KONSEP RELATIVITI DALAM PENSEJARAHAN

 

Di samping persoalan Objektiviti dan Subjektiviti dalam pensejarahan, terdapat satu persoalan lain yang timbul dalam penelitian sejarah, iaitu konsep Relativiti. Konsep ini didokong oleh tokoh-tokoh seperti Fritz Stern, R.V. Daniels dan J.L.Gaddis dan E.H.Carr dari England. Mereka digelar relativis, iaitu sebagai berbeza dari objektivis dan subjektivis tadi.

 

Isitilah ‘relativiti’ timbul daripada kata dasar ‘relatif’ yang bermaksud saling perkaitan atau yang berhubungan antara satu sama lain. Sebenarnya, konsep ini adalah hampir serupa dengan konsep Subjektiviti. Kedua-duanya adalah dua perkara yang sangat rapat pula kaitanya dengan diri, pendirian, sudut pandangan, ideologi, orientasi dan budaya seseorang sejarawan. Dari segi ini, sejarawan itu boleh menimbulkan bias atau sikap berat sebelah dalam memaparkan sesuatu peristiwa sejarah itu. Dari sudut yang ekstrim bias boleh menjadi penyelewengan, penipuan dan pemalsuan fakta sejarah.  Namun dari segi yang lebih rasional dan terkawal pula, konsep relativiti itu tidak semestinya bersifat ekstrim yang demikian, walaupun berkaitan dengan perkara-perkara seperti budaya, ideologi, dan sebagainya yang telah disebut tadi. Dengan kata lain, sungguhpun konsep relativiti adalah perkara-perkara yang lumrah bagi sejarah tetapi ia mestilah ada batas dan kawalannya. Ia mestilah tertakluk kepada sumber-sumber serta kaedah penyelidikan sejarah. Dengan itu peristiwa-peristiwa yang dipaparkan itu akan mengandungi kebenaran sejarah yang boleh dipertanggungjawabkan dan bukanlah dakyah mahupun pidato sahaja.

 

Sebagai rumusan, di antara ketiga-tiga konsep yang dbincangkan tadi tidaklah salah satu daripadanya boleh menganggap dirinya sebagai bersifat mutlak. Masing-masing berkait antara satu sama lain dalam satu istilah yang dikenali sebagai “kebenaran sejarah”. Pendeka kata, apabila kita membicarakan peristiwa-peristiwa yang boleh kita berikan ukuran maka kita adalah objektivis. Jika yang sebaliknya, maka subjektivislah kita. Apabila berlaku jujur terhadap diri sendiri ketika berhadapan dengnan hakikat manusia, maka kita menjadi relativis.