SEJARAH BERULANG
Apakah itu Sejarah?
Perkataan
Sejarah (History) yang kita gunakan pada masa kini berpunca daripada perkataan
Arab iaitu Syajaratun yang bermaksud Pohon. Dari sudut lain pula, istilah
history merupakan terjemahan dari perkataan Yunani yakni Histories yang membawa
makna satu penyelidikan ataupun pengkajian.[1]
Mengikut pandangan "Bapa Sejarah" Herodotus, Sejarah ialah satu
kajian untuk menceritakan satu kitaran
jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan peradaban.[2] Mengikut definisi yang diberikan oleh
Aristotle, bahawa Sejarah merupakan satu sistem yang mengira kejadian
semulajadi dan tersusun dalam bentuk kronologi. Pada masa yang sama, menurut
beliau juga Sejarah adalah peristiwa-peristiwa masa lalu yang mempunyai
catatan, rekod-rekod atau bukti-bukti yang kukuh.
Menurut R. G. Collingwood, Sejarah
ialah sejenis bentuk penyelidikan atau suatu penyiasatan tentang
perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada masa lampau.[3]
Manakala Shefer pula berpendapat bahawa Sejarah adalah peristiwa yang telah
lepas dan benar-benar berlaku.[4] Sementara itu, Drs. Sidi Gazalba cuba
menggambarkan sejarah sebagai masa lampau manusia dan persekitarannya yang disusun secara ilmiah dan lengkap
meliputi urutan fakta masa tersebut dengan
tafsiran dan penjelasan yang memberi pengertian dan kefahaman tentang
apa yang berlaku.[5] Sebagai usaha susulan dalam memahami
sejarah, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka telah memberikan Sejarah sebagai
asal-usul, keturunan, salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu
yang lampau, kisah, riwayat, tambo, tawarikh dan kajian atau pengetahuan
mengenai peristiwa yang telah berlaku.[6]
Sejarah dalam erti kata lain
digunakan untuk mengetahui masa lampau berdasarkan fakta-fakta dan bukti-bukti
yang sahih bagi membolehkan manusia memperkayakan pengetahuan supaya waktu
sekarang dan akan datang menjadi lebih cerah. Dengan itu akan timbul sikap
waspada (awareness) dalam diri semua kelompok masyarakat kerana melalui
pembelajaran Sejarah, ia dapat membentuk sikap tersebut terhadap permasalahan
yang dihadapi agar peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa lampau dapat
dijadikan pengajaran yang berguna. Pengertian Sejarah boleh dilihat dari tiga
dimensi iaitu epistomologi (kata akar), metodologi (kaedah sesuatu sejarah itu
dipaparkan) dan filsafat atau pemikiran peristiwa lalu yang dianalisa secara teliti untuk
menentukan sama ada ia benar atau tidak.[7]
Apakah
itu Sejarah Berulang?
Sejarah
Berulang (Repeating History) boleh diertikan sebagai satu keadaan di mana peristiwa-peristiwa sejarah yang pernah
berlak pada suatu masa dahulu boleh berlaku pula pada masa-masa yang berlainan,
iaitu pada masa sezaman mahupun pada masa yang akan datang. Ini kerana sejarah
itu dianggap sebagai suatu gejala yang
berulang-ulang yakni sesuatu peristiwa itu berlaku berulang kali di dalam satu
proses kitaran yang saling berkaitan serta silih berganti.
Proses kitaran yang dimaksudkan itu
mempunyai kaitan yang rapat dengan kemunculan sesebuah negara yang mempunyai
suatu titik kelahiran. Kemudian meningkat maju sehingga mencapai kejayaan dan
seterusnya apabila tiba suatu tempoh masa ia akan mengalami kemerosotan atau
keruntuhan. Maka dengan itu, dipercayai kitaran ini akan sentiasa berulang-ulang dari satu tempoh
masa ke satu tempoh masa yang lain mengikut perkembangan politik sesuatu
negara.[8]
Namun demikian, persoalan yang
dibangkitkan sekarang adalah, benarkah sejarah itu memang berulang secara
keseluruhannya? Bagi menyelesaikan persoalan ini, perlulah kita meneliti
beberapa contoh yang berkaitan dengan Sejarah berulang.
