PENSEJARAHAN MELAYU-BUGIS: TUHFATUN NAFIS

Pengenalan
Karya Raja Ali Haji yang teragung, iaitu Tuhfatun Nafis itu memang mempunyai pengertian yang tepat, iaitu "Hadiah Yang Bernilai", khususnya kepada anak cucu atau zuriatnya, sama ada yang di Tanah Melayu, Tanah Bugis atau alam Melayu ini secara amnya. Raja Ali Haji telah menghadiahkan kepada mereka itu suatu khazanah yang sangat berharga, sebuah karya pensejarahan tentang asal usul serta kebesaran mereka, peranan serta tindakan mereka dan hubungan serta interaksi mereka dalam hal-hal yang berupa politik, ekonomi dan sosial di dalam entiti yang dikenali sebagai alam Melayu ini (khususnya sekitar Malaysia dan Indonesia sekarang). Walau bagaimanapun penekanan adalah hubungan dan perkaitan di antara Tanah Bugis dengan Tanah Melayu atau apa yang dipanggil sebagai Tanah Barat itu. Oleh yang demikian, maka Raja Ali Haji, bukan sahaja menceritakan asal usul raja-raja keturunan Bugis, tetapi telah pula memulakan karyanya dengan memperkatakan tentang asal usul raja-raja Melayu dan seterusnya bagaimana mereka itu telah "... bercampuran nasab setengah atas setengahnya ..." dan " ... yang jadi bermasuk-masukan pada kerabat pada pihak raja Melayu, dengan sebab berlaki isteri berambil-ambilan di antara kedua pihak".
Dengan kata lain, melalui karya pensejarahannya beliau cuba menjelas serta meriwayatkan hubungan antara dua pelusuk bangsa serumpun yang wujud dalam suatu entiti tetapi terpisah secara geografinya. Justeru itu karya beliau itu boleh dianggap sebagai sebuah jambatan yang menghubungkan keduanya dan Raja Ali Haji, yang berketurunan Bugis itu adalah, pembinanya.

Riwayat Hidup Raja Ali Haji
Raja Ali Haji boleh dikatakan mempunyai riwayat hidup yang agak jelas. Beliau telah dilahirkan pada kira-kira tahun 1225 Hijrah/T.M. 1809 di Pulau Penyengat, iaitu salah sebuah pulau yang terpenting di lingkungan Kepulauan Riau yang juga dikenali sebagai "Pulau Segantang Lada". Beliau ialah cucu kepada Raja Haji, seorang pahlawan Melayu/Bugis yang terbilang yang dianggap telah mati al syahid fi sabilillah ta'ala di Teluk Ketapang dekat dengan bandar Melaka, pada T.M. 1784, kerana berperang dengan Belanda yang pada ketika itu menguasai Melaka. Jika dilanjutkan lagi, susur galur keturunan beliau sampai kepada Upu Daing Celak (Daeng Pali), iaitu salah seorang dari lima orang putera Upu Tanderi Burung Daeng Rilaka putera Lamadusalad, Raja Bugis yang berkerajaan di Luwuk dan yang dianggap mula-mula sekali memeluk agama Islam. Kelima orang putera Lamadusalad itu telah keluar dari negara mereka dan mengembara ke seluruh alam Melayu dan akhirnya mereka, dan seterusnya keturunan mereka, berjaya menempatkan diri masing-masing di dalam arena politik dan pemerintahan kerajaan-kerjaan Melayu terutamanya di bahagian barat Alam Melayu sejak kurun ke-18 lagi; ini termasuklah Empayar Johor-Riau. Demikianlah Raja Ali Haji adalah salah seorang dari keturunan keluarga yang terbilang itu. Beliau adalah salah seorang pembesar di dalam kerajaan Riau (yang merupakan sebahagian dari Empayar Johor-Riau sebelum T.M. 1824); malah beliau adalah merupakan penasihat (atau Perdana Menteri) kepada Yang Dipertuan Muda yang juga merupakan sepupu beliau, iaitu Raja Ali.
Kedudukannya yang baik itu membolehkan beliau mendapatkan serta merujuk bahan-bahan kajiannya yang terdapat di istana dengan mudah. Malah beliau sendiri adalah dilahirkan dan dibesarkan di dalam suasana yang mementingkan ilmu pengetahuan. Pulau Penyengat sendiri, pada ketika keluarga dan keturunan beliau menguasai Riau, adalah merupakan "pusat kebudayaan Melayu dan pusat ilmu pengetahuan Islam di Kepulauan Melayu". Raja Ahmad, yang bergelar Engku Haji Tua, iaitu bapa Raja Ali Haji adalah juga seorang tokoh ilmu dan politik yang terkenal di Alam Melayu. Beliau telah membawa Raja Ali Haji ke Mekah dan memberi kesempatan kepada anaknya tinggal di sana untuk menuntut ilmu. Selepas itu Raja Ali Haji berkesempatan pula pergi ke Kaherah, ibu kota Mesir itu, untuk meluaskan pengalaman dan memperdalamkan ilmu agamanya. selepas itu barulah ia kembali ke tanahairnya, yakni ke Pulau Penyengat dan bersedia untuk mengembangkan ilmu yang telah dipelajarinya, iaitu ilmu-ilmu yang berdasarkan kepada agama Islam itu sendiri. Disamping menjadi guru di bidang pendidikan Islam dan bahasa, beliau juga telah "memberikan khidmat kepada sepupunya, iaitu Yamtuan Muda Riau sebagai penasihat, guru agama, pakar undang-undang dan teman".
Dalam kedudukan dan tugasnya yang demikian itulah, beliau telah dapat menghasilkan beberapa buah penulisan yang berkaitan dengan sejarah, agama, politik, bahasa/nahu da kesusasteraan, yang antara lainnya adalah secara amnya bagi bertujuan untuk panduan kepada saudara-saudara seagamanya.
... yang terawal daripadanya yang ada di dalam catatan kita ialah Gurindam Dua Belas (1847) dan Bustan al-Katibin (1851). Dalam tahun 1857 ia mengarang Thamarat al-Mahammah, satu tritis untuk para pemerintah yang menerangkan bagaimana mereka berkelakuan dan mentadbir, kerajaan dengan betul. Ini segera diikuti kemudiannya dengan Muqaddimah fi intisam waza'if al-malik ..., sebuah lagi buku nasihat untuk pemerintah yang ditujukan bagi memperingati sepupunya Yamtuan Muda Ali yang baru sahaja mangkat. Dalam tahun 1858 Raja Ali memulakan kerja barunya yang tidak dapat diselesaikankan, iaitu Kitab Pengetahuan. Bahasa yang menyerupai kamus. Walaupun buku ini setebal 466 muka, ia hanya meliputi huruf pertama di dalam abjad Arab. Buku sejarahnya dilaksanakan menjelang akhir hayatnya, iaitu Salasilah Melayu dan Bugis yang telah siap pada tahun 1865 atau 1866.

