KULIAH 7: PENSEJARAH JURAI KETURUNAN (MELAYU & BUGIS) – TEKS SALASILAH MELAYU DAN BUGIS & TEKS TUHFATUN NAFIS

Karya-karya ini dihasilkan oleh Raja Ali Haji pada kurun masihi ke-19.

TEKS SALASILAH MELAYU DAN BUGIS

Teks Salasilah Melayu dan Bugis menceritakan tentang pengambaran dan kegiatan politik Upu-upu Bugis Lima Bersaudara di Nusantara pada kurun ke-18. Teks ini merupakan sebuah karya sejarah, tetapi masih menempatkan beberapa ciri pensejarahan tradisi (adanya unsur-unsur kesusasteraan seperti pantun dan syair yang diselitkan untuk mengukuhkan penerangan sesuatu sejarah-peristiwa.

Pengisahan Upu-upu lima bersaudara dalam peperangan, keberanian, kepahlawanan, kesetiaan dan kehandalan mereka serta kemasyhuran raja-raja Melayu.

Kemunculan Pengaruh Bugis

-         Perebutan kuasa pemerintahan di antara raja di negeri -negeri Tanah Melayu telah membuka ruang kepada kemasukan pengaruh (campurtangan) kuasa Bugis. Dari ‘bantuan peperangan’ sekaligus memberi ‘hak kuasa’ dalam pentadbiran. Misalnya, penglibatan putera Bugis, Upu Daing Parani dalam perang-perebutan taktha di antara Yamtuan Muda Kedah adik-beradik. Upu-upu bersaudara membantu Raja Sulaiman membenteras pemberontakan Raja Kecil di Riau.

-         Kemudian Raja Kecil dari Siak terlibat dalam peperangan perebutan taktha Negeri Kedah. Raja Kecil membantu Raja Kedah muda (Yamtuan Muda) menentang kebangkitan Raja Kedah tua dengan bantuan Upu-upu Bugis. Peringkat (sebulan) awal peperangan pihak Bugis menang. Kemudian Raja Kecil dari Siak telah masuk menyebabkan Upu Daing Parani terbunuh oleh tipu muslihatnya. Ini membawa kepada perang besar akhirnya menyebabkan Raja Kecil lari pulang ke Siak.

-         Interaksi kekeluargaan melalui perkahwinan di antara orang Melayu dan Bugis. Ini mewujudkan salasilah melalui percampuran keturunan. Misalnya Upu Daing Chellak menikahi Tengku Mandak (puteri Sultan Abdul Jalil – Johor Riau). Manakala Daing Parani, putera sulung Daing Relika menikahi Tengku Tengah/Tengku Irang (kakak Tengku Mandak). Melalui pemikahan ini dan proses sosialisasi dan asimilasi Bugis dan Melayu terus berlaku.

-         Misalnya, gelaran ‘Upu’ ditukar menjadi gelaran ‘Raja’, klasifikasi ‘Bugis-Melayu’ bertukar menjadi ‘Melayu Bugis’, penggunaan Bahasa Melayu, pencampuran adat istiadat dan seni budaya.

Unsur-Unsur Jurai Keturunan

Teks Salasilah Melayu Bugis memuatkan jurai keturunan raja-raja negeri Johor – Riau (Barat & Timur), Kedah  dan Selangor sebagaimana disebut pada halaman 108 – 159.

 

Di Sebelah Barat (Johor)

-         Upu Daing Parani dikahwinkan dengan Tun Irang (adik tengah Sultan Abdul Jalil).

-         Daing Menampo dikahwinkan dengan Tun Tipah (puteri marhum muda - adik Sultan Abdul Jalil yang mangkat di Kuala Pahang).

-         Daing Massuro dikahwinkan dengan Tun Kecil (puteri Marhum Muda).

-         Daing Manto dikahwinkan dengan Tun Inah (puteri Marhum Muda).

Di sebelah Timur (Riau)

-         Upu Daing Cellak dikahwinkan dengan Tengku Mandak (gelarannya Tengku Puan). Tengku Mandak adalah adik kepada Raja Sulaiman-putera Sultan Abdul Jalil.

-         Yamtuan Muda Upu Daing Merewah berkahwin dengan Engku Encik Ayu anak Engku Temenggung setelah kembali dari perang (menang) - membantu Raja Kedah (tua) menjadi Yamtuan yang baru.

-         Negeri Riau diperintah oleh Yamtuan Raja Sulaiman. Adiknya Tengku Kamariah dikahwinkan dengan Raja Kecil dari Siak.

