PENSEJARAHAN MELAYU: MISA MELAYU - RAJA CHULAN, PERAK ABAD KE-18

Sungguhpun patik duduk menyurat
Banyak tak faham tamsil ibarat
Laksana perahu sauhnya sarat
Melainkan ampun duli hadzrat.

Pengenalan
Sebuah karya pensejarahan Melayu yang terkenal selepas Sulalatus Salatin ialah Misa Melayu atau Ikatan Raja Ke Laut iaitu yang meriwayatkan sejarah negeri Perak dari sejak zaman awal hinggalah ke kurun kelapan belas. Karya ini adalah hasil karya seorang sejarawan istana kurun kelapan belas itu, iaitu Raja Chulan. Karya ini masih berasaskan ciri-ciri pensejarahan Sulalatus Salatin tadi; malah sebagai sebuah pensejarahan yang dianggap paling hampir dengannya, Misa Melayu boleh dikatakan telah mewarisi asas-asas karya pensejarahan yang lebih awal itu. Walau bagaimanapun, jika dibuat perbandingan secara lebih halus, terdapat juga beberapa kelainan ataupun perbezaannya, iaitu selain daripada isi kandungan kedua-duanya itu sendiri. Misalnya, Misa Melayu adalah sebuah babad yang "realistik" serta tidak mengandungi dongeng dan cerita rakyat atau, dengan kata lain, tidak mencampurkan dongeng dan fantasi dengan fakta sejarah. Itulah salah satu keistimewaannya, iaitu ditinjau dari sudut dan ukuran pengertian sejarah yang paling mutahir. Namun Misa Melayu ini masih merupakan sebahagian daripada tradisi pensejarahan istana yang dihasilkan oleh seorang tokoh dari perkarangan itu jua.

Riwayat Hidup Pengarang
Nama sebenar pengarang Misa Melayu ini ialah Raja Chulan ibni Raja Hamid ibni Yang Dipertuan Muda Sultan Mansur Syah (Marhum mangkat di Pulau Tiga). Setakat ini tidak dapat diketahui dengna tepat akan tarikh lahir beliau. Namun demikian, beliau adalah seorang tokoh dan sejarawan istana yang bergiat pada kira-kira pertengahan kurun kelapan belas dan menurut R.O. Winstedt telah menghasilkan karya pensejarahannya yang masyhur itu sebelum penghujung kurun tersebut. Beliau adalah kemanakan Sultan Mahmud Iskandar Syah (M1600? - 1720; M. 1630 - 1720) yang bergelar "Marhum Besar Aulia Allah". Selain daripada itu beliau pernah juga menjadi Raja Bendahara dan mengikut suatu sumber, telah dilantik menjadi Raja Muda dan memegang jawatan tersebut hingga akhir hayatnya. Kedudukan ini bukan sahaja menggambarkan taraf atau mertabat sosialnya, tetapi menunjukkan pula keupayaannya memainkan pelbagai peranan di dalam lingkungan kegiatan keluarga diraja Perak pada zamannya itu. Misalnya, beliau turut terlibat dalam peristiwa merebutkan seorang janda bernama siti Sarah (anak Lebai hanip orang Keling) di antara Maharaja Lela dan Abdullah (anak guru beliau, iaitu Imam panjang) yang berkesudahan dengan Siti Sarah itu akhirnya diserahkan oleh Maharajalela menjadi hamba Sultan Iskandar. Beliau juga telah mengiringi pelayaran Sultan Iskandar menyusuri pantai Negeri Perak iaitu sebagai satu usaha baginda untuk menemui rakyat dan menenangkan fikiran selepas kemangkatan permaisuri baginda.
Dari segi pendidikannya pula, tarafnya itu sudah tentulah membolehkan beliau mendapatkan kemudahan pendidikan yang wujud di perkarangan istana. Dalam pada itu beliau juga mempelajari ilmu agama Islam dengan berguru kepada Imam Panjang, bapa Abdullah tadi. Peluang pendidikan serta kesempatan dan barangkali juga bakat yang ada, padanya, telah membolehkan beliau menghasilkan karya pensejarahan Perak yang terkenal itu. Berdasarkan karyanya itu, R.O. Winstedt lagi sekali mengatakan bahawa Raja Chulan itu adalah seorang yang sangat pintar dalam hal menulis syaer dan prosa.
Raja Chulan pernah berkhidmat di bawah Sultan Iskandar dan baginda memang menyenanginya. Beliau juga disenangi oleh orang kebanyakan ataupun rakyat Perak secara umumnya dalam zaman pemerintahan baginda. Namun demikian pada penghujung hayatnya terdapat anggapan bahawa beliau telah mati dibunuh oleh seorang suami yang kononnya ingin menuntut bela. Beliau kemudiannya digelar Marhum Mangkat Pulau Juar. Tetapi anggapan ini kemudiannya dinafikan oleh Raja Chulan ibni Sultan Abdullah yang mengatakan bahawa tokoh yang senama dengannya telah meninggal dunia kerana sakit tua. Beliau meninggal dunia tatkala sedang memegang jawatan Raja Muda Perak.

