TAFSIRAN SEJARAH

 

Konsep Tafsiran

Secara amnya dari segi konsepnya, tafsiran membawa erti sebagai penerangan, penjelasan, ulasan, taksiran, malah kajian terhadap sesuatu keadaan, peristiwa atau kejadian yang pernah berlaku. Pentafsir atau jurutafsir adalah dikatakan sebagai 'orang yang membuat penjelasan mengenai apa-apa yang tersurat’. Di dalam sejarah apa yang ditafsirkan ialah peristiwa yang telah pemah berlaku pada sesuatu ketika yang telah lalu yang sumber-sumber mengenainya masih lagi boleh didapati. Bagi sejarawan moden, khususnya dari dunia Barat yang berpegang kepada nilai sekularisme, landasan yang asasi bagi pentafsiran sejarah itu adalah berasaskan kepada konsep sekular itu jua. Ertinya mereka menolak tafsiran yang didasarkan kepada unsur-unsur ketuhanan dan keagamaan kerana pada pandangan mereka tafsiran seumpama itu adalah lemah dari segi kesejarahannya, disebabkan kerap tidak disertakan dengan sumber yang nyata. Konsepsi ini sebenarnya telah menjalar ke seluruh dunia dan bidang-bidang keilmuan yang lain juga terperangkap dengannya.

 

Lantas konsepsi pensejarahan moden itu adalah suatu konsepsi yang seluruhnya sekular dan dengan demikian landasan-landasan bagi tafsiran-tafsiran sejarah yang mereka lakukan juga berpokok-pangkal kepada pegangan yang demikian, misalnya dari sudut ideologi Marxis, ataupun dari sudut evolusi dan alam semulajadi semata-mata, serta dari sudut manusia akal fikiran serta tindak-tanduknya. Mereka tidak lagi mentafsir sesuatu peristiwa itu dari sudut tindakan Allah Yang Maha Berkuasa, umpamanya dari sudut malapetaka, ataupun laknat-laknat yang diturunkan oleh Allah ke atas manusia kerana kesumbangan, kesombongan kedurjanaan dan keengkaran manusia itu.

 

Walau bagaimanapun, tafsiran itu sendiri seperti yang telah disentuh tadi pada asasnya, bererti menerangkan sesuatu peristiwa sejarah itu dengan berdasarkan sumber-sumber yang berkaitan dengannya. Seboleh-bolehnya seseorang sejarawan itu akan cuba menerangkan peristiwa yang dikajinya itu seperti sebenamya berlaku. Tetapi ini adalah suatu yang mustahil dicapai, ertinya sesuatu yang tidak dapat dilakukan sepenuhnya. Oleh kerana itu tidaklah menjadi kehairanan jika sesuatu peristiwa itu ditafsirkan dengan cara yang berbagai, serta dari berbagai sudut pandangan atau analisis sejarah, oleh berbagai-bagai sejarawan. Tetapi ini juga bukanlah bererti dengan sesuka hati sahaja. la tetap terikat dengan sumber-sumber yang berkaitan dengan peristiwa yang akan ditafsirkannya itu. Ertinya sumber-sumber itulah yang menjadi landasan kepada pentafsirannya.

 

Sejarah Perkembangan Tafsiran

Dari segi sejarah perkembangannya, pentafsiran sejarah itu telahpun dilakukan oleh manusia sejak zaman-berzaman lagi. Sambil seseorang itu menulis, ataupun memerhati dan mengamati sahaja, seseorang itu juga boleh dianggap sedang mentafsir akan sesuatu itu. Tetapi secara lebih tegas lagi, proses mentafsir sejarah itu telah dilakukan sejak adanya penulisan yang boleh dianggap sebagai pensejarahan. Herodotus, sejarawan Yunani yang terkenal itu misalnya, telah mentafsirkan Perang Parsi dengan begitu panjang lebar. Thucydides, juga seorang sejarawan Yunani purba, telah mentafsirkan Perang Pelopponesia. Begitu jugalah Tun Seri Lanang, telah mentafsirkan Empayar Melayu Melaka melalui Sulalatus Salatin dan Raja Ali Haji mengenai Empayar Johor-Riau dan peranan orang Bugis melalui bukunya yang berjudul Tuhfat al-Nqfis. Demikian jugalah halnya dengan beberapa sejarawan yang lain, yang muncul di dalam berbagai peradaban dunia sejak zaman berzaman lagi, seperti pada zaman kegemilangan Islam, Zaman kewangsaan China, ataupun pada Zaman Pertengahan di Eropah.

