boleh kita persoalkan lagi tetapi ungkapan-ungkapan yang telah kita nyatakan tadi menunjukkan bahawa beliau memanglah berhasrat menghasilkan sebuah karya yang tersusun serta luas, terutamanya daripada segi perincian riwayatnya dan juga penggunaan bahasanya. Daripada satu segi, kerana hasrat itu jugalah maka beliau merasa perlu "mohonkan taufik ke hadrat Allah, Tuhan sani'il-'alam, dan minta ampun kepada sahabat yang akram …" Mudah-mudahan dengan itu beliau akan dapat menghasilkan sebuah karya yang menyenangkan hati raja dan seterusnya memberi faedah pula kepada zuriat-zuriat yang akan datang. Ia adalah sebuah hasrat yang munasabah dan beliau telah berusaha untuk memenuhi hasrat tersebut dengan sedaya upayanya; lantas ketelitiannya.
Namun demikian, di sebalik anggapannya terhadap karyanya itu sebagai "mutiara segala ceritera …", beliau mengingatkan para pembaca supaya jangan membicarakan bukunya itu "dengan sempurna bicara; kerana hikayat ini tahu akan perkataan sabda Nabi Sallallahu alaihi wasallam, Tafakkru fi alaillahi wala tafakkaru fi zatillah, yakni bicarakan olehmu segala kebesaran Allah dan jangan kamu fikirkan pada zat Allah." Apakah peringatan ini merupakan suatu peringatan kepaa para pembaca supaya jangan menganggap karyanya itu sebagai sesuatu yang sudah sempurna, yang secara mutlaknya sudah tidak dapat dipersoalkan lagi kebenaran sejarahnya ataupun dalam istilah hari ini, sebagai sesuatu yang sepenuhnya objektif atau saintifik? Jika anggapan ini benar, maka nyatalah bahawa sedikit seanyaknya beliau telah menyedari akan hakikat sejarah (atau yang pada ketika itu diistilahkan sebagai hikayat) itu lantas mengusahakan penulisannya melalui suatu tatacara kaedah penyelidikan seperti yang telah digambarkan tadi, iaitu suatu tatacara yang barangkali diketahui dan boleh dipraktikkan pada zamannya itu.
Namun begitu jika dibandingkan dengan tatacara kaedah penyelidikan sejarah yang ada pada masa ini, malah dengan kaedah yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun pada kurun keempat belas itu pun (kemungkinan kaedah ini pun tidak diketahui sepenuhnya oleh beliau), sudah tentulah terdapat beberapa kelemahannya yang menyebabkan timbul pula beberapa kelemahan serta kekeliruan di dalam karya beliau itu. Sementelah sampai setakat masa itu pula, belumlah ada lagi diketahui adanya hasil-hasil karya dalam bahasa Melayu yang telah memberikan takrif sejarah itu serta juga kaedah penyelidikannya seperti yang diketahui pada masa ini, iaitu karya-karya yang boleh dirujukkan untuk kegunaan perkaedahannya. Demikian Tun Seri Lanang itu mengusahakan karangan pensejarahannya dalam keadaan kekosongan. Ertinya, yang jelas ialah beliau tidak dapat merujuk suatu bentuk kaedah penyelidikan sejarah yang nyata, teratur ataupun sistematik yang membolehkan pula beliau menghasilkan karya pensejarahan yang objektif dalam pengertian sejarah sekarang. Oleh itu karya yang dihasikannya bukanlah merupakan sebuah karya sejarah dalam pengertian yang sepenuhnya, tetapi seperti yang telah disebutkan tadi, adalah bentuk pensejarahan tradisi yang mempunyai sifat dan identitinya yang tersendiri yang besar kemungkinannya telah diwarisi dan dibangunkan daripada karya-karya pensejarahan yang lebih awal lagi.
