HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA : PENILAIAN DAN TINJAUAN DARI SEGI NILAIAN SEJARAH


Pengenalan

· Hikayat Merong Mahawangsa atau juga dikenali sebagai Sejarah Kedah merupakan salah satu karya historiografi Melayu yang penting. Namun begitu berbanding dengan beberapa buah karya sastera sejarah Melayu yang lain seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Misa Melayu dsbgnya, boleh dikatakan Hikayat Merong Mahawangsa antara karya yang kurang diperkatakan serta kurang disanjung oleh kebanyakan para sarjana.

· Ini kerana kebanyakan para sarjana berpendapat bahawa hikayat ini lebih didasari oleh unsur-unsur dongeng yang menyebabkan fakta-fakta dalam ceritanya susah untuk diterima akal.


· Kita tidak boleh nafikan kebanyakan unsur-unsur yang membina Hikayat Merong Mahawangsa terdiri daripada legenda-leganda yang sukar diterima oleh akal manusia seperti kewujudan burung geroda, iblis, jin dsbgnya. Tambahan pula hikayat ini juga menceritakan tentang negeri Kedah iaitu sebuah negeri yang kecil dan dianggap terpencil tidak segemilang beberapa buah kerajaan Melayu yang lain seperti KMM, Acheh dan Riau.

· Namun begitu adalah penting untuk kita melihat dan mendalami kesistimewaan Hikayat Merong Mahawangsa dari segi nilaian sejarah kerana apa yang diceritakan dalam hikayat ini ada kaitannya dengan peristiwa silam yang berlaku di negeri Kedah terutamanya sebelum zaman pengIslaman negeri tersebut.


NILAIAN SEJARAH / UNSUR-UNSUR SEJARAH


· Kalau dilihat keseluruhan cerita dalam Hikayat Merong Mahawangsa, dapatlah kita nilaikan bahawa ianya terbina daripada pelbagai legenda dan mitos. Boleh dikatakan hanya sdikit sahaja unsur-unsur benar yang berlaku di alam nyata yang boleh kita anggap sebagai nilaian sejarah.

· Unsur-unsur dongeng yang mendominasi hikayat ini menyebabkan Hikayat Merong Mahawangsa seolah-olah dilihat sebagai satu fiksyen. Ramai sarjana yang berpendapat sekiranya tidak wujud pembukaan negeri Kedah, asal usul raja dan keturunannya serta beberapa istiadat yang penting negeri Kedah, Hikayat Merong Mahawangsa sukar diterima sebagai satu sumber sejarah Kedah dan historiografi Melayu umumnya.


· Salah satu kandungan keterangan bernilai sejarah yang mudah untuk kita terima ialah berkenaan salasilah raja-raja dan juga asal usul raja serta nama tempat yang dibuka oleh raja-raja berkenaan. Dalam menceritakan salasilah raja-raja dan juga peristiwa pembukaan negeri, pengarang Hikayat Merong Mahawangsa tidak lari dari memasukkan unsur-unsur dongeng iaitu membesar-besar atau mengagung-agungkan raja-raja berkenaan.

· Cerita Hikayat merong Mahawangsa bermula bila seorang raja dikatakan berasal dari negara Rom, iaitu Raja Merong Mahawangsa belayar menuju ke Benua China bersaam putera raja Rom yang hendak dikahwinkan dengan puteri raja China. Selepas angkatannya pecah diserang oleh burung geroda, ia telah membuka negeri ke timur Pulai Serai dengan kota istana dan balai yang dinamakan sebagai " Langkasuka " yang terletak di Lembah Bujang sekarang ini.


· Menurut beberapa penulisan sejarah Barat, Kedah sejak abad pertama Masihi lagi telah didirikan dan diperkukuhkan kedudukannya dengan pengaruh Hindu dan kemudiannya diikuti pula oleh pengaruh Buddha.

· Namun begitu menurut W. Linehan, Sejarah Kedah mendapat kesan yang hebat selapas antara tahun 600-700 Masihi, bila Ligor telah dijajah oleh kuasa Siam. Berikutan itu Kedah menjadi kawasan takluk Siam dan bertambah lemah dari masa ke semasa.


