PENSEJARAHAN MELAYU KLASIK DARI SEGI POLA-POLANYA
(Dalam JEBAT, Bil.2,1972/73 [hlm. 18-24].

J.C. Bottoms pernah berkata tentang pola penuilsan sejarah orang Melayu secara umum, 'History to the Malays has not until recently been either a science or an art but an entertainment. Accuracy, completeness, organised exposition are not the vital principles; what best pelased were legend, fantasy and a pleasant hotchpotch of court and port-gossip This fairly describes for instance, the Sejarah Melayu."1 Kata-kata J.C. Bottoms ini adanya benar, akan tetapi kebenaran itu tidak setepat mana yang didakwakan oleh J.C. Bottoms pada keseluruhannya, terutama sekali beliau mengatakan bahawa Sejarah Melayu adalah sebagai seni hiburan. Di sini seolah-olah J.C. Bottoms hendak menyamakan karya sejarah tradisional itu seakan-akan cerita penglipurlara atau karya sastera yang lain. Pandangan-pandangan terhadap pola historiografi tradisional Melayu ini ada bermacam-macam pendapat yang dikemukakan. Akan tetapi pendapat yang relatif adalah senada dengan apa yang dikemukakan oleh Prof. Roolvink (Bahasa dan Budaya, Feb. 1954), "bahawa kebanyakan persejarahan Timur mempunyai dua bahagian dari segi isinya yang terdiri: Bagian-bagian dongeng dan pengalaman sendiri yang terjadi dalam masa hidupnya".2
Historiografi adalah di maksudkan, "selalunya mengenai kesah tentang peristiwa-peristiwa bersejarah yang telah disusunkan dalam bentuk sastera yang agak baik juga, dan fungsinya adalah untuk pengajaran dan kemegahan generasi semasa pengarang dan keturunan-keturunan mereka".3 'Peristiwa bersejarah' itu tidak semestinya mengandungi erti sejarah saperti yang difahami sekarang. Dalam kurun ke 20 ini apa yang diertikan dengan sejarah ialah faham Barat. R.G. Collingwood yang mentafsirkannya, "sejarah itu ialah satu sains (ilmiah) yang menginterpritasikan masa lampau dengan berdasarkan butir-butir kenyataan, diteliti secara terasing (iaitu penulis mesti mengketepikan perasaannya sendiri) dan dikaji dengan tujuan memberi sebenar-benarnya untuk pengetahuan manusia'.4
Jika kita hubungkan pendapat RG. Collingwood ini dengan hasil-hasil penulisan sejarah tradisional Melayu maka dengan sekali gus kita simpulkan bahawa karya-karya itu tidak mencukupi syarat sejarah itu sebagai satu sains. Hakikat pengertian sejarah sejati ini tidak boleh diketepikan, kerana objektif yang berdasarkan kepada kebenaran dan kenyataan perlu dipertahankan. Namun begitu, sejarah-sejarah dunia lain pun; masèh belum boleh berdiri sendiri dalam ertikata yang sebenarnya. Terutama sekali dalam sejarah tradisional. Umpamanya gerak sejarah dalam persejarahan orang-orang Sumeria, semua kejadian-kejadian dikatakan dikuasai dan diaturkan oleh tuhan atau dewa-dewa iaitu historiografi Sumeria berkedewa-dewaan dan tidak berdasar kenyataan.
Pola strukturil historiografi tradisional Melayu adalah ditentukan oleh beberapa pengaruh dan ciri-ciri yang tertentu. Pengaruh-pengaruh tersebut adalah ditentukan oleh unsur-unsur kesusasteraan dan kebudayaan Hindu/Buddha dan Islam. Manakala unsur-unsur tempatan itu sendiri menyebabkan strukturil historiografi Melayu merupakan satu penulisan tradisi. Atau dengan lain perkataan; bahawa strukturil historiografi Melayu tradisional mempunyai beberapa ciri persamaan-persamaan, kecuali ada beberapa hasil yang lain yang telah menyimpang sedikit dari tradisi tadi.
