KULIAH 10: SEJARAH SOSIOPOLITIK DAN EKONOMI – TEKS MISA MELAYU

Sebuah Karya Sejarah

Misa Melayu atau Ikatan Raja Ke Laut yang selesai ditulis pada penghujung abad ke-18 merupakan hasil karya seorang sejarawan istana Perak, iaitu Raja Chulan dan karya ini menjadi karya pensejarahan Melayu yang kedua terpenting selepas Sulalatus Salatin.

 

Kemudian Misa Melayu kemungkinan telah disalin ataupun ditambah oleh penulis-penulis lain sehingga terdapat dua tarikh di dalam naskhah yang telah disunting oleh R.O. Winstedt.

Tarikh pertama, menyebut, …tamatlah Hikayat Misa Melayu ini…seribu dua ratus lima puluh dua. [bersamaan T.M. 1836] dan; tarikh kedua, menyebut, Termaktub ini Hikayat Misa Melayu pada 25 Jamadil awal tahun 1326 [bersamaan T. M. 1908] di dalam Mukim Bandar, Haji Othman. [1]

Karya suntingan oleh R.O. Winstedt itu, yang telah menjadi naskhah paling popular, adalah didasarkan kepada tiga naskhah asal. Naskhah yang pertama, milik al-Marhum Sultan Idris Perak adalah sebuah naskhah yang lengkap, sedangkan yang kedua pula hanya mengandungi sebahagian sahaja sejarah negeri itu. Manakala naskhah yang ketiga hanya mengandungi syair yang sama seperti yang terdapat di dalam naskhah pertama. Naskhah ketiga ini telah disusun semula oleh Abdul Talib Hj. Ahmad dan diterbitkan dengan judul, Syair Pelayaran Sultan Iskandar Perak.

 

Mengenai  judul Misa Melayu, R.O. Winstedt menganggap perkataan Misa sebagai ‘contoh’ atau ‘kisal’ yang dikatakan diambil dari bahasa Jawa. Sementara Haji Buyong Adil pula mengertikannya sebagai ‘kerbau’ iaitu yang merupakan suatu lambang kegagahan atau kepahlawanan lantas memberikan makna Misa Melayu itu sebagai ‘Pahlawan Melayu’.

Teks ini berlainan sedikit daripada pensejarahan tradisional, iaitu sebuah babad yang realistik – berunsur fakta sejarah tanpa mengandungi + mencampurkan dongeng dan cerita rakyat. Tetapi masih berbentuk tradisi pensejarahan istana.

Motif Penulisan Sejarah

Motif pertama - tujuan memenuhi kehendak atau perintah raja. Pengarang, Raja Chulan memaklumkan perintah itu dalam syair;

Tuanku titahkan patek mengarang;

Diperbuat juga sebarang-barang;

Sajaknya janggal manisnya kurang;

Haram tak sedap didengar orang.

 

Patek persembahkan satu sahifah

Ke bawah hadrat duli khalifah

Kebesaran daulat makin bertambah

Khabarnya masyhur yang amat limpah.

Raja yang memerintahkan penulisan itu dipercayai ialah Sultan Iskandar yang juga merupakan tokoh utama dalam karya ini.

Motif kedua - menekankan kepentingan bagi zuriat yang akan datang. Ada disebutkan kata-kata, ...supaya bolehlah akan zaman kita disebut orang  kemudian kelak. [2] Namun, kata-kata tersebut tidaklah merujuk kepada motif penghasilan Misa Melayu itu, tetapi adalah kepada pembinaan sebuah mahligai di Pulau Indera Sakti.

Kaedah Penyelidikan Sejarah

Pada hakikatnya kaedah penyelidikan sejarah dalam Misa Melayu tidaklah jauh berbeza dari Sulalatus Salatin karangan Tun Seri Lanang. Justeru itu, dikatakan bahawa kaedah penyelidikan Raja Chulan adalah peniruan daripada Tun Seri Lanang. Misalnya, menerima titah sultan untuk melaksanakan penulisan karya itu dengan penuh kebimbangan dan rendah diri yang …banyak tak faham tamsil ibarat. Namun beliau bertanggungjawab memikul perintah tersebut dengan sebaik-baiknya.

Penghasilan karya ini dilakukan melalui penyelidikan sewajarnya, terutamanya membuat rujukan terhadap sumber-sumber yang berkaitan denga peristiwa-peristiwa yang dipaparkan. Misalnya, beliau telah merujuk kepada sumber-sumber lisan iaitu seperti yang tergambar melalui penggunaan istilah-istilah, [3] seperti;

… tersebutlah perkataan …

…diceritakan oleh orang yang empunya cerita…

…tersebutlah alkisah…

Walaupun rujukan yang dibuat oleh Raja Chulan tidaklah sejelas atau setepat yang dilakukan oleh Raja Ali Haji di dalam Tuhfatun Nafis, namun konsep asas membuat rujukan memang dilakukannya. Seperti Tun Seri Lanang pula, kedudukan Raja Chulan sebagai kerabat diraja memberikan keupayaan untuk merujuk kepada bahan-bahan yang tersimpan di istana.

