INTERPRETASI HISTORIS: MASYARAKAT PERAK DALAM MISA MELAYU
(Dalam SEJARAH, Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, No.2/1993, 1-26)

Di dalam penjenisan hasil hasil penulisan Melayu, sejarah merupakan salah satu 'genre' daripada penghasilan tersebut. Ianya lahir di dalam bentuk lisan, juga tulisan. Misa Melayu (MM) adalah salah sebuah daripada penghasilan yang termasuk ke dalam lingkungan ini. Pengetahuan perihal wujudnya MM muncul pada tahun 1871. Maklumatnya telah diterangkan oleh W.E. Maxwell, iaitu mengenai dua buah naskhah Melayu yang ditemuinya di Perak. Selepas itu, MM mulalah mendapat perhatian pengkaji dan peminat kesusasteraan Melayn.
Terdapat beberapa buah naskhah MM di London dan Leiden, The Netherlands. Pada tahun 1919, R.O. Winstedt telah menyelenggarakan MM di dalam sebuah penerbitannya dan kelihatan amat memanfaatkan ahli sejarah dan perujuk sastera.
Edisi Winstedt ini telah diulang cetak beberapa kali dan kali akhir ianya dicetak semula pada tahun 1991 di Kuala Lumpur. Penyelenggaraan ini kali pertamanya diusahakan oleh beliau setelah menyedari betapa MM penting sebagai sebuah penghasilan sejarah peribumi, tetapi diperabaikan.
Untuk beberapa tahun berikutnya, MM terus diberikan perhatian dan pengamatan, terutama dari segi persejarahan dan kesejarahannya4. Pada tahun 1983, MM diperkatakan pula dengan menggunakan pendekatan strukturalisme, ditinjau dari sudut penghasilan sebuah karya sastera, juga menerusi kaedah kajibanding bagi memperjelaskan erti penulisan MM. Walaupun hal ini berupa suatu percubaan awalan saja, namun pendekatan dan kaedah yang digunakan terhadap penganalisisan MM merupakan suatu usaha yang menarik.
MM dikarang oleh Raja Chulan (Raja Kechil Besar) ibnu Raja Abdul Hamid ibnu Yang Dipertuan Muda Raja Mansur. Belian ad~ah seorang kerabat diraja Perak. Di dalam sebuah daripada naskhah MM yang diketemui hal ini memang disebut dengan jelas. Ianya bukanlah dakwaan Raja Chulan sendiri, malah adalah suatu kenyataan tulisan yang disisipkan oleh seorang penyalin naskhah tersebut yang sesungguhnya mengetahui bahawa Raja Chulanlah yang mengarang teks ini. Dikatakan olehnya bahawa; "... ialah yang mengarang hikayat ini (MM) pada zaman itu. Dan ialah yang bijak pada mengarang hikayat dan ikatan-ikatan".

Kandungan MM
Pada asasnya MM mengandungi riwayat perihal sejarah Perak mulai pemerintahan Marhum Jalilullah (Sultan Muzaffar Shah II). Baginda memerintah dan tahun 1636 hingga 1653. Riwayat ini dilanjutkan sehingga ke zaman pemerintahan Sultan Alauddin Shah Iskandar Muda (Marhum Sulong) yang memerintah Perak dari tahun 1773 hinggalah 1786.
Walaupun nampaknya MM dimulakan dengan pengriwayatan Perak sejak dekad ketiga awal abad ke 17 sehinggalah ke dekad kedua pengliujung abad ke-l8, namun, hampir keseluruhan kandungan MM menumpukan perhatian kepada seorang tokoh kerabat iaitulah Sultan Iskandar Zulkarnain yang dimulai dengan kisah baginda pada tahun-tahun 1740 an sehinggalah ke tarikh kemangkatan baginda pada tahun 1764.
Dengan mengenepikan aspek-aspek filologi di dalam rencana ini teks MM yang dirujuk di sini ialah dari edisi 1919, hasil penyelenggaraan R.O.Winstedt. Tidak termasuk salasilah dan riwayat raja-raja Perak yang hidup mendahului Sultan Iskandar (Marhum Kaharullah) dan riwayat dua orang raja Perak yang memerintah selepasnya, pengkisahan tentang Sultan Iskandar sebenarnya menjangkau hampir 96.4% daripada seluruh riwayat MM. Lima orang raja Perak yang disebutkan mendahului pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain ialah;
Sultan Muzaffar Shah II (Marhum Jalilullah)
Sultan Mahmud Shah (Marhum Besar)
Sultan Mauddin Mughayyat Syah (Marhum Sulong)
Sultan Muzaffar Syah III (Marhum Hajiullah)
Sultan Muhammad Syah (Marhum Aminullah)

