PENGADILAN MORAL: KES NAZI DI JERMAN

(Sumber: Qasim Ahmad. 1991. Karya Sejarah: Pendekatan dan Persoalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 35-50.)

 

Salah satu persoalan yang kerap dibincangkan dalam penulisan sejarah ialah isu pengadilan moral. Perkara ini selalu menimbulkan kontroversi yang berpanjangan. Secara kasarnya, terdapat dua sikap di kalangan ahli sejarah tentang hal ini. Di satu pihak, terdapat mereka yang mengatakan bahawa pengadilan moral itu tidak patut dilakukan, kerana di antara si pengkaji sejarah dengan pelaku (atau masyarakat) yang dikajinya itu, mungkin terdapat sistem nilai yang berlainan. Dengan kata lain, apabila ahli sejarah itu membuat peng­adilan moral ia mungkin tidak dapat bersikap adil kepada orang atau masyarakat yang dikaji atau diadilinya. Di pihak yang lain pula, terdapat para ahli sejarah yang menyokong pengadilan moral di dalam sejarah. Di antara hujah yang diutarakan bagi mempertahankan pendirian ini ialah seseorang pelaku di dalam sejarah itu ber­tanggungjawab di atas perlakuannya, lantas ia patut dipersalahkan kalau berlaku salah, dan diakui kebaikannya kalau ia berlaku baik. Lagipun, kata golongan ini, kalaulah kita katakan pengadilan moral itu tidak mungkin dikendalikan kerana manusia, atau masyarakat, mempunyai sistem nilai yang berbeza, maka kita seolah-olah mengatakan yang manusia tidak mempunyai apa-apa ciri persamaan. Ini, hujah pihak ini lagi, amatlah sukar diterima. Kalaulah ketiadaan persamaan itu diterima juga, maka, tanya mereka, bagaimana mungkin dijelaskan persetujuan yang sudah diiktiraf (sekurang-kurangnya di dalam pemahaman biasa) tentang apa yang dimaksud­kan dengan "baik", "jahat", "tinggi", "kelabu", dan sebagainya? Atau apakah manusia terpaksa sentiasa mengemukakan definisi apabila mereka menggunakan perkataan-perkataan begini? Lebih penting lagi, barangkali, ialah apakah faktor yang mungkin mem­persatukan manusia dan yang menimbulkan sikap saling mema­hami sesama manusia sekiranya persamaan di kalangan manusia terus dinafikan?

 

Segala yang di atas inilah yang ingin saya bincangkan seterusnya dan saya akan gunakan kes Nazi di Jerman sebagai kes rujukan. Harapan saya ialah agar beberapa aspek dan implikasi daripada isu ini dapat diperincikan dengan lebih jelas lagi.

 

Apakah pengadilan moral? Ringkasnya, pengadilan moral ialah perlakuan menjatuhkan hukuman, ataupun tindakan mengenakan penilaian tertentu terhadap sesuatu peristiwa sejarah atau kepada seseorang pelaku di dalam sejarah. Misalnya, di dalam tulisan seorang ahli sejarah ada dinyatakan sesuatu peristiwa itu tidak baik, Ketua Negara itu bersalah, masyarakat pada masa itu mundur, sistem politik ini tidak progresif dan sebagainya. Pendeknya si penulis atau ahli sejarah itu telah menghukum dan menilai.

 

Dalam kes Nazi di Jerman, di antara persoalan yang selalu timbul ialah bagaimana seseorang ahli sejarah boleh menghukum atau mengadili Adolf Hitler; menilai tindakan Nazi membunuh lebih kurang enam juta orang Yahudi (tua muda, kecil besar, lelaki wanita) di Eropah; dan mempertimbangkan reaksi ketua kaum dan orang awam Yahudi. Bolehkah seseorang itu bersikap berkecuali saja? Apakah masalah yang terlibat? Kalaulah terdapat kesulitan, bagaimanakah pula cara mengatasinya?

 

Lucy Dawidowicz, di dalam bukunya, The War Against the Jews, dengan tegas mengatakan kes pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi - yang juga dipanggil holocaust (bencana) - tidak membenarkan sikap berkecuali" di pihak para ahli sejarah. Oleh itu bukunya, kata Dawidowicz, tidaklah terlerai daripada sistem nilai. Maknanya, bukunya itu turut menjelaskan ada perkara yang baik, ada yang tidak baik, ada orang yang bersalah dan ada orang yang tidak bersalah pada zaman pemerintahan Nazi di Jerman.

 

Setelah mengetahui pendirian Dawidowicz ini, maka tindakan­nya tidak mahu menilai sikap ketua kaum Yahudi yang telah didakwa oleh sesetengah pihak sebagai telah bersubahat dengan Nazi tentulah menarik perhatian kita. Kata Dawidowicz,

 

"Dalam membincangkan perlakuan segolongan kecil pemimpin Yahudi yang telah dituduh melakukan jenayah oleh mereka yang terselamat dan para sarjana, saya telah dipengaruhi oleh pendapat Profesor Herbert Butterfield, yakni ahli sejarah memang tidak mungkin mengetahui manusia secara batinnya. Perkara ini ber­laku sebab ahli sejarah tidak dapat menyiasat lubuk pemikiran dan hati mereka, tempat “pembentukan akhir niat dan garis tang­gungiawab itu" ditentukan."