Buku Salasilah Melayu dan Bugis dan Sekalian Raja-rajanya ini adalah salah sebuah dari karya persejarahannya yang terkenal. Secara kasarnya ia menceritakan tentang pengambaran dan kegiatan politik putera-putera lima bersaudara yang terkenal itu, khususnya mereka yang terlibat di dalam rebutan kuasa di dalam Empayar Johor-Riau sejak awal kurun kelapan belas hinggalah mereka berjaya menempatkan diri mereka di dalam arena politik kekuasaan di dalam empayar tersebut. Pada asasnya ia adalah merupakan sebuah karya sejarah, namun demikian ia masih memuatkan beberapa ciri persejarahan tradisi seperti adanya unsur-unsur kesusasteraan seumpama pantun dan syair yang diselitkan untuk mengukuhkan sesuatu penerangan.

Tuhfat al-Nafis
Tetapi karya persejarahannya yang lebih penting dari yang di atas ialah penulisannya yang berjudul Tuhfat al-Nafis (Hadiah Yang Bernilai). Winstedt menganggap karya ini sebagai sebuah karya persejarahan yang terpenting selepas Sejarah Melayu yang telah diperbaiki oleh Tun Seri Lanang pada T.M. 1612 itu. Karya itu juga boleh dianggap sebagai karya yang terbesar bagi Raja Ali Haji jika dibandingkan dengan karya-karyanya yang lain. Sebagai sebuah karya persejarahan, maka wajarlah ia diterima dan digunakan sebagai suatu sumber sejarah yang penting, terutamanya bagi sejarah Empayar Johor-Riau. Hakikat ini telah dijelaskan oleh Zainal Abidin Abdul Wahid apabila beliau mengatakan bahawa "tidaklah sempurna bagi seseorang itu menulis sejarah negeri-negeri Melayu, terutamanya Johor, Riau dan Selangor kalau buku ini tidak digunakan ..." Atas hakikat ini jugalah kita dapati beberapa orang pengkaji/pentadbir Inggeris seperti R.J. Wilkinson dan W. Linehan telah menggunakannya sebagai sumber rujukan bagi mengkaji sejarah dan selok-belok serta masalah-masalah bangsa Melayu.