Karya Pensejarahan
Seperti yang telah disentuh lebih awal tadi, karya pensejarahannya yang berjudul Misa Melayu telah selesai ditulis sebelum penghujung kurun kelapan belas lagi. Selepas itu besar kemungkinan ia telah disalin ataupun ditambah oleh penulis-penulis lain sehingga terdapat dua tarikh di dalam naskhah yang telah disunting oleh R.O. Winstedt itu. Satu tarikh menyebut, "tamatlah Hikayat Misa Melayu ini…" seribu dua ratus lima puluh dua." [bersamaan T.M. 1836] dan "Termaktub ini Hikayat Misa Melayu pada 25 Jamadil awal tahun 1326 [bersamaan T. M. 1908] di dalam Mukim Bandar, Haji Othman. Karya suntingan oleh R.O. Winstedt itu, yang telah menjadi naskhah paling popular, adalah didasarkan kepada tiga naskhah asal. Naskhah yang pertama, milik al-Marhum Sultan Idris Perak adalah sebuah naskhah yang lengkap sedangkan yang kedua pula hanya mengandungi sebahagian sahaja sejarah negeri itu. Naskhah yang ketiga hanya mengandungi syaer yang sama seperti yang terdapat di dalam naskhah pertama. Naskhah ketiga ini telah disusun semula oleh Abdul Talib Hj. Ahmad dan diterbitkan dengan judul, Syaer Pelayaran Sultan Iskandar Perak. Mengenai judul karya ini pula, Misa Melayu, R.O. Winstedt menganggap perkataan Misa sebagai "contoh" atau "kisal" yang dikatakan diambil dari bahasa Jawa. Sementara Haji Buyong Adil pula mengertikannya sebagai "kerbau" iaitu yang merupakan suatu lambang kegagahan atau kepahlawanan lantas memberikan makna Misa Melayu itu sebagai "Pahlawan Melayu". Walau bagaimanapun, dari segi sejarah, yang lebih penting daripada memperkatakan makna tajuk karya ini ialah hakikat bahawa karya ini adalah sebuah karya pensejarahan yang penting, terutamanya bagi negeri Perak.

Motif Penulisan
Motif ataupun penghasilan karya tersebut adalah juga merupakan sesuatu yang lazim bagi karya pensejarahan tradisi Melayu khasnya dan tradisi lain secara amnya. Yang pertama ialah ia dihasilkan dengan tujuan memenuhi kehendak atau permintaan maupun perintah raja. Dalam hal Misa Melayu khasnya, Raja Chulan telah memaklumkan perintah itu menerusi serangkap syaer yang berbunyi;
Tuanku titahkan patek mengarang;
Diperbuat juga sebarang-barang;
Sajaknya janggal manisnya kurang;
Haram tak sedap didengar orang.

