Make your own free website on Tripod.com
PENSEJARAHAN SOSIOEKONOMI & POLITIK : Kajian Berdasarkan Teks Misa Melayu & Hikayat Patani

PENGENALAN
· Agak sukar untuk kita memperolehi satu karya sastara sejarah atau kesusasteraan Melayu tradisional yang menumpukan atau memfokuskan 100 % kepada perkembangan sosioekonomi sesebuah negeri dan masyarakat setempat. Namun begitu kita masih tidak dapat nafikan bahawa tema sosioekonomi dianggap penting oleh para sarjana dalam menilai perkembangan masyarakat Melayu zaman feudal amnya.

· Sehingga kini perkembangan sosioekonomi sesebuah negeri dan masyarakat dalam konteks masyarakat Melayu tradisional masih dirujuk kepada perkembangan Islam dan perdagangan yang berlaku di Nusantara. Justeru itu dalam kebanyakan karya-karya Melayu, isu atau tema sosioekonomi ini sering bercampur aduk dengan perkembangan Islam yang sekaligus mempengaruhi kemajuan dari segi sosioekonomi masyarakar sesebuah tempat. Contoh yang pernah kita baca dan dengar bahawa kemajuan negeri Melaka amat bergantung kepada peranannya sebagai pusat penyebaran Islam dan pusat perdagangan yang penting di Nusantara dalam kurun ke 15. Situasi seperti ini pernah digambarkan dalam Sejarah Melayu , iaitu sebuah karya yang menceritakan pelbagai aspek tentang Kesultanan Melayu Melaka.

· Selain dari Melaka, negeri-negeri lain juga turut mengalami situasi yang sama contohnya perkembangan ekonomi dan sosial di negeri Perak sepertimana yang digambarkan dalam Misa Melayu serta perkembangan yang berlaku di Pattani sepertimana yang digambarkan dalam Hikayat Pattani.

1) Misa Melayu : Gambaran Perkembangan Sosioekonomi Di Negeri Perak Pada Abad Ke 19

· Dalam teks Misa Melayu terdapat beberapa kisah atau cerita yang memberikan gambaran kepada kita tentang aktiviti-aktiviti ekonomi penduduk di negeri Perak, khususnya pada abad ke 19.

· Perkembangan ekonomi di negeri Perak pada abad tersebut boleh dikatakan agak baik dan jauh bezanya dengan perkembangan di Melaka pada abad ke 15 memandangkan Perak pada masa itu berada di bawah penjajahan British yang bermula pada tahun 1874 secara rasminya ( Rujuk Perjanjian Pangkor 1874 ). Malah sebelum termeterainya Perjanjian Pangkor 1874, perkembangan ekonomi negeri Perak berada di tahap yang stabil terutama dengan adanya hubungan dengan Belanda. Sehubungan ini dalam Misa Melayu ada diceritakan bahawa pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, orang-orang Belanda dari Betawi ( Batavia ) telah datang ke Melaka lalu terus ke Perak. Dengan kepintaran orang-orang Belanda ini dapatlah mereka memonopoli semua sekali bijih timah yang dibawa melalui Sungai Perak dan dibelinya dengan harganya tetap iaitu sebahara $30.00 dan cukai sebanyak $2.00 dibayar kepada Sultan Perak. Justeru itu dengan adanya pembelian bijih timah oleh orang-orang Belanda, maka negeri Perak pun makmur dan maju dan wang pula banyak bertukar tangan.

· Wujudnya aktiviti-aktiviti perdagangan dan ekonomi di negeri Perak pada masa itu dapat membuktikan kepada kita bahawa negeri-negeri Melayu tidak lah semiskin sepertimana yang dicatatkan dalam rekod-rekod Barat sebelum ini. ( Rujuk pandangan Anthony Reid dalam Southeast Asia During The Age Of Commerce ) yang mengatakan bahawa orang Melayu di Nusantara tidak maju & tidak bertamadun tinggi ). Begitu juga dengan pandangan sesetengah sarjana Barat yang mengatakan bahawa kebanyakan kerya-karya Melayu termasuklah Sejarah Melayu tidak memfokuskan kepada perkembangan ekonomi masyarakat Melayu.