Ringkasan Isi
Tuhfat al-Nafis ini telah ditulis pada pertengahan kurun masihi kesembilan belas. Secara amnya ia terdiri dari dua bahagian. Yang pertama, mengandungi peristiwa-peristiwa sejarah dan legenda yang berlaku sebelum zaman beliau, sedangkan yang kedua ialah tentang kegiatan orang-orang Bugis sejak kira-kira kurun ke-17 dan seterusnya peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa hayatnya sendiri sehinggalah kira-kira pertengahan T.M. 1860an iaitu apabila penulisannya itu selesai diusahakan oleh beliau. Dari segi jangkawaktu, karya ini melingkungi jangkamasa kira-kira seribu tahun, iaitu dari zaman Raja Melayu yang asal yang bernama Seri Teri Buana yang turun ke Bukit Seguntang dan akhirnya membuka dan berkerajaan di Temasik (Singapura) hinggalah sampai kepada zaman Temenggung Abu Bakar yang kemudiannya menjadi Sultan Johor. Bahagian awal, atau bahagian pertama penulisan ini adalah merupakan latar belakang kepada isi kandungan yang sebenarnya, iaitu yang menghuraikan hubungan sosio-politik di antara kerabat-kerabat diraja Melayu dan Bugis khususnya di dalam Empayar Johor-Riau dan sekelian jajahan takluknya dan juga kegiatan-kegiatan putera-putera dan keturunan Bugis yang terkenal itu di tempat-tempat lain seperti Kalimantan, Kedah, Terengganu dan Sumatera.
Walau bagaimanapun bahagian awal itu hanyalah merupakan gambaran kapsul sahaja, yakni yang merupakan petikan ringkas dari kitab Sulalatus Salatin, karya Tun Seri Lanang. Ia tertumpu kepada meriwayatkan salasilah Raja-raja yang memerintah Empayar Melayu Melaka dan seterusnya keturunan-keturunan mereka yang kemudiannya menjadi sultan-sultan di dalam Empayar Riau-Riau sehingga salasilah itu berakhir dengan terbunuhnya Sultan Mahmud "mangkat dijulang" di tangan Laksamana Megat Seri Rama pada T.M. 1699.
Selepas kemangkatan Sultan Mahmud, takhta Empayar Johor-Riau diwarisi oleh putera Bendahara Tun Habib Seri Maharaja. Setelah menjadi Sultan ia bergelar Sultan Abdul Jalil Syah. Dalam pemerintahan baginda inilah, Raja Kecil dari Pagar Ruyung muncul di dalam arena politik empayar tersebut dengan mendakwa dirinya sebagai putera al-marhum Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, lantas menuntut hak kekuasaannya ke atas takhta kerajaan itu. Raja Kecil kemudiannya telah berjaya membunuh Sultan Abdul Jalil dan menaiki takhta empayar tersebut dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah. Persengketaan itu tidaklah berakhir di situ sahaja, malah tindak-tanduk Raja Kecil itulah yang menjadi punca tindakan Raja Sulaiman, iaitu putera al-marhum Sultan Abdul Jalil, menjemput putera-putera Bugis berlima saudara agar dapat membantunya mendapatkan semula takhta kerajaan serta kekuasaannya. Putera-putera Bugis itu telah dapat melaksanakan tugas mereka dengan jayanya; Raja Kecil dapat dikalahkan dan alat-alat kebesaran kerajaan Johor-Riau diambil serta dipulangkan semula kepada Raja Sulaiman.
Berikutan dengan kejayaan itu, Raja Sulaiman telah dilantik oleh putera-putera Bugis menjadi Sultan menggantikan Raja Kecil yang telah tersingkir. Daeng Kelana Jaya Putera telah bertugas untuk memasyhurkan, yakni mentauliahkan permahkotaan Raja Sulaiman. Setelah semuanya berhimpun, Daeng Kelana Jaya Putera pun berdiri, dan sambil menghunus halamangnya, beliau berteriak demikian, "Barang tahu kiranya segala anak Bugis dan Melayu, maka adalah hari ini Raja Sulaiman bergelar Sultan Sulaiman Badrul `Alam Syah menjadi Yang Dipertuan Besar memerintah negeri Johor, dan Riau dan Pahang dengan segala daerah takluknya sekalian". Pemasyhuran ini kemudiannya diikuti dengan suatu permuafakatan di antara pihak Bugis dengan Melayu yang bertujuan melantik salah seorang daripada putera-putera Bugis itu sebagai yang Dipertuan Muda untuk "memerintahkan kerajaan Riau dan Johor dan Pahang dengan segala daerah takluknya". Dengan perlantikan itu, maka pengaruh serta kekuasaan pihak Bugis di dalam arena politik empayar tersebut telah berada di peringkat yang sungguh kukuh. Kedudukan kekuasaan dan pengaruh itu disahkan pula melalui suatu upacara perlantikan dan sumpah setia di atara Sultan dengan Yang Dipertuan Muda yang mengikat semua rakyat Melayu dan Bugis di dalam empayar tersebut:
Maka kelakuan melantik itu, betapa adat istiadat melantik Yang Dipertuan Muda itu, iaitu dipakaikan dengan pakaian kerajaan, diarak berkeliling negeri, kemudian barulah dibawa naik ke atas balai. Maka mengaruklah ia di hadapan Yang Dipertuan Besar demikianlah bunyi aruknya -- jika di Melayukan daripada bahasa Bugis "Yakinlah Sultan Badrul `Alam Syah, akulah Yang Dipertuan Muda yang memerintah kerajaan mu! Barang tiada suka membujur di hadapan mu, aku lentang! Dan barang yang tiada suka melintang di hadapanmu, ku bujurkan! Barang yang semak berduri di hadapan mu aku cucikan".

Dengan perlantikan itu juga maka terjalinlah hubungan dari segi politik dan kekuasaan di antara pihak Melayu dan Bugis di dalam Empayar Johor-Riau itu. Hubungan itu diperkukuhkan lagi dengan terlaksananya hubungan kekeluargaan apabila Upu Daeng Celak dinikahkan dengan Tengku Mandak, adik Sultan Sulaiman. Maka asal-usul hubungan-hubungan itulah dan juga keadaan, perkembangan, kesan serta akibat-akibat darinyalah yang ingin dipaparkan oleh Raja Ali Haji di dalam bahagian kedua karyanya yang agung ini.

