PENSEJARAHAN TOKOH ULAMA DAN PAHLAWAN ISLAM
KAJIAN TEKS HIKAYAT AMIR HAMZAH , HIKAYAT MUHAMMAD HANAFIYAH & HIKAYAT HABIB HUSAIN AL-QADRI

PENGENALAN
· Selain dari kisah-kisah tentang para Nabi dan rasul sepertimana yang telah dibincangkan dalam kuliah yang lepas, kisah tentang para ulama dan pahlawan Islam juga turut menjadi fokus penceritaan dalam karya Melayu - Islam ini.

· Kisah-kisah tentang para ulama dan pahlawan Islam ini menjadi tarikan masyarakat Melayu tradisional khususnya selepas kedatangan Islam ke Nusantara. Namun demikian memandangkan sebelum kedatangan Islam ke rantau ini , pengaruh Hindu Buddha yang tiba terlebih dahulu, maka tidak dapat dinafikan dalam kebanyakan kisah tentang pahlawan Islam khususnya, unsur-unsur tersebut masih lagi diguna pakai oleh pengarang.


· Kisah tentang tokoh ulama dan pahlawan Islam ini popular selepas kemasukan Islam ke Nusantara dan seringkali dibaca dalam majlis-majlis keramaian dan juga dibacakan di khalayak ramai.

· Antara karya-karya Melayu Islam yang memfokuskan tentang ulama dan pahlawan Islam ialah seperti Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah dan juga Hikayat Habib Husain Al-Qadri.

*** Rujuk F. Rosenthal, bagi penjelasan tentang peranan hikayat & puisi di kalangan masyarakat Arab Pra Islam.


1) Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah
· Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah diterjemahkan daripada naskhah Inggeris iaitu The Hikayat Muhammad Hanafiyyah, karangan L.F. Brakel dan diterbitkan di Leiden dalam tahun 1975.

· Hikayat ini merupakan salah satu teks sastera Melayu-Islam yang sangat penting nilainya dari segi kebudayaan dan sosiopolitik serta sumber inspirasi bagi golongan tertentu. Ini dapat dibuktikan dalam Sejarah Melayu iaitu dalam kurun ke 16, hikayat ini pernah dibacakan oleh golongan pembesar dan pahlawan Melaka terutamanya dalam menghadapi serangan Portugis. Merujuk kepada kenyataan dalam Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Seri Lanang, beliau menyatakan bahawa :


" …baiklah Tun Indera segala pergi pohonkan Hikayat Muhammad Hanafiyah, sembahkan mudah-mudahan dapat patik-patik itu mengambil faedah daripadanya, kerana Peringgi akan melanggar esok hari."


· Ini jelas menunjukkan bahawa Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah ini dijadikan sebagai sumber inspirasi bagi pahlawan Melaka untuk menentang serangan Portugis.

· Selain dari mengemukakan peranan Muhammad Ali Hanafiyah itu sendiri, hikayat ini juga boleh dianggap sebagai ' hikayat perang ' kerana hampir keseluruhan isi cerita dalam hikayat ini memfokuskan kepada kisah peperangan. Keberanian Muhammad Hanafiyah dan para hulubalangnya dalam hikayat ini telah diambil iktibar untuk membangkitkan semangat keberanian dan kepahlawanan bagi pahlawan-pahlawan yang berjuang.

· Cerita tentang Muhammad Ali Hanafiyah adalah didasari kepada seorang tokoh dalam Sejarah Islam iaitu Muhammad bin Al-Hanafiyah, iaitu seorang putera Ali ibn Abu Talib. Legenda yang berkembang tentang Muhammad Ali Hanafiyah dipelopori kemudiannya oleh golongan Syiah daripada aliran Kaisaniah. Golongan ini dipimpin oleh Al-Mukhtar dengan dibantu oleh penglima perangnya iaitu Ibrahim Al-Asytur yang kemudiannya mengistiharkan Muhammad Ali Hanafiyah sebagai Imam Mahdi, lalu melancarkan pemberontakan menentang kerajaan Umaiyyah. Walaubagaimanapun, Muhammad Ali Hanafiyah tidak merestui perjuangan Al-Mukhtar dan berpegang kepada konsep berkecuali.

