SUMBER TEMPATAN MENGENAI GERAKAN MENENTANG
PENJAJAHAN DI MELAKA, 1511 - 1641 MASIHI

Pengenalan
Pengkaji sejarah seharusnya mengubah pandangan mereka terhadap hikayat-hikayat lama yang sebelumnya dipandang oleh sesetengah pihak sebagai dongengan dan repetan istana semata-mata. Mereka sepatutnya mengakui bahawa sumber-sumber hikayat mempunyai makna, mesej dan kepentingan tertentu di dalam mengukir warisan dan persepsi sesebuah masyarakat mengenai zaman lampaunya. Hikayat Raja-Raja Pasai (HRP) Sejarah Melayu (SM), Hikayat Acheh (HA) dan Hikayat Hang Tuah (HHT) adalah di antara bahan-bahan terpenting, dihasilkan di dalam Bahasa Melayu di persekitaran negara perdagangan, yang turut terangkum di dalamnya cita-cita, citra dan tanggapan Melayu terhadap zaman silamnya. Tatkala kita cuba memahami kedudukan ini, para pengkaji sejarah perlu sedar akan peranan dan ketergantungan disiplinnya dengan fungsi metos dan lagenda, terhadap sesuatu masyarakat bangsa. Kegagalan memahaminya, bererti kita tidak dapat menghayati masyarakat Melayu lama di dalam keaslian dan kejituannya yang tersendiri.
Kajian ini berhasrat meneliti kepentingan Melaka kepada orang Melayu disamping dimensi penentangan pribumi terhadap penjajah Portugis sebagaimana yang terpancar di dalam Hikayat Hang Tuah. Gerakan menentang penjajah ini didorongi oleh pelbagai sebab dan dicetuskan melalui pelbagai bentuk pula. Selain dari HHT, sumber-sumber lain yang berkaitan dengannya misalnya SM, sumber-sumber China, Asia Barat, Portugis dan seumpamanya akan turut diketengahkan untuk memperjelaskan penentangan berkenaan. Tempoh kajian ini meliputi jangkamasa antara tahun-tahun 1511 sehingga 1641 Masehi.
Berlatar belakangkan tradisi penulisan Melayu, misalnya pendekatan HRP, HHT sama halnya dengan SM berhasrat menonjolkan Melaka selaku pusat dunia dan ketamadunan Melayu yang ulung di abad ke XV dan awal abad ke XVI Masehi. Babitan dari itu, segala sesuatu dilihat seharusnya berlaku dan terjurus ke sana. Melaka digambarkan sebagai negara yang bukan sembarangan. Susur galur penubuhannya didahului oleh pelbagai keanihan, kekeramatan dan kecerdikan memilih tapak negeri. Negeri yang sedemikian istimewanya, diperlihatkan amat berpadanan dirajai oleh keturunan Iskandar Dzulkarnain yang berkuasa "dari Mashrik ke Maghrib dari Daksina ke Paksina". Keturunan raja ini telah diterima dari segi keabsahan kuasanya mahupun kesilaman sejarahnya bertakhta di Palembang, Bentan, Temasik dan Melaka. Unsur kesinambungan kekuasaan inilah yang begitu ditekankan oleh O.W. Wolters di dalam tulisannya, The Fall of Srivijaya In The Malay History, yakni pertalian antara Srivijaya, Palembang dan Melaka. Di dalam SM antara lain dinyatakan, "ada pun tiang kerajaan itu anak cucu baginda yang dari Bukit Seguntang, dari Singapura datang ke Melaka, hingga sampai ke masa kita ini, tiadalah lain daripada itu".
Negeri yang bertuah dan raja-raja yang gemilang ini, dilengkapi pula oleh keistimewaan doktrin daulat dan derhaka serta tata kerama lainnya yang dipandang sebagai warisan kudus dan perlu dipertahankan. Laksana `cincin dengan permata', dan sebagaimana `pohon tidak dapat berdiri tegap tanpa akarnya', demikian halnya dengan Melaka. Gandingan raja yang berwibawa, negeri yang makmur, pembesar, wira yang setia lagi perkasa, serta pedagang dan hamba rakyat yang pelbagai peranan mahupun kemahirannya, bertunjangkan Hukum Kanun Melaka (HKM) dan Undang-undang Laut Melaka (UML), telah berjaya mengemudi Kesultanan itu ke singgahsana kejayaan. `Syahdan makmur dan terpeliharalah negeri'.
