PENSEJARAHAN NEGERI DAN RIWAYAT HIDUP TOKOH TERKEMUKA : SATU KAJIAN SERTA PENILAIAN BERDASARKAN HIKAYAT HANG TUAH

PENGENALAN


· Setiap bangsa dan negara di dunia ini mempunyai tokoh yang menjadi teladan, ' model ' pujaan serta sanjungan. Setiap tokoh legenda sering dijadikan sebagai rujukan peribadi atau lebih dekat lagi kita gunakan di sini istilah ' model ' bagi mencerminkan sikap budaya sesuatu bangsa itu.

· Sehubungan ini bangsa Melayu khususnya sewaktu Kesultanan Melayu Melaka telah menempatkan Hang Tuah sebagai wira, pahlawan serta idola mereka. Selepas kejatuhan kerajaan tersebut watak Hang Tuah masih lagi dianggap sebagai wira yang agung bagi masyarakat Melayu khususnya.


· Sebagai seorang wira dan tokoh yang agung, watak Hang Tuah telah digambarkan serta diceritakan dalam sebuah hikayat Melayu yang dinamakan sebagai Hikayat Hang Tuah. Namun begitu perlu juga kita ketahui bahawa sebelum watak Hang Tuah ini ditulis dalam sebuah hikayatnya yang tersendiri, watak tersebut pernah wujud serta diceritakan dalam Sejarah Melayu.

· Sememangnya banyak persoalan yang dapat digarap melalui Hikayat Hang Tuah ini terutama sekali berkenaan dengan riwayat hidup, perwatakan serta peribadi Hang Tuah itu sendiri.


Persoalan Jati Diri Yang Dirujuk Kepada Peribadi Hang Tuah Sebagai Tokoh Wira Bangsa Melayu

· Maruah dan keperibadian sesuatu bangsa lebih mudah untuk ditentukan melalui penilaian sejauhmana ketulinan dan kekuatan jati diri yang dimiliki oleh bangsa berkenaan. Sehubungan ini konsep jati diri yang dimiliki oleh Hang Tuah sebagai seorang tokoh wira bangsa merupakan antara persoalan penting yang menjadi tumpuan penceritaan dalam Hikayat Hang Tuah.

· Menurut Kassim Ahmad ( 1964 ), watak-watak yang diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah seperti watak Hang Tuah sendiri, Hang Jebat serta Tun Teja dalam hikayat tersebut menunjukkan keasliannya dan menggambarkan watak-watak bangsa Melayu yang mewakili zamannya.


· Dalam Hikayat Hang Tuah, watak Hang Tuah membawa lambang kesempurnaan bangsa Melayu yang dapat dijadikan sebagai contoh oleh generasi yang terkemudian. Ini kerana menurut pandangan Kassim Ahmad, setiap perlakuan serta perbuatan Hang Tuah melambangkan keperibadiaan bangsa Melayu itu sendiri.

· Menurut Hassan Ahmad ( 1997 ), penonjolan jati diri Melayu menerusi watak Hang Tuah bersesuaian dengan kehandak atau ciri-ciri karya tersebut yang dianggap oleh kebanyakan sarjana sebagai salah sebuah karya agung bagi bangsa Melayu.


· Ini ternyata sekali kalau kita rujuk mengenai persoalan pengorbanan untuk raja, agama serta bangsa sepertimana yang ditunjukkan melalui watak Hang Tuah dalam hikayat ini.
· Dari segi sejarahnya, sewaktu Kesultanan Melayu Melaka sedang mencapai zaman kegemilangannya, kerajaan Majapahit sudah wujud sebagai sebuah empayar yang besar dan ingin bersaing dengan KMM. Pada ketika itu KMM beruntung kerana dikurniakan seorang tokoh atau wira yang sanggup bergadai nyawa serta berjuang bagi mematahkan serangan Majapahit ke atas KMM.