Sebuah Karya Persejarahan
Adalah jelas bahawa Tuhfat al-Nafis adalah sebuah karya persejarahan yang dihasilkan dengan tujuan menerangkan peristiwa-peristiwa masa lalu orang-orang Melayu umumnya, dan orang-orang Bugis khasnya, terutamanya yang berkait dengan keadaan dan perjalanan yang berlaku di sekitar Empayar Johor-Riau itu. Raja Ali Haji sendiri menyatakan bahawa karya ini " ... di dalamnya menyatakan salasilah dan perjalanan dan tawarikh dengan segala khabar-khabar ... yakni daripada kisah-kisah Raja-raja Melayu dan Bugis dan hingga segala anak-anak mereka itu".
Persoalan tentulah timbul, bagaimanakah Tuhfat al-Nafis ini dapat diterima sebagai sebuah karya persejarahan? Jawapannya, selain daripada melihat kepada isi kandungannya tadi, adalah juga terletak kepada beberapa ciri persejarahan yang termuat di dalamnya, iaitu ciri-ciri yang boleh kita tinjau dari sudut kaedah dan cara penulisan serta penyelidikan sejarah itu sendiri dan beberapa ciri umum yang secara lumrahnya membezakannya dari hasil-hasil karya yang bukan sejarah. Misalnya kesedarannya tentang kepentingan menggunakan tarikh-tarikh yang tepat bagi sesuatu peristiwa yang penting. Begitu juga tentang penggunaan sumber-sumber rujukan; dalam hal ini V. Matheson dan dan B.W. Andaya mengatakan bahawa Raja Ali Haji telah merujuk kepada pelbagai sumber yang berbeza yang terdiri daripada manuskrip-manuskrip yang terdapat di istana Riau, Siak, Kalimantan dan simpanan orang perseorangan dan juga sumber-sumber lisan serta maklumat daripada penyaksi-penyaksi pelbagai peristiwa yang dicatatkannya.
Selain daripada itu ialah kesedarannya untuk menyusun pensejarahannya mengikut suatu susunan kronologi yang menasabah. Ertinya peristiwa-peristiwa sejarah itu dihuraikannya mengikut suatu rentetan yang beriringan mengikut tahap-tahap kejadiannya. Disamping itu beliau pula diliaht sebagai telah menampakkan sikap yang kritis dalam beberapa hal, terutamanya terhadap beberapa sumber rujukannya dan juga peristiwa-peristiwa sejarah itu sendiri. Semua ini adalah di antara ciri utama yang menampakkan tahap kesedaran sejarahnya memang tinggi.

Kesedaran Tentang Kaedah Penyelidikan
Hakikat ini ditambah dengan kesedarannya yang sangat jelas terhadap konsep kaedah penyelidikan sejarah. Kita lihat pada, halaman terakhir karyanya itu beliau telah memuatkan suatu penyataan tentang kaedah penyelidikan sejarah yang seharusnya dipegang oleh seseorang sejarawan untuk menghasilkan sesebuah karya sejarah yang boleh "terpakai". Sekaligus penyataan beliau ini telah mengimbaskan kaedah serta teknik penyelidikan beliau sendiri dalam menghasilkan Tuhfat al-Nafis itu. Kata beliau:
Syahdan di belakang ini kelak siapa-siapa daripada anak cucuku hendak menghubungkannya siarah ini, maka patutlah, akan tetapi [hendaklah] dengan jalan yang patut dan dengan ibarat perkataan yang wadha' dan sah serta aturan yang patut serta benar supaya terpakai ...

Penyataan beliau ini adalah merupakan tuntutan dari Raja Ali agar sesebuah karya sejarah itu dihasilkan mengikut suatu kaedah yang "sah" dan benar. Dengan demikian itu, hasilnya tidaklah lagi disangsikan kebenarannya, lantas boleh diterima sebagai sebuah penulisan sejarah yang baik ataupun objektif (jika kita ingin menggunakan istilah yang mutakhir).
Walaupun pada hakikat yang sebenarnya karya beliau itu tidaklah "sepenuhnya" objektif, apatah lagi jika diukur mengikut pengertian sejarah moden yang mutakhir, namun kesedaran lantas pernyataannya mengenai konsep kaedah itu menggambarkan bahawa beliau telah mencuba sebaiknya untuk mencari serta mengwujudkan apa yang dikatakan sebagai kebenaran sejarah.

Soal Unsur-unsur Kesusasteraan
Walau bagaimanapun, suatu perkara yang masih menjadi persoalan ialah tentang adanya apa yang biasa dianggap sebagai unsur-unsur kesusasteraan termuat di dalam Tuhfat al-Nafis ini. Unsur-unsur ini menjadi persoalan kerana ia kerap dianggap sebagai unsur-unsur yang menjejaskan tarafnya sebagai sebuah karya sejarah. Unsur-unsur itu ialah seperti adanya dimuatkan perkara-perkara seperti dongeng, mitos, legenda, kesaktian, puisi/pantun dan perbualan/dialog yang diolah oleh pengarang sendiri. Adalah benar bahawa Tuhfat al-Nafis memuatkan perkara-perkara tersebut. Umpamanya, asal-usul Raja Melayu itu dikesan juga kepada Raja Seri Teri Buana, iaitu seorang tokoh mitos yang "turun dari Bukit Seguntang ..." Begitu juga, asal-usul Raja Bugis itu telah dilegendakan dengan mengaitkannya dengan Puteri Balqis, isteri Nabi Sulaiman a.s. yang terkenal itu.
Kemudian terdapat dimuatkan suatu peristiwa yang mempunyai unsur-unsur kesaktian. Peristiwa itu adalah berkait dengan jenazah almarhum Raja Haji, yang telah dibawa oleh pihak Belanda ke Melaka untuk upacara pengkebumiannya. Raja Ali Haji mencatatkan peristiwa tersebut seperti berikut:
Syahdan adalah aku dapat khabar daripada khabar orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji itu, maka ditaruhkan di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa almarhum itu, maka menantilah akan keesokan harinya sahaja. Maka pada malam itu, keluarlah memancar seperti api daripada peti jenazah almarhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka melihatkan hal itu, maka di dalam tengah-tengah bergaduh itu, maka kapal yang akan membawa jenazah almarhum Raja Haji itupun meletuplah, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orangnya seorangpun tiada yang lepas. Syahdan, kata kaul yang mutawatir itu, tiadalah jadi dibawanya jenazah almarhum Raja Haji itu pindah ke negeri lain. Maka ditanamnyalah juga di Melaka itu hingga datang diambil dari Riau itu, adanya. Syahdan, kata kaul yang mutawatir, sebab itulah digelar oleh Holanda-Holanda yang dahulu dengan nama `Raja Api'.