· Dari segi sejarahnya, perdagangan dan beberapa kegiatan ekonomi yang lain merupakan aktiviti terpenting yang berlaku di negeri Perak pada abad ke 19. Dalam Misa Melayu digambarkan bahawa perdagangan merupakan aktiviti terpenting sejajar dengan rekod-rekod kolonial British tentang perkembangan Perak pada zaman tersebut.

· Aspek perdagangan yang paling penting diusahakan di negeri Perak pada abad ke 19 sepertimana yang digambarkan dalam Misa Melayu ialah perdagangan bijih timah dan juga gajah. Kita semua sedia maklum bahawa bijih timah yang dilombong atau diusahakan di negeri Perak pada abad ke 19 bukan sahaja untuk kepentingan negeri tersebut malah kebanyakkannya dieksport ke negara-negara Barat berikutan dengan berlakunya Revolusi Industri.

· Dalam Misa Melayu ada diceritakan bahawa dalam kedua-dua jenis perdagangan tersebut, turut melibatkan golongan raja dan pembesar negeri. Selain itu rakyat jelata turut juga berniaga di samping para pedagang yang berbangsa asing seperti saudagar Cina, Sumatera dan juga India serta saudagar Belanda. Kebanyakan golongan saudagar dan peniaga ini tinggal di sepanjang sungai Perak.

· Sementara para saudagar Belanda pula kebanyakanya tinggal di satu penempatan yang dinamakan sebagai Pangkalan Halban dan membina gedung-gedung perniagaan di kawasan tersebut.

· Manakala orang-orang India pula berniaga gajah, misalnya Pakir Suib. Dalam Misa Melayu diceritakan bahawa apabila beliau datang ke Perak, beliau telah membeli gajah daripada sultan.

· Kestabilan politik dan ekonomi negeri Perak yang sentiasa di jamin oleh pihak penjajah memberikan peluang kepada golongan saudagar dan peniaga untuk menjalankan perniagaan mereka di negeri tersebut. Dari segi sejarahnya, Perak telah mewarisi kestabilan dan peranan yang dahulunya pernah dilakukan oleh kerajaan Melaka. Malah dengan perkembangan agama Islam di negeri itu juga membolehkan para pedagang dari pelbagai kawasan singgah berniaga kerana tiada sebarang merbahaya dari segi adat istiadat dan agama.

· Dalam Misa Melayu juga ada diceritakan bahawa terdapat satu kawasan perniagaan yang dinamakan sebagai Bandar Makmur dekat Pulau Indera Sakti yang menjadi tumpuan golongan peniaga kerana terdapat banyak gerai-gerai atau kedai-kedai di tempat tersebut. Ini dapat diketahui berdasarkan kepada petikan dalam Misa Melayu iaitu :


" Maka oleh baginda akan Pulau Cempaka Sari itu diubah namanya digelar Pulau Indera Sakti dan bandarnya dinamai baginda Bandar Makmur. Maka lalu diperbuat orang pantun demikian bunyinya :

Zaman Sultan Raja Iskandar,
Membuat negeri di Pulau Cempaka,
Eloknya pekan dengan bandar,
Tempat dagang datang berniaga.
( Misa Melayu, 1992, hlm. 38 )


· Selain itu hubungan perdagangan yang berjalan dengan baik antara negeri Perak dengan Belanda juga turut mempengaruhi perkembangan ekonomi dan sosial di negeri tersebut. Dalam Misa Melayu ada dicatatkan bahawa pegawai-pegawai Kompeni Belanda datang ke negeri Perak membeli bijih timah dan membangunkan loji di Pangkalan Halban Tanjung Putus.