Dua orang raja yang disebutkan sebagai pemerintah Perak selepas baginda pula ialah:
Sultan Mahmud Syah (Marhum Muda)
Sultan Alauddin Mansur Syah Iskandar Muda (Marhum Sulong)

Oleh itu, semua raja-raja Melayu yang dinyatakan ialah seramai lapan orang. Mereka semua mentakhtai kerajaan Perak. Dengan berpaut teguh kepada tradisi dan konvensi pensejarahan Melayu yang lain di rantau ini, seperti biasanya, tahap-tahap pemerintahana raja dan peristiwa secara berturutan dijadikan induk dan dasar bagi segala dan sernua perkembangan riwayat MM dan awal hingga akhir. Tahap dan urutan pemerintahan raja-raja menjadi stereng yang memandu arah perkembangan dan proses pensejarahan Perak sepanjang abad ke-18 tadi. Dengan bersifat demikian, maka MM adalah sebuah karya sejarah yang bercorak elitis menggambarkan, "... interplay of personalities at the highest level".
Pada umumnya masyarakat Melayu kalangan inilah yang mendasari riwayatnya, dengan imbasan kalangan yang luar dan istana, iaitu rakyat biasa. Terdapat tiga bahagian besar riwayat MM, iaitu:

(a) Bahagian induk yang ditulis zaman atau semasa dengan hidupnya Raja Chulan, sehingga kemangkatan Sultan Iskandar.
(b) Bahagian syair yang mengisahkan pelayaran Sultan Iskandar di Perak.
(c) Bahagian ketiga, tentang pemerintahan dua orang sultan selepas Sultan Iskandar.

Ketiga-tiga bahagian jilid 1 digabungkan menjadi teks dan sebuah penulisan lengkap pada tahun 1252 Hijrah (1836). Kemudian, disambung sedikit bahagian hujungnya, iaitu tentang lagu-lagu gendang nobat Perak, pada tahun 1326 Hijrah (1908).
Oleh itu, MM adalah sebuah penulisan yang lengkap dan padat. Ia menggambarkan pensejarahan masyarakat peribumi. Ia juga memberikan kita maklumat dan buliran tentang sejarah Perak, dan awal hingga hampir ke penghujung abad ke-18.
Sebagai sebuah hasil penulisan, MM mempunyai slrukturnya tersendiri dan mengandungi falsafah tentang pensejarahannya yang tersendiri pula. Coraknya yang masih patuh kepada konvensi dan tradisi penulisan sejarah Melayu yang segenre dengannya, menyebabkan ia menjadi sebuah hasil tumpuan istana dengan menumpukan ketokohan Sultan Iskandar Zulkarnain, barangkali setaraf. dengan pengarangan Hikayat Acheh yang menjurus keketokohan Sultan Iskandar Musa Mahkota Alam Syah (1606-1637) di Acheh. Oleh itu, MM dikarang bukan tanpa matlamat dan sebab, bukan tanpa maksud dan tujuan. Untuk meminjam kalimat C.C. Berg tentang tradisi babad dan kidung dalam tujuan pensejarahan Jawa Kuno, "... for the glorification of king or kings", demikianlah pula pengarangan MM, iaitu untuk mengagung dan mencemerlangkan Sultan Iskandar Zulkarnain dan beberapa tokoh sultan Perak yang lain.

Serangkap kata pengakuan Raja Chulan sendiri dalam syairnya;

Patik persembahkan suatu rencana
mendapat hadrat yang amat ghana
Tuan sultan raja yang ghana
mendapat hakikat yang amat sempurna
arif sangat bijak laksana
mengetahui ilmu Tuhan Rabbana.