· Cerita yang bercorak legenda tentang Muhammad Ali Hanafiyah ini telah berkembang menjadi suatu roman sejarah. Menurut pandangan L.F. Brakel, cerita Muhammad Ali Hanafiyah telah ditulis di Parsi yang didasarkan kepada sebuah cerita dalam bahasa Arab yang mengisahkan perjuangan Al-Mukhtar untuk menuntut bela di atas pembunuhan Hussain Bin Ali.


· Manakala roman sejarah tentang Muhammad Hanafiyah ini telah dicipta oleh seorang pengarang Parsi yang tidak diketahui namanya. Justeru itu kisah Muhammad Ali Hanafiyah telah dialih bahasakan ke dalam bahasa Melayu dari sumber Parsi tersebut kerana bahagian-bahagian yang terdapat dalam hikayat Melayu menyerupai dengan cerita yang terdapat dalam bahasa Parsi.

· Menurut pandangan Ismail Hamid ( 1983 ), hikayat Muhammad Ali Hanafiyah ini pada dasarnya membawa unsur propaganda bagi golongan Syiah yang menentang keluarga Bani Umaiyyah. Walaupun keluarga Bani Umaiyyah terdiri daripada orang-orang Islam, namun hikayat ini menggambarkan mereka sebagai golongan yang munafik dan menderhaka kepada Allah.

· Walaubagaimanapun, menurut Ismail Hamid lagi, gambaran tersebut merupakan rekaan dan impian seorang pengarang Syiah yang bertujuan untuk mengagung-agungkan perjuangan mereka bagi mengangkat keturunan Ali sebagai pemerintah kerajaan Islam.


2) Hikayat Amir Hamzah
· Selain dari Hkayat Muhammad Ali Hanafiyah, Hikayat Amir Hamzah juga turut memfokuskan kepada tokoh pahlawan Islam iaitu Amir Hamzah dalam perjuangannya menegakkan agama Islam.

· Hikayat Amir Hamzah ini memperlihatkan bagaimana watak utamanya menggunakan media peperangan atau jalan peperangan sebagai satu cara untuk menyebarkan agama Islam dengan tujuan untuk membangkitkan semangat KeIslaman di kalangan umat Islam dan masyarakat yang baru menganut agama ini khususnya.

· Ini jelas sekali kerana hikayat ini juga turut menjadi tarikan bagi masyarakat Melayu zaman tradisi yang baru menerima agama Islam pada ketika itu.

· Hikayat Amir Hamzah menggambarkan watak utama iaitu Hamzah bin Abu Talib , iaitu bapa saudara kepada Nabi Muhammad ( s.a.w ). Walaupun sifat Amir Hamzah dalam hikayat ini berlainan sekali dengan Hamzah bin Abu Talib kerana Hamzah , bapa saudara kepada Nabi pada mulanya tergolong dalam golongan orang yang menentang agama Islam, kecuali setelah beliau sedar akan kebenaran ajaran Nabi, barulah ia menganut agama Islam.

· Sedangkan dalam Hikayat Amir Hamzah, perwatakan Amir Hamzah telah digambarkan sebagai penganut agama Nabi Ibrahim ( a.s ) sebelum beliau menyertai Nabi Muhammad ( s.a.w ) sebagai pengikut agama Islam.
· Justeru itu cerita tentang perjuangan Amir Hamzah ini telah berlaku banyak tokok tambah dengan pelbagai kisah peperangan dan pengembaraan yang berunsurkan khalayan dan fantasi.

· Namun demikian terdapat sebuah cerita yang dikatakan telah digubah tentang Hamzah berjudul Qissah Maghazi Hamzah ( Cerita Peperangan Hamzah ), juga dikatakan bahawa cerita Amir Hamzah ini telah dicampuradukkan dengan cerita seorang pahlawan Parsi yang berjuang menentang kerajaan Abbasiyah iaitu Hamzah bin Abdullah, seorang pejuang yang gagah. Ketokohan Hamzah bin Abdullah ini dicampuradukkan dengan cerita tentang bapa saudara Nabi Muhammad ( s.a.w ) iaitu Hamzah ibn Abu Mutalib. Oleh yang demikian lahirlah sebuah kisah yang berunsur keIslaman tetapi ditambah dengan kisah-kisah atau unsur fantasi dan khayalan tentang pengembaraan.