 

Salah seorang sarjana yang dimaksudkan oleh Dawidowicz ialah Hannah Arendt, seorang sarjana Yahudi Amerika yang terkenal di Barat. Arendt di dalam bukunya Eichmann In Jerusalem: A Report on the Banality of Evil dengan tegas membuat dakwaan seperti yang dikatakan oleh Dawidowicz. Dakwaan Arendt bukanlah ditujukan kepada segolongan kecil pemimpin Yahudi tetapi kepada semua mereka "hampir tanpa pengecualian".

 

Ekoran dakwaan ini, Arendt menyatakan bahawa sekiranya orang Yahudi telah betul-betul tidak diurus dan tidak pula mem­punyai pemimpin, maka nasib mereka tidak mungkin menjadi se­teruk yang telah mereka alami. Huru-hara dan kesusahan mungkin berlaku tetapi mangsa gas chamber (kamar gas) Hitler tidak mungkin meningkat di antara empat setengah hingga enam juta orang. Inilah kebenaran yang sepenuhnya, tegas Arendt.7 Inilah "penyelewengan sejarah", jawab Dawidowicz.

 

Terdapat beberapa aspek perbincangan di atas yang wajar dite­liti lebih halus lagi. Salah satu daripadanya ialah dakwaan Dawido­wicz bahawa ia terpengaruh dengan pendapat Butterfield, Dawido­wicz tidak mahu mengadili pemimpin Yahudi yang dikatakan ber­subahat atau membuat kesalahan tidak melakukan sesuatu untuk menentang Nazi. Prinsip Butterfield yang nampak jelas dipegang oleh Dawidowicz di sini ialah kita tidak boleh membuat keputusan terhadap sesuatu kelakuan manusia tanpa mengetahui isi hati si pelaku itu sendiri. Tetapi, anehnya, Dawidowicz tidak pula terikat dengan pertimbangan begini dalam mengadili orang Nazi.

 

Sikap berbeza Dawidowicz dalam kes Nazi ini, bagi saya, menunjukkan bahawa di dalam keadaan tertentu dalam sejarah, tidak perlu mengetahui niat seseorang, atau sesuatu kumpulan orang, sebelum pengadilan diberikan. Ini kerana perbuatan itu mungkin telah melanggar ciri-ciri hukum moral, sosial dan sebagai­nya yang sudah diterima. Andaian di sini ialah adanya satu kayu ukur pengadilan yang diiktiraf. Apa yang saya maksudkan ialah niat yang suci murni tidak boleh menukarkan perbuatan salah menjadi perbuatan yang tidak bersalah. Memang terdapat perbuatan yang bersifat agak neutral, yakni tidak dengan jelas melanggar ciri-ciri hukum moral yang diiktiraf, lantas pengadilan terhadapnya bergan­tung kepada niat di sebalik pelaksanaan perbuatan itu; dan begitu juga terdapat perbuatan yang nampak baik lahiriahnya, tetapi boleh diadili sebagai tidak baik kerana niatnya.

 

Dalam kedua-dua kes terakhir di atas, pernyataan peri musta­haknya mengetahui niat adalah munasabah. Berkaitan dengan ini, pernyataan Butterfield bahawa kebenaran yang hakiki tentang sesuatu perkara itu "tidak mungkin dihuraikan melainkan pada Hari Pengadilan jua", dapat dimengerti dan diterima. Manusia bukan Tuhan dan dia tidak berupaya untuk mengetahui segala sesuatu. Namun begitu, ketidakupayaan kita untuk mencapai kesempurnaan pengetahuan ini tidak pula melepaskan kita daripada tanggung­jawab membuat pengadilan. Kita terpaksa melaksanakan keadilan menurut ukuran lahiriah, setakat yang mampu dibuat oleh manusia. Perbuatan yang baik secara lahiriah tetap diterima sebagai baik kiranya niat jahat di sebaliknya tidak dapat dibuktikan; perbuatan jahat secara lahiriah tetap diadili sebagai jahat, dan hukuman ke atasnya tidak patut diringankan kalau unsur-unsur tidak sengaja di pihak pelaku atau para pelaku, tidak dapat dibuktikan. Memang terdapat kemungkinan sesuatu peristiwa di dalam sejarah itu tidak dapat diadili kerana ketiadaan bukti yang cukup. Ini serupalah halnya dengan kes masa kini yang tidak dapat dibawa ke mahkamah kerana kekurangan bukti. Masalah kekurangan bukti ini biasanya bukan berkaitan dengan hal untuk menentukan baik buruknya sesuatu peristiwa, tetapi untuk mencari orang yang bertanggungjawab terhadap peristiwa itu. Apabila keadaan ini wujud, maka prinsip yang patut dianuti ialah tidak bersalah melainkan kalau dapat dibuktikan sebaliknya.

