SEJARAH JOHOR DALAM PENSEJARAHAN MELAYU

Johor memang mempunyai sejarah yang panjang. Perkembangannya merangkumi zaman tradisi yang dikira dari sejak zaman sebelum wujudnya Empayar Melayu Melaka lagi, dan zaman moden yang dikira sejak kurun ke 19, khususnya apabila ia mula ditadbir oleh Temenggung Ibrahim dan seterusnya oleh zuriat-zuriatnya. Dalam zaman tradisi, khususnya setelah Melaka dikalahkan Portugis pada T.M. 1511, Johor telah muncul sebagai pewaris empayar Melayu yang agung itu atas hakikat ia pernah menjadi, dan masih merupakan sebahagian daripadanya walaupun pusat pentadbirannya telah diserang dan dikalahkan oleh Portugis. Sementelah sultan-sultannya juga adalah keturunan sultan Melaka sehinggalah keturunan itu hapus apabila berlaku penderhakaan Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) yang membawa kepada pembunuhan Sultan Mahmud Syah II (Marhum Mangkat Dijulang) pada T.M. 1699. Selepas itu Johor jatuh ke dalam penguasaan keturunan Bendahara Tun Habib (Habab) Abdul Majid bermula dengan Sultan Abdul Jalil (T.M. 1699-1717). Kerabat ini akhirnya terpaksa meminta bantuan pihak Bugis lima bersaudara untuk menghadapi tindakan Raja Kecil Siak yang mengaku sebagai putera dan waris Sultan Mahmud Syah II lantas telah muncul di arena politik dan ketahtaan kerajaan Johor-Riau untuk menuntut hak perwarisannya. Pertarungan kuasa itu akhirnya membawa kemenangan di pihak zuriat Sultan Abdul Jalil dan pihak raja Bugis walaupun dalam proses tersebut pelbagai tragedi dan peristiwa pahit telah berlaku.
Kemenangan itu mengwujudkan keadaan yang agak tenteram dan stabil, walaupun masih terdapat juga beberapa kekacauan politik seperti di Kedah dan Linggi yang melibatkan sama ada pihak Bugis maupun pihak Raja Kecil. Namun ancaman yang lebih serius dapat dilihat ialah datangnya daripada pihak Belanda (yang telah menguasai Melaka sejak T.M. 1641) dan selepas itu imperialis British sejak T.M. 1786 lagi. Kedua-dua kuasa imperialis ini akhirnya membawa padah bukan sahaja kepada zuriat keturunan Sultan Abdul Jalil yang bernasabkan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah (1722 - 1760), tetapi juga kepada Empayar Johor-Riau-Lingga itu sendiri, apabila ia dipecahkan kepada "kawasan pengaruh Inggeris" dan "kawasan pengaruh Belanda" melalui perjanjian Inggeris-Belanda T.M. 1824 yang ditandatangani oleh kedua kuasa tersebut tanpa ada suara apatah lagi perwakilan daripada pihak yang telah dibahagikan. Peranan pihak imperialis ini sebenarnya telah membawa kemunculan kerajaan Johor kini yang tidak lagi menampakkan perwarisan fizikalnya daripada Empayar Melaka yang agung itu. Ertinya tiadalah lagi Riau/Bentan/Penyengat, Lingga, Singkip, Karimun, Pahang dan beberapa lagi yang dulu menjadi jajahan takluk Empayar Johor-Riau dan seterusnya Johor-Riau-Lingga sebagai suatu entiti politik dan kekuasaan yang daripada beberapa aspek memang mewarisi Empayar Melayu Melaka dahulu.
Kebanyakan senario politik yang telah diguriskan di atas telah dimuat serta dibincangkan di dalam pelbagai karya pensejarahan Melayu mengenai Johor yang telah dihasilkan sejak kurun ke 16 Masehi hingga kini. Antaranya yang paling terkenal serta terawal ialah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang telah siap dikarang semula oleh bendahara Johor-Riau yang ke 14 iaitu Tun Seri Lanang. Selain daripada memuatkan pelbagai aspek sejarah Empayar Melayu Melaka, pensejarahan Melayu berbentuk budaya/tamadun ini telah menceritakan pula tentang sejarah Johor/Riau setelah kejatuhan Melaka sehinggalah ke zaman Tun Seri Lanang, yakni awal abad ke 17 Masehi. Dalam tempoh tersebut diceritakan tentang pengunduran Sultan Ahmad dan Sultan Mahmud, perjuangan mereka untuk merampas kembali Melaka, kegagahan dan kesetiaan serta pengorbanan para pembesar dan penetapan pusat-pusat kerajaan di persisiran tebing Sungai Johor (walaupun berpindah daripada satu tempat ke satu tempat), iaitu selepas kemangkatan Sultan Mahmud di Kampar pada T.M. 1528. Kepentingan dan relevannya di sini ialah bahawa catatan di dalam Sulalatus Salatin itu menunjukkan bahawa selepas T.M. 1511 dan T.M. 1528, Johor telah menjadi wadah penempatan pusat-pusat pentadbiran raja-raja yang berasal daripada Melaka. Apakah sebelum itu tiada penempatan atau kerajaan yang wujud di Johor. Sebelum itu memang ada beberapa petempatan, malah "kerajaan", yang dicatatkan sama ada oleh Sulalatus Salatin itu atau Negara Kertagama, sebuah babad Jawa mengenai kerajaan Majapahit. Antara yang disebut di dalam kedua-dua penulisan itu ialah Ganggayu (Gengga Ayu), Sayong, Ujong Tanah, Muar, Kota Buruk dan Batu Pahat. Gambarannya ialah petempatan dan beberapa "kerajaan" sudah wujud di beberapa tempat di Johor yang kemudiannya merupakan wilayah-wilayah yang membentuk negeri itu.
