13. PENSEJARAHAN MELAYU [TRADISIONAL] SEBAGAI SUMBER SEJARAH.

Hikayat Raja-Raja Pasai (HRP), Sejarah Melayu (SM), Hikayat Acheh (HA) dan Hikayat Hang Tuah (HHT) adalah di antara hasil penulisan dalam Bahasa Melayu di persekitaran kehidupan masyarakat Melayu pada zaman silam. Kegagalan memahaminya karya-karya tesebut bererti tidak dapat menghayati keaslian dan kejituan sejarah masyarakat Melayu lampau.

Meneliti peristiwa penjajahan Melaka oleh kuasa Portugis, turut terpancar di dalam HHT. Selain dari HHT, SM juga memaparkan peristiwa tersebut.

Pendekatan latarbelakang dalam HRP, HHT dan SM  menonjolkan Melaka selaku pusat dunia dan ketamadunan Melayu yang ulung di abad ke XV dan awal abad ke XVI Masehi.

Dengan kata lain, segala sesuatu dilihat seharusnya berlaku dan terjurus ke Melaka. Melaka digambarkan sebagai negara yang bukan sembarangan. Susur galur penubuhan Melaka didahului oleh pelbagai keanehan dan kecerdikan memilih tapak  negeri. Negeri yang sedemikian istimewanya, diperlihatkan perpadanannya untuk keturunan Iskandar Dzulkarnain yang berkuasa dari Mashrik ke Maghrib dari Daksina ke Paksina.

Keturunan raja ini telah diterima dari segi keabsahan kuasanya mahupun kesilaman sejarahnya bertakhta di Palembang, Bentan, Temasik dan Melaka. Unsur kesinambungan kekuasaan inilah yang begitu ditekankan oleh O.W. Wolters di dalam tulisannya, The Fall of Srivijaya In The Malay History, yakni pertalian antara Srivijaya, Palembang dan Melaka.

Di dalam SM antara lain dinyatakan,…ada pun tiang kerajaan itu anak cucu baginda yang dari Bukit Seguntang, dari Singapura datang ke Melaka, hingga sampai ke masa kita ini, tiadalah lain daripada itu. [1]

Negeri yang bertuah dan raja-raja yang gemilang ini, dilengkapi pula oleh keistimewaan doktrin daulat dan derhaka serta tata kerama lainnya yang dipandang sebagai warisan kudus dan perlu dipertahankan. Di dalam watak dan diri Hang Tuah terakam cita-cita keperwiraan Melayu memperjuang dan mendaulatkan negeri dan rajanya.

Dari pengkalan nelayan tidak ternama, Melaka akhir-akhirnya muncul sebagai kerajaan dan emporium perdagangan terbilang, selaku pentas dialog antara manusia dan pelbagai kebudayaan.

Memang benar, pelbagai tanggapan mengenai SM dan HHT telah diluahkan oleh sejumlah pengkaji terdahulu. Kedua-duanya dengan segala keterbatasan dan kegunaannya, tidaklah dapat dianggap keseluruhannya memenuhi kehendak penulisan atau pengkaedahan sejarah moden per se.

HHT kepada setengah pengkaji disifatkan sebagai hasil kreatif kesenian dan kesusasteraan Melayu tradisional. Ia juga pernah dikelompokkan sebagai sebuah roman bersifat legenda, atau sebuah epik berbentuk puisi. Menurut  Prof. Siti Hawa Salleh, HHT disebut seiring dengan SM dianggap hasil kesusasteraan Melayu yang teragung, kedua-duanya Magnus Opus sastera Melayu. [2]

Biar apa pun yang diutarakan, yang pasti ialah karya-karya lama berbentuk hikayat, masih penting di dalam memaparkan hati budi dan naluri pemikiran masyarakat Melayu khususnya di abad-abad  ke-14 sehingga abad ke-17.

Karya-karya sastera berunsurkan sejarah seperti SM dan HHT sebagaimana yang dilihat oleh Roolvink dan Sartono Kartodirjo merangkumi mitos, legenda dan fakta yang sahih tatkala dibandingkan dengan pelbagai sumber asing.

Yang sewajarnya fakta sejarah perlu dicungkil dengan mengenepikan unsur-unsur di luar kemampuan manusia biasa. Peneliti hikayat seharusnya sedar bahawa hikayat dikarang untuk dibacakan secara terbuka dan nyaring di persada umum. Penggemarnya mendengar dan tidak selalunya membaca hikayat. Mereka diseret ke alam hikayat oleh keindahan dan kelantangan suara pemerihal hikayat.

Dalam pada itu, keterdedahan dan keterbukaan masyarakat pribumi terhadap pengaruh asing dijelmakan melalui pengaruh-pengaruh Hindu, Islam, Jawa dan sebagainya, di dalam hikayat lama. Dipaparkan melalui tokok-tambah seperti kisah Iskandar Zulkarnain, Amir Hamzah, Muhammad Ali Hanafiah, Seri Rama, cerita-cerita Panji dan seumpamanya.

Mengenai perdagangan di Melaka, seawal-awal 1498 Vasco Da Gama turut mencatatkannya, dan juga dicata oleh pengunjung Itali, iaitu Varthema yang melawat Melaka pada tahun 1506. Seterusnya dicatat dalam laporan kuasa Portugis kepada Raja Portugal pada sebelum menakluk dan semasa memerintah Melaka – maklumat mengenai perdagangan rempah ratus, sutera dan ceramik. Catatan maklumat-maklumat mereka menjelaskan betapa Melaka dan rajanya amat makmur dan berkuasa di Alam Melayu.