 

Timbul persoalan mengapa ahli sejarah perlu memikul tugas sebagai hakim di mahkamah sejarah? Bukankah apa yang baik bagi masyarakat pada suatu masa tidak semestinya pula baik bagi masya­rakat pada masa yang lain pula? Mungkin dikatakan bahawa agak keterlaluan bagi ahli sejarah masa kini menghukum tidak baik amalan masyarakat lain pada masa silam, walhal masyarakat itu sendiri menganggap amalan itu baik, berperanan dan tidak pun membantahinya Mengapa ahli sejarah mesti menjaga tepi kain orang? Bukankah perbuatan ini mencerminkan sikapnya yang mengada-ada, sikap angkuh, sikap memandang rendah pada per-adaban orang lain dan menganggap bahawa ia saja yang baik, betul dan bagus?

 

Saya rasa, persoalan ini dapat dipecahkan jika andaian tentang hakikat kemanusiaan dapat dijelaskan. Pada hemat saya terdapat dua andaian iaitu:

 

Konsep tidak salah, baik, bagus, menggembirakan dan sebagainya itu adalah mutlak, yakni sama saja sepanjang zaman dan bagi seluruh insan; dan kalaupun ada pengecualian yang tertentu masih boleh diberikan garis lingkungan yang nyata; atau konsep tidak salah, bagus, menggembirakan dan sebagainya itu adalah relatif, yakni tidak mutlak.

 

Bagi yang berpegang kepada andaian pertama, maka tuduhan men­jaga tepi kain orang bukanlah merupakan sesuatu yang patut dikesali atau dimarahi. Baginya, tidak menjaga tepi kain orang bermakna tidak menghiraukan nasib orang lain, tidak peduli-mempeduli sesama manusia. Bagi yang berpegang kepada andaian kedua pula maka pernyataan menjaga tepi kain orang tetaplah tinggal menurut pengertian biasa dan perbuatan menjaga tepi kain orang jelas menunjukkan sifat mengada-ada dan segala lain yang tidak baik yang mungkin boleh dikaitkan dengannya.

 

Walau bagaimanapun, bagi saya soal keangkuhan, sikap memandang rendah peradaban orang lain dan anggapan bahawa orang lain semuanya salah, hanya ia saja yang betul, baik dan bagus, patut dipisahkan daripada sifat menjaga tepi kain orang. Dengan kata lain, seseorang yang menjaga, atau mahu menjaga tepi kain orang tidak semestinya mempunyai sifat tidak baik. Sebaliknya, seseorang yang tidak menjaga tepi kain orang pula, tidaklah semestinya bebas daripada sifat ini. Apa yang saya maksudkan di sini ialah peribahasa menjaga tepi kain orang patutlah digunakan tanpa menyiratkan pengertian negatif di dalamnya.

 

Kalau kita amat-amati pembicaraan Butterfield dalam bab "Pengadilan Moral Di Dalam Sejarah", kita sebenarnya tidak boleh mengatakan Butterfield sebagai anti-pengadilan moral, Beliau tidak bersetuju dengan penyalahgunaan tugas pengadilan. Kerapkali juga ia memperlihatkan sikap semacam tawar hati untuk menjalankan tugas ini, (atau untuk mengesyorkan pelaksanaannya), disebabkan beberapa kerumitan yang terlibat. Di antara penyalahgunaan tugas dan juga masalah yang dikemukakan oleh Butterfield ialah:

 

-     Tiap sudut daripada kehidupan manusia itu tidak dapat di­pisahkan daripada soal moral. Tetapi ahli sejarah tidak dapat mengadili manusia pada setiap waktu. Oleh itu pengadilan moral yang dibuat sekali-sekala ke atas sesuatu peristiwa yang dipilih adalah tidak memadai untuk memenuhi hasrat di sebalik tugas ini.

 

-     Pengadilan sering digunakan sebagai alat untuk mendedahkan kesalahan lawan dan menutup kesalahan sendiri atau kawan.

 

-     Pengadilan ahli sejarah adalah di peringkat rendah, yakni peng­adilan yang merupakan bukan pengadilan moral tetapi pengadil­an moral setengah masak.

 

Di dalam kes penyelewengan yang pertama di atas, soal pemilihan kes sejarah yang hendak diadili memanglah sukar hendak dielakkan, seperti sukarnya ahli sejarah mengelakkan diri memilih peristiwa mana dalam sejarah yang mahu ditulisnya, dan peristiwa mana pula yang tidak mahu disentuh, disentuh sedikit, lebih sedikit atau sedikit­-sedikit saja. Terpulanglah kepada ahli sejarah sendiri menentukan kes mana yang paling baik untuk diadili atau ditulis bagi mencapai tujuan yang dianggap sah di dalam penulisan sejarah. Faktor lain, seperti kekurangan atau ketiadaan bahan yang lengkap dan penilai­an tentang kadar kepentingan peristiwa secara keseluruhan turut memainkan peranan di dalam hal ini.

