KULIAH 8: SEJARAH RIWAYAT TOKOH – HIKAYAT HANG TUAH

Sumber: Kassim Ahmad. 1964. Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

MENGENAI TEKS = HIKAYAT HANG TUAH (HHT)

Menurut Kassim Ahmad - hikayat ini mempunyai pengaruh yang besar kepada jiwa, pemikiran dan cara hidup orang Melayu. Kebanyakan orang Melayu mengetahui cerita Hang Tuah - mengaguminya kegagahan ‘perwira’ Melayu seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Intipati utama teks ialah mengenai sifat ketokohan individu, yakni sumbangan “keperwiraan” – kerana menumpaskan segala ancaman musuh dari dalam dan luar negeri sehingga telah mengharumkan nama kerajaan Melayu Melaka sebagai sebuah negara-empayar yang kuat dan besar.

Di samping itu, teks ini turut mengandungi unsur-unsur pergolakan politik dalaman, seperti perselisihan dua sabahat Tuah dan Jebat kerana perbezaan pendapat mengenai erti konsep taat setia dan penderhakaan kepada pemerintah.

Hikayat ini telah menarik minat para sarjana luar negeri untuk menelitinya dari pelbagai aspek dan pendekatan, seperti;

Valentijn (1726) dan Overbeck (1920) - menyifatkan hikayat ini sebagai khazanah sastera Melayu paling berharga dan mempunyai mutu seni sastera yang tinggi, serta berjaya menggambarkan keperwiraan orang Melayu..

Parnikel (1960) dengan pendekatan Marxisnya - melihat hikayat ini sebagai gambaran perjuangan antara kelas pemerintah feudal yang diwakili oleh Hang Tuah dan kelas yang diperintah (rakyat) yang diwakili oleh Hang Jebat.

Crawford (1820) – hikayat ini suatu yang tidak masuk akal dan bersifat dongeng.

Winstedt (1939) – hikayat ini bukan karya Melayu asli kerana terdapatnya pengaruh asing menguasai ceritanya.

Teeuw (1964) bersependapat dengan Crawford dan Winstedt - menganggap hikayat ini banyak mengandungi unsur-unsur khayalan dan mitos, meskipun hikayat ini telah berjaya menggambarkan keperwiraan pahlawan Melayu.

Secara amnya, menurut Sulastin Sutrisno (1983) - sebilangan besar para sarjana luar negeri melahirkan rasa kekaguman mereka terhadap HHT dan menganggapnya sebagai sebuah epik yang penting.

PELBAGAI VERSI TEKS

Teks HHT yang bertulis sudah dikenali sejak abad ke-18 dan semakin mendapat tempat istimewa pada abad ke-20 apabila ia menjadi bahan kajian para sarjana luar. Terdapat lebih kurang 20 versi HHT yang bertulisan tangan telah ditemui-kumpulkan dan berada di England dan Netherlands.

Menurut Sulastin Sutrisno (1983), kebanyakan naskhah HHT tidak lengkap sebagai sebuah hikayat dan setakat ini hanya 3 buah edisi sahaja yang lengkap ceritanya telah diterbitkan iaitu Edisi Shellabear, Edisi Balai Pustaka dan Edisi Dewan Bahasa Dan Pustaka. Edisi Shellabear yang diterbitkan pada tahun 1909 adalah berdasarkan naskhah yang dimiliki oleh Raja Muda Perak iaitu Raja Abdul Jalil, putera Sultan Idris. Walau bagaimanapun, menurut Sulastin Sutrisno, terdapat 3 buah naskhah di Perak, iaitu naskhah Wan Muhammad Isa (orang kaya Menteri negeri Perak); naskhah Muhammad Salleh (Orang Kaya Sri Andika Raja Negeri Perak), dan; naskhah R.J. Wilkinson (setiausaha Residen British di Perak).

Edisi Balai Pustaka pula berdasarkan naskhah kepunyaan Koninklijik Bataviaasch Genootschap yang ditulis dalam tulisan Jawi.