Daulat Tuanku Duli Mahkota limpah karar di atas takhta patik persembahkan suatu cerita di Tanjung Putus membangunkan kota.
Selain sanjungan terhadap "penaung"nya dilakukan oleh Raja Chulan bagi pengarangan MM, ia juga dirujuk dan disandarkan kepada bukti dan hakikat sejarah yang sebenarnaya telah terjadi di Perak. Bukan mitos secara bayangan pengarangan dan tidak pula mitos secara tegas mengenai salasilah dan asal-usul rajaraja Perak, seperti yang kerap terdapat dalam pengarangan karyakarya Melayu yang sekerabat dengan MM.
Pada tahun 1978, Barbara Watson Andaya cuba menguji kesahihan MM dengan merujuk pada sumber sezaman Belanda daripada siri Koloniaul Archief tentang laporan-laporan rasmi pegawai-pegawai Belanda (yang datang ke Perak untuk tujuan perdagangan bijih timah) kepada kantitur VOC di Melaka dan Betawi (Batavia). Barbara mengulas tentang kandungan MM "a chronicle which provides a perfect compliment to the VOC documents"
Walau bagaimanapun, perbezaan corak maklumat dan butiran antara MM dengan laporan VOC ialah terletak kepada maksud dan matlamat kedua-duanya dihasilkan, dan sudut pandangan antara kedua-duanya. MM lebih bercorak "first hand knowledge". Penulisnya menyaksikan, merasai, melibatkan diri secara langsung dengan perkembangan sejarah Perak sendiri, memaharni adat resam, mengkongsi etos dan pandangan hidup yang barangkali serupa dengan masyarakat Melayu Perak yang ditulisnya, walaupun kecondongannya ke arah "penaung"nya mungkin ada. Lapuran VOC pula dibuat menerusi pandangan "orang luar" yang bukan Melayu, yang datang ke Perak semata-mata kerana matlarnat dagang dan ekonomi. Kalangan Melayu yang memusuhi mereka tidak akan menerima sanjungan. Raja Chulan membenci mereka, contohnya dengan ungkapan "holanda kutuk" "orang celaka".
Walaupun demikian, kedua-duanya bermanfaat unfuk penulisan sejarah setempat. MM boleh menjadi asas dan wadah penulisan sejarah abad ke-18 jika dilihat dan ciri-ciri kesejatian dan keperibumiannya, malah sahih pula maklumat dan butirannya setelah diuji. Laporan VOC pula boleh membekalkan butir dan perihal yang terperinci bagi melengkapkan butiran MM, untuk memperbina fakta yang sahih dan tepat tentang berbagai-bagai aspek dan institusi masyarakat Perak sepanjang abad yang dijangkaui.

Kandungan Yang Membina Riwayat Misa Melayu
Pada umumnya, MM memperlihatkan suatu corak struktur tentang kerajaan negeri Perak dan perihal bagaimana struktur ini beroperasi dan dilaksanakan. Malah apabila meneliti rangka kerja bagi komposisi MM, faktor inilah yang mendasari seluruh aktiviti masyarakat dan proses perkembangan sejarah Perak, ditinjau dan segi konsepsi pengarangan MM yang lebih bermakna lagi. Dengan raja yang memerintah berdiri sebagal paksi, disekelilingnyalah operasi tentang berkerajaan tadi berlegar. Segala titik bengik masyarakat yang berkait dengan hal ehwal berpolitik, perihal aktiviti ekonomi, perlaksanaan dan amalan adat-istiadat, soal peperangan, hal yang menyangkut komplot di kalangan mereka yang memegang wibawa dan/atau kuasa pemerintahan serta mereka yang berpotensi dalam hal ini, episod-episod remeh tetapi amat berfungsi yang menyangkut 'intrique' di kalangan mereka yang memegang wibawa dan/atau kuasa pemerintahan serta mereka yang berpotensi di dalam hal yang memperbina riwayat MM (seperti kelahiran sesuatu tokoh, perkahwinan, pelayaran dan pengembaraan) harus dikaitkan secara langsung atau tidak dengan kalangan istana atau pun khususnya kalangan yang memegang kuasa dan memerintah, raja atau sultan.
Semua anasir ini menjadi rempah-ratus utama bagi menyokong dan menegakkan kedaulatan seseorang raja atau sultan Perak yang sedang bertakhta. Suasana bandar yang hiruk-pikuk akibat dikunjungi para dagang dan santeri dengan anekaragam jamuan, peperangan yang sentiasa dimenangi oleh pihak yang memerintah, prinsip dan kaedah penggantian seorang raja (terutama pada waktu upacara permakaman raja yang telah mangkat yang tidak pernah menimbulkan sebarang konflik (sedangkan realiti yang sering terjadi adalah disebaliknya), semuanya adalah menjadi unsur riwayat yang menyumbang bagi menegakkan kedaulatan tadi. Ini terjadi demikian. sebab begitu dan itulah caranya Raja Chulan melihat dan mempersepsi ertian sejarah bagi negeri Perak abad ke-17, barangkali berbeza daripada ertian sejarah pada masa-masa sebelum atau selepasnya. Anasir-anasir tadi dianggapnya ideal bagi tujuan, "... reshaping of historical reality" mengikut pengertiannya sendiri.
Oleh itu, pada tahap-tahap pemerintahan raja-raja Perak dari awal abad ke-18 hingga tahun 1780-an, pengalaman-pengalaman yang bermotifkan hal-ehwal yang tersebut menjadi unsur dan faktor pembinaan dalam proses perkembangan sejarahnya Secara terperinci, ia dapat dilihat seperti berikut:

a. Dari tahun 1636 hingga tahun 1720 tradisi penggantian sultan mengikut prinsip "warisan negeri" (anak-anak raja).

