KULIAH 9: SEJARAH AGAMA ISLAM: HIKAYAT NUR MUHAMMAD & HIKAYAT NABI BERCUKUR

 

Para pengembang Islam telah menyebarkan agama Islam di Nusantara melalui kaedah lisan dan tulisan.

Penyebaran ajaran agama Islam dalam bentuk lisan - ucapan & syarahan. Penyebaran ajaran agama Islam dalam bentuk tulisan - penerbitan risalah-risalah agama Islam yang menerangkan dasar-dasar umum seperti konsep iman dalam Islam, rukun-rukun Islam seperti sembahyang, puasa dan lain-lain.

Kemudian penulisan mengenai aspek-aspek khusus (pengajian Islam) telah diusahakan melalui penulisan buku-buku tafsiran AI-Quran, al-Hadis, risalah tentang rukun Islam, ilmu falsafah, tasawuf, akhlak dan lain-lain. Juga wujud penulisan karya-karya yang bercorak cereka (naratif) untuk menyalurkan pengajaran & teladan Islam.

Biasanya karya-karya naratif tersebut mengisahkan tokoh-tokoh Islam yang penting dalam sejarah perkembangan Islam. Watak-watak (tokoh-tokoh) yang digambarkan dalam karya-karya tersebut pula diadunkan dengan berbagai-bagai unsur fiksyen sehinggakan cerita-cerita tersebut menjadi karya sastera bukan lagi karya sejarah.

Cerita mengenai tokoh-tokoh Islam dalam sastera Melayu klasik dapat dibahagikan kepada lima jenis iaitu:

1) Cerita Rasul Muhammad (s.a.w)

2) Cerita Nabi-Nabi Allah yang lain

3) Cerita Para Sahabat Nabi

4) Cerita Pahlawan Islam

5) Cerita orang-orang yang salih.

Cerita Nabi-Rasul Muhammad (s.a.w) adalah seperti Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Nabi Bercukur dan Hikayat Nabi Wafat.

Cerita mengenai tokoh-tokoh Islam juga mengisahkan para Nabi Allah yang tersebut dalam AI-Quran. Cerita-cerita nabi-nabi telah dituliskan dalam sebuah antologi berjudul Qisas AI-Anbiya atau Kisah Tentang Nabi-Nabi. Di samping antologi tersebut, terdapat juga cerita-cerita Nabi-nabi secara perseorangan seperti Hikayat Nabi Musa, Hikayat Nabi Sulaiman, Hikayat Nabi Yusuf dan lain-lain lagi.

Ciri-Ciri Penulisan Karya Pensejarahan Keagamaan

-                     Agama Islam menekankan kepentingan akiiah dalam membincangkan persoalan kehidupan manusia di dunia. Pengajaran Islam yang disalurkan melalui berbagai-bagai cabang ilmu Islam seperti ilmu teologi, falsafah dan ilmu logik (mantik) telah memberi penghargaan kepada kepentingan rasionaliti, khususnya dalam perbincangan mengenai bidang ilmu. Menurut pandangan Mahayudin Haji Yahaya (2000); Perkembangan ilmu pengetahuan Islam di Alam Melayu dan kelahiran karya-karya kesusasteraan Islam berasaskan kepada semangat akiiah tersebut. Justeru itu proses penciptaan   karya-karya   kesusasteraan   Islam   adalah berasaskan kepada realiti dan sejarah umat Islam itu sendiri.

-                     karya-karya kesusasteraan Islam mempunyai ciri umum seperti berikut:

a) Mitos

-                     Menurut pandangan Ismail Hamid, cerita tentang nabi-nabi dan tokoh Islam berlatarbelakangkan sejarah Islam. Justeru itu gambaran latar dan watak-watak dalam cerita-cerita yang tersebut juga berdasarkan kepada peristiwa sejarah Islam tetapi diolah kembali dengan memasukkan unsur mitos dan legenda.

