KULIAH 6: SEJARAH ASAL USUL RAJA-RAJA MELAYU: HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA (HMM)

Bila Hikayat Merong Mahawangsa Ini Ditulis

Persoalan sering timbul kerana naskah-naskah Melayu jarang memuatkan maklumat berkaitan.

Walaupun naskah HMM ini sebenarnya tidak mencatatkan tarikh yang tepat bila ia mula ditulis mahupun disiapkan, melainkan tarikh karya ini telah selesai disalin semula, iaitu pada 2 Rejab 1316, bersamaan 16 November 1898.

Dalam mukadimah HMM ada menyebut secara umum bila hikayat itu dikarang.

Adalah pada suatu zaman Sultan Muazzam Shah ibnu Sultan Muzalfal Shah yang mana mulia kerajaan negeri Kedah, pada suatu hari baginda keluara ke penghadapan...

...Bahawasa hamba pinta perbuatkan hikayat pada tuan, peri peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali.

HMM ini telah ditulis oleh seorang sejarawan yang sentiasa merendahkan dirinya dengan hanya menganggap dirinya sebagai "Fakir" dan tidak pula dinyatakan namanya.

Penulisannya dibuat atas dasar memenuhi suruhan sultannya iaitu Sultan Muadzam Syah, dipercayai Sultan Kedah yang kedua dari jurai keturunannya yang beragama Islam. Arahan ini bertujuan, “... supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada ini serta dikumia dengan sejarahnya".

Dari segi tujuan, HMM dihasilkan dengan motif sejarah - mencatatkan peristiwa masa lalu untuk pengetahuan.

Sinopsis

Hikayat ini mengisahkan tentang pengembaraan Raja Merong Mahawangsa (RMM) yang mengetuai satu rombongan yang mewakili Putera Rom untuk meminang puteri Maharaja Cina. Kisah mengenai rombangan ini telah diketahui oleh burung geroda. Dalam usahanya untuk memisahkan kedua putera Rom dan puteri Cina itu, telah meminta izin dari Nabi Sulaiman untuk menghalang rombongan tersebut. Ini adalah kerana Geroda tidak mempercayai bahawa jodoh itu berada di tangan Tuhan. Burung Geroda berjaya menghancurkan angkatan tersebut dan menyembunyikan puteri Cina dengan bantuan burung rajawali dan gandasuli. Putera Rom kemudiannya telah terdampar di pantai Pulau Langkapuri. Tanpa disedari oleh burung Geroda, kedua-dua mempelai itu telah berkasih-kasihan di Pulau Langkapuri. Oleh kerana terlalu gembira di atas kejayaannya menghancurkan angkatan rombongan putera Rom, burung Geroda telah menemui Nabi Sulaiman untuk menyampaikan berita kemenangannya. Alangkah terkejut dan malunya burung Geroda apabila diberitahu bahawa kedua-dua mempelai yang dipercayai telah dipisahkan olehnya, kini berada di sisi Nabi Sulaiman. Lantaran demikian burung geroda telah membawa diri ke Laut Kalzum dan bersumpah tidak akan kembali ke dunia lagi kerana merasakan dirinya berdosa dan bersalah.

Hikayat ini juga mengisahkan tentang terdirinya kerajaan Langkasuka yang didirikan oleh Raja Merong Mahawangsa. Apabila Raja Merong Mahapudisat menjadi raja, nama Langkasuka ditukarkan menjadi Kedah Zamin Tauran (Turan). Seterusnya ia mengisahkan tentang asal-usul raja-raja negeri Kedah sehinggalah kepada perhubungan negeri Kedah dengan negeri Siam.

Kemudian dalam Hikayat ini juga, raja yang pertama memeluk agama Islam ialah raja yang ketujuh iaitu Raja Phra Ong Mahawangsa dengan gelaran Sultan Mudzalfal Syah. Pengislaman secara beramai-ramai berlaku apabila menteri-menteri dan rakyat jelata mengikut jejak langkah raja mereka memeluk agama Islam. Syeikh Abdullah Yamani juga telah mendapat kebenaran untuk meruntuhkan berhala dan mendirikan masjid dan jemaah. Beliau seterusnya mengajar isi al-Quran dan kitab-kitab kepada raja, orang-orang besar dan rakyat. Kedah bertambah makmur dengan pemerintah yang adil dan bijaksana.

