KONSEP IIMU, DISIPLIN DAN INTER-DISIPLIN SEJARAH

 

1. Konsep

 

Konsep atau pengertian sejarah itu sendiri mempunyai dua jenis pengertian yang berbeza, berasaskan epistemologi aliran sekular dan aliran teologi.

 

Pertama sekali, bertolak daripada asas empirikal, terdapat aliran objektif dalam penjelasan tentang pengertian sejarah yang melihat wujudnya objek atau nilai di luar diri manusia secara terpisah dan bebas. Objek itu tetap demikian sifatnya, baik dalam ruang dan waktu mana sekalipun, sekiranya manusia tidak dapat mengetahuinya, maka itu adalah kerana kelemahannya sendiri, bukannya kerana objek itu tidak ada. Dengan penekanan kepada wujudnya objek atau nilai secara terpisah daripada manusia sebagai subjeknya, maka aliran ini menekankan perlunya membuat pemisahan yang mutlak antara subjek dengan objek.  Sesuatu ilmu yang benar-benar tulen dan saintifik seharusnya membuat pemisahan antara kedua-duanya, bukannya dengan mencampur adukkan sehingga tidak jelas hakikat dan identiti masing-masing.

 

Yang keduanya, bertolak daripada asas rasional, terdapat pula aliran subjektif dalam penjelasan mengenal pengertian sejarah.  Berbeza daripada yang pertama, aliran subjektif berpendirian bahawa tidak ada (wujud) sesuatu di luar diri manusia. Ia cuma wujud pada diri manusia yang memikirkannya, yakni pada perasaan subjektif kita. Dalam konteks nilai (value) misalnya, manusialah yang memberi nilai baik atau buruk terhadap sesuatu, bukannya merupakan nilai asli yang terdapat pada sesuatu benda itu, persis kata Shakespeare  (yang dipetiknya daripada Montaigne), There is nothing either good or bad,but thinking makes it so.

 

Setelah meninjau tentang konsep atau aliran subjektif dan objektif ini, kini barulah lebih mudah untuk menjelaskan konsep atau definisi sejarah. Sesuai dengan wujudnya dua aliran epistemologi tersebut, maka definisi sejarah juga dapat ditinjau daripada dua sudut.

 

Pertama, menurut aliran objektif, sejarah ialah kisah-kisah yang berlaku pada masa lampau (events that happened or occured in the past). Sejarah sebagai wujud yang objektif pada masa lampau tidak bergantung pada kita untuk mewujudkannya. Tanpa kita atau tanpa sejarawan, masa lampau (atau masa kini dan masa depan) tetap wujud dalam keadaannya sendiri. Ia tidaklah tiba-tiba wujud apabila ada sejarawan mengemu­kakannya atau membangkitkannya. Apa yang sudah berlaku pada masa lampau tetap berlaku secara bebas dan terpisah daripada sejarawan. Baik Socrates, Caesar atau Nabi Muhammad, semuanya tetap wujud, dengan kisah-kisah mereka sendiri, walaupun tiada sejarawan yang mengisahkannya.

 

Sejarah muncul sebagai takrifan konvensional yang sejak lama dipakai dan diterima sebagai takrifan yang paling sah dan yang sebenarnya, malah kedudukannya semakin berpengaruh dengan kebangkitan aliran sejarah objektif atau sejarah saintifik (scientific history) oleh Leopold von Ranke (1795 -1886). Aliran ini bergantung pada fakta sejarah yang objektif dan bebas, serta dapat dikaji secara saintifik dan kritis. Bagi Ranke, matlamat pengajian sejarah adalah untuk menggambarkan kejadian-kejadian ‘sebagaimana sebenarnya berlaku’ (Wie es eigentlich gewesen), berasaskan fakta-fakta dan dokumen-dokumen yang dikaji secara saintifik.

 

Sekiranya takrifan pertama menekankan kisah-kisah itu sendiri, sebaliknya takrifan kedua memandang bahawa sejarah ialah kajian atau penyelidikan tentang kisah-kisah yang berlaku pada masa lampau (study of events that occured in the past).

