KULIAH 3: PANDANGAN SARJANA TERHADAP PENSEJARAHAN MELAYU

Sarjana awal melihat tulisan‑tulisan yang wujud di Asia Tenggara mengenai zaman yang awal tidak dapat memberi pertolongan kepada usaha pengkajiannya. Malah, keterangan yang tepat berkenaan dengan negeri‑negeri di sebelah timur Lautan Hindia tidak terdapat dalam sastera India. Kalau adapun hanya disebut secara samar‑samar sahaja dalam puisi klasik Sanskrit dan puisi istana Tamil yang boleh dikatakan tidak dapat diberi pengertian yang tepat (seperti nama‑nama yang tersebut dalam Hikayat Ramayana ‑ "Malayadvipa", Cerita‑cerita Jataka ‑ "Surarnadvipa atau ‘pulau emas’ atau Suvarabhumi atau ‘tanah emas’.

Cerita‑cerita karya tersebut lebih bercorak tujuan patriotik dan feudalistik orang India mengenai saman silam Asia Tenggara - rasa bangga (nasionalisme) kerana menganggap Asia Tenggara banyak terhutang pengaruh dari India. Pada tahun 1926 tertubuh Persatuan India Besar (Greater India Society) berpendirian: ‘Sejarah penjajahan India di Indocina dan Semenanjung Tanah Melayu merupakan satu babak yang gilang gemilang dalam sejarah India."

Tulisan‑tulisan China sungguhpun berharga kerana banyak mengandungi keterangan tentang alam politik dan perdagangan – ianya sukar ditafsirkan, dan kurang keterangan berhubung dengan perkembangan sejarah/pengaruh Hindu Buddha.

Sumber Eropah yang awal lebih menyentuh soal ilmu alam, pelayaran & perdagangan - buku Periplus of the Erythraean Sea (T.M. 70‑1) adalah buku yang mula‑mula sekali menyebutkan kisah perdagangan di antara pelabuhan‑pelabuhan India dengan negeri‑negeri di sebelah timur. Kemudiannya buku Geographia (Ptolemy, T.M. 165). Penulisan‑penulisan awal ini pun tidak dapat menolong kita memahami Asia Tenggara, amnya. 

 

Periodisasi

H.J.Benda membahagikan kepada zaman persejarahan AT kepada 4 peringkat: Classical, Post Classical, Early Colonial, & Modern Colonial.

Umumnya pembahagian beliau adalah seperti berikut;

1.      Pra‑sejarah [belum wujud tulisan]

2.      zaman proto [rekod dinasti luar]

3.      zaman klasik [abad 9‑13 Masihi]

4.      zaman lepas klasik [lahirnya Pensejarah Tanah Melayu]

5.      zaman moden [abad 20]

Pendekatan pensejarahan tradisional

G. Coedes [1] mengklasifikasikan pensejarahan tradisional di Asia Tenggara secara sinkroni sebagai diakronis atau histoire evenementielle – unsur bersejarah. Coedes memberikan ciri-ciri tamadun Melayu sebelum zamn Hindu Buddha;

a. Dari segi kebendaan dan kegiatan

1.      bersawah padi

2.      memelihara  lembu dan kerbau

3.      menggunakan logam sedikit‑sedikit

4.      mahir dalam pelayaran

b. Dari segi kemasyarakatan

1.      memberi kedudukan yang tinggi kepada kaum perempuan dan mementingkan keturunan dari  pihak perempuan

2.      susunan masyarakat  yang lahir dari hidup bersawah padi

c. Dari segi agama

1.      bersifat animisme

2.      menyembah nenek moyang dan dewa yang menjaga tanah

3.      mendirikan tempat‑tempat pemujaan di tanah‑tanah tinggi

4.      menanam mayat di dalam tempayan dan dolmen

5.      cerita-cerita dongeng yang penuh dengan kepercayaan bahawa tiap‑tiap benda dalam alam mempunyai lawannya ‑ gunung dengan laut, dll.

d. Dari segi bahasa

- Banyak akhiran/awalan/sisipan

e. Dari segi demografi

- Banyak di lembah lembah dari pergunungan.