b. Selepas tahun 1720-an, bermula dengan pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, terjadi berbagai-bagai konflik politik yang amat mencabar. Ia melibatkan struktur dalaman dalam proses berkerajaan Perak, memancarkan suatu unsur dinamik yang amat menarik di dalam pensejarahan peribuminya. Unsur kedinamikan ini memberikan kesan sejarah seterusnya dalam pensejarahan tadi, hingga ke penghujung abad ke-19. Antara konflik yang menonjol, ialah:
(i) Cabar-mencabar dalam hal pengwarisan takhta. Akibatnya, ketika pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1728-1744), Perak terbahagi dua kerana wibawa baginda dicabar oleh adiknya, Sultan Muhammad Syah.
(ii) Isu "huru-hara dalam negeri Perak ini", seperti yang terdapat dalam MM, diakhiri secara ikhtiar politik juga. Tokoh menonjol yang memainkan peranannya ialah Raja Muda Iskandar Zulkarnain, yang kemudian bergelar Sultan mulai tahun 1754.

c. Dewasa Sultan Iskandar memerintah, timbul pula isu politik yang menarik, iaitu terjadi "peranjakan kuasa" daripada kuasa dan wibawa politik yang sebelum itu banyak dipegang dan ditentukan oleh para pembesar dan menteri, kepada pihak Sultan yang memerintah.

Terjadi juga pada masanya (ketika menjawat Raja Muda, tetapi telah pun diberikan wibawa memerintah) perubahan sistem pembesar, apabila jawatan dan fungsi Bendahara yang secara temurun sejak abad ke-16 dipegang oleh orang "luaran" sekarang diberikan pula taraf "kedirajaan", lalu dipegang oleh kalangan "dalam", dan menjadi Raja Bendahara. Ia diinstitusikan dan menjadi tokoh ketiga dalam sistem penggantian raja, kepada sesiapa waris negeri yang memegangnya. Pada abad ke-19, perubahan sistem pembesar seperti ini sebenarnya memberikan pengaruh kepada sistem pembesar di Pahang dan Selangor. Sultan Iskandar juga sedar bahawa corak kuasa dalam sistem berkerajaan dengan mana beberapa orang besar amat berpengaruh dan berkuasa di daerah masing-masing menjadi faktor penghalang bagi mencipta ketunggalan wibawa pemerintahan dan penyatuan kuasa Perak. Oleh itu, hanya mereka yang taat dan setia kepada rejim baru Sultan Iskandar sahaja dikekalkan. Pembesar utama yang empat, Datuk Bendahara, Orang Kaya Besar, Temenggung dan Menteri diberhentikan, kerana"... tiada ia mengikut", dakwa MM.
Perkahwinan Raja Muda Iskandar dengan Puteri Budak Rasul, sepupunya, iaitu puteri Sultan Muzaffar Syah, tidak harus dilihat dari segi pengistiadatan dan kebudayaan Melayu semata-mata, malah patut dikaitkan dengan proses perpolitikan Perak sendiri. Perkahwinan politik seperti ini bukan sahaja menghubungkan secara keluarga dua pihak yang berbalah dalam hal-ehwal politik, malah merupakan muslihat perpolitikan yang cukup halus, tetapi berkesan, daripada corak politik pemecahan kepada politik penyatuan atau gabungan. Hal demikian mengingatkan kita tentang muslihat politik yang dilakukan oleh Sultan Muzaffar Syah Melaka (abad ke-15) bagi menggabungkan tenaga Melayu yang berpecah, iaitu penyokong Penghulu Bendahari dengan penyokong Bendahara, dengan menggunakan Tun Kudu, sebagai unsur "penggabungan" tadi.

Kebolehan istimewa Sultan Iskandar dalam herkerajaan menyebabkan warna-warna baru muncul di dalam pensejarahan Perak. Di antaranya ialah:

i) Tampilnya seorang tokoh politik yang amat berkarisme dan berkalebar dalam pemerintahan Perak pada abad ke-18.

ii) Terjadinya perubahan dalam struktur dalaman di kalangan pemegang-pemegang kuasa di peringkat pusat dan daerah.

iii) Peningkatan sumber pendapatan negeri akibat pemulihan semula hubungan dagang antara Perak dengan Belanda dan bertambahnya eksport gajah Perak ke luar negeri.