· Yang menjadi permasalahannya di sini ialah bilakah sebenarnya negeri Kedah dibuka oleh Raja Merong mahawangsa yang berasal dari Rom sepertimana yang diceritakan dalam hikayat tersebut. Sehubungan ini Low berpendapat bahawa Raja Merong Mahawangsa kemungkinan wujud dalam tahun 1284 Masihi. Namun begitu Wales yang meneliti sejarah Kedah kemudiannya menolak kenyataan bahawa Kedah dibuka oleh Raja Merong Mahawangsa kerana beliau menganggap Raja Merong Mahawangsa hanyalah sebagai watak advanturer sahaja, tidak wujud di alam nyata. Sehubungan ini Wales beranggapan bahawa kemungkinan Kedah dibuka oleh Raja Merong Mahapudisat dalam tahun 1295 Masihi yang berpusat di Langkasuka.

· Menurut sesetengah ahli sejarah yang lain pula. Adalah lebih tepat kalau dikatakan Raja Merong Mahawangsa yang membuka negeri Kedah atau Langkasuka selepas tahun 1325 Masihi. Kemungkinan Kedah pada masa itu dikuasai oleh Phra Ramathibodi berasaskan kepada nama salah satu keluarga raja Thai zaman dahulu.


· Selain itu dalam Hikayat Merong Mahawangsa juga diceritakan tentang Raja Merong Mahapudisat iaitu anak dan pengganti kepada Raja Merong mahawangsa yang menamakan penempatannya Negeri Kedah Zamin Turan. Kemudian anak-anaknya pula membuka negeri Perak. Hal ini didapati bercanggah dengan fakta sejarah yang sebenarnya.


· Sejarah kedatangan Islam ke Kedah juga merupakan antara cerita yang penting dalam hikayat ini. Dalam Hikayat Merong mahawangsa diceritakan bahawa Islam didatangkan ke Kedah oleh Syeikh Abdullah dari Yaman. Manakala Raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam ialah Raja Phra Ong Mahawangsa iaitu raja Kedah yang ke 7 mengikut jurai keturunan yang diceritakan dalam hikayat ini. Namun begitu menurut kenyataan atau fakta dalam Salasilah Kedah, dinyatakan bahawa raja Kedah yang mula-mula memeluk agama Islam ialah Raja Seri Paduka Derma Raja.

· PengIslaman negeri Kedah sepertimana yang digambarkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa seperti juga dalam Sejarah Melayu masih menggunakan unsur-unsur dongeng dan mitos. Yang jelas hanyalah nama Islam bagi Raja Phra Ong Mahawangsa iaitu Sultan Mudzalfal Syah.


· Namun begitu tarikh pengIslaman sebenar bagi negeri Kedah tidak dinyatakan secara jelas dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Justeru itu para sarjana terpaksa menggunakan tarikah pengIslaman negeri Melaka untuk merujuk tarikh yang hampir dekat tentang pengIslaman negeri Kedah.

· Selain daripada beberapa peristiwa sepertimana yang telah dibincangkan tadi, Hikayat Merong Mahawangsa turut memuatkan beberapa cerita atau aspek lain seperti keadaan politik negeri Kedah, sosial dan ekonomi sewaktu raja-raja berkenaan memerintah. Namun begitu jika diteliti gambaran yang diberikan tentang hal berkenaan masih kurang jelas.


· Dari segi politik negeri Kedah, Hikayat Merong Mahawangsa menggambarkan bahawa rata-rata susunan pentadbiran kerajaan negeri Kedah pada zaman tersebut bercorak feudal. Begitu juga dengan kewujudan beberapa pangkat atau jawatan tertentu seperti Maharaja, Temenggung, Paduka Seri Perdana Menteri dsbgnya.



· Dari segi ekonomi pula adadigambarkan dalam hikayat ini bahawa Kedah pada zaman berkenaan masyhur dan kaya kerana adanya jumpaan emas yang menjadi tarikan para pedagang dari luar.

· Manakala dari segi sosial pula, dinyatakan bahawa pertambahan penduduk negeri Kedah dari semasa ke semasa adalah disebabkan oleh kemakmuran negeri tersebut serta punca kekayaan dari jumpaan emas. Begitu juga dengan kedatangan golongan para alim ulama.