Tujuan pengarang menerima titah penulisan itu pula adalah jelas iaitu seperti yang tertera di dalam rangkap syaer yang sebelumnya;
Patek persembahkan satu sahifah
Ke bawah hadrat duli khalifah
Kebesaran daulat makin bertambah
Khabarnya masyhur yang amat limpah.

Kemudian daripada itu terdapat beberapa banyak rangkap syaer yang memuji atau menyanjung ketokohan raja yang berkenaan dan juga kegemilangan zaman pemerintahannya. Inilah motif sebenar penghasilan karya pensejarahan Misa Melayu ini. Dalam pada itu motif yang menekankan kepentingan bagi zurian yang akan datang iaitu suatu motif penghasilan karya pensejarahan yang kerap terdapat di dalam beberapa karya yang tidaklah dinyatakan dengan jelas. Hanya di satu tempat ada disebutkan kata-kata, ".. supaya bolehlah akan zaman kita disebut orang kemudian kelak. Namun, kata-kata tersebut tidaklah merujuk kepada motif penghasilan Misa Melayu itu, tetapi adalah kepada pembinaan sebuah mahligai di Pulau Indera Sakti.

Kaedah Penyelidikan
Pada hakikatnya kaedah penyelidikan sejarah yang tertera di dalam Misa Melayu ini tidaklah jauh berbeza dari apa yang dapat di dalam Sulalatus Salatin karangan Tun Seri Lanang itu. Malah boleh dikatakan bahawa kaedah penyelidikan yang dilaksanakan Raja Chulan adalah merupakan lanjutan ataupun tiruan daripada apa yang telah dilakukan oleh Tun Seri Lanang. Seperti Tun Seri Lanang, Raja Chulan juga menerima titah sultan untuk melaksanakan penulisan karya itu dengan penuh kebimbangan yang rendah hati. Ini digambarkan melalui beberapa rangkap syaer beliau yang berbunyi;
Tuanku titahkan patek mengarang
Diperbuat juga sebarang-barang
Sajaknya janggal manisnya kurang
Haram tak sedap didengar orang.

Pancaran Melayu hamba yang kurang
Tewaslah dari sekaliannya orang
Satupun tidak guna sekarang
Hingga sekadar disuruh mengarang.

Patek persembahkan suatu rencana
Kisah hadzrat yang amat gana
Patek nan hamba tiada berguna
Sekadar mengiringkan barang kemana

Patek nan dihaif hamba terbuang
Hiduppun serupa dengan keluang
Tambahan diam di awang-awang
Sebarang maksud hingga terkarang

Maka berani berdatang sembah
Harapkan ampun juga bertambah
Patek nan hamba di bawah limbah
Hidup umpama sehelai sampah

Sungguhpun patek duduk menyurat
Banyak tak faham tamsil ibarat
Laksana perahu sauhnya sarat
Melainkan ampun duli hadzat.