 

Dari segi etimologinya, takrifan ini dikatakan secocok dengan makna asal istilah historia dari bahasa Greek, yang kemudiannya dipakai dalam bahasa-bahasa lain seperti  history (Inggeris) dan histoire (Perancis) - dengan maksud penyelidikan atau penyiasatan (research or inquiry). Pendek kata, yang dikatakan sejarah ialah kajian atau penyelidikan yang dilakukan oleh sejarawan (his to na re rum gesta rum).

 

Dengan takrifan seperti ini, jelaslah yang sejarah lebih menekankan pemikiran subjektif sejarawan yang hidup pada masa kini. Sebab itulah seorang tokoh idealis seumpama Benedetto Croce (1868- 1952) pernah menegaskan bahawa semua sejarah ialah sejarah masa kini (all history is contemporary history). Sedangkan bagi Robin G. Collingwood (1899 - 1943) sama seperti Hegel, berpendapat bahawa semua sejarah ialah sejarah pemikiran (all history is the history of thought). Dalam erti kata lain, semua sejarah ialah pementasan kembali pemikiran masa lampau di dalam akal fikiran sejarawan (all history is the re­enactment of past thought in the historian's own mind). Jadi berbeza daripada aliran pertama yang bersifat saintifik, maka aliran sejarah subjektif ini dikatakan bercorak sastera (literary history). Jadi sejarah bukannya apa yang sudah berlaku, tetapi apa yang ditulis oleh sejarawan (history is what historians write, not what had happened).

 

Akhir-akhir ini timbul pula aliran pasca-modernisme, yang melihat sejarah sebagai wacana (discourse) dan kajian teks sahaja, bukannya realiti masa lampau yang telah pun hilang daripada pengesanan pancaindera kita. Inilah yang dikenali sebagai ‘tekstualisme’, iaitu suatu fahaman bahawa tidak ada sesuatu di luar teks. Jelasnya realiti masa lampau tidaklah wujud, kecuali dalam bentuk teks yang merupakan suatu representasi manusia semata-mata. Jadi aliran pasca-modernisme ini semacam cuba menyamakan karya sejarah dengan karya sastera dan estetika semata-mata. Jika dikaitkan konsep pasca-modernisme ini dengan kedua-dua konsep sejarah tersebut tadi, tidak syak lagi bahawa ia tidak lebih sebagai unjuran aliran subjektif belaka. Jadi bukannya menambah suatu konsep baru yang tidak pernah dibahaskan sebelumnya. Tetapi apa yang lebih penting di sini ialah bahawa istilah pasca-modernisme itu sendiri tidak mempunyai makna yang disepakati, bahkan banyak menimbulkan kebingungan konseptual yang longgar dan berbelit-belit pemakaiannya. Jadi daripada bersusah-payah membahaskan tentang implikasi aliran pasca-modemisme terhadap bidang sejarah dan bidang-bidang lainnya, sebaiknya difahami dulu bahawa istilah pasca-modernisme itu sendiri masih dipertikaikan kehadirannya dan juga pemakaiannya.

 

Sejauhmanakah benarnya takrifan pertama dan takrifan kedua tersebut? Atau sejauhmanakah kebenarannya sejarah sebagai rekonstruksi dan sejarah sebagai interpretasi? Masalah ini tidak mudah untuk diselesaikan, oleh kerana seperti yang  sudah disebutkan tadi, ia bertolak daripada dua aliran epistemologi yang bertentangan antara satu sama lain, iaitu aliran subjektivisme dan aliran  objektivisme, atau lebih tepat, aliran rasionalisme dan aliran empirisisme. Dalam sejarah  pemikiran (intellectual history) atau sejarah falsafah,  kedua­-dua  aliran epistemologi ini memang sejak lama mencetuskan kontroversi dan konflik tanpa sebarang penyelesaian yang muktamad.