Demikian Melaka, dari pengkalan nelayan tidak ternama, akhir-akhirnya muncul sebagai kerajaan dan emporium perdagangan terbilang, selaku pentas dialog antara manusia dan pelbagai kebudayaan. Seiring dengan kedudukan Melaka yang oleh Paul Wheatley digelarnya sebagai `a century of Melaka, the golden age in the Malay history full of achievements and heroic deeds', muncul watak dan keperwiraan Hang Tuah.2 Di dalam watak dan diri Hang Tuah terakam cita-cita dan citra keperwiraan Melayu memperjuang dan mendaulatkan negeri dan rajanya, di tengah-tengah rentak alun, simpang siur sejarah silam bangsanya.
Di dalam pengamatan pengarang hikayat itu, tidak ada suatu pun pelaku yang didapati bersesuaian dengan arah liku sejarah dan keadaan semasa di Melaka, melainkan Hang Tuah. Nama Tuah itu sendiri menurut Hooykas membawa makna gemilang, sementara gelaran Laksamana mendapat semacam rahmat dari Dewi Lakshmi. Dengan itu, seperti yang pernah diutarakan oleh Kassim Ahmad, kebangkitan, perkembangan dan kejatuhan Melaka dihubungkaitkan dengan diri Hang Tuah. Melaka diasaskan sewaktu Hang Tuah masih kecil. Apabila Melaka menjadi negara dan pelabuhan terbilang, bersama Bendahara, Hang Tuah merupakan tunjang pentadbiran negeri. Di dalam hal ehwal keselamatan, kepewiraannya begitu menyerlah, dan suaranya seakan-akan menjadi muktamad. Hang Tuah digambarkan sebagai tokoh yang menjulang kemegahan dan kekuatan bangsa Melayu; lengkap dengan kebolehan dan ciri-ciri keilmuan dan kepahlawanan sepadannya. Apabila ia ditimpa kesakitan Melaka diancam Peringgi Putih. Apabila ia berundur dari perkhidmatan negara, Melaka tewas di tangan conquistadores. Di dalam diri dan watak Hang Tuah tersimpul liku-liku sejarah Melaka.3
Memang benar, pelbagai tanggapan mengenai SM dan HHT telah diluahkan oleh sejumlah pengkaji terdahulu. HHT umpamanya disarankan supaya diteliti setelah pembacaan terhadap SM dilakukan. SM mahupun HHT dengan segala keterbatasan dan kegunaannya, tidaklah dapat dianggap keseluruhannya memenuhi kehendak penulisan atau pengkaedahan sejarah moden per se. HHT kepada setengah pengkaji disifatkan sebagai hasil kreatif kesenian dan kesusasteraan Melayu tradisional. Ia juga pernah dikelompokkan sebagai sebuah roman bersifat lagenda, atau sebuah epik berbentuk puisi. Biar apa pun yang diutarakan, yang pasti ialah karya-karya lama berbentuk hikayat, sekalipun turut ditandai oleh lagenda dan metos, masih tetap penting di dalam memaparkan hati budi dan naluri pemikiran masyarakat Melayu khususnya di abad-abad kelima belas sehingga abad ketujuh belas Masehi. Sepertimana yang ditekankan oleh Professor Siti Hawa Salleh, "HHT" disebut seiring dengan SM. Kedua-duanya dianggap hasil kesusasteraan Melayu yang teragung, kedua-duanya Magnus Opus sastera Melayu.4
Karya-karya sastera berunsurkan sejarah seperti SM dan HHT sebagaimana yang dilihat oleh Roolvink dan Sartono Kartodirjo merangkumi dua pecahan yang utama. Bahagian pertama memuatkan metos, lagenda dan gegabah yang mempunyai makna dan fungsi tersendiri. Bahagian kedua pula melukiskan peristiwa.-peristiwa sejarah yang kesahihannya dapat dipertanggungjawabkan, lebih-lebih lagi tatkala dibandingkan dengan pelbagai sumber asing. Sebagaimana `antah ditampi dan diasingkan dari beras', demikian kiranya fakta sejarah perlu dicungkil dengan mengenepikan unsur-unsur di luar kemampuan manusia biasa. Peneliti hikayat seharusnya sedar bahawa hikayat dikarang untuk dibacakan secara terbuka dan nyaring di persada umum. Penggemarnya mendengar dan tidak selalunya membaca hikayat. Mereka diseret ke alam hikayat oleh keindahan dan kelantangan suara pemerihal hikayat. Dengan itu, unsur-unsur seperti tempat dan masa yang disusun secara kronologi yang menjadi `parameters of history' tidak begitu dipentingkan sangat di dalam hikayat. Apa yang diutamakan ialah fungsi dan makna masa lampau di dalam peradaban bangsa. Hikayat sesungguhnya adalah hasil karya sastera sejarah yang cukup bernilai yang disusun mengikut citarasa zamannya. Malah unsur-unsur seperti kekebalan, `pawang buaya', kepandaian menggunakan racun, `pandai besi,' `pandai gajah', sihir, termasuk fenomena `harimau jadian' yang di antaranya diungkapkan dalam hikayat-hikayat lama, turut disebut oleh sumber Portugis.