· Justeru itu kehadiran Hang Tuah sebagai seorang pembesar kerajaan iaitu selaku seorang Laksamana, akhirnya dapat mengharumkan nama KMM itu sendiri sebagai pesaing utama kepada kerajaan Majapahit. Dalam Hikayat Hang Tuah dipaparkan bagaimana Melaka dan Majapahit yang merupakan dua bangsa yang mewakili bangsa Melayu dan Jawa bersaing sesama sendiri demi mempamerkan kejaguhan dan keagungan bangsa masing-masing.


· Dalam Hikayat Hang Tuah juga turut digambarkan bahawa masyarakat Melayu yang diwakili oleh Hang Tuah yang sering disaingi serta diancam dengan penampilan watak negatif Jawa. Sehubungan ini pahlawan-pahlawan Jawa sering cuba untuk menggugat kedudukan KMM dan sekaligus mencabar kepahlawanan Hang Tuah.

· Ketika Hang Tuah berada di Majapahit, dapat dikesan penegasan dan penonjolan istilah Melayu atau bangsa Melayu dalam beberapa peristiwa. Ini dapat dilihat daripada petikan berikut iaitu :


" Maka kata Patih Gajah Mada, bukan engkau sekelian aku hendak menyuruh mengalahkan negeri. Engkau hendak kusuruhkan mencuba hulubalang Melayu yang datang itu…"


( Hikayat Hang Tuah, hlm. 107 )


· Justeru itu fokus utama orang jawa pada masa itu lebih ditumpukan untuk mengalahkan Hang Tuah yang dianggap sebagai saingan utama kepada kerajaan Majapahit.

· Sehubungan itu, penampilan Hang Tuah bukan sekadar untuk menyedapkan penceritaan dalam hikayat ini tetapi pengarang Hikayat Hang Tuah berhasrat untuk menjadikan watak tersebut sebagai lambang keagungan bangsa Melayu. Ini jelas kalau kita rujuk pengulangan istilah Melayu dalam Hikayat Hang Tuah , antara lain ada dinyatakan bahawa :

" Maka Tun Tuah melompat menyalahkan tikam penjurit itu, seraya katanya, " Akulah hulubalang Raja Melaka, Syahdan akulah yang bernama Laksamana, hulubalang pada Tanah Melayu."


· Ini jelas watak Hang Tuah turut mewakili bangsa serta negara atau kerajaannya iaitu Kesultanan Melayu Melaka dan bangsa Melayu.

· Hang Tuah yang taat dan patuh kepada raja, ditonjolkan pula dengan sifat-sifat kepahlawanannya serta kesanggupannya untuk berkorban demi kepentingan bangsa dan negaranya. Perkara ini menjadikan Hang Tuah seorang yang unggul dengan berjaya mengatasi segala cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh beliau.


· Di samping itu keteguhan Hang Tuah pada jati dirinya turut diuji dengan berbagai cara baik dari segi ujian zahir mahupun batin. Contohnya, dalam satu peristiwa ada diceritakan Hang Tuah terpaksa menghadapi Seri Betara yang merupakan seorang raja yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Sultan Melaka. Ujian yang dimaksudkan ialah bukan dari segi ancaman fizikal tetapi lebih kepada ujian ketahanan mental.
· Tujuan sebenar Betara Majapahit dalah untuk membunuh Hang Tuah kerana selagi Hang Tuah masih hidup KMM akan terus dapat menyaingi kerajaan Majapahit. Hang Tuah yang menjadi lambang kekuatan dan keagungan kerajaan Melaka perlu dihapuskan supaya Melaka dapat tunduk kepada kerajaan Majapahit.

· Jati diri Melayu yang ada pada Hang Tuah terhadap raja dan kerajaan Melaka menambahkan rasa dengki serta tidak puas hati Seri Betara Majapahit. Justeru itu bagi tujuan untuk menundukkan Hang Tuahm beliau telah menawarkan Hang Tuah sebuah negeri serta beberapa orang gundik yang cantik tetapi kesemua itu ditolak oleh Hang Tuah. Ini sekali lagi menunjukkan kepada kita bahawa bangsa Melayu tidak mudah dipujuk dengan kemewahan seperti mana yang ditunjukkan oleh watak Hang Tuah dalam hikayat tersebut.