Oleh kerana itu harus juga difikirkan siapakan Raja Johor yang pertama? Dalam hal ini nampaknya terdapat satu kebulatan pendapat yang menyimpulkan bahawa Raja Johor yang pertama ialah Sultan Mahmud Syah I (1488-1528) yang merupakan Sultan Melaka terakhir yang telah undur dan bersemayam ke Batu Hampar sebelum berundur pula ke Pahang, Bentan (Riau) dan akhirnya Kampar. Apakah ini boleh terus diterima? Hakikatnya, pensejarahan Melayu seperti Sulalatus Salatin itu, di samping menyebut beberapa petempatan dan "kerajaan" awal tadi, menyebut juga tentang adanya raja yang memerintah di situ. Misalnya, Ganggayu (atau Klang Kio) disebut sebagai sebuah "negara besar, kotanya dibuat daripada batu hitam dan masih ada di hulu Sungai Johor … nama rajanya Raja Culan, raja besar …" Namun lebih saheh daripada itu Sulalatus Salatin menyebut bahawa Raja Iskandar dalam pelariannya dari Singapura telah "singgah" yakni membuka negeri di Muar, iaitu tempat terakhir sebelum baginda menegakkan kerajaan Melaka. Mengikut Tome Pires dalam catatannya berjudul Suma Oriental itu Raja Iskandar (atau Parameswara) telah berkerajaan di Muar selama enam tahun sebelum berpindah ke Bertam/Melaka. Kedua-dua catatan ini jelas menunjukkan bahawa Raja Iskandar (Parameswara ) telah menjadi raja di Muar (Johor) dahulu sebelum pindah ke Melaka. Tome Pires juga mencatatkan bahawa baginda sudah agak selesa berkerajaan di Muar dan hanya bersetuju pindah ke Melaka setelah didesak oleh para pengikutnya yang setia (yang terdiri daripada orang-orang Selat). Oleh itu mengikut yang tercatat di dalam Sulalatus Salatin itu, Raja Johor yang pertama seharusnya Raja Iskandar (Parameswara) yang telah berkerajaan di Muar selama enam tahun yang kesahehannya telah dicatatkan juga oleh orang-orang Portugis dan China.
Selepas Sulalatus Salatin, karya pensejarahan Melayu yang ada mencatatkan tentang Johor ialah Bustanul Salatin, tulisan Syeikh Nurudin al-Raniri, ulama dan penasihat Sultan Iskandar Thani Aceh, juga dikatakan sebagai tokoh sezaman denganTun Sri Lanang. Menurut R . O Winstedt selain memuatkan sejarah Islam dan salasilah Raja-raja Aceh, karya ini juga memuatkan salasilah keturunan raja-raja Melaka, Johor dan Pahang yang jelas didasarkan kepada Sulalatus Salatin, karya Tun Sri Lanang itu. Oleh kerana itu tidaklah banyak perbezaan daripada segi salasilah yang di catatkannya.
Perkembangan seterusnya di dalam penghasilan persejarahan Melayu mengenai Johor ini ialah apabila pusat kerajaan itu berpindah ke Riau selepas perlantikan Raja Sulaiman menjadi Sultan Johor ke-13 (?) mulai awal dekad ketiga kurun masehi kelapan belas. Dari situ terhasillah karya-karya seperti Peringatan Sejarah Negeri Johor, Hikayat Negeri Johor, Aturan Setia Bugis dengan Melayu , Hikayat Raja-Raja Riau, yang pada umumnya membicarakan tentang kemasukan suku Bugis dalam arena politik Johor-Riau, dan beberapa buah negeri di Semenanjung dan juga salasilah keturunan tokoh-tokohnya serta di pihak suku Melayu dan pertalian antara keduanya. Kebanyakan karya ini tidak mempunyai nama pegarangnya namun kerap pula dikaitkan dengan nama seorang ulama, pujangga dan sejarawan agung Riau pertengahan kurun ke 19 Masehi dahulu, iaitu Raja Ali Haji.