Dalam pada itu, keterdedahan dan keterbukaan masyarakat pribumi terhadap pengaruh asing dijelmakan melalui pengaruh-pengaruh Hindu, Islam, Jawa dan sebagainya, di dalam hikayat lama. Dengan demikian, penulisan sumber-sumber hikayat kita, seperti SM dan HHT, masih terpengaruh dengan tokok-tokok seperti Iskandar Zulkarnain, Amir Hamzah, Muhammad Ali Hanafiah, Seri Rama, cerita-cerita Panji dan seumpamanya. Namun, sekali pun terdapat pengaruh-pengaruh asing itu, ciri-ciri kemelayuan nativistik yang digandingkan dengan keanehan, kehebatan, super-human, humour dan wit, lengkap dengan perbidalan, pantun, seloka mahupun isyarat perumpamaan tetap ketara. Unsur-unsur sedemikian, berserta sifat amok, dendam, dengki khianat, kekebalan, ikhtiar, kecerdikan dan tipu muslihat, mengemudi pembaca dan pendengar ke alam hikayat. Maka dengan itu, dari segi sejarah kesusasteraan Melayu, HHT kadang-kadang digolongkan dalam genre sastera epik kebangsaan yang cukup tegas mempertahankan nilai-nilai dasar kebudayaan dan pemikiran Melayu-Melaka.
Persoalannya sekarang, apakah imej keterampilan dan kegemilangan Melaka yang menjadi acuan dan model sistem politik, perekonomian dan sosial Melayu yang digambarkan di dalam SM mahupun HHT telah begitu menyimpang jauh dari kenyataan sebenar? Pengamatan mengenai "Foreign Documents And The Descriptions of Melaka Between A.D. 1505-1511" 5 yang penulis lakukan sebelum ini, cukup jelas memaparkan keterbilangan Melaka di haribaan pengetahuan dunia antarabangsa. Nama dan kepentingan Melaka bukan sahaja terjelma di dalam sumber-sumber China seperti Buku Dinasti Ming Jilid 325, atau catatan pelayaran Ma Huan, tetapi Melaka juga tidak terlepas dari pengetahuan raja-raja Ryukyu. Malah sumber Siam (Palatine Law) juga turut menyentuh berkenaan Melaka, disamping deskripsi Ahmad Ibn Majid, pelayar agung Arab di penghujung abad ke XV Masehi. Percubaan mengaitkan nama Melaka dengan tradisi `pengindiaan' juga telah dilakukan oleh S. Singaravelu.6
Seawal-awal 1498 Masehi, Vasco Da Gama mencatatkan mengenai perdagangan Melaka, suatu bentuk gambaran yang sesungguhnya tidak banyak berbeda dari kenyataan pengunjung Itali iaitu Varthema yang melawat Melaka dalam tahun 1506 Masehi. Vasco Da Gama memperihalkan perdagangan Melaka yang mencakupi bahan-bahan seperti rempah ratus, sutera dan ceramic. Maklumat-maklumat lanjut dari warkah-warkah raja Portugal di awal abad ke XVI Masehi, mahupun kenyataan-kenyataan Albuquerque dan Giovanni Da Empoli cukup terang memaparkan kepentingan perdagangan Melaka disamping peranannya di dalam peradaban antarabangsa. Catatan maklumat-maklumat yang dipaparkan di atas turut menggariskan kedudukan Melaka, tentang kekuasaan rajanya serta kemakmuran perdagangan Melaka berteraskan perdagangan kelautan yang melampaui batas Alam Melayu ke merata tempat. Saban hari menurut Aroujo, yang menulis pada 6.2.1510, antara 80 sehingga 100 kapal berlabuh di pelabuhan Melaka. Lebih kurang 30 dari kapal-kapal itu dimiliki oleh raja dan pembesar-pembesar Melayu. Perdagangan Melaka dianggarkan berjumlah antara satu hingga dua juta Cruzados, manakala antara 40,000 - 50,000 Cruzados merupakan percukaian perdagangan.7
Ciri-ciri keantarabangsaan Melaka, bukan sahaja dapat dicari dari jumlah ribuan pedagang asing di Melaka, atau lapan puluh empat bahasa yang dipertuturkan di sana, malah kepelbagaian barangan yang diniagakan mahupun sistem perdagangan yang diwujudkan.8 Berpandukan bahan-bahan luaran, tidak syak lagi Melaka adalah sesungguhnya pentas dialog antara manusia dan kepelbagaian budaya ugama, `merentasi samudra sutra dan rempah ratus, menuju pelbagai benua'. Justeru kerana itu, simbolis dari lawatan Hang Tuah ke serata tempat meliputi Benua Keling, Siam, Asia Barat, China dan sebagainya patutlah disifatkan sebagai pelambangan tentang ciri-ciri keantarabangsaan (globalisasi) yang mendasari Melaka dewasa itu. Catatan sejarah meriwayatkan, malah pasukan tentera Melaka yang menghadapi serangan Portugis di tahun 1511 Masehi pun terdiri dari pelbagai bangsa termasuk Gujeratis, Armenian, Arab-Farsi dan Turkish.9 Jauh lebih penting dari itu, Melaka juga sebenarnya tempat di mana pengaruh Islam berkembang dan disebarkan ke merata tempat. Varthema melaporkan, tidak sahaja Melaka penting di bidang perdagangan, malah raja dan rakyatnya sehingga berpakaian `after the fashion of Cairo', yang melambangkan pengikatan dengan pengaruh Islam.10