Sejauhmana benarnya pandangan Coedes?

Semasa pengaruh kebudayaan India mula‑mula datang ke Asia Tenggara kemasukan beramai‑beramai orang ke Asia Tenggara pada masa pra‑sejarah sudah berakhir. Sudah wujud golongan yang telah sedikit sebanyak mempertahankan ketulenan rasnya (primordial/ethnic sentiment). Sudah wujud etnik yang ketara (distinct) seperti etnik orang Campa di bahagian tengah dan selatan Annam sekarang, orang Khmer di Lembah Sungai Mekong, Kemboja dan di bahagian tengah daerah Mekong, orang Mon (sepupu kepada orang Khmer) di Lembah Sungai Menam/Burma Hilir, orang Pyu (mungkin nenek moyang orang Tibet dan Burma) di Lembah Sungai Irrawady dan Sungai Sittang.

Pola-Pola dalam Pensejarahan Melayu Tradisional [2]

J.C. Bottoms [3] pernah berkata tentang pola penulisan sejarah orang Melayu secara umum;

History to the Malays has not until recently been either a science or an art but an entertainment. Accuracy, complete­ness, organised exposition are not the vital principles; what best pleased were legend, fantasy and a pleasant hotchpotch of court and port-gossip. This fairly describes for instance, the Sejarah Melayu.

Kata-kata J.C. Bottoms ini adanya benar, akan tetapi kebenaran itu tidak setepat mana yang didakwakan oleh J.C. Bottoms pada keseluruhannya, terutama sekali beliau mengatakan bahawa Sejarah Melayu adalah sebagai seni hiburan. Di­ sini seolah-olah J.C. Bottoms hendak menyamakan karya sejarah tradi­sional itu seakan-akan cerita penglipurlara atau karya sastera yang lain.

Pan­dangan-pandangan terhadap pola pensejarahan tradisional Melayu ini ada bermacam-macam pendapat yang dikemukakan. Pendapat yang relatif dikemukakan oleh Prof. Rool­vink berkata ‘bahawa kebanyakan persejarahan Timur mempunyai dua bahagian dari segi isinya yang terdiri: Bagian-bagian dongeng dan pengalaman sendiri yang terjadi dalam masa hidupnya”. [4]

Pensejarahan adalah dimaksudkan, “selalunya mengenai kisah tentang peristiwa-peristiwa bersejarah yang telah disusunkan dalam bentuk sas­tera yang agak baik juga, dan fungsinya adalah untuk pengajaran dan ke­megahan generasi semasa pengarang dan keturunan-keturunan mereka”.3

‘Peristiwa bersejarah’ itu tidak semestinya mengandungi erti sejarah saperti yang difahami sekarang, yakni erti sejarah menurut kefahaman Barat. Misalnya, R.G. Collingwood menyebut, “se­jarah itu ialah satu sains (ilmiah) yang menginterpretasikan masa lampau berdasarkan butir-butir kenyataan, diteliti secara terasing (dengan mengketepikan perasaan penulis) dan dikaji dengan tujuan memberi pengetahuan manusia’. [5]

Jika kita hubungkan pendapat RG. Collingwood ini dengan hasil­-hasil penulisan sejarah tradisional Melayu maka dengan sekali gus kita simpulkan bahawa karya-karya itu tidak mencukupi syarat sejarah itu se­bagai satu sains. Hakikat pengertian sejarah sejati ini tidak boleh diketepi­kan, kerana objektif yang berdasarkan kepada kebenaran dan kenyataan perlu dipertahankan.