d. Proses perubahan dan fenomena pensejarahan abad ke-18 tidak hanya terhad di peringkat masalah dalam negeri saja, tetapi termasuk juga hal-ehwal luar negeri. Ini dapat dilihat dengan penampilan episod peperangan antara kalangan Melayu Minangkahau yang diketuai oleh Sultan Berkabat ibn Raja Kechil, Siak, dengan Melayu Perak. Walaupun pihak penyerang kecundang, namun suasana politik makin meruncing akibat penglibatan langsung kalangan Melayu Bugis pula, dari mana pemerintah Perak yang satu lagi, Sultan Muhammad Syah, ayahanda Raja Muda Iskandar yang bersemayam di bahagian hilir Perak, memperoleh bantuan ketenteraan.
e. Hubungan politik antara Perak dengan Bugis menyebabkan kalangan pemerintah Bugis di Selangor pada tahun 1770 (iaitu Raja Lumu) datang ke Perak, lalu Sultan Mahmud Syah ibn Sultan Muhammad Syah, menobati dan mendaulati baginda sebagai Sultan Salehuddin, Yang Dipertuan Selangor.
f. Kisah Raja Alam, anak saudara Sultan Muzaffar yang berkomplot dengan kalangan Melayu Haru dan Bugis; ,'... yang jahat-jahat", dan "yang buruk-buruk", kata MM, untuk menentang kewibawaan pemerintah. Penentangan mereka menyebabkan pemerintah Perak dan Raja Muda Iskandar terpaksa berhubungan dengan Belanda di Melaka. Mereka berjaya mematahkan penentangan tersebut dan Raja Alam dipenjarakan di Melaka. Hubungan ekonomi dagang antara Perak dengan Belanda, secara tidak langsung mengesani dan memanfaatkan pula masalah politik Perak.

Inilah antara isu pokok yang mendasari pembinaan riwayat MM yang meliputi bidang politik, ekonomi dan kebudayaan. Isu-isu ini diperlengkapi lagi dengan pemaparan hal-hal sejarah yang lain seperti:

(a) Sambutan adat-istiadat di dalam perkahwinan, pertabalan, permakaman, bertuba ikan di sungai dengan raja sendiri terlibat. Isu kebndayaan inil sebenarnya mengaitkan soal pemerintahan dan pentadbiran kerajaan. Contohnya, pada masa diadakan istiadat menuba ikan di sungai Perak, raja yang memerintah sekaligus melihat keadaan rakyat yang di bawah perintahnya.

(b) Siri-siri kedatangan pedagang atau pegawai Belanda ke Perak. Raja Chulan menempelak mereka mungkin kerana mereka memonopoli pembelian bijih dari Perak. Mereka bukan setakat untuk "membeli" bijih di situ, malah menambahkan lagi pendapatan negeri daripada penjualan bijih. Sultan Muzaffar sendiri dikatakan oleh MM menjadi teramat kaya dengan perolehan hasil ini; "adapun pada zaman itu, akan Sultan Muzaffar Syah itu, ternyata kayanya, terlebih daripada ayahanda baginda yang telah lalu. Ia adalah amalan langsung Prinsip Dutch Treaty System Kompeni VOC di rantau ini, keatas Perak khususnya. Dokumen-dokumen perjanjian yang termaktub membuktikan hakikat ini.

(c) Sultan sendiri terlibat dalam aktiviti dagang. Sultan Perak mengirimkan Tambi Kecil ke India bagi menggalakkan para saudagar India membeli gajah Perak daripada baginda sendiri.

(d) Kerancakan aktiviti ekonomi menyebabkan Perak didiami berbagai-bagai suku bangsa seperti Melayu, dan kalangan berbagai-bagai sukunya, Belanda, Cina dan India, memancarkan sebuah masyarakat yang bercorak kosmopolitan. Kerapatan hubungan antara dan kalangan sesama suku dan kaum masyarakat ini dipancarkan menerusi episod persembahan berbagai-bagai aneka pesta ketika menyambut istiadat perkahwinan Sultan Iskandar dengan puteri Budak Rasul, selama tujuh belas hari dan malam.

(e) Pembangunan negeri, disebut sebagai; "membangunkan negeri di Pulau Cempaka Sari", walaupun bukan bermakna dalam konteks pembangunan inftastruktur seperti yang difahamkan pada masa ini, ia dimaksudkan sebagai lambang keamanan, kestabilan politik dan ketinggian daulat raja yang memerintah. Yang disebutkan MM ialah semasa pemerintahan Sultan Iskandar diperbina sebuah mahligai yang amat unik setinggi tujuh tingkat, membina masjid-masjid, penggunaan berbagai-bagai alat dan senjata peperangan seperti lela, pemuras, rentaka, lembing, keris, meriam, istinggar dan senapang, serta penggunaan berbagai-bagai peralatan budaya yang secara langsung menyokong kedaulatan tadi seperti gong, gendang, serunai, nafiri, ceracap, herabab, bangsi, biola dan rebana.