Dari rangkap-rangkap syaer itu dapat diimbaskan bahawa Raja Chulan telah sanggup melaksanakan tugas mengarang "rencana" atau "menyurat" seperti yang dititahkan oleh rajanya itu. Namun beliau menerimanya dengan segala rendah hati dan menganggap dirinya sebagai seorang yang "banyak tak faham tamsil ibarat". Dengan kata lain beliau menggambarkan dirinya sebagai tidaklah mempunyai keupayaan yang sewajarnya bagi menghasilkan "cerita" yang dikenendaki oleh rajanya itu. Namun oleh kerana tugas itu adalah merupakan suatu titah perintah, maka beliau mestilah melaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Sebenarnya gambaran beliau tentang dirinya itu hanyalah suatu pernyataan yang sudah menjadi klisye di kalangan kebanyakan sejarawan tradisi Melayu. Dari satu segi ia menggambarkan sikap suka merendahkan diri terhadap pihak yang berkuasa dan dari segi yang lain pula sikap tawadhu' terhadap Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dengan bersikap demikian mereka berhadap akan terhindar daripada bersikap bongkak, meninggi diri dan takbur, iaitu perkara-perkara yang sudah tentu akan menimbulkan reaksi serta dimurkai pula oleh Allah SWT.
Walau bagaimanapun dengan bersikap demikian, bukanlah bererti Raja Chulan telah sebenarnya menghasilkan "karya yang sajaknya janggal manisnya kurang; haram tak sedap didengar orang". Hakikat yang sebenarnya adalah sebaliknya. Beliau telah menghasilkan sebuah karya pensejarahan yang memang tinggi nilainya, samada dari pensejarahan itu sendiri maupun dari segi kepengarangnya. Jika diukur dari segi zaman kitaini, maka bagi menghasilkan karya yang demikian tiu sudah tentulah seseorang sejarawan itu perlu melakukan penyelidikan sewajarnya serta rujukan terhadap sumber-sumber yang berkaitan denga peristiwa-peristiwa yang dipaparkan. Nampaknya hal ini telah dilakukan oleh Raja Chulan dengan sebaiknya iaitu mengikut keadaan, keupayaan dan barangkali juga tuntutan serta asas-asas berkarya pada zamannya itu. Misalnya, beliau telah merujuk kepada sumber-sumber, khususnya sumber-sumber lisan iaitu seperti yang tergambar melalui penggunaan istilah-istilah seperti, "… tersebutlah perkataan …", "… diceritakan oleh orang yang empunya cerita …" dan "… tersebutlah alkisah …" Walaupun rujukan yang dibuatnya tidaklah sejelas atau setepat yang dilakukan oleh Raja Ali Haji di dalam Tuhfat al-Nafis kemudiannya, namun konsep asas membuat rujukan ternyata memang dilakukannya. Dan seperti Tun Seri Lanang pula, kedudukannya sebagai keluarga diraja yang berhubung erat dengan sultan yang sedang memerintah memberikan pula keupayaan atau kesempatan merujuk kepada bahan-bahan yang tersimpan di perpustakaan istana. Tetapi berbeza dengan Tun Seri Lanang, beliau tidaklah dititahkan "memperbaiki" semula sebuah hikayat yang sudah ada; beliau dititahkan mengarang sebuah karya asli mengenai sejarah diraja Perak dengan tumpuan khas terhadap raja-raja yang memerintah pada kuruh kelapan belas Masehi, terutamanya Sultan Muzaffar Syah (M1756-2770 T.M.) dan Sultan Iskandar Syah (M1770-1778 T.M.). Dengan kata lain, beliau banyak mencatatkan sejarah negeri Perak yang berlaku sekitar zamannya. Beliau sendiri menyuarakan hal ini dalam serangkap syaer yang berbunyi;
Tuanku ampuni patek mengarang
Kisah hadzrat zaman sekarang
Takhta desa negeri yang terang
Raayat umpama laut dan karang.

Dengan hal yang demikian maka salah satu lagi sumber yang digunakannya bagi menghasilkan karyanya itu ialah pengalaman beliau serta pengamatannya terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zamannya itu.