Malah, sejarah-sejarah dunia lain pun; masih belum boleh berdiri sendiri dalam ertikata yang sebenarnya. Terutama sekali dalam sejarah tradisional. Umpamanya gerak sejarah dalam perseja­rahan orang-orang Sumeria, semua kejadian-kejadian dikatakan dikuasai dan diaturkan oleh tuhan atau dewa-dewa iaitu pensejarahan Sumeria berkedewa-dewaan dan tidak berdasar kenyataan.

Pola struktural pensejarahan tradisional Melayu adalah ditentukan oleh beberapa pengaruh dan ciri-ciri yang tertentu. Pengaruh-pengaruh tersebut adalah ditentukan oleh unsur-unsur kesusasteraan dan kebudayaan Hindu/Buddha serta Islam. Manakala unsur-unsur tempatan itu sendiri menyebabkan struktural pensejarahan Melayu merupakan satu penulisan tradisi. Atau dengan lain perkataan; bahawa struktural pensejarahan Melayu tradisional mempunyai beberapa ciri persamaan-persamaan, kecuali ada beberapa hasil yang lain yang telah menyimpang sedikit dari tradisi tadi.

Bahawa bahan-bahan penulisan sejarah Melayu tradisional adalah ditulis pada inskripsi, prasasti, monumen-monumen dan buku-buku. Dalam zaman Hindu, banyak hasil-hasil sejarah tersurat dibatu-batu bersurat, umpamanya inskripsi Melayu di Bangka yang bertarikh 683 masihi ada mencatatkan sejarah. “Perkembangan ini terus berkembang sehingga lahir­lah karya yang tersurat iaitu Hikayat Raja-Raja Pasai yang ditaksirkan dan ditulis pada kurun ke 14 masihi. Dan saat itu muncullah karya-karya lain yang bersifat pseudo-historis”. [6]

Dalam meneliti sejarah Melayu lama, bahan-bahan inskripsi dan batu bersurat itu amat penting, kerana di situlah tertinggalnya jejak-jejak sejarah lama dan masih banyak yang belum dikaji. Buchari menegaskan bahawa inskripsi itu ditugaskan oleh Yang Di Pertuan bagi mencatatkan peristiwa-peristiwa penting dalam kerajaannya. Buchari menyebut;

The term inscrip­tion refers to historical sources written in ancient times on stone or me­tal. Most of them are inscriptions ordered to be made by rulers who reign­ed in various parts of Indonesia since the fifth century. [7] 6

Struktural pensejarahan tradisional Melayu yang paling jelas adalah bersifat region centrisme dan ethno centrisme yang sangat besar pengaruh­nya dalam pensejarahan Melayu. Ataupun lebih tegas disebut pensejarahan dinasti [kerana persejarahan yang digabungkan sebagai sejarah adalah khu­sus mengenai sesuatu kesultanan atau sesuatu daerah]. Umpamanya Hikayat Aceh adalah hal-hal istana di Aceh, Hikayat Raja-Raja Pasai berkenaan sejarah monarki Pasai, Misa Melayu berkenaan mornaki Perak dan sebagainya, terutamanya mengenai biografi seseorang raja.

Kisah-kisah itu dirangkaikan dengan tidak ada pertalian yang erat antara satu sama lain. Biasanya hasil-hasil karya itu menggambarkan zaman kegemilangan sesuatu dinasti kesultanan Melayu. Karya itupun ditulis adalah semasa zaman keagungan kesultanan itu dan ianya disalin dan ditambah kembali setelah kejatuhan negeri-negeri itu, umpamanya Hikayat Raja-Raja Pasai setelah Majapahit melanggar Pasai, Sejarah Melayu setelah Portugis melanggar Melaka.

Penulisan sejarah Melayu tradisional merupakan satu tradisi ba­gi masyarakat istana. Keadaan ini mungkin juga untuk menghindarkan hilangnya tradisi-tradisi lama dalam bentuk tradisi lisan (oral tradition), dengan diadakan usaha permulaan mengumpulkan tradisi-tradisi lama itu menjadi buku.