· Menurut pandangan Ismail Hamid ( 1983 ), cerita Amir Hamzah ini tertulis dalam bahasa Parsi kira-kira abad ke 11 Masihi. Ada sesetengah pengkaji berpendapat kisah ini ditulis pada abad ke 13 Masihi dalam bahasa Arab. Namun begitu menurut pandangan Van Ronkel, hikayat ini telah ditulis pada mulanya dalam bahasa Parsi dan kemudiannya di salin ke dalam bahasa Arab.

· Pengaruh Hikayat Amir Hamzah di Nusantara dikatakan sangat popular seperti juga Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah. Malah sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka, selain dari Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah, hikayat ini juga turut digunakan serta dibaca oleh para hulubalang Melaka dalam usaha mereka untuk menghadapi serangan Portugis.


3) Hikayat Al-Habib Husain Al-Qadri
· Pengaruh Arab turut memainkan peranan penting dalam penyebaran agama Islam di Nusantara, khususnya di wilayah-wilayah Borneo. Sehubungan ini daerah Pontianak yang terletak di wilayah Kalimantan Barat turut meninggalkan kesan sejarah kedatangan dan penyebaran Islam yang gemilang.

· Dalam sejarah kedatangan Islam ke Nusantara juga mencatatkan bahawa daerah Pontianak pernah melahirkan tokoh-tokoh ulama yang terkenal di rantau ini. Justeru itu sejarah kedatangan Islam dan penyebaran agama Islam di Pontianak telah dikisahkan secara terperinci dalam sebuah karya yang berjudul Hikayat Al-Habib Husain Al-Qadri.

· Hikayat Al-Habib Husain Al-Qadri merupakan sebuah manuskrip sejarah tanpa nama pengarang yang telah disalin oleh Alwi bin Ahmad bin Ismail Al-Qadri pada tahun 1935.

· Hikayat Al-Habib Husain Al-Qadri memfokuskan kedatangan dan perkembangan Islam di Kalimantan Barat, khususnya di daerah Pontianak. Hikayat ini mengisahkan tentang seorang tokoh ulama dari Tanah Arab berketurunan Sayid iaitu Habib Husain bin Habib Ahmad Al-Qadri yang dipercayai bermazhab Syafie dan mempunyai keramat dan sakti seperti yang dimiliki oleh kebanyakan ulama tasawuf di rantau ini.

· Dalam hikayat ini diceritakan bahawa Habib Husain Al-Qadri pernah bergiat dalam politik dan ketenteraan sehingga berjaya menakluki beberapa wilayah di Pontianak seperti Matan dan Mempawah. Justeru itu peranan Habib Husain Al-Qadri ini bukan sahaja selaku ulama yang mengembangkan agama Islam malah turut berperanan sebagai ahli politik dan tentera. Ini tidak jauh bezanya dengan peranan yang digambarkan dalam Hikayat Amir Hamzah dan juga Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah.
· Usaha-usaha serta perjuangan Habib Husain Al-Qadri dalam menegakkan agama Islam di Pontianak kemudiannya diteruskan pula oleh anaknya iaitu Sayid Abdul Rahman yang kemudiannya dilantik menjadi Sultan pertama bagi kerajaan Islam Pontianak pada abad ke 18.

· Berbanding dengan naskhah Hikayat Amir Hamzah dan juga naskhah Hikayat Muhammad Ali Hanafiyyah yang mempunyai jumlah yang banyak, ternyata menurut kajian Mahayudin Haji Yahaya ( 1994 ), hanya terdapat sebuah naskhah sahaja bagi Hikayat Al-Habib Husain Al-Qadri ini yang ditemui dan disimpan dalam bentuk manuskrip jawi di Perpustakaan Muzium Negeri, Pontianak. Justeru itu Hikayat Habib Husain Al-Qadri ini dianggap unik dan sangat penting dalam sejarah Islam Borneo kerana ia merupakan satu-satunya hikayat yang mengisahkan tentang kemasukan dan penyebaran agama Islam di daerah tersebut. Di samping itu hikayat habib Husain Al-Qadri ini juga turut menbicarakan tentang beberapa aspek keagamaan seperti hukum Fikah, amalan tasawuf serta kegiatan politik dan ketenteraan penduduk tempatan.

