CAKUPAN SEJARAH - tumpuan penyelidikan atau pengkajian dalam ilmu sejarah.

Perhatian Asas dalam penyelidikan dan penulisan sejarah
Apakah yang diselidiki dan ditulis? Persoalan ini amat penting dan perlu diberi penjelasan kepada pelajar-pelajar umumnya agar mereka dapat membezakan antara pengajian ilmu sejarah dengan ilmu-ilmu lain. Terdapat tiga perkara penting yang menjadi perhatian asas kepada ahli sejarah dalam penyelidikan dan penulisannya, iaitu; manusia [individu] dalam masyarakat, perubahan melalui masa, dan yang [peristiwa-peristiwa] khusus dan unik.


a. Manusia [individu] dalam Masyarakat

Kita sudah memahami pengertian sejarah yang dibicarakan dalam kursus ini sebagai percubaan atau tindakan oleh ahli sejarah untuk membina semula dan mentaksir masa lalu. Tidak seperti ahli geologi, ahli sejarah tidak berminat tentang asal-usul fizikal bumi ini, malah tidak berminatpun dengan pengkajian terhadap makhluk-mahkluk perkasa pra-sejarah, mahupun pengkajian terhadap pergerakan bintang-bintang atau perubahan pada struktur di permukaan bumi ini. Sebaliknya ahli sejarah berminat kepada saat-saat pergerakan dan perubahan yang meninggalkan kesan ke atas semua aktiviti individu. Pada umumnya, minat ahli sejarah hanya bila mana individu itu muncul di tempat kejadian. Persoalan yang timbul tentang bila sebenarnya kejadian itu berlaku bukanlah urusan sebenar ahli sejarah, tetapi merupakan uurusan ahli biologi dan ahli antropologi. Lantaran itu, satu perbezaan yang rigid telah dilakukan terhadap pra-sejarah dan sejarah. Perbezaan ini lahir daripada idea sebenar sejarah - iaitu yang kita pegang sekarang [dalam modul ini] - bahawa sejarah itu adalah pentafsiran [interpretasi] tentang masa lampau. Sejarah itu hanya akan wujud bila ahli sejarah mempunyai sumber-sumber yang boleh diperolehi, di mana pentafsiran akan didasarkan. Idea ini menekan sumber itu haruslah berbentuk rekod-rekod bertulis. Namun pada hari ini, pengertian terhadap sumber telah meluas. Bukan sekadar rekod-rekod bertulis, malah dirasakan tidak memadai untuk meneruskan pengasingan di antara pra-sejarah dan sejarah itu.

Sebahagian besar pengetahuan kita tentang zaman manusia [individu] terawal pada hakikatnya datang daripada penyelidikan arkeologi dan antropologi. Kita tidak menafikan sumbang besar para arkeologi dan antropologi dalam penyelidikan zaman moden. Ahli arkeologi harus memiliki kemahiran professional yang di luar kemampuan ahli sejarah. Oleh kerana pengertian sejarah yang luas melihat disiplin arkeologi itu sebagai satu bentuk penyelidikan mengenai sejarah.

Di samping pengertian yang umum, sejarah sebagai penyelidikan masa lalu, pengertian yang lebih mendalam ialah sebagai penyelidikan tentang manusia [individu] dalam masyarakat. Memanglah manusia [individu] itu hidup dalam masyarakat. Tetapi kekadang terdapat kecenderungan pihak tertentu untuk menulis sejarah sebagai tindakan [ekploitasi] individu-individu tertentu [tokoh], tanpa merujuk kepada konteks sosial mereka. Ini tidak bermaksud sejarah harus menafikan kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh raja-raja, pahlawan-pahlawan, peneroka-peneroka dan pelabur-pelabur. Sama ada secara langsung atau tidak, 'orang besar' [tokoh] itu telah memberi kesan kepada pembangunan orang bawahan dan keseluruhan masyarakat serta ketamadunan. Justeru itulah, biasanya subjek 'orang besar' tersebut menjadi perhatian yang utama kepada ahli sejarah. Sungguhpun begitu ahli sejarah harus membuka sebelah matanya terhadap implikasi yang luas, dan bukannya semata-mata mengkaji 'orang besar'tersebut.
b. Perubahan melalui masa