-                     Walaupun menurut agama Islam segala gambaran mengenai para nabi seharusnya didasarkan kepada fakta-fakta yang benar yang terkandung dalam AI-Quran, AI-Sunnah dan sumber-sumber sejarah yang muktabar, namun dalam penulisan karya sastera Islam ini banyak unsur-unsur mitos dan legenda telah digunakan.

-                     Unsur-unsur mitos dan legenda turut dimuatkan dalam cerita-cerita mengenai Nabi Muhammad (s.a.w). Contohnya dalam Hikayat Nur Muhammad, dikisahkan tentang bagaimana Nur Muhammad atau cahaya Nabi Muhammad (s.a.w) dijadikan oleh Allah sebagai faktor utama yang menyebabkan terciptanya alam ini termasuk juga dengan malaikat, kalam, luh Mahfuz, Arasy dan tongkat Nabi Musa.

-                     Dalam    Hikayat   Nur   Muhammad,    Pengarang menggambarkan bagaimana pada mulanya Allah menjadikan Nur Muhammad dan daripada cahaya tersebut juga dijadikan Allah seekor burung yang indah rupanya. Daripada burung itulah terciptanya Ali ibn Abi Talib, Hassan dan Hussin, Fatimah al-Zahra, Abu Bakar As-Siddique, Umar AI-Khattab, Hamzah ibn Abu Mutallib dan Khadijah, isteri nabi Muhammad sendiri.

b) Legenda

-                     Menurut Ismail Hamid, unsur-unsur legenda juga menjadi aspek yang penting dalam penulisan cerita-cerita nabi dan tokoh-tokoh Islam. Cerita-cerita tersebut didasarkan kepada tokoh-tokoh dalam sejarah Islam tetapi dicampuradukkan dengan bahan-bahan yang bercorak fiksyen yang berasal daripada tradisi lisan.

-                     Akhirnya cerita-cerita Islam berkembang menjadi cerita-cerita yang bercorak fiksyen, yakni cerita-cerita yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam tetapi pengarang mencipta cerita berkenaan untuk dijadikan sebagai contoh. Contohnya, dalam Hikayat Nabi Muhammad, digambarkan bagaimana Nabi Muhammad (s.a.w) berhadapan dengan musuh yang amat kuat, iaitu seorang raja yang memerintah sebuah kerajaan yang besar bernama Raja Khaibar. Raja ini dibantu oleh seorang tukang sihir yang handal bernama Hawan. Menurut Mahayudin Haji Yahaya (1994), bahawa Raja Khaibar dan Hawan tidak pernah wujud dalam zaman Nabi Muhammad (s.a.w) malah dalam sejarah Islam yang sebenarnya. Dalam hikayat tersebut juga diceritakan bahawa Raja Khaibar amat kaya dan menganut agama Majusi. Dia membina sebuah kota - tujuh lapis benteng tetapi akhirnya Raja Khaibar dan ahli sihirnya dapat dibunuh oleh pahlawan Islam.

-                     Cerita nabi-nabi yang berdasarkan sumber legenda terdapat juga dalam Hikayat Nabi Musa yang mengisahkan tentang bagaimana Nabi Musa telah berkahwin dengan seorang wanita bernama Jahliladra. Bagaimanapun, Nabi Musa telah meninggal dunia sewaktu usianya masih muda kerana kesedihan atas kematian isterinya itu.

c) Ciri Kekitaban

-                     Dalam cerita nabi-nabi dan tokoh-tokoh Islam, terdapat format yang bercampuraduk antara yang bentuk naratif dengan format penulisan pengajian Islam. Hal ini terjadi kerana pengarang ingin menyampaikan pengajaran Islam melalui media cerita. Oleh yang demikian, cerita yang dicipta kadang-kadang tidak mempunyai plot atau pembicaraan mengenai persoalan agama telah menguasai seluruh penulisan karya tersebut.