· Keseluruhan kandungan hikayat ini jelas menerangkan kepada kita peranan yang dimainkan oleh tokoh-tokoh ulama dari keturunan Sayid dalam proses perkembangan Islam di daerah Pontianak pada abad ke 17 masihi. Hikayat ini juga turut menyentuh mengenai kemunculan kerajaan Islam di Pontianak yang bermula di Sungai Kapuas serta penduduk asal yang terdiri dari keturunan Melayu. Di samping itu turut dikisahkan juga tentang sebuah tempat yang bernama Mempawah yang terletak kira-kira 70 km dari bandar Pontianak yang dipercayai dikuasai oleh kaum Rab keturunan Sayid. Golongan tersebut juga memainkan peranan penting dalam mendirikan sebuah kerajaan Islam di Pontianak.

· Memandangkan hasil karya mengenai pengIslaman daerah Pontianak sangat terhad, maka sehingga kini Hikayat Habib Husain Al-Qadri ini masih digunapakai dan dijadikan sebagai sumber primer bagi rujukan sejarah penyebaran Islam di Pontianak.

Penilaian Terhadap Tokoh Serta Unsur-unsur Penting Dalam Hikayat-hikayat Tersebut

· Ketiga-tiga hikayat yang telah dibincangkan tadi iaitu Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah, Hikayat Amir Hamzah & Hikayat Habib Husain Al-Qadri jelas memperlihatkan tema atau persoalan utama yang berunsur Islam. Ia bukan sahaja dilihat melalui tindakan-tindakan watak tetapi lebih dari itu ia memperlihatkan sifat-sifat watak berkenaan dalam menghadapi sahabat dan juga musuh.

· Kita tidak dapat nafikan bahawa persoalan menyebar serta menegakkan agama Islam merupakan persoalan utama yang ingin disampaikan oleh pengarang bagi ketiga-tiga hikayat ini. Contohnya peranan Amir Hamzah dan Muhammad Ali Hanafiyah digambarkan sebagai seorang tokoh pahlawan Islam yang gagah serta berani dalam perjuangan dan kegiatan mereka berbakti kepada Allah menerusi jalan peperangan. Begitu juga dengan Habib Husain Al-Qadri yang cuba menyebarkan dan menegakkan agama Islam di Pontianak dengan cara komunikasi yang berkesan dengan golongan pemerintah dan masyarakat tempatan. Walaupun terpaksa mencampuri urusan pentadbiran negeri dan politik pemerintah di daerah berkenaan, akhirnya Habib Husain Al-Qadri telah berjaya mempengaruhi golongan pemerintah daerah Pontianak untuk menerima agama Islam tanpa melalui siri-siri peperangan yang besar sepertimana yang dilalui oleh Amir Hamzah dan Muhammad Ali Hanafiyah.

· Dalam Hikayat Amir Hamzah, watak Amir Hamzah digambarkan terbabit sama dalam setiap peperangan yang berlangsung selama 18 tahun semata-mata untuk menolong menegakkan agama Islam. Perkara ini dijelaskan menerusi peperangan dengan Negeri Yaman yang akhirnya negara berkenaan berjaya ditewaskan dan di Islamkan. Peperangan yang paling besar berlaku ialah di antara Amir Hamzah dengan Raja Syamsu Alam. Raja tersebut dikatakan mempunyai 12,700 bala tentera sedangkan angkatan tentera yang dipimpin oleh Amir Hamzah cuma sekitar 12 ribu sahaja. Peperangan tersebut telah mencetuskan pertembungan di antara kedua-dua panglima perang iaitu Amir Hamzah dengan Raja Syamsu Alam. Persaingan untuk menentukan siapa pemenangnya berlangsung dalam jangka masa yang agak panjang, iaitu selama 40 hari 40 malam.