Ringkasan Isi Kandungan
Seperti yang telah dinyatakan di atas Misa Melayu adalah sebuah sejarah atau lebih tepat lagi, babad diraja Perak dari sejak awal hinggalah zaman pemerintahan Sultan Alauddin Mansur Syah dengan tumpuan terhadap Sultan Mudzafar Shah dan sultan Iskandar Dzulkarnain. Oleh itu Sultan-sultan Perak yang memerintah Perak pada peringkat awal dan selepas kedua orang sultan tersebut disebut secara ringkas sahaja. Salasilah itu bermula dengan Al-Marhom Jalilullah yang mempunyai beberapa orang putera. Selepas kemangkatan baginda, takhta kerajaan diganti oleh Marhum Besar yang digelar Sultan Mahmud yang dikatakan memerintah selama 120 tahun. Baginda diganti pula oleh Sultan Alauddin Riayat Shah yang memerintah selama 20 tahun. Selepas kemangkatan baginda, negeri Perak telah terbahagi kepada dua iaitu Kuala Kangsar yang diperintah oleh Raja Inu dengan gelaran Sultan Mudzafar Shah dan satu lagi ialah kawasan Pulau Tiga yang diperintah oleh Raja Bisnu dengan yang gelaran Sultan Muhamad Shah.
Negeri Perak yang telah terbahagi kepada dua itu akhirnya berjaya disatukan semula atas usaha dan kebijaksanaan Raja Iskandar iaitu putera sulong Sultan Muhamad Shah. Raja Iskandar inilah yang telah membantu Sultan Mudzafar Shah dalam pemerintahan baginda; misalnya tatkala menentang serangan dari Sultan Berkabat iaitu seorang raja Minangkabau bersama-sama dua orang putera Raja Bugis iaitu Daeng Matkah dan Daeng Menchelak. Serangan ini telah dapat dipatahkan. Dalam zaman pemerintahan Sultan Mudzafar Shah juga negeri Perak membuat hubungan dengan Belanda. Melalui hubungan tersebut Belanda telah berjaya memonopoli pasaran bijih timah yang dibawa keluar melalui sungai Perak. Mereka membelinya dengan harga $30.000 sebahara dan Sultan akan menerima cukai sebanyak $2.00 bagi setiap bahara. Bagi menjaga kepentingannya pihak Belanda telah mendirikan sebuah benteng ataupun loji perniagaannya di Pengkalan Halban, Tanjong Putus. Sedikit sebanyaknya, dengan kegiatan perniagaan bijih timah itu telah membawa kemakmuran kepada negeri Perak pada ketika itu.
Dalam zaman pemerintahan Sultan Mudzafar Shah itu juga telah berlaku satu percubaan pemberontakan terhadap baginda yang diketuai oleh Raja Alam. Raja Alam telah membuat pakatan dengan beberapa orang Bugis tempatan bagi melaksanakan menderhaka kepada rencana beliau itu. Ia berpunca dari perasaan tidak puashati dan kesal kerana beliau tidak dibenarkan Raja Iskandar mengikuti Sultan Mudzafar Shah berpindah ke Kuala Kangsar. Sultan Mudzafar Shah telah mendapat tahu tentang rancangan Raja Alam itu dan hal ini telah menyebabkan Raja Alam memerintah supaya beliau ditahan di Pulau Tiga. Selang tiada beberapa lama Raja Alam sekali lagi cuba melancarkan pemberontakan terhadap Sultan Mudzafar tetapi dengan bantuan pihak Belanda, Raja Alam telah berjaya ditangkap dan dibuang ke Melaka.
Selepas kemangkatan ayahanda Raja Iskandar iaitu Sultan Muhammad Shah, Sultan Mudzafar telah mengahwinkan puterinya, Raja Budak Rasul dengan Raja Iskandar iaitu Raja muda. Kedua-duanya telah bertunang sebelum itu. Dilaksanakan adat istiadat seperti meminang, adat bertindik bagi puteri baginda dan seterusnya upacara perkahwinan yang meriah yang berlangsung selama empat puluh hari empat puluh malam. Selepas kemangkatan Sultan Mudzafar pada H. 1167-M. 1756, Raja Muda Iskandar telah ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah Khalifat ur-Rahman. Zaman pemerintah Sultan Iskandar ini telah diceritakan dengan panjang serta lebih terperinci jika dibandingkan dengan pemerintah raja-raja yang sebelum dan selepas baginda. Semasa pemerintahannya, Sultan Iskandar telah memerintahkan ibu negeri Perak dipindahkan dari Brahman Indera ke Chempaka Sari. Tetapi rancangan itu tergendala buat beberapa ketika kerana timbulnya persengketaan kecil di antara Perak dengan orang-orang Belanda, berpunca angkara seorang juru bahasa bernama Pir Muhammad. Walau bagaimanapun masalah tersebut akhirnya dapat diselesaikan. Perjanjian di antara Belanda dengan negeri Perak telah diadakan khususnya dalam bidang perniagaan yang berkaitan dengan bijih timah. Selepas itu rancangan memindahkan ibu kota dari Brahman Indera ke Pulau Chempaka Sari telah dilaksanakan. Pulau Chempaka Sari kemudiannya ditukar namanya menjadi Pulau Ingera Sakti dan bandarnya dinama Bandar Makmur.
Pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar turut dikisahkan tentang temasya baginda menangkap (menuba) ikan di Sungai Budiman dan Sungai Timah yang digambarkan dengan meriah sekali. Selain daripada itu dinyatakan juga tentang usaha gigih pembinaan masjid di Pulau Indera Sakti pada saat-saat hari raya haji menjelang tiba. Manakala semasa permaisuri baginda hamil tujuh bulan diadakan istiadat melenggang perut dan mandi-manda. Juga diadakan temasya yang memaparkan pertunjukan berbagai jenis permainan dari berbagai bangsa (Melayu, Cina, India) selama tujuh hari tujuh malam.
Dimuatkan juga kisah baginda mendirikan sebuah mahligai tujuh tingkat yang dikatakan belum pernah lagi dibina oleh sultan-sultan sebelumnya. Mahligai itu telah digambarkan sebagai sebuah mahligai yang terlalu istimewa dengan kemuncaknya yang dibuat dari perak bertatah emas dan permata pudi manikam dan sebagainya. Daun-daun pudi yang digantung di Mahligai itu pula akan berbunyi seperti buluh perindu apabila ditiup angin dan bergermelapan jika dilihat dari jauh. Selepas itu diadakan upacara maulud pada 12 Raiulawal sempena meraikan siapnya mahligai itu dan juga perpindahan baginda sekeluarga ke situ. Mahligai itulah yang dianggap akan jadi ingatan kepada zuriat baginda pada masa yang akan datang.
Di bahagian yang lain pula diceritakan tentang kedatangan utusan perdagangan Belanda dari Betawi yang diketuai oleh R.E.F. Lybroke. Tujuannya ialah membeli bijih timah. Tetapi mereka mahukan agar bijih timah tersebut dihantar ke lojinya di Tanjung Putus untuk ditimbangkan di situ. Sultan Iskandar tidak bersetuju sebaliknya baginda mahu supaya ianya dilakukan di Tanjung Bidor. Berikutan itu pihak Belanda cuba mengertak dengan menembak ke arah Shahbandar dan Menteri kononnya kerana mereka enggan menerima pelawaan kapitan Belanda untuk singgah ke kapal mereka. Kejadian itu telah menimbulkan kemurkaan Sultan Iskandar. Namun pihak Belanda kemudiannya memberi alasan bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai niat untuk menembak Shahbandar dan Menteri sebaliknya hanya ingin menembak monyet. Mereka seterusnya memohon keampunan daripada Sultan. Berikutnya keadaan hubungan dua pihak menjadi tenang semula.
Tidak lama selepas itu permaisuri baginda Sultan Iskandar telah uzur dan seterusnya mangkat. Setelah berakhir hari perkabungan selama 100 hari, baginda telah pergi "bermain-main ke laut" dengan diiringi oleh segala hulubalang dan hamba rakyat. Pada masa inilah Raja Chulan telah dititahkan pula supaya mengarang syair bagi mencatatkan peristiwa baginda bermain ke laut itu dan juga ketokohan serta zaman pemerintahan baginda secara amnya. Syaer itu berjumlah 481 rangkap semuanya. Baginda Sultan Iskandar memerintah selama kira-kira empat belas tahun. Setelah baginda mangkat, baginda telah digantikan pula oleh Sultan Mahmud Shah.
Tidaklah banyak peristiwa yang dicatatkan dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah ini. Antaranya ialah Raja Selangor telah datang mengadap dan seterusnya telah diberi gelaran Sultan Salehuddin. Sultan Sallehuddin kemudiannya telah berkahwin dengan sepupu Sultan Mahmud Shah. Selepas kira-kira lapan tahun memerintah bagindapun mangkat dan diganti pula oleh adinda baginda iaitu Sultan Alauddin yang dikatakan memerintah negeri Perak dengan adil dan saksama.