 

Tetapi, jika diukur dari sudut takrif pentafsiran sejarah yang kita amalkan pada ketika ini, maka terdapatlah beberapa kepincangan serta kekurangan di dalam hasil usaha sejarawan tradisi itu. Bagaimanapun beberapa sumbangan mereka itu sangat bemas dan masih boleh diterima kebenarannya hingga ke hari ini. Lantas nama dan sumbangan mereka itu terus menerus disebut serta diperkatakan. Antaranya ialah Abu Zaid Abdul Rahman Ibnu Khaldun, atau yang lebih terkenal dengan panggilan Ibnu Khaldun sahaja. Sumbangannya begitu bernas sekali sehingga Arnold Toynbee, sejarawan Inggeris yang ternama pada kurun kedua puluh ini mengakui bahawa sejarawan Islam kurun ke 14 telah "merumuskan satu filsafat sejarah yang sudah pasti merupakan satu karya yang paling agung di antara yang pernah diciptakan oleh minda sesiapapun juga pada bila-bila masa dan di mana jua." Namun demikian dari segi proses mentafsirkan peristiwa yang mereka kaji, masih juga ternyata keadaannya tidaklah sejelas dan sejitu seperti yang terdapat pada hari ini. Bagi kita kini, tafsiran ataupun penerangan yang objektif itulah yang menjadi matlamat seseorang sejarawan yang tulen. Sesebuah karya sejarah itu hanyalah dianggap berjaya sekiranya sejarawan yang berkenaan telah dapat menghasilkan sebuah pensejarahan yang mengandungi tafsiran yang dianggap objektif.

 

Tafsiran Objektif

Tetapi, apakah ataupun bagaimanakah hasil karya pensejarahan yang dikatakan berupa tafsiran objektif itu? Pada asasnya ia adalah suatu penulisan yang merupakan tafsiran ataupun penerangan terhadap sesuatu peristiwa sejarah dengan berdasarkan kepada sumbernya yang masih kekal. la bukanlah penerangan yang sewenang sahaja, yang tidak memerlukan pembuktian yang kukuh terhadap kebenarannya. Penerangan ataupun tafsiran itu haruslah dilakukan melalui proses penyelidikan sejarah yang kritis itu. Seterusnya hasil yang dianggap objektif itu haruslah dapat dipertahankan kebenarannya, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu sehinggalah terdapat pula suatu penerangan yang lain yang mungkin memaparkan kelemahan dan juga kesilapan tafsiran yang mula-mula tadi. Lantas seolah-olah penulisan yang objektif itu sesuatu yang sementara sahaja, iaitu sementara menunggu munculnya pentafsiran dan pembuktikan yang baru atau yang berlainan pula. Tetapi, kita janganlah tersalah anggapan bahawa tafsiran yang baru atau berbeza mahupun yang bersifat alternatif itu boleh pula dilakukan dengan sewenang-wenangnya sahaja. la adalah suatu usaha ilmiah yang proses kaedahnya adalah menyerupai proses yang menghasilkan tafsiran yang objektif tadi.

 

Kita juga jangan salah anggap bahawa pengertian sementara itu merujuk kepada suatu jangka waktu yang singkat dan tetap, misalnya sebulan, enam bulan, setahun ataupun tiga tahun. Di dalam pengkajian sejarah jangkawaktu "sementara" itu tidaklah semestinya bermaksud demikian, ia tidaklah tetap dan sebenarnya tidak boleh ditetapkan. Waktu yang sementara itu mungkin bererti setahun, tiga tahun, sepuluh tahun, mahupun sekurun, dan adakalanya enam bulan sahaja. la bererti menunggu sehinggalah timbulnya suatu kajian dan tafsiran baru ataupun yang lain mengenai sesuatu peristiwa yang sama itu. Tafsiran yang baru itu haruslah dapat menunjukkan kesilapan (jika ada) dan kelemahan tafsiran yang lama tadi. Sehingga tafsiran yang baru itu dapat dilaksanakan, maka tafsiran yang telah dilakukan itulah yang biasanya akan terpakai dan terus dianggap objektif.