Semua riwayat ini merupakan 'original history" (untuk meminjam istilah Hegel). Tetapi sekiranya kita melihat MM yang hakiki, nyatalah bahawa hanya rangka-rangka dasar yang digunakan bagi memaparkan pensejarahan Perak pada abad ke-18. Rakyat biasa dan bawahan dapat melihat rangka-rangka dasar tersebut dengan mata, mudah difahamkan, sama-sama menyaksikan, juga sama-sama mengalaminya, seperti sambutan istiadat, peperangan dan perniagaan. Tetapi, Raja Chulan, seperti juga ahli sejarah Melayu yang sezaman dengannya, tidak menyelami hakikat dan tenaga-tenaga tertentu yang sebenarnya menjadi faktor dasar menggerakkan proses pensejarahan tadi. Ia lebih membentangkan kesan dan akibat daripada pergerakan tersebut, bukan musabab yang melatarbelakangi kesan dan akibat pensejarahan tadi. Oleb itu, untuk memahami pensejarahan MM dan melihatkannya sebagal sumber "reflective" bagi abad ke-18, serta melihat terjadinya proses serta perubahan masyarakat pada abad tersebut, latar belakang sejarah dan sosiobudaya Perak itulah yang harus terlebih dahulu difahamkan.

Latar belakang Sejarah dan Sosiobudaya
Faktor geografi dan topografi sering mempengaruhi corak dan perkembangan sejarah sesebuah kawasan. Apabila kita memperkatakan pensejarahan Malaysia umpamanya, faktor sungai dan saliran sungai kerap menjadi salah satu faktor asas yang mempengaruhi fenomena dan corak sejarahnya. Tidak terkecuali juga dengan pensejarahan Perak. Sungai Perak sendiri membekalkan berhagai-bagai unsur sejarah, terutama hal-hal yang berkait dengan kewujudan serta pelaksanaan kerajaan serta kuasa dan kewibawaan dalam pemerintahan. Abad ke-18 menentukan sumber kuasa dan wihawa di mana seseorang raja bersemayam di kawasan-kawasan tertentu sepanjang sungai tersebut. Contohnya di Indera Sakti, Pulau Tiga, Berahman Indera. Bentuk muka bumi Perak menyebabkan ia terbahagi secara fizikal kepada dua kawasan, iaitu hulu Perak dan hilir Perak. Adanya jeram yang amat banyak di sepanjang sungai, hutan yang tebal, ketiadaan jalan-jalan yang mudah untuk dilalui, kawasan hilir yang dipenuhi lembah dan berbukit-bukit, kawasan hulu pula yang berbukit-bukau, menyebabkan perhubungan antara dua bahagian kawasan yang terletak di sebuah negeri ini cukup menyulitkan. Sungai sering disebut sebagai jalan perhubungan dan laluan yang paling asas di Perak, tetapi masalah yang diberikan olehnya, amat jarang diperkatakan. Arah ke hulu sungainya semakin sempit dan bengkang-bengkok. Hubungan hulu dengan hilir sering terputus apabila kemarau. Pada abad ke-l 8, pernah disebut bahawa perjalanan ke hilir dan hulu mengambil masa dua minggu melalui sungai, dan kira-kira 20 hari mengikut jalan darat.
Masalah hubungan kerana faktor geografi ini memberikan kesan secara langsung pula dalam soal pelaksanaan dan amalan wibawa serta bidang kuasa pemerintah. F.F. Laidlaw umpamanya pernah mengembara dan mengadakan ekspedisi ke kawasan hulu Perak pada tahun 1899. Menurutnya, soal perhuhungan yang amat menyukarkan di kawasan ini memungkinkan seorang ketua Melayu di situ membentuk dan mewujudkan kuasa serta pengawalannya sendiri; pemberontakan dengan mudah boleh dilakukan; seorang pesalah boleh berlindung, dan lari daripada keadilan.
Akibatnya, arahan dan perlaksanaan wibawa serta keberkesanan kuasa yang selalunya datang dari kawasan tempat raja bersernayam, bukan merupakan suatu perkara yang mudah. Ini ditambah pula oleh tradisi tempatan bahawa kawasan hululah yang mengasal-usulkan negeri Perak. Soal kesempadanan juga merumitkan. Kawasan-kawasan ini pada hakikatnya lebih menghampiri kawasan selatan Patani dan Kedah. Oleh itu, isu taat setia penduduk dan pembesar kawasan ini terhadap raja yang memerintah, tetapi berada puluhan kilometer ke hilir, sering menjadi soalan yang tidak terjawab. Satu kecenderungan politik sekarang timbul. Ada menteri dan pembesar yang bukan kerabat mendakwa boleh menjadi raja atau sultan. Suatu sumber pada abad ke-19 menyebut Menteri Larut sebagai mendakwa dirinya, "... the most powerful man. According to Perak custom, if I were a common lamplighter and had only men to back me, I might be made sultan tomorrow"
"Powerful" di sini boleh diertikan sebagai kuat dan kukuh daripada segi milikan ekonomi dan mempunyai pengikut yang ramai. Tetapi faktor "penyekat" yang paling pokok danpada terjadi dan terlaksananya kecenderungan politik seperti ini ialah keturunan dan salasilah, iaitu antara yang kerabat atau anak raja yang ditradisikan sebagai waris negeri, dengan yang bukan kerabat. Milikan ekonomi sering dirujuk kepada sumber pendapatan dan hasil Perak pada abad ke-18, iaitu bijih timah dan kegiatan perniagaan gajah dengan India. Dari segi teori, daulat bagi seseorang raja dirujuk daripada keturunan (secara kepercayaan dan mitos Bukit Seguntang, Palembang, menerusi Kesultanan Melaka dan kedaulatan dari Pagar Ruyung, Minangkabau). Pemilikan daulat ditentukan oleh faktor kelahiran dan taraf sosial.
Melaluinyalah wibawa spiritual dan duniawi dilaksanakan terhadap rakyat. Tetapi dan segi realiti, faktor dasar pelaksanaan wibawa dan kuasa ini terletak pada taraf sumber penghasilan dan milikan ekonomi yang ada padanya. Malah pada abad ke-18, milikan ekonomilah yang mendasari kekuatan politik. Milikan ekonomi yang kukuh dapat menyekat cita-cita politik beberapa orang pembesar pada abad itu. Tetapi pada abad ke-19, keadaan menjadi di sebaliknya. Kesannya, berlakulah perpecahan dalam kuasa memerintah.
Pelaksanaan bidang kuasa pemerintahan bagi sebuah kawasan yang lebih kurang lapan ribu batu persegi luasnya, bukanlah perkara yang tidak sukar, jika tanpa sokongan dan bantuan para menteri dan pembesar daerah. Menerusi kalangan inilah saja wibawa dan kuasa tadi dapat disalurkan kepada rakyat. Sekatan resam dan keturunan pula menyebabkan pembesar dan menteri yang kaya raya cuba melemahkan sultan dan menyokong waris negeri, terutama Raja Muda, bagi merebut takhta kerajaan.
Untuk menguasai dan mengawal kawasan-kawasan yang berpotensi ekonomi juga bukanlah suatu hal yang mudah, akibat masalah geografi tadi. Tetapi pada abad ke 18, dengan adanya siri-siri kontrak penjualan bijih antara Perak dengan VOC, raja-raja Perak menjadi cukup kaya, tidak dapat ditandingi oleh para pembesar lain.
Sekarang, pergeseran politik yang sering meletus ialah bukan antara raja dengan pembesar, tetapi antara raja dengan Raja Muda. Sepanjang tahun 1806 hingga tahun 1871 isu inilah yang menegangi politik Perak. Mulai tahun 1773 hingga tahun 1792 Raja Muda Ahmaddin (adinda Sultan Alauddin) disebut sumber Belanda sebagai tokoh yang amat berpengaruh dan berwibawa di Perak. Tetapi apabila menjadi raja, baginda hilang sokongan daripada anak raja dan pembesar negeri. Waris negeri bergaduh sesama mereka untuk berkuasa. Perlaksanaan wibawa pemerintah menjadi cukup tidak berkesan.
Hakikat sejarah dan proses pensejarahan yang terjadi ini menimbulkan akibat dan tindak-tanduk susulan oleh para pemegang kuasa dan wibawa Perak serta memberikan kesan terhadap pensejarahan Perak itu sendiri. Faktor-faktor inilah yang pada umumnya mendasari dan melatarbelakangi riwayat sejarah yang membina keseluruhan kandungan MM. Antaranya yang ditampilkan oleh Raja Chulan ialah;