Bentuk Pensejarahan
Dari segi bentuk pensejarahan Misa Melayu masih mewarisi beberapa ciri pensejarahan tradisi seperti yang terdapat di dalam Sulalatus Salatin. Dengan itu Misa Melayu boleh dikatakan telah mewarisi bentuk pensejarahan Melayu-Islam seperti juga Sulalatus Salatin. Antara cirinya ialah penggunaan tarikh yang tepat bagi sesuatu peristiwa. Di dalam Misa Melayu Raja Chulan juga memasukkan tarikh dalam penulisannya, misalnya menyebut 12 Rabiulawal semasa diadakan upacara maulud dan 7 Zulhijjah 1167 sebagai tarikh kemangkatan Sultan Mudzafar Shah. Namun begitu penggunaan tarikh di dalam Misa Melayu tidaklah sekerap Tuhfat al-Nafis karya Raja Ali Haji. Selain daripada itu bentuk penulisannya juga banyak mengandungi ciri pensejarahan Islam; antaranya ialah memulakan penulisannya dengan lafaz "Bismi'llahi rahmani'r-rahim" dan juga memasukkan kata-kata seperti "dengan izin Allah", "dibuka Allah ta'ala kepada hati baginda" dan sebagainya. Besar kemungkinan wujudnya ciri-ciri tersebut adalah disebabkan pembacanya terhadap karya-karya pensejarahan Melayu-Islam atau Islam yang lainnya ataupun hasil dari pendidikan Islam yang telah diterimanya.
Dalam pada itu jika dibandingkan karya ini dengan karya-karya seperti Sulalatus Salatin ia menunjukkan satu kelainan iaitu Misa Melayu tidak mengandungi unsur-unsur yang berupa metos dan dongeng walaupun beberapa ciri kesusasteraan yang lain masih ada dimuatkan. Misalnya ia memuatkan pantun dan syair. Di samping itu terdapat juga penggunaan dialog atau kata-kata yang diucapkan oleh tokoh-tokoh tertentu. Sementelah itu seperti juga Sulalatus Salatin, Misa Melayu dikarang atas perintah baginda Sultan Iskandar Dzulkarnain.
Sebagai seorang pengarang Melayu Islam, Raja Chulan masih terikat dengan sikap atau kebiasaan pengarang lama yang gemar merendah diri. Sikap tersebut telah digambarkan oleh Raja Chulan melalui rangkap-rangkap syairnya yang telah kita nyatakan lebih awal tadi.
Namun apa yang dihasilkannya adalah sesuatu yang sangat penting dari pensejarahan dan sejarah negeri Perak itu. Ini ialah kerana di samping merupakan sebuah karya pensejarahan ia juga adalah sebuah sumber sejarah yang penting bagi negeri tersebut. Ia mengandungi peristiwa-peristiwa yang benar-benar berlaku yang menjelaskan kepada kita perkara yang berkait dengan struktur politik, serta kerajaan beraja yang berkuasa mutlak sistem dan kegiatan ekonomi dan undang-undang. Segalanya adalah berpusat di tangan golongan pemerintah iaitu raja dan pembesar-pembesar negeri. Juga dimuatkan salasilah atau jurai keturunan pemerintahan kerajaan negeri Perak sejak awal, susunan pembesar-pembesar negeri, struktur masyarakat, adat istiadat dan bentuk-bentuk kesenian yang wujud terutamanya dalam kurun yang kelapan belas itu.
Walaupun Misa Melayu dikatakan ditulis dengan tujuan untuk menggambarkan kegemilangan kerajaan negeri Perak abad ke 18, namun itu tidaklah bermakna bahawa pengarang telah menghasilkan karya dengan sewenangnya sahaja. Sebagai seorang yang berpeluang mendapat pendidikan dan mempunyai hubungan kekeluargaan pula dengan Sultan, sudah tentulah beliau terpaksa berhati-hati dalam menghasilkan karyanya. Hasilnya ialah sebuah karya pensejarahan yang boleh dipertanggungjawab kesejarahannya.