Pada umumnya itulah di antara beberapa perkara `luarbiasa' yang dimuatkan oleh beliau; sesungguhnya jumlah peristiwa-peristiwa yang demikian tidaklah banyak. Namun begitu, terdapat beberapa lagi muatan yang dianggap sebagai unsur-unsur kesusasteraan itu. Misalnya, dimuatkan serangkap pantun yang merupakan sindiran Yang Dipertuan Muda ke atas anak-anak keturunan Raja-raja Melayu kerana ketidakupayaan suku Raja-raja Melayu menjelaskan hutang almarhum Sultan Sulaiman kepada pihak Belanda. Pantun itu berbunyi begini:
Tinggi bukit sakudana
Tempat bertanam halia padi
Sakitnya muda kena bencana
Sebarang kerja tidak menjadi.


Kata-kata Perbualan
Dalam pada itu, terdapat pula beberapa banyak kata-kata bualan, ataupun dialog-dialog dimuatkan. Unsur itu seolah-olah menampakkan bahawa Tuhfat al-Nafis ini hanyalah merupakan sebuah novel yang sudah tentu ada memuatkan perbualan-perbualan dan dialog-dialog dari watak-watak atau tokoh-tokoh yang berkenaan. Boleh dikatakan setiap tokoh yang termuat di dalam karya ini ada berkata-kata, kecualilah tokoh-tokoh dari zaman yang terlalu silam atau tiga atau empat kurun sebelum zaman beliau misalnya Seri Teri Buana, Raja Iskandar dan seterusnya Raja-raja Empayar Melayu Melaka tidaklah berkata-kata. Begitu jugalah halnya dengan Siti Malangkaii, Permaisuri Bugis yang asal itu, dan juga keturunan-keturunan baginda yang terdekat, dan juga Upu Lamadusalad, Raja Bugis yang dianggap mula-mula sekali telah memeluk agama Islam. Tetapi kebanyakan tokoh-tokoh dalam kurun ketujuh belas, kelapan belas dan kesembilan belas iaitu dalam zaman beliau sendiri, telah berkata-kata seperti yang lazimnya berlaku di dalam sebuah karya kesusasteraan kreatif.
Dari satu segi perbualan-perbualan atau dialog-dialog inilah satu-satunya unsur kesusasteraan yang sungguh mencacatkan karya beliau ini jika dipandang dari sudut persejarahan. Ini ialah kerana perbualan-perbualan tersebut bukanlah merupakan catatan verbatim beliau sendiri ataupun yang didapatinya dari dokumen-dokumen (seperti minit mesyuarat misalnya), tetapi adalah merupakan olahan beliau sendiri sebagai suatu cara untuk mengukuhkan sesuatu hujah, menonjolkan ketokohan seseorang ataupun semata-mata menjelaskan sesuatu peristiwa. Ia menyebabkan kecatatan kerana begitu banyak sekali dimuatkan; yakni di merata-rata tempat karya tersebut. Sedangkan unsur-unsur kesusasteraan yang lain, yang telah kita nyatakan tadi sangatlah sedikit dan antaranya, ada pula yang telah disangsikannya ataupun dimuatkan dengan sikap yang kritis. Ertinya ia tidaklah mempercayai sepenuhnya akan peristiwa-peristiwa seperti itu, tetapi oleh kerana sumber-sumber yang dirujukkan menyatakan demikian, sedangkan sumber-sumber lain tidak pula boleh didapati, maka terpaksa jugalah beliau memuatkannya walaupun dengan perasaan yang sangsi.
Hal ini berlainan dengan perbualan-perbualan tadi yang kebanyakannya adalah terdiri dari perbualan-perbualan yang diolahnya sendiri, walaupun itu kononnya adalah kata-kata yang diucapkan seseorang tokoh yang berkenaan. Oleh kerana itu timbullah persoalan, bagaimanakah cara bagi kita membuktikan kesejarahan perbualan-perbualan tersebut? Kita boleh mempercayainya jika kata-kata itu adalah merupakan sesuatu yang diambil secara direk dari laporan verbatim seseorang pencatat, tetapi hal ini sudah tentulah tidak berlaku dalam karya Raja Ali Haji ini.
Oleh hal yang demikian, kita haruslah mengakui kelemahan karyanya itu dari segi ini; iaitu dari segi kebenaran mahupun kesejarahan kata-kata tersebut seperti ia pernah sebenarnya diucapkan, in toto, pada suatu ketika dahulu. Namun demikian, ini bukanlah bererti kata-kata itu tiada langsung mempunyai nilai-nilai sejarah. Kelemahannya adalah pada bentuknya, tatapi bukan pada isinya kerana isinya kerap pula merupakan penerangan, ataupun pengukuhan bagi sesuatu peristiwa sejarah. Malah kadangkala, ia mengandungi fakta-fakta sejarah itu sendiri. Misalnya:
... maka Pangeran Syarif Abdul rahman pun berkhabar kepada Raja Haji hal ehwalnya; "Gadoh dengan Penambahan Sangku itu sudah lebih delapan bulan, orang Pontianak tiada boleh berniaga ke Sangkadu lagi. Adapun sebab berhenti berperang itu sebab lagi bersiap-siap berbuat kelengkapan perang, kerana dahulu sudah juga dicuba berperang dengan Penambahan Sangku, maka tewaslah saya sebab kerana kelengkapan tiada dengan sepertinya, lagipun kecil-kecil, dan orang-orang sayapun tiada berapa bersungguh-sungguh mahu bersusah-susah itu".