Kalau tradisi sastera rakyat boleh menggambarkan kehidupan dan pemikiran di kalangan masyarakat, begitu juga tradisi penulisan pensejarahan tradisional Mela­yu boleh menggambarkan gambaran-gambaran yang lengkap tentang kehidupan dan pemikiran masyarakat Melayu ‘istana’. Kerana kebanyakan ‘hikayat’ atau buku-buku sastera sejarah itu dikarangkan oleh orang-orang yang rapat hubungannya dengan raja-raja yang memerintah. Satu sifat umum bahawa pujangga istana itu diberi perintah dan tugas untuk menghasilkan karya-karya sejarah. Umpamanya Sejarah Melayu, sultan telah memerintah kepada Tun Sri Lanang supaya menulis kembali catatan sejarah, disebut;

“bahawa beta minta perbuatkan hikayat pada Bendahara, peri peristiwa dan peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh meteka itu syahdan beroleh faedahlah ia daripada­nya”. [8]

Nyatalah bahawa tujuan sejarah rasmi ialah untuk memberi pelajar­an bagi anak cucu; jadi bukan uraian tentang rentetan peristiwa yang merupakan rangkaian sebab akibat atau perkembangan kejadian-kejadian sejarah, bukan pula untuk menunjukkan fakta-fakta belaka, tetapi untuk menunjukkan contoh-contoh dari sejarah sebagai pelajaran hidup (pragmatis).

Perintah dan permintaan ini juga adalah dikenakan kepada pengarang-pengarang Melayu yang lain. Misalnya, Munsyi Abdullah yang diminta oleh Stamford Raffles untuk menulis satu hikayat. Melainkan Raja All Haji – satu inisiatif dari keinsafan diri beliau sendiri untuk menulis Tuhfat al Nafis.

Bagi menyiapkan karya-karya sejarah tadi adalah dibiayai oleh pe­naungnya. Oleh itu hasil karya itu adalah untuk dipersembahkan kepada­nya. Lantaran itu, ini menjelaskan wujud hubungan si pengarang dengan penaung serta tujuannya, sebagaimana disebut oleh C. Hooykaas;

“Tujuan ialah untuk me­mancarkan cahaya yang diinginkan keluarga raja itu bagi menyinarinya, sebab ada berbagai-bagai perbuatan, hal dan pertimbangan”. [9]

Oleh itu dari karya-karya tersebut tadi, dapati perihal kedaulatan dan kebesaran raja-raja, serta hal dirinya seperti kegemaran baginda, berburu, peperangan, perkahwinan, wasiat, adat istiadat, pertabalan dan sebagainya ditonjolkan. Pendek kata, pengarang telah memusatkan perhatian sepenuhnya terhadap kedudukan raja-raja, sebagaimana yang ditegaskan oleh Sartono Kartodird­jo;

“Raja sebagai pusat seluruh masyarakat, bahkan seluruh alam semesta (cosmos) merupakan kekuatan magis (sakti) yang memancarkan pengaruh baik atau buruk, menguntungkan atau sangat menbahayakan bagi alam se­kelilingnya”. [10]

Oleh itu, Sartono menyimpulkan pula bahawa pola pensejarahan Melayu tradisional adalah, “Dengan adanya penghormatan kepada raja dan kekuasaannya dan kebudayaan yang berpusat di lingkungan raja, maka pensejarahan mahu tak mahu harus ‘raja-centris’. [11]

Ternyata tidak wujud penerangan tentang keadaan perekonomian rakyat dan gerakan massa, sebaliknya rakyat dalam sejarah itu adalah pasif sekali. Kalau adapun hubungan sosial pada masa itu, hanyalah di kalangan kaum feudal sahaja. Di sini pengarang telah meletakkan raja sebagai tokoh atau po­kok sejarahnya. Hal ini dijelaskan lagi oleh P.E. De Josselin De Jong dengan memperkatakan sifat-sifat Sejarah Melayu, katanya;