Selaku warisan penting lagi keramat, tidak hairanlah SM mahupun HHT begitu mempertahankan Melaka dan rajanya. Melaka rupa-rupanya bukan sekadar memberi kerahmatan, kekayaan dan keuntungan kepada raja-raja dan pembesarnya, atau kepada dagang dan santri, tetapi meliputi rakyat jelata yang kepelbagaian peranan dan kebolehannya. Tugas mempertahankan Melaka menjadi vissi yang lebih suci memandangkan Benggali Putih sebagaimana yang tercatat di dalam SM mahupun HHT adalah suatu bangsa yang biadap, ganas, tamak, berniat jahat dan tidak mementingkan tata susila serta tingkat perlakuan yang dituntut oleh nilai-nilai sejagat. Peri kebiadapan dan keganasan pihak Portugis sebenarnya tidak sahaja berlaku di Melaka, malah turut terjadi di Asia Barat dan India yang menjadi rakan-rakan perdagangan Melaka. Periwayat Arab dari Hadramaut mengungkapkan kejadian di tahun-tahun 1502-1503 dengan menyatakan;
"In this month (Radjab) the vessels of the Frank appeared at Sea en route for India, Hurmuz, and those parts. They took about seven vessels, killing those on board and making some prisoners. This was their first action, may God curse them".11

Latar belakang kehadiran Portugis dan kesengitan gerak tempur yang membawa kepada kejatuhan Melaka pada 24 Ogos 1511 turut disentuh di dalam SM dan HHT. Pihak Portugis sendiri mengakui bahawa mereka terpaksa berhempas pulas dalam kempen menawan Melaka, termasuk merobohkan jambatan yang merentangi sungai Melaka. Gambaran itu terjelma di dalam tulisan Giovanni mahupun Albuquerque.12 Giovanni antara lain menyatakan;
"We went on this way for twenty days or more [since 28/6/ 1511], for each night the crews were obliged to land their boats, whereby those a shore responded with heavy cannon fire, so that every night some of our men were lost and others maimed, wherefore in short while, on both junk and boats, they killed about a hundred of our men and maimed many more in arm and limb...We numbered about one thousand five hundred men, we had the Chinese to help us who were about four hundred in number, and the prince of Zamatora with and equal company, and so we gave battle on the feast of the Apostle St. James [25/7/1511]".13

Yang nyata ialah kejatuhan Melaka bukan sahaja disebabkan oleh kecanggihan meriam, mahupun teknik peperangan atau kegigihan dan kesatuan tujuan yang ada di pihak Benggali Putih. Diketahui bahawa selepas 25.7.1511, beberapa penyerangan lagi dilakukan. Serangan-serangan Portugis di sekitar 10.8.1511 dan 20.8.1511 sebagaimana sebelumnya juga menerima tentangan hebat di pihak Melaka. Malah puisi Sa De Meneses yang cukup terkenal dengan glorifikasi terhadap kejayaan Portugis di timur turut mengungkapkan perjuangan di Melaka. Antara lain dinyatakan:
"The King and Prince of Malacca came on at the horrible din of battle and with justifiable reproof encouraged their men to strike again and wreak vengeance for the serious damage incurred. Shame and the respect they felt for their King impelled them to return bravely to the defence of the city. With a thousand shots they hit the Portuguese with mortal effect. But as the fire now leapt from roof to roof with intense fury, they did not know where to go for safety because everything was wrapped in death and flames."14
Di antara selang seli beberapa pertempuran itu, diketahui bahawa kedua pihak memperbaiki kedudukan masing-masing. Pihak Melaka menokok tambah pertahanannya terutama di kawasan jambatan Melaka. Ganjaran kepada askar upahan diberikan segera. Albuquerque pula, "gave the Javanese Shahbandar a three day pass to withdraw, and permitted the Chinese traders to depart".15
Dalam pada itu hikayat-hikayat lama dengan terang menunjukkan bahawa Melaka sendiri menghadapi `pereputan dalaman', di mana Melaka dibalut kemelut yang berpunca dari gila kuasa, berpuak-puak, kezaliman, pilih kasih, tamak haloba, mementingkan diri sendiri, pengabaian tugas, dengki khianat, huru-hara dan sebagainya. Di dalam catatan Ahmad Ibn Majid isu pengabaian aspek keugamaan Islam turut disentuhnya, manakala Varthema menambah, suku orang laut yang terkenal cukup taat sejak sekian lama, mengugut untuk `beralih tempat' dari Melaka. Bahawa Melaka semacam hilang sinar dan afwah, jelas dilambangkan dengan lenyapnya mahkota kerajaan dan `Taming Sari disambar buaya putih'. Di dalam Tuhfat an-Nafis, ditunjukkan betapa Melaka tewas di tangan Feringgi akibat rajanya yang tidak melakukan tanggungjawabnya dengan sempurna.
