KRITIKAN SUMBER
Dalam usaha penyelidikan sejarah, biasanya terdapat dua keperluan asas yang harus dimiliki iaitu sumber (sources) dan bukti (evidences) sumber. Seseorang penyelidik sejarah harus memiliki ilmu-ilmu bantu untuk menggarap sumber-sumber tersebut. Oleh kerana itu ilmu sejarah tidak dapat berdiri tanpa sumber atau bukti. Tanpa sumber, tidaklah dapat diketahui sejarah kerana sumber adalah bahan-bahan yang menyediakan bukti berkenaan sesuatu peristiwa yang dikaji.
Istilah 'kritikan' merujuk kepada proses pentafsiran bukti iaitu satu ujian mendapatkan kebenaran. Ia bukanlah satu pendirian secara mental mengenai sesuatu isu. Menurut Marc Bloch, kritikan ialah menguji kebenaran sesuatu sumber kerana berpunca dari kesangsian terhadap fakta. Pendapat ini dipersetujui oleh Collingwood dan menyifatkan kaedah tersebut sebagai 'sejarah kritikal'.
Kritikan sumber juga boleh diertikan sebagai tafsiran sumber, iaitu penilaian untuk mempastikan sesuatu objek (sumber) dan maklumat (data) dalam sumber yang digunakan itu benar ataupun palsu. Dewasa ini, kritikan sumber tidak lagi dipandang sebagai suatu pendirian secara mental yang negatif semata-mata tetapi sebagai satu ujian untuk kebenaran.

Tujuan Kritikan Sumber
Bagi menyempurnakan sesuatu kajian, seseorang penyelidik sejarah perlu mencari sumber-sumber dan bertolak dari andaian bahawa bahan-bahan yang dikutip itu seharusnya diuji kebenarannya. Jadi di sini, penyelidik sejarah tidaklah berperanan sebagai penyalin, perakam atau pemetik maklumat-maklumat sahaja.
Sumber perlu dikritik untuk menentukan ketulenan bukti atau sumber itu. Sesuatu sumber yang diperolehi itu tidak semestinya sumber yang tulen. Pemalsuan ini mungkin disengajakan ataupun tidak disengajakan. Oleh kerana kritikan sumber bertujuan untuk memastikan sama ada yang dikatakan asal sumber itu adalah asal yang sebenar ataupun tidak. Seandainya yang dipercayai, sumber itu tulen, jika tidak, sumber itu palsu.
Kritikan terhadap sesuatu suniber itu mempunyai dua kaedah atau proses utama iaitu, (i) Kritikan Luaran dan (ii) Kritikan dalaman.

Kritikan Luaran
Kritikan luaran dapat dinyatakan sebagai usaha mengesahkan ketulenan atau keaslian sesuatu sumber asli itu. Tugas ini ada berkaitan dengan timbulnya perbuatan memalsukan sumber-sumber. Kritikan luaran dijalankan dengan membuat beberapa persoalan terhadap sesuatu sumber itu iaitu, misalnya (1) bila sumber itu dicatat atau direkodkan? (2) di mana ia dihasilkan? (3) siapa yang menghasilkannya? (4) daripada bahan apa ia dihasilkan? dan (5) dari bentuk apa asalnya ia dihasilkannya?
Sasaran utama kritikan luaran ini adalah untuk menentukan ketulenan dan keaslian (authentic and genuine) sesuatu sumber sejarah itu. Ianya bertujuan untuk mnemastikan sama ada sesuatu sumber itu tulen atau palsu. Beberapa contoh permasalahan yang berkaitan dengan kritikan sumber boleh ditunjukkan seperti berikut:
i. Sesuai dengan sejarah pertumbuhannya sendiri, maka kitab Injillah yang menjadi sasaran kritikan yang utama. Di sini yang menjadi persoalan ialah apakah kitab Injil yang ada sekarang adalah yang tulen (sebenar) atau yang sudah mengalami perubahan dan pindaan di sana sini. Contoh yang terkemuka sekali tentang berlakunya perubahan adalah pada ayat yang dikenali sebagai Comma Johannium atau tiga kesaksian langit menjadi tiga yang menjadi saksi di syurga, iaitu anak, bapa dan roh kudus, maka ketiganya menjadi satu. Menurut Rev. Dr. Charles Francis Potter, ayat ini dianggap suatu pemalsuan yang disengajakan malah untuk kesemua 25 ayat dalam fasal 21 Injil St.john itu yang sunting oleh jemaah penyunting (The Holy Bible, Catholic Edition Revised Standard Version, Nelson, 1966), ditegaskan bahawa fasal ini ditambah kemudian, sama ada seorang penyebar agama Kristian atau oleh seorang murid Nabi Isa s.a.w.