-                     Dengan demikian bentuk kitablah yang menonjol, malah judulnya pun ada yang menggunakan istilah kitab seperti Kitab Seribu Masalah. Hikayat Nur Muhammad pula adalah sebuah cerita yang di sampaikan dalam bentuk simbolik. Hikayat ini tidak mempunyai plot atau jalan cerita seperti sebuah hikayat. Pembicaraan hanya menggambarkan proses perkembangan Nur Muhammad yang mula-mula dicipta oleh Allah di alam ini. Seterusnya Nur Muhammad memainkan peranan untuk mewujudkan pelbagai kejadian yang lain. Pada akhir cerita pengarang menerangkan kebaikan dan faedah yang akan diperolehi bagi sesiapa yang memiliki dan membaca cerita tersebut.

d) Ciri Khutbah Dan Fatwa

-                     Dalam cerita nabi-nabi dan tokoh-tokoh Islam banyak diselitkan unsur khutbah yang bercorak pengajaran Islam. Contohnya dalam Qisas AI-Anbiya ada mengandungi unsur tersebut terutamanya pada permulaan cerita Nabi Yusuf yang merujuk kepada keagungan Allah dan kitab Suci AI-Quran sebagai wahyu Tuhan, faedah membaca dan mendengarnya. Kemudian pengarang karya tersebut juga membicarakan tentang sifat-sifat luar biasa atau yang terkandung dalam gubahan bahasa yang terdapat dalam AI-Quran.

-                     Dikatakan jika berhimpun segala manusia dan jin, nescaya mereka tidak dapat menirunya. Menurut pandangan Ismail Hamid, unsur khutbah ini sengaja dimasukkan oleh pengarang dalam cerita tentang nabi-nabi dengan tujuan untuk berdakwah walaupun persoalan yang ditimbulkan tidak mempunyai kaitan yang kuat dengan cerita nabi yang berkenaan.

-                     Unsur khutbah pengarang kepada pembaca juga dimuatkan pada akhir cerita Hikayat Nabi Wafat. Sehubungan ini pengarang hikayat ini mengakhiri cerita dengan seruan kepada para pembaca supaya beriman kepada Allah kerana Nabi Muhammad (s.a.w) yang dikasihi oleh Allah telah wafat. Kemudian pengarang hikayat tersebut juga menyeru supaya sentiasa beribadat kepada Allah dan menjauhi diri dari sebarang perbuatan maksiat kerana semua manusia akan menghadap Allah pada hari kiamat kelak.

-                     Sementara dalam Hikayat Nur Muhammad pula, unsur khutbah ini dimuatkan pada akhir cerita iaitu bagi sesiapa yang membaca serta menyimpan hikayat ini dikatakan akan beroleh pahala seperti pahala orang yang menunaikan ibadat Haji.

-                     Manakala dalam Hikayat Nabi Bercukur pula memuatkan fatwa yang amat banyak tentang faedah yang akan diperolehi daripada menyimpan atau membaca hikayat tersebut. Misalnya dinyatakan bahawa orang yang menyimpan Hikayat Nabi Bercukur ini boleh melepasi dirinya daripada bahaya di dunia dan di akhirat. Malah dikatakan bahawa orang yang tidak memiliki hikayat ini dia dianggap sebagai bukan pengikut Nabi Muhammad (s.a.w). Sementara orang yang menyimpannya sentiasa akan memperolehi rezeki yang murah serta rumahnya tidak akan dimasuki pencuri.

e) Unsur-unsur Doa Dan Puji-pujian (Doksologi)

-                     Pada umumnya hampir keseluruhan cerita-cerita Islam menggunakan format berbentuk doksologi pada permulaan hikayat, iaitu didahului dengan bacaan AI-Fatihah serta doa-doa pendek yang memuji kebesaran Allah serta selawat ke atas Nabi Muhammad (s.a.w).