· Selain dari menunjukkan sifat-sifat mulia, Hang Tuah juga diceritakan mempunyai beberapa kebolehan lain yang tidak ada pada hulubalang Melaka pada masa itu. Contohnya kebolehan istimewa Hang Tuah dalam bidang seni tari yang mana dalam satu kisah menerusi hikayat ini ada dinyatakan bahawa keasyikan melihat Hang Tuah menunjukkan tariannya membuatkan ramai para hulubalang Majapahit leka sehingga terlupa untuk menikam Hang Tuah secara curi. Ini dapat dilihat berdasarkan kepada petikan beriku iaitu :


" Maka Laksamana pun menarilah terlalu manis tarinya, tiada pernah orang Inderapura melihat tari seperti tari Laksamana itu."


( Hikayat Hang Tuah, hlm. 189 ).


· Menerusi Hikayat Hang Tuah, ketokohan Hang Tuah lebih banyak diperincikan tentang kebolehannya mempertahankan Melaka dari serangan musuh dari dalam dan luar. Di bahagian pertama hikayat ini lagi sudah diceritakan sewaktu meningkat dewasa Hang Tuah serta para sahabatnya berjaya menghapuskan sekumpulan lanun. Kejayaan mereka menghapuskan lanun tersebut mendapat perhatian Bendahara Melaka yang merasa bangga dengan keberanian Hang Tuah dan para sahabatnya itu. Jelasnya semangat kebangsaan telah tertanam dalam diri Hang Tuah sejak beliau kecil lagi.

· Keagungan Hang Tuah juga dikaitkan dengan kegemilangan dan kejayaan yang dikecapi oleh KMM. Sehubungan ini peringkat perkembangan, kebesaran dan kejatuhan KMM berhubung rapat dengan ketokohan Hang Tuah.


· Menurut Kassim Ahmad, semasa kecil, kedudukan Melaka baru membangun dan apabila Hang Tuah meningkat dewasa, Melaka mula berkembang menjadi sebuah empayar yang besar sejajar dengan peningkatan citra serta keunggulan Hang Tuah.

· Semangat kebangsaan yang teguh dalam diri Hang Tuah dapat dijelaskan dengan memperlihatkan hubungannya dengan kesetiaan dan ketaatan kepada raja. Ini jelas berdasarkan kepada petikan berikut iaitu :

" Adapun sahaya ini biduanda Yang Dipertuan Melaka;sebab sahaya datang ini dimurkai oleh Duli Yang Dipertuan sebab fitnah segala pegawai…Maka Tun Jenal pun berkata, " jika demikian, baiklah encik duduk di Inderapura ini kerana Duli Yang Dipertuan bukan orang lain, keluarga Yang Dipertuan di sini juga." Maka sahut Laksamana, apatah salahnya Duli Yang Dipertuan Inderapura ini hendak berhambakan sahaya ?. tetapi Si Tuah tiada mahu bertuan dua tiga lain daripada anak cucu raja di Bukit Siguntang.


( Hikayat Hang Tuah, hlm. 187 )


· Menerusi ketokohan Hang Tuah, KMM berjaya menjadi sebuah kerajaan yang kuat serta disegani oleh kawan dan lawan. Hal ini jelas dinyatakan dalam Hikayat Hang Tuah iaitu :


" Maka negeri Melaka pun kararlah pada zaman Laksamana menjadi hulubalang."


( Hikayat Hang Tuah, hlm. 307 )


· Ketokohan Hang Tuah sebagai hulubalang Melaka cukup dicemburui oleh ramai musuh kerajaan Melaka. Hal yang sedemikian timbul berikutan kebijaksanaan Hang Tuah dalam menangani setiap perang yang ditempuhinya. Bagaimanapun kebijaksanaan Hang Tuah diperlihatkan seimbang sewaktu menguruskan hal keselamatan Melaka. Di samping itu ia juga diperlihatkan sewaktu berusaha menaikkan imej KMM dengan menjalin hubungan dengan kerajaan luar.



· Tugas sebagai duta atau wakil kerajaan bagi KMM dijalankan oleh Hang Tuah dengan jayanya sehingga mengangkat maruah dan martabat KMM di mata negara luar pada ketika itu.