Begitu juga dalam Injil St. Mathews, ditegaskan bahawa agama Kristian hanyalah khusus untuk kaum Yahudi sahaja. Tetapi ini ditolak oleh para penganut Kristian yang menganggap ianya bersifat universal, berasaskan bukti dan Injil St.Mark. Anehnya menurut jemaah penyunting yang sama, dikatakan yang ada kemungkinan St.Mark tidak menulisnya.
ii. Keraguan tentang ketulenan juga timbul dikalangan umat Islam, iaitu di kalangan golongan Sunni dan golongan Syiah. Bagi golongan Sunni, kitab Al-Quran yang ada kini adalah yang sebenarnya, tanpa sebarang penambahan atau pengurangan. Tetapi dalam kitab Al-kafi oleh Al-Kulaini, sebuah kitab yang menjadi pegangan utama golongan Syiah, Al-Quran yang beredar itu hilang sejumlah dua pertiga daripada ayat keseluruhannya (17,000 ayat). Jadi kalau ayat-ayat Al-Quran yang ada kini adalah lebih kurang 6,000 ayat, ini bererti yang dianggap hilang ialah hampir 11,000 ayat.
Golongan Syiah dikatakan mempunyai Al-Quran lain di samping Mushaf Othmani yang ada kini, iaitu Mushaf Fatimah yang menurut Al-Kulaini adalah tiga kali lebih tebal daripada Mushaf Othmani. Bukan sahaja Al-Kulaini, malah Imam Khoemeini juga percaya bahawa Al-Quran yang berada di dalam tangan umat Islam ialah Al-Quran yang sudah diubah, dikurangi atau ditambah.
iii. Perbezaan faham antara golongan Sunni dengan golongan Syiab lebih hebat lagi berlaku dalam persoalan tentang sumber Hadith. Bagi kalangan Sunni, sumber kedua selepas kitab Al-Quran jalah hadith-hadith nabi s.a.w. Dalam rangkaian kitab-kitab hadith yang ada, telah sepakat di kalangan umat Islam bahawa hadith-hadith riwayat Bukhari dan Muslim merupakan yang tertinggi darjat kesahihannya. Kemudian baru diikuti oleh tokoh-tokoh hadith lain seupama Nasai, Tarmizi, Abu Daud dan lain-lainnya.
Tetapi bagi golongan Syiah, selepas kitab Al-Quran (yang berada pada Imam Ghaib), mereka berpegang kepada kitab-kitab lain seperti karya Al-Kulaini tersebut, Al-Razi dan Al-Tusi. Mereka menolak hadith-hadith Bukhari dan Muslim, oleh kerana ia diriwayatkan oleh tokoh-tokoh sahabat yang ditolak dan malah dikafirkan oleh mereka. Samalah halnya dengan kesangsiaan mereka terhadap kitab Al-Quran, oleh kerana ia dihimpun pada zaman Abu Bakar dan Umar iaitu tokoh-tokoh sahabat yang turut menjadi sasaran serangan mereka. Pendek kata, baik Al-Quran mahupun hadith yang mereka terima, hanyalah yang diriwayatkan oleh mereka yang dikatakan sebagai ahli bait, iaitu keluarga Rasullullah.