Tetapi berbeza dengan Tun Seri Lanang, Raja Chulan tidaklah dititahkan ‘memperbaiki’ semula sebuah hikayat yang sudah ada, sebaliknya beliau dititahkan mengarang sebuah karya asli mengenai sejarah Diraja Perak dengan tumpuan khas terhadap peristiwa-peristiwa sezaman (abad ke-18), terutamanya era pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1756-2770) dan Sultan Iskandar Syah (1770-1778). Dengan kata  lain, beliau banyak mencatatkan sejarah dengan bersumberkan pengalaman dan pengamatan beliau sendiri.

Sejarah Sosiopolitik Perak

Hakikatnya, Misa Melayu adalah sebuah sejarah Perak dari awal hinggalah zaman pemerintahan Sultan Alauddin Mansur Syah. Tetapi tumpuan diberi kepada era Sultan Mudzafar Shah dan sultan Iskandar Dzulkarnain. Manakala, sultan-sultan Perak yang lain sama ada pada peringkat awal atau selepas mereka disebut secara ringkas. Pengkisahan bermula dari Al-Marhom Jalilullah yang mempunyai beberapa orang putera. Selepas baginda, takhta kerajaan diganti oleh Marhum Besar, Sultan Mahmud yang dikatakan memerintah selama 120 tahun. Baginda diganti oleh Sultan Alauddin Riayat Shah yang memerintah selama 20 tahun.

Selepas kemangkatan baginda, negeri Perak telah terbahagi kepada dua wilayah politik, iaitu Kuala Kangsar yang diperintah oleh Raja Inu, bergelar Sultan Mudzafar Shah dan, Pulau Tiga yang diperintah oleh Raja Bisnu, bergelar Sultan Muhamad Shah.

Atas usaha dan kebijaksanaan Raja Iskandar, putera sulong Sultan Muhamad Shah, maka Perak telah disatukan semula. Raja Iskandar banyak berjasa (peranan politik) kepada pemerintahan Sultan Mudzafar Shah; misalnya, menentang serangan (campurtangan) Sultan Berkabat, iaitu seorang raja Minangkabau bersama-sama dua orang putera Raja Bugis, iaitu Daeng Matkah dan Daeng Menchelak. Pada era pemerintahan Sultan Mudzafar Shah juga telah berlaku satu percubaan pemberontakan diketuai oleh Raja Alam bersama-sama orang Bugis tempatan. Raja Alam tidak puashati dengan keputusan Raja Iskandar tidak membenar beliau mengikuti Sultan Mudzafar Shah untuk berpindah ke Kuala Kangsar. Raja Alam mencari  bantuan kuasa Belanda, akhirnya, Raja Alam telah ditangkap dan dibuang ke Melaka.

Selepas kemangkatan Sultan Muhammad, ayahanda Raja Iskandar, maka Sultan Mudzafar telah mengahwinkan puterinya, Raja Budak Rasul dengan Raja Iskandar (Raja Muda). Selepas kemangkatan Sultan Mudzafar, Raja Muda (Iskandar) ditabalkan menjadi Sultan, bergelar Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah Khalifat ur-Rahman. Pengkisahan era pemerintahnya dibuat dengan panjang dan terperinci berbanding dengan era sultan-sultan yang sebelum dan selepas baginda.

Sultan Iskandar memerintahkan ibu negeri Perak dipindahkan dari Brahman Indera ke Pulau Chempaka Sari. Tetapi rancangan itu tergendala buat beberapa ketika kerana timbulnya persengketaan kecil di antara Perak dengan orang-orang Belanda, kerana angkara seorang juru bahasa bernama Pir Muhammad. Pulau Chempaka Sari kemudiannya ditukar namanya menjadi Pulau Indera Sakti dan bandarnya dinama Bandar Makmur.

Selain daripada itu dinyatakan juga tentang usaha gigih pembinaan masjid di Pulau Indera Sakti pada saat-saat hari raya haji menjelang tiba. Dimuatkan juga kisah baginda mendirikan sebuah mahligai tujuh tingkat yang dikatakan belum pernah lagi dibina oleh sultan-sultan sebelumnya. Mahligai itu telah digambarkan sebagai sebuah mahligai yang terlalu istimewa seni binaannya dan dianggap akan jadi ingatan kepada zuriat baginda pada masa akan datang.

Baginda Sultan Iskandar memerintah selama 14 tahun. Baginda telah digantikan pula oleh Sultan Mahmud Shah. Tidaklah banyak peristiwa yang dicatatkan dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah ini. Antaranya ialah Raja Selangor datang mengadap dan diberi gelaran Sultan Salehuddin serta berkahwin dengan sepupu Sultan Mahmud Shah. Selepas kira-kira 8 tahun memerintah, baginda diganti  oleh adindanya, Sultan Alauddin.