 

Dalam hal melihat konsepsi objektif itu pula, ciri yang pertama yang harus dipertimbangkan ialah seseorang sejarawan haruslah sudah memahami dan mengamalkan proses penyelidikan yang kritis lagi sistematik dalam menghasilkan pensejarahannya. Proses itulah yang akan memandunya di dalam usaha penyelidikan dan menghasilkan karyanya. Dalam proses tersebutlah ia akan mendapatkan serta menggunakan sumber yang utama (dan jika boleh asli) dan benar dan bukan sumber yang diselewengkan ataupun dipalsukan. Seterusnya ia haruslah memeriksa, mengkaji dan menganalisis sumbemya itu dengan kritis danjujur. Usaha ini adalah untuk menentukan keaslian serta menentukan maklumat serta fakta yang diperlukan dan juga penerangan yang berkaitan dengan fakta-fakta itu sendiri. Kemudian barulah ia melakukan tafsirannya, iaitu menerangkan sesuatu peristiwa yang berkenaan. Sepatutnya, pentafsiran atau penerangannya itu mestilah dilakukan dengan fikiran yang terbuka, iaitu dengan berpandukan sumber semata-mata dan bukannya didasarkan kepada ideologi, motif dalam diri, desakan-desakan, memenuhi permintaan seseorang dan sebagainya yang akan menyebabkan sesuaatu penulisan sejarah itu cacat dan dianggap tidak objektif. Ibnu Khaldun (1332-1406) ahli fikir sejarah Islam yang agung itu pemah menyenaraikan lapan atau sembilan perkara yang boleh menyebabkan penulisan sejarah, ataupun pentafsiran sejarah itu terseleweng. Perkara-perkara itu ialah, semangat parti, terlalu yakin terhadap sumber sendiri, menulis untuk memperoleh kasih dan membesar-besarkan lebih dari sesungguhnya, tidak faham akan peristiwa yang dimaksudkan, yakni tidak dapat menangkap erti yang sebenar-benamya daripada apa yang telah dilihat atau didengamya, kepercayaan yang berlebih-lebihan terhadap kebenaran sumber keterangan kita, tidak mampu menempatkan sesuatu kejadian itu dalam hubungannya yang sebenar dengan tepat, kejahilan tentang hukum yang menguasai perubahan masyarakat manusia, sikap tidak menghiraukan perubahan yang terjadi pada keadaan alam dan manusia dengan berlalunya waktu dan bertukarnya masa.

 

Pandangan Ibnu Khaldun ini memanglah bernas dan merupakan suatu landasan yang paling baik bagi menghasilkan sesebuah karya sejarah yang sepenuhnya objektif. Ini ialah kerana motif utama yang harus dipegang oleh sejarawan di dalam usahanya mentafsirkan sesuatu peristiwa itu ialah mewujudkan kebenaran sejarah dan bukannya tujuan peribadi dan sebagainya tadi yang boleh pula menyebabkan penulisan itu menyeleweng. Namun demikian, kebenaran sejarah yang terdaya dihasilkan oleh sejarawan itu bukanlah sesuatu yang seratus peratus objektif, ataupun seperti sebenarnya ia pernah berlaku, seperti keadaan di bidang sains jati. Sejarawan bukanlah melakukan, ataupun melakukan kembali sepenuhnya akan sesuatu peristiwa yang sedang dikajinya itu. Sebaik-baiknya, seperti yang dinyatakan oleh R.G. Collingwood, ia hanya dapat melakukan ataupun memikirkannya kembali ke dalam akalnya akan peristiwa masa lalu yang sedang dikajinya. Di bidang sejarah, sesuatu peristiwa itu dikaji melalui sumber, bertulis dan tidak bertulis, yang masih kekal mengenai peristiwa itu. Oleh itu, sejarawan tidaklah lagi berupaya untuk mewujudkan semula ataupun mengembalikan sesuatu peristiwa yang dikajinya itu seperti asalnya.