· Pada peringkat akhir, kemenangan telah berpihak kepada Amir Hamzah yang turut berjaya mengIslamkan lebih kurang 500 orang askar Raja Syamsu Alam. Sesungguhnya pada bahagian akhir Hikayat Amir Hamzah ada disebutkan tentang tugas dan peranan yang telah dilaksanakan oleh Amir Hamzah iaitu :

" Amir Hamzah mengucapkan terima kasih atas budi baiknya. Setelah mereka beristirihat beberapa hari lamanya, mereka pun berangkat balik ke Mekah dan menetap di sana hingga sampai ajal mereka, sa-sudah mereka mengambangkan Islam di seluroh pelusok bumi ini dan mengeluarkan pendudoknya daripada gelap kapada terang yang gilang gemilang." ( Hikayat Amir Hamzah, halaman 375 )

· Berdasarkan kepada petikan tersebut dapat menjelaskan kepada kita bahawa Amir Hamzah telah banyak membuat sumbangan dalam menyedarkan penduduk negerinya supaya kembali kepada ajaran yang benar iaitu agama Islam.

· Di samping memperlihatkan tentang tema keIslaman dari segi pengembangan agama Islam ke negri-negeri terbabit, ketiga-tiga hikayat yang dibincangkan ini juga turut memperlihatkan kepada kita unsur keadilan yang dipegang oleh ketiga-tiga watak utama dalam hikayat berkenaan.

· Ini kerana unsur keadilan ini merupakan salah satu sifat yang paling mulia yang sangat ditekankan dalam ajaran Islam. Contohnya Amir Hamzah dalam Hikayat Amir Hamzah telah mempamerkan nilai keadilan yang sangat dituntut oleh agama Islam. Hal ini lebih jelas dengan pembelaan terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Raja Nu'man sepertimana petikan berikut :

" Dengan tidak membuang tempoh barang sekelip mata, mereka pun menyerbu, meletakkan mata pedang mereka ke atas tengkok tentera-tentera Raja Nu'man sehingga mereka berpcah belah lari bertempiaran menyelamatkan nyawa masing-masing sementara Raja Nu'man ditawan oleh Amir Hamzah sendiri." ( Hikayat Amir Hamzah, hlm. 25 )

· Keadilan yang diperjuangkan oleh Amir Hamzah untuk menjaga keharmonian dan ketenteraman telah meletakkan asas yang kukuh pada agama Islam. Bagaimanapun, kejadian perang terhadap Raja Nu'man telah meragut satu nyawa yang berharga dari keteguhan Amir Hamzah dalam menunaikan janji.

· Selain dalam Hikayat Amir Hamzah, unsur keadilan ini juga jelas diperlihatkan oleh watak Habib Husain Al-Qadri menerusi Hikayat Habib Husain Al-Qadri. Sehubungan ini watak Habib Husain Al-Qadri digambarkan berlaku adil dalam menangani masalah pentadbiran dan politik daerah Pontianak. Begitu juga dalam menyelesaikan perselisihan faham di kalangan masyarakat tempatan. Dalam hal ini Habib Husain Al-Qadri telah menggunakan cara yang paling berhikmah untuk menegur kesilapan yang dilakukan oleh golongan pemerintah khususnya tanpa menunjukkan unsur bias dan prejudis kepada mana-mana pihak. Oleh kerana sifatnya yang adil dan senang didampingi , maka dakwah Islam yang disampaikan oleh Habib Husain Al-Qadri senang diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat dan golongan di Pontianak.

· Selain dari menunjukkan sifat adil, ketiga-tiga tokoh yang dibincangkan ini juga digambarkan sebagai seorang yang sentiasa mengotakan atau menunaikan janji. Unsur ini juga dianggap sangat mulia dalam Islam dan melambangkan ciri-ciri sebagai seorang Mukmin.

· Contohnya, watak Amir Hamzah diperlihatkan sangat patuh pada janji yang telah dibuatnya. Melalui rentetan cerita dalam hikayat ini dapat digambarkan bahawa sebelum Amir Hamzah dan angkatan perangnya sampai ke negara Raja Nu'man, mereka telah bertemu dengan Makhluf. Menerusi watak inilah, Hikayat Amir Hamzah cuba menunjukkan bagaimana terjadinya peristiwa pendustaan yang dilakukan oleh Puteri Raja Nu'man iaitu Qanashah yang telah diselamatkannya daripada tawanan Amir Ghisham.