Peri penentangan Melayu di saat-saat akhir kejatuhan Melaka memang sudah diketahui umum dan tidak memerlukan perincian lanjut. Memadai ditunjukkan betapa Sultan Ahmad yang luka tapak tangannya terpaksa berundur, berikutan seruan Maulana, bahawa di sini bukan tempat mengaji Tauhid. Bendahara Tepok digambarkan sebagai kaya semangat tetapi tidak bertenaga menentang penjajah. Hang Tuah yang kecintaan terhadap raja dan negerinya tidak dipersoalkan lagi, turut berperanan menangani isu Benggali Putih. Dalam suatu kejadian yang barangkali sulit dipastikan kesahihannya, Hang Tuah bertempur dengan armada Portugis berhampiran pantai China. Hang Tuah yang sekalipun uzur tetapi membara sifat juangnya "led the Malay squadron which drove the Portuguese ships out of Melaka waters".16 Kejadian ini seolah-olah mengimbau kembali ingatan kita betapa dalam tahun 1509 Masehi, De Sequeira telah tiba dengan sejumlah empat buah kapal ke Melaka. Perbalahan dan pertempuran terjadi yang berkesudahan dengan penawanan 19 orang Portugis di Melaka, manakala yang lain bergegas pulang melaporkan kebencanaan itu kepada Albuquerque di India.17 Yang menariknya kejadian di tahun 1509 ini turut dilaporkan dalam sumber China, sekalipun terdapat beberapa perbezaan latar cerita dalam menanggapi isu itu.18
Memandangkan Melaka diancam Portugis, Hikayat Hang Tuah melaporkan betapa wira Melayu ini dihantar ke Turki Othmaniah selaku missi diplomatik berserta keperluan mendapatkan senjata dan peluru untuk menentang Portugis. Sebagaimana disebutkan terdahulu, memandangkan pertahanan Melaka menentang penjajah turut disertai oleh pihak Turki, berkemungkinan apa yang ternyata di dalam hikayat itu bukanlah momokan semata-mata. Lagi pun pihak Portugis sendiri melaporkan betapa ribuan pucuk meriam dari gangsa dan besi lengkap dengan `Compliment and Carriages' yang canggih buatannya, turut dirampas dan tenggelam bersama-sama Flor De La Mar.19 Di antara meriam itu, ada yang cukup besar dan dihadiahkan oleh pemerintah Calicut kepada raja Melaka. Kajian lanjut sudah tentu diperlukan untuk mengaitkan persenjataan Turki dengan Melaka. Walau bagaimanapun, Acheh memang diketahui telah banyak menerima bantuan tenaga dan persenjataan dari Turki sejak dekad-dekad awalan abad ke-XVI Masehi. Malah S. Hurgronje yang banyak memetik sumber tempatan, menyatakan bahawa asal usul rakyat Acheh sendiri turut dikaitkan dengan bangsa Arab, Iran dan Turki.20
Hang Tuah diberitakan telah mati menurut Sejarah Melayu, tetapi di dalam Hikayat Hang Tuah, beliau dikatakan membawa diri semacam `bertapa' dan menjadi `ketua orang asli'. Namun apa yang jelas ialah kedua-dua khazanah tulisan lama ini memperakui dan mencatatkan bagaimana Melaka berjaya ditewaskan oleh conquistadores. Sultan Mahmud dan pengikut-pengikutnya sebagaimana yang dilaporkan oleh HHT mahupun Commentaries Dalboquerque juga sedar bahawa pihak Portugis berhasrat menetap lama di Melaka apabila mereka membina Kota A Famosa, mengasaskan bibit pemerintahan baru, serta mengeluarkan mata wang sendiri kemudiannya. Pihak Portugis juga sedaya upaya cuba membenteras segala bentuk penentangan terhadapnya samada dari dalam Melaka iaitu di kalangan penduduk Jawa, diketuai oleh Pateh Kadir, mahupun tentangan-tentangan dari Sultan Ahmad dan Sultan Mahmud.21