Bahawa bahan-bahan penulisan sejarah Melayu tradisional adalah ditulis pada inskripsi, prasasti, monumen-monumen dan buku-buku. Dalam zaman Hindu, banyak hasil-hasil sejarah tersurat dibatu-batu bersurat, umpamanya inskripsi Melayu di Bangka yang bertarikh 683 masehi ada mencatatkan sejarah. "Perkembangan ini terus berkembang sehingga lahirlah karya yang tersurat iaitu Hikayat Raja-Raja Pasai yang di taksirkan ditulis dalam kurun ke 14 masehi. Dan saat itu muncullah karya-karya lain yang bersifat pseudo-historis"5 Dalam meneliti sejarah Melayu lama, bahan-bahan inskripsi dan batu bersurat itu amat penting, kerana di situlah tertinggalnya jejak-jejak sejarah lama dan maseh banyak yang belum di kaji. Buchari menegaskan bahawa inskripsi itu ditugaskan oleh Yang Di Pertuan bagi mencatatkan peristiwa-peristiwa penting. Beliau menyebut bahawa;
"The term inscription refers to historical sources written in ancient times on stone or metal. Most of them are inscriptions ordered to be made by rulers who reigned in various parts of Indonesia since the fifth century".6

Struktural historiografi tradisional Melayu yang paling jelas adalah bersifat region centrisme dan ethnocentrisme yang sangat besar pengaruhnya dalam historiografi Melayu. Ataupun lebeh tegas disebut historiografi dinasti: kerana persejarahan yang digabungkan sebagai sejarah adalah khusus mengenai sesuatu kesultanan atau sesuatu daerah. Umpamanya Hikayat Aceh adalah hal-hal di Aceh, Hikayat Raja-Raja Pasai berkenaan sejarah Pasai, Misa Melayu berkenaan Perak dan sebagainya, terutama sekali merupakan biografi seseorang raja. Kesah-kesah itu dirangkaikan dengan tidak ada pertalian yang erat antara satu sama lain. Biasanya hasil-hasil karya itu menggambarkan zaman kegemilangan sesuatu dinasti kesultanan Melayu. Karya itupun ditulis adalah semasa zaman keagungan kesultanan itu dan ianya disalin dan ditambah kembali setelah kejatuhan negeri-negeri itu, umpamanya Hikayat Raja-Raja Pasai setelah Majapahit melanggar Pasai, Sejarah Melayu setelah Portugis melanggar Melaka.
Penulisan sejarah Melayu tradisional merupakan satu tradisi bagi masyarakat istana. Keadaan ini mungkin juga untuk menghindarkan hilangnya tradisi-tradisi lama yang kebanyakannya merupakan tradisi lisan sahaja, dengan diadakan, langkah-langkah permulaan mengumpulkan tradisi-tradisi lama itu menjadi buku; iaitu dari oral tradition. Kalau tradisi sastera rakyat boleh menggambarkan kehidupan dan pemikiran di kalangan masyarakat, begitu juga tradisi penulisan historiografi tradisional Melayu boleh menggambarkan gambaran-gambaran yang lengkap tentang kehidupan dan pemikiran masyarakat Melayu 'istana'. Kerana kebanyakan 'hikayat' atau buku-buku sastera sejarah itu dikarangkan oleh orang-orang yang rapat hubungannya dengan raja-raja yang memerintah. Satu sifat umum bahawa pujangga istana itu diberi perintah dan tugas untuk menghasilkan karya-karya sejarah. Umpamanya Sejarah Melayu, sultan telah memerintah kepada Tun Sri Lanang supaya menulis kembali catatan sejarah, "bahawa beta minta perbuatkan hikayat pada Bendahara, peri peristiwa dan peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh meteka itu syahdan beroleh faedahlah ia daripadanya".7 Nyatalah bahawa tujuan sejarah rasmi ialah untuk memberi pelajaran bagi anak cucu; jadi bukan uraian tentang rentetan peristiwa yang merupakan rangkaian sebab akibat atau perkembangan kejadian-kejadian his toriografi genetis, bukan pula untuk menunjukkan fakta-fakta belaka, tetapi untuk menunjukkan contoh-contoh dari sejarah sebagai pelajaran hidup (pragmatis). Perintah dan permintaan ini juga adalah dikenakan kepada pengarang-pengarang Melayu yang lain walaupun terhadap Munsyi Abdullah yang mana Raffles meminta ditulis satu hikayat. Akan tetapi lain pula sikap Raja All Haji adalah dari inisiatif dan keinsafan diri sendiri bilamana beliau menulis Tuhfat al Nafis.