iv. Kesangsian juga berlaku dalam sejarah falsafah klasik, terutamanya tentang tokoh besar yang dipersoalkan iaitu Socrates. Beliau tidak meninggalkan sebarang tulisan, bagaimana mungkin dapat diketahui riwayat dan pemikirannya yang sebenarnya. Kebanyakkan tentang ketokohannya diketahui daripada anak-anak muridnya, terutamanya Plato. Keterangan daripada Plato lebih dipercayai dalam meriwayatkan hidup dan pemikiran Socrates, Meskipun kesemua sumber yang ada itu masih dipergunakan secara kritikal.
v. Di Nusantara pula masalah ketiadaan nama pengarang sudah menjadi ciri umum dalam teks-teks sastera klasik, baik yang bercorak sastera rakyat mahupun yang bercorak Hindu. Malah sastera Islam pun menghadapi masalah yang sama iaitu tiada nama pengarangnya dan kandungannya pula banyak yang merupakan rekaan dan tambahan kemudian. Contoh, Hikayat Melayu-Islam.
Masalah-masalah seperti inilah yang menjadi bidang garapan kritikan luaran iaitu untuk menentukan ketulenan atau keaslian sesuatu sumber yang tertentu selagi masalah pengarang atau penulisnya yang sebenar tidak diatasi terlebih dulu, sudah tentu kesimpulan muktamad tidak dapat dibuat dalam kajian yang dilakukan. Bukan sahaja Penulisnya, bahkan juga masalah bila, di mana, serta dari bahan apa karya itu ditulis, semuannya harus dikritik agar mendapat kepastian tentang kedudukan sumber yang sebenar.

Kaedah-kaedah dalam Kritikan Luaran
Cara-cara untuk mengatasi masalah kepalsuan sumber-sumber sejarah atau memastikan ketulenan sesuatu dokumen adalah seperti berikut, ujian kimia, ujian bahasa, ujian tulisan tangan, dan ujian bahan-bahan dalam buatan dokumen itu.

Ujian Kimia: Tujuannya adalah untuk menentukan umur atau tarikh sebenar sesuatu dokumen iaitu dari segi keadaan kertas, dakwat dan cap di dalam sesebuah dokumen, yang akan berubah-ubah mengikut peredaran masa. Pakar-pakar kimia boleh memastikan sama ada sesuatu dokumen itu benar-benar dikeluarkan pada masa yang didakwa oleh pihak-pihak yang memilikinya. Sebagai contoh, Manuskrip jurnal yang disimpan oleh Frank Swettenham yang mengandungi catatan dari bulan April 1894 hingga Februari 1876 boleh disahkan tulen oleh seseorang pakar kimia yang dapat menguji sama ada kertas dari dakwat yang digunakan itu sememangnya berumur lebib kurang 100 tahun.

Ujian Bahasa: Ujian bahasa ini adalah untuk melihat ketulenan sesuatu dokumen dengan disahkan melalui bahasa. Sebagaimana yang kita maklum gaya bahasa sentiasa berubah-berubah dari sudut nahu, struktur ayat, ejaan, istilah, tanda baca dan sebagainya. Garraghan pula melihat kepentingan ujian bahasa seperti berikut, Gaya tulisan Latin oleh Livy pada abad yang pertama tidaklah serupa dengan gaya tulisan Latin oleh Einhara pada abad ke-9. Kebenaran hal ini boleh juga dibuktikan jika kita menyemak gaya tulisan Bahasa Malaysia dalam awal tahun 1960an berbanding dengan gaya tulisan masa kini. Malah klasifikasi sekarang pun sudah menjadi Bahasa Melayu. Apa yang ketara ialah perbezaan dalam gaya tulisan Bahasa Malaysia adalah lebih ketara jika kita membandingkan keadaan kini dengan gaya tulisan teks klasik Sejarah Melayu.
Hakikat bahawa tulisan berubah mengikut masa menjadikannya sulit bagi seseorang yang berniat memalsukan sesebuah karya atau dokumen yang didakwa sebagai tua atau lama. Kesulitan ini akan bertambah jika karya atau dokumen yang dipalsukan itu didakwa sebagai tulisan seorang tokoh terkenal seperti Napolean, Bismarck, Lincoln atau Churchill kerana tokoh-tokoh ini mempunyai gaya penulisan yang tidak mudah ditiru orang lain.