 

Dalam tradisi falsafah Islam - masalah epistemologi atau teori pengetahuan ini telahpun diselesaikan sejak munculnya kitab al-Quran lagi, dengan mengiktiraf kedua-dua aliran rasional dan empirikal sebagai sumber pengetahuan yang penting belaka. Hakikat inilah yang ditekankan oleh al-Ghazali, bahawa ujian atau eksperimen pancaindera akal dan roh itu merupakan saranan untuk memperolehi ilmu pengetahuan. Jadi jika ia dirujuk kepada masalah takrif sejarah tersebut, maka kedua-duanya boleh dikatakan saling melengkapi dan menyempurnakan. Sejarah sebagai realiti objektif memerlukan pemikiran subjektif sejarawan yang bertanggungjawab, sebelum ia dapat dimanfaatkan oleh kita semua. Sejarawan tanpa fakta sejarah adalah tidak berasas, dan fakta sejarah tanpa sejarawan akan menjadi tidak bermakna.

 

 

 

2. Disiplin

 

Sesudah membahaskan tentang pengertian sejarah sebagai  ilmu, selanjutnya akan ditinjau tentang masalah dan kedudukan ilmu sejarah sebagai suatu disiplin yang tersendiri. Seperti yang disebutkan sebelumnya, pada mulanya ilmu pengetahuan dikatakan berunsur teokratik dan mitos. Dengan itu pada peringkat ini sejarah berganding rapat dengan agama dan kepercayaan. Dengan munculnya ilmu falsafah di Greek, ilmu-ilmu rasional lainnya lalu berkembang di bawah naungannya dan dianggap sebagai cabang-cabang falsafah belaka. Sedangkan kajian sejarah yang diasaskan oleh Herodotus dan Thucydides yang bercorak empirik itu tidak mampu menghadapi arus rasionalisme Greek yang ternyata lebih dominan. Pendek kata, sejarah semacam terpaksa berkonflik dengan kekuatan pengaruh falsafah demi untuk ‘melibat dunia’. Dengan kebangkitan Kristian yang kemudiannya mendominasi sepanjang Zaman Pertengahan, sejarah kembali bernaung di bawah agama. Bahkan sejarah menjadi alat yang terbaik buat menyebarkan ajaran-ajaran agama, seolah-olahnya ia merupakan sebagai ilmu bantu kepada ilmu agama yang menjadi pokoknya.

 

Kemunculan zaman Renaisans kemudiannya telah melahirkan golongan humanis yang mulai merenggangkan diri daripada kongkongan agama. Apalagi hasil daripada pengaruh rasionalisme Descartes yang bersikap skeptis terhadap segala sesuatu, lahirlah para pendukungnya seperti golongan Bollandist dan Benedictine yang mengasaskan kegiatan kritikan Bible (Biblical criticism) melalui kaedah ‘hermeneutiks’. Jadi seperti pada Zaman Klasik, pada zaman ini juga sejarah dipandang dengan penuh kesangsian, serta tidak dianggap sebagai suatu disiplin ilmu pengetahuan. Memang tidak dinafikan tentang adanya tokoh-tokoh sejarawan pada zaman ini, seumpama Bruni dan Guicciardini, namun peranan sejarah bagi mereka juga bersifat propaganda, yakni sebagai alat untuk memupuk semangat kesetiaan kepada kerajaan dan negara.

 

Dengan munculnya zaman Enlightenment pada abad ke-18, bermulalah turning point yang sebenarnya dalam perkembangan ilmu sejarah. Melalui gerakan sekularisasi yang mencapai kemuncaknya di tangan tokoh-tokoh Enlightenment di Perancis yang juga merupakan tokoh-tokoh Freemason itu, maka hancurlah agama dan norma-norma akhlak keseluruhannya. Walaupun sasaran utama mereka ialah warisan agama dari Zaman Pertengahan, namun mereka juga turut menjadikan sejarah sebagai alat propaganda atau ilmu bantu kepada pencapaian matlamat perjuangan menegakkan ideologi mereka. Jadi dalam hal ini, konsepsi  sejarah yang bersifat fungsional tidaklah berbeza dari zaman sebelumnya.