Memang benar semua perubahan itu 'melalui masa'. Namun pengertian di sini bukanlah bermaksud 'lebih satu jangka masa', tetapi 'secara relatifnya satu jangka masa yang panjang, iaitu berkurun dan bertahun, bukannya hari-hari dan minit-minit. Konteks 'individu dalam masyarakat' juga merupakan kecenderungan pelbagai sains sosial (antropologi, sosiologi, economic, sains politik dan kerajaan, dan sebagainya. Secara kasarnya, ahli sains sosial melihat faktor-faktor lumrah, corak-corak yang biasa, aktiviti-aktiviti individu dalam masyarakat yang dapat dilihat, manakala ahli sejarah pula melihat di segi apa masyarakat itu berbeza antara satu dengan lain pada masa tertentu, bagaiamana, melalui masa, masyarakat mengalami perubahan dan pembangunan.

Dalam pada itu, sejarah itu dalam pengertian yang lain 'membicarakan satu cerita', yang seharusnya mengandungi penceritaan, iaitu satu pengertian tentang pergerakan atau perubahan melalui masa. Namun kita tidak sepatut terlalu rigid terhadap idea bahawa sejarah menghendaki penerangan dan analisis termasuk penceritaan. Satu senarai tarikh dan peristiwa semata-mata adalah satu babad, bukannya sejarah. Lantaran itu, seseorang penulis sesuatu senarai fakta hanyalah seorang pencatat, dan bukannya sejarawan dalam erti kata yang sebenar dan tepat. Tugas sejarawan jauh lebih berat berbanding dengan pencatat tersebut. Oleh kerana kecenderungan terhadap suatu perubahan melalui masa itu, ahli sejarah sering berhadapan dengan kesulitan untuk mengemukakan bilakah sebenarnya sebahagian daripada peristiwa-peristiwa itu berlaku. Tambahan ahli sejarah tidak boleh menganalisis peristiwa-peristiwa tersebut sehingga diketahui susur-galur sebenarnya peristiwa-peristiwa tersebut berlaku.

Kadangkala karya tertentu oleh seseorang sejarawan akan bersangkutan secara khususnya (eksklusif) dengan analisis dan penjelasan, dan tidak akan mengandungi sebarang maksud perubahan melalui masa yang jelas (explicit). Tetapi ahli sejarah akan menganggap karya tersebut sebagai penyumbang kepada suatu pandangan sejarah yang lebih luas, yakni di mana wujud unsur perubahan melalui masa. Sebagai contoh di sini, seorang ahli sejarah mengusahakan penyelidikan yang mendalam terhadap kehidupan berkampung di Melaka dalam kurun masehi Keempat belas: terdapat analisis yang mendalam, tetapi sedikit atau tidak berunsur perubahan melalui masa. Seorang ahli sejarah lain pula melakukan penyelidikan subjek yang sama untuk kurun ke-16 masihi. Tidak lama kemudian, seorang ahli sejarah, yang ketiga, akan menggabungkan karya (e.g. dua karya) kedua-dua sejarawan tersebut untuk menghasilkan satu pandangan yang lebih luas, dan dia akan dapat memperlihatkan 'perubahan' yang telah berlaku di antara kurun ke-14 masihi dan ke-16 masihi.