The Malay courts, and many of the more considerable Malay families, to this day keep two kinds of work which, I believe, were the essential materials with which the Malay Annals were constructed. In the first place, diaries of significant events, either of a personal or of a political nature, sometimes with notes on the concurrent happenings in nature. Secondly, geneological trees of the family or dynasty concerned;  as it were, patents of nobility and legitimacy. [12] 11

           

Oleh kerana tujuan pertama pengarang ialah untuk kepentingan raja maka pengarang haruslah berhati-hati dalam penggambarannya tentang diri raja-raja yang dipujanya berhubungan dengan segala peristiwa yang ditempohinya, sehingga mengakibatkan ‘subjektiviti’ tertentu dalam penulisannya. Dengan demi­kian jelaslah bahawa pola struktural pensejarahan tradisional Melayu ber­hubung rapat dengan ‘magis dan kedaulatan’ raja-raja Melayu.

Kebiasaan pengarang sejarah Melayu tradisional membahagikan isi kandungannya bagi sesebuah karyanya seperti berikut;

i.    Asal usul raja-raja dan salasilah.

ii.    Pembentukan sesebuah negeri.

iii.   Kemasukan Islam.

iv.   Tentang raja-raja.

v.   Raja yang memberi perentah pada masa itu.

Walaupun demikian, pembahagian tersebut bukanlah bererti satu ciri pola pensejarahan Melayu tradisional keseluruhannya, kerana terdapat beberapa karya lain yang tidak mengandungi ciri pola tersebut. Menurut Sartono Kantodirdjo, [13] keseragaman dalam pensejarahan Melayu (Indonesia) wujud dalam bentuk;

i.         Geneologi merupakan permulaan semua penulisan.

ii.       Asal usul rajakula yang ‘mythis atau legendaris’.

iii.       Mitologi Melayu-Polinesian tentang perkahwinan.

iv.       Legenda pembuangan anak.

v.        Legenda permulaan kerajaan.

vi.       Tendensi menjunjung tinggi rajakulanya.

Jika diperhatikan antara dua perbandingan keseragaman di atas, ada beberapa persamaan dan perbezaan. Namum satu hakikat, iaitu bahagian yang terpenting di dalam kesemua keseragaman pola pensejarahan tadi, iaitu tendensi menjunjung tinggi rajakula atau Raja yang memberi perintah pada masa itu. Tetapi pembahagian Sartono tentang legenda pembuangan anak kurang jelas di dalam pola pensejarahan Melayu, kerana hal ini bukan­lah merupakan motif-motif yang selalu dijumpai di dalam karya sastera sejarah, kecuali dalam cerita lisan rakyat.

Mohd. Taib Osman [14] menegaskan bahawa perbezaan besar antara cerita ­dongeng sejarah ialah salasilah. Dapat dikatakan bahawa salasilah itu ialah perbezaan utama antara cerita-cerita dongeng dengan sejarah, kerana kalau tidak ada salasilah, penulisan itu tidak dapat dikatakan sejarah.

Me­manglah salasilah merupakan satu bab atau fasal yang penting di dalam pensejarahan Melayu, akan tetapi kenyataan Mohd. Taib Osman ini kurang betul jika dikatakan, ‘kalau tidak ada salasilah, penulisan itu tidak dapat dikatakan sejarah.’ Kita tidak boleh lupa terhadap beberapa karya sejarah lain yang tidak memuatkan tentang salasilah, terutama sekali di dalam bentuk puisi seperti Syair Perang Makasar dan Syair Perang Siak yang tidak menghuraikan salasilah.