Ujian Tulisan Tangan: Ujian tulisan tangan ini hanya dapat dijalankan terhadap dokumen yang ditulis tangan dan bukan ditaip atau dicetak. Sebagaimana diutarakan oleh Garraghan, tulisan tangan adalah mempunyai cirinya yang tersendiri dan pakar-pakar dalam bidang ini boleh mendedahkan perbuatan untuk meniru tulisan tangan orang lain. Misalnya, dalam kes pemalsuan buku harian Hitler, yang termasuk menurunkan tandatangan Hitler pada tiap-tiap muka halaman, para pakar telah menguji ketulenan dokumen-dokumen lain yang ditulis oleh Hitler.

Ujian Bahan-Bahan Yang Digunakan: Akhirnya ketulenan sesuatu dokumen boleh juga dipastikan dengan menentukan sama ada bahan-bahan yang digunakan dalam menghasilkan dokumen itu memang sudah wujud pada masa yang ditarikhkan dalam dokumen itu sendiri. Misalnya, jika dinyatakan kertas yang digunakan sebelum tahun 1150 T.M, boleh dikatakan bahawa dokumen itu adalah palsu kerana pada masa itu hanya kulit kambing digunakan sebagai alat tempat menulis.
Keputusan yang sama juga boleh dibuat tentang sebuah dokumen yang bercetak yang ditarikkan pada tahun 1350, kerana teknik percetakan hanya diperkenalkan pada abad ke-15.
Pemalsuan buku harian Hitler juga dapat dibongkarkan dengan mendedahkan bahawa benang-benang yang digunakan dalam penjilidan buku hanya mula digunakan selepas tahun 1945, iaitu selepas kematian Hitler. Di sinilah timbulnya kepentingan ilmu-ilmu bantu seperti ilmu kimia, arkeologi, numismatik, bahasa atau linguistik dan lain-lain. Dengan kombinasi ilmu-ilmu seperti ini, maka masalah-masalah tentang kepalsuan sumber itu dapat dikurangi, kalaupun tidak dapat diatasi sama sekali.

Kritikan Dalaman
Kritikan dalaman yang dimaksudkan adalah tentang kemunasabahan (credibility) atau perihal boleh dipercayai ataupun kewarasan isi isi kandungan sesuatu sumber itu. Persoalannya, apakah kandungannya itu benar, rasional atau logik. Walaupun dari segi kritikan luaran sumber itu mungkin asli dan tulen, namun jikalau kandungannya tidak munasabab atau tidak waras, tentunya tidak harus dijadikan sumber lagi.
Dari segi asal-usulnya, timbulnya perhatian kepada kepentingan mengkaji sama ada isi kandungannya itu waras atau tidak adalah akibat daripada sikap skeptik kepada kitab-kitab suci, baik Perjanjian Lama (Taurat) mahupun Perjanjian Baru (Injil). Dengan kebangkitan aliran rasionalisme dengan tokoh-tokoh seperti Benedict Spinoza dan Immanuel Kant, lalu timbullah kesimpulan bahawa isi kandungan ini tidak sahih lagi kerana bertentangan dengan akal waras. Dari sinilah terbentuknya aliran Higher Criticism yang mendakwa bahawa isi kandungan Injil adalah bertentangan (contradictory) antara satu sama lain, malah merupakan mitos dan dongengan belaka. Antara tokoh-tokoh aliran ini ialah Jeans Astruc (1684-1776) dan Julius Welhauson (1844-1918). Di samping golongan ini terdapat golongan Deist yang menundukkan Injil di bawah kuasa akal seperti Herbert of Cherbury (1583-1684), Charles Blount (1654-1693),dan John Toland (1670-1722). Juga termasuk Thomas Paine (1737-1809) dengan bukunya yang terkenal, The Age of Reason, serta Thomas Jefferson yang kemudiannya mempersembahkan Injilnya sendiri melalui karya The Jefferson Bible.