· Kedatangan Belanda buat pertama kalinya berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah III. Dalam Misa Melayu juga ada diceritakan bahawa bijih timah yang dibeli oleh orang-orang Belanda berharga 30 Rial bagi tiap-tiap satu bahara dan cukai yang dibayar kepada sultan Perak adalah sebanyak 2 Riyal. Ini berdasarkan kepada kenyataan dalam Misa Melayu iaitu :


" Maka tersebutlah perkataan orang Holanda duduk di Tanjung Putus itu. Adapun Holanda itu disuruhkan oleh rajanya dari negeri Betawi lalu ke Melaka, dari Melaka langsung ia masuk ke negeri Perak. Maka ia memohonkan tempat kepada Raja Perak hendak duduk di Pangkalan Halban dan ia hendak membeli timah dengan rial Holanda, sebahara timah dibayarnya tiga puluh rial; maka cukainya pula 2 rial. Oleh Sultan Muzaffar Syah segala hendak Holanda itu semuanya dikenankan baginda. Maka duduklah Holanda itu di Pangkalan Halban. Maka dibuatnya gedung serta kotanya berkeliling gedungnya. Setelah itu, maka tiada orang boleh membawa timah belayar lagi, sekeliannya diberikan kepada Holanda itu, melainkan rial yang dibawa belayar ke sana ke mari." ( Misa Melayu, 1992, hlm. 7 )

· Manakala kali kedua orang-orang Belanda datang ke Perak ialah pada masa Sultan Iskandar Zulkarnain yang pada masa itu membangunkan kota di Pulau Chempaka Sari. Menurut Misa Melayu, kedatangan orang Belanda pada masa itu ialah berhubung dengan surat fitnah yang dibuat oleh Pir Muhammad, iaitu seorang India yang menjadi jurutulis bagi orang-orang Belanda di Tanjung Putus. Selain itu ia juga turut melibatkan urusan jual beli timah antara pihak Belanda dengan Sultan Perak. Ini seperti kenyataan dalam Misa Melayu iaitu :

" Setelah sudah, maka Commissary pun membuat surat akan menambahi teguh setia dengan Raja Perak, lalu dipersembahkan ke bawah duli Sultan Iskandar. Setelah itu baginda menyuruh buat surat ikrar diberikan kepada orang Holanda itu. Maka berteguh-teguhan janji orang Holanda itu dengan Raja Muda dan segala orang besar-besar sehingga jual beli timah jua." ( Misa Melayu, 1992, hlm. 33 )


· Selain dari mencatatkan tentang aspek perdagangan dan kegiatan ekonomi, Misa Melayu juga turut mencatatkan beberapa nama tempat yang penting di Perak khususnya yang menjadi tumpuan serta lalu lalang bagi golongan peniaga. Antaranya ialah Pulau Tiga, Sungai Kinta, Sayong, Kuala Kangsar, Kuala Bidor, Bukit Gantang dan Pulau Pangkor. Sehubungan ini Pulau Indera Sakti terletak berhampiran dengan bandar, di tepi sungai Perak, manakala Brahman Indera ialah Bota Kanan sekarang ini. Tanjung Putus pula terletak berhampiran dengan bandar Teluk Intan ( dahulunya Telok Anson ). Nama-nama tempat tersebut masih kekal sehingga ke hari ini.

· Justeru itu dalam Misa Melayu memperlihatkan kepada kita tentang perkembangan sosioekonomi negeri Perak sewaktu zaman Sultan Muzaffar Syah sehingga kepada kemasukan British secara rasmi yang memulakan era kolonialisme di negeri Perak. Perkembangan tersebut secara tidak langsung turut mempengaruhi kedudukan ekonomi dan sosial negeri Perak sepertimana yang digambarkan dalam teks Misa Melayu.