Edisi Dewan Bahasa Dan Pustaka yang diterbitkan pada tahun 1964 berdasarkan naskhah yang pada asalnya dimiliki oleh Almarhum Tengku Ibrahim Ibni Tengku Muhammad @ Tengku Seri Utama Raja - anggota kerabat Diraja Kelantan.

Menurut Sulastin Sutrisno, bahawa ketiga-tiga edisi HHT tersebut memiliki struktur cerita, susur galur peristiwa, perwatakan yang baik serta gaya bahasa yang sama. Pada dasarnya, semua naskah HHT sama ada tersimpan di dalam dan luar negara memiliki banyak persamaan. Pendek kata, tidak banyak berlaku pengubahsuaian dari versi yang asal.

KETOKOHAN = HANG TUAH

Menurut Parnikel (1976), keistimewaan teks HHT, selain teks Sejarah Melayu adalah terletak pada kejayaan mengungkapkan pelbagai persoalan dan nilai-nilai budaya orang Melayu abad ke-15. Terdapat dua nilai budaya utama orang Melayu disampaikan dalam HHT, iaitu  konsep kesetiaan kepada raja (melalui watak Hang Tuah) dan konsep penderhakaan (melalui watak Hang Jebat).

Kassim Ahmad & Abu Hassan Sham melihat HHT menjadikan konsep keperwiraan sebagai persoalan utama.

Mohd. Taib Osman melihat HHT sebagai karya yang berjaya mengambarkan sistem budaya hidup masyarakat Melayu secara realistik. Watak Hang Tuah lahir & pahlawan sebuah masyarakat feudal yang mempertahankan dan mendaulatkan feudalisme itu sendiri.

Inti ‘ketokohan’ ini menurut Sulastin Sutrisno terletak pada petikan ayat pertama dalam naskhah tertua iaitu Cod. Or 1762 yang tersimpan di Perpustakaan Universiti Leiden, berbunyi;

Inilah hikayat Huah Tuah yang amat setiawan pada tuannya dan terlalu sangat berbuat kebaktian kepada tuannya.

Petikan ayat tersebut menjelaskan tema utama cerita HHT ialah ‘kebaktian’ Hang Tuah terhadap rajanya = bererti kepahlawanan dan kecintaannya kepada kerajaan Melaka.

Za’aba berpendapat, HHT merupakan lambang kesatriaan dan kepahlawanan bangsa Melayu, dan Hang Tuah adalah satu contoh yang tinggi dan mulia dalam mengabdikan diri kepada raja dan negara.

Terdapat 7 unsur yang menjadi teras dan dasar utama kepada konsep wira (ketokohan) yang dipegang oleh watak Hang Tuah dalam teks HHT.

1.      Berbakti Dan Taat Setia Kepada Raja

Setiap peristiwa dalam HHT menggambarkan Hang Tuah sebagai tokoh yang sentiasa mencurahkan segala daya dan nyawa demi kesetiaannya kepada raja. Hang Tuah sanggup menjadi pelindung kepada raja, sanggup melarikan Tun Teja, tunangan orang untuk dipersembahkan kepada raja, bersedia menjadi ‘diplomat’, rela pura-pura mati untuk masuk ke dalam kubur dan pengorbanan paling besar ialah kesanggupannya membunuh Jebat, sahabat-saudaranya sendiri. Pendek kata, taat setianya kepada raja tidak berbelah bahagi.

2.      Bijaksana Dan Pintar

Hang Tuah digambarkan sebagai seorang yang bersifat bijaksana, pandai menyesuaikan diri dalam keadaan tertentu, tetapi ada juga tipu muslihatnya pula berjaya memujuk Tun Teja yang telah ditunangkan dengan Megat Panji Alam untuk dibawa ke Melaka sebagai persembahan kepada raja. Hang Tuah bijak memperdayakan musuh-musuhnya seperti helahnya untuk mendapatkan keris Taming Sari di tangan Jebat dan membunuhnya

3.      Terlibat Dalam Peperangan

Sebagai seorang wira, Hang Tuah terlibat dalam berbagai-bagai peperangan, pertempuran dan pertikaman. Dalam HHT, banyak sekali peperangan sebagaimana yang digambarkan dalam peperangan Majapahit. Kemenangan selalunya berpihak kepada Hang Tuah, malah sekalipun tidak pernah mengalami kekalahan.