Bagi menyiapkan karya-karya sejarah tadi adalah dibiayai oleh penaungnya. Oleh itu hasil karya itu adalah untuk dipersembahkan kepadanya. Lantaran itu di sini ada hubungan si pengarang dengan penaung serta tujuannya, sebagaimana C. Hooykaas menjelaskan, "Tujuan ialah untuk memancarkan chahaya yang di inginkan keluarga raja itu bagi menyinarinva, sebab ada berbagai-bagai perbuatan, hal dan pertimbangan".8 Oleh itu dalam karya-karya tersebut kita dapati perihal kedaulatan dan kebesaran raja-raja, serta hal dirinya seperti kegemaran baginda, berburu, berdarmawisata, peperangan, perkahwinan, wasiat, adat istiadat, pertabalan dan sebagainya. Pendek kata; pengarang telah memusatkan perhatian penuhnya tenhadap kedudukan raja-raja, sebagaimana yang ditegaskan oleh Sartono Kartodirdjo, "Raja sebagai pusat seluruh masyarakat, bahkan seluruh alam semesta (cosmos) merupakan kekuatan magis (sakti) yang memancarkan pengaruh baik atau buruk, menguntungkan atau sangat menbahayakan bagi alam sekelilingnya".9 Oleh itu beliau menyimpulkan pula bahawa pola historiografi Mçlayu tradisional adalah, "Dengan adanya penghurmatan kepada raja dan kekuasaannya dan kebudayaan yang berpusat di lingkungan raja, maka historiografi mahu tak mahu harus 'raja-centris'10' Oleh itu usahlah diharapkan bagi kita mendapat penerangan tentang keadaan perekonomian rakyat dan gerakan massa, rakyat dalam sejarah itu adalah pasif sekali. Kalau adapun hubungan sosial di masa itu hanyalah di kalangan kaum feudal saja. Di sini pengarang telah meletakkan raja sebagai tokoh atau pokok sejarahnya. Hal ini dijelaskan lagi oleh P.E. De Josselin De Jong bila beliau memperkatakan sifat-sifat Sejarah Melayu, katanya,
"The Malay courts, and many of the more considerable Malay families, to this day keep two kinds of work which, I believe, were the essential materials with which the Malay Annals were constructed. In the first place, diaries of significant events, either of a personal or of a political nature, sometimes with notes on the concurrent happenings in nature. Secondly, geneological trees of the family or dynasty concerned; as it were, patents of nobility and legitimacy ".11

Oleh kerana tujuan pertama pengarang ialah untuk kepentingan raja maka pengarang haruslah berhati-hati dalam penggambarannya tentang diri raja-raja yang dipujanya bethubungan dengan segala peristiwa yang di tempohinya, sehingga mengakibatkan subjektiviti tertentu. Dengan demikian jelaslah bahawa pola strukturil historiografi tradisional Melayu berhubung rapat dengan sakral-magis dan daulat.
Kebiasaan pengarang sejarah Melayu tradisional membahagikan isi kandungannya bagi sesebuah karyanya adalah tentang sapertt berikut;

i. Asal usul raja-raja dan salasilah.
ii. Pembentukan sesebuah negeri.
ill. Kemasukan Islam.
lv. Tentang raja-raja.
v. Raja yang memberi perentah pada masa itu.

Walaupun demikian, pembahagian tensebut bukanlah bererti satu ciri pola historiografi Melayu tradisional keseluruhannya, kerana kedapatan beberapa karya lain yang tidak mengandungi ciri pola-pola tersebut. Manakala Sartono Kantodirdjo menjelaskan keseragaman dalam historiografi Indonesia (Melayu?) terdapat dalam;

I. Geneologi yang merupakan permulaan dan semua penulisan sejarah.
ii. Asal mula rajakula yang mythis atau legendaris: Ini merupakan bagian yang terpenting.
iii. Mythologi Melayu-Polinesoas tentang perkahwinan dengan bidadari..
iv. Legenda pembuangan anak.
v. Legenda permulaan kerajaan.
vi. Tendensi menjunjung tinggi rajakulanya.12

Jika di perhatikan antara dua perbandingan keseragaman di atas, ada beberapa persamaan dan perbedaan. Namum satu hakikat, iaitu bahagian yang terpenting di dalam kesemua keseragaman pola historiografi tadi, iaitu tendensi menjunjung tinggi rajakula atau Raja yang memberi perintah pada masa itu. Agak pembahagian Sartono tentang legenda pembuangan anak kurang jelas di dalam pola historiografi Melayu, kerana hal ini bukanlah merupakan motif-motif yang selalu dijumpai di dalam karya sastera sejarah, kecuali dalam cerita lisan rakyat.