2) Hikayat Pattani : Perkembangan Sosioekonomi Negeri-negeri Melayu Utara Khususnya Pattani

· Hikayat Patani seperti juga karya-karya Melayu tradisional yang lain merupakan salah sebuah karya sastera sejarah yang penting untuk dikaji dalam pelbagai aspek termasuklah aspek sosioekonomi.

· Jika dibandingkan dengan kewujudan teks Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa, Tuhfat Al-Nafis dsbgnya, ternyata kedudukan Hikayat Patani sebagai sebuah karya sastera sejarah hanya dapat dipastikan sekitar lewat tahun 1950an memandangkan pada masa tersebut hanya seorang sarjana sahaja yang berminat untuk mengkaji hikayat ini iaitu Prof. A. Teeuw.

· Kemunculan hikayat Pattani ini adalah berikutan dengan timbulnya kerajaan lama Melayu Pattani iaitu sebuah daerah kecil yang terletak di selatan Siam, di bahagian timur laut utara Semenanjung Tanah Melayu serta bersempadankan negeri Kelantan di bahagian selatannya.


· Menurut T.J Newbold, di negara Eropah, kemunculan naskhah Hikayat Pattani telah diketahui seawal-awalnya pada tahun 1838 oleh seorang tokoh penyelidik orientalis British. Naskhah tersebut meliputi sepuluh judul tetapi Newbold yakin bahawa itulah naskhah Hikayat Pattani yang terawal berdasarkan kepada ayatnya iaitu " …inilah suatu sejarah daerah Melayu Pattani, diterjemahkan sekarang menjadi provinsi Siam…"


· Pada bulan Ogos 1966, Hikayat Pattani muncul sebagai sebuah naskhah Melayu klasik yang benar-benar wujud, iaitu disahkan oleh kebanyakan sarjana terkemuka. Naskhah tersebut ada yang diterjemahkan ke dalam bahasa Thai terutamanya sewaktu Siam diperintah oleh King Rama Ke 7.

· Justeru itu kemunculan Hikayat Pattani adalah kesan daripada kemunculan kerajaan Pattani itu sendiri yang menjadi sebahagian daripada wilayah kerajaan Siam. Seperti juga kerajaan Melaka , Johor dan Acheh, kerajaan Islam Pattani juga pernah muncul sebagai sebuah kerajaan Melayu Islam yang kuat, lengkap dengan pelabuhan dagang yang besar dan sibuk terutama sekitar abad ke 16 sehingga abad ke 18. Malah penceritaan dalam Hikayat Pattani ini juga meliputi ketiga-tiga abad tersebut.

· Namun begitu sayang sekali Hikayat Pattani tidak menerangkan secara jelas atau lebih lanjut tentang perkembangan serta hubungan Negeri-negeri Melayu Utara Semenanjung Tanah Melayu dengan Negara Thai di kurun-kurun tersebut. Sedangkan hubungan serta perkembangan di Negeri-negeri Melayu Utara merupakan aspek utama yang sebenarnya ingin diceritakan oleh pengarang hikayat ini. Pun demikian pengarang Hikayat Pattani ini telah cuba menggambarkan kepada kita bagaimana Pattani yang bebas pernah menjadi alat bagi mempertahankan kedaulatan kerajaan Siam di utara dan hubungan politik kerajaan tersebut dengan Burma, Tanah Melayu dan Kemboja pada abad-abad yang dibincangkan. Secara tidak langsung akibat dari percaturan politik sedemikian, kerajaan Islam Pattani lenyap begitu sahaja, sehinggakan perkembangan daerah Pattani dikaitkan dengan perkembangan kerajaan Siam secara keseluruhannya.

· Walaupun bagi kebanyakan para sarjana Barat mereka menganggap Hikayat Pattani ini merupakan salah satu karya sastera sejarah , tetapi bagi generasi kini hikayat ini dianggap sebagai salah satu sumber sejarah yang penting bagi mengambarkan keadaan politik, ekonomi dan sosial di daerah Pattani khususnya.