(a) Perak terbahagi dua. Bahagian hulu diperintah oleh Sultan Muzaffar Syah, bahagian hilir diperintah oleh adiknya, Sultan Muhammad Syah. Sempadan bidang kuasa ialah di Pacat.

(b) Raja Muda Iskandar ibnu Sultan Muhammad menyedari hakikat ini dan tenaga-tenaga politik yang bergerak di belakang, lalu bertindak secara politik juga. Kepadanya, "negeri sebuah, raja dua" adalah mustahil. Baginda menyatukan semula hulu dan hilir. Walaupun Sultan Muzaffar terus bertakhta tetapi kuasa dan wibawa pemerintahan terletak di tangan Raja Muda,"... tetaplah Sultan Muzaffar Syah pula di atas takhta kerajaan, diperintahkan oleh anakanda baginda Ra,ja Muda", kata MM.

(c) Pembesar-pembesar utama yang empat yang diragukan kesetiaannya dipecat, lalu digantikan oleh pihak yang boleh dipercayai kesetiaannya.

(d) Peranjakan kuasa yang dilakukan oleh Sultan Iskandar, iaitu daripada pembesar kepada sultan sendiri, bukan sahaja kerana karismenya, malah sebab kekayaannya. Antara inovasi pentadbiran yang dilakukan olehnya ialah melantik jawatan Raja Bendahara dan Sultan Muda kepada adiknya sendiri, sebagai imbangan kepada perlantikan Raja Muda, yang juga adiknya.