Kedah

-         Raja Kedah (tua) meminta bantuan daripada Upu-upu lima Bersaudara untuk menjadikannya Yamtuan di Negeri Kedah setelah adiknya menjadi Yamtuan Muda (adik). Ganjaran sebanyak limabelas bahara. Upu Daing Parani bersetuju dengan syarat semua orang Bugis, Mengkasar dan Mandar diletak di bawah kuasa-perintahnya.

-         Semasa Upu Daing Parani mengadakan majlis pertabalan Raja Kedah tua sebagai Yamtuan maka Raja Kedah muda pun melancarkan perang (meletus selama sebulan).

-         Kemenangan dalam perang tersebut telah memashyurkan Upu-upu bersaudara dan Upu Daing Parani dikahwinkan dengan adik Raja Kedah tua (melahirkan seorang puteri).

Selangor

-         Upu Daing Parani bersama dengan Upu Daing Menambun dan Upu Daing Kamese meminta izin daripada Yamtuan Raja Sulaiman (Johor-Riau) untuk pergi ke Selangor dan Upu Daing Parani berkahwin dengan anak Yamtuan Selangor dan mendapat seorang anak perempuan.

TEKS TUHFATUN NAFIS

Tuhfatun Nafis bermaksud ‘Hadiah Yang Bernilai’ (khazanah) - kepada anak cucu (zuriatnya) di berada di Nusantara amnya. Teks ini sangat bernilai dari segi pensejarahannya tentang asal usul serta kebesaran bangsa Melayu dan Bugis dalam semua aspek kemasyarkatan di alam Melayu.

Raja Ali Haji, bukan sahaja menceritakan asal usul raja-raja keturunan Bugis, tetapi telah pula memulakan karyanya dengan memperkatakan tentang asal usul raja-raja Melayu. Sebagaimana disebutnya “...bercampuran nasab setengah atas setengahnya...” dan “...yang jadi bermasuk-masukan pada kerabat pada pihak raja Melayu, dengan sebab berlaki isteri berambil-ambilan di antara kedua pihak”.

Teks ini mengalurkan jurai keturunan Melayu dan Bugis dari zaman Raja Melayu Seri Tri Buana (Sang Purba) yang turun di Bukit Siguntang dan berkerajaan di Temasik (Singapura) hingga tahun 1860an (zaman Temenggung Abu Bakar yang menjadi Sultan Johor), iaitu apabila penulisan teks ini selesai.

Dalam bahagian awal teks ini meriwayatkan salasilah Raja-raja Melayu Melaka dan keturunan-keturunan mereka yang menjadi sultan-sultan di dalam empayar Johor-Riau sehingga salasilah itu berakhir dengan terbunuhnya Sultan Mahmud Syah “mangkat dijulang” di tangan Laksamana Megat Seri Rama pada T.M. 1699. Seterusnya takhta empayar Johor-Riau diwarisi oleh Bendahara Tun Habib Seri Maharaja yang menjadi Sultan bergelar Sultan Abdul Jalil Syah.

Raja Kecil dari Pagar Ruyung muncul di dalam arena politik empayar Johor-Riau dengan mendakwa dirinya sebagai putera al-marhum Sultan Mahmud Mangkat Dijulang lantas menuntut haknya ke atas takhta kerajaan itu. Raja Kecil berjaya membunuh Sultan Abdul Jalil Syah dan menaiki takhta denga gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah.

Persengketaan berterusan dengan tindakan Raja Sulaiman, putera al-marhum Sultan Abdul Jalil Syah menjemput Upu-upu Bugis lima bersaudara membantunya merampas semula takhta kerajaan.

Raja Sulaiman dinobatkan oleh Upu-upu Bugis tersebut menjadi Sultan Johor-Riau. Daeng Kelana Jaya Putera berperanan mentauliahkan permahkotaan Raja Sulaiman, disebut beliau berteriak “Barang tahu kiranya segala anak Bugis dan Melayu, maka adalah hari ini Raja Sulaiman bergelar Sultan Sulaiman Badrul `Alam Syah menjadi Yang Dipertuan Besar memerintah negeri Johor, dan Riau dan Pahang dengan segala daerah takluknya sekalian”.

Diikuti permuafakatan (sumpah) di antara pihak Bugis dan Melayu melantik salah seorang Upu-upu Bugis menjadi Yang Dipertuan Muda untuk “memerintahkan kerajaan Riau dan Johor dan Pahang dengan segala daerah takluknya”.

“Maka kelakuan melantik itu, betapa adat istiadat melantik Yang Dipertuan Muda itu, iaitu dipakaikan dengan pakaian kerajaan, diarak berkeliling negeri, kemudian barulah dibawa naik ke atas balai. Maka mengaruklah ia di hadapan Yang Dipertuan Besar demikianlah bunyi aruknya -- jika diMelayukan daripada bahasa Bugis, Yakinlah Sultan Badrul Alam Syah, akulah Yang Dipertuan Muda yang memerintah kerajaanmu! Barang tiada suka membujur di hadapanmu, aku lentang! Dan barang yang tiada suka melintang di hadapanmu, ku bujurkan! Barang yang semak berduri di hadapanmu aku cucikan.”