Selaku warisan penting, SM dan HHT memaparkan peristiwa-peristiwa sejarah Melaka dan alam Melayu.

Mengenai penaklukan Melaka oleh Portugis, pada 24 Ogos 1511 sebagaimana disentuh di dalam SM dan HHT, catatan  Portugis juga mengakui susah payah mereka menawan Melaka, termasuk merobohkan jambatan yang merentangi Sungai Melaka. Gambaran itu terjelma di dalam tulisan Giovanni, menyebut;

We went on this way for twenty days or more [since 28/6/ 1511], for each night the crews were obliged to land their boats, whereby those a shore responded with heavy cannon fire, so that every night some of our men were lost and others maimed, wherefore in short while, on both junk and boats, they killed about a hundred  of our men and maimed many more in arm and limb...We numbered about one thousand five hundred men, we had the Chinese to help us who were about four hundred in number, and the prince of Zamatora with and equal company, and so we gave battle on the feast of the Apostle St. James [25/7/1511]". [3]

Yang nyata ialah kejatuhan Melaka bukan sahaja disebabkan oleh kecanggihan meriam, mahupun teknik peperangan atau kegigihan dan kesatuan tujuan yang ada di pihak Benggali Putih. Diketahui bahawa selepas 25.7.1511, beberapa penyerangan lagi dilakukan. Serangan-serangan Portugis di sekitar 10.8.1511 dan 20.8.1511 sebagaimana sebelumnya juga menerima tentangan hebat di pihak Melaka.

Dalam pada itu, hikayat-hikayat lama dengan terang menunjukkan bahawa Melaka sendiri menghadapi `perebutan dalaman', iaitu menghadapi kemelut gila kuasa, berpuak-puak, kezaliman, pilih kasih, tamak haloba, mementingkan diri sendiri, pengabaian tugas, dengki, khianat, huru-hara, pengabaian aspek keagamaan Islam dan sebagainya. Di dalam Tuhfatun Nafis, ditunjukkan betapa Melaka tewas di tangan Feringgi akibat rajanya yang tidak melakukan tanggungjawabnya dengan sempurna.

Memandangkan Melaka diancam Portugis, HHT melaporkan tentang wira Melayu (Hang Tuah) dihantar ke Turki Othmaniah selaku misi diplomatik serta keperluan mendapatkan senjata dan peluru untuk menentang Portugis. Gambaran tentang pertahanan Melaka turut disertai oleh pihak Turki, bukanlah momokan semata-mata. Sumber pihak Portugis sendiri melaporkan betapa ribuan pucuk meriam dari gangsa dan besi lengkap bahawa Compliment and Carriages yang canggih buatannya, turut dirampas dan tenggelam bersama-sama Flor De La Mar. [4]

Mengenai kematian Hang Tuah menurut SM – telah mati, tetapi menurut HHT - dikatakan membawa diri semacam `bertapa' dan menjadi `ketua orang asli'.            Samada mati atau hilang, semangat perjuangan Hang Tuah mendaulatkan raja, negeri dan martabat bangsa terus menjiwai kegiatan mengusir penjajah.

Misalnya, sikap juang Sultan Mahmud dan pengikutnya untuk merebut kembali Melaka - motif menyapu arang yang terpalit di muka – walaupun semasa dalam pelarian. Sisa baki hidupnya diabdikan untuk mengusir penjajah dan mendapatkan kembali Melaka.

Di dalam penentangannya Sultan Mahmud dilaporkan sebagai bertitah, kita hendak berperang dengan Feringgi kerana istiadat raja-raja itu negeri alah, rajanya mati. Sikap juang Sultan turut disertai oleh Hang Nadim yang bertimbakan darah jua, tiga puluh dua kali, sementara Temenggung bersumpah mempertahankan Kota Kara hingga ke titisan darah yang akhir. Hanya sesudah empat kali serangan dan tentangan sengit, Bentan dikalahkan dan Sultan Mahmud mangkat di Kampar pada tahun 1528.

Jiwa dan hati budi Melayu yang bukan sembarangan yang cuba diketengahkan oleh hikayat-hikayat lama kita sesungguhnya bukanlah sesuatu yang terlampau terkeluar dari landasan sejarah. Dalam kata lain, pengkisahan dalam pensejarahan Melayu tradisional khususnya bukanlah omong kosong sebagaimana ramai sarjana fikirkan dan tanggapi. Sewajarnya teks-teks seperti HHT dan SM haruslah dikaji dengan membanding-bandingkannya dengan sumber-sumber luar mengenai Melaka.



1. O.W. Wolters, The Fall of Srivijaya In The Malay History, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1970. Juga, W.G. Shellabear, Sejarah Melayu, Fajar Bakti, Kuala Lumpur,1981, hal. 225.

[2] Lihat, Siti Hawa Haji Salleh, "Kedudukan Hikayat Hang Tuah Dan Penilaian Semula", Seminar Perbincangan Hikayat Hang Tuah, ATMA, UKM, Bangi, 12.8.95, hal. 4.

[3] A. Bausani, Lettera Di Giovanni Da Empoli, Instituto Italiano Per I1 Medio Ed Estremo Oriente, Roma, 1970, p. 137.

[4] Ibid.