 

Sejarawan Dipengaruhi Nilai Budaya

Tambahan lagi, sejarawan itu pula tidaklah dapat membebaskan dirinya dengan sepenuhnya dari pengaruh zamannya, masyarakat serta nilai-nilai budayanya. Sedikit sebanyak unsur-unsur ini akan mempengaruhi usaha penyelidikannya, malah, mempengaruhi hasil penyelidikannya atau tafsirannya. Dalam perkataan lain, sejarawan itu bukanlah seorang insan yang boleh berdiri dari luar nilai-nilai budayanya dengan sepenuhnya. Contoh yang jelas bagi kita ialah sejarah tanah air kita sendiri khususnya dari penulisan yang begitu banyak dihasilkan oleh penulis Barat yang kebanyakan menekankan peranan orang Barat sahaja. Sungguhpun kita tidak menafikan tentang pentingnya peranan orang Barat dalam sejarah Tanah Melayu khasnya, dan rantau Asean ini amnya, tetapi ia di samping itu kita harus juga sedar bahawa orang tempatan pun memainkan peranan yang penting semasa orang Barat itu berkeliaran di sini. Malah bagi kita, orang tempatan itulah yang memainkan peranan yang lebih penting daripada orang asing tadi.

 

Tafsiran Yang Dipesongkan

Bagi tafsiran yang menekankan peranan pihak penjajah Barat itu kita wajib pula bertanya selanjutnya, apakah tafsiran mereka itu objektif, ataupun semata-mata demi memenuhi sesuatu kepentingan mahupun tuntutan? Jika kita halusi setengah-setengah tafsiran daripada mereka itu, maka kita akan dapati beberapa pandangan yang agak sengaja mereka pesongkan untuk kepentingan politik mahupun ekonomi malah budaya mereka. Umpamanya cuba kita perincikan penerangan mereka terhadap peristiwa tahun 1874 yang sangat masyhur itu. Bagi mereka tarikh ini dikenali sebagai tarikh bermulanya pertukaran dasar Inggeris daripada tidak campurtangan kepada campurtangan di dalam negeri-negeri Melayu. Apakah yang menyebabkan dasar tidak campurtangan itu, jika istilah ini boleh kita terima, bertukar atau ditukar? Mengikut penerangan mereka, ada dua sebab yang terpenting yang membawa kepada pertukaran dasar itu.

 

Pertama disebabkan oleh apa yang dilaporkan sebagai huru-hara yang dahsyat yang berlaku di dalam negeri-negeri Melayu pada ketika itu, malah dikatakan berlaku di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Keadaan huru-hara ini dikatakan telah menyebabkan pemiagaan orang Inggeris dan tauke-tauke, khususnya yang tinggal di Negeri-Negeri Selat, terganggu dan terjejas. Malah para pedagang ini, Cina dan juga Inggeris, pernah menghantar surat rayuan supaya pihak berkuasa Inggeris mengambil alih pemerintahan negeri-negeri Melayu. Seorang pemimpin kaum Cina di Larut pernah menyuarakan bahawa "apabila bendera Inggeris berkibar di Perak, maka setiap orang Cina akan melutut dan bersyukur kepada Tuhan." Oleh itu, ringkasnya adanya orang Inggeris di sini, sepertimana juga orang Cina, hanya untuk bemiaga dan oleh kerana berlakunya kekacauan dan sebagainya itu, maka kegiatan serta perkembangan pemiagaan merekapun terhalang.

 

Sebab yang kedua ialah, seperti yang pernah disuarakan oleh Frank Swettenham, orang Inggeris merasa kasihan dan bersimpati terhadap keadaan kacau-bilau yang melanda Tanah Melayu pada ketika itu. Oleh itu mereka haruslah melakukan sesuatu untuk menolong mengaman serta memulihkan keadaan tersebut.