Dalam pada itu Raja Ali Haji telah menghasilkan dua buah karya pensejarahan tentang Johor-Riau yang kini sangat dikenali iaitu Tuhfat al-Nafis (mengikut V.Matheson dan B.W. Andaya dihasilkan bersama ayahandanya, Raja Ahmad) dan Silsilah Melayu dan Bugis dan Sekalian Raja-Rajanya. Kedua-dua karya ini dikatakan mempunyai beberapa persamaannya terutama daripada segi kandungannya yang membicarakan tentang silsilah keturunan Raja-Raja Melayu (yang berasal daripada Bukit Seguntang dan silsilah Raja-Raja Bugis yang berasal dari Negeri Luwu') dan perkaitan atau pertalian antara keduanya. Juga peranan serta kedudukan orang-orang Bugis dalam struktur dan hirarki politik dan kekuasaan di dalam Empayar Johor-Riau-Lingga itu. Begitu juga tentang perebutan kuasa yang diikuti dengan peperangan yang melibatkan kerabat Sultan Abdul Jalil dan pihak Bugis di satu pihak melawan Raja Kecil Siak di pihak yang lain. Namun karya-karya ini, khususnya Tuhfat al-Nafis, tidak mencatatkan senario politik dan silsilah semata-mata. Walaupun karya yang melingkungi jangkawaktu kira-kira seribu tahun ini tidaklah seluas Sulalatus Salatin, namun Raja Ali Haji telah cuba menggabungkan keseluruhan entiti alam Melayu ke dalam satu entiti yang berpusatkan Empayar Johor-Riau-Lingga dengan berteraskan keunggulan suku Bugis khasnya dan Melayu amnya. Oleh sebab itu beliau telah memberikan judul yang sangat sesuai bagi karya pensejarahannya, iaitu Tuhfat-al-Nafis, bermaksud "Hadiah yang Bernilai". Sesungguhnya karya ini memang bernilai, sama ada daripada segi pensejarahannya mahupun kedudukannya sebagai sumber sejarah.
Setelah kita memasuki abad ke 20 Masehi, didapati pensejarahan Melayu Johor yang berpaksikan politik, silsilah, raja dan pembesar, atau yang disebut oleh Khoo Kay Kim sebagai pensejarahan negeri masih diteruskan penghasilannya. Antaranya yang terkenal ialah Hikayat Johor dan Tawarikh Al-Marhum Sultan Abu Bakar (1911) ditulis oleh sejarawan Johor yang tidak asing lagi, iaitu Muhammad Said Hj. Sulaiman. Karya yang berjumlah 26 fasal ini, bermula dengan kerajaan Johor yang merupakan waris Empayar Melayu Melaka. Dikatakan bahawa kerajaan Johor "pada zaman dahulu suatu kerajaan yang besar dalam Tanah Melayu … hingga meliputi separuh tanah besar Melayu ini; sebelah baratnya sampai ke Melaka dan Selangor; sebelah utaranya smapai ke Pahang dan Terengganu, sebelah timur sampai ke Pulau Tioman dan Pulau-pulau Tujuh; dan sebelah selatannya hingga ke Pulau Riau. Akan tetapi kerajaan itu dari satu masa ke satu masa telah jadi berpecah-pecah … tinggallah masa ini … keluasannya kira-kira 7,678 "square mile" dan isi negerinya 282,234 orang dalam banci T.M. 1921". Kemudian dicatatkan pula jurai keturunan raja-raja Johor bermula daripada Sultan Alauddin Riayah Syah II hinggalah Sultan Mahmud Syah II (mangkat dijulang). Seterusnya tentang jurai keturunan Bendahara Tun Habib, Sultan Abdul Jalil dan peristiwa gerakan Raja Kecil Siak yang membawa kepada kemunculan pihak Bugis seperti yang termasyhur kisahnya. Namun karya ini meneruskan catatan hinggalah ke zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar. Sebenarnya tumpuan utama karya ini adalah kepada zaman pemerintah Sultan Abu Bakar itu dan ketokohan serta kebijaksanaan baginda dalam pemerintahan dan pembukaan serta pemodenan Negeri Johor. Bahagian akhirnya ialah tentang kemangkatan baginda di London pada 4hb Jun 1895, dan upacara membawa jenazah baginda kembali ke Johor dan seterusnya upacara perlantikan Tengku Mahkota Raja Ibrahim menggantikan baginda sebelum jenazah baginda dimakamkan.