· Perkembangan sosioekonomi Pattani dalam hikayat ini dapat kita lihat terutamanya di antara kurun ke 16 hingga kurun ke 17, di mana pada masa itu pengarang ada menyebutkan bahawa palabuhan Pattani seperti juga pelabuhan Melaka merupakan sebuah pusat perdagangan penting yang menjadi laluan ke Segenting Kra. Malah situasi penduduk Pattani pada kurun tersebut juga menggambarkan kepada kita bahawa majoriti penduduk Melayu Islam Pattani adalah dari kalangan pedagang dan petani yang menyumbangkan kepada perkembangan ekonomi daerah berkenaan.

· Perkembangan sosioekonomi Pattani kemudiannya menjadi perhatian apabila berlakunya pengIslaman ke atas daerah berkenaan dimana pengIslaman tersebut turut mempengaruhi kedudukan Pattani sebagai sebuah kerajaan Islam di wilayah utara yang turut menjadi tarikan pedagang untuk singgah berniaga.

· Walaupun dalam Hikayat Pattani ini menceritakan pelbagai perkara tetapi sayangnya pengarang hikayat ini tidak meletakkan sebarang tarikh dan juga nama-nama tempat di mana peristiwa tersebut berlaku. Malah sistem kronologi dalam Hikayat Pattani ini juga agak bercelaru dan tidak ada fokus yang tertentu.

· Perkembangan sosioekonomi Pattani hanya dapat digambarkan dengan kewujudan sebuah pelabuhan yang sibuk sekitar abad ke 16-17 serta dengan berlakunya pengIslaman di daerah tersebut. Sedangkan hubungan Pattani dengan negara-negara luar sepertimana yang pernah tercatat dalam sejarah tidak diceritakan dengan jelas oleh pengarang hikayat ini.

KESIMPULAN
· Sememangnya adalah sukar untuk kita mendapatkan suatu teks yang 100 % memfokuskan kepada perkembangan sosioekonomi sesebuah masyarakat atau negeri. Walaubagaimanapun, persoalan atau tema tersebut dapat digarap dengan wujudnya beberapa peristiwa tertentu seperti pembukaan negeri, pelabuhan dan pengIslaman negeri-negeri berkenaan di maan secara tidak langsung ianya mempengaruhi kepada perkembangan sosioekonomi di tempat tersebut.

· Dalam kebanyakan hikayat Melayu tradisional, aspek sosioekonomi ini dicampuradukkan dengan soal kemasyarakatan di negeri tersebut.

· Ternyata teks Misa Melayu walaupun tidak secara terfokus telah menggambarkan kepada kita tentabg perkembangan sebenar yang berlaku di negeri Perak terutamanya dari aspek sosioekonomi di kurun ke 18 dan 19. Ini kerana aspek tersebut bagi pengarang Misa Melayu mungkin dianggap sebagai satu aspek penting untuk disampaikan kepada pembaca. Sedangkan dalam Hikayat Pattani pula, perkembangan sosioekonomi Pattani tidak diterangkan secara jelas walaupun dari segi sejarahnya ia wujud. Hanya dengan adanya maklumat tentang pembukaan pelabuhan dan pengIslaman daerah berkenaan pembaca akan dapat mengetahui bahawa perkembanagan sosioekonomi telah berlaku di daerah berkenaan.

RUJUKAN
1) Ali Ahmad, 1987, Karya-karya Sastera Bercorak Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
2) Ahmad Fauzi Mohd. Basri ( penyl ), 1992, Misa Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka
3) Muhammad Yusof Hashim, 1992, Pensejarahan Melayu : Kajian Tentang Tradisi Sejarah Melayu Nusantara, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
4) Teeuw, A. & Wyatt, D.K., ( pnyl ), Hikayat Pattani : The Story Of Pattani, The Hague.
5) Zahrah Ibrahim ( ed ) , 1986, Sastera Sejarah : Interpretasi Dan Penilaian, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.


$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$