(e) Meneruskan hubungan dagang dengan Belanda, yang bukan sahaja memanfaatkan ekonomi, malah menjamin pertahanan sultan yang bersemayam di Kuala Kangsar apabila Belanda membina kubunya di Tanjung Putus.

(f) Hubungan dipiomatik dengan kalangan Minangkabau dan Bugis akibat hadirnya unsur persaingan merebut takhta di kalangan waris negeri.

(g) Pada masa pemerintahan Sultan Mabmud, kerabat Bugis dari Selangor datang ke Perak untuk mendapatkan daulatnya (MM, hlm. 186-188). Ini adalah musabab politik, kerana pertama Perak adalah jiran Selangor yang terhampir; kedua Peraklah satu-satunya kesultanan pada abad ke- 18 yang terus mengekalkan pengwarisan salasilah kerabat dan Kesultanan Melaka. OIeh itu, dakwaan tentang kedaulatannya adalah wajar. Kehadiran Bugis di Perak juga menyebabkan Perak terlibat sama dalam konflik politik di Kedah.

(h) Sultan Muzaffar dan Raja Muda Iskandar sendiri yang berangkat ke Kuala Kangsar dan Sungai Kinta untuk memungut cukai. Ini tentulah menghairankan. Keraguan terhadap kesetiaan para pembesar daerah tersebutlah menyebabkan hal ini terjadi.

(i) Sultan Iskandar menjerat gajah di Sayung. Ini disebabkan sumber Belanda menyebut perdagangan gajah adalah monopoli diraja dan amat menguntungkan.

(j) Perkahwinan antara Sultan Iskandar dengan Puteri Budak Rasul adalah kerana politik, sebab sumber Belanda menyebut juga bahawa puteri tersebut telah pun bertunang dengan Sultan Berkabat, tetapi telah diputuskan. Sultan Berkabat tentulah marah, lalu menyerang Bukit Gantang.

Semua contoh dasar pada riwayat tersebut bukanlah "fictional", malah sahih dan bersejarah. Hanya kaedah penyampaiannya itu sahaja yang dikarang dan dibentukkan mengikut rasa dan selera masyarakat pada abad itu. Menerusi riwayat tadi MM menerangkan secara bayangan struktur kerajaan Perak pada abad ke-18 dan kaedah struktur itu dilaksanakan. Sumber Belanda daripada laporan Ary Verbrugge menyebut, peperangan saudara dan perpecahan kerajaan pada tahun 1740-an adalah akibat percubaan Raja Muda Iskandar merampas takhta daripada pamannya, Sultan Muzaffar. ini disebabkan adanya peluang ekonomi, sokongan para pembesar Perak dan bantuan ketenteraan kalangan Bugis dari Selangor. Peluang-peluang ini jugalah yang membolehkannya menyatukan semula Perak yang terbahagi dua itu.

Kesimpulan
Sesuai dengan sifatnya yang menumpu kepada seorang tokoh, MM adalah sebuah hasil "semi-panegyric" yang bercorak sejarah. Dengan berpusatkan ketokohan Raja Muda atau Sultan Iskandar Zulkarnain, di sekelilingnylah proses dan perubahan sejarah Perak pada abad ke-18 itu bergerak. Malah apabila cukup yakin dengan karisme dan kebolehan kepimpinan Sultan Iskandar dalam proses perpolitikan Perak pada abad itu, maka Raja Chulan menyebutnya sebagai tokoh politik tanpa bandingan, '... tiada siapa-siapa menyamai Raja Muda itu pada zamannya.
Dakwaannya ini dan bahagian riwayat lain yang menyokong dakwaan tersebut dirujuk kepada sumber-sumber luar dan tempatan sezaman, abad ke-18 dalam pensejarahan masyarakat dan politik Melayu di Perak, adalah pensejarahan yang cukup mencabar dan menarik.
Pensejarahan tersebut dengan sendirinya memancarkan ciri-ciri internal dynamics sebuah negeri dan kerajaan Melayu Semenanjung selama seabad. Antara zaman disintegration politik dan wibawa dengan zaman integration, terdapat dan berlaku banyak perubahan sejarah serta ekonomi masyarakat tersebut. Adat resam dan kebudayaan terus dikekalkan dan diamalkan. Malah dalam konteks kesinambungan, abad tersebut menjadi penghubung bagi proses dan tradisi pensejarahan abad sebelum dan selepasnya, hinggalah pada pada masa kini. Dalam aspek kedinamikannya, abad tersebut tidak statik, dan bukan merupakan "zaman gelap" dalam sejarah Perak seperti yang sering ditanggap. Malah apabila dibandingkan di antara zaman sebelum dan selepasnya, abad ke-18 adalah zaman emas di dalam pensejarahan Perak, seperti dugaan sesetengah pengkaji dan penulis sejarah. MM sendiri memancarkan hakikat ini.