Samada mati atau hilang, semangat perjuangan Hang Tuah mendaulatkan raja, negeri dan martabat bangsa terus menjiwai kegiatan mengusir penjajah. Begitu juga sikap juang Sultan Mahmud dan pengikutnya untuk merebut kembali Melaka sambil `menyapu arang yang terpalit di muka.' Pihak Portugis sendiri bukanlah merupakan kuasa yang dapat dianggap menunjangi Selat Melaka dan sekitaran baik dari segi politik mahupun perekonomian perdagangan kelautan. Usikan dari conquistadores tidak disenangi dan menimbulkan pelbagai reaksi. Pihak Portugis sesungguhnya bukan sahaja ditentang di Melaka, malah percubaan-percubaan mereka untuk bertapak atau berdagang di tempat-tempat lain di Alam Melayu juga menerima pukulan hebat dari penguasa-penguasa pribumi. Feitoria Porgugis di Pasai terpaksa ditinggalkan di tahun-tahun 1520an apabila Acheh melebarkan kekuasaannya di sana. Minat Portugis terhadap Sunda Kelapa dan Bantam juga terpaksa diketepikan khususnya di dekad-dekad pertengahan abad ke XVI Masehi. Di Ternate sekalipun Portugis berjaya menguasainya terutama selepas 1535 Masehi, namun mereka terpaksa berundur dalam tahun 1576 Masehi. Umum mengetahui betapa Sultan Babullah dan anaknya Sultan Said, yang cukup tegas sikap anti Kristiannya, telah berjaya mengenepikan kepentingan Portugis di sana.22
Timbul beberapa soalan seperti apakah punca dan sebab musabab Portugis ditentang hebat antara tahun-tahun 1511-1641 Masehi. Bagaimana pula penguasa-penguasa pribumi melahirkan penentangan itu serta apakah kesannya kepada pihak Portugis di Melaka. Sebagaimana yang penulis pernah nyatakan,23 penentangan Melayu perlu dikaitkan dengan konsepsi kuasa, kuatkuasa dan keabsahan politik tempatan. Pihak Portugis mendasarkan pegangan mereka ke atas Melaka melalui penaklukan bertunjangkan kekuatan senjata semata-mata. Dengan menakluk Melaka pihak Portugis percaya bahawa ia mempunyai hak, kekuasaan dan keberuntungan mutlak ke atas Melaka dan tanah jajahannya. Pendekatan ini adalah tidak selari dengan amalan tradisi kepimpinan pribumi. Sistem politik Melayu sebagaimana yang begitu ditekankan oleh Sejarah Melayu mahupun Hikayat Hang Tuah adalah berteraskan diri raja sebagai unsur utama. Unsur-unsur jurai keturunan dan doktrin (daulat, derhaka, tulah) begitu suci dan perlu dipertahankan. Ia sehingga dikanunkan di dalam HKM. Mana-mana kuasa yang tidak memiliki ciri-ciri sedemikian, sudah pasti tidak dapat dianggap mempunyai ciri-ciri ketuanan yang dapat dipertahankan untuk jangka waktu yang berpanjangan. Dengan itu, kekuatan senjata dan pemilikan wilayah sahaja, belum melayakkan Portugis diterima umum masyarakat Melayu.
Lagipun, pihak Portugis sejak awal-awal ketibaan mereka di Melaka melalui rombongan De Sequeira (tahun 1509 Masehi) telah tidak diterima baik di negeri itu. Maklumat-maklumat yang dibentangkan oleh sumber-sumber Portugis termasuk dari Codice Anoinimous Egerton 20901 cukup jelas menunjukkan hakikat ini. Malah Sejarah Melayu sendiri turut merakamkan betapa hubungan dua hala antara Melaka dan Portugal telah bermula dengan `episod berdarah' dan tragedi yang berpunca dari syak wasangka, pandangan serong, salah perlakuan dan dendam. Rekod kegiatan Protugis di Asia Barat dan India selepas penubuhan Estado da India (1502-1509) termasuk pertempuran Diu, dan sikap anti Islam, turut tidak disenangi di Melaka. Dengan itu, bukan keterlaluan dinyatakan bahawa, pihak Portugis dilihat sebagai sebuah kuasa luar yang berlainan dari segi latar belakang budaya dan ugama, serta berniat jahat untuk memporak peranda dan merosakkan ketuanan Melayu.