Sekiranya di Perancis berlaku persambungan dalam konsepsi sejarah, sebaliknya di Jerman berlaku perubahan yang radikal yang sekaligus merupakan suatu benchmark pula dalam pengajian sejarah. Perubahan ini berlaku berikutan daripada penubuhan Universiti Gottingen pada tabun 1737 dan perlantikan profesor-profesor sejarah yang bermula pada tahun 1759, seperti Johann Cristoph Gatterer, August Ludwig von Schlozer, Johann Lorenz von Moshiem, Arnold Hermann Ludwig Heeren dan sebagainya. Sebagai profesor-profesor yang khusus dalam bidang sejarah, Universiti Gottingen telah membuka jalan ke arah revolusi saintifik dalam pengajian sejarah dengan mendahului universiti-universiti lain dalam memperkenalkan sejarah sebagai suatu bidang pengajian yang tersendiri. Di tangan mereka penggunaan kaedah hermeneutiks dalam mentafsirkan sumber-sumber sejarah dan juga ilmu-ilmu lain sebagai disiplin bantu, semuanya itu telah meningkatkan mutu penulisan sejarah. Kedudukan ini telah diperkukuhkan lagi dengan perlantikan Leopold von Ranke sebagai profesor sejarah di Universiti Berlin pada tahun 1825, yang melalui gagasan sejarah objektifnya, telah memperhebatkan penggunaan sumber-sumber sejarah yang asli dan rasmi, serta kaedah hermeneutiks dan filologi klasik dengan cara sistematik.

 

Dengan perubahan-perubahan seperti ini, lahirlah golongan profesional dalam pengajian sejarah, yang sebelumnya yang ada cuma golongan amatur sahaja. Sejak inilah timbulnya gema yang memperjuangkan dan mempertahankan sejarah sebagai suatu disiplin yang bersifat autonomi atau sui generic, yakni yang mempunyai prinsip atau kaedah-kaedahnya sendiri, yang berbeza daripada ilmu-­ilmu sains tabii dan sains sosial.

 

Bagi para pendukung konsep sejarah sebagai suatu disiplin yang tersendiri, antara hujah yang ditekankan ialah bahawa sejarah tidak seharusnya bersifat fungsional atau utilitarian seperti dalam bidang sains sosial. Sekiranya bidang sains sosial berusaha mengemukakan prinsip atau generalisasi umum untuk mencapai tujuan atau kegunaan tertentu, maka pengkajian sejarah hanya berusaha menampilkan kebenaran peristiwa masa lampau untuk tujuan pengetahuan diri (self-knowledge) semata-mata, persis cogan kata ‘ilmu untuk ilmu’ seperti yang disebutkan sebelumnya.

 

Sebagaimana yang dijelaskan sebelumnya, dalam usaha membezakan antara sains sosial dengan sejarah,  lalu dipakai konsep dikotomi nomothetic-idiographic yang pertama kali dikemukakan oleh Windelband. Sekiranya dalam kajian-kajian sains sosial dikatakan terdapat sifat-sifat umum (general) dan sejagat, hingga dapat dirumuskan prinsip dan pola hukum (nomos=hukum), sebaliknya dalam sejarah terdapat sifat-sifat individu (individual), khusus (idios = khusus) dan berbeza antara satu dengan yang lain. Konsep ini pada dasarnya bertolak daripada pandangan yang memisahkan antara alam yang berkaitan dengan sains tabii (die Welt als Natur) dengan alam yang berkaitan dengan sejarah (die Welt als Geschichte). Alam sains hanya berurusan dengan sifat-sifat yang tetap, konsisten, dan penemuan prinsip-prinsip umum, sedangkan alam sejarah pula dengan sifat-sifat yang unik dan berubah-ubah.

 

Dalam erti kata yang lain, sejarah sebagaimana ditegaskan oleh Leopold von Ranke seharusnya bersifat individuality atau tersendiri. Sejajar dengan sifat manusia dan masyarakat yang berbeza (idiosyn­cratic), maka sejarah sepatutnya dikaji secara tersendiri dan khusus, bukannya menekankan persamaan, perulangan dan penyeluruhan. Bagi Herder, setiap bangsa mempunyai ciri peribadinya sendiri.  Kajian sejarah tidak sepatutnya bercorak holistic yang menekankan kesatuan kehidupan manusia keseluruhannya (holos = keseluruhan) tanpa mengakui perbezaan dan kelainan masing-masing. Seorang penganut holisme melihat masyarakat manusia sebagai suatu keseluruhan, yang pada keseluruhannya itu tunduk pada hukum-hukum tertentu.