 

Penilaian Sejarah Dalam Hikayat Merong Mahawangsa

HMM adalah antara karya genre sastera sejarah – mempunyai ciri penulisan sejarah Melayu tradisional seperti karya-karya yang lain; Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Banjar dan sebagainya.

Namun begitu, ramai sarjana enggan meniktiraf HMM sebagai setaraf-sepenting hasil-hasil penulisan sejarah Melayu tradisional yang lain. Ini kerana isi kandungannya yang terlalu berunsur-unsur mitos, lagenda dan sebagainya sehingga unsur sejarah diabaikan. Maka diungkap bahawa HMM ini telah terpesong daripada istilah sejarah tanpa memahami tujuan asal penulisannya.

Bahawa hamba pinta perbuatkan hikayat pada tuan, peri peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya boleh diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita ini, serta dikurniai dengan sejarahnya.

R.O.Winstedt berpendapat bahawa HMM merupakan sekumpulan cerita khayalan saduran daripada Ramayana, Katha Sarit Sagara dan Cerita-Cerita Jataka dari India, di samping memuatkan unsur-unsur anakronisme.

Manakala James Low, berpendapat bahawa pengarang HMM telah cuba mencampuradukkan beberapa unsur yang berbeza-beza dan memberi pengakuan bahawa penulisan HMM mengandungi keterangan-keterangan yang bermakna.

Tanggapan beliau dibuktikan menerusi penyelidikan arkeologi, H.G.Q. Wales - menemui tinggalan-tinggalan sejarah dari zaman sebelum Islam. Wales bersetuju dengan tarikh 1474 pengislaman - raja kedua [Raja Merong Mahapudisat]

HMM ini mempunyai pelbagai versi yang berlainan, tetapi hanya 3 versi sahaja digunakan sebagai teks dasar.

Hikayat Merong Mahawangsa Versi R. J. Wilkinson

Hikayat Merong Mahawangsa Versi A.J. Sturrock

Hikayat Merong Mahawangsa Versi Ms Maxwell 21

Kerangka pemikiran adalah berbentuk kesusasteraan atau teknik khayalan seperti mitos, legenda, dongeng dan perbualan tokoh-tokoh yang dimuatkan di dalam HMM. Contoh, memuatkan perbualan di antara burung geroda dengan Nabi Allah Sulaiman a.s (NAS);

[Pertanyaan Burung Geroda]

Ya Nabi Allah, hamba dengar warta Raja Rum ada menaruh seorang anak laki-laki dan Raja Benua China ada menaruh seorang anak perempuan. Maka sekarang Raja Rum itu hendak meminang anak Raja Benua China....dan kedudukan negeri itu terlalulah jauh, pada fikiran hamba bukanlah jodo pertemuannya.

 [Jawapan NAS]

Hai burung geroda, demi Tuhan yang menjadikan aku, adapun jodo pertemuan itu di dalam batu atau di dalam kayu sekalipun tiada yang dapat menceraikan dia.

Unsur Metos - penulis mengatakan burung geroda itu berasal dari keturunan anak cucu Maharaja Dewata dan digambarkan mempunyai banyak kesaktian serta boleh berperang.

...maka datanglah seek or burung geroda yang amat besarnya, iaitu asal daripada anak cucu Maharaja Dewata.

Disebabkan raja merupakan orang yang istimewa maka keistimewaan itu diletakkan pada nenek-moyangnya yang berasal daripada dewa-dewa atau indera-indera seperti dinyatakan keturunan Raja Merong Mahawangsa yang berasal dari Rom;

.. bernama Raja Merong Mahawangsa. Adapun raja itu ayahnya daripada indera-indera dan bondanya itu asal daripada dewa-dewa.

Daripada kejadian-kejadian yang ajaib seperti daripada buih atau rumpun buluh betung seperti dalam petikan .

…maka huluh betung itu pun pecahlah lalu keluar seorang kanak-kanak laki-laki, terlalu sekali baik rupa parasnya.