Salah satu contoh yang kukuh adalah
kebangkitan dan seterusnya keruntuhan kerajaan Marxist Rusia. Sebelum tahun
1870, Rusia memang berada dalam era keruntuhan. Keruntuhan itu berpunca dari
ketidakseimbangan dalam politik Rusia dan juga
ketandusan pemimpin yang cekap.
Namun demikian Rusia adalah sebuah negara yang terbesar di dunia (dengan
keluasan lebih kurang 22402000 km/persegi = 8649000 batu/persegi).[9] Walau bagaimanapun Rusia mula muncul sebagai
sebuah kerajaan Marxist yang berwibawa selepas revolusi tahun 1917. Dengan
usaha pemimpin-pemimpin mereka seperti Lenin (1870-1924) dan Stalin
(1879-1953), Rusia telah berupaya menjadi kuasa besar selepas Perang Dunia
Kedua (1945). Taraf seperti ini dapat dikekalnya sehingga bahagian pertama
dekad 1980-an. Mulai pertengahan dekad tersebut, Rusia nampaknya tidak dapat
bertahan lagi. Ia mula menghadapi krisis ekonomi yang sangat meruncing.
Pemimpinnya pada ketika itu, iaitu Mikhail Gorbachov memperkenalkan satu dasar
yang dikenali sebagai Glasnost, yang
bertujuan memperbaiki keadaan ekonomi melalui beberapa pembaharuan dasar
ekonomi. Namun gerakan itu tidak menghasilkan kejayaan. Sementara itu, gerakan
politik dan ekonomi yang bertujuan menghancurkan struktur dan ideologi Marxist
di negara itu, yang pada mulanya tidaklah menonjol, telah menapakkan
kecergasannya menjelang hujung dekad tersebut. Akhirnya, pada tahun 1990,
bubarlah atau hancurlah secara rasmi Kesatuan Republik Soviet Rusia. Selepas
itu yang tinggal ialah Rusia dan gabungan beberapa republik merdeka yang
dahulunya merupakan sebahagian daripada kesatuan tersebut. Kini Rusia sedang
berusaha untuk hidup dan mengamalkan
sistem demokrasi Barat serta unsru-unsurnya yang berkaitan. Dalam pada
itu, kejayaan pihak demokrasi itu
belumlah betul-betul kukuh kerana menjelang pertengahan dekat 1990-an ini pihak
komunis telah menampakkan pula kebangkitan semula mereka.
Melihat kepada contoh tersebut, jelaslah kepada kita bahawa proses
kitaran yang silih berganti memang
wujud dalam negara Rusia di mana terdapatnya titik kelahiran, perkembangan dan
keruntuhan di dalam pimpinan negara tersebut. Walhalnya adakah sejarah itu
berulang? Memang tidak, ini kerana daripada contoh tersebut, kita dapati
sejarah hanya berulang dari segi falsafah ataupun, fenomena sahaja, tetapi
tidak berulang secara khusus pada
zaman, waktu, tempat, pemimpin atau or ang yang sama. Malah pernyataan ini juga disokong oleh sejarahwan,
misalnya Leopold Von Ranke sendiri mengakui bahawa setiap peristiwa sejarah itu
adalah unik dalam erti kata lain sejarah hanya berlaku sekali sahaja pada
suatu waktu yang tertentu dan dengan
hal yang demikian tidaklah ada satu
peristiwa sejarah pun mempunyai persamaan yang tepat dengan satu peristiwa
sejarah yang lain walaupun nampak seakan-akan sama.[10]
Satu lagi contoh yang boleh
membuktikan bahawa sejarah itu tidak berulang dapat dikaji di dalam Malaysia
sendiri iaitu Sejarah Perkembangan Pasukan Bolasepak Malaysia di dalam
Kejohanan Pesta Bola Merdeka yang berlangsung di Stadium Merdeka. (Analisa
dilakukan dari tahun 1986 hingga 1994).