 

3. Inter-Disiplin

 

Penekanan yang berlebih-lebihan terhadap sifat autonomi sejarah itu kemudiannya telah menimbulkan reaksi terhadapnya, dengan menekankan pula sifat heteronomi  sejarah. Sekiranya aliran autonomi cuba menegakkan kesendirian sejarah, sebaliknya aliran heteronomi mempercayai bahawa sejarah tidak berdiri sendiri, malah saling bergantung pada ilmu-ilmu lain.

 

Dari segi perkembangannya, kesedaran dalam menjadikan sejarah bersifat heteronomi banyak dipengaruhi oleh aliran Marxisme. Sebagai ideologi kebendaan dan ekonomi, pensejarahan Marxis cuba menundukkan sejarah di bawah kerangka ideologi dan hukum umum yang sudah ditentukan (determined).  Konsepsi sejarah kebendaan Marxis (materialist conception of history) ini pada mulanya cuma terbatas di kalangan sejarawan Russia sahaja, seumpama karya Pokrovsky tentang sejarah Rusia yang diterbitkan pada akhir tahun 1920-an. Tetapi selepas itu ia cepat merebak ke serata dunia, termasuk di England dengan tokoh-tokoh sejarawannya seperti Eric Hobsbawm, John Saville, Christopher Hill dan Edward Thompson. Memang interpretasi yang mengaitkan segala sesuatu kepada faktor ekonomi (economic interpretation of history) itu telah menggencatkan dan menyempitkan kajian sejarah, namun sumbangannya agak besar dalam membuka jalan ke arah sikap kerjasama di antara sejarah dengan sains sosial.

Sekiranya pensejarahan Marxis telah merintis jalan ke arah keperluan bekerjasama dengan sains sosial, maka dengan munculnya pensejarahan Annales yang dipelopori oleh Lucien Febvre dan Marc Bloch di Perancis apabila pada tahun 1929 ia telah merobohkan terus konsep autonomi sejarah itu. Sekiranya aliran autonomi cuba mempertahankan konsep sejarah sebagai suatu disiplin yang khusus, sebaliknya aliran heteronomi ala-Annales telah rnelenyapkan konsep ini dengan menekankan konsep inter-disiplin (inter-disciplinary) dalam sejarah. Bahkan juga turut menghancurkan batas-batas perbezaan antara konsep idiographic-nomothetic tersebut. Bagaimanapun usaha mendekatkan disiplin itu tidaklah sampai ke peringkat meta-discipli­nary, iaitu peleburan atau pelarutan disiplin-disiplin dalam suatu keutuhan total.

 

Di samping gerakan Annales di Perancis itu, terdapat pula gerakan The New History yang berkembang di Amerika dengan tokoh-­tokohnya seperti Frederick J. Turner, Charles A. Beard dan James H. Robinson. Melalui gerakan ini, diutarakan pentingnya pengungkapan pelbagai aspek atau dimensi masa lampau masyarakat sehingga sifat multi-dimensinya menonjol.

 