Sebenarnya Muhammad Said Sulaiman telah menghasilkan sebuah lagi karya pensejarahan tentang negeri dan pemerintahan Johor iaitu Hikayat Johor (Penggal 2) dan Tawarikh YMM Ibrahim Sultan Johor (1947), yang merupakan sambungan Hikayat Johor tahun 1911 dahulu dan mencatatkan zaman pemerintahan Sultan Ibrahim yang menggantikan Sultan Abu Bakar. Ada beberapa buah lagi karya pensejarahan oleh sejarawan tersebut, namun dalam bentuk tokoh itu didapati ada juga penulis-penulis lain yang telah menghasilkannya. Terpenting antaranya ialah karya berjudul Tarikh Dato' Bentara Luar Johor (1928) oleh Muhammad bin Hj. Alias. Sebenarnya Muhammad Hj. Alias hanya menghimpunkan penulisan dan catatan yang pernah dibuat oleh tokoh itu sendiri, dengan memberikan satu "Pendahuluan" yang mencatatkan riwayat hidup tokoh serta jasa-jasanya sebagai seorang yang "terbilang dalam tawarikh Johor … menjadikan negeri … ahli geografiah yang masyhur di antara orang-orang Melayu dalam zamannya, panglima perang yang berani .. ahli syaer Melayu yang terbilang, dan ahli permainan dan bunyi-bunyian yang mahir." Hakikatnya tokoh ini, yang nama sebenarnya ialah Muhammad Salleh bin Perang (1841-1915) adalah seorang pembesar yang telah banyak berjasa kepada negerinya terutama daripada segi membawa pembangunan dan pemodenan Negeri Johor.
Tentang riwayat tokoh ini, terdapat juga karya yang berjudul Ringkasan Tawarikh Allayarham Haji Mohd. Taib bin Hj. Osman (1938), oleh Jaafar bin Haji Muhd. Taib, iaitu anak kepada tokoh yang berkenaan, iaitu seorang yang sangat cekal bekerja membuka Parit Jamil, Muar sehingga akhirnya beliau dilantik oleh Sultan Johor jadi penghulu di situ. Kemudian dalam dekad 1950an serta dekad-dekad seterusnya, terdapat karya seperti itu; misalnya sebuah auto-biografi berjudul Riwayat Hidup Major Haji Muhammad Said bin Haji Sulaiman (1954) oleh tokoh yang berkenaan, dan antara yang paling mutakhir ialah Memoir Shahrom Husein: Selingkar Kenangan Abadi (1996), oleh beliau sendiri. Sebelum itu pengarang yang sama juga telah menghasilkan sebuah karya pensejarahan tokoh, berjudul Biografi Perjuangan Politik Dato' Onn Jaafar, mengenai seorang tokoh dan nasionalis Melayu Johor yang sangat terkenal dan tersohor.
Jika kita kembali kepada pensejarahan politik dan negeri tadi, maka selepas Hikayat Johor, (penggal 2), sebuah lagi penulisan seperti itu ialah yang berjudul Tawarikh Johor (1950) oleh Shaharom Husain. Walaupun karya ini hanya terdiri daripada 10 bab sahaja dan agak ringkas keadaannya, namun ia telah memuatkan ruang lingkup yang agak luas, iaitu bermula dengan Johor semasa di bawah kuasa Empayar Melayu Melaka, kemudian menjadi pewarisnya. Seterusnya ia menjadi Empayar Johor-Riau yang memang sudah terkenal itu. Empayar itu juga telah merentasi pelbagai pengalaman dan perkembangan serta menghadapi pelbagai cabaran dan pancaroba, hingga akhirnya kerajaan itu "terserah kepada Raja-Raja keturunan Temenggung". Ringkasnya Shaharom Husain telah menuliskan sejarah Johor bermula dari sejak abad kelima belas Masehi hinggalah ke zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar yang telah mangkat pada T.M. 1895 itu. Sejarawan ini kemudiannya telah mengedit, memperbaiki dan menambah isi kandungan karyanya ini lalu diterbitkan dengan judul Sejarah Johor: kaitannya dengan Negeri-Negeri Melayu (1995).
Namun bagi sejarah Johor yang ditinjau khusus daripada sudut jurai keturunan raja-rajanya, kita dapati Haji Buyong Adil telah menghasilkan sebuah penulisan yang agak panjang lebar, bermula daripada pemerintahan Sultan Mahmud Syah I (1511-1928) hinggalah pemerintahan Sultan Ismail, ayahanda sultan Johor kini. Karya beliau ini berjudul Sejarah Johor (1971; 1980 cetakan kedua) yang merupakan satu daripada siri pensejarahan negeri yang telah dihasilkan oleh beliau. Walaupun tumpuannya adalah kepada jurai keturunan, tetapi peristiwa-peristiwa atau episod-episod politiklah yang mengisi perbincangan tentang raja-raja dan entiti politik mereka.
