PENSEJARAHAN PEPERANGAN DI NUSANTARA : Kajian Berdasarkan Syair Perang Mengkasar & Syair Perang Siak

PENGENALAN

o Selain menulis dalam bentuk prosa, pengarang-pengarang historiografi Melayu Tradisional juga telah menghasilkan karya mereka dalam bentuk puisi iaitu Syair. Dengan wujudnya beberapa karya historiografi dalam bentuk Syair ini, maka terbuktilah kepada kita bahawa pengarang zaman dahulu mempunyai kebolehan yang istimewa terutamanya dalam menguasai penggunaan bahasa. Justeru itu pemilihan Syair sebagai salah satu bentuk karya yang istimewa adalah berdasarkan kepada kemampuan naratifnya yang istimewa.

o Menurut J.C Bottoms dalam bukunya " Introduction To Indonesian Historiography " berpendapat bahawa agak sukar difahami mengapa seseorang pengarang memilih bentuk puisi iaitu Syair dan bukan bentuk prosa untuk menyampaikan karyanya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa bentuk prosa dan Syair mempunyai beberapa perbezaan yang ketara. Menurut beliau lagi , pemilihan Syair sebagai salah satu karya Melayu tradisional walaubagaimanapun bersesuaian dengan perkembangan masyarakat pada zaman tardisional kerana kedudukan Syair amat popular khususnya di kalangan golongan istana.

o Menurut F. Rosenthal dalam bukunya " The History Of Muslim Historiography ", sejarah istilah syair itu sendiri telah memperlihatkan hubungan yang rapat dengan penulisan sejarah dalam bentuk tersebut khususnya di kalangan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam. Malah kegiatan bersyair ini dikatakan sebagai amalan biasa dalam kehidupan masyarakat Arab pada zaman tersebut. Menurut Rosenthal dalam bukunya :

" A distinctive form of historical writing is constituted by stories built around some verses of poetry which gave lustre to the events they celebrate and which the stories serve to explain. In pre-Islamic Arabian, it was the main vehicle for the preservation of historical informations. From the artistic point of view it was highly effective and commended itself to Muslim historians who continued to use this form with modifications on large scale. The episodic presentation of history thus came to dominate a large segment of Muslim Historical writing ( F. Rosenthal, 1968, The History Of Muslim Historiography, him. 35)

Hooykass ( 1965 ) pula membahagikan kategori Syair ini kepada dua golongan yang penting . Golongan yang pertama ialah syair yang menumpukan kepada istana, menyanjung golongan raja, kelluarga serta kerajaannya. Syair kategori ini biasanya dikarang atau ditulis sendiri oleh raja tersebut, pembesar istana, pembantu raja ataupun pujangga istana.

Golongan syair yang kedua pula ialah syair yang mengisahkan tentang sesuatu peristiwa yang berlaku dalam jangka waktu yang pendek, bukannya dalam suatu jangka waktu yang panjang seperti dalam Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa etc. Syair golongan ini dikarang oleh para pengarang istana dan juga golongan rakyat biasa.
Syair -syair yang mengisahkan sesuatu peristiwa kita kenali juga dengan nama syair sejarah kerana kita memperolehi sedikit sebanyak maklumat tentang sesuatu peristiwa dari syair tersebut. Contohnya Syair Perang Siak, Syair Perang Mengkasar dan Syair Sultan Maulana, Syair Singapura Terbakar etc. Walaupun gaya penulisan syair tersebut masih dipengaruhi oleh karya sastera sejarah, tetapi ramai sarjana berpendapat ianya masih boleh dirujuk sebagai suatu sumber sejarah.

a) Syair Perang Mengkasar

Syair Perang Mengkasar ini mengisahkan tentang siri peperangan yang berlaku di Makasar. Syair ini dikarang oleh Encik Amin iaitu seorang Putera Makasar. Justeru itu keseluruhan isi syair ini dikarang berdasarkan kepada sudut pandangan beliau sebagai orang yang berasal dari tempat tersebut. Ini telah menjadi satu kcbiasaan bagi seseorang yang menulis tentang sesuatu kisah atau yang melahirkan karya-karya mereka. Hal ini diakui sendiri oleh C. Skinner bahawa kisah peperangan di Makasar dilihat dan dinilai dari sudut pandangan orang Makasar sendiri.