 

Kes kedua dalam senarai di atas menyentuh soal kejujuran, pe­nelitian dan kesediaan ahli sejarah melihat sesuatu peristiwa sejarah itu daripada berbagai-bagai aspek dan sudut pandangan, termasuk kesediaan untuk melihat kelemahan pihak sendiri dan pihak kawan. Kiranya ada ahli sejarah yang tidak ingin berbuat begitu dalam melaksanakan pengadilan moral, maka yang patut menjadi sasaran kritik bukanlah tugas pengadilan moral tetapi ahli sejarah itu sendiri.

 

Kes ketiga adalah berkait dengan kes kedua. Cara mengatasi penyelewengan begini bukanlah dengan melarikan diri daripada tugas pengadilan moral. Kerumitan yang timbul patutlah diselesai­kan dengan memperlengkapkan lagi ahli sejarah dengan kemahiran yang diperlukan, agar pengadilan moralnya tidak hanya dan tidak lagi merupakan pengadilan moral setengah masak.

 

Sebagai rumusan perbincangan setakat ini, saya ingin menekan­kan akibat yang mungkin mengekori sesuatu andaian yang telah disebut sebelum ini, yakni andaian tentang mutlak atau relatifnya sistem moral. Saya juga mahu menegaskan bahawa isu yang dibin­cangkan ini bukanlah hanya mustahak kepada ahli sejarah sebagai ahli sejarah, tetapi lebih penting lagi, kepada ahli sejarah sebagai manusia. Justeru itu, isu ini patut juga dihadapi oleh manusia lain. Ringkasnya, kiranya manusia memang memiliki ciri-ciri moral mutlak yang sama secara keseluruhannya, maka mereka yang ber­pegang kepada andaian sebaliknya, dan bertindak atau tidak bertin­dak bertolak daripada andaian yang berlainan itu sudah tentulah memulakan rantaian peristiwa yang berasaskan sesuatu yang tidak sepatutnya menjadi asas. Sekiranya manusia itu memang tidak memiliki ciri-ciri moral mutlak yang sama secara keseluruhannya, maka seseorang yang membuat andaian yang sebaliknya pula yang melakukan kesalahan yang baru sahaja disebutkan tadi.

 

Apa yang jelas di sini ialah terdapat kemungkinan kerugian pada kedua-dua andaian itu walaupun dalam masa yang sama, kedua-duanya kelihatan juga menjanjikan keuntungan. Kalau kita percaya bahawa salah satu saja daripada dua andaian ini yang boleh dijadikan asas, maka pemilihan menjadi soal pokok. Penyelesaian soal pokok inilah yang akan mewarnai penulisan sejarah. Jawapan­nya akan menentukan sama ada sejarah boleh membuat pengadilan moral di samping menentukan di mana dan bagaimana pengadilan itu patut dibuat. Inilah persoalan yang perlu diselesaikan oleh ahli sejarah sebagai manusia biasa dan juga oleh bukan ahli sejarah yang juga manusia biasa. Rantaian perkembangan peristiwa yang akan berlaku, ekoran daripada pemilihan asas tempat bertolak, merupa­kan perkembangan peristiwa yang akan meninggalkan kesan kepada manusia secara keseluruhannya.

 

Ahli sejarah dan manusia lain menyelesaikan persoalan ini dari sudut yang berbeza-beza. Akibatnya rumusan mereka juga berbeza-­beza. Kadangkala, terdapat juga andaian yang sama tetapi penekan­annya pula yang berlainan. Dua orang, misalnya, mungkin bersetuju tentang adanya ciri-ciri moral mutlak bagi manusia sejagat, tetapi mereka mungkin pula berbeza pendapat tentang had persamaan ciri-­ciri tersebut, atau tentang jenisnya. Perselisihan yang beginilah, dan juga perselisihan tentang unsur-unsur idealisme yang patut ada, atau dilahirkan, di dalam sesuatu masyarakat itu, yang boleh menyebab­kan tumbuhnya perbezaan di dalam pentafsiran. Perbezaan begini patutlah disedari dan diterima kewujudannya. Adalah terlalu idealistik bagi sesiapa pun untuk mengharapkan manusia akan semua­nya bersependapat tentang sesuatu perkara, apatah lagi tentang semua perkara. Walau bagaimanapun, perbezaan sedemikian ini tidaklah patut dijadikan alasan untuk menafi kewajaran pengadilan moral di dalam sej arah. Rumusan begitu tidaklah kena pada tempat­nya.