Mohd. Taib Osman menegaskan bahawa perbedaan besar antara cerita dongeng sejarah ialah salasilah. Dapat dikatakan bahawa salasilah itu ialah perbedaan utama antara cerita-cerita dongeng dengan sejarah, kerana kalau tidak ada salasilah, penulisan itu tidak dapat dikatakan sejarah".13 Memanglah salasilah merupakan satu bab atau fasal yang penting di dalam historiografi Melayu, akan tetapi kenyataan Mohd. Taib Osman ini kurang betul jika dikatakan, "kalau tidak ada salasilah, penulisan itu tidak dapat dikatakan sejarah". Kita tidak boleh lupa terhadap beberapa karya sejarah lain yang tidak memuatkan tentang salasilah, terutama sekali di dalam bentuk puisi seperti Syair Perang Makasar dan sebagainya yang tidak menghuraikan salasilah. Tapi apa yang dipentingkannya ialah bahawa salasilah adalah sebagai satu ciri yang membedakan karya dongeng dengan karya sejarah dalam historiografi Melayu tradisional. Jurai keturunan raja-raja ini digambarkan dengan begitu rupa hingga menjadikannya mythical dipandang daripada kacamata pembaca-pembaca sekarang. Umpamanya dl dalam geneologi Hikayat Aceh terdapat sinkretisma antara kebudayaan Hindu dan Islam, iaitu dari deretan nasab Nabi Adam dan Visnu. Maka salasilah disusun tidak lagi secara historirealitas, tetapi kosmos religio-magis. Begitulah juga dengan pengaruh Islam yang disesuaikan dengan jurai-jurai keturunan Sultan Iskandar Zulkarnain, Gambaran ini fantastik, imaginasi dan dongeng, tapi 'dynasty myth' itu penting sekali bukan sahaja untuk menerangkan asal usul kesultanan itu, tetapi juga untuk memupuk kepercayaan terhadap kedudukan istimewa raja-raja itu. Sartono Kartodirdjo menjelaskan, "Di dalam kebudayaan yang bersifat religio-magis, mythos ternyata merupakan suatu kepercayaan dan bukan pengetahuan belaka. Maka penulisan sejarah sebagai satu bentuk perkembangan mythos mempunyai fungsi sakral-magis, iaitu ad majorem gloriam bagi raja, untuk menambah kebesaran raja, sebagai pusat kesejahteraan rakyat, dan alam".14 Daripada 'keturunan-keturunan'15 yang sebegini kita perhatikan bahawa penulis telah meliputi asal usul dinasti itu dengan satu suasana 'awe-inspiring' yang dapat menarik rasa hormat terhadap pertuanan mereka.
Satu pola historiografi Melayu tentang pembentukan sesebuah kerajaan juga telah mengalami beberapa kejadian-kejadian yang aneh. Dalam Hikayat Raja-Raja Pasai, nama Sumadra dan Pasai adalah dari beberapa kejadian yang aneh, iaitu semut raya dan salak anjing Si Pasai dan begitu juga dengan nama-nama Melaka, Singapura dan sebagainya. Biasanya dari gejala binatang dan pokok atau pun tentang kesalahan penyebutan (Padang Maya dalam Hikayat Raja-Raja Pasai).