Sultan Mahmud kehilangan Melaka namun takhta kerajaan dan teras kekuasaannya diterima baik di banyak kawasan di Tanah Melayu, Sumatra dan Riau Lingga. Sisa baki hidupnya diabdikan untuk mengusir penjajah dan mendapatkan kembali Melaka. Di dalam warkah bertarikh 1 Januari 1524, permasalahan yang diwujudkan oleh Sultan Mahmud dilaporkan ke pengetahuan Raja Portugal.24 Di dalam penentangannya Sultan Mahmud dilaporkan sebagai bertitah, "kita hendak berperang dengan Feringgi kerana istiadat raja-raja itu negeri alah, rajanya mati". Sikap juang Sultan turut disertai oleh Hang Nadim "yang bertimbakan darah jua, tiga puluh dua kali", sementara Temenggung bersumpah mempertahankan Kota Kara hingga ke titisan darah yang akhir. Hanya sesudah empat kali serangan dan tentangan sengit, Bentan dikalahkan dan Sultan Mahmud mangkat di Kampar tahun 1528 Masehi.
Tradisi kepahlawanan Hang Tuah nampaknya mempengaruhi Pateh Kadir, Pateh Unus, Bendahara Paduka Raja dan Sang Naya untuk terus berjuang mengusir Portugis. Perjuangan menentang penjajah dilakukan oleh Johor, Japara, Acheh dan Patani silih berganti. Tentangan yang kadang-kadang musiman sifatnya, ternyata pula tidak menunjukkan kesatuan tujuan malah lebih malang ialah perbalahan sesama sendiri, seperti yang banyak terjadi antara Acheh, Johor dan negeri-negeri Melayu lainnya. Namun begitu tahun-tahun 1513, 1537, 1539, 1547, 1551, 1568, 1573, 1574, 1587, 1606, 1615, 1627, 1629, 1631 dan akhirnya 1641 merupakan annos horribilis, yang sukar dilupakan oleh pihak Portugis. Adalah sesuatu yang agak ajaib, mereka dapat bertahan selama 130 tahun di Melaka.
Pihak Portugis dari segi politik dan kekuasaan, bukan sahaja merupakan kuasa terpinggir, malah di bidang perekonomian pun mereka menerima cabaran hebat dari peribumi. Ricklefs, menyatakan; after a century of success, Melaka was turned into a name with a proud past, but little future".25 Sekalipun perdagangan Melaka masih mencatatkan keuntungan beberapa kali selepas `1511 Masehi, namun umum sedar bahawa Acheh, Johor, Paalembang Japara, Bantam, Mataram, Brunei dan lain-lain muncul selaku kuasa-kuasa dagang yang lebih berjaya dari pihak Portugis. Konsep monopolinya yang goyah, percukaian yang membebankan, berserta polisi menindas pedagang-pedagang pribumi Islam, menyebabkan saudagar mengalihkan perhatian ke tempat-tempat lain. Walhal sebanyak 80 tan rempah ratus diekspot ke Eropah di tahun 1530an oleh pihak Portugis melalui Tanjong Pengharapan, Acheh bersama sekutunya di India, mengekspot sehingga 1280 tan melalui Asia Barat.26 Sehingga akhir abad ke XVI, jumlah ekspot lada hitam dari Acheh juga memberansangkan. Walhal Portugis mengekspot 10,000 quintal (1 quintal = 130 lbs.), Acheh sejak 1585 Masehi mengekspot empat atau lima kali ganda dari itu, setiap tahun.
Dengan demikian, suatu lagi bentuk cabaran atau penentangan terhadap pengaruh ekonomi penjajah ialah gejala ketimbulan pusat-pusat perdagangan yang baru di merata kawasan di Alam Melayu. Berlalu keadaan di mana perdagangan terjurus dan tertumpu ke Melaka, sebaliknya ciri-ciri keterserakan menjadi kian nyata. Pelabuhan Johor misalnya didatangi oleh saudagar China, Gujerat, Armenia, Arab dan lain-lain. Perdagangan kelautan yang telah lama menjiwai negara-negara perdagangan di rantau ini sesungguhnya tidak dapat ditandingi atau dihapuskan oleh pihak conquistadores yang diketahui mempunyai keterbatasan dari segi tenaga manusia, kewangan, mahupun keupayaan militer.
Suatu lagi dimensi penentangan terhadap penjajah sebenarnya perlu dikaitkan dengan sentimen keagamaan. Pihak Portugis sering dilihat sebagai kuasa luar yang mengancam pertumbuhan dan perkembangan Islam di Alam Melayu. Kesultanan Melaka yang suatu masa dulu telah menjadi pusat peradaban dan ketamadunan Melayu-Islam di rantau ini, sudah tentu mempunyai erti dan kepentingan yang cukup mendalam di hati dan sanubari warga Alam Melayu.
