KULIAH 1: PENGENALAN & TAKRIFAN PENSEJARAHAN MELAYU

Tumpuan kajian dalam kursus ini adalah berkait rapat dengan fungsi dan kepentingan ilmu sejarah dalam kehidupan manusia. Menurut Wang Gungwu, “…kepentingan sejarah yang pertama dan barangkali yang lazim sekali ialah apabila sesuatu kumpulan, keluarga, suku atau puak itu, membuat suatu ingatan masa lalu yang boleh membantu mengekalkan keperibadian dan mengukuhkan keupayaannya untuk terus [The Use of History, Papers in International Studies, SEA Series, Center for International Studies, Ohio Univ., Athens, Ohio, 1968, hlm. 1-2].

Arthur Marwick, “...masyarakat manusia memang memerlukan sejarah, masyarakat kita yang canggih hari ini memerlukan banyak sejarah. Kita sentiasa memandang kepada sejarah, sentiasa membuat pengadilan-pengadilan sejarah...” [The Nature of History, Macmillan Publishers Ltd., London, 1985, hlm. 14].

Perbincangan dalam kursus ini akan meliputi perkembangan penulisan sejarah alam Melayu dalam bahasa Melayu yang dihasilkan antara tahun 1300 hingga tahun 1960. Penghasilan karya-karya berunsur sejarah ini memiliki peranan tersendiri dalam konteks pengetahuan mengenai aspek-aspek politik, sosial dan ekonomi masyarakat Melayu. Tinjauan terhadap ciri-ciri pensejarahan dilakukan ke atas karya-karya pilihan berdasarkan tema-tema pensejarahan yang umum seperti pensejarah negeri, jurai keturunan, tokoh, sosiopolitik, ekonomi, perang, adat istiadat, undang-undang dan agama. Antara karya-karya pilihan ialah Sejarah Melayu, Salasilah Melayu dan Bugis, Hikayat Hang Tuah, Misa Melayu dan Syair Perang Siak.

Pensejarahan atau Historiography berasal dari perkataan History atau Sejarah atau Historia sebagai perkataan yang tertua.

Apakah Sejarah? Jawatankuasa Historiografi dari Majlis Kajian Sains Sosial (Social Science Research Council) di New York mengemukakan bahawa kata `sejarah' itu dipergunakan sekurang-kurangnya meliputi lima pengertian: [Social Science Research Counvil, Theory and Practice in Historical Study, N. York, 1946, 133]:

i.    Penyelidikan yang sistematik tentang gejala-gejala alam.

ii.   Masa lampau umat manusia atau sebahagian daripadanya.

iii.   Benda peninggalan masa yang lalu (misalnya artefak) dan pertulisan-pertulisan (rekod) baik yang sekunder mahupun primer atau sebahagian daripadanya yang telah ditinggalkan oleh manusia.

iv.  Penyelidikan, pengajian dan penjelasan tentang masa lampau umat manusia atau sebahagian daripadanya mengenai benda-benda peninggalan dan pertulisan; dan

v.   Cabang pengetahuan yang mencatat, menyelidik, menyajikan dan menjelaskan tentang masa lampau umat manusia atau sebahagian daripadanya.

Lima pengertian itu boleh dikategorikan kepada tiga perkara:

a. sejarah yang berlaku (ii)

b.      bahan/sumber/rekod sejarah tersebut (iii)

c.       penyelidikan dan penulisan sejarah itu (i, iv dan v).

Pengertian Sejarah atau Pensejarahan menurut masyarakat tradisional Asia Tenggara (berdasarkan warisan yang sepunya di Alam Melayu).

BURMA - (i) Batu bersurat [hsin-hto yang dibuat salinan mengikut versi asalnya pada Raja Bodawpaya 1781-1819; dan sat-hto yang ditulis semula dengan revisi]. Batu bersurat yang terawal sekali adalah rekod zaman Pagan apabila pengaruh agama Buddha awal kuat dan berleluasa. Kebanyakannya adalah dalam bahasa Pali dan mengenai hal-hal agama dan menyanjung jasa baik individu.