Hubungan kekeluargaan mula berlaku, misalnya Upu Daeng Celak dinikahkan dengan Tengku Mandak, adik Sultan Sulaiman. Apa yang jelas di sini, bahawa Raja Ali Haji sendiri telah menyatakan di bahagian awal (hlm.1) karya ini, menyebut “...di dalamnya menyatakan salasilah dan perjalanan dan tawarikh dengan segala khabar-khabar... yakni daripada kisah-kisah Raja-raja Melayu dan Bugis dan hingga segala anak-anak mereka itu”.

Unsur-unsur Pensejarahan Tradisional

Dalam menjelaskan jurai keturunan, Raja Ali Haji menyelitkan unsur-unsur kesusasteraan, seperti dongeng, mitos, legenda, kesaktian, puisi-pantun dan perbualan-dialog yang diolah oleh pengarang sendiri. Misalnya, asal-usul Raja Melayu bermula dari Seri Tri Buana, tokoh mitos yang ‘turun dari Bukit Seguntang’ dan asal-usul Raja Bugis bermula dari legenda Puteri Balqis, isteri Nabi Sulaiman a.s.

Memuatkan unsur kesaktian, seperti peristiwa jenazah al-marhum Raja Haji dibawa oleh pihak Belanda ke Melaka untuk dikebumikan, dicatatkan:

…adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji itu, maka ditaruhkan di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa almarhum itu, maka menantilah akan keesokan harinya sahaja. Maka pada malam itu, keluarlah memancar seperti api daripada peti jenazah almarhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka melihatkan hal itu, maka di dalam tengah-tengah bergaduh itu, maka kapal yang akan membawa jenazah almarhum Raja Haji itupun meletuplah, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orangnya seorangpun tiada yang lepas…sebab itulah digelar oleh Holanda-Holanda yang dahulu dengan nama `Raja Api’.

Dimuatkan serangkap pantun yang merupakan sindiran Yang Dipertuan Muda ke atas anak-anak keturunan Raja-raja Melayu kerana ketidakupayaan mereka menjelaskan hutang almarhum Sultan Sulaiman kepada pihak Belanda.

                        Tinggi bukit sakudana

                                    Tempat bertanam halia padi

                        Sakitnya muda kena bencana

                                    Sebarang kerja tidak menjadi.

Raja Ali Haji dari Johor-Riau telah menghasilkan sebuah pensejarahan mengenai jurai keturunan (salasilah)  orang Bugis dan orang Melayu di Alam Melayu amnya. Raja Ali Haji sendiri adalah zuriat keturunan yang berasal daripada campuran kedua-dua kaum tersebut. Dari salasilah moyang beliau, Upu Daeng Celak memulakan percampuran keturunan dengan menikahi Tengku Mandak, puteri Sultan Abdul Jalil Syah. Daeng Parani pula, iaitu putera sulung Daeng Relaka telah menikahi dengan Tengku Tengah (Tengku Irang) yang juga merupakan puteri Sultan Abdul Jalil Syah atau kakak Tengku Mandak. Melalui ikatan pernikahan ini dan proses sosialisasi yang lain, pihak Bugis dan pihak Melayu berleluasa di Tanah Barat (Tanah Melayu). Kebanyakan zuriat mereka tidaklah lagi menggunakan gelaran Upu-Upu, sebaliknya mengambil gelaran Raja-Raja. Namun gelaran ‘Daeng’ masih dikekalkan seperti Daeng Kecik, cucu Daeng Parani yang merupakan bapa Temenggung Abdul Rahman (Singapura), ayah Temenggung Ibrahim (Daeng Ronggek) - bapa Temenggung Abu Bakar, Sultan Johor sejak T.M. 1885.

Pendek kata, karya yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji ini merupakan suatu kisah pertemuan dan perhubungan antara dua etnik dari satu rumpun, yang pada mulanya memang mempunyai silsilah zuriat keturunan masing-masing tetapi akhirnya telah bercampur-baur antara satu sama lainnya sehingga panggilan asal ‘Bugis-Melayu’ telah bertukar menjadi ‘Melayu-Bugis’, yakni menjelma dalam penggunaan bahasa Melayu, percampuran adat istiadat dan seni budaya, serta anutan satu agama (Islam) sejak mula pertemuan lagi. Inilah objektif penulisan karya ini yang dianggap sebagai suatu “hadiah yang bernilai” kepada masyarakat Melayu.