Sejarah Ekonomi Perak

Pada zaman pemerintahan Sultan Mudzafar Shah juga negeri Perak membuat hubungan (diplomatik) dengan Belanda. Melalui hubungan tersebut Belanda telah berjaya memonopoli pasaran bijih timah (ekonomi) yang dibawa keluar melalui Sungai Perak. Mereka membelinya dengan harga $30.000 sebahara dan Sultan akan menerima cukai sebanyak $2.00 bagi setiap bahara. Bagi menjaga kepentingannya pihak Belanda telah mendirikan sebuah benteng ataupun loji perniagaannya di Pengkalan Halban, Tanjong Putus. Perjanjian di antara Belanda dengan negeri Perak telah diadakan khususnya dalam bidang perniagaan yang berkaitan dengan bijih timah. Sedikit sebanyaknya, dengan kegiatan perniagaan bijih timah itu telah membawa kemakmuran kepada negeri Perak pada ketika itu.

Di bahagian yang lain pula diceritakan tentang kedatangan utusan perdagangan Belanda dari Betawi yang diketuai oleh R.E.F. Lybroke. Tujuannya ialah membeli bijih timah. Tetapi mereka mahukan agar bijih timah tersebut dihantar ke lojinya di Tanjung Putus untuk ditimbangkan di situ. Sultan Iskandar tidak bersetuju sebaliknya baginda mahu supaya ianya dilakukan di Tanjung Bidor. Berikutan itu pihak Belanda cuba mengertak dengan menembak ke arah Shahbandar dan Menteri, kononnya kerana mereka enggan menerima pelawaan kapitan Belanda untuk naik ke kapal mereka. Kejadian itu telah menimbulkan kemurkaan Sultan Iskandar. Namun pihak Belanda kemudiannya memberi alasan bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai niat untuk menembak Shahbandar dan Menteri sebaliknya hanya ingin menembak monyet. Mereka seterusnya memohon keampunan daripada Sultan. Berikutnya keadaan hubungan dua pihak menjadi tenang semula.

Disamping itu, pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar turut dikisahkan tentang temasya baginda menangkap (menuba) ikan di Sungai Budiman dan Sungai Timah yang digambarkan dengan meriah sekali.

Raja Chulan telah menghasilkana suatu pensejarahan yang menjadi sumber sejarah yang penting bagi negeri Perak. Ia mengandungi peristiwa-peristiwa yang benar-benar berlaku yang menjelaskan kepada kita perkara yang berkait dengan struktur politik, serta kerajaan beraja yang berkuasa mutlak sistem dan kegiatan ekonomi serta juga undang-undang. [4] Namun begitu, segala peristiwanya pula berpusat di kalangan golongan pemerintah Perak. [5]

Misa Melayu dikatakan ditulis dengan tujuan untuk menggambarkan kegemilangan kerajaan negeri Perak abad ke 18 dari segi sistem politik dan pentadbiran, struktur masyarakat, adat istiadat dan bentuk-bentuk kesenian yang wujud. Dalam pengambarannya, Raja Chulan tidak menggunakan unsur-unsur mitos dan legenda, kecuali pada bahagian awal yang mengaitkan keturunan raja Perak itu dengan tokoh legenda Raja Suran yang pernah turun ke laut. [6]

Syair-syair yang dikarangkan di bahagian kedua Misa Melayu itu pula bukanlah berbentuk hiburan semata-mata; malah mengandungi pelbagai keterangan peristiwa sejarah. Misalnya, untuk memberi gambaran tentang peribadi raja dan para pembesar di Perak. Teks ini mewarisi atau meneruskan bentuk pensejarahan Melayu berunsur Islam. Dari sudut pengertian sejarah yang mutakhir, teks ini adalah hasil dari kefahaman dan kesedaran sejarah yang wujud pada abad ke-18. Maka teks ini mempunyai nilai yang tinggi dari segi sejarah dan pensejarahan berbanding karya-karya sebelumnya.



[1] Raja Chulan, Misa Melayu, Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1962, hlm. 197-198.

[2] Ibid., hlm. 92.

[3] Ibid., lihat misalnya, hlm. 32, 33, 60, 67, 76, 92, 94, 96, 115 dan 117.

[4] Sanusi Samid,1967,  "Misa Melayu: Nilai Sejarahnya", Dewan Bahasa, Jil. XI, Bil. 6 (Jun ), hlm. 258-259.

[5] Othman Abu Samah, "Misa Melayu: Suatu Gambaran Tentang Sejarah Perak", dalam JEBAT, Bil. 5/6, 1975/76-1976/77, hlm. 167.

[6] Raja Chulan, Misa Melayu, hlm. 21.