 

Dawidowicz, melalui buku The War Against the Jews, mengata­kan Jerman sebagai sebuah negara telah melanggar perintah "Thou shalt not murder" (Anda tidak boleh membunuh). Maka mustahil bagi Jerman, katanya, untuk mengambil sikap berkecuali di dalam hal ini. Jelaslah, bahawa peraturan atau perintah jangan mem­bunuh itu telah digunakan oleh Dawidowicz sebagai satu peraturan mutlak yang tidak boleh dilanggar; dan kerana negara Jerman Nazi dan Hitler melanggar peraturan ini maka mereka bersalah. Tidak ada bukti untuk menunjukkan pembunuh-pembunuh yang terlibat itu gila bagi membolehkan mereka dilepaskan daripada pengadilan dan hukuman. Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa per­buatan pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi itu dilakukan kerana tidak sengaja bagi membolehkan bukuman diringankan. Soal kemungkinan perbuatan membunuh telah memainkan peranan dalam konteks pemikiran, sosial, politik dan ekonomi Jerman Nazi, dan sama ada perbuatan itu disukai atau tidak oleh kebanyakan orang Nazi tidak perlu dimasukkan sebagai unsur penilaian atau pengadilan. Kenapa? Kiranya perbuatan membunuh itu berperanan, maka keputusan pengadilan ialah: peranan itu patut dimainkan bukan oleh tindakan pembunuhan, tetapi oleh perkara atau perbuat­an yang lain. Seterusnya, sekiranya orang Nazi Jerman menyukai dasar itu maka keputusan pengadilan ialah mereka menyukai sesuatu yang salah dan oleh sebab itu patut dihukum. Di dalam pembicaraan Nuremberg, salah satu hujah bela ketua-ketua kanan Nazi yang dibicarakan ialah mereka hanya mentaati Fuhrer, Ketua Negara mereka. Kesalahan mereka di dalam hal ini ialah menem­patkan perintah Ketua Negara lebih atas daripada peraturan mutlak moral.

 

Seterusnya kalaulah dihujahkan bahawa di dalam keseluruhan sistem Nazi tindakan pembunuhan itu adalah sesuatu tindakan yang tidak dapat dielakkan, yakni masalah mereka tidak mungkin selesai tanpa tindakan yang demikian, maka di dalam hal yang sedemikian itu apa yang patut disalahkan ialah sistem yang mereka anuti sendiri. Apakah penghukuman ini merupakan satu sikap yang mencermin­kan penilaian tentang adanya satu sistem atau peradaban yang lebih baik daripada yang lain? Jawabnya ya. Jawapan ini ialah kesimpulan yang patut lagi munasabab, seandainya kita telah mengakui adanya ciri-ciri atau peraturan mutlak sejagat. Apakah jawapan ini memper­lihatkan perasaan angkuh, sikap memandang rendah (dalam erti kata menghina) peradaban orang lain dan memperlihatkan sikap "aku saja betul, baik dan bagus"? Jawabnya tentu tidak. Seperti yang telah dijelaskan dalam perbincangan di bahagian awal tadi, perlaku­an menjaga tepi kain orang patutlah dileraikan daripada pengertian negatif.

 

Di sini saya ingin sekali lagi merujuk kepada karya Butterfield. Saya merasa terharu dengan dua kes tentang pengkajian sejarah yang terdapat di dalam penulisan Butterfield. Kes pertama ialah apabila ia menegaskan bahawa tugas mengisahkan Hitler paling sesuai sekali dilakukan oleh ibu Hitler sendiri. Kes kedua ialah apabila ia mengatakan bahawa peranan para ahli sejarah ialah men­ceritakan peristiwa di dalam sejarah itu sejelas yang mungkin. Jadi, segala keburukan di dalam sesuatu peristiwa yang terkutuk itu patutlah diterangkan sejelas-jelasnya. Oleh itu, kiranya sesiapa yang membaca kisah itu mempunyai perasaan perikemanusiaan, mem­punyai peraturan etika, maka dengan sendirinya pembaca akan menghukum jahat sesiapa yang patut dihukum jahat. Sebaliknya, kalau pembaca yang berkenaan memang tidak mempunyai kehalusan perasaan, maka betapa banyak penilaian dan penganalisisan moral yang diutarakan pun, tidak mungkin akan mengusik hatinya. Demikianlah jalan penghujahan Butterfield.

 

Saya terharu dengan contoh pertama kerana menggambarkan bagaimana telitinya Butterfield dalam menekankan bahawa pengi­sahan di dalam sejarah itu patut dibuat berdasarkan sikap simpati, kasih sayang dan pemahaman yang mendalam tentang seseorang atau sesuatu peristiwa dan bukannya berasaskan perasaan benci, sikap endah tak endah dan pemahaman yang cetek. Namun begitu dalam keharuan ini pun saya masih dapat melihat bahawa Butterfield bukan menentang pengadilan moral di dalam sejarah tetapi hanya menentang pengadilan yang tidak baik saja. Soal siapa yang selayaknya mengisahkan riwayat Hitler adalah soal kedua.