Ia juga tidak mengandungi unsur metos dan legenda kecuali pad abahagian awal yang mengaitkan keturunan raja Perak itu dengan tokoh legenda Raja Suran yang pernah turun ke laut. Syair-syair yang dikarangkan di bahagian kedua Misa Melayu itu pula bukanlah berbentuk hiburan semata-mata; malah mengandungi pelbagai keterangan peristiwa sejarah yang berguan. Ini digambar di dalam karya Abdul Talib Haji Ahmad yang menyusun semula syair tersebut dengan judul "Shaer Pelayaran Sultan Iskandar" telah membahagikannya kepada enam judul peristiwa iaitu "Pelayaran Raja", "Angkatan Raja Membongkar Sauh", "Angkatan Diraja di Tanjong Putus", "Zaman Belanda", "Sewaktu Angkatan Meninggalkan Kuala Perak" dan "Bertemu Dengan Kapal Inggeris". Selain daripada itu syair tersebut memuatkan juga gambaran tentang peribadi raja dan para pembesar di Perak terutamanya dalam zaman pemerintahan kedua orang Sultan yang menjadi tumpuan hikayat ini.
Beberapa peristiwa yang dimuatkan di dalam Misa Melayu juga didapati tercatat di dalam sumber-sumber selain lain, samada tempatan maupun asing, terutamanya sumber-sumber Belanda. Persamaan-persamaan ini sebenarnya bukan sahaja mengukuhkan lagi kesejarahan Misa Melayu itu, tetapi menampakkan pula kesedaran sejarah pengarangnya dalam menghasilkan karya yang berbentuk pensejarahan.
Antara persamaan itu misalnya, ialah peristiwa kedatangan Raja Selangor iaitu Raja Lumu ke Perak yang juga ada dicatatkan di dalam Tuhfat al-Nafis; cuma di dalam Tuhfat al-Nafis Raja Lumu dipersilakan oleh Raja Perak sedangkan di dalam Misa Melayu, Raja Lumu datang mengadap bersama-sama dengan Raja Ali Haji. Selangor sebagai yang Dipertuan Besar bagi negeri selangor dan digelar Sultan Salehuddin juga ada disebutkan. Persamaan ini seperti yang telah dinyatakan dapat menguatkan lagi kedudukan Misa Melayu sebagai sebuah karya pensejarahan. Dari segi yang lain pula, nama-nama tempat yang disebutkan di dalam Misa Melayu memang sebenarnya wujud. Antara tempat tersebut ialah Pulau Tiga, Sungai Kinta, Sayong, Kuala Kangsar, Kuala Bidor, Sungai Budiman, Bukit Gantang, Padang Adam dan Pulau Indera Sakti yang terletak dekat dengan bandar di tepi Sungai Perak. Begitu juga dengan Tanjong Putus yang terletak di bandar Telok Intan sekarang ini. Kota Berahman Indera iaitu yang pernah menjadi ibu kota negeri Perak dalam zaman Sultan Muzaffar Shah seperti yang tertulis di dalam Misa Melayu itu dikenali sebagai Bota Kanan pada masa ini.

Kesimpulan
Dapat dikatakan bahawa Misa Melayu adalah sebuah karya pensejarahan yang tinggi nilainya. Ia mewarisi, malah melanjutkan bentuk pensejarahan Melayu yang masih terikat dengan ciri-ciri Islam yang sudahpun wujud di dalam Alam Melayu sebelum ini. Antara keistimewaannya yang jelas ialah ia tidak mengandungi dongeng dan metos seperti yang terdapat di dalam beberapa karya sebelumnya. Sungguhpun terdapat beberapa kekurangan jika diukur dari sudut pengertian sejarah yang mutakhir, namun karya ini adalah hasil dari kefahaman dan kesedaran sejarah yang wujud pada kurun kelapan belas itu. Dengan keadaan yang demikian pun, karya ini masih mempunyai nilai yang tinggi dari segi sejarah dan pensejarahan.