Di kalangan para penyelidik nampaknya terdapat perbezaan sikap dalam menghadapi persoalan seperti ini. Jean Mabillon misalnya, lebih menumpukan perhatian kepada ketulenan sumber. Sumber yang tulen dengan sendirinya mengandungi isi yang tulen dan benar. Sebaliknya bagi Fustel De Coulages, yang lebih diutamakan ialah kemunasabahan kandungannya, sama ada sumber itu tulen atau palsu tidaklah menjadi masalah menurutnya.
Dalam usaha menentukan kebenaran atau kemunasabahan sesuatu sumber sejarah, memang diakui masalah subjektiviti pengkajiannya dengan adanya perbezaan sikap dan nilai terhadap sesuatu. Sebab itulah timbulnya konsep nilai yang relatif, iaitu yang berbeza dan berubah-ubah mengikut ruang dan waktu tertentu. Setiap manusia memiliki kepentingannya sendiri, yang dapat berubah-ubah dan malah boleh bercanggah dengan pendirian sendiri sebelumnya. Jika persoalan ini dikaitkan dengan kepentingan politik peribadi, akan lebih jelaslah tentang realiti perubaban nilai ini. Sumber akhbar misalnya, yang dulunya ditolak mentah-mentah kerana kebohongannya, kini diterima sebagai benar dan sahih belaka. Sebabnya adalah kerana dulunya kita berada di dalam kem yang lain, tetapi kini sudah tergolong di dalam kem yang lain atau baru. Entah pada hari keesokannya tiba-tiba pula kembali semula kepada kerm yang asal. Justeru bergemalah semula pekikan atau gelaran 'pembohong' terhadap sumber yang sama.
Sumber sejarah yang objektif, baik pihak akbar maupun fakta-fakta sejarah lainnya adalah begitu tetap sifatnya, tanpa berlaku sebarang perubahaan. Tetapi sikap subjektif manusia yang menilainya sahaja yang berubah-ubah, terutama sekali perubahaan sikap atau sentimen politiknya. Dalam konteks ini memang sukar mencapai kata sepakat terhadap kebenaran sesuatu sumber itu, oleh kerana ia banyak dipengaruhi oleh sikap subjektif penyelidiknya.
Jika kebenaran itu diukur berdasarkan pemikiran subjektif para penyelidik sejarah terhadapnya, nescaya nilai sesuatu sumber 'partisan' atau beraliran politik tertentu akan meletakkan sumber tertentu sebagai benar dan penting, sedangkan yang beraliran politik yang lama pula akan mengganggap sumber berkenaan sebagai tidak benar dan tidak penting. Sebab itu penyelidik sejarah yang adil seharusnya memerhati realiti dan hakikat ini, agar kajiannya benar-benar adil dan tidak berat sebelah (bias). Kalau kelihatan berat sebelah, ia merupakan rumusan atau kesimpulan yang berasaskan data dan fakta-fakta yang kukuh dan sahih.
Dalam usaha mencari kesepakatan nilai terhadap sesuatu sumber itu, pernah diusulkan agar kebenaran dan kemunasabahannya diukur berdasarkan lunas-lunas rasionalisme dan naturalisme. Persoalannya, sekira fakta-fakta sejarah itu tidak bertentangan dengan hukum-hukum akal, maka ia dapatlah diterima sebagai benar dan munasabab. John Tosh mengatakan bahawa;
Once historians have become immersed in the sources of their period and have mastered its characteristic turn of phrase and appropriate technical vocabulary, questions of meaning are unlikely to worry them very often.

Collingwood mengatakan bahawa tindakan manusia yang rasional yang mempunyai dua unsur iaitu luaran dan walaupun demikian penyelidik sejarah tidak berminat mengkaji tindakan peribadi manusia yang lahir daripada naluri makan, minum, kegiatan seks dan sebagainya. Unsur luaran ialah tindakan lahiriah manusia itu. Contohnya, tindakan Si Puntum menikam Birch yang sedang mandi itu. Manakala dalaman ialah unsur fikiran iaitu apa yang difikirkan oleh Puntum ketika dia hendak membunuh Birch.