Pengaruh Hindu telah menentukan unsur-unsur metos, legenda yang berhubungan dengan kosmos dan kedewaan mempengaruhi weltanchauung (pandangan hidup) dan penulisan sejarah ke arah pandangan yang bukan realitet. Begitu juga halnya dengan kedatangan Islam, sedikit sebanyak fiksyen yang tak lojik maseh memberi warna dalam pola historiografi Melayu, umpamanya unsur-unsur mimpi maseh menjadi kepercayaan bagi orang-orang Islam. Tetapi sebenarnya ini bukanlah bermakna sesuatu yang.sengaja ditonjol-tonjolkan oleh pengarang-pengarang Melayu Islam. Merah Silu memeluk Islam selepas baginda bermimpi.16 Sebelum Islam, pokok sejarah lebih berpusatkan kepada sakral magis, tetapi selepas Islam unsur-unsur mistis dan ugama dipentingkan walaupun unsur-unsur kesultanan maseh dianggap penting. Sartono Kartodirdjo sekali lagi meletakkan pengaruh Islam sebagai, "Pengaruh historiografi Islam menaruh tekanan pada sejarah religio-politis".17 Manakala J.C. Bottoms berpendapat bahawa dengan tekanan pengaruh Islam ini menyebabkan gerak sejarah Melayu bersekitar teologi (theology), namun legenda maseh beriringan, katanya;
"This view partly accounts for the way in which historical and theological sections may be found juxtaposed in many Malay works and for the way in which the two kinds of material, plus legendary material, are also often mixed'18
Pola-pola beginilah merupakan satu perubahan baru di zaman Islam. Sifat umum yang tendapat pada pola historiografi Melayu tradisional tentang pengarang-pengarang di zaman pra-Islam ialah, nama pengarang tidak disebutkan, kerana hasil penulisan historiografi itu merupakan hasil 'kolektif', bahkan tarikh-tarikh tidak dipentingkan, data-datanya mungkin merupakan kronik bukan analisis sebab akibat. Tetapi pada abad-abad ke 16 dan 17 semasa Islam berkembang pesat dalam ugama dan kebudayaan telah mengubahkan kembali pola historiografi dengan mementingkan nama pengarang dan tarikh-tarikh.
Pola historiografi Melayu lazimnya melampau masa yang berabad-abad lamanya tentang kronoloji sejarah yang dimuatkannya. Dari itu kita dapat bagian penmulaan itu penoh dengan dongeng dan legenda, terutama sekali tentang asal usul jurai-jurai sultan tadi. Tambahan pula bahan-bahan yang dikumpulkan itu adalah melalui oral tradition yang terkumpul di istana atau pun riwayat orang tua-tua. Pengarang memanjang lebarkan babagian akhir, iaitu tentang raja yang menjadi penaung serta masa sezamannya. Kebanyakan hal tentang rentetatan sejarah pentadbiran kaum feudal ini digambarkan dengan detail sekali. Apa yang ternyata dalam pola sistem pemerintahan Diraja Melayu adalah pengaruh dari sistem pemerintahan Islam Parsi. Oleh itu tidak hairanlah jika pengaruh Parsi juga mempengaruhi pola-pola historiografi Melayu tradisional seperti dari segi teknik dan susunan kalimat-kalimat, terutama sekali di zaman perkembangan kebudayaan Islam yang agung di Aceh. Bukti yang nyata ialah buku Hikayat Aceh adalah dari pengaruh dan contoh karya Parsi 'Akbamana'.
Sifat historiografi Melayu tradisional yang lain dari pengaruh Parsi ialah tentang bilamana terdapat sesuatu peristiwa kegeningan sultan, maka berwasiatlah raja-raja tcnhadap anak-anak dan orang-orang besarnya. Selalunya gaya bahasa wasiat-wasiat ini dan kandungannya hampir-hampir sama sahaja sehingga juga bentok wasiat-wasiat ini telah menjadi satu tradisi historiografi Melayu.
Pola historiografi Melayu tradisional adalah subjektif sifatnya. Dari sudut pengarang, kerana ianya juga merupakan sifat-sifat pengarang Melayu, iaitu tradisi tokok tambah dan pembuangan. Situmurang dan Prof. A. Teeuw membuat kesimpulan bahawa masyarakat yang tidak dinamis sifatnya itulah yang sesuai dengan pola-pola historiografi dan karyanya, iaitu katanya, "Tradisilah yang menentukan apa yang baik. apa yang boleh dan yang di larang dalam karangan dan telah sewajarnya bahawa tiap-tiap penulis yang kemudian datang menurutkan hal itu".19 Jadi sikap berat sebelah tidak boleh dinafikan, umpamanya orang Melayu mengagung-agungkan Hang Tuah berketurunan Melayu, sedangkan orang Bugis mengatakan berketurunan Bugis (Daeng Menanbum dan Raja Ali Haji), Sejarah Melayu ada menghina Raja Pasai, dan sebagainya.