 

Dalam contoh kedua, saya terharu kerana Butterfield yang, saya rasa, mahu menjaga rapi unsur keadilan dan kebijaksanaan di dalam pengadilan moral, mungkin telah melakukan kesalahan kerana bersikap terlalu rapi - ia begitu rapi sehingga ia hanya mahu menyerahkan tugas pengadilan itu kepada pembaca saja. Saya bersetuju dengan sebahagian daripada pendapat Butterfield ini. Memang mungkin terdapat kes pembaca yang memang arif: terkilat ikan di air sudah diketahui jantan betinanya. Tetapi tidak semua pembaca berkeupayaan sebegitu rupa. Oleh itu, kadangkala, misalnya, kalau Si penulis percaya yang sesuatu pihak di dalam sesuatu peristiwa sejarah itu patut mendapat simpati daripada Si pembaca, maka ia patut mengemukakan alasan dan hujahnya dengan jelas. Sekiranya alasan begitu masih juga tidak meninggalkan kesan di dalam hati Si pendengar (pembaca) maka Si penulis tidak perlu lagi diburui oleh rasa bersalah atau kesal kerana sekurang-kurangnya ia telah tidak menyembunyikan sesuatu. Mungkin juga Si pembaca tidak menye­tujui alasan dan hujah Si penulis atau kedua-dua mereka mempunyai sistem nilai yang bertentangan di antara satu sama lain. Sekali lagi, persoalan ini berkisar, pada pokoknya, bukan tentang patut atau tidak patut pengadilan moral itu dikendalikan, tetapi bagaimana paling baik persoalan ini boleh dikendalikan. Cara bagaimana paling baik dan patut dilaksanakan tentulah bergantung pada keadaan yang wujud pada sesuatu ketika itu.

 

Sekarang, soalnya ialah bagaimana mungkin seseorang itu mengadili pencabulan pihak Nazi terhadap orang Yahudi? Dalam hal ini, dan berhubung dengan peranan yang telah dimainkan oleh para pemimpin Yahudi sendiri, eloklah kita tinjau pendapat Dawi­dowicz dan seorang lagi penulis Yahudi, yakni Hannah Arendt. Jelas terdapat percanggahan pendapat di antara kedua-dua mereka ini. Dawidowicz mahu membela para pemimpin Yahudi sementara Arendt tidak. Pembelaan yang diketengahkan oleh Dawidowicz berkait rapat dengan masalah niat, yakni persoalan rumit yang telah ditimbulkan sebelum ini.

 

Dawidowicz tidak menafikan yang para pemimpin kaum Yahudi bersubahat dengan orang Nazi. Ia tidak membela mereka dengan penafian ke atas kebenaran hal itu. Pembelaannya adalah disabitkan dengan niat mereka berbuat begitu. Menurut Dawido­wicz, ketua kaum Yahudi telah dilanda oleh satu dilema yang besar. Kes penubuhan Judenrat (Majlis Golongan Tua) di Poland, misal­nya, memperlihatkan masalah ini. Di Poland dan di negara-negara lain yang dikuasai oleh Nazi, kaum Yahudi telah diarahkan untuk menubuhkan Judenrat sebagai badan hubungan di antara pemerin­tah (Nazi) dengan masyarakat Yahudi. Oleh sebab dasar Nazi sudah jelas anti-Yahudi, ketua kaum Yahudi khuatir bahawa penubuhan Judenrat dan penyertaan mereka akan disifatkan sebagai tanda sokongan mereka kepada Nazi. Sebaliknya, kalau mereka tidak menubuhkan Judenrat serta turut menjadi ahlinya, maka kepentingan kaum Yahudi mungkin tidak akan diperhatikan pula, atau orang Yahudi akan diwakili oleh golongan yang tidak bersimpati langsung dengan Yahudi. Bagi Dawidowicz, orang Yahudi dan ketua mereka bergading bahu dengan Nazi, atau tunduk kepada Nazi, semata-­mata kerana terpaksa. Mereka tidak mengharapkan apa-apa keun­tungan secara peribadi.

 

Isu kerjasama Yahudi-Nazi ini juga disentuh oleh Arendt. Arendt menarik perhatian kita kepada satu peruntukan di dalam Pembicaraan Nuremberg, yakni Undang-undang (Penghukuman) ke atas Orang Nazi dan Pembantu Nazi 1950. Bahagian 10 undang­-undang ini membolehkan seseorang yang dituduh itu dibebaskan daripada tuduhan terlibat di dalam jenayah sekiranya ia telah melakukan tindakannya itu "untuk menyelamatkan dirinya dari­pada bahaya maut serta-merta". Bahagian 11 pula membolehkan seseorang membela dirinya sekiranya ia telah melakukan "apa yang paling terdaya olehnya untuk meringankan akibat daripada kesalah­an", atau kalau ia melakukan kesalahan tertentu demi "mengelak­kan akibat yang lebih berat daripada apa yang terjadi." Bagi Arendt, "adalah jelas, Bahagian 10 dan 11 undang-undang ini digubal setelah memikirkan penglibatan pembantu Yahudi dalam keganasan Nazi." Katanya lagi:

 

"Sonderkommandos" (unit-unit khas) Yahudi telah digunakan di dalam proses pembunuhan di merata tempat; mereka telah melakukan perbuatan jenayah untuk menyelamatkan diri dari­pada bahaya maut serta-merta, dan ahli-ahli Majlis serta ketua Yahudi telah bekerjasama kerana mereka fikir mereka boleh "mengelakkan akibat yang lebih berat daripada apa yang telah terjadi".