Menjelang tahun 1986, prestasi
pasukan bolasepak Malaysia mula menampakkan peningkatan seolah-olah pasukan
negara berada di ambang kejayaan. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi apabila pasukan negara di bawah pengurusan
Dato’ Harun Idris telah berjaya menjadi juara Pesta Bola Merdeka yang diadakan
di Stadium Merdeka dari 18 hingga 25 Oktober, 1986 dengan menewaskan pasukan
Czechoslovakia (3 berbalas 0). Kejayaan
tersebut membolehkan pasukan negara mendapat “lampu hijau” untuk
mengambil bahagian dalam Sukan Asia di Seoul tidak lama kemudian.[11]
Pada masa yang sama, kejayaan tersebut benar-benar membanggakan seluruh rakyat
rakyat Malaysia dan menjadi sejarah bagi negara.
Walau bagaimanapun, selepas tahun
1986, pencapaian pasukan negara mula menampakkan kemerosotan, terutamanya di
dalam kejohanan Pesta Bola Merdeka,
sehinggakan pasukan negara terkeluar di pusingan awal lagi di dalam
kejohanan-kejohanan seterusnya dan pada tahun 1988, pasukan Malaysia telah kecundang di tangan Korea Selatan
(0-1) di dalam perlawanan pembukaan.
Senario ini telah menyebabkan pasukan Malaysia di kritik dan di cemuh
habis-habisan oleh pihak media mahupun rakyat Malaysia sendiri. Boleh dikatakan
selepas tahun 1989 bolasepak Malaysia mengalami detik hitam dan seolah-olah
mula mengalami keruntuhan.
Melibatkan keadaan ini, pihak
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah berjaya merombak kembali pimpinan
persatuan tersebut. Pimpinan baru tersebut telah berjaya mengatur
program-program bolasepak yang baru, kem-kem bolasepak yang lebih baik serta
kempen-kempen bolasepak yang berkualiti
bagi mencungkil bakat-bakat baru dalam arena bolasepak negara. Selain
itu (FAM) juga berjaya membawa masuk pakar-pakar bolasepak barat termasuk
jurulatih, psikologi, teknikal dan sebagainya bagi meningkatkan kembali imej
bolasepak negara. Oleh itu, menjelang tahun 1992, bolasepak negara berada di
ambang kelahiran. Justeru itu, dalam mengembalikan imej serta maruah bolasepak, pada tahun 1993, pasukan Malaysia sekali
lagi menyertai kejohanan Pesta Bola Merdeka yang berlangsung di Stadium Merdeka
dari 7 hingga 14 Jun 1993, di bawah pengurusan Tan Sri Elyas Omar. Hasilnya,
pasukan negara yang dibarisi pemain-pemain baru itu telah berjaya menjulang
kembali kejuaraan Pesta Bola Merdeka dengan menewaskan pasukan Korea
Selatan dalam perlawanan akhir dengan
jaringan 3 berbalas 1. Kejayaan ini telah membukti bahawa bolasepak negara mula
berada di ambang kejayaan selepas kebangkitan mereka sejak dari tahun 1992.
Walau bagaimanapun, selepas tahun 1994, bolasepak negara mengalami keruntuhan
semula.
Kejayaan bolasepak negara pada tahun 1986 dan 1993 merupakan satu sejarah yang tidak boleh dilupakan oleh
rakyat Malaysia sehingga hari ini. Di sini kita dapati sejarah itu seolah-olah
berulang kembali, iaitu kejayaan
Malaysia pada tahun 1986 telah diulang kembali pada tahun 1993. Adakah dengan
itu kita boleh mengatakan sejarah
berulang sepenuhnya.
Jawapannya, memang terbukti tidak,
sejarah tidak berulang sepenuhnya walaupun kejayaan 1986 diulang kembali pada
tahun 1993. Kalau dilihat secara tajam, waktu penganjuran pertandingan,
pengurusan serta pemain pasukan dan jumlah jaringan pertandingan akhir yang
membawa kejayaan kepada pasukan negara pada tahun 1993 memang berbeza dengan
waktu penganjuran pertandingan, pengurusan serta pemain pasukan dan jumlah
jaringan pada perlawanan akhir pada tahun 1986. Tetapi satu perkara yang lebih jelas kepada kita ialah, dalam
tempoh masa 7 tahun tersebut, berlaku proses kitaran yang silih berganti dalam
bolasepak negara iaitu berlaku pengulangan proses umum ataupun keadaan umum
seperti kelahiran ataupun kewujudan, perkembangan serta kejayaan dan akhirnya
keruntuhan. Proses kitaran ini juga menunjukkan bahawa hidup bolasepak
Malaysia sentiasa beredar di dalam satu
pusingan yang tidak putus-putus di mana
ia bermula, berkembang maju dan kemudian runtuh dan selepas itu bermula
semula dengan satu sistem pimpinan yang baru. Namun apa yang jelas adalah
proses kitaran itu akan sentiasa berterusan.