-                     Cerita nabi-nabi dan tokoh-tokoh digubah oleh penulis-penulis hikayat berkenaan di Alam Melayu dengan tujuan untuk menyalurkan pengajaran Islam kepada pembaca.

-                     Dalam cerita-cerita tersebut terdapat amanat-amanat yang menyeru para pembaca supaya beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad (s.a.w) yang merupakan nabi akhir zaman.

-                     Di samping penekanan kepada konsep iman, cerita-cerita ini juga menekankan tentang keperluan umat Islam mematuhi segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Mereka yang mematuhi perintah Allah akan dibalas dengan kehidupan syurga pada hari akhirat dengan segala kenikmatan dan kebahagiaan. Sementara orang yang mengingkari perintah Allah akan diseksa di dalam neraka yang penuh dengan azab dan sengsara.

-                     Di samping persoalan pokok atau tema seperti persoalan syurga dan neraka, cerita nabi-nabi dan tokoh-tokoh Islam juga turut dibicarakan pelbagai aspek pemikiran Islam.

1) Konsep Nur Muhammad

-                     Konsep Nur Muhammad menerangkan bahawa cahaya Nabi Muhammad (s.a.w) dicipta oleh Allah sebelum kejadian dunia ini. Kemudian cahaya ini menjelma daripada seorang nabi kepada nabi yang lain. Akhirnya dia menjelma dalam diri Nabi Muhammad (s.a.w) sebagai nabi yang terakhir.

-                     Konsep Nur Muhammad merupakan suatu pemikiran yang tumbuh di kalangan golongan sufi sejak abad ke 3 Hijrah. Pemikiran ini didasarkan kepada ayat AI-Quran yang membicarakan tentang konsep Nur Muhammad (Surah 24).

-                     Pemikiran mengenai Nur Muhammad telah berkembang luas di kalangan mazhab Syiah, sejak abad ke 2 Hijrah. Pengaruh daripada 2 aliran ini telah mempengaruhi kemunculan pemikiran tentang Nur Muhammad dalam hikayat-hikayat Melayu termasuklah dalam Hikayat Nur Muhammad ini sendiri.

-                     Konsep Nur Muhammad ini telah melahirkan sebuah hikayat Melayu yang khusus membincangkan mengenai Nur Muhammad. Hikayat Nur Muhammad yang dimaksudkan ini mengetakan bahawa roh nabi Muhammad (s.a.w) dicipta oleh Allah dalam bentuk cahaya (al-nur) dan keistimewaan penciptaan cahaya tersebut melebihi segala kejadian yang lain di dunia ini.

-                     Malah Nur Muhammad ini dijadikan oleh Allah sebagai faktor yang melahirkan segala kejadian yang lain. Hikayat Nur Muhammad meletakkan Nabi Muhammad (s.a.w) di puncak segala kejadian di alam semesta ini. Oleh yang demikian kedudukan Nabi Muhammad (s.a.w) amat tinggi dan ia merupakan orang atau tokoh yang paling terkemuka di sisi Allah. Tujuan hikayat ini ialah supaya manusia memberi penghormatan yang tinggi kepada Nabi Muhammad (s.a.w) dan mematuhi segala sunnah dan ajarannya.

2) Keagungan Nabi Muhammad

-                     Dalam hikayat-hikayat Islam, Nabi Muhammad (s.a.w) digambarkan sebagai watak yang diberikan berbagai-bagai keistimewaan oleh Allah dan keistimewaan Nabi Muhammad (s.a.w) ini lebih agung daripada nabi-nabi Allah yang lain. Malah Nabi Muhammad (s.a.w) dikatakan dianugerahi Allah beberapa mukjizat ( kelebihan istimewa ) yang tidak pernah diberikan kepada nabi-nabi Allah yang sebelumnya.

-                     Dalam   Hikayat  Nabi   Bercukur  contohnya  yang memperlihatkan keagungan Nabi Muhammad (s.a.w) sebagai nabi Allah yang paling terkemuka. Justeru itu Allah telah memberinya penghormatan yang tinggi sehingga upacara bercukur rambut dianjurkan oleh Allah dengan disediakan sejenis songkok yang diperbuat khas dari syurga.