 

Walaupun Arendt jelas menyalahkan pihak Judenrat kerana dasar kerjasama mereka, namun terdapat juga bahagian-bahagian di dalam bukunya itu yang menerangkan bahawa sebenarnya pendiri­annya tidak jauh berbeza daripada pendirian Dawidowicz. Misal­nya, ia menyatakan di dalam keadaan krisis seperti yang dihadapi orang Yahudi itu"... tidak ada kumpulan atau orang bukan Yahudi telah bertindak dengan cara yang berbeza". Inilah "hakikat yang menyedihkan", tambahnya. Seolah-olah untuk menekankan lagi penegasannya itu, Arendt telah menyebut peristiwa kebangkitan orang Yahudi di Belanda. Akibatnya, 430 orang Yahudi telah ditangkap dan diseksa berbulan-bulan lamanya hingga mati. Kata Arendt, ... setiap orang daripada mereka tentunya telah mencem­burui saudaranya (yang mati di kamar-kamar gas) di Auschwitz dan malahan di Riga dan Minsk juga." Kalau Dawidowicz tidak menyalahkan orang Yahudi dan ketua mereka, maka siapakah yang disalahkannya? Pendirian Dawidowicz boleh kita lihat daripada pernyataannya yang berbunyi:

 

Masa seluruh Fropah rebah terlantar di bawah kekuasaan Jerman, orang Yahudi yang dipenjara di gheto-gheto mempunyai kesempatan yang paling tipis untuk menentukan nasib mereka jika dibanding dengan bangsa atau negara lain".

 

Dengan kata lain, Dawidowicz seolah-olah berkata: kenapa tidak disalahkan kuasa-kuasa Eropah lain yang mengetahui akan jenayah Hitler tetapi tidak bertindak? Apakah Dawidowicz cuba mencari helah untuk “menutup kesalahan... kawan", atau apakah ia mahu mengelakkan “pengadilan moral setengah masak?" Apakah adil bagi Dawidowicz menyeret masuk kuasa-kuasa Eropah lain untuk diperhisabkan sekali di dalam kes ini?

 

Kalau kita bertolak daripada andaian bahawa masyarakat manusia sejagat memang bertanggungjawab ke atas nasib semua ahlinya, (bukan saja daripada segi menentang kezaliman tetapi juga daripada segi menyediakan manusia dan suasana yang tidak mung­kin menimbulkan kezaliman itu), maka tindakan atau sikap Dawi­dowicz itu memang boleh disifatkan sebagai wajar. Penerimaan andaian ini penting dijelaskan sebagaimana penting bagi kita juga menjelaskan penerimaan andaian bahawa manusia itu bertanggung­jawab terhadap tindakannya sendiri. Tanpa menerima andaian babawa manusia itu bertanggungjawab terhadap tindakannya sendiri, pengadilan ke atas tindakan manusia adalah sesuatu yang tidak munasabah. Begitulah juga pengadilan ke atas negara-negara lain, malah ke atas seluruh dunia, adalah tidak munasabah kalau kita tidak menerima andaian tentang hubungan antarabangsa yang di­sebutkan sebelum ini.

 

Memang kita sedar bahawa terdapat sebab-sebab negara Eropah enggan bertindak terhadap pemerintahan Hitler, terutama­nya di peringkat awal. Satu sebab yang sering diketengahkan adalah sama dengan sebab yang diberi bagi menerangkan kenapa orang Yahudi tidak menentang Hitler: untuk mengelakkan bencana yang lebih berat.

 

Apakah di sini kita boleh memaafkan kuasa-kuasa besar Eropah dengan menggunakan hujah yang telah digunakan oleh Dawidowicz bagi membela pemimpin Yahudi? Apakah ini membuktikan kebenaran penegasan Arendt bahawa dalam keadaan krisis seperti yang dihadapi oleh kaum Yahudi, '... tidak ada kumpulan atau orang bukan Yahudi yang bertindak dengan cara berlainan?"

 

Terdapat dua atau lebih individu atau kumpulan yang bertindak dalam bentuk yang sama tidak semestinya menjadikan tindakan itu wajar. Semua sekali mungkin bersalah. Dalam hal ini kita terpaksa kembali kepada perbincangan tentang apa yang kita terima dan tidak terima sebagai sesuatu yang mutlak; untuk kembali kepada sistem nilai:

 

- Kalau kita menganggap bekerjasama dengan kekejaman! musuh, berkecuali terhadapnya atau lari daripadanya sebagai sesuatu yang mutlak tidak baik, maka kita akan tetap menyalah­kan orang Yahudi, Jerman, negara Fropah dan sesiapa sahaja yang terlibat seperti yang disebutkan itu.