· Tetapi pendustaan yang dilakukan oleh puteri terbabit tidak mematahkan semangat keinginan Makhluf untuk memperisterikan Qanashah. Oleh kerana Amir Hamzah berhasrat untuk menolong Makhluf mencapai keinginannya serta berusaha untuk menguatkan tenteranya, Amir Hamzah telah berjanji kepada Makhluf seperti mana petikan berikut :

" …marilah bersama-sama masok dalam pasokanku, dan engkau jadi salah seorang daripada pahlawan-ku. Sungguhnya aku berjanji, aku akan kahwinkan engkau dengan Qanashah puteri Raja Nu'man itu." ( Hikayat Amir Hamzah, hlm. 16 )

· Keteguhan Amir Hamzah dalam memegang janji teruji kerana Qanashah bukanlah seorang wanita yang dapat dikuasai dengan mudah. Justeru itu, menunaikan janji samalah dengan menanggung risiko yang tinggi bagi Amir Hamzah dan Makhluf. Namun semua itu ditempuh dengan berani oleh Amir Hamzah atas dasar janjinya kepada Makhluf.

Penilaian Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah & Hikayat Habib Husain Al-Qadri Dari Segi Pensejarahan Islam

· Sebelum kita menilai secara kritis tentang kedudukan ketiga-tiga hikayat yang telah dibincangkan ini iaitu Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah dan juga Hikayat Habib Husain Al-Qadri, maka perlu kita rujuk kembali makna dan motif pensejarahan Islam itu sendiri. Ini telahpun dibincangkan pada awal kuliah bagi kursus ini.

· Pensejarahan Islam atau boleh juga disebut sebagai Pensejarahan Melayu-Islam merupakan hasil karya yang dihasilkan oleh orang Islam yang memfokuskan kepada riwayat hidup individu, kelompok atau negara di dunia dan ia boleh berubah mengikut kehendak masa atau selera pensejarahan itu sendiri. Ini tidak terkecuali bagi ketiga-tiga hikayat yang telah kita bincangkan tadi.

· Menurut Mahayudin Haji Yahaya ( 1986 ), yang membezakan antara karya pensejarahan Melayu dengan pensejarahan Islam di mana samada ia menepati atau tidak perhitungan ahli sejarah, bagi pensejarahan Islam ia tetap menjadi perhitungan Allah di hari akhirat kelak.

· Perubahan tema dan skop pensejarahan Melayu-Islam ini paling ketara jika kita bandingkan antara ketiga-tiga hikayat yang telah dibincangkan tadi. Sehubungan ini Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah merupakan karya-karya yang mewakili pengaruh Parsi dan Arab terutamanya dalam abad ke 10. Justeru itu ia masih lagi kuat dengan pengaruh Hinddu-Buddha terutamanya dalam konteks perkembangan di Alam Melayu pada waktu itu.

· Sehubungan ini juga menurut pandangan Mahayudin Haji Yahaya ( 1983 ), tidak semua sarjana dapat menerima karya-karya tersebut sebagai sumber sejarah yang muktabar memandangkan banyak fakta dalam hikayat berkenaan yang masih kuat memasukkan unsur kepercayaan Hindu serta kesaktian yang masih menebal sehinggakan menenggelamkan fakta sejarah yang sebenarnya.

· Apabila Islam mula berkembang di Nusantara sekitar abad ke 14-16, tema penulisan karya Melayu-Islam mula berubah mengikut pengaruh dan perkembangan yang berlaku pada masa itu. Ini paling ketara jika kita teliti Hikayat Habib Husain Al-Qadri yang mana hikayat ini mewakili zaman tersebut khususnya bagi pengIslaman daerah Pontianak. Hikayat ini masih diterima sebagai salah satu sumber sejarah yang penting iaitu tentang tarikh Islam tiba di Pontianak dan tokoh yang memainkan peranan dalam proses pengIslaman tersebut. Malah Habib Husain Al-Qadri turut meninggalkan keturunannya untuk meneruskan perjuangannya dalam menyebarkan agama Islam sekitar Kalimantan. Walaupun ada dimasukkan beberapa unsur sakti dan ajaib yang dimiliki oleh Habib Husain Al-Qadri, tetapi unsur-unsur tersebut tidak mencacat atau memusnahkan peranan beliau selaku tokoh agama yang penting di Pontianak pada masa itu.