Hakikatnya, apa yang dipentingkannya ialah bahawa sala­silah adalah sebagai satu ciri yang membedakan karya dongeng dengan kar­ya sejarah dalam pensejarahan Melayu tradisional. Jurai keturunan raja-raja ini digambarkan dengan begitu rupa hingga menjadikannya mythical dilihat dari kacamata pembaca-pembaca sekarang. Umpamanya, da­lam geneologi Hikayat Aceh terdapat unsur sinkretisme (antara kebudayaan Hin­du dan Islam), iaitu dari galuran nasab Nabi Adam a.s dan dewa Visnu. Ini menunjukkan bahawa salasilah itu disusun tidak secara realiti sejarah tetapi secara kosmos religio-magis.

Begitu juga dengan pengaruh Islam yang disesuaikan dengan jurai-jurai keturunan Sultan Iskandar Zulkarnain. Wujud gambaran yang fantastik, imaginasi dan dongeng. Hakikatnya, ‘dynasty myth’ itu amat penting bukan sahaja untuk menerangkan asal usul kesultanan itu, tetapi juga untuk memupuk kepercayaan terhadap kedudukan istimewa (kedualatan) raja-raja itu. Sartono Kartodirdjo menjelaskan;

“Di dalam kebudayaan yang bersifat religio-magis, mythos ternyata merupakan suatu kepercayaan dan bukan pengetahuan belaka. Maka penulisan sejarah sebagai satu bentuk perkembangan mythos mem­punyai fungsi sakral-magis, iaitu ad majorem gloriam bagi raja, untuk menambah kebesaran raja, sebagai pusat kesejahteraan rakyat, dan alam.” [15]

Daripada ‘keturunan-keturunan’ [16] yang sebegini kita perhatikan bahawa penulis telah meliputi asal usul dinasti itu dengan satu suasana ‘awe-inspiring’ yang dapat menarik rasa hormat terhadap pertuanan mereka.

Satu pola pensejarahan Melayu tentang pembentukan sesebuah kera­jaan juga telah mengalami beberapa kejadian-kejadian yang aneh. Dalam Hikayat Raja-Raja Pasai, nama Sumadra dan Pasai adalah dari beberapa ke­jadian yang aneh, iaitu semut raya dan salak anjing Si Pasai dan begitu juga dengan nama-nama Melaka, Singapura dan sebagainya. Biasanya dari gejala binatang dan pokok atau pun tentang kesalahan penyebutan (Padang Maya dalam Hikayat Raja-Raja Pasai).

Pengaruh Hindu telah menentukan unsur-unsur metos, legenda yang berhubungan dengan kosmos dan kedewaan mempengaruhi weltanchauung (pandangan hidup) dan penulisan sejarah ke arah pandangan yang bukan realiti. Begitu juga halnya dengan kedatangan Islam, sedikit sebanyak fiksen yang tak lojik masih memberi warna dalam pola pensejarahan Melayu, umpamanya unsur-­unsur mimpi masih menjadi kepercayaan bagi orang-orang Islam.

Tetapi sebenarnya ini bukanlah bermakna sesuatu yang sengaja ditonjol-tonjolkan oleh pengarang-pengarang Melayu Islam. Merah Silu memeluk Islam selepas baginda bermimpi. [17] Sebelum Islam, pokok sejarah lebih berpusatkan ke­pada sakral magis, tetapi selepas Islam unsur-unsur mistis dan ugama dipentingkan walaupun unsur-unsur kesultanan masih dianggap penting. Sartono Kartodirdjo sekali lagi meletakkan pengaruh Islam sebagai, “Peng­aruh pensejarahan Islam menaruh tekanan pada sejarah religio-politis”. [18]

Manakala J.C. Bottoms berpendapat bahawa dengan tekanan pengaruh Islam ini menyebabkan gerak sejarah Melayu bersekitar teologi, namun legenda masih beriringan, katanya;

This view partly accounts for the way in which historical and theological sections may be found juxtaposed in many Malay works and for the way in which the two kinds of material, plus le­gendary material, are also often mixed. [19]