 

Sebenarnya kedua-dua sebab yang dikemukakan itu berdasarkan kepada kejadian yang timbul pada satu pihak sahaja pada ketika itu, iaitu pihak Tanah Melayu. Dan mereka "lupa" pula untuk menggambarkan atau menyatakan keadaan yang berlaku di pihak yang satu lagi, iaitu pihak negara mereka sendiri dan juga Eropah secara amnya. Jika diambil kira pergolakan politik dan ekonomi di England sendiri, maka nyatalah bahawa sedikit sebanyaknya penukaran dasar itu ada kaitannya dengan pergolakan tersebut. Rupert Emerson, misalnya mengatakan bahawa campurtangan Inggeris yang membawa kepada penguasaannya ke atas Tanah Melayu adalah sebahagian daripada kemaraan semangat imperialismenya yang baru. Bahana kemaraan ini bukan sahaja dirasakan di Tanah Melayu, malah di bahagian-bahagian dunia yang lain misalnya di Afrika Barat. Dan Britain bukanlah satu-satunya kuasa yang sedang berkecimpung mencari dan meluaskan tanah jajahannya, boleh dikatakan semua negara Barat berlumba-lumba untuk berbuat demikian. Keadaan di England sendiri pada ketika itu sibuk sekali dengan perkembangan perindustriannya, iaitu sejak berlakunya apa yang mereka istilahkan sebagai Revolusi Perindustrian sejak kira-kira tahun 1760. Revolusi ini, yang tiddak menumpahkan darah sesiapapun, mengakibatkan perubahan yang besar di dalam kehidupan mereka sehari-hari. Menjelang waktu itujuga, nilai dan unsur-unsur kehidupan kerohanian yang berlandaskan keagamaan, yang telah dipersoalkan sejak zaman Renaissance lagi, telahpun diketepikan sebahagian besamya. Nilai-nilai rohaniah itu digantikan pula oleh nilai keduniaan, ataupun sekularisme yang didasarkan kepada konsep individualisme dan kehendak kebendaan yang lebih dari yang diperlukan, kononnya untuk menambahkan lagi keselesaan hidup ini. Kehendak-kehendak kebendaan inilah yang cuba dipenuhi oleh revolusi tersebut, iaitu sesuai dengan berlakunya pertukaran nilai yang sangat radikal itu.

 

Jadi, niat yang utama dan pertama mendapatkan tanah jajahan, ataupun memperluaskan kuasa bukanlah demi kemanusiaan, tetapi untuk mengembangkan kuasa serta mendapatkan kawasan yang boleh menghasilkan berbagai-bagai bentuk bahan mentah yang akan digunakan bagi mengisi revolusi yang melambangkan perubahan nilai kehidupan tadi. Negara yang telah dikuasai atau dijajah itu akan dapat pula dijadikan pasaran untuk menjualkan barang perkilangan yang telah dihasilkan dari bahan mentah yang didatangkan dari kawasan tersebut juga. Kedua-dua faktor ini adalah kehendak dasar pihak Inggeris sekiranya ia mahu Revolusi Perindustrian yang telah diasaskan itu memberikan keuntungan yang lumayan pula kepada mereka. Pada ketika itu juga Tanah Melayu telah mula mendapat perhatian daripada kuasa-kuasa lain seperti Perancis, Jerman dan dan tidak ketinggalan pula Rusia, malah sejak awal tahun 1870an, sebuah syarikat Jerman dikatakan telah pergi Kelantan untuk mencuba mendapatkan sesuatu dari pemerintah di situ. Langkah syarikat Jerman itu rupa-rupanya menyebabkan pihak Inggeris menjadi cemas, mereka perlu melakukan sesuatu agar mereka tidak terlambat. Akhimya, mereka menukar dasar mereka, iaitu bermula dari 20 September, 1873, walaupun kira-kira, dua bulan seblum itu mereka masih berkeras ingin mengekalkan dasar tidak campurtangan tadi.