(ii) Yazawin - (babad, hikayat, tamnan, pongsawadan)

THAI               - Batu bersurat, tamnan, pongsawadan.

T.MELAYU     - Hikayat, Babad, Salsilah, Tawarikh, Syair.

INDOCHINA - Kampuchea & Laos - Rajabangsavatar/ bangsavatar - mengikut corak pongsawadan Siam, sejarah wangsa dan raja.

VIETNAM      - Dai Viet Su Ky (Lee Van Huu), The Viet Annals (1272).

Apakah Pensejarahan? Pensejarahan merupakan kajian terhadap aspek-aspek penyelidikan, penggunaan sumber, pentafsiran fakta dan penulisan karya sejarah. Kajian kepada aspek-aspek ini bermatlamat bukan untuk mengetahui tentang kejadian-kejadian sejarah yang telah berlaku, tetapi sebaliknya merupakan kajian yang cuba menjawab soalan-soalan seperti berikut:

1.       Apakah buku-buku atau makalah-makalah yang telah ditulis berkenaan sejarah sesebuah negara atau wilayah atau sesuatu peristiwa/perkara?

2.       Antara karya-karya sejarah itu, yang mana lebih berpengaruh dan mengapa?

3.       Apakah tafsiran yang berlainan tentang peristiwa/perkara ditulis itu?

4.       Mengapakah wujudnya tafsiran yang berbeza itu?

Justeru itu, pensejarahan merupakan sebahagian daripada pengajian sejarah dan seseorang pelajar yang ingin mengendali kajian sejarah haruslah terlebih dahulu menguasai aspek pensejarahan yang berkaitan dengan tajuk penyelidikannya. Melalui usaha sebegini, maka seseorang pelajar itu akan mengetahui hal-hal yang berkaitan dengan perkara yang mahu ditelaahnya seperti:

1.       karya-karya utama yang telah dihasilkan tentang perkara yang ingin diselidiki.

2.       latar belakang pengarang-pengarang yang terlibat dan justeru itu apakah kecondongan atau kecenderungan yang mungkin terkandung di dalam karya mereka berhubung perkara itu.

3.       gagasan-gagasan utama yang pernah diajukan mengenai perkara itu,

4.       kontroversi-kontroversi atau perbahasan yang pernah timbul berkaitan dengan tafsiran terhadap perkara tersebut,

5.       sama ada penyelesaian sudah dicapai dalam kontroversi terhadap perkara itu adan apakah keputusan muktamadnya, jika ada.

OBJEKTIF

Pendekatan Kursus ini akan mendedahkan para pelajar kepada perkembangan teras kebudayaan masyarakat Melayu dengan matlamat membentukkan pengetahuan dan kefahaman minda para pelajar ke arah menjayakan proses pembentukan kebudayaan Malaysia moden hari ini.

Matlamat yang diperolehi melalui kajian pensejarahan akan mendedahkan seseorang pelajar kepada arus-arus pemikiran serta tafsiran yang berlainan. Berdasarkan pengetahuan ini, pelajar itu akan dapat menilai kesahihan bahan-bahan rujukannya. Pelajar itu akan menjadi lebih peka tentang pecondongan yang mungkin tersirat dalam sesuatu karya sehingga mampu pula beliau mempertimbangkan butir-butir yang terkandung di dalam karya itu secara lebih kritis.

Susulannya, mudah-mudahan pelajar itu tidak akan terkeliru apabila menemui huraian-huraian yang bercanggah atau menerima bulat-bulat apa sahaja yang terdapat di dalam sesebuah buku/sumber sejarah. Dengan demikian, para pelajar mampu membuat penilaian kritis terhadap permasalahan pensejarahan dan penggunaan sumber-sumber pensejarahan berkaitan dalam semua usaha merekonstruksikan sebuah sejarah tanahair, Malaysia yang berautonomi dan autentik.