c. Peristiwa Yang Khusus dan Unik

Perkara lain yang harus kita lakukan mengenai sejarah pada peringkat ini ialah ianya harus bersangkutan dengan apa yang sebenarnya berlaku kepada manusia dalam masyarakat pada masa lampau. Misalnya, penekanan ahli sejarah harus bersangkutan dengan apa bentuk kehidupan berkampung yang sebenarnya pada akhir kurun masehi Ketiga belas, daripada membuat kenyataan-kenyataan umum tentang kehidupan berkampung. Jika seseorang ahli sejarah itu telah cukup mengkaji berbagai contoh kehidupan berkampung dalam zaman-zaman yang berbeza, ahli sejarah tersebut akan terdorong untuk mengemukakan kenyataan-kenyataan yang umum tentang kehidupan berkampung, tetapi dia harus bermula dengan contoh-contoh 'yang khusus'. Jika pun ahli sejarah tersebut mempunyai kecenderungan terhadap apa yang dipercayanya sebagai sifat-sifat yang berulang-ulang dalam aktiviti-aktiviti manusia, dia harus sentiasa peka pada keunikan peristiwa-peristiwa, dan kehidupan lampau. Mungkin ada, atau tidak, sifat-sifat, tetapi keadaan-keadaan yang khusus tidak akan berulang dalam bentuk yang [benar-benar] sama. Adalah menjadi satu peranan yang asas kepada ahli sejarah untuk menerangkan pengelaman manusia dengan menonjolkan perbezaan-perbezaan. Penulisan sejarah yang bermutu akan sentiasa bersangkutan dengan hubungkaitan dan persamaan yang bermakna di antara peristiwa-peristiwa yang berbeza. Tidak dinafikan wujud penulisan sejarah yang cuba melupakan keunikan pengalaman dan masa lampau untuk menghasilkan sesuatu generalisasi dan persamaan yang mudah. Perlu diingatkan di sini, walaupun mungkin kita cenderung dengan usaha membina sesuatu model yang umum untuk menjelaskan perhubungan di antara peperangan dan perubahan sosial misalnya, tetapi sebagai seorang ahli sejarah, langkah permulaan kita harus sentiasa menumpu pada peperangan-peperangan yang khusus, pada contoh-contoh perubahan sosial yang unik.


BIDANG-BIDANG PENYELIDIKAN SEJARAH

Pada peringkat awal, sejarah muncul sebagai satu rekod kronologi peristiwa-peristiwa penting dan khusus mengenai sesebuah negara dan institusi. Ia adalah cerita dan kisah tentang berbagai peristiwa-peristiwa berhubung dengan kemunculan, kebangkitan dan kejatuhan sesebuah kerajaan. Pada abad ke-19 masihi, sejarah moden telah diperkenalkan khususnya oleh sejarawan Jerman, Leopold Von Ranke. Namun penyelidikan sejarah ketika ini banyak menekankan bidang politik dan diplomatik menerusi penulisan berbentuk naratif. Justeru itu, era tersebut telah diklasifikasikan sebagai 'sejarah lama' oleh Getrude Himmelfarb, terutamanya dengan kemunculan aliran intelektual dalam abad ke-20 masihi telah diperkenalkan pelbagai bidang kajian sejarah seperti sejarah kebudayaan, sejarah pendidikan, sejarah ekonomi, sejarah sains dan seterusnya kepada pecahan-pecahan yang lebih kecil seperti sejarah alam pemikiran, sejarah tumbuh-tumbuhan, sejarah perfileman, sejarah ketenteraan, sejarah bola sepak dan sebagainya.