· Selain itu Hang Tuah juga mempunyai kebolehan bertutur dalam 12 bahasa asing yang sekaligus melayakannya menjadi seorang duta KMM yang terkenal. Kebolehan ini diperkukuhkan pula dengan keistimewaan semulajadi Hang Tuah dengan memiliki lidah yang fasih berkata-kata serta raut wajah yang manis serta sopan. Gambaran fizikal Hang Tuah diceritakan dalam hikayat ini seperti berikut :


" Maka Syahbandar pun kasih mesra rasanya melihat laku Laksamana berkata-kata dengan bahasa Arab itu, fasih lidahnya dengan manis mukanya berkata-kata, sangat ia merendahkan dirinya."


( Hikayat Hang Tuah, hlm. 473 )


· Di samping itu sewaktu Hang Tuah berada di Tanah Arab, Rom, Siam, India dan China, beliau telah menunjukkan kebolehannya untuk memahami setiap bahasa yang dipertuturkan di tempat-tempat tersebut.

· Ketika berada di negara Keling, Hang Tuah menunjukkan keperibadian Melayu yang bersopan santun dan berbudi bahasa sehingga mengkagumkan ketua negara berkenaan, iaitu Kisna Rayan. Sehubungan ini Kisna Rayan telah melantik Hang Tuah sebagai wakil kerajaan Keling ke negara China kerana kepandaian hang Tuah bertutur dalam bahasa Keling menyamai dengan penduduk di negara berkenaan.



· Pengiktirafan terhadap Hang Tuah bagi mengunjungi sebuah kerajaan yang besar seperti China membuktikan bahawa tokoh Melayu ini bertaraf antarabangsa. Dalam Hikayat Hang Tuah diceritakan bahawa semasa berada di negara China, Hang Tuah mempamerkan banyak kecemerlangan dalam menjalankan tugasnya sebagai wakil sebuah kerajaan yang lain. Sehubungan ini Hang Tuah telah menggunakan alasan bahawa semua orang Keling yang menjadi pengiringnya tidak boleh makan daging dan ikan. Oleh itu mereka hanya makan sayur kangkung tanpa dipotong. Justeru itu Hang Tuah dapat berpeluang melihat wajah Maharaja China yang duduk di dalam mulut naga emas bersisik.

· Segala sifat serta ketokohan yang digambarkan tentang Hang Tuah dalam teks Hikayat Hang Tuah menunjukkan kepelbagaian kesempurnaan yang dimiliki oleh beliau sebagai salah seorang hulubalang KMM. Jika dibandingkan dengan gambaran perwatakannya dalam Sejarah Melayu, ternyata agak jauh perbezaan kerana watak Hang Tuah dalam Sejarah Melayu digambarkan dengen beberapa kelemahan tertentu. Boleh dikatakan dalam teks Hikayat Hang Tuah segala kelemahan tersebut telah dihapuskan sama sekali.


· Namun begitu menurut pandangan Liang Liji dalam kajiannya tentang perwatakan Hang Tuah dalam Sejarah Melayu dan juga Hikayat Hang Tuah, kebolehan serta keperibadiaan Hang Tuah dalam Sejarah Melayu dilihat lebih mendekati kepada unsur-unsur atau sifat-sifat Hang Tuah sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari dari sebarang kebaikan dan kelemahan. Contoh kelemahan yang dimaksudkan oleh Liang Liji ini ialah seperti tindakan Hang Tuah untuk mengundurkan diri ketika berperang dengan orang-orang Pasai sehingga akhirnya menimbulkan kemurkaan Sultan Mansor Syah.




· Tetapi watak Hang Tuah dalam teks Hikayat Hang Tuah sudah berubah menjadi manusia yang sesempurna, segala cacat celanya sebagai manusia biasa dalam teks Sejarah Melayu sudah dihilangkan. Untuk mengangkat Hang Tuah supaya menjadi wira kebangsaan yang paling agung dan mulia, maka jasa-jasa orang lain yang dikisahkan dalam Sejarah Melayu dijadikan sebagai jasa Hang Tuah dalam teks Hikayat Hang Tuah.