Daripada satu segi pula ia adalah "melebihi" daripada merupakan sebuah hasil karya sejarah semata-mata; ia dikatakan merupakan gambaran bagi budaya masyarakat Melayu tradisi yang berwadahkan Empayar Melayu Melaka itu. Daripada segi ini jelaskan keluasan penulisan tersebut. Dan keluasan penulisannya itu juga telah membolehkan karya tersebut ditinjau daripada berbagai-bagai sudut, iaitu selain sudut pensejarahan itu sendiri. Misalnyatinjauan yang lazim dan kerap sekali dilakukan ialah tinjauan daripada sudut kesusasteraan. Terdapat juga tinjauan yang dibuat daripada segi antropologi-budaya, iaitu yang melihatnya sebagai sebuah karya yang menampakkan persambungan dan perubahan dalam kebudayaan Melayu itu. Persambungan dan perubahan budaya yang dimaksudkan itu ialah gejala-gejala yang berlaku secara terus menerus dalam masyarakat Melayu tradisi sejak awalnya hinggalah ke zaman Tun Seri Lanang sendiri. Oleh kerana itulah, maka dikatakan bahawa dalam Sulalatus Salatin ataupun Sejarah Melayu itu kita dapati gambaran kebudayaan yang mengandungi unsur-unsur peradaban India, dan pada penghujungnya kita melihat kebudayaan Islam yang sudah bertapak dan kemudian diancam pula oleh kuasa Portugis dan Barat. Dengan kata lain, isi kandungannya sebahagian besar terdiri daripada peristiwa-peristiwa sejarah (atau yang bersejarah) itu menampakkan kebudayaan tradisi Melayu (malah Melayu-Islam) dalam proses pembangunan, penerusan dan perubahannya. Dari segi sejarah budaya pula, nyatalah ia adalah suatu sejarah yang sejagat bagi dunia atau tamadun Melayu.
Dalam keadaan yang demikian, maka tidak syak lagi bahawa keluasan penulisannya itulah yang menyebabkan timbulkan kekeliruan, sama ada dalam menilai dan mengkategorikan karya tersebut ataupun menentukan kedudukan Tun Seri Lanang. Apakah Sulalatus Salatin itu merupakan sebuah karya sastera semata-mata, antropologi-budaya, ataupun, seperti pendapat yang paling popular pada ketika itu, sebuah karya sastera-sejarah? Dan apakah Tun Seri Lanang itu seorang sasterawan, budayawan ataupun seorang intelek, iaitu di samping merupakan seorang tokoh istana dan juga pegawai-pegawai tadbir Empayar Melayu Johor itu?
Sesungguhnya pada suatu ketika dahulu, Perang Parsi dan juga pengarangnya Herodotus, sejarawan awal Yunani purba abad kelima sebelum Masehi itu yang kini telah diterima di Barat sebagai "bapa sejarah", pernah mengelami zaman-zaman kekeliruan yang demikian. Demikianlah, juga halnya dengan Muruj al-Dhahab wa Maadin al-Jawhar serta pengarangnya al-Mas'udi, sejarawan Islam yang ternama dari kurun masihi kesepuluh itu. Tetapi setelah dilakukan kajian, maka didapati hasil karya mereka adalah berbentuk pensejarahan dan mereka pula dianggap sebagai sejarawan. Dan jika karya-karya mereka itu kita perandingkan dengan karya Tun Seri Lanang, maka kita akan dapati beberapa ciri persamaan yang jelas, seperti motif penulisan, cara persembahan, bentuk isi kandungan, malah teknik penyelidikan. Oleh itu wajarlah jika Sulalatus Salatin ini ditetapkan kategorinya sebagai karya pensejarahan tradisi dan pengarangnya sebagai sejarawan seperti juga halnya dengan karya-karya dan pengarang-pengarang seperti Herodotus, al-Mas'udi ataupun Ssu-ma Chien itu. Dan jika diperhalusi lagi daripada sudut yang demikian, nyatalah ia adalah sebuah karya pensejarahan yang telah dipengaruhi oleh ciri-ciri pensejarahan Islam, khususnya ciri-ciri yang terdapat dalam peringkat awal dan juga pertengahan pensejarahan tersebut. Malah dari beberapa segi ia adalah sebahagian daripada tradisi pensejarahan-pensejarahan Islam itu sendiri, iaitu sepertimana juga halnya dengan beberapa banyak karya pensejarahan Islam dalam bahasa Parsi, Urdu dan Melayu yang dihasilkan selepas Sulalatus Salatin itu. Dari sudut pensejarahan Melayu itu sendiri, ia berada di peringkat pembangunan suatu tradisi pensejarahan Melayu yang akan menuju ke peringkat perkembangan yang lebih baik, iaitu dengan terbitnya karya-karya pensejarahan yang sungguh bermutu daripada perkarangan istana Empayar Melayu Johor-Riau pada kurun kesembilan belas dahulu.