Demikianlah sejak Perang Dunia Kedua timbul usaha-usaha kedekatan (rapprochement) atau perapatan jurang antara sejarah dengan ilmu-ilmu sains sosial, terutama dari segi metodologinya. Melalui pendekatan sains sosial, ahli sejarah tidak hanya mendapat pengetahuan sejarah, bahkan mendapat kelengkapan teori dan kerangka konseptual yang konstruktif. Memang dalam hal ini, arah perapatan ini lebih banyak berlaku atas inisiatif sejarawan sendiri, bukannya daripada ahli­-ahli sains sosial. Bagaimanapun tidak kurang pula kalangan ahli sains sosial yang mendekatkan diri dengan sejarah. Misalnya di kalangan ahli antropologi, terdapat Franz Boas (1858 - 1942) yang menolak tanggapan dan andaian Tylor dan Morgan yang menekankan penguasaan hukum-hukum kebudayaan terhadap semua masyarakat. Baginya, mereka tidak mempunyai data yang cukup untuk membuat generalisasi yang menyeluruh dan berguna, oleh kerana terdapat banyak kebudayaan yang kompleks dan berbeza. Dengan menolak kecenderungan merumuskan teori atau hukum universal, Boas lalu mengusulkan pendekatan ‘partikularisme’ sejarah, bahawa sesuatu trait kebudayaan itu harus dikaji secara tersendiri, sama seperti sifat individuality yang ditekankan oleh Ranke tersebut. Demikian juga di kalangan ahli sosiologi, terdapat Perry Anderson yang menyeberangi sempadan sosiologi kepada sejarah, terutamanya kerana ingin mendapatkan data yang banyak di dalam arkib. Demikianlah, akibat daripada pinjam-meminjam dan percantuman dengan berbagai-bagai disiplin dan genre inilah sampai mendorong Clifford Geertz menulis eseinya yang berjudul Blurred Genres: The Refiguration of Social Thought (1983).

Perkembangan-perkembangan baru dalam pendekatan dan metodologi sejarah ini dengan sendirinya mengubah pandangan tentang sifat autonomi dan dikotomi sejarah dengan ilmu-ilmu lain, terutamnya dengan sains sosial. Selaras dengan perspektif sains sosial, sebarang percubaan untuk mengelakkan sejarah daripada membuat generalisasi atau spekulasi tertentu itu dianggap tidak lain cuma akan menyempitkan peranan sejarawan belaka. Sikap yang sempit inilah yang disebut sebagai 'antiquarianisme', iaitu usaha untuk menceritakan sesuatu kisah masa lampau dengan selengkap-lengkapnya, yang bukan sahaja tidak menarik perhatian sejarawan bahkan tidak menarik minat sesiapapun. Dengan menjadi seorang perfectionist, antiquarianisme menjerumuskan sejarawan dalam suatu hasrat pengumpulan bahan tanpa batasan yang jelas dan tanpa mempertimbangkan hubungannya dengan persoalan yang digarap. Salah satu cara untuk mengerti masyarakat adalah dengan membuat generalisasi. Sekiranya ini dilakukan, maka sejarawan bukan sahaja berguna sebagai pencari data, sebalikannya juga dalam mencari pengertian bagi masa lampau. Tujuan sejarah tidak sekadar untuk mengetahui (wissen) sesuatu, bahkan juga untuk mengertinya (verstehen) secara mendalam. Verstehen ialah kaedah penelitian sosial untuk mendapatkan pengertian yang mendalam tentang gejala-gejala yang dikaji yang sepatutnya dimanfaatkan dalam kajian sejarah.

 

Sebenarnya dengan menekankan kepentingan prinsip-prinsip sains sosial ini tidaklah bererti bahawa prinsip-prinsip ini sentiasa benar, sempurna dan muktamad. Di dalam sains sendiri kemunculan teori relativiti Einstein telah menggugat pengaruh prinsip absolutisme dalam fizik Newton. Sebalikannya apa yang disebut sebagai ‘ciri-ciri saintifik’ dalam sains atau sains sosial itupun sering dicabar dari semasa ke semasa. Namun di atas kelemahan-kelemahan yang ada ini tidaklah bererti yang ia tidak dapat dimanfaatkan sama sekali dalam kajian sejarah.

 

Walau bagaimanapun, kecenderungan ke arah kerapatan jurang antara disiplin ilmu ini tidaklah seharusnya sampai mengetepikan kepentingan pengkhususan (specialisation) dalam bidang-bidang tertentu. Sekiranya keadaan ini berlaku, nescaya lenyaplah golongan yang pakar dan mahir dalam sesuatu lapangan. Dan dengan lenyapnya golongan ini, maka akan hancurlah tatapan ilmu dan kehidupan seluruhnya, yang menuntut wujudnya golongan-golongan yang dipertanggungjawabkan untuk memainkan peranan tertentu secara khusus dengan cekap dan berkesan.