Dari itu, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa jika diukur dari sudut sejarah, pola-pola historiografi Melayu tradisional masing-masing mengandungi gabungan-gabungan kebenaran, legenda, khayalan dan kenyataan serta hiburan dan pengajaran. Pola itu merupakan satu pola-pola yang tersusun dan bertradisi sendiri. Pada orang Melayu bahawa sejarah adalah juga merupakan seni yang boleh menghiburkan. Dan kombinasi diskriptif sejarah tadi kita temui berbagai-bagai hal kehidupan masyarakat feudal di masa lampau. Kesemua itu adalah menjelmakan penghidupan kebudayaan Melayu di waktu yang lampau. Mereka tidak menjadikan sejarah atau 'histore' sebagai sesuatu yang di siasati (inquiry). Manakala metoda penulisan sejarah moden tentang aspek sebab musabab yang menjadi keharusan telah pun ada dalam historiografi Melayu tradisional. Tetapi sayang sedikit, sebab musabab peristiwa dalam karya-karya sejarah Melayu itu di kaitkan kepada hal-hal di luar kemenasabahan. Namun begitu ada di antara sumber-sumber dan fakta-fakta sejarah yang berguna dalam usaha merekonstruksikan kembali sejarah Alam Melayu, khususnya pada zaman di antara abad ke 13 hingga 18.


NOTA AKHIR
1. J.C. Bottoms, "Some Malay Historical Sources: A Bibliographic& Note." dalam Soedjatmoko (ed), An Introduction to Indonesian Historiography, New York, 1965, ms. 180.
2. Mohd. Nor Long, "Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu: Satu Perbandingan Bentuk Persejarahan." dalam Jernal Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Vol. VII. 1968/69, ms. 58.
3. Mohd. Taib Osman, Bahasa, Jilid IV, Bil. 1, 1964/65, ms. 44.
4. R.G. Collingwood, The Idea of History, London, 1966. 10-11.
5. Seperti; Sejarah Melayu, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Aceh, HikayatMarong Mahawangsa, Hikayat Sri Kelantan, Syair Perang Makassar, Salasilah Melayu dan Bugis, Salasilah Kutai, Misa Melayu, Al-Tarikh Salsilah Kedah, dan lain-lain lagi.
6. Buchari, "Epigraphy and Indonesian Historiography." dalam Soedjatmoko (ed), Indonesian Historiography, ms. 48.
7. W.G. Shellabear, Sejarah Melayu, Kuala Lumpur. 1967. ms. 3.
8. C.Hooykass, Perintis Sastera (edisi baru.), Kuala Lumpun, 1965. 109.
9. Sartono Kantodirdjo, "Segi-segi Strukturil Historiografi Indonesia" dalam Lembaran Sedjarah, No. 3, Disember, 1968, Jogjakarta.
10. ibid. ms. 29.
11. P.E. De Josselin De Jong "The Character of the Malay Annals" dalam John Bastin dan R. Roolvink (ed) Malayan and Indonesian Studies, London,1964.ms,238
12. Sartono, "Segi-segi Strukturil", ms. 34.
13. Taib Osman, Bahasa, ms. 47.
14. Sartono Kartodiradja "Beberapa fatsal dari Historiografi Indonesia" dalam Lembaran Sejarah, No. 2, Augustus 1968. Jogjakarta. ms. 16.
15. Sejarah Melayu: Dinasti Melaka dan Iskandar Zulkarnain; Hikayat Aceh: dalam puteri Buluh Betong; Hikayat Raja-Raja Pasai: dari Buluh Betong dan gajah; Hikayat Merong Mahawangsa: dan Buluh Betong; Salasilah Kuta: dari Buluh Betong, dan sebagainya.
16. A.H, Hill, "Hikayat Raja Pasai" dalam Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol. 33, Pt. 2, (1960), ms. 57.
17. Sartono, "Segi-segi Strukturil", ms. 30.
18. Bottoms. "A Bibliographical Note", ms. 183.
19. Situmurang dan A. Teeuw, Sejarah Melayu, Jakarta, 1952, (Bahagian mukadimmah), ms. xii.