Kalau dirujuk dalam Syair Perang Mengkasar ini, ternyata beberapa siri peperangan melibatkan kerajaan Makasar dengan pihak Kompeni Belanda yang ingin menguasai kawasan tersebut. Malah dalam beberapa bait atau rangkap dalam syair ini mencerminkan pandangan yang negatif atau perasaan benci yang tidak tertanggung kepada pihak Belanda.
Justeru itu kita tidak dapat nafikan bahawa Syair Perang Mengkasar ini dapat dikategorikan sebagai sebuah syair sejarah yang bertemakan peperangan, iaitu mengisahkan peristiwa peperangan yang sememangnya berlaku di Alam Melayu.

o Kecondongan pengarang syair ini terhadap kerajaan Makasar dapat kita lihat pada konsep hitam dan putih yang digambarkan dalam syair ini. Konsep putih dalam syair ini bermaksud pihak yang benar iaitu merujuk kepada kerajaan Makasar itu sendiri. Manakala konsep hitam pula dirujuk kepada pihak yang salah iaitu kepada musuh kerajaan Makasar pada masa itu.

o Sebagai sebuah karya pensejarahan yang berbentuk puisi dan bertemakan peperangan, dalam Syair Perang Mengkasar ini digambarkan peranan penting yang telah disumbangkan oleh Encik Amin dari segi kebenaran fakta yang disampaikan melalui sebuah syair.

o Encik Amin bertugas sebagai setiausaha kepada sultan dan segala urusan surat-menyurat termasuklah juga surat perjanjian merupakan sebahagian daripada tugas pentingnya. Justeru itu beliau merupakan orang kepercayaan Sultan Hishamuddin iaitu Sultan Goa kerana beliau sentiasa mengikuti serta menyaksikan sendiri apa yang berlaku di Makasar sekitar tahun 1660an.

o Dengan maklumat yang diperolehi melalui Syair Perang Mengkasar ini telah melayakkan syair ini dijadikan sebagai sumber sejarah yang penting bagi mengkaji pergolakan siasah dan diplomasi politik yang berlaku dalam kerajaan Makasar dengan pihak Kompeni Belanda atau VOC.

o Menurut pandangan Teuku Iskandar, penyampaian Encik Amin melalui Syair Perang Mengkasar ini telah melayakkan beliau diangkat sebagai salah seorang penults sejarah moden kerana fakta-fakta serta maklumat yang dikemukakan adalah bersifat rasional dan boleh diterima akal.

o Manakala menurut pandangan G.L. Koster pula, kekuatan Syair Perang Mengkasar sebagai sebuah syair sejarah adalah didorong oleh temanya yang berfokuskan kepada peperangan. Tiada tema-tema tambahan atau percampuradukkan persoalan di masukkan dalam syair tersebut. Ini sekaligus menjadikan persoalan yang dikemukakan dalam syair ini menjadi lebih dominan dan hanya menumpukan kepada sesuatu peristiwa sahaja.

Suatu pemerhatian yang penting yang dapat kita lihat dalam Syair Perang Mengkasar mahupun syair-syair peperangan yang lain ialah kebanyakan syair tersebut membentangkan secara keseluruhan hanya satu peristiwa atau satu episod peperangan sahaja. Justeru itu panjang pendek sesuatu syair peperangan ini adalah bergantung kepada berapa lama atau tempoh peperangan tersebut berlangsung serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

b) Syair Perang Siak

o Seperti juga Syair Perang Mengkasar yang telah dibincangkan sebentar tadi, Syair Perang Siak ini juga tergolong dalam kategori Syair yang bertemakan peperangan.

o Menurut pandangan Goudie selaku pengkaji serta penyelenggara bagi syair ini, kelebihan Syair Perang Siak sebagai sebuah syair peperangan adalah kerana penulisan sejarahnya yang amat selektif. Menurut Goudie :

" The narrative is highly selective and gives a very particular view of the period covered. The Syair gives prominence to matters ignored elsewhere and omits matters detailed elsewhere."(Goudie, Donald, J, " Syair Perang Siak : An Example Of A Misunderstood But Rewarding 18th Century Malay Text ", 1980, him.233 )

o Syair Perang Siak ini secara umumnya mengisahkan tentang siri-siri peperangan Siak yang berlaku antara bulan April - Jun 1761. Peperangan ini telah melibatkan 3 kumpulan iaitu di antara Masyarakat Minangkabau, Orang-orang Eropah serta Kesultanan Johor. Justeru itu untuk kita memahami apa sebenarnya yang berlaku serta apa yang disampaikan melalui Syair Perang Siak ini , amat penting untuk kita mengetahui sejarah ketiga-tiga golongan tersebut serta kaitan mereka dalam syair yang dikaji ini.

o Ini sekaligus akan melibatkan tentang tempat-tempat serta masa sepertimana yang diceritakan dalam Syair Perang Siak ini.