Landasan politik ini juga dapat dilihat dalam pensejarahan Johor yang agak terkini, berjudul UMNO Johor: Memertabatkan Bangsa Melayu (1996) oleh beberapa orang sejarawan dan ahli akademik Melayu diketuai oleh Profesor Abu Bakar Hamid. Karya ini cuba menjelaskan kebangkitan UMNO serta peranannya, khususnya bagi dan di Negeri Johor, dan amnya di Malaysia, dalam membela serta memartabatkan bangsa Melayu daripada pelbagai sudut kehidupannya.
Sebenarnya karya-karya yang telah dibicarakan di atas itu menampakkan satu kecenderungan yang agak jelas di dalam penulisan mahupun kajian tentang sejarah Johor, iaitu kegemaran kepada perbicaraan tentang pensejarahan negeri, jurai keturunan, tokoh dan ketokohan dengan peristiwa atau episod politik menjadi tumpuan utama. Ini adalah sesuatu yang lazim kerana tetanamnya pengertian yang agak sempit dan seolah-olah menjadi kelaziman pula bahawa apa yang terkandung di dalam sejarah itu hanyalah politik, diplomasi, kerajaan dan pembesar-pembesarnya, iaitu seperti dilambangkan oleh sejarawan-sejarawan kurun ke 19 dan awal abad ke 20 Masehi dahulu. Atau seperti kata Winston Churchill bahawa sejarah adalah "kisah tentang tokoh-tokoh ternama".
Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa kelainan di dalam penghasilan dan penulisan pensejarahan Melayu bagi Negeri Johor ini. Daripada segi bentuk penulisan misalnya, selain daripada yang berbentuk prosa terdapat pula yang dihasilkan dalam bentuk syair. Dalam bentuk ini antara yang terawal ialah syaer yang dikarang oleh Raja Ali Haji yang dimuatkannya di dalam pensejarahannya, terutamanya yang berjudul Silsilah Raja-Raja dan Bugis itu. Antaranya syaer beliau itu menggambarkan peristiwa-peristiwa seperti peperangan Daeng Parani di Kedah.
Selain daripada itu ialah Syaer Raja Haji yang mengkisahkan penentangan Raja Haji terhadap Belanda di Melaka yang berakhir dengan terkorbannya beliau di situ; Syaer Sultan Mahmud di Lingga, sebuah syaer yang panjang tentang perjalanan baginda dan keluarganya menunaikan fardhu Haji ke Makkah. Terdapat juga Syaer Singapura Terbakar atau Syaer Singapura di Makan Api dan Syaer Kampung Gelam Terbakar; kedua-duanya ada hasil karya pujangga terkenal kurun ke 19 Masehi, iaitu Abdullah Munsyi. Sebagai puisi, kesejarahan sesebuah syaer tentu menimbulkan persoalan. Namun disebabkan unsur sejarahnya memang ada, dan kadangkala ada pula ketepatannya, maka ia boleh juga dikira sebagai karya berbentuk sejarah.
Demikianlah misalnya sebuah syaer yang sangat menarik yang mempunyai banyak ketepatan sejarah walaupun ia disajikan dalam bentuk puisi. Syaer itu berjudul Syaer al-Marhoem Baginda Sultan Abu Bakar di Negeri Johor (1896) yang ditulis seorang Cina peranakan bernama Na Tian Piet, sahabat Dato' Bentara Luar. Seperti judulnya, syaer ini pada asasnya adalah sebuah riwayat hidup baginda Sultan Abu Bakar (1831-1895) daripada sejarah baginda dilahirkan hingga mangkat di London. Bagaimanapun rentetan peristiwa yang dimuatkan adalah yang penting sahaja; misalnya, usaha baginda membuka dan memajukan beberapa petempatan baru, lawatan-lawatan keluar negeri, upacara-upacara keramaian dan adat istiadat dan sambutan terhadap pembesar-pembesar negara luar yang datang melawat Johor. Demikian jugalah halnya dengan sebuah syaer yang berjudul Syaer Riwayat Hidup Yang Amat Mulia Tengku Ampuan Besar Pahang (Tengku Mariam bt. Sultan Abu Bakar Johor (1953) yang dikarang oleh Muhammad Said Hj. Sulaiman. Syaer ini meriwayatkan sejarah hidup Tengku Mariam yang telah dilahirkan di Singapura pada T.M. 1871. Baginda kemudian berkahwin dengan Sultan Mahmud Pahang dan diberi gelaran Tengku Ampuan Besar Pahang, iaitu selepas baginda diangkat menjadi permaisuri Pahang Sultan Mahmud mangkat pada T.M. 1917 dan Tengku Mariam kemudiannya telah dibawa pulang ke Johor oleh adindanya, iaitu Sultan Ibrahim. Tengku Mariam telah mangkat pada T.M. 1952 dan dimakamkan di Makam Mahmudiah. Syaer ini memuatkan pula beberapa kisah tentang "enam orang sultan-sultan Melayu kita" yang pernah memerintah Johor dan Pahang, iaitu Sultan Abu Bakar, Sultan Ibrahim, Sultan Ahmad, Sultan Mahmud Sultan Abdullah dan Sultan Abu Bakar. Namun suatu bahagian yang agak istimewa juga bagi syaer ini ialah bahagian yang berjudul "Jepun Melanggar Malaya". Walaupun ringkas (16 rangkap sahaja) namun ia telah mencatatkan tentang mula-mula Jepun melanggar Tanah Melayu, kekalahan pihak Inggeris, kejatuhan Singapura, layanan baik pihak Jepun terhadap keluarga diraja Johor dan akhirnya kekalahan pihak Jepun itu sendiri. Tambahan pula, sepanjang yang diketahui inilah satu-satunya catatan sejarah berbentuk syaer yang telah memberikan gambaran tentang pencerobohan Jepun ke atas tanah air kita. Sebenarnya apa yang dimuatkan oleh penulis syaer ini ialah sebahagian daripada peristiwa yang berlaku dan dialami oleh Tengku Mariam sepanjang hayatnya (1871-1957).