Berikutan timbulnya pusat-pusat peradaban dan ketamadunan Melayu Islam yang baru di rantau ini misalnya di Acheh, Johor, Brunei dan Patani, landasan perjuangan menentang penjajah berpandukan sentimen keugamaan menjadi cukup nyata. Penelitian yang dilakukan oleh Profesor Ibrahim Alfian terhadap Acheh misalnya, menunjukkan landasan keugamaan sebagai syariat utama dalam menentukan kemakmuran, kesejahteraan mahupun keselamatan negara dari ancaman dalaman ataupun luaran, cukup diberi perhatian. Ini tentunya bersesuaian dengan kedudukannya selaku `Serambi Mekah' dan tempat himpunan ilmuan, cendikiawan dan ulama Islam yang terbilang. Dengan demikian Qanun syara' kerajaan Acheh Darussalam menggariskan dua puluh tugasan utama rakyat. Selain dari diwajibkan bertani, berladang, berniaga, menuntut ilmu, (termasuk ilmu kebal), kerja tangan mahupun kesenian, ilmu-ilmu kepewiraan, pandai besi dan senjata menjadi teras utama pendidikan.
Sudah tentu tindakbalas pribumi meninggalkan kesan terhadap Portugis di mana banyak nyawa dan harta benda terkorban. Kebuluran, kesengsaraan hidup, inflasi dan kekurangan bekalan perubatan sering dilaporkan oleh pihak berkuasa gereja. Berikutan dari itu, isu pertahanan dan keupayaan angkatan tentera sering menjadi perkara yang terpaksa diberi perhatian wajar. Biaya pertahanan kian meningkat, manakala keuntungan perdagangan tersalur ke kantong para pentadbir. Jumlah kakitangan pentadbir dan soldados amat terbatas yakni dari purata 200 orang-orang sehinggalah serendah-rendahnya 28 orang. Lebih malang lagi, harapan untuk mendapatkan bantuan dari Goa, India mahupun Portugal dalam saat-saat genting, sering ditemukan dengan kelewatan atau tidak kunjung tiba, sementara kadar kematian dan kejadian lari dari tugas tidak pernah reda.27
Kegentingan pertahanan Melaka di dalam tahun-tahun 1550an menjadi kan ketara di tahun-tahun berikutnya. Maklumat yang dikemukakan dari Jorge de Lemos bertajuk; Historia Dos Cer cos De Malacca, etc., cukup jelas menegaskan hakikat ini. Sebagaimana kita sedia maklum, dalam tempoh akhir abad ke XVI dan dekad-dekad awal abad ke XVII, pihak Portugis di Melaka bukan sahaja diancam oleh penguasa-penguasa pribumi tempatan seperti Acheh, Johor dan Japara, malah oleh pihak VOC. Beberapa langkah keselamatan memang terpaksa diambil untuk memperteguhkan pertahanan Melaka, namun ia tetap diserang, melalui pelbagai penjuru dan tumpas pada tahun 1641 di tangan Belanda dan Johor.

Kesimpulan
Jiwa dan hati budi Melayu yang bukan sembarangan yang cuba diketengahkan oleh hikayat-hikayat lama kita sesungguhnya bukanlah sesuatu yang terlampau terkeluar dari landasan sejarah. Hikayat Hang Tuah dalam Sejarah Melayu misalnya haruslah dikaji dengan membanding-bandingkannya dengan sumber-sumber luar mengenai Melaka. Bahawa Melaka adalah pentas dialog dan pertembungan antara manusia dan kepelbagaian kebudayaan harus juga diberi pertimbangan. Negeri dan raja yang sedemikian istimewa sifatnya dilihat sebagai warisan kudus yang harus dipertahankan. Imej keantarabangsaan kota-kota dagang Melayu dan keterbukaannya kepada pengaruh luar juga dapat dikesan dari hikayat-hikayat lama. Di sudut lain, nilai ikhtiar, kecerdikan dan keupayaan Melayu merentasi `lautan dan benua' juga dapat disingkap dari sumber-sumber berkenaan. Melaka adalah warisan penting dan bukan sebarangan di dalam peradaban Melayu. Usikan terhadapnya lebih-lebih lagi oleh pihak Portugis mendapat penentangan sewajarnya. Kepahlawanan Melayu dan citra yang cuba dipaparkan ialah sikap tidak mudah menyerah. Bangsa Melayu yang cuba dicipta oleh Hikayat ialah Melayu yang bukan pinggiran, tetapi mementingkan sorak dan sabung, dan bukannya Melayu yang menyusu kera di hutan, tetapi meninggalkan anak di haribaan.