Bermula pada penghujung tahun 1920-an muncul satu kumpulan dari Perancis yang terdiri daripada golongan Annales yang melihat sejarah secara keseluruhan dengan harapan dapat mengembangkan lagi ruang lingkup sejarah. Apa yang menjadi prinsip asas kepada bidang penyelidikan sejarawan ialah perkembangan keseluruhan jenis aktiviti manusia. Prinsip ini melahirkan pelbagai bidang kajian sejarawan. Secara jelasnya, bidang kajian sejarah adalah luas sekali sebagaimana yang dikatakan oleh Henri Pirenne sebagai penyeluruhan yang luas yang merangkumi keseluruhan proses perkembangan sejarah masyarakat manusia dan kegiatannya. Malah kini sejarah boleh difahami sebagai suatu keseluruhan masa lalu yang seolah-olah tanpa batasannya. Dalam usaha untuk memahami, para sejarawan terpaksa melihatnya dari sudut pelbagai bidang. Implikasi daripada kemunculan pelbagai jenis sejarawan yang melakukan kajian dari sudut pelbagai aspek, oleh itu sejarah telah dibahagikan kepada beberapa bidang serta pecahan-pecahan atau pengkhususan yang tertentu bagi memudahkan sejarawan mengkaji dengan lebih khusus, mendalam dan relevan lagi. Berikut akan dibicarakan serba sedikit pengenalan kepada beberapa bidang sejarah terpilih.

SEJARAH INTELEK

Sejarah intelek ialah sejarah pemikiran bersifat tematik. Bidang sejarah intelek ini telah lama wujud sejak zaman Greek lagi yang menumpu kepada aspek-aspek agama seperti Kristian dan Islam sebelum abad ke-19 masihi. Konsep sejarah pemikiran sama dengan sejarah falsafah iaitu kajian mengenai pemikiran manusia. Namun sejarah pemikiran masih mempunyai perbezaan dengan dari sudut tumpuan kajian. Tumpuan kajian sejarah falsafah lebih bersifat khusus dan dikaitkan dengan pemikiran manusia di peringkat yang tinggi. Manakala tumpuan sejarah pemikiran pula lebih bersifat umum dan melibatkan tahap pemikiran manusia di peringkat biasa dan sederhana. Dalam erti kata lain, apa yang dikaji dalam sejarah pemikiran adalah merangkumi gagasan-gagasan potitik, sosial, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain. Apa yang terpenting sekali ialah kesan serta pengaruh gagasan tersebut terhadap pemikiran, tindakan dan perkembangan masyarakat manusia sama ada dari luaran mahupun dalaman.


SEJARAH POLITIK

Sejak bermulanya bidang ilmu sejarah, nampaknya bidang politik sentiasa menjadi perhatian utama. Justeru itu, sejarah kerap-kali diungkap sebagai politik masa lampau. Malah dikatakan bahawa sejarawan pada masa lampau cnederung melihat aspek politik sebagai faktor penggerak yang mengubah perjalanan sejarah manusia manakala faktor lain sekadar faktor sampingan sahaja. Keadaan ini amat jelas wujud dalam pensejarahan Melayu tradisional yang begitu menonjolkan golongan raja dan pemerintah sebagai pusat kegiatan sejarah. Apa yang dimaksudkan dengan tajuk karya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) itu adalah mengenai asal usul dan politik raja-raja. Setelah kedatangan kuasa penjajah Inggeris, sejarah masih memaparkan aspek politik -sistem pentadbiran yang berbentuk secara langsung dan tidak langsung. Malah selepas kemerdekaan tercapai pun, sejarah terus menekan aspek politik-sistem pentadbiran demokrasi berperlembagaan. Jadi dikatakan di sini, sejarah politik itu hanyalah merupakan rangkaian sejarah tokoh politik dan pentadbiran yang berkuasa. Cabang pengajian sejarah politik ini termasuklah sejarah diplomatik, sejarah perlembagaan, dan sejarah ketenteraan.


SEJARAH SOSIAL

Menurut pendapat sejarawan Belanda, P.J Blok, bahawa sejarah sosial ialah the history of the people. Ia adalah kajian mengenai pola-pola kebudayaan masyarakat manusia, terutamanya yang memperlihatkan aspek-aspek sosial di dalamnya. Antara aspek-aspek yang diliputi dalam bidang ini termasuklah kebudayaan, kesenian, kesusasteraan, agama, ekonomi, pendidikan, perundangan, pemikiran, keluarga, wanita, etnik dan sebagainya.