Pola-pola beginilah merupakan satu perubahan baru di zaman Islam. Sifat umum yang tendapat pada pola pensejarahan Melayu tradisional tentang pengarang-pengarang di zaman pra-Islam ialah, nama pengarang tidak disebutkan, kerana hasil penulisan pensejarahan itu merupakan hasil ‘kolektif’, bahkan tarikh-tarikh tidak dipentingkan, data-datanya mungkin merupakan kronik bukan analisis sebab akibat. Tetapi pada abad-abad ke 16 dan ke 17 semasa Islam berkembang pesat dalam kepercayaan dan kebudayaan rantau ini telah mengubahkan kembali pola pensejarahan dengan mementingkan na­ma pengarang dan tarikh-tarikh.

Pola pensejarahan Melayu lazimnya melampau masa yang berabad-abad lamanya tentang kronologi sejarah yang dimuatkannya. Dari itu kita dapat bagian permulaan itu penuh dengan dongeng dan legenda, terutama sekali tentang asal usul jurai-jurai sultan tadi. Tambahan pula bahan-bahan yang dikumpulkan itu adalah melalui oral tradition yang terkumpul di istana atau pun riwayat orang tua-tua. Pengarang memanjang lebarkan ba­bagian akhir, iaitu tentang raja yang menjadi penaung serta masa sezaman­nya.

Kebanyakan hal tentang rentetatan sejarah pentadbiran kaum feudal ini digambarkan dengan detail sekali. Apa yang ternyata dalam pola sistem pemerintahan Diraja Melayu adalah pengaruh dari sistem pemerintahan Islam Parsi. Oleh itu tidak hairanlah jika pengaruh Parsi juga mempengaruhi pola-­pola pensejarahan Melayu tradisional seperti dari segi teknik dan susunan kalimat-kalimat, terutama sekali di zaman perkembangan kebudayaan Islam yang agung di Aceh. Bukti yang nyata ialah buku Hikayat Aceh adalah dari pengaruh dan contoh karya Parsi, Akbamana.

Sifat pensejarahan Melayu tradisional yang lain dari pengaruh Parsi ialah tentang bilamana terdapat sesuatu peristiwa kegeringan sultan, maka berwasiatlah raja-raja terhadap anak-anak dan orang-orang besarnya. Selalu­nya gaya bahasa wasiat-wasiat ini dan kandungannya hampir-hampir sa­ma sahaja sehingga juga bentuk wasiat-wasiat ini telah menjadi satu tradisi pensejarahan Melayu.

Pola pensejarahan Melayu tradisional adalah subjektif sifatnya. Dari sudut pengarang, kerana ianya juga merupakan sifat-sifat pengarang Melayu, iaitu tradisi tokok tambah atau buang. Situmurang dan Prof. A. Teeuw membuat kesimpulan bahawa masyarakat yang tidak dinamis sifat­nya itulah yang sesuai dengan pola-pola pensejarahan dan karyanya. Mereka menyebut; 

“Tradisilah yang menentukan apa yang baik, apa yang boleh dan yang di larang dalam karangan dan telah sewajarnya bahawa tiap-tiap pe­nulis yang kemudian datang menurutkan hal itu”. [20]

Jadi sikap berat sebe­lah tidak boleh dinafikan, umpamanya orang Melayu mengagung-agung­kan Hang Tuah berketurunan Melayu, sedangkan orang Bugis mengatakan berketurunan Bugis (Daeng Menanbum dan Raja Ali Haji), Sejarah Melayu ada menghina Raja Pasai, dan sebagainya.