Kepentingan Kritikan Sumber
Kritikan sumber ini sangat mustahak kerana wujud usaha-usaha memalsukan sumber. Ia dapat membantu dalam menentukan keaslian dan kesahihan sesuatu sumber. Oleh itu seorang penyelidik perlulah mempunyai sikap yang lebih kritis terhadap sesuatu sumber dan tidak sekadar menyalin, merakam atau memetik maklumat yang disampaikan oleh sumber-sumber. Benedetto berpandangan bahawa penyelidik sejarah seharusnya mengkritik dan membandingkan sumber-sumber supaya dapat memberikan maklumat yang benar. Aktiviti kritikan sumber ini akan mengelakkan penggunaan sumber-sumber yang tidak sahih dan menghasilkan kajian yang benar.
Kritikan sumber ini amat mustahak untuk mengelakan pemalsuan. Terdapat beberapa motif mengapa seseorang melakukan pemalsuan adalah seperti berikut;
i) Untuk keuntungan kewangan
ii) Kerana keangkuhan kesarjanaan
iii) Kerana cemburu
iv) Kerana kepentingan parti
v) Kerana kegiatan keagamaan yang tidak berperaturan.
vi) Untuk mencari nama dengan melakukan kejahatan.
Pada zaman Peralihan (Renaissance) terdapat banyak kerja yang dipalsukan dengan tujuan mengejar publisiti dan kemasyhuran boleh dikatakan setiap zaman mempunyai masalah ini. Kritikan sumber bukan sahaja bertujuan memastikan kebenaran bukti tetapi juga mencari maklurmat tambahan yang tidak disediakan secara nyata oleh saksi (sumber). Kritikan sumber juga penting kerana ia membantu mengelakkan kekeliruan fakta. Ia membantu penyelidik sejarah memastikan sama ada kajian-kajian lepas itu seratus peratus benar atau bercanggah. Kemudian barulah penyelidik dapat menghasilkan suatu penulisan yang tulen dan benar seperti kata Ranke bahawa sejarah adalah suatu yang harus dikaji seperti yang sebenarnya berlaku).
Kritikan sumber juga penting untuk menentukan sama ada sesuatu sumber itu adalah lama atau masih muda. Dengan kritikan, seseorang penyelidik dapat membuat analisis sesuatu yang tidak dipaparkan secara nyata dalam sumber-sumber.Collingwood mengatakan bahawa sumber dalain sejarab segai berbisu dan penyelidik sejarah perlu menggarapnya untuk mendapatkan idea yang jelas mengenai perstiwa yang telah berlaku.
Setiap kenyataan mestilab disangsikan terlebih dahulu. Penyelidik sejarah tidak seharusnya menerima bulat-bulat sesuatu kenyataan itu walaupun telab dipercayai oleh orang ramal atan telahpun dibuktikan benar oleh orang lain. Seperti kata Longlois dan Seigojos, penyelidik sejarah mestilah bermula dengan Methodical doubt (kesangsian metode), iaitu semua yang disahkan seorang penyelidik sejarah perlulah diteliti dengan kaedah yang lebih teliti. Penyelidik sejarah haruslah sentiasa sangsi terhadap sesuatu sumber yang diperolehinya sebelum merealisasikannya.
Secara keseluruhannya, dapatlah dinyatakan bahawa kritikan sumber merupakan satu aspek penting dalam penyelidikan sejarah. Kritikan sumber ini secara langsung atau tidak lansung dapat menghasilkan sesuatu dokumen atau karangan sejarah yang tulen dari segi sumber. Jadi di sini sesuaatu sumber itu dapat dinyatakan kebenarannya sama ada tulen atau tidak. Kepentingan kaedah kritikan sumber kepada seorang penyelidik sejarah amat bermakna agar sumber-sumber yang digunakan itu betul-betul tulen dan tidak bercanggah atau palsu.