-                     Dalam Hikayat Nabi Bercukur, kemuliaan Nabi Muhammad (s.a.w) diperkuatkan lagi dengan gambaran bahawa rambutnya mengandungi azimat sehingga semua bidadari dari syurga berebut-rebut untuk mengambilnya. Akhirnya tiada sehelai rambut yang ketinggalan, kesemuanya diambil oleh bidadari-bidadari tersebut.

3) Peperangan Di Jalan Allah atau Jihad

-                     Peperangan di jalan Allah atau dikenali dengan peperangan sabil merupakan satu tanggungjawab setiap orang Islam. Jika seseorang terkorban dalam peperangan seperti ini, maka kematiannya dianggap sebagai jihad yang akan mendapat ganjaran syurga pada hah akhirat.

-                     Dalam masyarakat  Melayu, kisah-kisah peperangan sabil dimuatkan  dalam  cerita-cerita  Islam  yang  bercorak peperangan. Contohnya, dalam Hikayat Nabi Muhammad ada mengisahkan bahawa pejuang-pejuang Islam yang berperang bersungguh-sungguh untuk menentang musuh Allah akan mendapat pertolongan Allah dan memperolehi kemenangan. Justeru itu orang yang beriman dan sanggup mengorbankan jiwa raganya untuk berperang di jalan Allah demi untuk mencapai taraf mati syahid akan mendapat ganjaran syurga pada hari akhirat.

4) Unsur Bida'ah

-                     Sepertimana yang telah dijelaskan lebih awal tadi, cerita nabi-nabi dan tokoh-tokoh Islam digubah serta diubah suai oleh para pengarang Melayu bagi menyalurkan pemikiran Islam kepada pembaca dan sebagai aktiviti berdakwah melalui media cerita atau karya-karya sastera.

-                     Pada umumnya persoalan yang ditimbulkan dalam karya-karya tersebut bertujuan untuk menarik pembaca manghayati agama Islam. Namun begitu terdapat beberapa bahan yang digunakan atau dimuatkan dalam penulisan cerita nabi-nabi dan tokoh-tokoh Islam yang bercorak bida'ah dan bercanggah dengan pemikiran Islam yang sebenarnya. Unsur-unsur ini diambil daripada pemikiran Israiliyat yang wujud dalam kesusasteraan Islam di Tanah Arab.

-                     Unsur-unsur bida'ah dan penambahan yang dicipta oleh penulis tempatan bercorak gambaran yang sangat berlebih-lebihan terhadap sesuatu objek atau peritiwa. Unsur berlebihan begini sudah menjadi suatu gaya penulisan kesusasteraan Melayu Lama.

-                     Apabila gambaran yang berlebihan itu diterapkan kepada peristiwa bercorak sejarah Islam, maka gambaran demikian dianggap sebagai satu bida'ah dan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenarnya, walupun tujuan penulisan tersebut mempunyai niat yang baik iaitu untuk mengembangkan ajaran Islam kepada pembaca. Contoh unsur bida'ah yang terdapat dalam Hikayat Nur Muhammad ialah fatwa yang mendakwa bagi sesiapa yang menyimpan hikayat tersebut akan mendapat pahala seperti pahala orang yang menunaikan ibadah Haji. Sementara siapa yang membaca atau mendengar bacaan Hikayat ini akan memperolehi pahala seperti orang mengelilingi Kaabah 7 kali.

-                     Fatwa tersebut dianggap sebagai satu bidaah dalam Islam memandangkan dalam AI-Quran serta Sunnah nabi tidak dinyatakan tentang perkara tersebut. Justeru itu ianya hanya merupakan satu penambahan yang sengaja dilakukan oleh penulis hikayat tersebut.