 

Suatu perkara hakiki yang benar-benar menolak faktor kemanusiaan tadi ialah hakikat Inggeris tidak meninggalkan Tanah Melayu setelah mereka kononnya dapat mengembalikan keamanan di sini. Dilihat dari segi ini nyatalah bahawa faktor kacau-bilau itu hanyalah suatu helah bagi pihak Inggeris untuk menjajah Tanah Melayu. Begitulah juga dengan faktor kemanusiaan tadi, ia hanyalah suatu faktor yang ditambah kemudian, yang kebetulan bersesuaian pula dengan keadaan yang berbangkit pada saat-saat penukaran dasar itu. Dengan demikian, mereka telah dapat mengkaburkan motif serta hasrat mereka yang sebenar. Dari segi konsep pentafsiran sejarah, maka ini bolehlah kita anggap sebagai suatu contoh pemesongan yang dilakukan atas sesuatu motif yang tertentu. Mengapakah gambaran yang terpesong ini berlaku, mahupun dilakukan?

 

Pemesongan Kerana Motif Dalam Diri

Sebagai jawapan yang mudah kita boleh mengatakan bahawa pemesongan itu dilakukan kerana motif dalam diri mereka yang ingin mengekalkan kekuasaan mereka dengan memperkecil-kecilkan keadaan dan tokoh-tokoh tempatan. Walaupun seseorang sejarawan itu memanglah dianggap sebagai mempunyai kebebasan untuk mentafsir ataupun menerangkan sesuatu peristiwa itu mengikut pandangan masing-masing, misalnya dari sudut ekonomi, politik, kemasyarakatan, ideologi dan sebagainya tetapi dia tidaklah pula boleh mentafsirkan sesuatu peristiwa itu semata-mata dengan mengikut kehendak hatinya sahaja. Misalnya dengan memuatkan pengadilan moralnya sendiri, menilai sesuatu peristiwa itu dari sudut nilai budayanya, mencampuradukkan fakta dengan imaginasi serta khayalannya dan memuatkan hujah yang berbentuk logik atau falsafah. Suatu perkara penting yang hams diperkirakannya sebelum dia memberikan tafsirannya ialah sumber yang berkaitan. Bagaimananakah misalnya seseorang sejarawan itu boleh mentafsirkan peristiwa Pemberontakan Pahang 1891-1895 itu dari sudut ekonomi, jika sumber yang menyatakan demikian tidak ada? Yang ada mungkin yang mengatakan dari sudut politik sahaja?

 

Oleh itu sejarawan tidaklah boleh membuat tafsirannya dengan sesuka hati, atau semata-mata menurut imaginasinya sahaja. la terpaksa mempertimbang dan menyelidiki sumber-sumbemya terlebih dahulu. la tidak boleh, malah ia sebenarnya tidak berdaya, untuk memberikan tafsirannya sebelum ia mengkaji sumber-sumbernya. Ini adalah suatu perbuatan yang sumbang, kalaupun tidak songsang! Walaupun ini mungkin, dan pernah dilakukan, iaitu misalnya dengan seseorang itu menetapkan dahulu pandangannya dan kemudian barulah ia berusaha mencari sumber-sumber bagi membukti serta membenarkan pandangannya itu, tetapi ini suatu amalan yang merbahaya serta bertentangan dengan tuntutan kaedah keilmuan sejarah itu sendiri. la mungkin boleh dilakukan di dalam sains jati, di mana sesuatu pendapat, ataupun teori, itu kemudiannya boleh dibuktikan melalui ujian-ujian amali makmal yang berdasarkan bahan-bahan mentahnya yang boleh didapati. Di dalam sejarah pula, sumber-sumber itulah yang menentukan tafsiran dan bukan sebaliknya. Jika sebaliknya, maka akan timbullah bahaya kemungkinan berlakunya perbuatan menyalahkan yang benar dan membenarkan yang salah, yang bukan sahaja menyebabkan berdosa, jika ditinjau dari sisi agama tetapi mungkin menyebabkan berlakunya ekoran yang buruk terhadap sesuatu pihak yang berkaitan. Sungguhpun sejarah adalah suatu bidang yang kerap dianggap sebagai subjektif, tetapi ia tidaklah seharusnya diselewengkan sehingga demikian.