Kelainan juga dapat dilihat daripada segi isi kandungan pelbagai pensejarahan Melayu Johor itu. Ertinya selain daripada peristiwa-peristiwa politik, negeri, kerajaan dan tokoh-tokoh terdapat juga pelbagai perkara lain yang telah berlaku di sepanjang sejarah Johor itu yang telah dituliskan. Antaranya yang dapat dikesan dan telah diterbitkan, khususnya sebelum dekad 1960an abad yang lalu ialah tiga buah karya Muhammad Said Hj. Sulaiman. Yang pertama, yang agak menarik juga ialah yang berjudul Pakai Patut Melayu (1931). Sebenarnya ini adalah sebuah karya tentang sejarah fesyen pakaian Melayu, terutamanya bagi Negeri Johor sendiri, iaitu bagi pakaian lelaki, perempuan dan kanak-kanak mengikut kesesuaian dan keadaan masing-masing. Jenis pakaian itu dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan pakaian "biasa" atau seharian dan kumpulan pakai "kehormatan" atau rasmi, khususnya bagi lelaki dan perempuan dewasa. Lelaki lazimnya memakai seluar dan fesyen seluar biasa kaum lelaki antaranya ada tiga jenis, iaitu "seluar sempak" (seluar pendek atas paha), "seluar katuk" (panjangnya sampai ke lutut) dan "seluar qabul" (pinggan berjerut tali tetapi bukannya seluar orang Qabul). Bagi pakaian kehormatan pula orang lelaki bolehlah memakai baju Melayu cekak musang (atau "baju Wan") dan sampin selengkapnya. Tetapi yang lebih baik dan selesa ialah pakaian Barat dan bersongkok kerana pakaian itu sesuai pada setiap waktu, termasuklah waktu sembahyang. Tetapi "kain batik atau pakai berbunga, tidak masuh jumlah pakian lelaki". Bagi pakaian perempuan pula ialah "kebaya, baju kurung Teluk Belanga dan bertudung bagi mereka yang beriman dan takut kepada Allah.
Sebuah lagi karya beliau ialah "Perihal Adat Melayu: Mengandungi Kanun Sultan Sulaiman Riau dan Ringkasan Kanun Sultan Muhammad Syah Melaka" yang telah diterbitkan dalam jurnal Peredar Angka 5 (1938). Karya ini memang berguna bagi para pengkaji sejarah sosio-budaya Melayu kerana penulis ini, antara lainnya, telah juga memberikan takrif adat, resam dan kanun berdasarkan kajian serta pengamatannya terhadap sejarah sumber warisan daripada Empayar Melaka dan Johor-Riau sendiri. Antara sumber rujukan dan bacaannya itu termasuklah naskhah Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Riau (Kanun Sultan Sulaiman), Adat Minangkabau dengan Agama Islam dalam Hal Adat dan Kitab Tambuk Alam Minangkabau. Berdasarkan rujukan dan bacaan ini, beliau telah membicarakan secara ringkas tentang kanun Melayu yang pertama, iaitu Kanun Sultan Muhammad Syah atau lebih dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka. Seterusnya kanun Melayu kedua, iaitu Kanun Riau yang telah dituliskan semasa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah (1722-1760) Ibnu Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV (1699-1718). Perincian adalah lebih kepada perbicaraan tentang Kanun Riau, sedangkan Hukum Kanun Melaka hanya diturunkan tajuk-tajuk setiap fasal sahaja. Bagaimanapun pengaruh Hukum Kanun Melaka terhadap Kanun Riau itu tetap ada. Penulis juga telah menyentuh tentang Adat Temenggung dan Adat Perpatih tetapi tidaklah memperincikan fasal-fasalnya.