5) Unsur Motif-Motif Islam

-                     Selain daripada mempamerkan beberapa unsur yang dibincangkan tadi, karya yang bercorak Melayu-Islam juga mempunyai beberapa motif-motif tertentu seperti motif syurga dan neraka, iblis, motif Nur Muhammad dan motif mukjizat. Motif-motif seperti ini seringkali dibincangkan malah dalam sesetengah karya disebut berulang kali bagi menunjukkan kepentingan serta hubungkait karya berkenaan dengan motif-motif tersebut.

-                     Motif syurga dan neraka: Motif ini sering diulang dalam kebanyakan karya Melayu-Islam yang menceritakan tentang kisah nabi-nabi dan tokoh-tokoh Islam. Ini kerana hasrat pengarang karya berkenaan untuk saling mengingatkan para pembaca tentang berbagai-bagai azab bagi mereka yang engkar pada Tuhan dan balasan kenikmatan bagi mereka yang patuh pada suruhan Tuhan. Justeru itu pengarang karya berkenaan mengharapkan agar motif ini akan memberikan kesedaran serta keinsafan kepada manusia serta menjauhi sebarang kejahatan.

-                     Motif Iblis: Sebagai lambang kepada unsur jahat yang bertentangan dengan suruhan Tuhan. Dalam kisah-kisah Nabi dan tokoh-tokoh Islam seringkali diceritakan tentang bagaimana cara ibiis menghasut dan menggoda manusia termasuklah para nabi dan golongan ulama supaya terus melakukan dosa dan perkara-perkara yang membawa kepada kemungkaran.

-                     Motif Mukjizat: Kelebihan istimewa yang dikurniakan oleh Allah kepada para Nabi kerana ketaatan mereka kepada suruhan Tuhan. Mukjizat ini bukan sahaja bertujuan untuk melindungi para nabi dari sebarang bahaya malah ia juga boleh digunakan untuk melindungi umatnya dengan izin Tuhan. Motif mukjizat ini juga sering dibincangkan dalam hikayat-hikayat Melayu-Islam bertujuan untuk menunjukkan kepada manusia kemuliaan serta ketinggian darjat para nabi di sisi Tuhan dan manusia. Motif mukjizat ini jelas diceritakan dalam hikayat seperti Qisas Al-Anbiya iaitu mukjizat beberapa orang Nabi Allah termasuklah Nabi Muhammad (s.a.w).

Rumusan, karya-karya bercorak Islam - cerita nabi-nabi dan tokoh-tokoh Islam telah digubah oleh pengarang Melayu untuk menyalurkan pemikiran Islam. Juga ia bertujuan bagi mengambil alih tempat karya-karya sastera yang bercorak epik Hindu yang berkembang dengan meluas dalam masyarakat Melayu tradisional pada masa itu. Justeru itu, karya-karya telah digubah untuk menyalurkan berbagai-bagai aspek mengenai pemikiran Islam.

Walau bagaimanapun, lantaran para penulis Melayu tidak begitu mendalami bidang ilmu kelslaman ini, maka berlaku beberapa kelemahan dalam menyampaikan idea-idea tentang ajaran Islam. Malah ada kalanya tidak sesuai dengan intipati ajaran Islam yang sebenarnya kerana wujud unsur-unsur seperti bida'ah dsbgnya.

Walaupun hikayat-hikayat bercorak Islam ini mempunyai beberapa kelemahan, tetapi kita tidak hams nafikan bahawa karya-karya tersebut telah menyumbang kepada memupuk semangat kelslaman khususnya di kalangan masyarakat Melayu tradisional.

Selain itu kita harus mengambil hakikat bahawa kesemua hikayat yang dibincangkan ini adalah hasil tulisan manusia biasa yang mempunyai kelemahan tertentu, sepertilah juga dengan kelemahan yang dimiliki oleh Pensejarahan Islam kalau dibandingkan dengan Pensejarahan AI-Quran.