 

-   Kalau kita menganggap bahawa bekerjasama dengan keke­jaman/musuh, berkecuali terhadapnya atau lari daripadanya itu adalah sesuatu yang bukan mutlak tidak baik, tetapi ketidakbaik­annya itu tertakluk kepada beberapa pertimbangan tertentu, maka kita terpaksa pula menentukan apakah pertimbangan­-pertimbangan tertentu itu.

 

- Kalau salah satu daripada pertimbangan tertentu kita itu ialah hal-hal yang dikatakan wajar dilakukan demi mengelakkan ben­cana yang lebih buruk maka kita tidak akan menyalahkan kumpulan orang yang terlibat itu kiranya terbukti niat mereka adalah begitu.

 

-         Kalau pengecualian atau pertimbangan tertentu kita ini me­rangkumi juga tindakan yang dilaksana demi menyelamatkan diri dan negara sendiri, maka lebih banyak lagi orang dan negara yang akan dikecualikan atau dibebaskan daripada kesalahan dari tuduhan.

 

Sebaliknya pula, kita mungkin menganggap bahawa berkecuali ter­hadap kekejaman/musuh, bekerjasama dengannya atau lari dari­padanya, adalah perkara yang tidak dapat dimaafkan kecuali per­buatan yang serupa itu di sampingi dengan persediaan, atau usaha menentang keganasan itu. Maka di dalam kes begini perlulah dicari bukti bagi menunjukkan adanya persediaan atau usaha ke arah itu. ini tentu sekali merupakan perkara yang amat rumit. Di dalam sua­sana keganasan yang diranjaui pula oleh satu sistem pengintipan yang menyeluruh, seseorang mungkin mendakwa ia telah sengaja tidak membuat apa-apa persediaan atau usaha (atau sesuatu yang boleh ditafsirkan begitu oleh pihak pemerintah) bagi mengelakkan timbulnya syak wasangka pada pihak pemerintah: Malah, seseorang mungkinjuga membuat hujah bahawa ia bekerjasama dengan kega­nasan (walaupun ia membencinya) dengan tujuan menghapuskan keraguan pemerintah tentang ketaatsetiaannya kepada kerajaan. Dengan kata lain, strateginya ialah untuk kekal hidup dan bertenaga sehingga ke peringkat wujudnya suatu masa dan keadaan yang sesuai untuk menentang dan menghapuskan keganasan itu. Pada masa itu, barulah ia akan menunjukkan belangnya. Di mana kita berada seka­rang? Bagaimana akan kita cari garis pemisah yang membezakan apa yang kita panggil dayus dengan apa yang kita panggil kepintaran? Bagaimana mungkin kita membuat penghakiman sejarah? Di sinilah pentingnya kita mengetahui sama ada terdapat atau tidaknya satu-­satu penetapan mutlak tentang bagaimana sesuatu matlamat itu patut atau boleh diusahakan. Apakah matlamat itu menghalalkan cara, yakni biar apa pun caranya?

 

Sebagai rumusan ingin saya jelaskan sekali lagi bagaimana, peri mustahaknya dibuat penentuan tentang ada atau tidak ukuran mutlak apabila seseorang itu membuat sesuatu penganalisisan sejarah. Kepercayaan seseorang tentang ada atau tidaknya apa yang dipanggil unsur mutlak itu, tanggapan dan juga tindakannya atau ketiadaan tindakan tentu boleh menimbulkan rantaian peristiwa yang tersendiri. Maka begitu juga halnya dengan pendirian ahli sejarah tentang sama ada ia mahu atau tidak mahu mengendalikan peng­adilan moral di dalam penganalisisan sejarahnya. Sikap pro, anti, atau berkecuali di dalam soal ini boleh mengakibatkan rantaian pemikiran atau peristiwa yang tersendiri yang seterusnya akan menimbulkan akibat-akibat lain. Dakwaan ini adalah tidak keterla­luan rasanya, selagi kita percaya bahawa apa yang dipanggil penye­baban itu memang ada memainkan peranan di dalam sejarah dan juga kehidupan. Selain itu, terdapat juga kemungkinan, seperti kata seorang ahli sejarah, "sekiranya yang pakar, cermat dan terlatih gagal untuk menghasilkan pengajaran daripada sejarah, maka yang curang dan tidak terlatih akan melakukannya bagi pihak mereka." Walaupun ahli sejarah patut mengendalikan pengadilan moral, ia tidak semestinya pula merupakan seorang yang ahli atau mampu berbuat begitu. Namun, mengaku tidak mampu tidak semestinya tidak baik. Pengakuan ini memang mungkin menjadikan seorang itu tawar hati dan mengundurkan diri, tetapi boleh juga menjadikan seseorang itu lebih bergiat untuk mengatasi kekurangan, sama ada secara sendirian atau secara berkelompok. Pokoknya, jalan keluar daripada masalah ini bukanlah lari daripadanya "tetapi memper­lengkapkan lagi para ahli sejarah dengan kemahiran yang berkait...." Dan masalah ini perlu dihadapi dan diselesaikan oleh para ahli seja­rah sebagai manusia biasa dan juga oleh bukan ahli sejarah yang  juga manusia biasa".