Keadaan ini menunjukkan bahawa Hang Tuah sebagai wira tetap mencapai kemenangan dalam apa juga bentuk perlawanan.

4.      Pengembaraan

Hang Tuah pernah mengembara ke Majapahit, Inderapura dan Terengganu untuk menuntut ilmu dan ia juga menjadi duta asing ke negara asing seperti benua Keling, China, Siam, Rom dan Mesir. Selain menadi wira yang pintar dalam peperangan, dia juga menjadi wakil diraja.

5.      Percintaan

Menurut Ferguson (1977), unsur-unsur percintaan wira Melayu dengan gambaran babak-babak romantis dikatakan tidak terdapat dalam HHT. Hang Tuah tidak terlibat dalam sebarang percintaan. Memang Hang Tuah berkahwin dan beristeri tetapi perkara ini tidak diceritakan dalam HHT. Unsur percintaan yang jelas hanya antara diri Hang Tuah dengan Tun Teja, puteri Inderapura itupun ‘dilakukan’ bukan untuk dirinya sendiri tetapi untuk raja Melaka.

Sebaliknya, perhubungan Hang Tuah dengan wanita dalam HHT mempunyai akibat yang bertentangan - telah dijadikan bahan fitnah - bahawa Hang Tuah bermukah dengan gundik raja. Peristiwa ‘fitnah’ ini menjelaskan unsur kebencian, kedengkian, persaingan dan konflik dalaman dalam sebuah kerajaan orang Melayu.

Menurut Gorman, hal yang sama turut terjadi kepada watak Hercules (epik Yunani) yang mempunyai musuh terdiri dari kalangan pembesar negerinya sendiri. Biarpun begitu, Hang Tuah tidak pula berusaha untuk membalas dendam, tidak seperti Hercules yang membunuh pembesar yang telah memfitnahnya.

6.      Mistik Atau Suci

Terdapat unsur mistik dalam HHT iaitu pada bahagian akhir cerita, ketika Hang Tuah melalui hari-hari tuanya dengan menyembunyikan diri untuk beribadat, ada tanda-tanda dia memasuki alam mistik.

Di sini dapat dilihat betapa tebalnya rasa perhambaan kepada raja, namun sebagai seorang Islam, Hang Tuah akhirnya sedar bahawa pengabdian kepada Allah adalah matlamat utama dalam kehidupan manusia.

7.      Mempertahankan Melaka Dari Musuh

Dalam HHT banyak sekali cerita yang menunjukkan kebesaran raja Melaka. Ini dibuktikan dengan luasnya pengaruh raja Melaka ke atas Tanah Jawa, Inderapura dan hubungan diplomatiknya dengan beberapa negara luar negeri seperti China, Jepun, Turki dan sebagainya. HHT memberi gambaran sebenar tentang kegemilangan kerajaan Melaka.

Konflik dalam HHT antara lainnya pertentangan Melaka dengan Tanah Jawa. Dalam hal ini, Teeuw (1964) menyatakan bahawa hikayat ini “memperlihatkan kelebihan Melaka atas Majapahit, kelebihan Tanah Melayu atas Pulau Jawa, kelebihan tokoh Melaka, Hang Tuah atas tokoh Jawa, Gajah Mada.”

Menurut Roff (1967), perasaan cintakan tanahair sebenarnya merupakan sifat semulajadi manusia dan menjadi sebati dalam diri sesuatu bangsa yang biasa ditekan atau ingin diperlemah atau dijajah oleh bangsa asing. Justeru, Hang Tuah merasa terpanggil mengabdikan diri kepada negara daripada diceroboh oleh kuasa asing seperti yang dilakukan oleh Jawa terhadap negeri Melaka.