· Selain itu unsur-unsur peperangan serta usaha untuk melawan anasir-anasir yang tidak baik juga turut diceritakan dalam Hikayat Merong Mahawangsa terutamanya melibatkan kisah seorang raja yang zalim yang meminum darah rakyatnya sendiri iaitu Raja Bersiung. Kisah Raja Bersiung dalam hikayat ini membuktikan penolakan rakyat Kedah terhadap pemerintahan seorang raja yang zalim.

· Kisah kedatangan masyarakat luar terutamanya masyarakat Patani turut mendapat perhatian pengarang Hikayat Merong Mahawangsa. Menurut pandangan beberapa orang sarjana kedatangan masyarakat Patani sepertimana yang digambarkan dalam hikayat ini mempunyai implikasi yang penting terhadap penempatan golongan masyarakat berkenaan di negeri Kedah sehingga ke hari ini terutama berkaitan dengan nama-nama tempat yang didominasi oleh masyarakat berkenaan.


· Nyata kepada kita Hikayat Merong Mahawangsa tidak sepopular Sejarah Melayu atau Hikayat Hang Tuah atau beberapa buah hikayat Melayu yang lain. Kalau kita rujuk beberapa pandangan sarjana Barat , contohnya Winstedt, beliau berpendapat bahawa Hikayat Merong Mahawangsa penuh dengan pelbagai kesilapan dan tidak boleh dianggap sebagai suatu sumber sejarah yang penting bagai negeri Kedah. Kesilapan ini kerana kemungkinan Winstedt tidak diberikan masa yang panjang atau peluang untuk mendalami akan kedudukan hikayat tersebut lantas memberikan jawapan atau pandangan secara surface sahaja.
· Namun begitu ada juga golongan sarjana Barat yang masih boleh menerima kepentingan Hikayat Merong Mahawangsa ini dalam pengkajian sejarah negeri Kedah seperti James Low dan A.H Hill serta Wales dimana para sarjana berkenaan berpendapat bahawa Hikayat Merong Mahawangsa perlu dikaji dengan teliti untuk mengarap intipati yang sebenar. Manakala penggunaan unsur mitos dan legenda pula tidak perlu dipertikaikan kerana seperti juga karya-karya Melayu yang lain di maan kedua-dua unsur berkenaan ada tujuan dan fungsinya yang tersendiri.

KESIMPULAN


· Kedudukan Hikayat Merong Mahawangsa masih dianggap penting sepettimana juga karya-karya Melayu yang lain. Cuma permasalahannya beberapa persoalan dalam hikayat ini masih belum jelas terutamanya bilakah sebenarnya tarikh hikayat ini dikarang dan siapakah pula pengarang sebenar bagi Hikayat Merong Mahawangsa ini.

· Unsur-unsur Islam masih terus digunakan terutama dalam menceritakan tentang sejarah pengIslaman negeri Kedah itu sendiri. Justeru itu ianya memperlihatkan tidak terlalu berbeza antara Hikayat Merong Mahawangsa dengan hikayat Melayu yang lain.


· Kewujudan beberapa unsur pengaruh Hinddu dan Buddha juga menunjukkan kepada kita bahawa Kedah pada zaman awal pernah dikuasai oleh kedua-dua pengaruh tersebut dan unsur itu masih digunakan dalam Hikayat Merong Merong Mahawangsa .


RUJUKAN :


1) Ali Ahmad, 1987, Karya-karya Sastera Bercorak Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
2) Siti Hawa Haji Salleh, ( pnyl ), 1991, Hikayat Merong Mahawangsa, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
3) Shaharuddin Maaruf, 1984, Concept Of A Hero In Malay Society, Singapore : Eastern Universities Press ( M ) Sdn. Bhd.
4) Winstedt, R.O., 1936, " Notes On The History Of Kedah ", dalam JMBRAS Vol. 14 ( 3), hlm. 155-89
5) Zahrah Ibrahim ( ed ), 1986, Sastera Sejarah : Interpretasi Dan Penilaian, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.