Ciri-ciri Persejarahan Tradisi
Sesungguhnya kata-kata perbualan dan beberapa unsur-unsur kesusasteraan yang telah dinyatakan tadi adalah merupakan sebahagian dari ciri-ciri yang terdapat di dalam persejarahan tradisi. Ciri-ciri ini bukanlah sesuatu yang khusus bagi persejarahan tradisi Melayu/Nusantara mahupun Asia Tenggara sahaja, malah boleh dikatakan persejarahan peradaban-peradaban lain di dunia ini juga ada memuatkan unsur-unsur yang demikian. Ia seolah-olah menjadi suatu kelaziman. Kadangkala unsur-unsur itu dilihat pula oleh para pengkaji sebagai perkara-perkara yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu; misalnya sebagai kiasan, ataupun hiburan semata-mata, ataupun sebagai kerehatan mental bagi para pembaca dan pendengarannya. Dalam hal kata-kata perbualan tadi, antara fungsinya ialah untuk menjadikan sesuatu karya sejarah itu secara amnya "segar" dibaca ataupun didengar.
Begitulah halnya dengan kata-kata perbualan yang terdapat di dalam Tuhfat al-Nafis ini. Raja Ali Haji telah memuatkannya atas dasar yang berbagai-bagai yang telah kita nyatakan tadi, yang setengah-setengahnya mempunyai asas-asas sejarah dan setengah-setengahnya pula tidak. Ia adalah suatu unsur atau ciri yang lazim bagi zamannya, iaitu zaman di mana persejarahan "moden" seperti yang difahami pada abad ke-20 ini, iaitu yang khususnya berdasarkan persejarahan Barat yang berkembang sejak penghujung abad yang lalu, belum lagi muncul di rantau ini. Dalam keadaan yang demikian itu, nyatalah bahawa pandangan dan penilaian kita terhadap kesejarahan Tuhfat al-Nafis ini, malah karya-karya persejarahan tradisi yang lain, seperti Sulalatus Salatin, adalah sesuatu yang didasarkan kepada ilmu sejarah yang wujud pada zaman kita ini. Maka dengan itu timbullah pandangan-pandangan yang dangkal seperti yang menganggap bahawa sejarah itu adalah hiburan, dongeng dan sebagainya. Misalnya, pandangan yang disuarakan oleh J.C. Bottom yang mengatakan bahawa sejarah maksudnya persejarahan tradisi seumpama Sejarah Melayu itu, bagi orang-orang Melayu, bukanlah "suatu sains ataupun sastera, tetapi suatu hiburan. Ketetapan, kelengkapan ataupun pemaparan yang teratur bukanlah prinsip-prinsip yang penting apa yang dipentingkan ialah legenda-legenda, fantasi dan juga perbualan-perbualan yang menyeronokkan tentang istana dan pelabuhan".
Sedikit sebanyaknya pandangan seperti ini memanglah ada kebenarannya, tetapi sesungguhnya ia tidaklah terhad kepada persejarahan Melayu seperti Tuhfat al-Nafis sahaja. Ia adalah sesuatu yang sejagat. Dan pilihan terhadap "cerita-cerita tentang istana dan pelabuhan" itu sebagai "tema" sejarah bukanlah sesuatu yang ganjil, menggelikan ataupun salah. Sesungguhnya ia menggambarkan bentuk dan keadaan sosio-ekonomi dan politik masyarakat Melayu tradisi umpamanya seperti yang terdapat di dalam zaman Empayar Melayu Melaka dahulu. Peradaban-peradaban lain di dunia juga biasa mempunyai "tema-tema" tertentu di dalam persejarahan tradisi mereka; orang-orang Yunani dan Rumawi misalnya, gemar dan merasa seronok, memuatkan dan mendengar cerita-cerita yang berdasarkan peperangan, kembara asmara dana, ataupun kisah-kisah kepahlawanan. Seperti halnya di dalam persejarahan Melayu tadi, kisah-kisah tersebut adalah juga menggambarkan keadaan masyarakat mereka. Bagaimanakah dapat kita menafikan hakikat ini! Sejarah seperti kata Ibnu Khaldun, adalah membicarakan tentang masyarakat manusia, peradaban-peradaban yang berlaku di dalamnya, serta berbagai gejala dan peristiwa yang terdapat di dalamnya dan berbagai kegiatan serta pekerjaan anggota-anggota masyarakat ini. Oleh itu kita tidaklah seharusnya terlalu akur kepada pandangan yang demikian kerana kadangkala pandangan seperti itu menggambarkan pula motif-motif yang tertentu disamping menampakkan kejahilan penulisnya tentang ilmu persejarahan perbandingan.