Pemikiran kecintaan tanahair dalam HHT dapat dirumuskan seperti berikut;

                                               i.           Pendaulatan undang-undang Melaka

                                             ii.           Kebesaran Raja

                                            iii.           Pertahanan Melaka

HHT berasal daripada tradisi sastera lisan. Biarpun begitu, menurut Abu Bakar Hamid (1980), peristiwa-peristiwa yang diceritakan berpijak pada latar sejarah, tidak seperti penglipurlara yang mempunyai latar cerita yang tidak jelas dan kadangkala penuh dengan khayalan.

Satu ciri yang berbeza daripada sastera lisan ialah terdapatnya peristiwa yang boleh berdiri dengan sendiri, misalnya pertikaman di antara Hang Tuah dengan Hang Jebat merupakan peristiwa yang dapat dipisahkan daripada jalinan cerita hikayat tersebut dan dapat dijadikan satu episod yang tersendiri.

Menurut Abu Hassan Sham (1982), seperti halnya dengan cerita-cerita lisan yang lain, HHT juga mengandungi unsur-unsur pengembaraan, peperangan dan percintaan.

Unsur-unsur pengembaraan - peristiwa Hang Tuah mengikuti rombongan diraja ke Majapahit dan pemergiannya ke India, China, Rom sebagai diplomat.

Unsur-unsur peperangan - melawan lanun di laut, menentang orang mengamuk dan bertempur dengan parajurit Majapahit.

Unsur percintaan - antara Hang Tuah dengan Tun Teja (tetapi Hang Tuah tidak betul-betul cintakan Tun Teja).

Manakala menurut T. Iskandar (1970), HHT digerakkan oleh unsur-unsur mitos dan legenda yang penuh dengan kesaktian dan magis. Peristiwa-peristiwa yang terjalin di dalamnya mempunyai motif-motif yang jelas iaitu menunjukkan kebesaran KMM dan kepahlwanan HT sebagai wira Melayu.

Yusof Iskandar (1977) pula berpandapat bahawa HHT merupakan puncak legend bagi sastera klasik iaitu berikutan dengan beberapa kejayaan HT kerana mengalahkan hulubalang Jawa dan dalam beberapa pertempuran yang lain. Ini merupakan suatu pengagungan keperibadian dan kepahlawanan bagi wira Melayu itu supaya dapat bersaing dengan kemasyhuran pahlawan Panji Jawa yang terkenal seperti Radin Inu. Ini juga menjelaskan bahawa terdapat persamaan antara peristiwa-peristiwa dalam HHT dengan cerita panji Jawa. Menurut C.C. Berg (1961) menyifatkan kejayaan HT dalam setiap perlawanan atau pertempuran atau perkelahian sebagai suatu peristiwa yang menjadi legenda masyarakat Melayu. HT adalah wira Melayu yang tidak pernah kecewa dalam sebarang pertempuran malah memiliki kepintaran dan daya fikir yang tinggi. Justeru, para sarjana seperti Winstedt, Parnikel, Teeuw, T. Iskandar dan lain-lainnya menyimpulkan bahawa jalinan cerita HHT yang penuh dengan mitos dan legenda adalah bertujuan untuk mengagungkan HT sekaligus kerajaan KMM dan menjadikan kedua-duanya sinonim.

Menurut Ibrahim Saad (1973), sebagai seorang hulubalang dan kemudiannya diberi gelaran laksamana HT dapat dikatakan sebagai wira yang serba sempurna baik dari segi jasmani, rohani, pemikiran, tindakan dan cara dia berbudaya dengan orang lain.

Menurut teori Campbell (1970), watak seperti ini dikategorikan sebagai wira menang, dengan itu HT juga merupakan seorang wira yang serba lengkap.

 

Bahawa 2 ciri penting yang meletakkan HT sebagai wira unggul, iaitu pertama, dia memiliki sifat-sifat yang baik dan istimewa, kedua, dia berjaya melaksanakan tugas-tugas yang berat demi mempertahankan negaranya dari ancaman musuh. HT dapat dianggap sebagai wira yang memenuhi segala ciri keperwiraan dan memenuhi konsep the true hero sebagaimana diperkatakan oleh para sarjana mengenai konsep keperwiraan ini.