SEJARAH EKONOMI

Sungguhpun dalam bidang sejarah sosial turut merangkumkan sejarah ekonomi sebagai salah satu daripada aspek kajian, namun lebih tepat dikatakan bahawa sejarah ekonomi itu timbul dan berkembang dengan caranya sendiri. Hakikatnya, kemunculan sejarah ekonomi telahpun bermula dengan terbitnya karya Wealth of Nations (1770) oleh Adam Smith dan mula berkembang pesat dengan kemunculan konsepsi sejarah kebendaan oleh Karl Marx pada abad ke-19.

Sejarah ekonomi terbahagi kepada dua jenis. Yang pertama adalah bersifat tematik, iaitu yang lebih menekankan aspek kegiatan ekonomi atau tema-tema ekonomi dalam sejarah. Manakala jenis yang kedua pula ialah bersifat paradigmatik, iaitu faktor ekonomi dijadikan sebagai skema mental atau asas falsafah dalam mengkaji sejarah. Walau bagaimanapun, jenis tematik telah mendapat sokongan yang padu daripada para peminat sejarah berbanding jenis paradigmatik yang didokong oleh konsepsi sejarah kebendaan Marx. Bidang sejarah ekonomi berkembang pesat dalam abad ke-20 masihi sehingga membentuk dua aliran, iaitu aliran sejarah ekonomi tradisional yang bersifat menyeluruh dan aliran sejarah ekonomi baru atau disebut sebagai cliometrics yang bersifat terlalu khusus kepada persoalan ekonomi semata-mata. Hakikatnya, kedua-dua aliran tersebut terus berkembang secara saling melengkapi antara satu sama lain dalam cara penelitian masing-masing.

Bidang sejarah ekonomi juga merangkumi pelbagai aspek atau bidang berkaitan seperti perniagaan, kuantitatif dan komoditi. Selain itu, dalam bidang sejarah ekonomi juga terdapat beberapa ciri penting dalam cara penelitiannya, seperti kemampuan membuat generalisasi, kemampuan menyusun data secara kuantitatif, kemampuan membuat kajian komparatif dan mengidentifikasikan pola atau kecenderungan.


SEJARAH KEBUDAYAAN

Sejarah kebudayaan juga dikatakan sebahagian daripada sejarah sosial, namun cara perkembangannya adalah berbeza. Sejarah kebudayaan adalah kajian yang merangkumi keseluruhan cara hidup masyarakat manusia, iaitu meliputi sistem sosial, ekonomi, politik, agama, moral, adat istiadat, undang-undang, kesenian, bahasa, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Secara khususnya, kajian sejarah kebudayaan dapat dibahagi kepada dua, iaitu kebudayaan tinggi atau elit dan kebudayan popular atau massa. Di antara kedua-duanya, kebudayaan popularlah yang sering menjadi tumpuan dalam kajian budaya.


SEJARAH AGAMA

Biasanya tumpuan kajian bidang sejarah agama adalah mengenai sejarah dan perbandingan agama-agama yang pernah wujud di dunia ini. Umumnya, dalam perkembangan ilmu pengetahun, bidang sejarah agama telah melahirkan pelbagai aspek dan bidang-bidang dikaji sebagai salah satu bidang ilmu dan wujudlah falsafah agama, sosiologi agama, psikologi agama dan juga antropologi agama.

Setelah beberapa perincian dibuat mengenai matlamat dan bidang penyelidikan sejarah dalam bahagian ini, dapat dirumuskan bahawa sejarah adalah suatu bidang penyelidikan yang amat luas dengan tiada batasan untuknya. Oleh itu, bagi seseorang sejarawan yang ingin melakukan penyelidikan, dia perlu memfokuskan kepada satu bidang kajian yang khusus dan semestinya bidang itu adalah yang diminati. Aspek pengkhususan secara tematik dalam sesuatu bidang itu amat penting kepada seseorang yang ingin menjadi penyelidik sejarah agar dapat menghasilkan satu kajian yang lebih mendalam dan bermakna lagi.