Kepentingan Sejarah Berulang Mengikut
Pandangan Masyarakat Yunani
Masyarakat
Yunani mempercayai bahawa sesuatu peristiwa yang berlaku pada suatu masa dahulu
boleh berlaku kembali dalam tempoh masa berlainan dan ianya sukar diagak. Walau
bagaimanapun peristiwa-peristiwa yang
berlaku dianggap oleh mereka mampu memberikan pengajaran kepada mereka untuk
berwaspada pada masa-masa yang akan datang serta untuk mencari langkah untuk mengelak sesuatu
peristiwa yang tidak diingini. Selain itu sejarah juga dianggap oleh mereka
sebagai satu petunjuk dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan dugaan,
cabaran dan halangan. Pada masa yang sama, sejarah itu juga merupakan satu
falsafah yang memberikan pengajaran melalui contoh-contoh. Sebenarnya peristiwa
yang berulang-ulang itu menunjukkan kepada mereka tentang tingkah laku serta
pembuatan mereka pada masa yang telah lalu dan juga perbuatan orang-orang yang
terdahulu daripada mereka.
Keseluruhannya,
jelaslah bahawa sejarah itu tidak berulang walaupun sesetengah golongan berpendapat bahawa sejarah itu berulang. Ini
kerana sejarah itu memiliki fakta yang lengkap dengan masa dan tarikh sesuatu
peristiwa itu terjadi. Walaupun proses
kitaran yang silih berganti itu wujud (kelahiran, perkembangan atau kejayaan
dan keruntuhan) namun agak sukar bagi
kita untuk melihat sesuatu fakta yang sama muncul pada zaman akan datang di
mana tarikh, objek dan tempatnya adalah sama. Oleh itu, sekali lagi saya
tekankan di sini bahawa sejarah hanya berulang dari segi falsafah atau fenomena
yang mampu memberikan pengajaran, tunjuk ajar serta pengetahuan kepada
masyarakat tetapi tidak berulang secara khusus pada zaman, waktu, tempat,
pemimpin ataupun orang yang sama.
Bibliografi
Carr E.H., What
Is History. Pelicon Book. London. 1965.
Collingwood R.G. The
Ideo Of History. Oxford University Press. 1966.
Dr. Abdul Murat Mat Jan. Nota Kuliah. Pengantar Sejarah.
Dr. Tengku Iskandar. Kamus Dewan Edisi Kedua. 1984. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Drs. Sidi Gazalba. 1966. Pengantar Sejarah Sebagai Ilmu. Jakarta.
Dunia Sukan. Utusan
Melayu (Malaysia). Sdn. Bhd. 1987.
Herbert Butter Field. 1981. The Rise of Classical Historiography.
Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah, Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Dewan Bahasa dan Pustaka. 1997.
Muhd.Yusof Ibrahim. Pengertian Sejarah: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 1986.
Shafer R.G Jones. A
Guide To Historical Method. Illineis.
R. Suntharalingam. Pengenalan Kepada Sejarah. Merican
&Sons. Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. 1985.
[1] Muhd. Yusof Ibrahim, 1986, Pengertian Sejarah, Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 6.
[2] R. Suntralingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Merican and Sons., Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1985, hlm. 58.
[3] R.G. Collingwood (terjemahan Muhd. Yusuf Ibrahim), Idea Sejarah, Dewan Bahasa danPustaka, Kuala Lumpur, hlm. 2.
[5] Drs. Sidi Gazalba, 1966, Pengantar Sejarah Sebagai Ilmu, Jakarta, hlm. 11.
[8] Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 17.
[9] Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah, Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 41.
[10] Muhd. Yusuf Ibrahim dan Mahayuddin Haji Yahya, Sejarahwan dan Pensejarahan, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 285.
[11] Dunia Sukan, Disember 1987, Utusan Melayu (Malaysia), Sdn. Bhd. Hlm. 16-20.