Sebuah lagi karya Muhammad Said Hj. Sulaiman ialah yang berjudul P.MP.B. Diraja: Perihal Pakatan Ini Dari Mula Ditubuhkan Hingga 17 September 1940, yang mencatatkan sejarah penubuhan semula `pakatan' atau persatuan itu yang pernah ditubuhkan kira-kira 52 tahun dahulu (1888) sebelum sebelum ia dihidupkan semula pada tahun 1935. Sebenarnya pakatan itu adalah sebuah badan yang penting dalam memajukan pendidikan dan pengajian bahasa dan persurat Melayu bagi Negeri Johor.
Bagi karya selepas dekad 1970an yang cuba mengkaji sejarah Johor daripada sudut yang lebih luas ialah yang berjudul, Sejarah Johor Moden 1855-1040: Satu Perbincangan Dari Pelbagai Aspek (1978), oleh M.A. Fawzi Basri dan Hasrom Haron. Sebenarnya judulnya sendiri sudah menggambarkan isi kandungan karya ini. Aspek perbicaraan yang dikemukakan oleh para penulisnya ialah tokoh-tokoh utama Negeri Johor yang telah banyak berjasa dalam membangun dan membangunkan negeri itu. Misalnya Dato' Jaafar Haji Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama; Datuk Seri Amar DiRaja; (Abdul Rahman b. Andak) tokoh yang sangat berperanan dalam menghalang usaha British untuk menjajah Johor; Datuk Bentara Luar (Muhammad Salleh bin Perang) tokoh atau arkitek pembangunan dan pemoden Johor dan Major Datuk Muhammad Said Sulaiman, sejarawan dan cendekiawan Johor moden yang termasyhur itu. Satu lagi aspeknya ialah perkembangan ekonomi yang membicarakan tentang pembangunan, keadaan serta perkembangan ekonomi di bandar-bandar seperti Batu Pahat, Segamat, Muar dan Endau. Karya ini juga membincangkan beberapa aspek pentadbiran Johor, termasuklah bentuk yang terdapat dalam zaman tradisinya. Kemudian dimuatkan beberapa dokumen yang dianggap penting termasuklah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang telah digubal pada T.M. 1895 itu. Sebenarnya kebanyakan judul yang dibicarakan di dalam karya ini adalah terdiri daripada karya-karya penulis (terutama M.A. Fawzi Basri) yang telah diterbitkan di dalam pelbagai media penerbitan antara tahun 1972-1978.
Mungkin ada beberapa penerbitan tentang sejarah Johor yang tidak disebutkan di dalam makalah ini. Namun apa yang dapat dirumuskan ialah bahawa pelbagai karya pensejarahan Melayu yang telah dibincangkan di atas telah juga membincangkan tentang permulaan, sejarah dan perkembangan Negeri Johor itu daripada pelbagai sudut dan aspek kewujudannya. Pelbagai penulisan atau pensejarahan Melayu itu telah mencatatkan sejarah Johor iaitu daripada petempatan atau kerajaan kuno dan legendaris seperti Ganggayu (Klangki) dengan rajanya bernama Raja Chulan, Muar dan kemudian menerusi Empayar Melayu Melaka, Empayar Johor-Riau-Lingga, hingga akhirnya sampailah kemunculan Johor moden yang berkembang daripada sejak awal abad kesembilan belas yang lalu hingga kini. Secara luasnya catatan itu dianggap sebagai catatan tentang sejarah politik Johor. Daripada hakikatnya memang penulisan tentang sejarah politik itu yang didapati melebihi daripada aspek-aspek lain.
Walau bagaimanapun, terdapat penulisan sejarah yang membicarakan aspek-aspek yang bukan politik bagi Negeri Johor itu. Antaranya ialah yang membicarakan tentang sejarah sosial, pertubuhan dan juga ekonomi. Dengan perbincangan yang demikian, maka bererti ruang lingkup sejarah Johor telah dibicarakan selengkap yang mungkin. Namun masih ada ruang lagi yang boleh dituliskan, misalnya tentang sejarah masyarakat Johor sama ada yang berbentuk tradisi ataupun yang moden. Ataupun tentang sejarah kewujudan, kebangkitan dan perkembangan kerajaan-kerajaan Melayu yang wujud silih berganti di persisiran tebing Sungai Johor dari sejak zaman sebelum Empayar Melayu Melaka lagi hingga kurun kelapan belas. Malah tentang jurai keturunan raja-raja Johor, termasuklah persoalan serta penentuan siapakah sebenarnya raja Johor yang pertama? Kajian seperti ini sudah tentulah akan menjelaskan beberapa kekeliruan dan kesamaran yang terdapat di dalam rentetan perkembangan sejarah Johor itu di samping akan dapat memartabatkan kedudukan Johor itu sendiri di dalam jalinan arus dan rentak pergerakan sejarah tanah air.