Soal bias
Walau bagaimanapun suatu lagi persoalan yang kerap ditimbulkan sebagai telah mencatatkan kesejarahan karya Raja Ali Haji ini ialah anggapan bahawa beliau adalah bersikap Bugis-centric yakni, antara lainnya, karyanya itu dikatakan telah mengagung-agungkan tokoh-tokoh Bugis dengan menonjolkan keberanian, kepahlawanan, kesetiaan serta kehandalan mereka di dalam peperangan. Kemasyhuran pahlawan-pahlawan Bugis, seperti Bugis Lima Bersaudara yang terkenal itu, juga ditonjolkan sehingga begitu banyak sekali raja-raja di Alam Melayu ini memohon pertolongan dari mereka untuk menghadapi musuh masing-masing. Anggapan-anggapan seperti ini dikatakan berpunca dari sikap bias Raja Ali Haji dalam menghasilkan karya beliau itu. Satu sebab yang sering dikemukakan tentang kewujudan bias ini ialah kerana beliau sendiri adalah berketurunan Bugis dan hidup di dalam suasana kekuasaan sanak saudara ataupun keturunan beliau. Atau dengan kata lain, jika Tuhfatun Nafis itu dianggap sebagai sebatang jambatan dan Raja Ali Haji sebagai pembinanya, maka beliau telah membina sebatang jambatan yang berat, atau senget sebelah, yang memihak kepada pihak Bugis.
Sebenarnya dari segi konsep sejarah, sebab yang demikian itu adalah merupakan sesuatu yang lemah dan dhaif. Bukanlah suatu kemestian sejarah bahawa seseorang yang menulis tentang sejarah bangsa ataupun negaranya itu harus mengagung-agungkan setiap perkara yang berkaitan dengan bangsa atau negaranya itu. Malah kerapkali pula kita melihat seseorang itu mengambil sikap yang kritis dalam hal-hal yang demikian. Sesungguhnya apa yang harus dinyatakan ialah kebenaran sejarah itu sendiri, iaitu kebenaran yang didapati serta disandarkan kepada sumber-sumber yang boleh diperolehinya. Kebenaran sejarah yang dinyatakan itu tidak boleh melampaui batasan ini; sebenarnya ia tidak berdaya melampauinya kerana beberapa sebab. Pertama kerana ia bimbang tentang kekukuhan kebenaran sejarah yang dikemukakannya itu. Kedua, kerana ia menulis sejarah maka ia merasa perlu untuk mengelakkan diri dari spekulasi-spekulasi dan imaginasi yang tidak berasas. Dan ketiga, bagi orang-orang seperti Raja Ali Haji itu, ia bimbang sesebuah karya sejarah yang tidak begitu memberatkan kebenaran sejarahnya, akan hanya dianggap, malah dijadikan sebagai bahan fitnah memfitnah belaka.
Seperti yang telah kita nyatakan tadi, Raja Ali Haji memang menyedari hakikat kepentingan sumber-sumber rujukan. Sikapnya juga menunjukkan bahawa ia adalah seorang yang kritis, walaupun kritiknya tidaklah setajam Abdullah Munshi dalam menyelar masyarakat dan golongan bangsawan dan diraja Melayu, khususnya di Kelantan pada kurun kesembilan belas dahulu iaitu seperti yang dicatatkan di dalam penulisannya yang terkenal yang berjudul Kisah Pelayaran Abdullah itu. Namun demikian beliau adalah seorang yang kritis dan berhasrat untuk menghasilkan sebuah karya persejarahan yang "sempurna". Tetapi mengapakah timbul soal bias tadi? Bolehkah sesebuah karya persejarahan yang "sempurna" itu dikaitkan dengan ataupun mengandungi unsur-unsur, bias di dalamnya? Apakah Raja Ali Haji sengaja memuatkan unsur-unsur tersebut di dalam Tuhfat al-Nafis dan melakukan demikian semata-mata kerana beliau berketurunan Bugis?
Jika kita kaji dengan lebih teliti perkara ini sedikit sebanyaknya kita akan dapati bahawa Raja Ali Haji tidaklah bertindak dengan sewenang-wenang ataupun dengan sesuka hati sahaja memuatkan unsur-unsur tersebut, sepertimana halnya Abdullah Munshi dengan sewenang-wenangnya dapat menyatakan kritikan kemasyarakatannya terhadap golongan bangsawan/diraja tadi. Raja Ali Haji menulis sejarah dan oleh itu pandangannya adalah dibatasi oleh sumber-sumber yang boleh diperolehinya. Oleh itu jika adapun bias, maka sedikit sebanyaknya perkara itu adalah sesuatu yang telah disedut ataupun disaring dari sumber-sumber yang digunakannya. Dengan kata lain, bias itu adalah bersandarkan kebenaran. Misalnya, apakah tidak benar bahawa tokoh-tokoh Bugis Lima Bersaudara itu memang merupakan tokoh-tokoh Alam Melayu yang terbilang? Atau apakah tidak benar bantuan dari mereka memang pernah diminta oleh beberapa orang Sultan di Alam Melayu pada ketika itu, seperti Sultan Empayar Johor-Riau, Sultan Kedah, dan Sultan Sambas? Banyaklah lagi contoh-contoh dan persoalan-persoalan yang berkaitan dengan perkara ini yang boleh kita kemukakan, tetapi asasnya adalah sama sahaja, iaitu Raja Ali tidaklah memuatkan dengan sewenang-wenangnya sahaja.