Demi dilihatnya buih jua rupanya yang datang itu...maka bertemulah dengan seorang budak perempuan yang teramat baik rupanya ...melihat rupa parasnya seperti anakan indera dewa-dewa rupa serta dengan lakunya Puteri Seluang itu.

Penemuan Raja Buluh Betung oleh Raja Phra Ong Mahapudisat dari ruas buluh telah diseimbangkan dengan penemuan Puteri Seluang ditengah-tengah buih putih yang menghilir di sungai Kuala Muda. Puteri Seluang bukanlah suatu yang asing dalam karya-karya historiografi Melayu kerana terdapat watak-watak seumpamanya dalam Sejarah Melayu, Hikayat Banjar, Cerita Sukadana dan Silsilah Kutai, masing-masing dengan nama Puteri Tanjung Buih, Puteri Junjung Buih dan sebagainya.

Raja juga dikatakan berasal dari sebuah negara yang jauh, yang ada kaitannya dengan Raja Iskandar Zulkamain. Raja Rum, Dewa Visyu, Nabi Allah Adam dan sebagainya.

Konsep kandungan asas yang terdapat dalam HMM seperti salasilah atau jurai keturunan raja-raja memerintah dan pembesar-pembesar ternama, di samping diselitkan peristiwa-peristiwa sejarah seperti hubungan diplomatik dan unsur politik.

Pengarang menyelit unsur mitos di dalam peristiwa pergaduhan di antara Kampar dan Raja Bersiong. Dalam pergaduhan ini menyebabkan Kampar berubah menjadi babi, ular dan harimau seperti dalam petikan:

Maka segera iu menggerakkan tubuhnya, maka jadilah seekor babi tunggal, terlalu besar panjangnya. Maka ia bertaring, dua siungnya, segera ia berlari-lari datang menyondol-nyondol dicelah kangkang Raja Bersiung.

...segeralah ia menggerakkan tubuhnya lalu menjadi seekor ular tedung sela besarnya seperti perdu nyiur dengan lidahnya panjang terjulur-julur, matanya seperti keromong.

...maka ia pun segeralah menjadikan dirinya seekor harimau terung kasau rupanya, dengan besar panjangnya lalu bertempik dengan bergemuruh bunyinya bagaikan kiamat suaranya itu, tiada sangga bunyi lagi dengan suara manusia.

Cara penyampaian atau kerangka adalah berbentuk penceritaan atau naratif yang berunsurkan cerita-cerita kembara seperti penceritaan atau pengkisahan tentang asal usul raja dan keturunan, kebangkitan, kemakmuran, kebesaran, kegagahan, kepintaran tokoh, rakyat kerajaan dan empayar.

Unsur mitos - peranan gajah sakti Gemala Johari dapat menyelesaikan masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh manusia [pencarian bakal pengganti raja Kedah yang baru]. Secara tidak langsung, pengarang memperkecilkan peranan Siam sebaliknya mengangkat kekaguman masyarakat terhadap ketinggian raja-raja Kedah [unsur anakronisme].

...serta dibacakan oleh seorang menteri surat dari Benua Siam itu hampir dengan telinganya mengatakan gajah Gemala Johari juga dapat tolong mencari raja yang berasal hendak menjadikan raja di dalam negeri Kedah...Setelah didengar oleh gajah Gemala Johari bunyi surat yang datang dari Benua Siam itu, maka ia pun menganggukkan kepalanya dan menarik belalainya, lulu berjalan menuju...

Jelas bahawa HMM adalah antara cerita-cerita khayalan yang disadurkan daripada pelbagai cerita lain, tetapi merupakan satu ciptaan khas yang mempunyai fungsi tertentu. Persoalan hikayat ini "menyimpang jauh daripada kebenaran sejarah” adalah kerana kurangnya kefahaman tentang kebudayaan asal setempat. Sebagai pengkaji- pembaca, HMM haruslah didekati dengan fikiran yang terbuka tanpa wujud prasangka dan bias, tetapi perlu ada pertimbangan wajar terhadap konsep serta nilai yang dipegang oleh masyarakat sewaktu HMM dilahirkan.