Dapat kesimpulan bahawa jika diukur dari sudut sejarah, pola-pola pensejarahan Melayu tradisional masing-masing meng­andungi gabungan-gabungan kebenaran, legenda, khayalan dan kenyataan serta hiburan dan pengajaran. Pola itu merupakan satu pola-pola yang tersusun dan bertradisi sendiri. Pada orang Melayu bahawa sejarah adalah ju­ga merupakan seni yang boleh menghiburkan. Dan kombinasi diskriptif sejarah tadi kita temui berbagai-bagai hal kehidupan masyarakat feudal di masa lampau. Kesemua itu adalah menjelmakan penghidupan kebudayaan Melayu di waktu yang lampau. Mereka tidak menjadikan ‘sejarah’ sebagai sesuatu yang disiasati (inquiry). Manakala metod penulisan sejarah moden tentang aspek sebab musabab yang menjadi keharusan telah pun ada dalam pensejarahan Melayu tradisional. Tetapi sayang sedikit, sebab musabab peristiwa dalam karya-karya sejarah Melayu itu di kaitkan kepada hal-hal di luar kemenasabahan. Namun begitu ada di antara sumber-sum­ber dan fakta-fakta sejarah yang berguna dalam usaha merekonstruksikan kembali sejarah Alam Melayu, khususnya pada zaman di antara abad ke 13 hingga 18.



[1] G. Coedes, 1968. The Indianized States of Southeast Asia, Kuala Lumpur: University of Malaya Press.

[2] Rujuk nota lengkap dalam makalah JEBAT, Bil.2,1972/73, hlm. 18-24.

[3] J.C. Bottoms, “Some Malay Historical Sources: A Bibliographic & Note.” Dalam Soedjatmoko (ed), An Introduction to Indonesian Historiography, New York, 1965.

[4] Rujuk Mohd. Nor Long, “Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu: Satu Perbandingan Bentuk Persejarahan.” dalam Jernal Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Vol. VII. 1968/69, ms. 58.

[5] R.G. Collingwood, The Idea of History, London, 1966. 10-11. 

[6] Sejarah Melayu, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Aceh, Hikayat Marong Mahawangsa, Hikayat Sri Kelantan, Syair Perang Makassar, Salasilah Melayu dan Bugis, Salasilah Kutai, Misa Melayu, Al-Tarikh Salsilah Kedah, dan lain-lain lagi.

[7] Buchari, “Epigraphy and Indonesian Historiography.” Dalam Soedjatmoko (ed), Indonesian Historiography, ms. 48.

[8] W.G. Shellabear, Sejarah Melayu, Kuala Lumpur. 1967. ms. 3.

[9] C.Hooykass, Perintis Sastera (edisi baru.), Kuala Lumpun, 1965. 109.

[10] Sartono Kantodirdjo, “Segi-segi Struktural Pensejarahan Indonesia” dalam Lembaran Sedjarah, No. 3, Disember, 1968, Jogjakarta. 34

[11] 29

[12] P.E. De Josselin De Jong “The Character of the Malay Annals” dalam John Bastin dan R. Roolvink (ed) Malayan and Indonesian Studies, London,1964. ms 238.

[13] Sartono, “Segi-segi Struktural”, ms. 34.

[14] Mohd. Taib Osman, Bahasa, Jilid IV, Bil. 1, 1964/65, ms. 47.

[15] Sartono Kartodiradja “Beberapa fatsal dari Pensejarahan Indonesia” dalam Lembaran Sejarah, No. 2, Augustus 1968. Jogjakarta. ms. 16.

[16] Sejarah Melayu: Dinasti Melaka dan Iskandar Zulkarnain; Hikayat Aceh: dalam puteri Buluh Betong; Hikayat Raja-Raja Pasai: dari Buluh Betong dan gajah; Hikayat Merong Mahawangsa: dan Buluh Betong; Salasilah Kuta: dari Buluh Betong, dan sebagainya.

[17] A.H, Hill, “Hikayat Raja Pasai” dalam Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol. 33, Pt. 2, (1960), ms. 57.

[18] Sartono, “Segi-segi Struktural”, ms. 30.

[19] Bottoms. “A Bibliographical Note”, ms. 183.

[20] Situmurang dan A. Teeuw, Sejarah Melayu, Jakarta, 1952, (Bahagian mukadim­mah), ms. xii.