Konsep Subjektif
Walau bagaimanapun beliau tidaklah dapat lari daripada hakikat wujudnya konsep subjektif di dalam sejarah. Ertinya jambatan yang dibinanya itu adalah sesuatu yang subjektif. Satu sebabnya ialah kerana beliau telah memilih perkara yang dekat dengan dirinya untuk dituliskan. Maka dengan itu perkara-perkara yang dikira sebagai bias itu adalah merupakan contoh-contoh kepada unsur yang subjektif, walaupun bias itu telah didasarkan kepada sumber-sumber yang boleh diperolehi. Ia adalah sebahagian daripada unsur subjektif di dalam sejarah yang menurut Ibnu Khaldun, tidaklah dapat dielakkan. Sejarah itu bukanlah sains jati, ataupun suatu bentuk ilmu pasti, tetapi adalah suatu ilmu yang menyelidiki, menggambarkan semula ataupun menganalisis tentang peristiwa-peristiwa yang telah berlaku pada masa yang lalu di dalam sesebuah masyarakat mahupun peradaban. Dengan demikian ia tidaklah boleh dianggap sebagai bidang ilmu yang "lengkap" atau "sempurna" atau "saintifik" yang tiada cacat celanya, walaupun hasrat untuk menjadikannya demikian telahpun wujud sejak zaman al-Musudi itu lagi. Dan oleh kerana konsep subjektif, hatta bias, yang terdapat di dalam penulisannya itu adalah sesuatu yang berasaskan sumber-sumber rujukan yang boleh didapatinya pada ketika itu, maka jambatannya bukanlah pula sesuatu yang seolah-olah disengetkan atau diberatkannya ke sebelah suatu pihak sahaja. Sebenarnya ia cuba menggambar dan menggambarkan semula peristiwa-peristiwa yang terdapat di dalam Tuhfatun Nafis itu dengan gambaran yang pada anggapan serta tafsirannya paling manasabah sekali dengan harapan karyanya itu nanti akan "terpakai" dari segi kesejarahannya.

Kesimpulan
Demikianlah Raja Ali Haji, sejarawan ulung dari Empayar-Johor-Riau itu telah mencuba menghasilkan sebuah karya pensejarahan yang boleh dianggap sebagai sebatang jambatan yang menghubungkan Tanah Bugis dan Tanah Melayu (atau Tanah Barat) khususnya dan pelusuk-pelusuk lain di Alam Melayu amnya. Raja Ali Haji sendiri adalah zuriat keturunan yang berasal daripada kedua-dua "tanah" tersebut. Salasilah beliau adalah seperti berikut;
Dari salasilah tersebut kita lihat moyang beliaulah, iaitu Upu Daeng Celak, yang telah memulakan percampuran keturunan itu apabila beliau menikahi Tengku Mandak, puteri Sultan Abdul Jalil. Daeng Parani pula, iaitu putera sulung Daeng Relaka telah menikah dengan Tengku Tengah (Tengku Irang) yang juga merupakan puteri Sultan Abdul Jalil dan kakak Tengku Mandak. Melalui ikatan pernikahan ini dan proses sosialisasi yang lain, pihak Bugis yang datang ke Tanah Barat itu telah mengalami proses assimilasi dengan masyarakat dan suasana setempat. Kebanyakan zuriat mereka di situ tidaklah lagi menggunakan gelaran upu-upu, melainkan telah mengambil gelaran raja-raja, seperti halnya dengan zuriat keturunan raja-raja Melayu itu sendiri. Walau bagaimanapun gelaran "daeng" nampaknya banyak dikekalkan seperti halnya dengan Daeng Kecik, cucu Daeng Parani, yang merupakan bapa Temenggung Abdul Rahman (Singapura) yang beranakkan Temenggung Ibrahim (Daeng Ronggek) bapa Temenggung Abu Bakar yang telah bergelar Sultan Johor sejak T.M. 1885.
Apa yang cuba disimpulkan di sini ialah bahawa apa yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji itu ialah suatu kisah pertemuan dan perhubungan dua etnik dari satu rumpun, yang pada mulanya memang mempunyai silsilah zuriat keturunan masing-masing tetapi akhirnya telah bercampur-baur antara satu sama lainnya. Masyarakat Melayu setempat telah menerima dan menyerap masyarakat Bugis yang mendatang itu sehingga mereka yang asalnya adalah "Bugis-Melayu" telah bertukar menjadi "Melayu-Bugis". Hakikat ini dapat dilihat dari segi penerimaan serta pemakaian bahasa Melayu, percampuran adat istiadat dan seni-budaya disamping adanya pula anutan agama yang sama iaitu Islam, sejak mula pertemuan lagi. Barangkali ini jugalah salah satu sebab mengapa Raja Ali Haji memberikan judul Tuhfatun Nafis itu, kepada karyanya yang agung ini. Maksudnya supaya anak cucunya dari kedua belah pihak mengetahui dan menghargai apa yang telah dilakukan atau dilaksanakan oleh datuk nenek mereka lantas dapat pula membuat pertimbangan dan mencari iktibar serta teladan daripadanya demi memperbaiki kehidupan maupun kedudukan masing-masing. Daripada segi ini dan juga beberapa hujjah yang telah kita utarakan tadi, maka wajarlah karya ini dianggap sebagai suatu "hadiah yang bernilai".