Dalam pada itu karya pensejarahan Melayu tentang Johor yang telah dihasilkan itu sesetengahnya terdiri daripada yang berbentuk tradisi dan sesetengahnya pula yang moden. Ada di antaranya telah dianggap sebagai karya agung, seperti halnya dengan karya Tun Seri Lanang berjudul Sulalatus Salatin, atau karya Raja Ali Haji berjudul Tuhfat al-Nafis itu. Walau apapun kategorinya, yang penting ialah karya-karya tersebut telah memberikan catatan, gambaran, malah tafsiran yang berguna bagi melihat malah memahami perkembangan sejarah Johor itu.

Buku Rujukan dan Bacaan Pilihan
Abdul Samad Ahmad (pnyt.). 1979. Kerajaan Johor-Riau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Samad Ahmad (pnyt.). 1979. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah b. Abdul Kadir Munsyi. 1966. Hikayat Abdullah. 2 jil. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.
Abu Bakar Hamid dll. 1996. UMNO Johor: Memartabatkan Bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd.
Andaya, B.W. & L.Y. 1982. A History of Malaysia. London: The Macmillan Press Ltd.
Andaya, L.Y. 1987. Kerajaan Johor 1641-1728: Perkembangan Ekonomi dan Politik. Terjemahan Shamsuddin Jaafar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Cortesao, A. (tr.). 1944. The Suma Oriental of Tome' Pires. London: The Hakluyt Society.
Haji Buyong Adil. 1973. Sejarah Melaka Dalam Zaman Kerajaan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Haji Buyong Adil. 1980. Sejarah Johor. Cetakan kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jaafar Hj. Mohd. Taib. 1938. Ringkasan Tawarikh Allahyarham Haji Mohd. Taib bin Haji Othman. (Penghulu Parit Jamil Muar). Muar: Jamiliah Press.
M.A. Fawzi Basri & Hasrom Haron. 1978. Sejarah Johor Moden 1855-1940: Satu Perbincangan Dari Pelbagai Aspek. Kuala Lumpur: Muzium Negara Malaysia.
Muhammad b. Haji Alias. 1928. Tarikh Datuk Bentara Luar. Johor Bharu: al-Attas.
Muhammad Ibrahim Munsyi. 1919. Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi. Johor Bahru.
Muhammad Said Hj. Sulaiman. 1911. Hikayat Johor. Singapura.
Muhammad Said Hj. Sulaiman. 1931. Pakai Pahat Melayu. Johor Bahru.
Muhammad Said Hj. Sulaiman. 1938. "Perihal Adat Melayu: Mengandungi Kanun Sultan Sulaiman Riau dan Ringkasan Kanun Sultan Muhammad Syah Melaka", Peredar Angka. Singapura: Matbaah Press.
Muhammad Said Hj. Sulaiman. 1940. P.M.P.B. Diraja: Perihaal Pakatan ini Dari Mula Ditubuhkan Hingga 17 September, 1940. Singapura: Matbaah al-Ahmadiah.
Muhammad Said Hj. Sulaiman. 1947. Hikayat Johor (Penggal 2) dan Tawarikh YMM Ibrahim Sultan Johor. Johor Bahru: Pejabat Cetak Kerajaan Johor.
Muhammad Said Hj. Sulaiman. 1953. Syaer Riwayat Hidup Yang Amat Mulia Tengku Ampuan Besar Pahang (Tengku Mariam binti Sultan Abu Bakar). Johor Bahru: Pejabat Cetak Kerajaan Johor.
Muhammad Said Hj. Sulaiman. 1954. Riwayat Hidup Major Haji Mohd. Said bin Haji Sulaiman. P. Pinang: Nanyang Press.
Muhd. Yusof Ibrahim. 1997. Pensejarahan Melayu 1800-1960. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Na Tien Piet. 1896. Shaer al-Marhoem Baginda Sultan Abu Bakar Di Negeri Johor. Singapura.
Raja Ali Haji. 1965. Tuhfat al-Nafis: Sejarah Melayu dan Bugis. Dirumikan oleh En. Munir Ali. Singapura: Malaysia Publications Ltd.
Raja Ali Haji. 1973. Silsilah Melayu dan Bugis dan Sekalian Raja-rajanya. Disusun dan dikaji oleh Arena Wati. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.
Shaharom Husain. 1950. Tawarikh Johor. Singapura: al-Ahmadiah Press.
Shaharom Husain. 1985. Biografi Perjuangan Politik Dato' Onn Jaafar. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Shaharom Husain. 1995. Sejarah Johor: Kaitannya Dengan Negeri Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Winstedt, R.O. 1992. A History of Johore (1365-1941). JMBRAS reprint No. 6.