o Menurut Goudie ( 1989 ), Syair Perang Siak ini selain dari mempamerkan pensejarahan peperangan di Alam Melayu, ia juga turut memaparkan kepada kita hasil karya dan sudut pemikiran masyarakat Minangkabau yang menguasai Siak tetapi terpaksa hidup dalam buangan. Dalam buangan di sini bermaksud segolongan pemerintah Minangkabau terpaksa berhijrah melalui Laut China Selatan bagi mencari perlindungan.

o Secara keseluruhan Syair Perang Siak ini mengisahkan tentang suka duka beberapa orang pemimpin Siak termasuk pemimpin Johor Riau antaranya kisah mengenai Raja Kecil, Raja Alam, Raja Mahmud dan Raja Ismail.

Menurut Andaya dalam bukunya The Kingdom Of Johore, beliau berpendapat bahawa Alam Minang dapat dibahagikan kepada 3 daerah atau luhak iaitu bahagian barat (Agam ), bahagian Timur (Lima Puluh Kota dan Tanah Datar. Dari bahagian timur inilah kemudiannya wujud jajahan Minang yang lain termasuklah Rokan, Siak, Kampar dan Inderagiri. Kesemua daerah tersebut mencatatkan sejarah penting dari segi perkembangan masyarakat Minangkabau itu sendiri. Malah dalam Syair Perang Siak ini ada juga dinyatakan tentang proses pembahagian harta pusaka iaitu separuh perlu dibahagikan kepada pihak perempuan berdasarkan kepada matrilineage.

Fokus penceritaan dalam Syair Perang Siak ini lebih kepada para pemerintah Siak yang telah berhijrah atau merantau, iaitu bagaimana mereka memperolehi kuasa di tempat-tempat baru dengan cara peperangan dan seterusnya mewujudkan penempatan baru bagi masyarakat Minang di tempat berkenaan. Selain itu suku-suku tertentu turut diperkenalkan, ini jelas kalau kita rujuk kisah tentang Raja Kecil , bagaimana baginda mengidentifikasikan sukunya di tempat baru dengan tempat asalnya.
Siri-siri peperangan yang cuba digambarkan dalam Syair Perang Siak ini turut melibatkan penentangan terhadap kuasa -kuasa asing seperti Portugis dan Belanda yang pada masa yang sama turut berminat untuk menguasai penempatan masyarakat Minagkabau. Peranan yang telah ditunjukkan oleh para pemimpin Minangkabau dalam menguasai serta memonopoli kawasan perdagangan di kawasan Selat Melaka khususnya telah menamatkan penguasaan Orang Laut di kawasan tersebut. Ini menjadikan pengaruh Minangkabau lebih kuat berbanding dengan orang tempatan. Syair Perang Siak ini lebih kepada Minangkabau Centrik dan masih bercorak regional centricism kerana syair ini ditulis bagi mengangkat darjat serta menunjukkan kekuasaan yang ada pada pemerintah yang berasal dari kawasan berkenaan.

KESIMPULAN
Tema pensejarahan peperangan yang digambarkan dalam Syair Perang mengkasar dan Syair Perang Siak berjaya menunjukkan kepada kita tentang kepentingan syair - syair tersebut dalam konteks peperangan di Nusantara.
Kebanyakan sarjana menerima syair -syair ini untuk dikategorikan sebagai syair sejarah peperangan kerana kebanyakan nama tempat serta watak-watak yang terlibat dalam Syair tersebut sememangnya wujud dalam sejarah Minangkabau khasnya dan sejarah Nusantara amnya.Karya-karya seperti ini berbeza dengan karya-karya pensejarahan Melayu yang lain kerana temanya lebih terfokus kepada satu aspek sahaja iaitu siri-siri peperangan yang pernah berlaku serta melibatkan juga perjanjian-perjanjian damai yang pernah di tandatangani antara beberapa pihak yang terlibat.

Rujukan
1) Andaya, Leonard, Y, 1975, The Kingdom Of Johore, Kuala Lumpur : Oxford University Press.
2) Goudie, Donald, J., 1989, Syair Perang Siak, Monograph No. 17.
3) Liaw Yock Fang, 1982, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik, Singapore : Pustaka Nasional Pte. Ltd.
4) Rosenthal, F., 1968, The History Of Muslim Historiography, Leiden.
5) Sweeney, P.L.A., 1971, " Some Observations On The Malay Shair ", dalam JMBRAS 44(1), him. 52-70.
6) Siti Hawa Haji Salleh, 2000, Kesusasteraan Melayu Tradisional, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
7) Siti Hawa Haji Salleh,1997, Kesusasteraan Melayu Abad Ke 19, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.