· Justeru itu menurut pandangan Liang Liji lagi, citra Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah adalah lebih cemerlang, tetapi juga lebih jauh daripada wira sejarah kalau dinilai dari sudut pendekatan sejarah.


· Bagi Liang Liji teks Hikayat Hang Tuah adalah lebih tepat untuk digolongkan sebagai sebuah karya yang bercorak legendaris iaitu menumpukan kepada ketokohan daripada membincangkan ia dari sudut sejarah atau pendekatan sejarah.

· Menurut R.O. Winstedt, lahirnya teks Hikayat Hang Tuah adalah untuk memenuhi keperluan zaman yang penuh cabaran. Sehubungan ini menurut beliau, bangsa Melayu perlu dibangkitkan semula semangat kebangsaan serta keperwiraannya terutama untuk bersaing dengan pengaruh asing. Oleh yang demikian Hang Tuah dapat dijadikan sebagai teladan wira kebangsaan yang paling setia serta berani. Bagi Winstedt, Hikayat Hang Tuah adalah satu-satunya teks yang dapat dikategorikan sebagai " Roman Melayu Asli ".

· Dilihat dari segi tujuan penulisan teks ini, ternyata pengarang Hikayat Hang Tuah bertujuan untuk menjadikan tokoh tersebut sebagai satu figure atau tokoh yang tipikal yang menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah.

· Hang Tuah akhirnya meninggal dunia sebagaimana manusia biasa. Maka jelaslah bahawa wira Hang Tuah baik dalam Sejarah Melayu mahupun dalam teks Hikayat Hang Tuah bukan seorang manusia yang mempunyai keajaiban yang tertentu. Namun begitu ia tidak pula mengurangkan keperwiraan Hang Tuah yang selama ini dianggap sebagai seorang pahlawan Melaka yang gagah, berani serta setia.

KESIMPULAN


· Melalui penelitian terhadap teks Hikayat Hang Tuah, ternyata Hang Tuah memiliki ciri-ciri keperibadian yang melayakkan beliau diangkat sebagai wira bangsa Melayu.

· Secara keseluruhannya pengarang teks Hikayat Hang Tuah ini juga lebih memberikan penumpuan terhadap riwayat hidup serta ketokohan yang dimiliki oleh Hang Tuah sahaja tanpa ada sebarang tokok tambah dengan tokoh-tokoh yang lain.


· Kesetiaan, kebijaksanaan dan keberanian merupakan 3 unsur utama yang dimiliki oleh Hang Tuah sehinggakan watak beliau masih terus dikagumi zaman berzaman.

· Hikayat Hang Tuah tetap mempunyai nilaian sastera dan juga sejarahnya yang tersendiri. Ia juga dianggap sebagai pembaharuan kepada watak Hang Tuah sebagaimana yang telah diceritakan dalam Sejarah Melayu terdahulu dari hikayat ini.





· Ringkasnya, dari segi nilai sejarah, Hang Tuah dapat dianggap wujud serta penting sewaktu zaman kegemilangan KMM. Manakala dari segi nilaian sasteranya pula, Hang Tuah merupakan seorang tokoh legenda bagi bangsa Melayu.


RUJUKAN :


1) A. Samad Ahmad ( ed ), 1979, Sulalatus Salatin ( Sejarah Melayu ), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
2) Kassim Ahmad ( pnyl ), 1964, Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
3) Liang Liji, 1994, " Persoalan Sejarah Dan Sastera Dalam Sejarah Melayu Dan Hikayat Hang Tuah ", dalam SARI Vol. 12.
4) Lokman Abdul Samad, 2001, Hikayat Hang Tuah : Suatu Perbicaraan Karya Agung Dari Pelbagai Aspek, Universiti Malaysia Sabah : PPIB
5) Shaharuddin Maaruf, 1984, Concept Of A Hero In Malay Society, Singapore : Eastern Universities Press ( M ) Sdn. Bhd.
6) Teuku Iskandar, 1970, " Some Historical Sources Used By The Author Of Hikayat Hang Tuah ", dalam JMBRAS 42 ( II ), hlm. 39-47.

&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&