KULIAH 4: TOKOH-TOKOH PENSEJARAHAN MELAYU

Tun Seri Lanang

Tun Seri Lanang merupakan bendahara kesultan Johor semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah. Pada tahun 1613, beliau bersama sultannya  telah ditawan oleh Aceh di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Tun Seri Lanang mula mengarang karyanya Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) pada tahun 1612.

Seperti kebanyakan penulis pada zamannya, keterangan tepat tentang dirinya juga tidak ada yang pasti.

 

Setakat yang diketahui, beliau adalah keturunan daripada benda­hara Melaka. Nama penuhnya ialah Tun Muhammad, anak kepada Bendahara Paduka Raja, anak kepada Bendahara Seri Maharaja.

Dari segi penulisan Sejarah Melayu, timbul kontroversi tentang peranan yang sebenar Tun Seri Lanang. Ini kerana adanya rujukan kepada sebuah "hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa" yang seolah-olah digunakan untuk menulis karyanya itu.

Tetapi ada dinyatakan pula tentang titah Sultan Abdullah Ma'ayah Syah, menyebut “Maka fakir karanglah hikayat ini...supaya menyukakan duli hadirat baginda...." (W.G.Shellabear, 3).

Tanpa beliau “hikayat Melayu” yang “dibawa oleh orang dari Goa” itu tidak akan diketahui sama sekali.

Sungguhpun kontroversi ditimbulkan, namun Tun Seri Lanang diakui sebagai sejarawan kerana usahanya menghasilkan karya tersebut.

Raja Culan bin Raja Abdul Hamid

Raja Culan bin Raja Abdul Hamid adalah penulis karya Misa Melayu. Beliau berketurunan bangsawan Perak dan pernah diberi gelaran Raja Kecil Besar (1750), Raja Bendahara dan Raja Muda (1773).

Misa Melayu mengandungi kisah negeri Perak pada masa pemerintahan raja-raja Perak sepanjang abad ke 18, dengan penumpuan yang lebih kepada Sultan Iskandar Zulkarnain Syah.

Melihat kepada urutan peristiwa yang diliputi oleh karya tersebut, maka diagak Raja Culan hidup antara tahun 1720 hingga 1786. Beliau pakar dalam hal adat-istiadat dan perundangan Perak (sebahagian besar isi Misa Melayu mengisahkan adat-istiadat dan upacara istana Perak). Turut mengisahkan hal perebutan kuasa dan permusuhan antara pembesar-pembesar, termasuk campur tangan kuasa-kuasa tempatan yang lain (Selangor dan Bugis) serta kuasa Barat (Belanda).

Sebagai karya sejarah, Misa Melayu memberi gambaran peristiwa, tarikh dan lain-lain keterangan yang mungkin bercanggah atau kurang sesuai dari segi pensejarahan moden. Raja Culan menggunakan bentuk syair dalam mengisahkan sebahagian peristiwa sejarah. Contohnya, mengenai keterlibatan beliau sendiri dalam peristiwa (temasya);

Patik persembahkan suatu rencana

Kisah hadrat yang amat guna

Patik nan hamba tiada berguna

Sekadar mengiringkan barang ke mana

Misa Melayu adalah sejarah politik dan kebudayaan Melayu (sekitar istanan) abad ke 18.

Raja Ali Haji bin Raja Ahmad

Raja Ali Haji hidup pada sekitar tahun 1804-1872, tergolong di kalangan sejarawan istana Riau-Johor. Beliau berketurunan dari Daing Bugis lima bersaudara yang merebut kekuasaan di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera serta memainkan peranan penting dalam pergolakan politik di kepulauan Melayu dalam kurun ke 18 & 19. Beliau lahir dan bergiat dalam pensejarahan di Pulau Penyengat, sebuah pulau di gugusan Riau. Hasil karya sejarah beliau yang penting Silsilah Melayu dan Bugis (1861), dan Tuhfat al-Nafis (1866).

Beliau berperanan sebagai guru agama, penasihat dan Perdana Menteri kepada Yang Dipertuan Muda Raja Ali, Sultan Johor-Riau. Beliau meninggal dunia pada sekitar tahun 1870.

Silsilah Melayu dan Bugis – merupakan sejarah Daing adik-beradik dari Bugis ang merantau dan merebut kekuasaan di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Sejarahnya dalam karya ini berakhir pada tahun 1734.

Menyampaikan kesimpulan kisah sejarahnya dengan pantun dan syair. Contoh;

…kemudian aku datangkan pula dengan syair pada kisah yang di dalam sejarah dan siarah yang di sebelah pihak Johor, demikian bunyinya…

Tuhfat al-Nafis (Hadiah Yang Bernilai) merupakan karya sejarah Melayu yang kedua penting selepas Sejarah Melayu. Karya ini meriwayatkan sejarah raja-raja Melayu dan Bugis. Bermula dari Raja Seri Tribuana dari Bukit Si Guntang. Tujuan pensejarahan adalah jelas pada akhir karya, menyebut;

Syahadan ini kesudahan kita Tuhfat al-Nafis ini. Maka tamatlah kisah cerita-cerita antara raja-raja Melayu serta Bugis daripada anak cucu raja-raja Melayu yang berketurunan daripada Marhum Abdul Jalil yang mangkat di Kuala Pahang serta marhum Raja Kecil Negeri Siak. Syahadan di belakang ini kelak siapa-siapa daripada anak cucuku hendak menghubungkannya siarah ini maka patutlah, akan tetapi dengan jalan yang patut dan dengan ibarat perkataan yang wadthu’a dan sah serta aturan yang patut serta benar supaya terpakai…

Penegasan Raja Ali Haji dalam pensejarahan Melayu “segala yang ditulis haruslah benar” belaka.

Karya ini terbahagi kepada dua bahagian; pertama, mengenai masa sebelum Raja Ali Haji, dan kedua, mengenai sejarah masa hidupnya sendiri (sejarah kontemporari).

Peristiwa-peristiwa sejarah dikisahkan dengan amat detail, misalnya mengenai suatu jamuan makan di istana Gabenor Jenaral Belanda, Baron van der Capellen di Jakarta. Malah mengenai tarian Barat, menyebut;

Syahadan pada satu malam yang lain pula datang lagi panggilan Gabenor Jeneral pada satu rumah tempat orang-orang bermain dan makan-makan. Di situlah segala Holanda yang muda-muda menari bersama-sama perempuan nonanya berpeluk-peluk dengan muzik. Lepas selesai itu baharulah makan-makan hingga pukul satu. Masing-masing pun baliklah ke rumahnya…

Yang istimewa tentang Raja Ali Haji, sungguhpun beliau bergaul dengan orang Barat (Belanda) tetapi tidak mempengaruhi gagasan pemikirannya. Ini berbeza dengan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, yang berada di perbatasan kebudayaan Timur dan Barat sebagaimana menurut R. Roolvink. Abdullah sudah keluar dari lingkungan masyarakatnya sendiri.

Manakala Raja Ali Haji dapat menghargai nilai-nilai peradaban Barat, tetapi melihatnya tidak sesuai bagi masyarakat Melayu ketika itu.