· Oleh yang demikian unsur-unsur yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam karya-karya yang bercorak Melayu-Islam ini perlu dikaji dari sudut motif atau tujuan utama pengarang menghasilkan karya berkenaan.

· Kita tidak dapat nafikan bahawa motif-motif yang cuba ditunjukkan oleh pengarang terutamanya melalui peranan watak atau tokoh-tokoh penting dalam hikayat-hikayat ini adalah bertujuan untuk menyedarkan manusia lain atau memberikan semangat kepada manusia agar bersifat berani dan cekal dalam menjalani kehidupan di samping mengajak manusia ke jalan yang benar.

KESIMPULAN
· Kebanyakan karya yang bercorak Melayu-Islam dengan penumpuan kepada tokoh pahlawan dan ulama ini asalnya merupakan karya-karya yang telah disadur dari bahasa Arab dan Parsi atau lebih dikenali sebagai ' The Muslim Romances '. Karya-karya tersebut kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan tujuan untuk menyampaikan atau mempamerkan nilai-nilai Islam kepada para pembaca di samping sebagai hiburan.

· Kita tidak dapat nafikan watak-watak penting telah dimasukkan dengan pelbagai pengaruh Islam serta sifat-sifat luar biasa yang tidak ada pada manusia lain bagi menaikkan taraf tokoh tersebut.

· Dari segi sejarahnya, karya-karya yang bercorak Melayu-Islam ini telah mendapat perhatian yang baik oleh masyarakat Melayu tradisional terutamanya selepas kedatangan Islam ke Nusantara.

· Namun begitu sebagai sebuah karya yang bercorak sastera sejarah seperti juga karya-karya Melayu yang lain, hikayat-hikayat ini tidak lari dari menggunakan unsur mitos dan legenda serta motif-motif lain bagi menguatkan tema dan persoalan yang ingin disampaikan oleh pengarang karya tersebut kepada para pembaca.

RUJUKAN :
1) Ali Ahmad ( ed ), 1996, Bunga Rampai Sastera Melayu Warisan Islam, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
2) Arnold, Thomas, 1968, The Preaching Of Islam, Lahore.
3) Brakel, L.F., ( terj ) 1988, Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka
4) Hajjah Aminah Haji Hasbullah, 1999, Karya-karya Terpilih Bagi Pensejarahan Borneo Serta Kedudukan Dan Perbandingan Antara Pensejarahan Melayu Dan Pensejarahan Islam ( Kertas Kerja ME 5044 : Pensejarahan Islam ), Jabatan Sejarah, UKM.
5) Ismail Hamid, 1983, The Malay Islamic Hikayat, Bangi : Penerbit UKM.
6) ___________,1990, Asas Kesusasteraan Islam, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
7) Liaw Yock Fang, 1975, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik, Singapore.
8) Lokman Abdul Samad, 1999, " Unsur Islam Dalam Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Iskandar Zulkarnain & Beberapa Puisi Pilihan ", dlm. MANU Bil.3 1999.
9) Mahayudin Haji Yahaya, 1994, Naskhah Jawi Jilid Dan Teks : Vol 1, Kuala Lumpur : Dewan bahasa Dan Pustaka
10) ____________________2000, Karya Klasik Melayu-Islam, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka
11) ___________________,1983, " Kesan Dan Pengaruh Agama Terhadap Pemikiran Melayu Tradisional ", dlm. JEBAT Bil. 2 1983/84, Jabatan Sejarah, UKM.
12) Rosenthal, F., 1968, A History Of Muslim Historiography, Leiden.
13) S.A Sahlan, 1969, Hikayat Amir Hamzah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka

*********************************************************